Kelahiran Rasulullah SAW merupakan satu peristiwa sejarah yang paling besar dan paling agung yang pernah berlaku di dunia ini. Tiada sejarah yang lebih besar, penting dan agung selainnya, sama ada sebelum atau sesudahnya. Ia adalah sejarah yang telah merubah watak dan peradaban manusia.
Justeru itu, sejarah Rasulullah SAW adalah satu peristiwa yang luar biasa, mengandungi rahsia-rahsia dan perkara yang tersirat pada setiap yang ada hubungkait dengannya walau satu titik, lebih-lebih lagi satu huruf dan satu perkataan. Padanya terkandung rahsia Tuhan yang patut kita kaji dan serlahkan. Mari kita cungkil rahsia dan hikmah di sebalik tarikh kelahiran baginda iaitu: Sebelum Fajar, Isnin, l2 Rabi’ul Awwal, Tahun Gajah.”
Kedatangan Rasulullah SAW membawa rahmat. Sebelum fajar bererti kegelapan sudah akan berakhir dan cahaya adalah umpama rahmat Allah yang akan menjelma.
Isnin dari bahasa Arab bererti dua. Di saat kelahiran baginda, akidah manusia sudah rosak kerana sudah lama ketiadaan Nabi dan Rasul. Hanya dua yang mengenal Tuhan; Zat Tuhan itu sendiri dan baginda Rasulullah SAW. Itulah isyarat dari Tuhan di sebalik kelahirannya pada hari Isnin.
Justeru, keIslaman seseorang hanya sah apabila dia mengakui dan menyebut kedua-duanya.
Jika dirujuk pada malam, ia adalah kemuncak kegelapan. Ertinya waktu kelahiran baginda, segala perkara negatif berada di tahap puncaknya.
Jika dirujuk pada siang, ia adalah seterang-terang cahaya matahari. Ertinya kedatangan baginda membawa rahmatdari Tuhan untuk segala alam, bukan hanya untuk manusia, bahkan binatang, kayu kayan, batu batan dan seluruh ciptaanNya. Berkat cahaya rahmat itu, seluruh makhluk mendapat pembelaan dan tidak boleh diperlakukan sesuka hati.
Jika dirujuk pada bulan, ia adalah kemuncak bulan dalam setahun. Ertinya baginda adalah penutup dan kemuncak para Rasul. Rasul terdahulu didatangkan untuk sesuatu kelompok dan zaman sedangkan Rasulullah SAW didatangkan untuksemua etnik, berlanjutan hingga berzaman.
Jika dirujuk pada bintang, ada bintang 12 yang mana ia adalah bintang yang paling terang di antara beribu bintang yang ada. Ertinya kelahiran Rasulullah SAW membawa syariat yang lengkap, petunjuk dan rahmat yang lengkap dari dunia hingga akhirat. Ajaran yang dibawanya paling sempurna berbanding ajaran Rasul-Rasul sebelumnya.
Rabi’ dari bahasa Arab bererti musim bunga. Kedatangan baginda menjadi contoh akhlak yang mulia dan akhlak yang agung adalah umpama bunga yang cantik dan indah di awal musim bunga.
Ia dikaitkan dengan Abrahah dan tentera bergajahnya dari Yaman. Sewaktu dia menyerang Ka’bah, dia telah merampas harta benda termasuk kambing-kambing bapa saudara baginda, Abu Thalib dan datuknya Abdul Muthalib. Akhirnya Abdul Muthalib keluar lalu bersemuka dengan Abrahah. Beliau meminta supaya dipulangkan semula kambingnya kerana ia adalah miliknya. Manakala tentang Kaabah, beliau berkata terpulanglah kepada Abrahah kerana Ka’bah itu bukan miliknya tetapi milik Allah. Jadi, di sini, terbuka rahsia bahawa keluarga Rasulullah saw masih beragama dengan agama Nabi Ibrahim. Ertinya keturunan baginda terpelihara, bersih dan dijaga oleh Allah.
MENCINTAI NABI MUHAMMAD S.A.W
Kita hidup di dunia ini tidaklah lama. Kalau dipanjangkan umur oleh Allah SWT… tak ada sakit, tidak kemalangan… insyaallah kita akan hidup 70 atau 80 tahun. Itulah lebih kurang purata umur manusia hari ini. Biasanya jangka hayat lelaki lebih kurang 70 tahun, dan wanita 80 tahun. Dan… kita akan hidup di akhirat dalam jangkamasa yang sangat lama, kekal, selama-lamanya, bertrillion-trillion tahun.
Oleh itu, kita mestilah bijak membuat pelaburan dalam menyediakan perbekalan untuk hidup di dunia dan di akhirat. Oleh kerana kita tahu yang kita akan hidup 70 atau 80 tahun di dunia ini, maka kita cari dan sediakanlah bekalan untuk kita makan, pakai dan tinggal di dunia ini untuk jangkamasa 70-80 tahun. Dan… kita cari dan sediakanlah bekalan untuk kita makan, pakai dan tinggal di akhirat sepadan dengan kekalnya kita di sana- iaitu bertrillion trillion tahun.
Sebagai tamsilannya bolehlah kita andaikan yang kita dan keluarga hendak pergi melancong ke Pulau Langkawi dan ke Timur Tengah- negara-negara Arab. Untuk melancong ke Langkawi dalam jangkamasa 3 hari 2 malam, untuk menjadikan sesi melancong kita selesa maka kita memerlukan bekalan sekitar RM 1500 untuk sebuah keluarga kecil. Untuk melancong ke Timur Tengah selama 8 hari 7 malam pula, kita memerlukan bekalan berupa wang ringgit lebih kurang RM 20,000.
Jadi,…antara persiapan dan perbekalan untuk ke Langkawi dengan ke Timur Tengah, yang manakah kita kena usahakan lebih banyak? Sudah tentulah persiapan dan perbekalan ke Timur Tengah. Begitu jugalah bandingan persiapan kita untuk hidup di dunia dengan persiapan kita untuk hidup di akhirat.
“Sediakanlah bekalan untuk hidup di dunia sepadan dengan usia kita iaitu antara 70-80 tahun. Dan… sediakanlah bekalan kita untuk hidup di akhirat sepadan dengan kekalnya kita di sana- iaitu selama-lamanya.”
Namun lihatlah realiti manusia hari ini. Ada orang yang bekerja mencari keselesaan untuk hidup di dunia ini 8 jam sehari, 10 jam sehari malah ada yang 12 jam sehari. Ini tidak salah, malah memang digalakkan. *****a kita berasa sedih kerana melihat perbekalan manusia untuk hidup selesa di akhirat cukup dengan solat 5 waktu sahaja- kalau dicampur-campur maka masanya tak sampai sejam pun sehari. Manusia rasa cukuplah itu sebagai perbekalan untuk makan sedap, pakai pakaian yang selesa dan tinggal di rumah yang mewah.. di akhirat kelak. Betulkah begitu?
Yang kita usahakan 8 jam, 10 jam malah 12 jam sehari untuk mendapatkan bekalan makan, pakai dan tinggal di dunia ini pun tak pernah mencukupi kehendak kita. Maka bagaimana pula bekalan yang kita usahakan hanya sejam sehari kita yakin boleh mencukupi keperluan kita untuk makan, pakai dan duduk di akhirat kelak? fikir-fikirkanlah.
Oleh kerana kita sudah faham yang hidup kita di dunia ini tidak lama, boleh berakhir pada bila-bila masa… maka gunakanlah masa yang ada sebaik-baiknya untuk menyediakan perbekalan-perbekalan untuk hidup di dunia dan hidup di akhirat mengikut pertimbangan yang sesuai dengan tempoh masanya.
Tidak lama lagi kita akan menyambut Maulidurrasul. Imam asy-Syahid Hassan al-Banna sendiri dulu turut menyertai sambutan Maulidur Rasul yang diadakan pada zamannya dan beliau turut sama melagukan nasyid-nasyid berkaitan. Pelbagai aktiviti dan pengisian menarik diadakan, yang boleh kita contohi.
Salah satu sebab kita turut memeriahkan sambutan ini ialah kerana kita melihat adanya ruang-ruang untuk dakwah di dalamnya. Namun kita faham, sambutan Maulidurrasul ini bukanlah perkara wajib atau tuntutan.
Kita ini umat akhir zaman yang tidak pernah melihat Nabi, para sahabat Nabi dan para solehin terdahulu. Iman dan kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW hanya senipis kulit bawang, tidak sepadan dengan kecintaan para sahabat kepada Nabi. Para sahabat melihat sendiri Nabi membuatkan kecintaan mereka kepada baginda sangatlah tinggi. Mereka tidak perlu program-program seperti Maulidurrasul untuk meningkatkan kecintaaan mereka kepada baginda. Tetapi program-program seperti ini memang sangat baik untuk kita yang tidak sempat melihat baginda, dengan kecintaan kita kepadanya yang senipis kulit bawang ini. Tapi syaratnya, program-program itu mestilah yang selaras dengan kehendak agama.
Sesungguhnya mencintai Nabi Muhammad itu wajib, Ini dapat kita fahami daripada hadith-hadith baginda sebagaimana di bawah:
“Tidak beriman seorang daripada kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada yang lain-lain.”
(Bukhari & Muslim)
“Tidak beriman seorang hamba sebelum aku (Rasulullah) lebih dicintainya daripada isterinya, hartanya dan seluruh umat manusia.”
(Bukhari & Muslim)
“Cintailah aku (Rasulullah), kerana Allah mencintai aku.”
(Turmizi)
Abu Razin al-Uqaili bertanya:
“Ya Rasulullah, apakah iman itu?” Jawab baginda: “(Iman itu ialah) Allah dan Rasul-Nya lebih kamu cintai daripada yang lain-lain.”
(Ahmad)
Apakah “cinta”? Secara mudahnya cinta ialah “selalu teringat-ingat, selalu dicakap-cakap”. Apa benda yang banyak kita ingat dan banyak kita cakapkan, maka itulah benda yang kita cinta. Contohnya seorang yang minat memancing, malah sampai ke tahap gila memancing. Pasti dalam fikirannya selalu teringat-ingat tentang hal ehwal memancing. Dia juga berasa suka untuk berbicara tentang pancing-memancing dengan orang-orang yang ditemuinya. Jadi, jika benar kita ini mengaku mencintai Allah dan Nabi, sudah tentulah kita selalu teringat-ingat dan suka berbicara tentang Allah dan Nabi- ringkasnya hal ehwal berkaitan agama.
Benarkah kita mencintai Nabi? Bagaimana cara untuk melahirkan kecintaan kepada baginda? Apa buktinya kita cinta akan dia?
Antaranya kita mestilah mencintai:
1. Al Quran
2. Hukum-hukum yang dibawa olehnya
3. Sunnah-sunnahnya
4. Para ulama iaitu pewaris-pewarisnya
5. Bahasa Arab- bahasa pertuturannya
6. Jihad- jalan yang dirintisnya
Banyak lagi, *****a pada hari ini cukuplah sekadar ini yang kita tampilkan sesuai dengan masa yang kita ada.
*Tazkirah ini disampaikan secara lisan, kemudiannya baru dipindahkan dalam bentuk tulisan. Gaya penyampaiannya diubahsuai sedikit untuk memudahkan pemahaman pembaca.