Soal Jawab Agama Siri 46 (Perniagaan , Muda Mudi, Menjaga Ibu, Hukum Memakai Seluar Dan Lain-lain)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 46 adalah menjawab persoalan perniagaan dalam Islam, akhlak muda mudi sekarang, menjaga ibu, hukum wanita memakai seluar dan hukum percaya pada bomoh.
516. Soalan : Saya ingin bertanya beberapa soalan mengenai perniagaan :
1. Adakah boleh produk yg kita hasilkan dgn modal sekitar rm 50 sahaja tapi dijual dengan rm190-rm500?
2. Jika kandungan yang sama tetapi diberi nama berlainan untuk dijual dengan harga berbeza. apakah dikira menipu?
3. Banyak produk hari ini menggunakan gimik seperti ustaz, tok guru, pondok, kitab tua untuk melariskan produk mereka walhal apa yang didakwa dari mereka tersebut tidak seperti yang dinyatakan. Bagaimana dengan hasil dari perniagaan yang ada unsur tipu pengguna begini?
Untuk menjawab soalan-soalan tersebut adalah seperti berikut :
1. Dalam muamalah Islam, tiada khadar menentukan keuntungan, Itu terpulang kepada penjual untuk menentukan harga. Tetapi menentukan harga biar berpatutan dengan kualiti barang tersebut. Takut terjatuh kepada unsur penipuan. Mengambil untung biarlah berpatutan walaupun Islam tidak menetapkan kadar keuntungan yang boleh diambil. Biarlah sedikit keuntungan yang penting berkat dalam perniagaan saudara. Nabi Muhammad SAW berniaga dengan harga yang sangat murah dan berpatutan sehingga barang-barang perniagaannya laris dan habis awal dari peniaga yang lain.
2. Kandungan beza jenama berbeza, hal ini tidak menjadi masalah kerana ini merupakan teknik perniagaan. Tetapi jangan meniru produk orang lain dan diletakkan nama kita itu yang menjadi haram sebab kita mencetak hak orang lain tanpa kebenaran.
3. Saya faham soalan ke tiga ini begini..Ada syarikat menggunakan nama-nama Islam untuk menarik minat pembeli terhadap produknya. Ini tidak menjadi masalah tetapi isi kandungan yang terdapat dalam produk itu jangan kurang dari yang disenaraikan dilabelnya dan ini adalah haram. Selagi mana produk itu halal maka itu tidak menjadi masalah. Ini semua strategi perniagaan.
517. Soalan : Saya perlu pandangan ustaz tentang muda mudi zaman sekarang suka melepak , meninggalkan solat dan banyak lagi perkara maksiat yang mereka telah lakukan.Siapakah yang akan menanggung dosa-dosa yang mereka buat?
1. Adakah ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat, pejabat agama, ketua kampung hingga ketua negara akan mendapat dosa yang sama kerana mereka meninggalkan amar makruf nahi mungkar?
2. Bagi pihak berkuasa mengeluarkan lesen-lesen berbentuk kelab kelab maksiat ( disko.karaoke dll ) dan membuka selera kepada muda mudi berpesta bersama pasangan lelaki perempuan. Apakah tindakan sebegitu boleh mengundang dosa besar.
1. Anak-anak yang dibesarkan oleh ibu bapa jika telah mendapat didikan agama dirumah dan disekolah pula guru-guru telah memainkan peranan mendidik anak-anak murid supaya menjadi manusia yang berakhlak maka tanggungjawab mereka telah terlepas jika muda-mudi tadi atas pilihannya melakukan maksiat dan dosa. Tetapi jika ibu bapa tidak pernah mengajar pendidikan Islam dan akhlak Islam dirumah maka ibu bapa akan bertanggung jawab di atas maksiat dan dosa yang dilakukan oleh anak-anak mereka.
Didikan agama sangat penting dan contoh yang baik dari ibu bapa yang penting.. Dari kecil anak-anak perlu dididik dengan agama kerana agama adalah fardu ain. Setiap anak dilahirkan dengan fitrah dan diibaratkan seperti kain putih yang akan membentuknya adalah ibu bapa anak tersebut. Pandangan saya ialah bermula dari ibubapa. Teladan yang baik akan mencontohi anak. Anak yang berumur sebelum baliq adalah tanggungjawab ibu bapa dan apabila sudah baliq dosanya ditanggung sendiri.
Pemimpin masyarakat seperti Ketua Kampung, Jabatan Agama , Adun, ahli Parlimen dan semua umat Islam perlu bersama-sama melaksanakan dakwah dan tarbiah dan menyekat gejala sosial yang dilakukan oleh muda-mudi kita. Pemimpin negara pula perlu membuat satu dasar yang jelas untuk memberi pendidikan Islam bersepadu kepada para pelajar dan muda mudi yang sedang menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi supaya menjadi insan beriman dan bertakwa. Jika mereka meninggalkan amanah yang besar ini mereka akan berdosa.
2. Memberi lesen untuk membuka kelab malam, pusat judi, pusat hiburan dan kilang-kilang arak maka ianya akan dipertanggungjawabkan adalah pihak berkuasa dan pemimpin negara kerana mereka tidak menunaikan amanah yang Allah SWT berikan sebagai khalifah Allah di muka bumi untuk menyekat maksiat dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar.
518. Soalan : .Sekiranya seorang anak menjaga ibunya yang tua (separuh nyanyuk) tetapi ibu sering marah-marah kepada anak-anak yang menjaganya.dan sukar untuk makan ubat. Apakah jalan penyelesaian terbaik boleh kah kita menghantarnya ke rumah orang tua berdosakah kita ustaz?
Menghormati ibu adalah wajib dan memelihara ibu adalah wajib dan menegur kesalahan ibu juga wajib. Setiap teguran mestilah dengan hikmah dan berbudi bahasa. Selalulah memohon kepada Allah SWT semoga diturunkan hidayah kepada ibu yang bersikap begitu. Sebaik-baiknya jangan meletakkan ibu kerumah orang-orang tua kerana sebagai anak lebih baik saudara memeliharanya kerana sewaktu kita kecil dahulu semua dilayan dengan baik dan tidak pernah merungut ibu kita, kita berak dan kecing di atas tilam dan di bajunya dengan tenang dia basuh. Kita menangis waktu malam dia bangun dalam keadaan mengantuk untuk di buai dan beri susu kepada kita.
Takkan masalah seperti ini kita tidak boleh hendak terima dan berkeputusan untuk hantarnya kerumah orang tua-tua. Menjaga ibu bapa yang tua besar pahala dan hikmahnya, Allah SWT murahkan rezeki kita. Tidak rugi menjaganya, lagipun jika dihitung umurnya sudah tidak lama lagi, sabarlah sementara dan jangan menyesal kemudian, ingat hadis Nabi SAW yang bermaksud : "Syurga di bawah tapak kaki ibu".
Jangan sesekali mengecilkan hati ibu kerana kita tidak dapat mencium bau syurga. Ada hadis menyatakan bahawa celakalah seorang anak yang mempunyai ibu tetapi dia tidak dapat masuk syurga kerana derhaka atau menyenggung perasaan hati kecilnya. Doa ibu makbul di sisi Allah SWT.
519. Soalan : Saya ingin bertanyakan tentang pemakaian seluar bagi wanita dari segi Islam.?
Hadis Nabi SAW :
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ
Maksudnya : "Rasulullah melaknat laki-laki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian laki-laki". (Hadis Riwayat. Abu Dawud, no: 4098; Ibnu Majah; Ahmad; dll)
Hadis di atas jelas melarang wanita berpakaian lelaki dan juga sebaliknya. Kalau macam tu, wanita tidak boleh pakai seluar ?
Bukan macam itu, wanita boleh memakai seluar tetapi seluar jenis seluar wanita, contohnya seperti seluar bagi jubah seluar, seluar sukan wanita dan seumpamanya.Seluar yang dimaksudkan adalah seluar yang longgar dan tidak menampakkan bentuk paha dan pinggulnya dibolehkan.
Yang menjadi haram ialah wanita berpakaian seperti lelaki ialah, berpakaian t-shit pendek lelaki, seluar jean, seluar lelaki dan seumpamanya. Haram juga bagi wanita yang memakai seluar ketat.
Jangan sempetkan pandangan saudari dengan masalah ini. Setiap apa-apa mestilah mematuhi syarak Islam. Islam itu indah dan tidak sempit.
520. Soalan : Keluarga sebelah bapa saya ada terlibat dengan perkara yang berkaitan dengan bomoh, mereka seolah-olah taksub dengan bomoh dan bomoh tersebut akan menuduh sesiapa sahaja termasuk ibu saya kononnya ibu saya berbuat sesuatu yg tidak baik kepada keluarga sebelah ayah saya ni. Bukan ibu saya sahaja yang menjadi mangsa malahan nenek saudara dan ramai lagi.mereka seolah berdendam dengan keluarga saya.Persoalan saya, adakah wajar saya menziarahi keluarga ayah saya semasa raya ini. Saya tahu memutuskan perhubungan silaturahim merupakan dosa besar. Namun saya ingin mengelakkan mereka dengki kepada kami sekeluarga.
Harap ustaz dapat membantu..moga perkara ini dapat diselesaikan..
Percaya bomoh adalah syirik, ini adalah dosa besar. Sabda Nabi S.A.W. bermaksud: “Barangsiapa datang kepada tukang tenung (bomoh), kemudian dia membenarkan perkataannya, maka sembahyangnya tidak diterima oleh Allah selama 40 hari.”(Hadis Riwayat Muslim).
Tambahan daripada itu, Rasulullah S.A.W. juga mengingatkan bahawa orang yang mempercayai keburukan itu datangnya daripada sesuatu selain daripada Allah adalah syirik, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Menyandarkan keburukan kepada sesuatu adalah syirik, dan tidak termasuk dalam golongan kami melainkan orang yang beriman sahaja, dan Allah akan menghilangkan syirik itu dengan tawakkal".
(Hadis Riwayat Ibnu Majah).
Orang yang dengki adalah dosa besar. Sebagai keluarga saudari tidak patut memutuskan hubungan silaturrahim dengan mereka.
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku mempunyai kaum kerabat yang aku eratkan hubunganku dengan mereka tetapi mereka memutuskan, dan aku berbuat baik dengan mereka tetapi mereka membuat jahat kepadaku, aku berlemah lembut dengan mereka tetapi melakukan kekasaran terhadap aku”. Maka jawab Rasulullah, “Jika benarlah apa yang engkau katakan itu maka seolah-oleh engkau memberi makan abu panas (mereka melakukan dosa besar) dan Allah sentiasa bersama engkau memberi pertolongan selagi kamu mengekalkan sifat-sifat kamu”. (Hadis Riwayat Muslim)
Saudari perlulah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT untuk mengelakkan saudari terkena apa-apa perkara yang tidak diingini. Amalakanlah zikir al-Mathurat waktu pagi dan petang, membaca al-Quran dan banyakkan berdoa dan berzikir kepada Allah SWT. Semua amalan ini dapat membantu saudari daripada perbuatan sihir orang lain kepada saudari dan ahli keluarga.
No comments:
Post a Comment