Sunday, February 9, 2014

RAHMAT ALLAH

Rahmat Allah SWT Berada Bersama Jemaah Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW. bersabda maksudnya : "Barang siapa berpecah belah, maka dia bukanlah dari golongan kami (bukan umat Nabi Muhammad SAW). Rahmat Allah berada bersama-sama dengan jemaah dan sesungguhnya serigala hanya akan memakan kambing yang menyendirikan diri." (Hadis Riwayat Tabarani)

Berdasarkan hadis diatas terdapat tiga perkara pokok untuk dihuraikan :

Pertama : Barang siapa berpecah belah, maka dia bukanlah dari golongan kami (bukan umat Nabi Muhammad SAW).

Kedua : Rahmat Allah berada bersama-sama dengan jemaah.

Ketiga : Sesungguhnya serigala hanya akan memakan kambing yang menyendirikan diri.

Huraiannya :

Pertama : Barang siapa berpecah belah, maka dia bukanlah dari golongan kami (bukan umat Nabi Muhammad SAW).

Nabi SAW tidak akan mengaku sebagai umatnya apabila berlaku pecah belah di kalangan umat Islam. Apa saja perbuatan yang boleh mendatangkan salah faham dan timbul syak wasangka dikalangan umat Islam maka ianya dikira sebagai memecah belahkan umat.

Termasuk juga dianggap berpecah belah apabila ada di kalangan umat Islam telah menjauhkan diri daripada kebenaran dan petunjuk lalu dia menghina ulama dan pemimpin Islam dan membenci amal-amal Islami yang dijalankan. Memecah belahkan perpaduan umat Islam dengan menaburkan fitnah, mendatangkan huru-hara, mengadu domba, mengaibkan orang lain, mengumpat dan menimbulkan kebencian sesama umat Islam. Perkara kecil diperbesarkan semata-mata untuk membalas dendam sikap seperti ini adalah sikap orang fasik.

Nabi SAW memberi ancamannya yang keras kepada umatnya yang tidak menjaga lidahnya dan suka membuat "road show" untuk menjatuhkan orang lain kerana hasad dengki, iri hati, ego, sombong dan sifat ujub yang bersarang di dalam hatinya. Apabila fakta-fakta yang diberikan tidak tepat dan tidak ada bahan bukti yang sahih , ianya lahir daripada emosi yang tidak terkawal (marah) untuk menghukum seseorang maka perkara ini di anggap fitnah.

Terdapat beberapa hadis yang melarang sama sekali perbuatan fitnah memfitnah (untuk memecah belahkan umat Islam) :

1. Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tidak akan masuk syurga pembawa fitnah"
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Nabi SAW pernah bertanya sahabatnya: "Adakah aku belum pernah menerangkan kepadamu orang yang paling jahat daripada kamu?" Sahabat menjawab: "Belum!", lalu Nabi bersabda bermaksud: "Mereka yang berjalan ke sana ke mari membawa fitnah, mereka yang membuat kerosakan antara sesama sahabat dan mereka yang mencari-cari kekurangan pada orang yang tidak bersalah." (Hadis riwayat Ahmad)

3. Nabi SAW bersabda maksudnya : "Yang paling dikasihi oleh Allah di antara kamu adalah : mereka yang baik akhlak, yang merendahkan sayapnya (diri), yang suka dengan orang dan yang disukai orang. Manakala yang dimurkai oleh Allah adalah : mereka yang pergi membawa fitnah, yang menceraiberaikan di antara saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah akan kesalahannya" (Hadis riwayat Tabharani dan Abu Hurairah r.a.)

4. Abu Zhar Al-Ghiffari berkata, Rasullullah SAW. bersabda :"Barangsiapa menyiarkan terhadap orang muslim satu perkataan untuk memalukannya dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat"
(Hadis riwayat Ibnu Abid Dunya)

5. Abu Darda berkata : Rasulullah SAW. bersabda "Laki-laki manapun yang menyiarkan terhadap seseorang satu perkataan di aman orang itu terlepas (tiada tersangkut dengan perkataan tersebut), untuk memalukannya di dunia, nescaya berhak Allah menghancurkan laki-laki itu pada hari kiamat dalam api neraka".

Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa tukang fitnah tidak dapat dipercayai kata-katanya dan tidak diterima sedekahnya. Sesungguhnya fitnah ditegakkan di atas kedustaan, kedengkian dan kemunafikan. Kesemua sifat ini adalah tungku dapur kehinaan.

Kedua : Rahmat Allah berada bersama-sama dengan jemaah.

Allah SWT akan sentiasa memberi rahmatnya kepada jemaah Islam yang berusaha untuk menegakkan hukum-hukum Allah SWT, mengahyati ajaran Islam dan berusaha untuk melaksanakan kerja-kerja amal makruf dan mencegah kemungkaran. Seseorang yang telah terkeluar daripada Jemaah Islam (kerana melanggar peraturan) perlulah kembali kepangkuan jemaah bukannya terus keluar dan menabur fitnah.

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab." (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

Ketiga : Sesungguhnya serigala hanya akan memakan kambing yang menyendirikan diri.

Sesiapa yang telah terkeluar daripada jemaah ianya umpama kambing yang terkeluar daripada kandangnya maka amat mudah ianya di baham oleh serigala yang berada diluar kandang kambing.

Memang benar suasana diluar terdapat banyak serigala-serigala yang berkeliaran iaitu orang-orang fasik, munafik dan kafir  yang akan mengambil kesempatan untuk memecah belahkan perpaduan jemaah dan umat Islam . Mereka tidak akan duduk diam akan mencari peluang dan akan menggunakan orang yang telah kecewa untuk dijadikan "tokoh" untuk menyekat tarbiah, dakwah dan amal Islami . Akhbar arus perdana akan mengambil peluang keemasan ini untuk menghidupkan "fitnah-fitnah baru" yang menjadi bahan-bahan berita yang sensasi. Sedangkan mereka tidak sedar bahawa mereka sedang mempromosikan diri merka dan umat Islam yang tidak berdosa untuk menjadi "muflis" di hari akhirat.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama berhati-hati dan berwaspada di atas segala berita dan peristiwa yang berlaku disekeliling kita supaya tidak terhapus segala amal ibadah, amal soleh dan amal kebaikan yang telah kita lakukan sepanjang hidup kita. Amat malang dan rugi sekiranya sekian lama kita beramal soleh tiba-tiba ianya di hapuskan hanya dengan berita fitnah dan berita palsu yang kita dengar samaada melalui media massa , internet, TV, radio dan sembang-sembang dikedai kopi. Syaitan amat suka semakin ramai anggota masyarakat kita menjadi agen membawa fitnah kerana syaitan tidak payah bekerja keras kerana mereka semuanya tidak dapat masuk syurga  dan menjadi kawannya di neraka. Berdoalah kita semuga Allah SWT selamatkan kita daripada fitnah dunia akhir zaman yang menjauhkan kita daripada rahmat Allah SWT.
Read More

RAHSIA ALLAH

Enam Rahsia Allah SWT Kepada Hamba-hamba-Nya

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya . Nikmat dan rahmat Allah SWT yang telah dikurniakan-Nya ketika di dunia ini terlalu banyak hingga manusia tidak akan mampu membalasnya. Nikmat yang paling besar Allah SWT kurniakan kepada kita adalah nikmat iman dan Islam. Dengan nikmat ini kita menjadi mulia di dunia ini dan menjadi umat terbaik dan di hari akhirat nanti kita akan mendapat balasan dan nikmat syurga yang tiada tolok bandingnya.

Terdapat enam rahsia Allah SWT tidak diberitahu-Nya kepada manusia semata-mata sebagai ujian untuk manusia meneruskan amal-amal soleh yang berterusan tanpa rasa ragu-ragu, kecewa dan bangga diri.

Sayyidina Umar bin Al-Khattab r.a berkata :

Pertama : Allah menyembunyikan keredaan dalam ketaatan.

Allah tidak menzahirkan penerimaan atas amalan-amalan ketaatan yang kita persembahkan  kepadaNya supaya kita tidak kecewa diatas amalan tersebut dengan hikmah agar kita terus melakukan amalan tersebut,walaupun terdapat sedikit kecacatan yang kita tidak ketahui.

Dalam satu hadis Qudsi Allah berfirman yang bermaksud: “Ikhlas adalah satu rahsia dalam rahsia-rahsia-Ku. Aku titiskan ia dalam hati hamba-hambaku yang Aku mangasihinya” (Riwayat Abu Hasan Al Basri)

Kerana ikhlas satu rahsia Allah tentu tidak mungkin kita dapat mengetahui siapa yang ikhlas dan siapa yang tidak. Malah diri kita sendiri pun mungkin kadang-kadang susah untuk dipastikan apakah amalan kita itu ikhlas atau sebaliknya. 

Bagi orang-orang yang ikhlas, pujian dan kejian tidak pernah difikirkan apalagi hendak di harapkan. Mereka sangat takut kalau-kalau Allah menolak amalan dan memurkai mereka. Sebaliknya mereka sangat ingin Allah menerima baik amalan-amalan mereka serta meredaai mereka. Mereka sanggup mengetepikan kepentingan sendiri dalam usaha mencari keredaan Allah. Mereka tidak bimbang nasib diri, rugi atau untung, orang keji atau puji, menang atau kalah, yang penting supaya Allah menerima baik amalan mereka.

Rasulullah SAW kerana menganjurkan sifat ikhlas telah bersabda yang bermaksud:“Berbuat baiklah pada orang yang berbuat jahat kepada kamu”

Seseorang yang mencari keredaan Allah, akan sentiasa mencari peluang untuk berbakti kepada-Nya. Ketika orang lain bertindak jahat pada mereka, mereka akan merasa berpeluang untuk mendapat pahala dan kasih sayang Allah. Sebab itu kejahatan orang diterima baik dan dibalas dengan kebaikan pula.

Kedua : Allah menyembunyikan kemurkaan diatas kemaksiatan kita. 

Allah tidak menarik nikmat dan kemewahan daripada seseorang, walaupun nikmat yang Allah anugerahkan kepadanya digunakan untuk kemaksiatan kerana Allah masih bersifat rahmat didunia, sedangkan sebenarnya Allah murka kepada kita.

Allah SWT. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Barang siapa memperbanyak Istighfar maka Allah akan membebaskannya dari kedukaan, dan memberinya jalan keluar bagi kesempitannya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak diduga-duga"
(Hadis Riwayat Abu Dawud).

Oleh yang demikian kita perlu selalu dan segera bertaubat. Taubat bererti kita kembali merujuk kepada Allah. Meninggalkan dosa, menyesali yang sudah terlanjur dan berazam untuk tidak mengulangi lagi serta memperbaiki amalan dengan memperbanyakkan kebaikan. Ia adalah proses pembersihan dari kekotoran. Orang yang bertaubat bersih dari segala dosa.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud : "Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak punya dosa."

Ketiga : Allah menyembunyikan kedatangan  malam Lailatul Qadar pada tarikh tertentu agar hambaNya tidak melakukan ibadat pada malam tersebut sahaja dan berpesta maksiat pada malam-malam yang lain.

Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat.

Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3. yang maksudnya :" Malam Lailatul - Qadar lebih baik daripada seribu malam "   

Maksudnya adalah kita menghidupkan malam Lailatul-Qadardengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi SAW maksudnya :" Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada
dosa-dosa yang telah lalu "

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah SAW. apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan  maksudnya : " Rasulullah SAW. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh
akhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam-malam lain. "

Oleh itu Allah menghendaki  hambaNya melakukan ketaatan dan beribadah sepanjang bulan Ramadan (utamakan 10 malam terakhir) dan sepanjang hayatnya.

Keempat : Allah menyembunyikan wali-wali Allah  atau hambaNya yang dikasihi supaya manusia tidak menghina atau menyembah wali-wali tersebut.

Dari Abu Hurirah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Allah Ta’ala berfirman, barang siapa memusuhi wali-Ku maka aku izinkan untuk diperangi. Tidaklah seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan suatu amal ibadah yang lebih aku cintai dari pada perkara yang Aku wajibkan. Hamba-Ku akan senantiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan sunnah hingga Aku mencintainya. Jika Aku mencintainya, Akulah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, Akulah penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, Akulah tangannya yang dia gunakan untuk berbuat, Akulah kakinya yang dia gunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepada-Ku akan Aku berikan, jika dia meminta perlindungan pada-Ku, akan Aku lindungi.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Istilah wali menurut Ahlusunnah wal Jamaah adalah setiap mukmin yang bertakwa dan bukan Nabi. Inilah definisi Wali menurut Ahlusunnah wal Jamaah iaitu bahwa Wali adalah setiap orang yang memiliki keimanan dan ketakwaan.

Kerana derajat keimanan dan ketakwaan bertingkat-tingkat, maka derajat kewalian iaitu kecintaan dan pertolongan Allah pada hamba-Nya-juga bertingkat-tingkat. Yang dimaksud dengan wali adalah orang yang senantiasa menyempurnakan keimanan dan ketakwaan sesuai dengan kemampuannya serta sebagian besar keadaannya berada dalam keimanan dan ketakwaan. Hal ini berdasarkan firman Allah SAW maksudnya : “Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa.”
(Surah Yunus ayat 62-63)

Sesungguhnya wali Allah akan dibenci oleh mereka yang bertuhankan hawa nafsu kerana wali-wali Allah tidak pernah menaruh hati sedikit pun pada tawaran-tawaran mereka.

Kelima : Allah menyembunyikan tarikh kematian hambaNya dengan hikmah agar hambaNya sentiasa berhati-hati dalam menjalani kehidupan dan tidak melakukan kemaksiatan kerana mati akan tiba pada bila-bila masa sahaja.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Surah al-Anbiyak ayat 35)

Tiada seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat kematian. Ajal tidak mengenal sesiapa sama ada mereka itu tua, muda, sihat, kaya atau miskin.

Rasulullah SAW  juga menjelaskan dalam hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak kulitnya dari daging ketika hidup-hidup. Bayangkanlah betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian.

Kalau hendak diikutkan siapa yang hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yang amat menyeksakan. Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan husnul khatimah (kematian yang baik).

Rasulullah SAW. pernah berpesan bahawa orang yang sebenarnya cerdik ialah orang yang mengingati mati, lalu dia mempersiapkan diri untuk menghadapi saat-saat itu. Jadi apabila tiba masanya dia tidaklah kelam kabut atau menyesal berpanjangan.

Jika Allah zahirkan tarikh dan tempat kematiannya pasti hamba-hambaNya tidak dapat menjalani kehidupan ini dengan lebih sempurna, lihatlah  banduan yang berada dibilik akhir sebelum dihukum gantung, mereka telah hilang akal dan melakukan perkara-perkara diluar akal kita kerana akal mereka sudah tidak berfungsi lagi.

Keenam : Allah menyembunyi solat kita yang terbaik disisiNya dengan hikmah supaya kita terus beribadat dan solat kepadaNya sepanjang hayat.

Ibnu Abbas ra. berkata: Nabi SAW. bersabda : Allah SWT. berfirman maksudnya : "Sesungguhnya Aku hanya menerima solat dari orang yang merendahkan diri kerana keagungan-Ku dan tiada menyombongkan dirinya di atas makhluk-Ku, tiada terus menerus bermaksiat pada-Ku, menghabiskan masa harinya berzikir kepada-Ku, berbalas kasih kepada orang miskin, orang musafir-ibnussabil- perempuan janda dan orang yang terkena mushibah. Ia bercahaya laksana matahari. Aku lindungi ia dengan kesabaran-Ku dan memerintahkan malaikat-Ku menjaganya. Aku berinya cahaya dalam kegelapan dan kesabaran dalam kesukaran. Ia di antara makhluk-makhluk-Ku laksana "firdaus" diantara barisan Syurga".
(Hadis Riwayat Al-Bazzar)

Sebelum Allah SWT  menerima solat seseorang hamba di hari akhirat nanti.maka Allah SWT. akan terima solat itu di dunia ini lagi.Jika Allah SWT menolak solat seseorang ketika di dunia maka solatnya tidak akan diterima apabila dipersembahkan olehnya dihadapan Allah SWT nanti. Selain daripada khusyuk dan betul dari rukun dan syarat sah solat, terdapat lima faktur lain yang akan diambil kira untuk diterima solat kita oleh Allah SWT :

1. Merendakkan diri kerana keagungan Allah SWT.

2. . Tidak bersikap sombong kepada makhluk Allah SWT.

3.. Tidak berterusan melakukan maksiat. Jika melakukan sesuatu maksiat segera beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT.

4. Menghabiskan masanya untuk sentiasa berzikir kepada Allah SWT.

5. Mengasihi orang-orang miskin, orang musafir ( ibnussabil) dan wanita janda dan orang yang ditimpa musibah (sentiasa memberikan bantuan kepada mereka).

Begitulah beberapa ciri-ciri solat kita diterima oleh Allah SWT, jika Dia menzahirkan solat yang terbaik kita lakukan berkemunginan kita rasa bangga diri dan menceritakan kepada orang lain. Itulah hikmah Allah SWT merahsiakan solat terbaik kita yang dilakukan disisi-Nya.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita pertingkatkan amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan yang kita kerjakan semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Jadikanlah enam rahsia Allah SWT yang disembunyikan-Nya kepada kita semata-mata supaya kita teruskan beribadah dengan ikhlas tanpa mengharapkan pujian daripada manusia tetapi mengharapkan keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT.
Read More

RAHSIA IBLIS

Rahsia Iblis Laknatullah .

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Seorang sahabat Nabi SAW bernama Anas b. Malik r.a. telah meriwayatkan satu hadis Nabi Muhammad SAW yang menceritakan mengenai pertanyaan-pertanyaan iblis kepada Allah SWT. tentang banyak perkara:

1. Iblis bertanya kepada Allah SWT : " Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan kepada anak Adam itu tempat tinggal, iaitu rumah untuk berzikir kepadaMu.Tunjukkanlah kepadaku tempat kediamanku." Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai iblis! tempat kediamanmu ialah bilik air (tandas). "

2. Iblis berkata : "Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan kepada anak adam itu tempat mereka berkumpul (masjid,surau) , dimanakah tempat bagiku berkumpul?." Firman Allah s.w.t yg bermaksud: "Wahai iblis! tempatmu berkumpul ialah di pasar-pasar, tampat-tempat hiburan ( pusat membeli belah, kelab malam, pesta-pesta, majlis maksiat) dan sebagainya."

3. Iblis berkata lagi :"Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan mereka anak Adam itu kitab untuk mereka membacanya. Tunjukkanlah padaku apakah bahan bacaanku?" Firman Allah SWT yang bermaksud:" Wahai Iblis, bahan bacaanmu ialah syair (sajak/lagu-lagu/ puisi yang melalaikan manusia dari mengingati Tuhan).

4. Iblis berkata :"Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan mereka cerita-cerita (kata-kata benar), apakah cerita-cerita bagiku?". Firman Allah SWT yang bermaksud: " cerita-cerita bagimu adalah kata-kata dusta ( bohong atau yang berkaitan dengannya)"

5. Iblis bertanya lagi : "Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan azan kepada anak Adam untuk mengajak atau mengumpulkan orang datang bersembahyang berjemaah, apakah azanku untuk mengumpul orang?". Firman Allah SWT  yang bermaksud: "Wahai iblis, azan untuk mu ialah seruling."

6. Tanya iblis lagi :"Ya Tuhanku! Engkau telah mengutus para utusanmu (para nabi dan rasul) kepada anak Adam, siapakah yang menjadi utusan bagiku?". Firman Allah SWT yang bermaksud:" Wahai iblis para utusanmu ialah terdiri dari dukun (peramal nasib), ataupun yang lebih kurang sama dengannya."

7. Kata iblis :"Ya Tuhanku! Engkau telah berikan kitab bertulis (ayat-ayat Al Quran) kepada anak Adam. Apakah tulisan bagiku? ." Firman Allah SWT yang bermaksud:"Wahai iblis, tulisanmu adalah tulisan gincu yang palsu dibadan, (seperti gincu, tatu, tahilalat yang diada-adakan dan yang lebih kurang sama dengannya)

8. Kata iblis :"Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikankepada anak Adam itu perangkap-perangkap . Apakah perangkap bagiku?." Allah SWT berfirman yang bermaksud :"Wahai iblis, perangkap untukmu ialah wanita-wanita. "

9. Kata iblis :"Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan makanan kepada anak-anak Adam (yang disebutkan namaMu), apakah makanan untukku?."Firman Allah SWT  yang bermaksud: "Wahai iblis, makanan untukmu ialah sesuatu yang tidak disebut nama Allah."

Read More

JAUHI RASUAH




Jauhilah Rasuah Untuk Mendapat Keredhaan Allah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasuah adalah perbuatan yang ditegah dan haram di sisi Islam. Sesiapa yang memberi dan mengambil rasuah adalah melakukan perbuatan yang haram dan di murkai oleh Allah s.w.t.

Apakah takrif rasuah dan perbuatan macamana yang termasuk dalam kategori rasuah? Rasuah ialah “Memberikan apa jua bentuk pemberian seperti hadiah dan wang tunai untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan , pertolongan , diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan dan sebagainya dengan jalan yang salah."

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya :
“Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan)”
(Hadis Riwayat Abu Daud : 2943, Dinilai oleh Albani sebagai sahih)

Begitu juga dengan sebuah riwayat yang menceritakan bagaimana Rasulullah s.a.w pernah mengutus seorang sahabat yang bernama Abdullah bin Rawahah ke Khaibar untuk melakukan penilaian dan pembahagian hasil tanaman buah kurma kerana baginda telah menetapkan bahawa hasil tanaman kurma tersebut mestilah dibahagi kepada dua bahagian : Setengah daripadanya untuk kaum Yahudi dan setengah lagi diberikan kepada kaum Muslimin.

Apabila Abdullah sedang sibuk menjalankan tugasnya , maka datanglah orang-orang Yahudi membawakan kepadanya pelbagai hadiah dari barang-barang perhiasan dan sebagainya serta berkata kepada Abdullah :

“Perhiasan ini untuk kamu wahai Abdullah, maka ringankanlah kami dan berikanlah kepada kami hasil kurma itu lebih dari separuh,” Lalu dijawab oleh Abdullah menjawab, “Wahai kaum Yahudi! Demi Allah kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!” Mendengar jawaban tersebut mereka (Yahudi) berkata, “Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak!”
(Hadis Riwayat Imam Malik, Al Muwattha':1450) 

Sahabat yang dimuliakan,
Rasuah adalah perbuatan jenayah yang telah menular dan menjadi darah daging dalam kehidupan masyarakat manusia di semua tempat. Berdasarkan laporan dalam media cetak dan elektronik di dapati pada kebiasaannya penglibatan rasuah dalam politik, sektor perkhidmatan awam, swasta dan orang awam meliputi perbuatan meminta, menawar, menerima suapan atau tuntutan palsu atau menyalahguna jawatan untuk kepentingan diri, keluarga dan puak tertentu. 

Rasuah dalam perspektif hukum Islam adalah haram. Ini berdasarkan dalil yang qat’ie iaitu al-Qur'an, as-Sunnah dan Ijmak Ulamak. Dalam al-Qur'an terdapat ayat yang menggariskan tentang rasuah berdasarkan firman Allah s.w.t.  dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: “ Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Manakala sabda Rasulullah s.a.w.  maksudnya :  “ Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api Neraka”.
(Hadis Riwayat at-Tabrani)

Berdasarkan pemerhatian, punca-punca menyebabkan berlaku rasuah ialah bernafsu besar atau sifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat, tidak bersyukur serta terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja.

Sama ada disedari atau tidak bahawa mereka yang terlibat dengan jenayah ini sebenarnya mengakibatkan beberapa kesan buruk seperti pembahagian kekayaan negara tertumpu kepada orang tertentu sahaja, meningkatkan kadar inflasi dan berleluasa kezaliman dalam masyarakat. Dengan demikian golongan yang paling malang dan rugi ialah golongan yang berpenat lelah mencari rezeki halal menggunakan tulang empat kerat seperti para petani, nelayan, penoreh getah, buruh kasar dan kumpulan dhaif yang lain . 

Apakah kesan yang negatif akan berlaku sekiranya jenayah rasuah ini berleluasa di dalam masyarakat kita?

Kesan-kesannya adalah seperti berikut:

1. Tidak akan berlaku keadilan di dalam keputusan perbicaraan dimahkamah. Mereka yang tidak bersalah akan dizalimi dan penjenayah akan terlepas daripada hukuman yang patut diterima.

2. Barang-barang penyeludupan dapat masuk dengan mudah dan negara akan kerugian untuk mendapatkan cukai barangan import.

3. Para penjenayah akan terlepas dengan mudah tanpa didakwa dimahkamah.

4. Keselamatan negara akan terancam apabila ada pihak tertentu menjual maklumat negara kepada pihak luar dan menjadi 'musuh dalam selimut'

5. Kualiti sesuatu projek pembangunan akan berkurangan dan mugkin boleh membahayakan keselamatan pengguna apabila ianya tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

6. Rakyat akan memiliki pemimpin yang rendah akhlaknya dan tidak beramanah kerana terpaksa memilih mereka disebabkan terpengaruh dengan habuan yang diberikan.

Rasuah adalah perbuatan haram yang boleh mengakibatkan tertolaknya ibadah solat dan do'a kita. Alangkah ruginya kita disebabkan perbuatan rasuah ibadah dan do'a kita menjadi sia-sia, justeru akan menjauhkan kita daripada mendapat rahmat Allah s.w.t.. 

Lebih membimbangkan lagi jika kita tidak segera membanteras penyakit rasuah boleh menyebabkan kita terdedah dengan pelbagai malapetaka dan bencana dalam kehidupan, akibat kemurkaan Allah seperti firman Allah s.w.t. dalam surah Ali Imran ayat 112:
Maksudnya: “Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpa kemiskinan. Yang demikian itu, disebabkan mereka ingkar akan ayat-ayat Allah, dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas.” 

Jika ketua keluarga membawa wang haram hasil daripada rasuah dan memberi makan anak isterinya maka wang haram ini mengakibatkan do'a-do'a  mereka terhijab dan tidak akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t. dan daging yang tumbuh daripada harta yang haram lebih layak menjadi bahan bakar api Neraka. 

Pada suatu hari Saad bin Abi Waqqas bertanya kepada Rasulullah s.a.w. : "Ya Rasulullah, do'akan aku kepada Allah agar aku dijadikan Allah orang yang makbul do'anya." Rasulullah s.a.w. menjawab, "Hai Saad, makanlah yang baik (halal) tentu engkau menjadi orang yang makbul do'anya. Demi Allah yang memegang jiwa Muhammad, sesungguhnya seorang yang pernah melemparkan sesuap makanan haram ke dalam mulutnya (perutnya), maka tidaklah akan dikabulkan do'anya selama 40 hari. Siapa saja manusia yang dagingnya tumbuh dari makanan yang haram, maka Nerakalah yang berhak untuk orang itu."
(Hadis Riwayat  Alhaafidh Abubakar bin Mardawih dikutip oleh Alhaafidh Ibnu Kathin dalam tafsirnya).

Sebagaimana dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, menceritakan sorang lelaki yang bermusafir menadah tangan memohon doa kepada Allah s.w.t., lantaran Rasulullah menegaskan bagaimanakah mahu diperkenankan do'anya, sedangkan makannya dari benda yang haram, minumannya haram, pakaiannya juga haram dan dia dibesarkan dengan memakan makanan yang haram.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan cara melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya di samping berusaha mencari kehidupan yang diberkati dan diredhai serta hidup kita dengan berbekalkan sumber rezeki halal dan dapat menjauhkan diri daripada memberi dan menerima rasuah. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi insan yang beruntung di dunia dan akhirat.
Read More

GAMBAR HIASAN


Raut Muka Yang Mendamaikan

Abu Yazid Al-Busthami, seorang ahli sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya selalu berkerut. Dengan murung lelaki itu mengadu, "Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah lepas saya beribadah kepada Allah. Orang lain sudah lelap, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas dalam mencari rezeki tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?."


Sang Guru menjawab sederhana, "Perbaiki penampilanmu dan ubahlah raut mukamu. Kau tahu, Rasulullah s.a.w. adalah penduduk dunia yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria. Sebab menurut Rasulullah s.a.w., salah satu tanda penghuni Neraka ialah muka masam yang membuat orang curiga kepadanya."


Lelaki itu tunduk. Ia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya. Wajahnya sentiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh. Alhamdulillah, sesudah itu dia tidak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah.


Memang Allah telah mentakdirkan manusia sebagai makhluk yang paling indah. Bentuknya begitu sempurna, sehingga dipandang dari sudut manapun manusia kelihatan cantik dan serasi. Untuk itu hendaklah kurnia ini jangan dinodai dengan penampilan yang buruk, sebagaimana kata Rasulullah s.a.w., "Sesungguhnya Allah itu indah dan mencintai keindahan."


Namun demikian tidak bererti Islam mengajarkan kemewahan. Islam justeru menganjurkan kesederhanaan. Baik dalam berpakaian, menghias tubuh maupun pada tindakan dalam kehidupan seharian. Nabi s.a.w. walaupun memakai jubah yang luntur warnanya, tetapi sentiasa bersih.


Sayyidina Umar bin Khattab walaupun jawatannya khalifah, pakaiannya sangat sederhana dan tidak nampakkan tanda kebesaran diri. Tetapi kerapian berpakaian selalu dijaga. Sikapnya ramah, wajahnya sentiasa mengukir senyum. Raut mukanya berseri. Tidak hairanlah jika Imam Hasan Al-Basri berpendapat, awal keberhasilan suatu pekerjaan adalah raut muka yang ramah dan penuh senyuman. Rasulullah juga pernah bersabda bahawa senyuman adalah sedekah paling murah tetapi besar pahalanya.
Read More

RAUT WAJAH ORANG MUKMIN

Raut Wajah Orang Mukmin Sentiasa Ceria dan Mendamaikan

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dalam kehidupan seharian, kita sering merasa penat dan letih dengan tugas harian, dengan disertai berbagai masaalah kehidupan megakibatkan perasaan tekanan dan ketegangan.

Untuk boleh  lepas dari keadaan seperti ini kita perlu membagi waktu khusus guna melakukan senaman dan berehat untuk mencari ketenangan, sehingga jiwa kita pun menjadi lebih ceria dan bersemangat kembali. Sebagaimana tubuh yang memerlukan makanan  dan vitemin, jiwa manusia pun memerlukan kerehatan, ketenangan dan keceriaan. 

Rasa gembira merupakan kesan positif kejiwaan yang muncul di berbagai keadaan. Jiwa yang ceria merupakan hal yang penting dalam menghilangkan pengalaman buruk yang tak mungkin dihindari seperti kegagalan, kekecewaan, dan perasaan negatif lainnya. Perasaan gembira boleh membantu kesehatan diri dan kembali pulih dan tenang. 

Imam Ali bin Musa Al-Ridha berkata, "Rekreasi dan permainan yang menghibur, boleh membantu kalian mengatur hidup dan dengannya kalian akan lebih baik memperoleh kejayaan dalam urusan duniawi." 

Para psikologi kini meyakini bahwa kegembiraan dan fikiran yang ceria berpengaruh penting dalam kehidupan manusia. Begitu pentingnya keceriaan bagi manusia sehingga mampu menjadi ubat sejumlah penyakit. Para psikologi percaya, pada abad terakhir ini, manusia disibukkan dengan dirinya sendiri. Keceriaan bukan hanya boleh  mencegah sejumlah penyakit, tapi bahkan boleh membantu dalam perkembangan perniagaan.

Dalam ilmu kedoktoran, tertawa dan gembira merupakan reaksi reflektif yang menyebabkan bergeraknya 15 otot wajah secara tenang, dan mempercepat pernafasan serta peredaran darah sehingga menambah adrenal darah. Kesan dari proses ini menimbulkan perasaan ceria dan gembira dalam diri seseorang. Jika kehidupan manusia kosong dari rasa ceria, nescaya ia akan mengalami derita yang amat berat lantaran beratnya tekanan perasaan."

Menghapus rasa duka dan menciptakan keceriaan merupkan hal yang cukup baik untuk diri sendiri maupun bagi keluarga dan masyarakat. Kerana rasa duka dan ceria tidak hanya terbatas pada pribadi manusia. Keceriaan dan kesedihan seorang manusia boleh berpengaruh juga terhadap orang lain. Oleh kerana itu, kesedihan ataupun keceriaan seseroang berpengaruh juga bagi orang lain di sekitarnya.

Sahabt yang dimuliakan,
Islam sebagai agama universal yang memenuhi seluruh tuntutan jasmani dan rohani manusia mengajarkan bahawa jiwa yang ceria merupakan hal yang perlu bagi kehidupan. Islam mengajarkan pula kepada kita cara melahirkan keceriaan . Keceriaan yang kadang bermanfaat bagi diri sendiri, dan kadang bermanfaat pula bagi orang lain. 

Imam Ali bin Musa Al-Ridha as menyatakan, "Waktu kalian terbagi dalam empat masa. Masa pertama untuk bermunajat dan berdoa kepada Tuhan, masa kedua untuk mencari rezeki, masa ketiga berinteraksi dan bergaul mesra dengan keluarga dan sahabat dan siapa saja yang kalian percaya dan menyimpan aib kalian, dan masa keempat adalah memperuntukkan masa untuk bersenang-senang. Manfaatkan sebaik-baiknya waktu bersenang-senang kalian sehingga boleh membantu dalam menjalankan tugas dan kewajiban kalian".

Salah satu faktor penyebab kegembiraan adalah melihat dan menghayati alam semesta ciptaan Allah. Menyaksikan pemandangan yang indah, warna-warni bunga yang mempesona, pokok-pokok yang hijau, air terjun , gunung-gunung, dan keindahan alam lainnya merupakan kenikmatan yang boleh mendatangkan rasa keceriaan dan kebahagiaan hati.
Selain melihat keindahan alam semesta dengan  melakukan perjalanan (musafir) jua merupakan perkara positif yang diajarkan Islam kepada umatnya. 

Allah S.W.T.  dalam kitab sucinya al-Quran mengajak manusia untuk melakukan perjalanan ke berbagai pelosok muka bumi, sehingga selain boleh mengambil pelajaran dari sejarah dan umat-umat lainnya, juga boleh menikmati keindahan alam di negeri-negeri lain. 

Rasulullah S.A.W. dalam hadisnya bersabda yang maksudnya : "Bermusafirlah supaya kalian sehat".

Olahraga dan sukan juga boleh mendatangkan  keceriaan bagi jiwa manusia. Olahraga merupakan aktiviti positif dan menggembirakan yang selalu ditegaskan oleh para ulama. Tentu saja, jenis olahraga yang boleh  memperkuat semangat ketenteraan dan mengajarkan teknik bela diri lebih dianjurkan. 

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Hak seorang anak dari bapanya adalah mendapatkan pengajaran cara menulis, berenang, dan memanah serta memperoleh rezeki hanya dari cara yang halal".

Menghadiri acara-acara hiburan yang tidak melalaikan seperti nasyid adalah satu cara boleh menghiburkan hati dan menimbulkan rasa ceria separti menyambut hari-hari kebesaran umat Islam atau majlis perkahwinan. Perlulah menjaga batas-batas pergaulan di antara lelaki dan wanita

Islam melarang acara hiburan dan pesta yang bercampur dengan laku maksiat dan hal-hal yang diharamkan. Yang penting keceriaan dan kegembiraan yang positif boleh diperolehi dengan cara menolong sesama kita untuk menjalankan kerja-kerja dakwah.

Menurut Islam keceriaan yang sebenar hanya boleh diperoleh dengan cara menjalankan perintah agama dan mengurangkan pergantungan  terhadap dunia. Terikat dengan dunia dan tenggelam dalam kehidupan kebendaan akan membuat manusia menjadi lalai dan tamak. Manusia yang tamak tidak akan pernah puas dan hal inilah yang menyebabkan rasa duka dan kesedihan. Oleh itu, manusia yang tidak terlalu terikat dengan kehidupan duniawi, ia akan senantiasa tabah dalam menghadapi segala ujian dan memiliki jiwa yang lebih positif. 

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :  "Barang siapa yang menggembirakan seorang mukmin, sebenarnya ia menggembirakan diriku, barang siapa yang menggembirakan diriku, sebenarnya ia menggembirakan Allah".

Sahabat yang dikasihi,
Abu Yazid Al-Busthami, seorang ahli sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya selalu berkerut.

Dengan murung lelaki itu mengadu, "Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah lepas saya beribadah kepada Allah. Orang lain sudah lelap, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas dalam mencari rezeki tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?."

Guru menjawab sederhana, "Perbaiki penampilanmu dan ubahlah raut mukamu. Kau tahu, Rasulullah S.A.W. adalah penduduk dunia yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria. Sebab menurut Rasulullah S.A.W. salah satu tanda penghuni neraka ialah muka masam yang membuat orang curiga kepadanya."

Lelaki itu tunduk. Ia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya. Wajahnya sentiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh. Alhamdulillah, sesudah itu dia tidak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah.

Memang Allah telah mentakdirkan manusia sebagai makhluk yang paling indah. Bentuknya begitu sempurna, sehingga dipandang dari sudut manapun manusia kelihatan cantik dan serasi. Untuk itu hendaklah kurnia ini jangan dinodai dengan penampilan yang buruk, sebagaimana kata Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah itu indah dan mencintai keindahan."

Namun demikian tidak bererti Islam mengajarkan kemewahan. Islam justeru menganjurkan kesederhanaan. Baik dalam berpakaian, menghias tubuh maupun pada tindakan dalam kehidupan seharian. Nabi S.A.W.  walaupun memakai jubah yang luntur warnanya, tetapi sentiasa bersih.

Sayyidina Umar bin Khattab walaupun jawatannya khalifah, pakaiannya sangat sederhana dan tidak nampakkan tanda kebesaran diri. Tetapi kerapian berpakaian selalu dijaga. Sikapnya ramah, wajahnya sentiasa mengukir senyum. Raut mukanya berseri. Tidak hairanlah jika Imam Hasan Al-Basri berpendapat, awal keberhasilan suatu pekerjaan adalah raut muka yang ramah dan penuh senyuman. Rasulullah juga pernah bersabda bahawa senyuman adalah sedekah paling murah tetapi besar pahalanya.

Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud, "Senyuman kepada saudaramu adalah sedekah."

Oleh itu marilah sama-sama kita memperbaiki penampilan diri dengan raut wajah yang ceria dan mendamaikan dan sentiasa senyum tanda hati yang bersih dan tulus ikhlas.

Read More

JAUHI BERUBAT SECARA BOMOH2




Jauhi Rawatan Cara Menggunakan Bomoh Untuk Mengelakkan Syirik Kepada Allah

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dalam Islam setiap rawatan yang ingin dilaksanakan mestilah berdasarkan hukum Islam iaitu berdasarkan sumber al-Quran, Hadis Nabi S.A.W, Ijmak ulama dan qiyas.
Sejak kebelakangan ini, semakin banyak laporan akhbar mendedahkan penyelewengan dan penipuan dalam amalan bomoh tradisional. Lebih mengejutkan lagi, bomoh berkenaan mengubati pesakit dengan kaedah pelik yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan ajaran Islam.

Malangnya, masih ramai orang Islam percaya kepada amalan bomoh yang bercanggah dengan hukum syarak seperti memanggil roh, jin dan sebagainya. Segala amalan yang tidak berdasarkan sumber al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qias adalah dilarang sama sekali.

Di dalam sejarah Islam, memang ada kaedah perubatan tertentu yang diamalkan Rasulullah S.A.W. dan sahabat bagi menyembuhkan penyakit. Selain cara perubatan biasa, mereka juga menggunakan doa ma’thur khusus untuk mengubati beberapa jenis penyakit seperti yang dijelaskan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya al-Tibb al-Nabawiyy dan Imam Muwaffiq al-Din Abdul Latif dalam kitabnya al-Tibb min al-Kitab wa al-Sunnah.

Amalan rawatan yang dibenarkan syarak perlu disertai dengan doa ma’thur daripada Rasulullah S.A.W. Baginda pernah membenarkan seorang sahabat untuk menjampi dengan membaca doa kepada sahabatnya yang terkena sengatan kala jengking.

Dalam satu hadis Imam Muslim, Abu Zubair berkata, “Aku mendengar Jabir bin Abdullah berkata ada seorang lelaki daripada kalangan kami terkena sengatan kala jengking. Ketika itu, kami duduk bersama Rasulullah. Lalu seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah, bolehkah aku jampi? Jawab Baginda, “Sesiapa daripada kamu yang berupaya memberi manfaat terhadap saudaranya, maka hendaklah dia lakukannya”.

Perlu ditegaskan bahawa Islam amat menitikberatkan persoalan akidah, syariah dan akhlak dalam kehidupan muslim seharian. Oleh itu, apa saja amalan, perkataan dan kepercayaan yang tidak berasaskan kepada sumber yang dijelaskan di atas adalah ditolak. Ini berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud, “Dan berjaga-jagalah kamu. Jauhkanlah diri kamu daripada perkara baru (bidaah) kerana setiap perkara yang diadakan itu bidaah, dan setiap bidaah itu sesat. (Hadis riwayat Abu Dawud)

Menurut perspektif akidah Islam, persoalan perubatan terhadap pesakit adalah satu persoalan yang sewajarnya difahami setiap muslim. Ini kerana dalam Islam, hanya Allah S.W.T. saja yang berkuasa. Setiap manusia dikehendaki berikhtiar merawati penyakit dan kesakitan yang dihadapinya berdasarkan garis panduan ditetapkan syarak.

Firman Allah yang bermaksud, “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain daripada Allah yang tidak mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu jadilah engkau daripada kalangan orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). (Surah Yunus ayat 106)

Ayat di atas jelas melarang umatnya meminta pertolongan selain daripada Allah S.W.T. seperti bomoh, jin, roh datuk nenek, roh wali, syeikh, amalan syirik yang terkutuk. Oleh yang demikian, setiap muslim dituntut meminta pertolongan dan berdoa secara langsung ke hadrat Allah yang Maha Esa dan Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu.

Selain itu, Islam juga melarang umatnya daripada menggunakan sihir kerana Rasulullah SAW bersabda, “Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan. Golongan sahabat bertanya, “Apakah tujuh perkara itu? Jawab Baginda, ” Mensyirikkan Allah, melakukan sihir, membunuh orang tanpa hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan zina”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam konteks ini, kita harus berwaspada terhadap amalan perbomohan terutama yang mengandungi unsur syirik dan juga amalan sihir kerana ia boleh membatalkan iman seseorang. Sehubungan itu, seseorang pesakit hendaklah memastikan tabib atau bomoh yang hendak ditemuinya itu seorang Islam yang tidak meninggalkan ibadat wajib seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain, berakal waras, tidak melakukan perkara yang boleh membawa kepada syirik sama ada melalui kepercayaan, perkataan atau perbuatan.

Seorang bomoh juga hendaklah seorang yang adil iaitu tidak melakukan maksiat dan jenayah yang bertentangan dengan undang-undang negara.

Sahabat yang dimuliakan,

Marilah sama-sama jauhi perbuatan dan amalan perubatan secara menggunakan khidmat bomoh atau dukun, kerana dikhuatiri terdapat unsur-undur syirik dan pemujaan. Jika kita terjebak dalam amalan syirik ianya akan menjejaskan akidah. Yang penting di sini, setiap muslim diwajibkan berusaha dan berikhtiar serta seterusnya bertawakal kepada-Nya kerana Allah saja yang Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu.
Read More

RAWATAN CARA NABI MUHAMMAD S.A.W

Cara-cara Rawatan Nabi SAW Untuk Mengubati Gangguan Jin Dan Syaitan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Wahai Aisyah! Syaitanmu telah membuatmu berasa demikian", tanya Aisyah, "bersamaku ada syaitan?" Jawab baginda SAW, "Ya". Tanya Aisyah, "Adakah bersama semua manusia ada syaitan pendamping (qarin)?", jawab baginda SAW, "Ya". Tanya Aisyah lagi, "Engkau juga ya Rasulullah?", jawab Rasulullah SAW. "Ya, tetapi dengan izin Allah aku terpelihara dari kejahatannya".(Hadis Riwayat Bukhari)

Qarin, atau syaitan pendamping inilah yang berhubungan dengan bomoh, iaitu qarinnya berhubung dengan qarin si pesakit, dari situlah bomoh mengetahui hal-hal yang telah terjadi kepada pesakit. Maka dengan ini, tahulah kita bahawa tipu daya syaitan itu sebenarnya lemah.

Selain daripada qarin (jin pendampin), satu lagi bentuk gangguan keatas manusia adalah jin kafir yang bernama 'saka'.

'Saka' adalah jin yang berada dalam tubuh manusia yang sudah sekian lama hingga menjadi sebati dengan manusia itu. Ini berlaku sama ada seseorang itu tahu atau tidak, kerana ia datang dari keturunannya. Kemungkinan ilmu ini telah dipelajari oleh nenek- moyangnya dahulu. Boleh jadi Jin itu sendiri yang memilih untuk mendampingi keturunannya yang dia kehendaki tersebut ditinggalkan oleh nenek moyang pembawa saka apabila mereka telah meninggal dunia. Semasa mereka hidup, mereka telah berkawan dan membela jin-jin tersebut yang dikenali dengan pelbagai nama. Jin yang dijadikan khadam oleh nenek moyang inilah akhirnya menjadi saka yang diperturunkan dari ayah kepada anak dan kepada cucu oleh pembela-pembela jin-jin tersebut.

Kebiasannya seseorang yang ada mendapat gangguan daripada jin saka adalah selalu mendapat gangguan di malam hari dan mengalami mimpi-mimpi ngeri :

1. Susah tidur malam atau tidak boleh tidur malam.

2. Sering terjaga pada waktu malam jam 2 malam atau 3 dan malamselepas itu sukar untuk tidur.

3. Mimpi melihat binatang-binatang seperti kucing, anjing, ular, serigala,dan sebagainya.

4. Bunyi gigi berlaga ketika tidur.

5. Mimpi di Kawasan Kotor atau Perkuburan.

6. Mimpi Jatuh tempat tinggi.

7. Mimpi Berjumpa atau melihat Makhluk halus.

8. Mimpi Budak Kecil (Menyusukan bayi bagi wanita).

9. Mimpi di ancam benda tajam seperti pisau,paku dan sebagainya.

Ketika berjaga sering mendapat gangguan seperti :

1. Selalu pening kepala (perubatan moden tidak dapat kesan).

2. Hilang ingatan atau cepat lupa dan mungkin menjadi gila.

3. Sering lesu dan malas bekerja.

4. Sentiasa sakit di tulang belakang.

5. Lenguh-lenguh sendi.

6. Terasa sesuatu berjalan didalam badan.

7. Mudah marah dan panas baran.

8. Cepat mengantuk (terutama mendengar ayat-ayat al-Quran dan tazkirah)

9. Lemah semangat untuk meneruskan kehidupan

10. Bila memejamkan mata, bulu mata berkedip-kedip.

Sahabat yang dimuliakan,
Cara yang berkesan untuk melawan gangguan jin-jin kafir atau syaitan adalah dengan kita kuatkan semangat ,berfikiran positif semasa berubat dan yakin janji-janji Allah SWT bahawa syaitan adalah makhluk yang lemah.. Lidah sentiasa berzikir dan berdoa meminta perlindungan Allah SWT daripada gangguan syaitan yang terkutuk

Antara kesan-kesan daripada gangguan iblis dan syaitan adalah:

1) Rasa tidak tenang hati, selalu rasa serba tidak kena.

2) Rasa takut yang tidak diketahui puncanya.

3) Terlalu sukar untuk bangun solat.

4) Jikalau sudah bersuami isteri, terasa tidak senang apabila bersama.

5) Selalu rasa cenderung kepada marah, walaupun tiada apa untuk dimarahkan.

Jikalau terdapat wujudnya tanda-tanda ini, maka ada kemungkinannya gangguan telah bermula.

Terdapat beberapa kaedah perubatan Rasulullah SAW yang dijalankan :

Di antara cara Nabi SAW bagi mengubati gangguan jin dan syaitan adalah seperti berikut :-

1) Membaca surah Al-Baqarah ke telinga si pesakit. Baringkan si pesakit dan bacakan surah Al-Baqarah di telinganya, kerana syaitan sangat takut kepada surah Al-Baqarah.

Sabda Nabi SAW di dalam musnad Ahmad Hanbal yang bermaksud, "Janganlah jadikan rumah kamu sunyi seperti kuburan. Rumah yang dibacakan surah Al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan".

2) Membacakan surah Al-Falaq dan An-Naas, dan menyuruh pesakit mengamalkannya, seperti mana kita lihat di dalam hadis di atas.

3) Membaca "a'uzu bikalimaatillah at-taammah, min syarrima khalaq", iaitu "Aku berlindung dengan kalam Allah, daripada kejahatan yang Dia ciptakan".

Ini merupakan amalan yang diajarkan kepada Rasulullah SAW kepada para sahabat.

Juga dari amalan sunnah banyak membaca "A'uzubillahi minas syaitaanir rajiim".

4) Membacakan Ayat Kursi sebelum tidur. Kata syaitan sendiri kepada Abu Hurairah ra, "Sesiapa yang membacakan Ayat Kursi setiap kali sebelum tidur, maka dia tidak akan dihampiri syaitan hingga ke pagi", dan amalan ini disahihkan oleh Rasulullah SAW.

5) Membacakan jampi Jibrail as ke atas pesakit, iaitu "Bismillahi arkiq, min kulli syai'in yukziq, wa min kulli sharrin haasid, Allahu yushfiq, bismillahi arkiq",

Bermaksud, "Dengan nama Allah aku jampikan engkau, dari segala apa yang mengganggu dirimu, dan dari segala kejahatan orang yang dengki, Allah lah yang menyembuhkan kamu, dengan nama Allah aku jampikan engkau".

Jampi ini dibacakan Jibrail as ketika Nabi terkena sihir, dan Rasulullah SAW sembuh setelah sekali bacaan. Jampi ini juga boleh dibacakan ke atas air, dan diberikan kepada pesakit untuk mandi dan minum.

6) Menggunakan daun bidara untuk dijadikan air mandi kepada pesakit, atau diberikan kepada pesakit untuk di hidu. Kaedah ini dipelopori oleh Ibnu Taimiyah. Ini kerana beliau mendapati jin amat alah kepada bau daun bidara. Kaedahnya, ikatkan sedikit daun bidara kepada batu-batu kecil, dan rendamkan di dalam botol berisi air. Ambil sedikit air dari botol dan dicampurkan di dalam air mandian, paling kurang selama seminggu.

7) Mencari punca sihir, sepertimana di dalam hadis, dan menghapuskannya. Ini merupakan kaedah yang paling berkesan di dalam mengubati sihir.

8) Adapun cara yang terakhir tetapi juga terpenting, adalah si pesakit menyemak semula amalan dan disiplin dirinya menurut Islam. Jikalau ada di dalam hati perasaan hasad, dengki, enggan menutup aurat dan sebagainya, maka perbaikilah segera. Ini kerana syaitan, menurut Imam Ahmad Hanbal adalah seperti anjing yang kelaparan. Jika di tangan kita ada tulang dan daging, berapa kali kita halaupun anjing itu, ia akan datang kembali, kerana kegemarannya ada pada kita.

Begitu juga syaitan, syirik, hasad dengki dan sebagainya, adalah kegemaran syaitan, maka betapa baik si pengubat atau kaedah yang digunakan, jikalau si pesakit sendiri enggan berubah, maka tidak hairan jikalau gangguan datang semula.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita beramal dengan sunah Nabi SAW ketika kita menjalankan rawatan untuk mengubati daripada gangguan jin kafir dan syiatan.

Sesungguhnya tiada nasihat yang lebih baik dari perkataan Rasulullah SAW, dan tiada sunah yang lebih baik dari sunah Rasulullah SAW. dengan bantuan Al-Quran dan sunah yang sahih, in shaa Allah segala gangguan dapat kita hindari.
Read More

REDHA

GAMBAR HIASAN

Orang Mukmin Hatinya Sentiasa Tenang dan Reda Dengan Kententuan Tuhan Kepadanya

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT maksudnya :  "Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd ayat 28)

Soalnya bagaimana hati seseorang boleh menjadi tenteram dan tenang dengan mengingati Tuhan?

Ini adalah kerana apabila hati seseorang mengingati Tuhan maka seseorang individu itu akan sedar, insaf dan faham apakah maksud ketentuan dan takdir Tuhan yang telah menimpa dirinya. Bila ditimpa musibah, katakanlah kemiskinan, dia sedar bahawa itu adalah ketentuan dari Allah SWT yang wajib diterima atas sifatnya sebagai hamba Allah.

Walaupun kalian telah berusaha segigih dan sekuat mungkin, tetapi jika ditakdirkan miskin, rezeki yang diusahakannya tidak berjaya, maka kalian perlu menerima bahawa segala  ketentuan itu dengan hati yang sabar. Dalam hati perlu berkata, “takdir sentiasa mengatasi tadbir. Tentu ada hikmah di sebalik kepahitan ini.”

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan." (Surah al-Anbiyaa': 35)

Adapun orang yang benar dalam beriman ia akan senantiasa bertakwa kepada Allah dan menghambakan diri kepada-Nya dalam keadaan apapun. Bila ia mendapat kesenangan, kemudahan, dan kekayaan ia bersyukur. Namun jika ditimpa kesulitan, kesusahan, dan kemiskinan ia bersabar.

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya : "Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin. Sungguh seluruh urusannya adalah baik. Dan hal itu tidak dimiliki oleh seorangpun kecuali seorang mukmin. Jika ditimpa kesenangan ia bersyukur, maka hal itu baik baginya. Dan jika ditimpa musibah ia bersabar, maka hal itu juga baik baginya." (Hadis Riwayat Muslim dari Shuhaib ar-Rumi)

Kalian tidak akan menyalahkan diri sendiri, orang lain, apalagi Tuhan atas nasib yang menimpa kalian. Kerana apa? Kerana kalian perlu  sedar sebagai hamba kalian hanya mampu berusaha tetapi ketentuan di tangan Allah SWT. Maka dengan keyakinan yang sebegini kalian  akan merasai satu ketenangan dan kelapangan yang menjadikan kalian tidak mudah untuk marah-marah dan kecewa dalam hidup.

Kalian perlu yakin, bahawa semua takdir Allah itu adalah baik kerana ia datang dari Allah (yang Maha Pengasih) walaupun jika dilihat secara lahiriahnya kelihatan negatif. Sebab itu kalian  diajar mengucapkan “innalillah wa inna ilahirajiun…” – ertinya "kami datang dari Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan."

Allah SWT  berfirman maksudnya : "Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya."
(Surah al-Baqarah, ayat 155-157).

Tegasnya, ucapan ini mengingatkan  bahawa kalian adalah hamba-Nya. Maka jika kalian sedar akan hakikat itu, layakkah kalian sebagai hamba untuk ‘memberontak’ menentang sebarang ketentuan Allah?

Sebagai hamba Allah SWT kalian wajib berusaha bukanlah alasan untuk menolak kemiskinan, kesakitan dan kegagalan namun jika ia berlaku juga tentulah ada kebaikan yang tersembunyi.

Tidak semua orang yang berubat akan sembuh dengan ubat yang dimakan dan tidak semua orang yang berusaha akan memperolehi apa yang dihajatkan. Usaha dan berikhtiar adalah ibadah dan kejayaan adalah urusan Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang .

Jika kalian meletakkan usaha itu pasti berjaya 100% ini bermakna kalian mendahului ketentuan Allah SWT dan menjadikan usaha itu sebagai 'tuhan' yang menentukannya.

Dan hakikat itu pastinya tidak dapat di singkap dengan akal  yang sejengkal berbanding dengan ilmu Allah yang Maha luas. Lupakah kalian bahawa Allah pernah mengingatkan bahawa ada perkara yang di benci tetapi itu membawa kebaikan untuk kalian dan ada perkara yang kalian sukai tetapi itu tidak baik. Allah lebih mengetahui dan kalian sama sekali tidak mengetahui rahsia dan hikmah sesuatu kejadian ciptaan Tuhan.

Firman Allah SWT maksudnya : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah ayat 216)

Orang yang hatinya mengingati Allah juga akan bersifat syukur apabila mendapat nikmat. Hatinya tidak terlalu melonjak-lonjak, sombong, zalim dan memandang rendah kepada orang lain. Perlu sedar bahawa kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT  hakikatnya adalah satu amanah daripada-Nya yang mempunyai maksud tertentu untuk difahami dan dilaksanakannya.

Syukur ertinya, menyedari bahawa nikmat itu adalah dari Allah seterusnya menggunakan nikmat itu selaras dengan tujuan pengurniaan nikmat tersebut. Jika kalian diberi kekayaan, kalian perlu sedar itu adalah amanah dari Allah untuk membantu hamba Allah yang lain. Maka dibelanjakanlah kelebihan itu untuk membantu fakir miskin melalui ibadah zakat, sedekah dan hibah. Jika kalian pandai, perlulah merasai bahawa rasa kepandaian itu datangnya dari Allah SWT lalu digunakannya kepandaian itu untuk mengajar orang lain dan membantu masyarakat.

Janganlah menjadi  sombong seperti Qarun, yang merasai kekayaannya adalah hasil kepandaiannya berniaga, sedangkan dia lupa bahawa Nabi Musa a.s. telah mengajarkan ilmu Allah SWT kepadanya untuk menukarkan benda lain menjadi emas tulin. Sebaliknya jadilah peribadi mulia seperti mewarisi sifat Nabi Sulaiman a.s. yang apabila dipuji baginda berkata: “Semua ini adalah pemberian Tuhanku.” 

Justeru apabila kalian dikurniakan nikmat, kalian telah  diajar untuk mengucapkan alhamdulillah – ertinya, segala puji bagi Allah. Apa rahsia di sebalik ucapan ini? Ertinya, kalian diminta memuji Allah SWT bukan memuji diri sendiri apabila mendapat nikmat. Bila dikurniakan harta, ucapkanlah ‘segala puji bagi Allah’ yang bermaksud Tuhan itulah yang mengurniakan harta kepada kalian dan kepada-Nyalah kalian wajib berterima-kasih. Hati kalian akan puas dengan apa yang diberikan-Nya.

Sebaliknya jika kalian tidak rasakan itu pemberian dari Tuhan, maka kalian akan ditimpa oleh dua kemungkinan – satu rasa sombong diri dengan kelebihan dan kurniaan itu. Atau yang kedua, rasa belum cukup puas dengan apa yang ada dan terus haloba dengan apa yang tiada.

Mencari dan terus mencari, umpama orang yang minum air laut, makin diminum makin haus. Fenomena inilah yang melahirkan amalan ‘jenayah kolar putih’ – rasuah, penyelewengan dan berbagai-bagai skandal kewangan dikalangan orang atasan.

Sudah kaya harta, tapi masih tamak kerana miskin hatinya. Hakikat inilah yang pernah digambar oleh maksud hadis bahawa jika dunia ini diserahkan kepada seorang yang tamak, maka dia akan menuntut sebuah lagi dunia yang seumpanya.

Inilah bahana kerakusan nafsu yang tidak pernah kenal erti cukup dan puas. Ya, jika direnung dalam-dalam, ramai manusia hari ini tidak kira di mana, walau siapapun dirinya, dan pada bila-bila masapun, telah mengalami ‘sakit rohani’ . Memang, sifat sabar dan syukur jarang dimiliki oleh manusia.

Manusia selalunya bersifat keluh-kesah bila ditimpa musibah, tetapi lupakan diri apabila menerima nikmat. Tidak sabar dan tidak syukur ini menyebabkan manusia menderita dalam apa jua keadaan – sama ada dalam kekurangan atau dalam kelebihan.

Benarlah kata hukama bahawa, “barang siapa yang tidak cukup dengan yang sedikit, pasti tidak akan puas dengan yang banyak.”

Sahabat yang dimuliakan,
Harta dan wang ringgit tidak dinafikan perlu untuk kebahagiaan hidup tetapi ia bukanlah satu-satunya faktor yang menjamin kebahagiaan. Dunia masakini telah dihuni oleh ramai orang miskin yang kecewa, marah dan hasad terhadap kekayaan orang lain. Dan dengan sifat-sifat negatif itulah mereka terdorong untuk melakukan perbuatan mencuri, merompak dan rasuah. Kemiskinan harta yang dialami diiringi juga oleh kemiskinan hati.

Dunia masakini juga telah dipenuhi oleh orang kaya yang tidak bersyukur, yang terus merasa miskin walaupun ditimbuni oleh wang ringgit dan harta. Akibat kemiskinan hati, orang kaya ini sentiasa merasa kurang dengan apa yang ada.

Akibatnya, berlakulah penyelewengan, penipuan dalam perniagaan, merasuah, mengambil riba dan lain-lain jenayah kewangan yang dilakukan oleh orang yang telah kaya.

Dengan adanya dua kelompok manusia ini, dunia menjadi semakin huru-hara. Tidak ada hubungan yang harmoni antara yang miskin dan kaya. Yang miskin hasad dengki manakala yang kaya pula terus tamak dan sombong.

Carilah kekayaan hati di samping mencari kekayaan harta. Kekayaan hati bukan sahaja penting di akhirat sebagai jaminan keselamatan dan kebahagiaan di sana. Namun ia juga penting untuk kebahagiaan kita di alam dunia ini lagi.

Percayalah, ketenangan di dunia ini adalah bayangan kepada kebahagiaan di akhirat. Justeru dunia adalah ‘ladang’ akhirat. Bagaimana kalian akan dapat menuai hasil yang baik dan lumayan di akhirat nanti, jika pokok yang di tanam di dunia bantut dan kering layu?

Sebab itu ahli sufi pernah berkata: “Carilah syurga yang disegerakan di dunia (ajjanatul ajilah) yang berupa ketenangan hati kerana barangsiapa yang tidak mendapat syurga di dunia lagi, maka sukarlah ia mendapat syurga di akhirat nanti!”

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita sendiri, perbaikilah hati, jiwa dan akhlak kita untuk  menjadi insan kamil, insan yang akan beroleh kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di hari akhirat dan diselamatkan oleh Allah SWT daripada seksaan api neraka.

Ingatlah nikmatnya syurga dunia adalah  hati sentiasa lapang, tenang, bila kaya hati bersyukur dan bila miskin dan ditimpa musibah hati bersabar. Nikmat syurga akhirat yang paling hebat adalah dapat melihat wajah Allah SWT dan juga dapat menikmati kelazatan hidup tidak dapat dibayangkan dengan akal dan tidak pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga.
Read More

RENUNGAN


GAMBAR HIASAN


Renungan Bersama

Assalammualaikum  buat saudara seislam ku yang dirahmati ALLAH SWT......


marilah kita menghayati sejenak renungan ini sebagai muhasabah diri kita bersama...mudah-mudahan bertambah iman didada insya'ALLAH....Amin.

Jika kau merasa lelah dan tidak berdaya dari usaha yang sepertinya sia-sia......
ALLAH tahu betapa kau telah bersusah -payah.

Jika kau telah menangis sekian lama dan hatimu terasa perit......
ALLAH telah menghitung rintihan air matamu.

Jika kau fikir bahawa hidupmu sedang menanti sesuatu dan waktu serasa berlalu......
ALLAH sedang menanti bersamamu.

Jika kau merasa sendirian dan saudara-saudaramu sibuk dengan banyak urusan.......
ALLAH sentiasa berada dekatmu.

Ketika kau berfikir, kau sudah mencuba segalanya dan tidak tahu harus berbuat apa lagi......
ALLAH selalu punya jawapannya.

Ketika segala sesuatu tidak masuk akal dan kau merasa sangat tertekan.........
ALLAH mampu menenangkanmu.

Jika kau merasa ada jejak-jejak harapan terdetik di hatimu......
ALLAH sedang berbisik kepadamu.

Ketika segala sesuatu berjalan lancar dan kamu merasa ingin mengucap syukur......
ALLAH telah memberkahimu.

Ketika kau memiliki tujuan untuk dipenuhi dan mempunyai mimpi untuk digenapi......
ALLAH telah membuka dan memanggilmu dengan namamu.

Ketika sesuatu yang indah terjadi dan engkau dipenuhi keajaibpan......
ALLAH telah tersenyum padamu.

Ingatlah wahai saudara- saudaraku.....

Dimanakah kamu dan kemana pun kamu sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui.

Read More

REZEKI

GAMBAR HIASAN



Rezeki Yang Tiada di Sangka-sangka Untuk Orang Yang Bertakwa

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah SWT telah ditetapkan rezeki untuknya. sejak di dalam kandungan ibunya lagi. Allah SWT yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah menjamin rezeki untuk semua makhluknya, dari sekecil-kecilnya makhluk (kuman) hinggalah sebesar-besarnya (ikan paus) dan tidak dikurangkan sedikit pun daripadanya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Tidak ada satu makhluk melatapun di muka bumi kecuali Allah yang menanggung rezekinya, dan Dia yang mengetahui tempat berdiamnya dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Loh mahfuz)” (Surah Hud ayat 6)

Manusia diminta untuk bertawakkal, berusaha, berdoa dan bertawakkal nescaya ia akan mendapat dan memiliki rezeki yang telah disedaikan oleh Allah SWT. dimuka bumi ini.

Firman Allah SWT.yang bermaksud :
"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya."
(Surah At-Talaq ayat 2-3)

Takwa adalah merupakan kriteria atau ukuran sesaorang yang paling hampir dengan Allah SWT. Sesiapa saja dikalangan hamba-hamba Allah yang paling tinggi takwanya maka dia adalah orang yang paling mulia disisi Allah SWT. Orang yang bertakwa adalah orang mukmin yang cukup berhati-hati didalam menjalani kehidupan didunia ini, amat takut kalau-kalau dia terjerumus didalam kehidupan yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Ia bukan saja telah meninggalkan yang haram dan melaksanakan yang wajib tetapi ia telah meninggalkan perkara-perkara syubhah dan makruh. Dalam amalan ibadahnya diperbanyakkan amalan-amalan sunat dalam rangka merapatkan lagi hubungan dengan Allah SWT. Banyak membaca al-Quran, berzikir dan beristighfar malahan semua yang harus pula di niatkan kerana Allah supaya ianya menjadi ibadah.

Allah SWT. akan membantu orang-orang yang bertakwa, segala kesusahannya, kemiskinannya dan apa-apa saja permasaalaan hidup yang dihadapinya, akan terbentang luas jalan keluar diberikan oleh Allah SWT. Bukan setakat ini saja, malahan Allah SWT. akan memberikan rezeki yang tiada disangka-sangka samaada rezeki datang dari langit, bumi, lautan, malahan yang jauh didekatkan dan yang sedikit akan diperbanyakkan dan yang banyak dipermudahkan untuk menguruskannya.

Untuk memastika rezeki Allah SWT berterusan maka hendaklah banyak memohon keampunan disisi Allah SWT. Firman Allah SWT maksudnya :  “Mohonlah ampunlah kepada Rabb kalian, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat (melimpah ruah membawa kebaikan), dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai (yang penuh dengan kebaikan dan manfaat).” (Surah Nuh ayat 10 – 12)

Sahabat yang dimuliakan,
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :
"Jika sekiranya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, pasti Allah akan memberi rezeki kepadamu, seperti Dia memberi rezeki kepada burung-burung yang terbang di pagi hari dengan tembolok kosong dan waktu pulang kesarangnya pada waktu petang, temboloknya sudah penuh."

Orang-orang yang bertawakkal ialah mereka yang  yakin dengan jaminan rezeki daripada Allah SWT. dan mereka akan mendapat balasan yang baik di akhirat nanti.

Sesungguhnya amalan orang-orang yang bertakwa tidak akan sia-sia malah akan mendapat ganjaran yang besar di dunia lagi dan ditambah nikmatnya di akhirat. Dan rugilah bagi sesiapa yang ingkar akan suruhan dan larangan Allah SWT , sesungguhnya Allah SWT akan melaknati orang yang mengingkari suruhan dan larangan-Nya. Maka akan memberinya pembalasan dan azab yang pedih di dunia lagi dan akan ditambah keseksaan dengan azab yang lebih pedih di akhirat kelak di dalam neraka  di atas amalan-amalan mereka yang kufur.

Firman Allah SWT maksudnya : “Jika seluruh penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi”. (Surah al-A`raf ayat 96 )

Oleh itu, sebagai orang mukmin, menjadi kewajipan kita menyerahkan diri kepada Allah terhadap segala keperluan hidup diatas muka bumi ini. Kerana Allah telah menjamin rezeki hamba-hamba-Nya. Rezeki yang dikurniakan Allah bukanlah untuk bermewah-mewah atau menunjuk-nunjuk, melainkan semua ini untuk bekalan dalam beribadah dan supaya hati kita menjadi tenang. Sebab, kadangkala kemiskinan itu mengganggu fikiran dalam beribadah kepada Allah.

Tawakkal atau berserah diri dalam perkara rezeki, bukanlah bererti penyerahan diri secara lahiriah dengan hanya duduk berpangku tangan tanpa bekerja. Yang dimaksudkan disini ialah kita harus yakin dengan sepenuhnya bahawa Allah telah menjamin rezeki bagi segala makhluk yang telah diciptakan-Nya. Untuk mendapat jaminan tersebut, manusia mestilah berusha dan berikhtiar untuk mendapatkannya, melainkan orang-orang tertentu diberi kelebihan oleh Allah SWT.

Diriwayatkan dari sahabat Abu Hurairah bahawa Rasulullah mengabarkan bahawa Allah berfirman dalam hadis Qudsi, “Wahai Hamba-hambaku, hendaknya kalian memenuhi waktu  dengan ibadah, kalau kalian melakukannya Aku akan memenuhi dada kalian dengan kekayaan, dan Aku akan menutupi kefakiran kalian. Kalau kalian tidak melakukannya, Aku akan memenuhi dada kalian dengan kesibukan dan Aku tidak akan menutup kefakiran kalian.”

Maka hendaknya seorang hamba menyibukkan dirinya dengan ibadah dan tetap berusaha mencari rezekinya. Kerana dengan memberi tumpuan beribadah  akan mempermudah seseorang dalam mencari rezeki dan mendapat pertolongan Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,
Kunci rezeki dan perbendaharaan Allah SWT hanya berada ditangan-Nya dan Dia akan membuka pintu rezeki ini seluas-luasnya kepada hamba-hamba-Nya yang banyak melakukan amal soleh, amal ibadah dan sentiasa membuat kerja-kerja kebajikan. Apabila Dia kasih dan sayang pada kita maka segala permohonan dan doa kita dimakbulkan-Nya dan di kurniakan rezeki di jalan yang tiada disangka-sangka.
Read More

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML