Sunday, February 16, 2014

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 44

Soal Jawab Agama Siri 44 (Ciri-ciri Sahabat Yang Baik, Kelebihan Membaca dan Mempelajari al-Quran Dan Lain-lain)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 44 adalah menjawab persoalan ciri-ciri sahabat yang baik, kelebihan membaca dan mempelajari al-Quran, kepercayaan kurafat, kelebihan imam dan muazin dan kelebihan bulan Ramadan.

506. Soalan : Setiap manusia perlu kepada sahabat-sahabat yang baik untuk bersama-sama mengharungi kehiudpan setiap hari. Apakah ciri-ciri sahabat yang baik menurut pandangan Islam.

Apabila kita mencari sahabat perlulah mencari sahabat yang boleh bersama-sama membantu kita untuk berbahagia di dunia dan akhirat.

Ini bertepatan dengan maksud sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh dan orang yang jahat adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.” (Hadis Riwayat Bukhari dari Abu Musa r.a ) 

Ibnu Hajar Al Asqolani mengatakan, “Hadis ini menunjukkan larangan bersahabat dengan orang-orang yang dapat merosakkan agama maupun dunia kita. Dan hadis ini juga menunjukkan dorongan agar bergaul dengan orang-orang yang dapat memberikan manfaat dalam agama dan dunia." (Fathul Bari, Ibnu Hajar Al Asqolani, 4/324, Darul Ma’rifah, Beirut, 1379)

Ciri-ciri sahabat yang baik adalah :
  
1. Mengasihi saudara sesama Islam semata-mata kerana Allah SWT
2. Mengucap salam bila bertemu
3. Sentiasa menziarahi terutama ketika sakit
4. Sentiasa saling mendoakan
5. Menolong ketika kesempitan
6. Memenuhi jemputan
7. Memberi ucapat tahniah dan takziah
8. Saling memberi hadiah
9. Tidak memutuskan silaturahim dan memulaukan
10. Bertolak ansur dan saling memaafkan
11. Bermanis muka bila bertemu
12. Sentiasa jujur dan ikhlas inginkan kebaikan sesama saudara seIslam
13. Memberi tempoh yang diperlukan untuk dia membayar balik hutangnya
14. Bersangka baik dan tidak mudah mempercayai berita fitnah mengenai dirinya
15. Membantunya mencarikan pasangan hidup yang baik jika dia belum berumahtangga.

507. Soalan : Apakah kebaikan dan kelebihan membaca dan mempelajari al-Quran?

Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang mahu mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain."   (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Muslim meriwayatkan daripada Abu Umamah r.a., beliau berkata: " Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya: " Bacalah al-Quran, kerana pada hari kiamat kelak dia akan datang memberikan syafaat kepada pembacanya" (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis  yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya :"Tidak boleh ada iri hati, kecuali dalam dua perkara, iaitu terhadap seseorang yang diberi kemampuan menghafal al-Quran, lalu ia membacanya, baik pada malam hari mahupun siang hari; dan terhadap seseorang yang dikurniakan harta oleh Allah, lalu ia infakkan, baik pada malam hari mahupun siang hari."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )

508. Soalan : Terdapat banyak kepercayaan kurafat masyarakat kita seperti  
Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut : 
1. Mempercayai bulan safar membawa sial dan bala bencana. 2. Mempercayai burung hantu berbunyi diwaktu malam akan ada orang nak mati atau ada bala bencana. 3. Percaya bahawa apabila hujan panas ada orang nak mati. 4. Percaya kalaulah cicik berbunyi maknanya betullah cakap kita. 5. Biawak lintas jalan ada petanda urusan hari itu gagal tak boleh diteruskan. Jika diteruskan akan gagal. 6. Bila ada kupu-kupu masuk rumah akan ada tetamu nak datang ke rumah. dan lain-lain lagi.
Bagaimana pandangan Islam mengenai kepercayaan tersebut?


Islam adalah agama yang suci dan bersih daripada kepercayaan karut dan kurafat. 

Kita wajib membuangkan segala bentuk kepercayaan orang-orang melayu yang tidak ada nas dalam al-Quran dan hadis Nabi S.A.W. kerana semua perkara ghaib mestilah ada nas dan rujukkan kepada dua sumber tersebut. 

Sabda Nabi S.A.W. yang maksudnya :  " Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya kamu tidak akan sesat, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan al-Sunnah Rasul-Nya." (Hadis Riwayat Malik) 

Perlu ditegaskan bahawa Islam amat menitikberatkan persoalan akidah, syariah dan akhlak dalam kehidupan muslim seharian. Oleh itu, apa saja amalan, perkataan dan kepercayaan yang tidak berasaskan kepada sumber yang dijelaskan di atas adalah ditolak. Ini berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud, “Dan berjaga-jagalah kamu. Jauhkanlah diri kamu daripada perkara baru (bidaah) kerana setiap perkara yang diadakan itu bidaah, dan setiap bidaah itu sesat. (Hadis riwayat Abu Dawud) 

Rasulullah S.A.W. menyatakan melalui sabdanya yang bermaksud: "Tidak ada penularan penyakit (tanpa izin Allah), tidak ada penentuan nasib dengan burung, tiada kemudaratan burung hantu, dan tiada bala bencana bulan Safar". (Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Sabda Nabi S.A.W. bermaksud: “Barangsiapa datang kepada tukang tenung (bomoh), kemudian dia membenarkan perkataannya, maka sembahyangnya tidak diterima oleh Allah selama 40 hari.”(Hadis Riwayat Muslim). 

Tambahan daripada itu, Rasulullah S.A.W. juga mengingatkan bahawa orang yang mempercayai keburukan itu datangnya daripada sesuatu selain daripada Allah adalah syirik, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Menyandarkan keburukan kepada sesuatu adalah syirik, dan tidak termasuk dalam golongan kami melainkan orang yang beriman sahaja, dan Allah akan menghilangkan syirik itu dengan tawakkal".
(Hadis Riwayat Ibnu Majah). 

509. Soalan : Apkah kelebihan menjadi imam solat berjemaah dan menjadi muazin (melaungkan azan)?

Muazzin (tukang azan) itu juga merupakan pemegang amanah (amin). Manakala menjadi imam itu adalah penjamin (dhamin). Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kebaikan di sisi Allah SWT. 

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam maksudnya: “Imam-imam itu dhumana (menjamin sembahyang makmumnya) dan orang-orang yang azan itu umana (amanah atas waktu sembahyang) maka Allah memberi petunjuk kepada imam-imam dan mengampunkan orang-orang yang azan.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban) 
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Maka azanlah untuk kamu oleh salah seorang di kalangan kamu, kemudian hendaklah yang mengimamkan kamu itu orang yang akhbar (berilmu) di kalangan kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) 
Selain itu, banyak lagi disebutkan di dalam hadis mengenai kelebihan-kelebihan azan dan iqamah dan orang yang melaungkannya. Antaranya ialah: 

1. Sehingga Orang Sanggup Berundi Untuk Medapatkannya . 

Hadis daripada Abu Hurairah katanya maksudnya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Seandainya manusia mengetahui tentang apa (kelebihan) dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak akan mendapatkannya melainkan dengan mereka berundi, nescaya mereka akan berundi. Seandainya mereka mengetahui apa (kelebihan) pada at-tahjir (sembahyang zohor di awal waktu) nescaya mereka akan berlomba-lomba mendapatkannya. Seandainya mereka mengetahui apa (kelebihan) pada al-‘atamah (sembahyang isyak) dan subuh nescaya mereka mendatanginya walaupun dengan merangkak-rangkak.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

2. Dipohonkan Ampun Dan Mendapat Pahala Sepertimana Pahala Orang Yang Bersembahyang Dengannya. 

Hadis daripada al-Bara’ bin ‘Azib katanya maksudnya: “Bahawasanya Nabi Allah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya Allah dan MalaikatNya mengucapkan selawat kepada (makmum-makmum) di baris hadapan. Sementara orang yang azan akan dipohonkan ampun baginya sejauh suaranya dan akan dipersaksikan dia  oleh sesiapa yang mendengarnya daripada tumbuhan yang hidup dan kering dan baginya pahala seperti pahala sesiapa yang bersembahyang bersamanya.” (Hadis riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie)


510. Soalan : Apakah kelebihan bulan Ramadan?


Sabda Rasulullah SAW :

    قَدْ جَاءَكُمْ رَمَضَانُ, شَهْرٌ مُبَارَكٌ, كَتَبَ اللهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ, فِيْهِ تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةُ وَتُغْلَقُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَحِيْمِ وَتُغَلُّ فِيْهِ الشَّيَاطِيْنُ. فِيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ. مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ

Maksudnya : “Telah datang kepadamu Ramadan, bulan yang diberkati. Allah telah mewajibkan atas kalian berpuasa di dalamnya; pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan diikat; juga terdapat dalam bulan ini malam yang lebih baik dari seribu bulan, barangsiapa terhalangi dari kebaikannya maka dia telah terhalangi (dari kebaikan).” (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan an-Nasa-i)

Sabda Nabi SAW tentang kelebihan menghidupkan malam-malam bulan Ramadan :

    عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – قَالَ « مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ » 

Maksudnya :  “Abu Hurairah r.a. berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang menghidupkan Ramadan kerana iman dan mengharap keredhaan Allah maka diampuni dosa-dosa yang telah lalu”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML