Sunday, February 16, 2014

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 111

Soal Jawab Agama Siri 111 (Qada' Solat, Wajib Haji Dan Rukun Haji, Harta Isteri Dan Zakat Pertanian)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Soal Jawab Agama Siri 111 adalah membicarakan persoalan qada' solat, jaul-beli di internet, perbezaan wajib haji dengan rukun haji, harta isteri dan kelapa sawit tidak di kenakan zakat pertanian.  

836. Soalan : Bilakah masanya kita dilarang untyuk melakukan solat? Jika terjaga daripada tidur matahari sudah terbit dan habis waktu subuh adakah boleh kita solat qada subuh semasa waktu syuruk? Berapa lamakah masa yang sebaik-baiknya di ambil untuk solat selepas azan (waktu di antara waktu azan dan iqamah)?

Jawapan : 

Hadis sahih daripada Nabi SAW melarang bersembahyang pada 3 waktu iaitu ketika terbit matahari, ketika matahari berada di kemuncak pertengahan dan ketika matahari mula terbenam.

Hadis tersebut ialah:

ثلاث ساعات كان رسول الله صلى الله عليه و سلم ينهانا أن نصلي فيهن أو أن نقبر فيهن موتانا حين تطلع الشمس بازغة حتى ترتفع وحين يقوم قائم الظهيرة حتى تميل الشمس وحين تضيف الشمس للغروب حتى تغرب

Maksudnya : "Tiga waktu Nabi SAW melarang kami sembahyang dan mengebumikan mayat padanya; 1. Ketika terbit matahari, sehingga naik tinggi, 2. Ketika matahari berada di kemuncak pertengahan, sehingga tergelincir. 3. Ketika matahari mula terbenam, sehinggalah ia terbenam." (Hadis Riwayat Muslim (no: 831).

Manakala illah dilarang, disebut dalam hadis Amru bin Abasah r.a, dalam sahih Muslim (no: 832), ringkasannya ialah kerana : 

1. Waktu terbit matahari: kerana matahari terbit antara dua tanduk syaitan, dan orang kafir sujud kepada matahari waktu itu. 

2. Waktu tengahari: ketika itu api neraka begelegak.

3. Waktu terbenam matahari: ia terbenam antara dua tanduk syaitan, dan orang kafir sujud kepadanya waktu itu.

Sebenarnya qada' solat Subuh boleh dilakukan bila-bila masa walaupun dalam waktu-waktu yang dilarang kerana :

1. Nabi SAW memerintahkan qada' dilakukan dengan segera, sebagaimana hadis : “Sesiapa lupa daripada satu sembahyang, hendaklah bersembahyang apabila dia teringat”. (Hadis Riwayat Muslim (no: 680).

2. Larangan solat pada waktu-waktu itu, ialah solat yg tiada sebab. Adapun solat bersebab seperti qada’, atau tahiyyat masjid, ia terkecuali.(Majmuk 4/170).

3. Ada hadis menyebut larangan sengaja memilih waktu tersebut, seperti hadis Nabi SAW yang berbunyi, “Jangan mencari waktu untuk solat pada ketika terbit dan terbenam matahari”. (Hadis Riwayat Bukhari (no: 558).

Orang yang qada’ solat tidak sengaja memilih waktu larangan.

Waktu yang diambil diantara azan dan iqamah :

Antara yg disebut dalam hadis ialah:Dari Jabir r.a.: Sabda Nabi SAW (maksudnya) : "Wahai Bilal, Jadikan antara azan dan iqamah kamu sekadar orang yang sedang makan selesai makannya, orang yang minum selesai minumnya, orang yang qada’ hajat selesai qada’ hajatnya."

Sebaik-baik solat adalah dibuat di awal waktu manakala waktu Isya’ jika boleh dilakukan jemaah pada lewat malam, ia suatu yang baik, kerana sabit Nabi SAW pernah melewatkan solat Isya’ sehingga jemaah di masjid tertidur. Lalu Nabi bersabda (maksudnya) : "Inilah waktunya kalaulah tidak menyusahkan umatku". (Hadis Riwayat Muslim no 638). Wallahu a’lam.

837. Soalan : Adakah beli barang dari internet haram? Sebab ia ada penangguhan dalam memberi barangan kepada pembeli.

Jawapan:

Akad jual beli sah dilakukan melalui internet. Dengan syarat, ia memenuhi segala rukun dan syarat sah jual beli seperti yang dimaklumi dalam kitab-kitab feqah.

Penangguhan penyerahan barang jualan tidak menjejaskan keharusan, sekiranya jual beli tersebut berlaku pada barangan yang diharuskan penangguhan. Contohnya, jual beli barang dengan wang ringgit. Maka, boleh dilakukan pembayaran dahulu dan ditangguhkan penyerahan barangan kemudian.

Tetapi, jika jual beli berlaku pada perkara yang tidak boleh berlaku penangguhan, maka haram berjual beli melalui internet kerana ada penangguhan. Contohnya, pertukaran mata wang tidak boleh ada penangguhan. Maka tidak boleh berlaku akad pertukaran mata wang kecuali dengan kedua belah pihak menyerahkan mata wang masing-masing pada majlis akad. Wallahu a’lam.

838. Soalan : Apakah bezanya di antara wajib haji dengan rukun haji? Kenapakah hanya ada dalam haji tidak dalam ibadat lain? dan adakah disana khilaf diantara ulama?

Jawapan:

Rukun Haji: Ialah perkara yang wajib dilakukan dalam haji, dan jika ditinggalkan salah satu daripadanya, maka tidak sah haji. Ia tidak boleh diganti dengan dam. Seperti: Niat ihram, tawaf ifadhah, saie, wuquf di Arafah dan tahallul.

Wajib Haji : Perkara-perkara yang wajib dilakukan dalam haji, tetapi jika ditinggalkan, haji tetap sah, dan wajib diganti dengan bayaran dam. Seperti: Bermalam di Mina, bermalam di Muzdalifah, Melontar jamrah dll.

Perbezaan antara wajib dan rukun dalam haji adalah disepakati oleh semua ulama, cuma khilaf pada menentukan yang mana wajib dan yang mana rukun.

Adapun dalam ibadah-ibadah selain haji, maka ada khilaf pada perbezaan rukun dan wajib.

Contohnya, dalam sembahyang :

Dalam Mazhab Syafie tidak membezakan antara rukun dan wajib tetapi dalam Mazhab Hanbali membezakan. Rukun wajib dilakukan, dan tidak gugur walaupun lupa. Wajib jika ditinggalkan kerana lupa, hanya diganti dengan sujud sahwi. Wallahu a’lam

839. Soalan : Saya mempunyai mertua yang masih bekerja dengan kerajaan berpendapatan lebih kurang 3,000 sebulan tetapi agak boros dalam berbelanja.

Untuk pengetahuan, di awal perkahwinan dulu, mertua saya suka mengawal perbelanjaan kami suami isteri hinggakan seolah-olah segala urusan melibatkan ekonomi mestilah dirujuk kepadanya. 

Soalan saya, adakah saya ada hak untuk menghalang isteri saya yang bekerja sebagai jurutera yang bergaji lebih kurang RM2500 memberi ibubapanya wang yang saya rasakan ianya berlebihan yang kadang-kadang mencecah RM600 - RM700 sebulan? 

Jawapan:

Seorang isteri berhak sepenuhnya pada harta bendanya, samada untuk memberi sedekah, hibah, hadiah, jual beli dan semua urusan kewangannya tanpa perlu mendapat keizinan suaminya. Inilah pandangan majoriti ulama, Hanafi, Syafie, dan Hanbali.

Dalam urusan kewangan, syarak meletakkan wanita setaraf dengan lelaki tanpa kongkongan. Dalinya:

1. Dalam surah an-Nisaa ayat 6, Allah SWT memerintahkan supaya menguji anak yatim untuk melihat kematangannya dalam menguruskan kewangan. Apabila didapati pandai menguruskan kewangan sendiri, wajib diserahkan hartanya kepada dirinya sendiri. Ini menunjukkan dia bebas menguruskan kewangan tanpa arahan sesiapa.

2. Sabit dalam beberapa hadis, Nabi SAW bersabda maksudnya, “Wahai wanita-wanita, bersedekahlah…”. Nabi SAW tidak mensyaratkan mereka bertanya suami mereka dahulu, dan mereka juga terus bersedekah tanpa merujuk kepada suami masing-masing.

3. Ada pendapat mengatakan wajib diminta izin suami dahulu sekiranya pemberian hibah atau sedekah melebihi 1/3 hartanya. Ia didasarkan kepada satu hadis bermaksud:

“Tidak harus bagi seorang wanita memberi (hartanya) melainkan dengan izin suaminya”.(Hadis Riwayat Abu Daud (no: 3549) dan Nasai (no: 2540).

Walaubagaimanapun, pendapat pertama lebih kuat, kerana hadis yang melarang dipertikaikan kesahihannya. Kata Ibn Hajar: “Dalilnya daripada Kitab dan sunnah adalah banyak”. (Fathul Bari 5/218).

Kesimpulan: Suami tidak ada hak untuk melarang isteri memberi wang bulanan kepada ibu bapanya atau orang lain.

840. Soalan : Hasil kebun sawit kena zakat tanaman ke? 1/10 atau ada jumlah lain?

Jawapan:

Zakat pertanian dikenakan ke atas makanan asasi yang mengenyangkan ke atas sebuah negeri. Hasil tanaman yang wajib dizakatkan adalah bijirin-bijirin dari jenis makanan asasi yang mengenyangkan dan tahan lama jika disimpan seperti padi, kurma, jagung, gandum dan sebagainya.

Oleh itu, tidak dikenakan zakat pertanian ke atas hasil tanaman yang bukan asasi seperti kelapa, kelapa sawit, getah, lada hitam, tebu, koko dan lain-lain.

Di dalam e-fatwa di bawah tajuk: Zakat Komoditi Utama Seperti : Kelapa , Kelapa Sawit, Getah, Lada Hitam, Nenas dan lain-lain, membuat keputusan berikut:

Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (Fatwa) telah membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti mengikut hukum yang muktabar di dalam Islam dan keputusannya adalah seperti berikut :

“Bahawa komoditi utama seperti kelapa, kelapa sawit, getah, lada hitam, nenas dan lain-lain adalah tidak diwajibkan zakat kerana tidak ada nas dan dalil-dalil yang mewajibkan hasil-hasil tersebut dikeluarkan zakat. “

Cuma, jika komoditi tersebut diniagakan, maka ia dikenakan zakat perniagaan.  
Wallahu a'lam 


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML