Soal Jawab Agama Siri 94 ( Ilmu Faraid, Pembahgian Harta, Cara Kiraan Hukum Faraid, Perkahwinan Dan Solat Istikharah)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 94 adalah menjawab persoalan kepentingan mempelajari ilmu faraid, pembahagian harta secara hukum faraid, cara kiraan untuk pembagian ahli waris dalam hukum faraid, hukum berkahwin dengan emak saudara sepupu dan solat Istikharah.
756. Soalan : Kenapa umat Islam wajib memperlajari Ilmu Faraid dan apakah akibatnya jika harta yang ditinggalkan oleh si mati tidak dibahagikan secara hukum Faraid?
Jawapan :
Terdapat dua hadis yang menjelaskan kepentingan ilmu Faraid untuk difahamai dan dipraktikkan didalam kehidupan umat Islam.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Pelajarilah ilmu Faraid dan ajarkanlah kepada orang lain. Sesungguhnya aku akan mati, ilmu ini juga akan mati dan akan berlaku kacau-bilau. Sehingga apabila dua orang bertelingkah kerana harta pusaka, mereka tidak akan dapat menemui sesiapa yang boleh menyelesaikan kes mereka." (Hadis riwayat al-Hakim daripada Ibnu Mas’ud)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Pelajarilah ilmu Faraid dan ajarkanlah kepada manusia, kerana ianya adalah separuh daripada ilmu dan akan dilupakan. Ia juga adalah ilmu yang pertama akan dicabut dari umatku." (Hadis riwayat Ibnu Majah daripada Abu Hurairah)
Menurut Islam, selepas kematian seseorang muslim, maka wujudlah hak-hak tertentu ke atas harta yang ditinggalkannya. Hak-hak tersebut telahpun ditentukan sendiri oleh Allah SWT secara khusus di bawah hukum Faraid. Pembahagian Faraid kepada yang berhak hukumnya adalah wajib untuk ditunaikan, dan Fardu Kifayah kepada umat Islam (khususnya waris-waris) untuk menyelesaikannya, sama hukumnya seperti menyembahyangkan jenazah.
Pembahagian harta pusaka menurut kaedah dan pelaksanaan Islam adalah suatu pembahagian yang sangat adil dan sistematik kerana Allah SWT sebagai Pencipta manusia mengetahui dimana letaknya kekurangan dan kelebihan dalam diri manusia itu.
Firman Allah SWT maksudnya : "Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembagian pusaka untuk) anak-anakmu. Yaitu: Bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, maka ia memperoleh setengah harta. Dan untuk dua orang ibu-bapa, bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya (saja), maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam. (Pembagian-pembagian tersebut di atas) sesudah dipenuhi-dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.(Surah an-Nisa' (4) ayat 11)
Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan bagimu (suami-suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. Para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperdelapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. Jika seseorang mati, baik laki-laki maupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara laki-laki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syariat yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.(Surah an-Nisa' (4) ayat 12)
Di dalam surah An-Nisa' ayat 11 & 12 seperti di atas telah menerangkan tentang kaedah pembahagian Faraid dengan jelas, manakala dalam surah yang sama ayat yang ke-14 Allah SWT telah mengecam manusia yang beriman sekiranya ingkar dengan perintah Allah ini.
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentutan-ketentuan-Nya, nescaya Allah akan memasukkannya kedalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya; dan baginya seksa yang menghinakan" . (Surah an-Nisa' (4) ayat 14)
Ini jelas menunjukkan bahawa sekiranya umat Islam itu ingkar dengan ketentuan Allah SWT, maka Allah SWT akan melemparkannya ke dalam api neraka selama-lamanya. Ini menunjukkan bahawa suatu ancaman yang amat berat bagi mereka yang mengabaikan pelaksanaan hukum Faraid dalam pembahagian harta pusaka.
Sekiranya pembahagian Faraid diabaikan, dikhuatiri akan berlaku:
1. Memakan harta anak yatim
2. Memakan harta saudara-mara (ahli waris)
3. Memakan harta Baitulmal
757. Soalan : Ibu saya telah meninggal dunia 2 tahun yg lalu, saya merupakan anak sulong dari 2 adik beradik lelaki dan dua adik beradik perempuan, ayah saya masih hidup dan kedua ibu bapa arwah ibu saya sudah meninggal dunia. Arwah ibu saya telah meninggalkan harta dalam bentuk barang kemas (bernilai RM 50,000) dan wang simpanan berjumlah RM 80,000. Persoalannya sehingga ke hari ini masih lagi belum diagihkan mengikut faraid kerana bapa saya berangapan harta tersebut telah menjadi hak miliknya sepenuhnya dan beranggapan memohon anak-anak untuk mengikhlaskan harta tersebut untuk perbelanjaan upah haji arwah.
Saya telah cuba beberapa kali berbincang dengan bapa tentang pembahagian harta tersebut setelah mendapat nasihat daripada beberapa orang ustaz, tetapi bapa saya tetap dengan pendiriannya.
Soalan saya ;
1. Bagaimanakah pengagihan harta tersebut?
2. Adakah wang tersebut boleh digunakan untuk urusan kenduri arwah dan upah haji?
3. Apakah hukum haji tersebut?
Jawapan
Apabila seseorang itu meninggal dunia, harta peninggalannya tergantung kepada lima perkara mengikut turutan.
Pertama : Digunakan untuk menyelesaikan urusan jenazahnya seperti mandi, kafan dan kebumi.
Kedua : Membayar hutang si mati samada hutang kepada manusia mahupun hutang kepada Allah SWT termasuk menyelesaikan gadaian atau harta yang dipinjamnya dari orang lain.
Ketiga : Menunaikan wasiat si mati, jika beliau ada berwasiat dengan syarat tidak lebih daripada 1/3 bahagian.
Keempat : Menyelesaikan masalah harta sepencarian.
Kelima : Membahagikan harta pusaka kepada waris-waris si mati.
Oleh itu, jika si mati masih belum menunaikan fardu haji sedangkan ia telahpun mempunyai kemampuan berbuat demikian, maka wajiblah diwakilkan kepada orang lain supaya menunaikan fardu haji bagi pihaknya dengan syarat pihak yang menjadi wakil itu telahpun menunaikan fardu haji.
Seorang perempuan dari Khas'am pernah bertanya Rasulullah SAW tentang kedudukan ayahnya yang sudah tua yang tidak mampu lagi menunaikan fardu haji, adakah beliau boleh menunaikan fardu haji bagi pihaknya. Ujar baginda SAW: Ya; (Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Malik, Imam asy-Syafii, Imam asy-Syaikhain, Imam Abu Dawud Dan Imam Nissa'i).
Dalam sebuah hadis yang lain menjelaskan seorang perempuan bertanya Rasulullah SAW tentang ibunya yang bernazar hendak menunaikan fardu haji tetapi belum sempat ia berbuat demikian, ia sudah meninggal, adakah boleh ia menunaikan fardu haji untuk ibunya itu. Rasulullah SAW memberi kebenaran kepada perempuan itu berbuat demikian.
Sehubungan dengan itu, wang simati hendaklah digunakan bagi menunaikan fardu haji bagi pihak arwah ibu saudara, kerana ibadat haji itu dikira hutang dengan Allah SWT yang mesti dilangsaikan terlebih dahulu, kemudian yang selebihnya hendaklah dibahagikan sebagaimana dalam sistem pembahagian pusaka.
Mengenai keengganan ayah saudara untuk mengagihkan wang pusaka menurut sistem faraid, ulama bersepakat bahawa hukum al-faraid wajib diikuti iaitu membahagikan harta pusaka mengikut ketetapan adalah seperti berikut :
Suami mendapat : 1/4 bahagian daripada RM 130,000.00 = RM 32,500.00
Anak lelaki akan mendapat dua bahagian daripada anak perempuan.
Oleh itu setiap anak perempuan akan mendapat bahagian :
(RM 130,000.00 - RM 32,500.00) X 1 / 6 = RM 16, 250.00
Dan setiap anak lelaki akan mendapat = RM 32,500.00
Jika ada kata sepakat (daripada semua pihak yang layak terima pusaka itu) maka mereka berhak membuat pilihan samada ingin mengikut hukum faraid ataupun pembahagian biasa. Kerana pada masa itu, tidak ada persengketaan bahkan mereka sebulat suara bersetuju.
Ada sebahagian ulama lain berpendapat, pembahagian harta pusaka mesti mengikut hukum al-faraid kerana ia adalah ketetapan Allah berkenaan pengurusan harta pusaka itu. Setelah dibahagi, dan masing-masing menerima hak masing-masing, maka bolehlah pada masa itu sekiranya mereka ingin sedekahkan bahagian mereka kepada mana-mana ahli waris lain (atas kerelaan sendiri) kerana harta (bahagian) itu tadi adalah milik mereka. Terserahlah kepada mereka untuk menguruskannya.
Bagi tujuan pembahagian harta pusaka mengikut sistem faraid ini, saudara boleh merujuk dengan mana-mana Mahkamah Syariah di Malaysia yang diberi hak dan bidang kuasa untuk menentukan cara pembahagian harta pusaka kepada ahli waris menurut hukum Islam.
Perlu diingatkan bahawa selagi harta tersebut belum di buat pembahagian maka tidak boleh di ambil untuk kenduri arwah dan perlu selesaikan dahulu wasiat, hutang piautang, zakat, nazar, upah haji untuk si mati. Jika hendak di buat juga sebaik-baiknya menggunakan wang gaji anak-anak simati atau wang simpanan waris.
Walau bagaimanapun, mengadakan kenduri arwah dengan perbelanjaannya dari harta pusaka si mati yang sebahagian dari perwarisnya belum baligh yang masih belum tiba masa berhak menguruskan hartanya , maka hukumnya adalah haram kerana sesungguhnya terdapat larangan Allah yang menegah kita daripada memakan harta anak yatim.
758. Soalan : Bolehkah ustaz jelaskan bahagian-bahagian harta yang akan di perolehi oleh waris secara hukum faraid apabila berlaku kematian salah seorang di antara waris.
Jawapan :
Apa yang ada dalam Faraid adalah pernyataan tentang bahagian-bahagian waris yang berhak daripada harta pusaka simati. Secara asasnya nilai bahagian-bahagian tersebut adalah seperti berikut.
Bapa : 1/6 daripada nilai harta si mati
Ibu: 1/6 daripada nilai harta si mati
Isteri: 1/8 dariapada nilai harta si mati
Suami: 1/4 daripada nilai harta si mati
Anak Lelaki: 2/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Bapa, Ibu, Suami / Isteri.
Anak Perempuan: 1/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Bapa, Ibu, Suami / Isteri.
Nilai bahagian faraid ini boleh berubah apabila komposisi waris faraid berubah.
A) Untuk komposisi waris simati yang sudah berkeluarga :
1) Bapa si mati: 1/6
2) Ibu si mati: 1/6
3) Isteri: 1/8 atau Suami: 1/4. (Mana-mana yang masih hidup)
4) Anak Lelaki: 2/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Bapa, Ibu, Suami / Isteri.
5) Anak Perempuan: 1/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Bapa, Ibu, Suami / Isteri.
B) Untuk komposisi waris simati yang belum berkeluarga (bujang):
1) Ibu: 1/6
2) Bapa: 5/6 (bapa dapat keseluruhan baki harta setelah ditolak hak faraid Ibu)
C) Untuk komposisi waris simati yang dah berkeluarga tapi tiada anak
1) Suami: 1/2 atau isteri: 1/4 (Mana-mana yang masih hidup)
2) Ibu: 1/6
3) Bapa: mendapat semua baki harta
D) Untuk komposisi waris simati yang dah berkeluarga tapi tiada ibu dan bapa.
1) Suami: 1/4 atau isteri: 1/8 (Mana-mana yang masih hidup)
2) Anak Lelaki: 2/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Suami atau Isteri.
3) Anak Perempuan: 1/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Suami atau Isteri.
E) Untuk komposisi waris simati yang masih bujang tapi tiada ibu dan bapa
1) Adik-beradik Lelaki: 2/3 daripada harta.
2) Adik-beradik Perempuan: 1/3 daripada harta.
759. Soalan : Saya ingin bertanya tentang perkahwinan. Adakah boleh saya mengahwini pangkat emak saudara saya. Seperti berikut, datuk saya dengan bapa dia adik-beradik, jadi dia dan emak saya bersepupu. Adakah boleh saya mengahwini dia?
Jawapan :
Islam hanya melarang berkahwin dengan seorang perempuan itu ada dua bentuk. Pertama larangan muabbad ertinya larangan untuk dikahwini selamanya dan kedua, larangan Muaqqat ertinya larangan kahwin dengan seorang perempuan selama perempuan tersebut masih dalam keadaan tertentu, apabila keadaan berubah maka larangan itu tercabut dan perempuan itu menjadi halal dikahwini.
Larangan perkahwinan yang terus menerus itu disebabkan oleh kerana hubungan pertalian darah, ada hubungan perkahwinan dan hubungan susuan. Sedangkan kedudukan anda dengan pasangan yang ingin anda kahwini itu membolehkan anda menikahinya.
Dalam hal ini telah dijelaskan dalam Firman Allah SWT maksudnya: "Diharamkan atas kamu mengahwini ibu-ibumu, anak-anak perempuanmu, saudara-saudara perempuanmu, saudara-saudara perempuan ayahmu, saudara-saudara perempuan ibumu dan anak perempuan dari saudara-saudara lelakimu, anak perempuan dari saudara-saudara perempuanmu, ibu-ibu yang menyusukan kamu, saudara perempuan sesusuan, ibu-ibu isterimu (ibu mertua) anak-anak perempuan isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu tiduri, tetapi jika kamu belum mencampurinya (dan sudah kamu ceraikan) maka tidak berdosa kamu mengahwininya dan diharamkan bagimu isteri anak kandungmu (menantu) dan menghimpun dua perempuan bersaudara kecuali yang pernah terjadi di masa lalu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" (Surah an-Nisa' ayat 23)
760. Soalan : Saya berusia 30 tahun berjawatan Pengurus Syarikat. Saya masih bujang dan masih mencari pasangan untuk dijadikan isteri. Saya penah berminat dengan seorang gadis sehingga saya beristikharah kerana hendak teruskan keinginan saya. Saya memang berminat padanya. Selepas saya menyatakan keinginan pada seorang kawan dan sampaikan pada dia, dia diam. Tapi istikharah saya memihak kearah dia. Lebih-lebih lagi saya solat hajat supaya Allah SWT palingkan hati saya dari dia. Tapi saya gagal. Setiap kali saya lebih suka pada dia.
Malangnya gadis itu tidak memberikan apa-apa jawapan pada saya.
Soalan saya: Apakah setiap istikharah yang dibuat dan hasilnya keputusan itu datang dari Allah atau syaitan masih boleh mempermainkan kita dalam hal beristikharah?. Adakah dengan penolakan gadis tersebut kepada saya menunjukkan bahawa itulah keputusan Allah SWT bahawa saya tidak bersesuaian dengannya? Minta ustaz dapat menjelaskannya.
Jawapan :
Solat istikharah kita lakukan jika kita menemukan suatu masalah dalam membuat pilihan atau keputusan. Setelah mengerjakan solat sunat ini berdoalah dengan ikhlas agar Allah SWT memberikan pilihan yang terbaik. Jika kita yakin dengan pertolongan Alla SWT, maka Allah SWT akan memberikan jalan yang terbaik kepada hamba-Nya, namun jika ragu-ragu dengan pertolongan Allah SWT, maka syaitan akan meniupkan perasaan was-was.
Saudara perlu jelas bahawa cara yang terbaik apabila kita buat solat istikharah, tidak ada sedikit pun hati kita condong kepadanya. Kita serahkan bulat-bulat kepada Allah SWT .Jika hati kita sudah mula condong sedikit sekali pun maka kita tak akan dapat keputusan terbaik, daripada Allah SWT. Maksudnya kita seolah-olah sudah buat pilihan sebelum kita tunggu ilham atau keputusan daripada Allah SWT.
Kehilangan keyakinan atau ragu-ragu (was-was) dalam mengharapkan rahmat Allah merupakan dosa yang mesti ditinggalkan, kerana perkara tersebut menggugurkan iman. Jika iman telah hilang dalam sanubari, maka musnahlah rahmat Allah dalam kehidupan. Walaupun kecenderungan hati saudara kepada pilihan saudara tersebut, namun jika Allah SWT menetapkan yang lain, maka itulah yang terbaik untuk saudara. Sebab kebaikan dalam penilain manusia berbeza dengan kebaikan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk seseorang.
Hasil pilihan itu bukan sekedar mengikut kecederungan nafsu semata, tetapi kadangkala keputusan yang terjadi diluar jangkauan kita. Tugas kita sebagai hamba hanya menjalankan kewajipan dan bermohon kepada-Nya, sedangkan segala keputusannya kita serahkan kepada Allah SWT. Apabila gadis tersebut tidak ada respon positif itu tandanya dia bukanlah jodoh saudara, bersabarlah mungkin jodoh saudara ada pada wanita yang lain yang lebih baik daripada gadis tersebut. Berdoalah kepada Allah SWT selesai solat lima waktu, bukan sekedar disegerakan memperoleh jodoh, tetapi mengharap dipertemukan dengan wanita solehah yang akan menghiasi rumahtangga dengan kedamaian dan ketenangan. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment