Sunday, February 16, 2014

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 36

Soal Jawab Agama Siri 36 (Hikmah Berpuasa, Membayar Fidyah, Sakit Tidak Berpuasa Dan Lain-lain lagi)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 36 adalah menjawab persoalan hikmah berpuasa, membayar fidyah, sakit tidak berpuasa, bersugi semasa puasa dan masukkan air kehidung ketika berwuduk. 

471. Soalan :  Bulan Ramadan al-Mubarak telah hampir tiba umat Islam akan menyambut kedatangan bulan yang penuh berkah dengan berpuasa selama sebulan. Bolehkan ustaz terangkan apakah hikmah dan kebaikan berpuasa?


Terdapat banyak hikmah dan kebaikan ibadah puasa yang kita kerjakan di bulan Ramadan yang difardukan oleh Allah SWT,  semoga dengan memahami hikmah dan kebaikan ibadah puasa ini akan menambahkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT.

Sayyid Muhammad bin Alwi Al Maliki mengatakan orang yang berpuasa mempunyai 10 keutamaan yang diberikan Allah SWT, di antaranya ialah:

Pertama, Allah memberikan keistimewaan kepada umat yang berpuasa dengan menyediakan satu pintu khusus di syurga yang dinamai Al Rayyan. Pintu syurga Al Rayyan ini hanya disediakan bagi umat yang berpuasa ( puasa zahir dan batin).

Nabi SAW bersabda dalam satu hadisnya yang bermaksud : " Pintu Rayyan hanya diperuntukkan bagi orang-orang berpuasa, bukan untuk lainnya. Bila pintu tersebut sudah dimasuki oleh seluruh rombongan ahli puasa Ramadan, maka tidak ada lagi yang boleh masuk ke dalamnya. (Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim).

Kedua, Allah telah mengfungsikan puasa umat Nabi Muhammad SAW  sebagai benteng yang kokoh dari seksa api neraka sekaligus tirai penghalang dari godaan hawa nafsu. Dalam hal ini Nabi SAW  bersabda maksudnya : “Puasa (Ramadan) merupakan perisai dan benteng yang kokoh dari seksa api neraka.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Al Baihaqi).

Nabi SAW. menambahkan pula bahawa puasa yang berfungsi sebagai perisai itu layaknya perisai dalam kancah peperangan selama tidak dinodai oleh kedustaan dan mengumpat. (Hadis Riwayat  Ahmad, An Nasa`i, dan Ibnu Majah).

Ketiga, Allah memberikan keistimewaan kepada orang yang puasa dengan menjadikan bau mulutnya itu lebih harum dari minyak kasturi. Sehingga Nabi SAW bersabda maksudnya "Maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)

Keempat, Allah memberikan dua kebahagiaan bagi orang yang puasa iaitu bahagia saat berbuka dan pada saat bertemu dengan Allah kelak. Orang yang berpuasa dalam menikmati juadah berbuka puasa dengan melahirkan rasa syukurnya dimana bersyukur termasuk salah satu ibadah dan zikir. Syukur yang terungkap dalam kebahagiaan kerana telah diberi kemampuan oleh Allah untuk menyempurnakan puasa di hari tersebut sekaligus berbahagia atas janji pahala yang besar dari-Nya.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)  

Kelima, puasa telah dijadikan oleh Allah sebagai medan untuk menempa kesihatan dan kesembuhan dari berbagai  penyakit. “Berpuasalah kalian, nescaya kalian akan sihat.”
(Hadis Riwayat Ibnu Sunni dan Abu Nu`aim).

Sayyid Muhammad  menegaskan bahawa rahsia kesihatan di balik ibadah puasa adalah bahawa puasa menempah tubuh kita untuk melumatkan racun-racun yang mengendap dalam tubuh dan mengosongkan bahan-bahan kotor lainnya dari dalam tubuh.
Menurut pandangan beliau puasa ialah cara mendapatkan kesihatan bagi seorang hamba guna meningkatkan kadar ketakwaan yang merupakan tujuan utama puasa itu sendiri. 

Firman Allah SWT maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah  Al Baqarah ayat 183).

Keenam, keutamaan berikutnya yang AllahSWT  berikan kepada orang yang puasa adalah dengan menjauhkan wajahnya dari seksa api neraka. Matanya tidak akan sampai melihat seksaan api neraka dalam bentuk apapun juga. Nabi SAW. bersabda maksudnya :  “Barangsiapa berpuasa satu hari demi di jalan Allah, dijauhkan wajahnya dari api neraka sebanyak (jarak) tujuh puluh musim.” (Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim, dan Nasa`i).

Ketujuh, dalam al-Quran Allah SWT berfirman maksudnya : “Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang melawat, yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat makruf dan mencegah berbuat munkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu.”
(Surah At Taubah ayat 112).

Sebagian ulama ahli tafsir menerangkan bahawa orang –orang yang melawat (as-saihuun) pada ayat tersebut adalah orang yang berpuasa sebab mereka melakukan lawatan (kunjungan) kepada  Allah SWT. Makna lawatan, tegas beliau, di sini adalah bahawa puasa merupakan penyebab mereka (orang yang berpuasa) boleh sampai kepada Allah SWT. Lawatan kepada Allah SWT ditandai dengan meninggalkan seluruh kebiasaan yang selama ini dilaksanakan  (contoh makan, minum, mendatangi isteri di siang hari) serta menahan diri dari rasa lapar dan dahaga.

Sayyid Muhammad cuba mentafsirkan ayat 10 dalam Surah Az Zumar : “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” 

Orang-orang yang bersabarlah maksudnya adalah orang yang berpuasa sebab puasa adalah nama lain dari sabar. Di saat berpuasalah, orang-orang yang bersabar (dalam beribadah puasa) memperoleh ganjaran dan pahala yang tidak terhitung banyaknya dari Zat Yang Maha Pemberi, Allah SWT.

Kelapan, di saat puasa inilah Allah SWT memberi keistemewaan dengan menjadikan segala aktiviti orang yang berpuasa sebagai ibadah dan ketaatan kepada-Nya. Kerana  orang yang berpuasa dan ia meninggalkan ucapan yang tidak berguna (diam) adalah ibadah serta tidurnya dengan tujuan agar kuat dalam melaksanakan ketaatan di jalan-Nya juga ibadah. 

Dalam satu hadis  riwayat Ibnu Mundih dinyatakan, Nabi SAW bersabda maksudnya : “Diamnya orang yang berpuasa adalah tasbih, tidurnya merupakan ibadah, dan doanya akan dikabulkan, serta perbuatannya akan dilipatgandakan (pahalanya).”

Kesembilan, di antara cara yang Allah SWT kenakan dalam memuliakan orang yang berpuasa, bahawa Allah SWT menjadikan orang yang memberi makan berbuka puasa pahalanya sama seperti dengan orang yang berpuasa itu sendiri walaupun dengan sepotong roti atau seteguk air. 

Dalam satu riwayat Nabi SAW. bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala yang seperti orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun.” (Hadis Tirmidzi, Ahmad dan An-Nasa’i)   

Malaikat meminta ampun kepada Allah SWT untuk orang yang menjamu makanan dan minuman untuk orang yang berpuasa. Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : " Seseorang yang memberi makan orang yang puasa dari hasil yang halal, akan dimintakan ampunan oleh malaikat pada malam-malam Ramadan meski pun hanya seteguk air. (Hadis Riwayat  Abu Ya`la).

Kesepuluh, orang yang berbuka puasa dengan berjemaah demi melihat keagungan puasa, maka para malaikat akan berselawat (memintakan ampunan) baginya.

472. Soalan : Sesiapa yang tidak mampu berpuasa kerana sakit yang kritikal perlu membayar fidyah puasa. Bolehkan ustaz terangkan apakah dia fidyah dan syarat-syarat yang dikenakan fidyah?

Fidyah berkait rapat dengan ibadah puasa di mana ada beberapa sebab dalam puasa wajib yang jika ditinggalkan akan dikenakan fidyah iaitu :

1. Meninggalkan puasa kerana tua atau lanjut usia.

2. Sakit kronik berpanjangan dan tiada harapan untuk sembuh. 

3. Wanita hamil dan yang menyusukan anak terpaksa meninggalkan puasa serta menangguhkan qada' puasa sehingga tiba Ramadan berikutnya.

Fidyah adalah satu bentuk ibadah niyabah (gantian) yang diberi pahala kepada pelakunya. Hukum menyempurnakan ibadah yang tidak sempurna adalah wajib, maka justeru itu hukum fidyah adalah wajib seperti ditentukan syarak. 

Firman Allah SWT bermaksud: “…Dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 184).

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan yang belum diqada'nya, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari ditinggalkan bagi pihaknya.” (Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Terdapat beberapa keadaan di mana seseorang itu dikenakan fidyah apabila meninggalkan puasa atau sebaliknya:

1. Seseorang yang meninggalkan puasa kerana bermusafir atau sakit, maka wajib ke atasnya mengqada' puasa sebelum datangnya Ramadan tahun berikutnya dan jika dilaksanakan dalam keadaan sedemikian maka tiada dikenakan fidyah.

2. Seseorang yang menangguhkan qada' puasanya sehingga tiba Ramadan berikutnya kerana cuai atau tidak mengambil berat, maka dia dikira berdosa dan diwajibkan membayar fidyah berserta qada' puasa mengikut bilangan hari ditinggalkan.

3. Seseorang sakit berterusan hingga masuk Ramadan yang lain, dia wajib mengqada' puasanya saja tanpa dikenakan fidyah.

4. Sekiranya seseorang itu mati sebelum berkemampuan atau berkesempatan mengqada' puasanya bukan disebabkan cuai atau sebagainya, maka dia tidak berdosa dan tidak perlu meminta orang lain mengqada' bagi pihaknya serta tidak diwajibkan membayar fidyah bagi puasa ditinggalkannya.

5. Sesiapa yang mati selepas mampu mengqada' puasanya, maka walinya (bapa, datuk atau ahli keluarganya) disunatkan mengqada hari-hari ditinggalkan bagi pihaknya.

Orang lain yang berpuasa bagi pihaknya adalah sah apabila mendapat keizinan salah seorang ahli keluarga terdekatnya. Jika dia berpuasa tanpa mendapat keizinan dan wasiat daripada si mati, maka puasa ganti itu tidak sah.

6. Jika tiada seorang pun berpuasa bagi pihak si mati, maka hendaklah dikeluarkan satu cupak makanan bagi setiap hari ditinggalkannya. Makanan itu wajib dikeluarkan daripada harta pusaka ditinggalkannya, sama seperti hutang. Sekiranya dia tidak memiliki harta, maka orang lain boleh mengeluarkan bagi pihaknya dan terlepaslah dosanya.

7. Seseorang meninggalkan puasa kerana tua atau lanjut usia, sekiranya dengan berpuasa akan membawa kesulitan kepadanya, maka wajib membayar fidyah saja berdasarkan kesepakatan ulama.

8. Seseorang yang tidak berkemampuan untuk berpuasa, sekiranya dia tidak berkemampuan juga untuk membayar fidyah maka tiada apa-apa dikenakan ke atasnya.

9. Seseorang yang mengalami sakit kronik berpanjangan dan tiada harapan untuk sembuh, maka wajib membayar fidyah dengan kesepakatan ulama, kerana puasa tidak lagi diwajibkan ke atasnya.

10. Wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak, jika meninggalkan puasa kerana bimbangkan keselamatan anaknya, maka wajib membayar fidyah berserta dengan qada' puasa mengikut jumhur ulama.

11. Sebaliknya, jika dia meninggalkan puasa kerana bimbangkan keselamatan dirinya sendiri, maka dia boleh berbuka puasa dan diwajibkan qada' puasa saja tanpa perlu membayar fidyah.

Menurut pandangan paling sahih dalam Mazhab Syafii, bayaran fidyah berganda dengan bergandanya tahun. Manakala menurut Mazhab Maliki dan Hanbali, bayaran fidyah tidak berganda mengikut tahun kerana ia dikira sekali gus saja.

Bayaran fidyah boleh ditunaikan sepanjang hidup. Namun, lebih baik mempercepatkan pembayarannya sekadar termampu dan seboleh-bolehnya ditunaikan dalam Ramadan kerana pahala pada bulan itu lebih banyak berbanding bulan lain. Wallahu 'alam.

473. Soalan : Saya ada kemusykilan mengenai bab puasa, ibu sahabat saya telah meninggal 3 tahun lepas, tetapi telah sakit dan uzur 2 tahun sebelumnya dan tidak larat untuk puasa. Persoalannya ialah:

1. Jika anak-anak mahu menggantikannya, bolehkah dibahagi-bahagikan contohnya 60 hari dibahagi kepada 6 orang anak, yakni setiap seorang ganti 10 hari?

2. Jika kita bayar fidyah? Adakah anak-anak masih kena puasa juga? Yakni bayar fidyah+ganti puasa? Atau hanya perlu membayar fidyah dan tidak perlu ganti puasa.
Diharapkan ustaz dapat memberikan sedikit pencerahan. 

Qada’ puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia ini ada 2 keadaan :-

1. Seseorang yang belum sempat mengganti puasanya oleh kerana dia berada di dalam keuzuran ketika itu seperti sakit, atau musafir, maka jumhur ulama’ mengatakan, dia tidak memikul apa-apa tanggungan dan tidak dikira berdosa. Dengan kata lain, tidak perlu qada' puasa, kerana baginya, puasa adalah sesuatu kefarduan yang belum sempat ditunaikannya.

2. Jika dia mati dalam keadaan dia boleh mengerjakan puasa ganti, Menurut Mazhab Hanbali, hukum menggantikan puasa bagi waris adalah sunat ataupun mustahab (digalakkan). Menurut Mazhab Syafie (Qaul Jadid) dan Mazhab Hanbali, Wali wajib memberi makan bagi setiap puasa yang ditinggalkannya dengan secupak makanan [al-Fiqh al-Islami, cet ke 3, 2/681]. (Ukuran secupak beras secara lebih kurang sebanyak 670 gram.)

Soalan 1 : Hadis dari ‘Aisyah ra :-
“Barangsiapa yang mati dan masih menanggung puasa, maka berpuasalah bagi pihak oleh walinya” -[Hadis Muttafaq 'alaih, al-Lu'lu' wa al-Marjan, ms 704].

Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan bahawa pewaris hanyalah sunat atau mustahab mengqada’kan bagi pihak ibu atau bapa yang telah meninggal. Waris itu termasuklah anak-anak yang bersedia berpuasa bagi pihak ibu-bapanya. 

Sebagaimana yang dinyatakan, jika dibahagi-bahagikan puasa yang terhutang sebanyak 60 hari dengan 6 orang anak, maka setiap anak bolehlah melakukan 10 hari puasa qada’ bagi pihak ibunya.

Soalan 2 : Sebagaimana yang kami nyatakan diatas, maka bolehlah membayar fidyah keatas hari-hari yang ditinggalkannya. 

Berkata Syiekh al-Qaradawi :-

“Boleh memberi makan kepada fakir miskin bagi pihak si-mati, dengan menggunakan harta peninggalannya, sebanyak hari-hari yang ditinggalkannya, dengan dalil bahawa hutang kepada Allah dibayar dengan peninggalannya (hartanya), hutang kepada lebih berhak dibayarkan”. [Fiqh al-Shiyaam, ms 76].

Jawatan Kuasa tetap fatwa Arab Saudi pernah ditanya mengenai seorang wanita tua yang tiada berupaya berpuasa didalam bulan Ramadan. Wanita tersebut berkeadaan terlalu tua dan sakit selama 3 tahun. Apa yang perlu dilakukan? Jawabnya :

“Jika begitu situasi yang dijelaskan, wanita tersebut wajib memberi makan kepada orang miskin pada setiap hari yang dia tidak berpuasa pada bulan Ramadan pada masa 3 tahun tersebut, dengan memberi 1/2 saa’ gandum, kurma, beras, jagung atau apa sahaka makanan ruji (asasi) yang anda memberi makan kepada keluarga.” – [al-Lajnah al-Daa'imah 10/161].

Kesimpulannya, hendaklah membayar fidyah sebanyak hari yang ditinggalkan, dan tidak perlu lagi mengqadha’kan puasa tersebut. Wallahu 'alam

474. Soalan :  Apakah kita dibolehkan memberus gigi selepas waktu subuh ketika berpuasa?

Sengaja bersugi atau memberus gigi dalam berpuasa dengan benda basah atau kering tidaklah membatalkan puasa. Tiada ada perselisihan para ulama dalam masalah ini. Namun menurut Imam Syafei memakruhkan memberus gigi setelah tergelincir matahari
dengan tujuan untuk menghilangkan bau mulut. 

475. Soalan: Bagaimana pula jika kita sudah terbiasa memasukkan air ke dalm hidung ketika mengambil air sembahyang? Begitu juga, ketika mandi wajib selepas masuk waktu subuh kerana berjimak di malam sebelumnya, kita dikehendakki meratakan air ke seluruh kulit. Bagaimana kita hendak meratakan air ke dalam cuping telinga? Dikhuatiri air akan termasuk ke dalam telinga.? 

Memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk pada bulan Ramadan tidaklah membatalkan puasa, kerana memasukkan air disini bukanlah menyedutnya hingga ke dalam tetapi cukup saja dengan membersihkan rongga hidung tersebut. Begitu juga dengan membasuh telinga, cukup membasuh diluarnya saja tidaklah sampai memasukkan air ke dalam rongga telinga bagi menghilangkan dahaga. 

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML