Sunday, February 16, 2014

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 60

Soal Jawab Agama Siri 60 (Adab-adab Selepas Bayi Dilahirkan, Peranan Ibu Bapa Mendidik Anak-anak Dan Lain-lain)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Soal Jawab Agama Siri 60 adalah menjelaskan persoalan adab-adab selepas bayi dilahirkan, peranan ibu bapa mendidik anak-anak, peroses pendidikan kepada anak-anak dan kelebihan membaca dan belajar al-Quran .

586. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan apakah adab-adab yang dianjurkan Islam selepas bayi yang dilahirkan?

Jawapan :

Setiap manusia akan melahirkan anak kerana anak adalah zuriat keturunan. Dalam Islam setiap anak yang dilahirkan perlulah kepada beberapa adab-adab yang di anjurkan oleh  Islam untuk kita mengamalkannya. Terdapat 10 adab-adab yang perlu di amalkan oleh setiap mukmin untuk menyambut kelahiran bayi kerana anak-anak adalah amanah yang besar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kedua ibu bapa.

10 adab-adab yang disunatkan dalam Islam adalah seperti berikut :

1. Melakukan sujud syukur sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT. Suami boleh lakukan di mana sahaja dia berada ketika itu. Ia elok dilakukan sebaik sahaja anak keluar daripada rahim ibu. Perbanyakkan bacaan zikrullah (tasbih, takbir dan tahmid).

2. Sunat untuk diazankan di telinga bayi sebab ia dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW ketika cucu baginda, Hasan lahir. Imam Ibnu Qayyium memberitahu azan dilakukan supaya kalimat seruan tentang kebesaran Allah SWT menjadi seruan pertama yang didengar oleh bayi.


“Dari Abu Rofi’ maula Rasulullah berkata, “Saya melihat Rasulullah azan sebagaimana untuk solat di telinga Hasan bin Ali saat dilahirkan oleh Fathimah.”
(Hadis Riwayat Abdurrazzaq (7986), Ahmad (6:90), Abu Dawud (5105), Tirmidzi (1514),  Imam Tirmidzi sebagai hadis hasan dan Imam Hakim berkata bahwa sanadnya shahih)

3. Panggilan bagi menyambut anak lelaki adalah disebut "Salamun Zakrun" yang bererti: Salam sejahtera anak lelaki.Manakala panggilan untuk menyambut anak perempuan adalah disebut sebagai "Salamun An-Nisaa" yang bererti: Salam sejahtera anak perempuan.
Memohon doa keselamatan untuk anak supaya dijauhkan daripada gangguan syaitan. Apa-apa sahaja doa yang diketahui oleh ibu bapa boleh dibacakan. Nabi Muhammad SAW juga melakukan amalan ini apabila cucundanya lahir. Amalan ini disebut dalam hadis sahih dari Bukhari. 

4. Sunat memberi ucapan tahniah kepada ibu bapa yang baharu sahaja mendapat anak. Ia ada disebut dalam kitab Imam An-Nawawi. Tujuannya untuk menghulurkan rasa kegembiraan kepada seluruh ahli keluarga yang memperoleh cahaya mata baharu selain mengeratkan kemesraan dan ikatan silaturrahim di antara mereka. Disarankan mereka yang berkunjung melawat bayi turut menghulurkan buah tangan seperti hadiah, wang dan sebagainya kepada ibu bapa tersebut.

5. Tanam uri dengan segera kerana ia adalah benda kotor dan najis. . Sebaiknya bungkus terus dan segera ditanam. Elok ditanam di tanah yang keras dengan mencangkul dalam tanah untuk mengelakkan daripada dikorek dan dimakan binatang. 

6. Sunat menamakan anak yang baharu lahir dengan nama yang elok dan membawa makna baik kerana nama itu yang akan dipanggil di hari akhirat kelak. Nabi SAW menyuruh ibu bapa memberi nama anak pada hari ke-7 atau secepat yang boleh.

7. Sunat melakukkan tahnik atau belah mulut bayi baharu lahir. Tahnik ialah mengunyah buah kurma dan diletakkan sedikit rasanya di dalam mulut bayi. Tahnik bertujuan memohon kepada Allah SWT supaya anak yang dilahirkan mempunyai lidah yang fasih dan terkawal lidahnya daripada menyebut perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan maksiat walaupun perkara ini boleh dilakukan oleh orang yang soleh namun bapa kepada anak tersebut lebih utama melakukan tahnik untuk anaknya kerana hadis riwayat oleh Tirmizi menyebutkan salah satu doa yang paling mustajab ialah doa ibu bapa untuk anaknya”.

8. Sunat membuat aqiqah yang bermaksud penyembelihan binatang ternakan seperti kambing, lebih afdal dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi. Hadis Abu Daud ada menyebut aqiqah dilakukan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT supaya mendekatkan anak kepada Allah. Daging sembelihan hendaklah disedekahkan kepada orang sekeliling supaya mereka tahu tentang kelahiran anak anda. Tetapi jika ibu bapa tidak mampu melakukan aqiqah tersebut pada hari ke 7, 14 dan 21, ia boleh dilakukan sebelum aqil baligh si anak. 

Sunah Rasulullah SAW menyuruh aqiqah dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan.Sunat dicukur keseluruhan rambut anak damit pada hari ketujuh selepas kelahirannya, sama ada anak itu lelaki ataupun perempuan. Menurut pendapat yang ashah, sunat mencukur rambut anak itu selepas menyembelih binatang aqiqah. (Al-Majmu‘: 8/324-325) Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya : "Anak-anak tergadai (terikat) dengan aqiqahnya, disembelih (aqiqah) untuknya pada hari ketujuh (kelahirannya) dan diberi namanya serta dicukur rambutnya." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

9. Mencukur jambul atau rambut anak yang baharu lahir. Menggunting sedikit rambut bayi pada hari ke tujuh adalah sunat. Ini sebagai tanda permulaan kehidupan anak kecil sebagai manusia dan hamba di sisi Allah selain menggalakkan pertumbuhan rambut baharu yang lebih sihat. Selalunya majlis kenduri diadakan untuk menyambut kelahiran bayi. Sesiapa sahaja boleh menggunting rambut baik tetapi lebih baik jika dilakukan orang yang soleh dan keluarga terdekat. Menggunakan buah kelapa dan segala macam campuran seperti garam, beras dan bunga semasa mencukur rambut anak tidak dibenarkan kerana amalan ini diambil daripada budaya Hindu. 

Hal ini bersandarkan kepada hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam daripada ‘Ali bin Abu Thalib katanya yang bermaksud : "Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah beraqiqah untuk Hasan dengan seekor kambing dan baginda bersabda: "Wahai Fatimah! Cukurlah kepalanya (rambutnya) dan bersedekahlah seberat timbangan rambutnya itu dengan perak." (‘Ali) berkata: "Lalu dia (Fatimah) timbang (rambut anaknya itu), maka beratnya adalah satu dirham atau setengah dirham." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

10. Mengkhatankan anak. Hadis daripada Al-Baihaqi menyebut Rasulullah SAW bukan hanya menyembelih kambing tetapi turut mengkhatankan bayi baharu lahir pada hari ketujuh. Berkhatan bagi lelaki bertujuan untuk kebersihan, mencegah penyakit dan seksual. Perkara ini menjadi sunat kepada kaum perempuan dan satu kewajiban bagi lelaki. 

587. Soalan : Apakah dia peranan dan tanggungjawab ibu bapa kepada pendidikan anak-anak supaya mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah?

Jawapan :

Ibu dan bapa memainkan peranan yang besar untuk mendidik anak-anak bermula daripada kandungan ibunya, kemudian ketika dilahirkan dengan adab-adabnya sehinggalah si anak berumur 7 tahun. perlu diajarkan solat dan dipukul ketikan anak berusia 10 tahun jika tidak mahu solat.

Abu Hurairah, dia berkata; "Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda: 'Seorang bayi tidak dilahirkan (ke dunia ini) melainkan ia berada dalam kesucian (fitrah). Kemudian kedua orang tuanyalah yang akan membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani, ataupun Majusi -sebagaimana hewan yang dilahirkan dalam keadaan selamat tanpa cacat. Maka, apakah kalian merasakan adanya cacat? ' Lalu Abu Hurairah berkata; 'Apabila kalian mahu, maka bacalah firman Allah yang berbunyi: '…tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrahnya itu. Tidak ada perubahan atas fitrah Allah.' (Surah Ar Ruum (30) ayat 30).(Hadis Sahih Riwayat Muslim no. 4803)

Nabi SAW menyuruh kita ajar anak solat sejak dari umur 7 tahun dan pukul kalau tidak solat bila umur 10 tahun.

Diriwayatkan daripada Amr bin Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka. (lelaki dan perempuan)." (Hadis riwayat Abu Daud).

Pukul itu pula bukanlah untuk menyeksa, cuma sekadar untuk menggerunkan. Janganlah dipukul bahagian muka kerana muka adalah tempat penghormatan seseorang. Allah SWT mencipta sendiri muka Nabi Adam. Selain itu kita juga dilarang menjatuhkan airmuka orang lain.

588. Soalan : Untuk melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah ibu bapa perlulah memberi pendidikan formal dan tidak formal. Apakah perkara-perkara yang perlu ditekankan dalam proses pendidkan Islam?

Jawapan :

Tanggungjawab ibu-bapa mendidik anak-anak bermula dari buaian hingga ke liang lahad. 

Dibawah ini terdapat lima perkara yang perlu ibu-bapa lakukan untuk menjadikan anak-anak mereka.

1. Cinta Dan Taatkan Allah, Rasul, Al-Quran, Ibu-bapa ,Keluarga dan Umat Islam.

Ibu-bapa bertanggungjawab sepenuhnya menyemai, mengasuh dan membimbing anak-anak supaya mencintai Allah dan Rasulnya. Sifat cinta kepada Allah dan Rasul mestilah mengatasi cinta kepada makhluk yang lain. Ini dijelaskan oleh sabda Rasulullah SAW. : Maksudnya : “Seseorang Muslim dijamin akan mendapat kemanisan iman sekiranya terdapat pada dirinya tiga perkara berikut. Hendaklah Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai daripada selain keduannya, hendaklah ia tidak mencintai seseorang melainkan semata-mata kerana Allah dan hendaklah ia benci untuk menjadi kufur sebagaimana ia benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka”.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Rukun Islam Dan Iman.

Ibubapa perlu mendedahkan dan menerangkan kepada anak-anak tentang rukun Islam dan rukun Iman seterusnya menyuruh mereka menghafal dan mengamalkannya di dalam kehidupan mereka seharian kerana kedua-duanya merupakan asas sebagai seorang muslim dan mukmin sejati. Rukun Islam mengandungi lima perkara dan rukun Iman pula ada enam perkara. 

Kedua-dua rukun ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW. ketika menjawab pertanyaan Malaikat Jibrail a. s.:-

Maksudnya : “Wahai Muhamad! Apakah dia rukun Islam? Rasulullah menjawab: Rukun Islam itu ialah hendaklah engkau mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang, membayar zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan Haji sekiranya mampu. Jibrail berkata: benar jawapanmu. Jibrail berkata lagi: Maka terangkan pula kepadaku tentang apakah dia rukun Iman? Rasulullah menjawab: Rukun Iman ialah hendaklah engkau beriman kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, hari akhirat dan beriman kepada Qadak dan Qadar Allah Taala”. (Hadis Riwayat Bukhari)

3. Menghafaz Ayat-Ayat Lazim.

Ibu-bapa juga perlu menyuruh mereka menghafaz surah-surah dan ayat-ayat lazim supaya lidah mereka fasih membaca Al-Quran, diberi rahmat, cahaya dan perlindungan serta dijaga daripada kejahatan zahir dan batin.

Firman Allah Taala dalam surah Al-Hijr ayat 9:
Maksudnya : “Sesungguhnya Kami (Allah Taala) telah menurunkan Al-Quran ini dan sesungguhnya Kami jugalah yang akan menjaganya”.

Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Al-Quran adalah pemberi syafaat dan kitab yang wajib diyakini (kebenarannya), barangsiapa yang menjadikan Al-Quran di hadapannya, Ia akan memandunya ke syurga dan barangsiapa yang meletakkan Al-Quran di belakangnya pula, Ia akan memandunya ke neraka”.
(Hadis Riwayat Baihaqi)

4. Menunaikan Perintah Allah.

Kanak-kanak pada usia ini hendaklah dilatih dan dibimbing oleh kedua ibu-bapanya supaya menunaikan segala perintah Allah SWT. terutamanya perintah-perintah yang wajib seperti solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menutup aurat, bercakap benar dan akhlak-akhlak yang terpuji.

Firman Allah SWT. dalam surah Taahaa ayat 132:
Maksudnya : “Maka kendaklah kamu (ibu-bapa) memerintahkan kepada ahli keluarga kamu supaya mendirikan sembahyang dan bersabarlah dalam melakukannya (menyuruh melakukan sembahyang tersebut)”.

Sabda Rasulullah SAW. maksudnya : “Ajarkanlah anak-anak kamu mengerjakan solat jika mereka sudah berumur tujuh tahun, dan pukullah (apabila tidak mahu solat) jika mereka sudah berumur sepuluh tahun”.(Hadis Riwayat Hakim)

5. Meninggalkan Larangan Allah.

Setiap ketaatan yang diajar kepada anak-anak juga perlu diiringi dengan perintah supaya mereka meninggalkan larangan Allah dan RasulNya. Ini bagi menjamin mereka sentiasa berada dalam keadaan bersih dan suci dari dosa terutama dosa-dosa yang besar dan tidak mudah terpengaruh dengan bisikan dan ajakan ke arah kejahatan kerana ia akan membawa anak-anak dan ibu-bapanya ke arah api neraka.

Firman Allah SWT dalam surah At-Tahrim ayat 6:
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka yang mana bahan apinya terdiri daripada manusia dan batu-batu”.

589. Soalan : Apakah doa ibu bapa kepada anak-anaknya supaya mereka menjadi hamba Allah yang beriman dan bertakwa.?

Jawapan : 

Doa ibubapa untuk anak-anaknya sangat makbul. Jangan sia-siakan kemuliaan yang Allah kurniakan kepada ibubapa iaitu mustajabnya doa ibubapa untuk anak-anak.  

Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan Ibnu Majah menegaskan tiga golongan jika berdoa pasti dimakbulkan iaitu orang dizalimi, orang musafir dan doa ibu bapa kepada anaknya.

Rugilah bagi sesiapa yang mensia-siakan peluang ini. Setiap ibubapa pasti mengimpikan anak-anak mereka menjadi orang-orang yang berjaya di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat. Gunakan kemuliaan yang Allah kurniakan ini untuk berdoa untuk anak-anak.
Berikut ini adalah panduan doa yang masyhur untuk anak-anak.

1. Doa supaya anak-anak tetap mengerjakan solat:

 Firman Allah SWT yang bermaksud :" Wahai Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mengerjakan solat, Ya Tuhan kami, perkenankanlah doa kami. Tuhanku, ampunilah aku dan ibubapaku serta sekelian sorang-orang mukmin pada hari hisab nanti" (Surah Ibrahim ayat 40-41)

2. Doa mohon keturunan yang soleh, penyenang hati dan menjadi orang yang bertakwa.

Maksudnya : "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami dari isteri dan keturunan kami menjadi penyenang hati kami dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa"
(Surah al-Furqan ayat 74)


Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah mereka telah memeliharanya atau mensia-siakannya.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
590. Soalan : Apakah kelebihan yang akan diperolehi apabila anak belajar al-Quran hingga menjadi hafiz?

Jawapan : 

Al-Quran ialah Kitabullah yang terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Al-Quran merupakan mukjizat daripada Allah SWT, al-Quran juga adalah senjata yang paling mujarab yang melimpah ruah, mata air yang tidak mungkin kering, di dalamnya penuh dengan nur hidayah rahmat dan zikir. 

Dari Usman bin 'Affan ra. telah berkata: Rasulullah SAW. bersabda, "Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah orang yang mempelajari Al Qur'an dan mengajarkannya."
(Hadis Riwayat Bukhari) 

Terdapat kelebihan membaca al-Quran hingga menjadi hafiz atau hafizah adalah :

1. Sebagai Pemberi Syafaat :

Dari Abu Umamah ra. dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Bacalah Al Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat menjadi syafaat (penolong) bagi pembacanya." (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Nawwas bin Sam'an ra. telah berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW. bersabda, "Di hari akhirat kelak akan didatangkan Al Quran dan orang yang membaca dan mengamalkannya, didahului dengan surat Al Baqarah dan Surah Ali-Imran, kedua-duanya menjadi hujjah (pembela) orang yang membaca dan mengamalkannya."
(Hadis Riwayat Muslim)

2. Susah Membaca dan Mempelajarinya Mendapat Dua Pahala.
     
Dari Aisyah ra. telah berkata: Rasulullah saw. bersabda, "Orang yang membaca Al Quran dengan terbata-bata kerana susah, akan mendapat dua pahala."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Perumpamaan Buah Yang Harum Baunya.
  
Dari Abu Musa Al Asy'ari ra. telah berkata: Rasulullah SAW.bersabda, "Perumpamaan orang mukmin yang membaca Al Quran seperti buah Utrujjah (sejenis limau), baunya harum dan rasanya sedap. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Al Quran seperti buah kurma, tidak ada baunya tapi rasanya manis

4. Naik Martabat.

Dari Umar bin al Khatthab ra. bahawa Nabi Muhammad SAW. bersabda, "Sesungguhnya Allah mengangkat (martabat) sebagian orang dan merendahkan sebagian lainnya dengan sebab Al Quran."(Hadis Riwayat Muslim)

5. Iri Hati Boleh Kepada Dua Perkara (Bacaan al-Quran dan Derma Harta)
   
Dari Ibnu Umar ra. dari Nabi Muhammad SAW  telah bersabda, "Tidak boleh iri kecuali pada dua perkara: Laki-laki yang dianugerahi (kefahaman yang sahih tentang) Al Quran sedang dia membaca dan mengamalkannya siang dan malam, dan laki-laki yang dianugerahi harta sedang dia menginfakkannya siang dan malam."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 6. Kelebihan Yang Akan Di perolehi Ibu dan bapa .

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Sesiapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini”. (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Allah SWT juga memberi jaminan ganjaran kepada ahli keluarga bagi hafiz al-Quran sebagaimana Rasulullah SAW sendiri pernah menyatakan bahawa ibu bapa bagi penghafaz al-Quran akan dimuliakan di akhirat termasuk sepuluh orang ahli keluarga yang turut menumpang syafaat memasuki syurga.

Sabda Rasulullah lagi, maksudnya : “Barangsiapa membaca Al Quran dan mengamalkannya, menghalalkannya yang halal dan mengharamkan yang haram maka Allah memasukkannya ke dalam syurga dan dia boleh memberi syafaat 10 orang keluarganya yang sudah pasti masuk neraka.” (Hadis Riwayat Tarmizi)


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML