Monday, April 28, 2014

DAABBATUL ARDH

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah SWT yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Rasulullah SAW menjelaskan salah satu tanda besar Kiamat menggunakan istilah daabbatul ardh. Kata ini juga di gunakan dalam firman Allah SWT dalam Surah Saba' ayat 14 yang menerangkan tentang kematian Nabi Sulaiman as.





فَلَمَّا قَضَيۡنَا عَلَيۡهِ ٱلۡمَوۡتَ مَا دَلَّهُمۡ عَلَىٰ مَوۡتِهِۦۤ إِلَّا دَآبَّةُ ٱلۡأَرۡضِ تَأۡڪُلُ مِنسَأَتَهُۖ ۥ 

Maka ketika Kami telah menetapkan berlakunya kematian atasnya (Sulaiman) tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya kecuali semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya.

Kata daabbah  دَآبَّةُ   dalam bahasa Arab biasanya digunakan untuk semua jenis binatang yang tinggal di dalam tanah seperti anai-anai, semut, cacing dan lain-lain.

Menurut sebahagian mufassir yang memberikan maksud kepada daabatul ardh ini sebagai binatang yang melata tetapi maksud seperti dalam ayat Saba' di atas tadi adalah lebih tepat.

Tentang tanda keluarnya binatang ini Allah berfirman: 








Dan apabila sampai masa berlakunya hukuman atas manusia, Kami keluarkan untuk mereka sejenis binatang dari bumi, yang akan menyatakan kepada mereka, bahawa manusia telah tidak meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran Kami. (an-Naml [27] : 82)

Dalam mentafsirkan ayat 82 Surah an-Naml ini Ibnu Katsir telah menyebut beberapa hadis Nabi SAW. Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Binatang tanah (Daabbatul Ardh) akan keluar. Binatang ini akan membawa bersamanya tongkat Musa as dan cincin Sulaiman as. Ia akan menunjuk hidung orang kafir dengan tongkat Nabi Musa dan menjadikan muka orang-orang yang beriman cerah dengan cincin Sulaiman as. Hinggakan apabila satu keluarga berkumpul di meja makan, mereka akan mengenali siapa yang kafir dan siapa yang beriman di kalangan mereka." (HR Abu Dawud)

Dalam hadis yang lain diriwayatkan oleh Imam Ahmad disebutkan"......menunjuk hidung orang kafir dengan cincin dan menjadikan muka orang beriman cerah dengan tongkat. Hingga apabila satu keluarga berkumpul di meja makan seorang akan berkata "Hai kafir" dan yang seorang lagi akan berkata "Hai Mukmin".

Allah Maha Berkuasa dan Allah jika berkehendak boleh melakukan apa sahaja yang luar biasa dan yang tidak pernah kita sangka. 

Rasulullah SAW berpesan agar orang-orang beriman bersegera melakukan perkara yang baik sebelum datang 6 perkara. Salah satunya ialah kemunculan Daabbatul Ardh ini. (HR Muslim)

Banyak hadis yang menerangkan tentang kemunculan binatang ini sebagai salah satu tanda kiamat. Ada yang palsu dan ada yang sahih. Kita pula kena yakin kerana ada disebutkan dalam al-Quran seperti yang dinyatakan dalam Surah an-Naml ayat 82 di atas tadi.

Binatang ini boleh berkata-kata dan akan memberitahu siapa kafir dan siapa yang beriman. Dapatkah dibayangkan jika kita berada dalam keadaan demikian. Namun bila itu terjadi nampaknya tiada lagi siapa yang peduli sama ada dia kafir atau mukmin dalam keluarganya sendiri hinggakan boleh berkata "Hai Kafir" dan "Hai Mukmin".

Semoga kita dapat menyegerakan amalan soleh yang akan menyelamatkan kita. Kepada Allah jua kita mohon pertolongan.

Aamiin.





Read More

EMPAT PERKARA PENTING HARI INI

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.



Segala puji hanya bagi Allah SWT yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Catatan untuk renungan dan muhasabah diri hari ini.
(Sumber : FB Ustaz DR Hj. Zahazan Hj Mohamed)


. أربعة أمور في يوم الجمعه *
حبيبك محمد ينتظر صلاتك عليه
* قبر مظلم ينتظر نورك بسورة الكهف*
ساعة إستجابه تنتظر لترفع منزلتك عند ربك * 
مرسل ينتظر دعائك له بظهرالغيب
طيب الله جمعتكم بالخير

4 perkara penting hari ini

1.  Kekasih kita nabi Muhammad saw menanti salawat, maka perbanyakkanlah.

2. Qubur yang sememangnya gelap menanti maka siapkanlah pencahayaannya dengan membaca surah al-Kahfi.

3.  Suatu waktu istimewa yang doamu padanya dimakbulkan, maka rebutlah peluang itu.

4.  Seseorang yang minta saudara menyertakannya dalam doa, maka sebutlah permintaannya dalam doa yang saudara panjatkan. 

Semoga Allah menjadikan jumaat ini yang terbaik buat kalian.
Read More

HAKIKAT DUNIA DAN KEMATIAN

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.



Segala puji hanya bagi Allah SWT yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Seorang penyair berkata ;

"Hai orang yang sibuk menguruskan dunia!
Sungguh, engkau telah tertipu oleh angan-anganmu yang panjang.
Mengapa sentiasa engkau leka?
Maut itu akan datang kepadamu dengan tiba-tiba
dan kubur itu adalah peti segala amal.
Sabarlah terhadap ketakutan-ketakutan yang ada di dalam dunia.
Tiada kematian, melainkan ajalnya telah tiba."

Imam al-Dailami meriwayatkan hadis, sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Meninggalkan dunia itu lebih pahit daripada jadam dan lebih pedih daripada goresan pedang di medan fi sabilillah dan tiada yang mahu meninggalkannya, melainkan orang yang Allah anugerahkan orang itu seperti yang dianugerahkan kepada para syuhada'. Meninggalkan dunia adalah dengan cara sedikit makan dan kenyang dan tidak suka dipuji manusia, kerana siapa yang suka dipuji manusia, bererti dia sukakan dunia dan nikmatnya. Barangsiapa yang suka memperoleh kenikmatan yang sebenar-benarnya hendaklah dia meninggalkan dunia dan pujian daripada manusia."

Imam Ibn Majah meriwayatkan. sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Barangsiapa yang berniat untuk mendapatkan akhirat, maka Allah SWT akan mengumpulkan potensinya, membuatnya kaya jiwa dan dunia akan datang kepadanya dengan melimpah-limpah. Barangsiapa yang berniat untuk memperoleh dunia (tujuan utamanya) maka Allah SWT mencerai-beraikan urusannya, menjadikan kemiskinan di hadapan matanya dan tidak memeperoleh dunia, kecuali apa yang ditentukan untuknya."

Apa yang boleh kita ambil pengajaran daripada apa yang ditulis di atas ialah kaya dalam Islam bukanlah orang yang melimpah ruah kekayaannya, sebaliknya hakikat kaya ialah orang yang dapat menikmati harta kekayaannya dan berpuashati dengan apa yang dimilikinya dan digunakan sebagai wasilah untuk mencapai tujuan hidup iaitu menggapai redha Allah SWT. Harta yang ada digunakan untuk beribadah sehingga dia berasa aman tenteram dan benar-benar bahagia.

Betapa ramai orang yang melimpah ruah harta kekayaannya namun tidak tenteram. Jadi adakalanya orang yang kaya harta namun hatinya sangat miskin. 

Mudah-mudahan kita dijauhkan daripada tergolong di kalangan orang kaya harta tetapi miskin jiwa.. Allahu al-Musta'an
Read More

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML