Sunday, February 16, 2014

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 130

Soal Jawab Agama Siri 130 (Doa Untuk Bayi Menangis, Petua Orang Tua-tua, Berkahwin Dengan Adik Ipar, Haiwan Korban Dan Di Larang Tertawa Mendengar Bunyi Kentut.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal jawab Agama Siri 130 adalah membicangkan persoalan doa untuk bayi menangis, percaya petua orang tua-tua, berkahwin dengan adik ipar selepas bercerai, haiwan korban dan dilarang tertawa bila dengan bunyi kentut.

921. Soalan : Saya nak minta pandangan dan doa-doa dari ustaz bagaimana nak hentikan bayi menangis tengah malam? Sedangkan siang dia tidur lena..seolah-lah ada yang menganggunya untuk tidur..tiap kali menangis kepala dan mata bayi akan mendongak ke atas seolah-olah ada sesuatu yang dipandangnya.

Jawapan : 

Menangis bagi bayi atau anak kecil merupakan perkara biasa, bukan semestinya kerana ada masalah atau kerana kecuaian ibu. Malah menangis merupakan suatu pernyataan bayi atau kanak-kanak sebagai ganti kepada pertuturan yang tidak dapat diluahkan terhadap sesuatu yang berlaku.

Ada bayi yang masih dalam hari tidur nyenyak di siang hari, tetapi mula menangis pada masa-masa tertentu sama ada pada tengah malam, petang ataupun bila-bila masa tanpa sebab yang jelas.

Terdapat juga bayi yang mula menangis apabila tidurnya terganggu, biarpun oleh suara yang perlahan seperti bunyi benda jatuh, bunyi tapak kaki, bunyi pintu tertutup dan sebagainya. Pada kebiasaannya tangisan akibat gangguan tersebut berlaku dalam tempoh yang singkat.

Tangisan biasa selalunya ada kaitan dengan punca yang jelas seperti tercucuk pin pakaian, pakaian terlalu ketat menyebabkan bayi terasa tidak selesa, lampin basah, rasa terlalu panas, sakit perut, dahaga, lapar, rasa kesepian dan sebagainya.

Sesetengah bayi atau anak kecil akan menangis apabila berubah tempat tidur, dari tempat gelap yang biasa dia tidur berpindah ke tempat terang atau sebaliknya. Anak-anak yang dibawa balik kampung menghadiri majlis kenduri mungkin akan menangis kerana suasana tempat tidur yang berubah atau sebaliknya.

Walaupun demikian, tangisan yang memanjang seperti yang berlaku kepada anak puan tidak semestinya mempunyai sebab atau punca yang jelas. Tidak semestinya kerana lapar, dahaga, kesejukan, panas atau kehilangan orang yang selama ini berada di sampingnya, iaitu si ibu.

Ada orang yang mengaitkan keadaan sedemikian rupa, yang dikenali sebagai sawan tangis ini, akibat gangguan makhluk-makhluk halus, tidak kira sama ada gangguan tersebut akibat perbuatan makhluk halus yang dilibatkan dengan perbuatan manusia, ataupun akibat gangguan jin yang menggemari manusia, sejak seseorang itu dilahirkan, yang dikenali sebagai qarin atau makhluk halus yang datang menumpang bersama manusia.

Perkataan qarin berasal daripada bahasa Arab bererti teman atau pasangan. Istilah qarin bererti roh-roh jahat, yang terdiri daripada makhluk-makhluk halus yang sentiasa mendampingi manusia, sejak seseorang itu dilahirkan sehinggalah dia meninggal dunia.

Kewujudan qarin di samping manusia ialah untuk membiasakan, iaitu untuk menggoda atau menyesatkan, sehingga manusia itu tunduk kepada nafsu, yang akhirnya melakukan dosa, tidak kira sama ada dosa itu dosa kecil berpanjangan atau dosa besar seperti membunuh, berzina, makan harta anak yatim dan sebagainya. Cara lain ialah dengan memesongkan iktikad mereka sehingga membawa kepada perbuatan syirik atau murtad.

Dosa-dosa itu tidak diampuni Allah. Walaupun demikian, sekiranya manusia itu beriman dan dilindungi Allah, qarin itu akan menyuruhnya melakukan kebaikan.

Selain itu, qarin juga berusaha untuk mencederakan fizikal dan roh manusia secara bersendirian ataupun dengan perantaraan manusia, menyebabkan manusia menggunakan jin-jin untuk melakukan perbuatan tertentu seperti untuk menyakiti orang lain dan sebagainya. Apabila ini berlaku, maka dari sini terjadilah kegiatan sihir.

Sawan tangis itu ada dua punca utama, iaitu bersifat fizikal seperti kerana lapar, haus dan sejuk, rasa hilang keselamatan diri seperti kehilangan orang yang selalu berada di sampingnya, biarpun buat sementara. Sakit seperti kembung perut atau selesema. Termasuk dalam kategori ini ialah sakit akibat jangkitan kuman dan juga kecacatan anggota seperti terhantuk, terjatuh dan sebagainya.

Punca kedua ialah akibat gangguan makhluk-makhluk halus. Allah menjadikan manusia itu daripada dua unsur utama, iaitu jasad dan roh. Islam mengajar agar anak yang baru dilahirkan diazankan di telinga kanan dan diiqamatkan di telinga kirinya.

Itulah ajaran terawal yang mesti diperhatikan dan dilakukan dengan tujuan agar bayi itu mendengar kalimah Allah sebaik-baik sahaja dilahirkan. Pencipta yang melahirkan bayi yang baru dilahirkan, yang memberi rezeki dan membesarkannya, dan akhirnya akan mematikannya untuk menemui-Nya.

Sekiranya dilakukan demikian, insya-Allah, bayi berkenaan tidak akan diganggu oleh ummu`s-sibyan, iaitu sejenis makhluk jin yang sering mengganggu bayi, yang boleh menyebabkan timbul pelbagai masalah termasuk gangguan tidur pada waktu malam, yang akhirnya boleh menyebabkan demam panas ataupun sawan.

Keterangan ini membuktikan bahawa roh bayi atau anak kecil boleh terganggu akibat gangguan yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar, ataupun melalui eksperimen teknologi moden. Dalam masa tertentu anak tadi kadang-kadang memperlihatkan reaksi luar biasa dengan wajah yang ketakutan seolah-olah sedang melihat satu objek yang menggerunkan di hadapannya.

Mungkin sukar untuk menjelaskan bagaimana gangguan yang tidak dapat dilihat itu boleh mengganggu bayi menyebabkan dia tidak berhenti-henti menangis, terkujat-kujat dan terketar mulut sehingga tidak terdengar suara tangisannya menyebabkan ibu dan juga bapanya menggelabah.

Ada beberapa tanda lumrah yang boleh diperhatikan oleh mata kasar sekiranya bayi atau kanak-kanak itu menangis akibat gangguan seperti yang dijelaskan, bukan disebabkan akibat luaran.Menangis bagi bayi atau anak kecil merupakan perkara biasa, bukan semestinya kerana ada masalah atau kerana kecuaian ibu. Malah menangis merupakan suatu pernyataan bayi atau kanak-kanak sebagai ganti kepada pertuturan yang tidak dapat diluahkan terhadap sesuatu yang berlaku.

Ada bayi yang masih dalam hari tidur nyenyak di siang hari, tetapi mula menangis pada masa-masa tertentu sama ada pada tengah malam, petang ataupun bila-bila masa tanpa sebab yang jelas.

Terdapat juga bayi yang mula menangis apabila tidurnya terganggu, biarpun oleh suara yang perlahan seperti bunyi benda jatuh, bunyi tapak kaki, bunyi pintu tertutup dan sebagainya. Pada kebiasaannya tangisan akibat gangguan tersebut berlaku dalam tempoh yang singkat.

Terlalu banyak kaedah atau usaha boleh dilakukan yang diajar oleh Rasulullah SAW. dalam usaha mengatasi masalah seperti ini, di antaranya ialah dengan membacakan surah al-Fatihah, ayat al-Kursi, surah an-Nas dan surah al-Falaq, kemudian hembuskan pada ubun-ubun anak. Lakukan sebanyak tiga kali. Sekiranya anak-anak ini masih juga menangis, bacakan azan di telinga kanannya dan iqamah di telinga kiri. Lakukan sekali ataupun tiga kali.

Dalam sebuah hadis riwayat oleh Abu Isa at-Tarmizi, katanya telah diriwayatkan oleh Aqabah bin Amir al-Juhani, daripada Nabi SAW sabdanya maksudnya : "Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada aku beberapa ayat yang tidak diperlihatkan seumpamanya, iaitu Qul a'uzu bi rabbinnas dan Qul a'uzu bi rabbilfalaq sehingga akhirnya."

Hadis ini bermaksud bahawa Allah telah menurunkan dua ayat di atas kepada Rasulullah yang mempunyai fadilat yang amat besar, iaitu untuk melindungi diri daripada bahaya teguran hasad dan pandangan mata jahat. Termasuk dalam kategori pandangan mata jahat ialah manusia yang dibantu oleh jin-jin untuk melakukan perbuatan sihir, yang memancarkan pandangan jahatnya kepada mangsa melalui pandangan mata, termasuk bayi atau anak-anak yang menyebabkan berlakunya gangguan roh jahat (jin dan syiatan).

Mudarat akibat daripada pandangan mata jahat memang boleh berlaku. Dalam menghadapi masalah seperti ini Rasulullah membenarkan Asma' Binti Umays (isteri seorang sahabat) untuk meminta pertolongan kepada orang yang tahu menjampi dalam usaha untuk menolong merawat anak Jaafar, iaitu saudara kepada Ali Abu Talib. Wallahu a'lam

922. Soalan : Di sini saya ingin bertanyakan satu soalan berkaitan dengan hukum mempercayai petua orang tua-tua. Mengikut petua orang tua-tua, membunuh binatang yang berdarah adalah tidak dibolehkan semasa isteri sedang mengandung ... takut terkenan katanya. Bagaimana pula jika suami tersebut membunuh cicak yang terlalu banyak di rumah dan bagaimana pula jika beliau membunuh serangga perosak seperti semut, lalat, nyamuk dan lain-lain? ....

Jawapan :

Tidak ada apa yang sisebutkan sebagai kenan. Kepercayaan ini adalah khurafat dan bercanggah dengan ayat-ayat alQur'an, antaranya: 

1. Firman Allah SWT maksudnya,"(Apakah mereka akan mengikut juga akan petua-petua nenek moyang mereka), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk." (Surah al-Baqarah ayat 170)

2. Firman Allah SWT maksudnya, "Dan pada sisi Allah jualah, anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia-lah sahaja." 
(Surah al-An'am ayat 59)

3. Firman Allah SWT maksudnya, "Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib itu kepada sesiapa pun, kecuali kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya." (Surah al-Jinn ayat 26-27)

4. Firman Allah SWT maksudnya, "Katakanlah:'Tidak akan menimpa kami selain apa yang telah ditetapkan Allah untuk kami..." (Surah al-Taubah ayat 51)

Tidak ada larangan menyembelih binatang, membunuh binatang yang memudharatan manusia atau membunuh binatang dan makhluk yang merbahaya walaupun isteri sedang mengandung. Kenan itu adalah kepercayaan orang purbakala dan animisma yang tidak didatangkan petunjuk ke atas mereka. Islam datang dan telah membersihkan kepercayaan khurafat tersebut. Bunuhlah lalat, nyamuk, lipas dan cicak seperti biasa.

Rujukan: 
1. Prof (alMarhum) Mutawalli Sya'arawi: asSihr wal hasadu, Akhbarul Yaum, Cairo 
2. Syaikh Atiyyah Saqr, Islam wa Musykilatul hayah, Kuwait 
3. Ustaz Ismail Awang, Adat Orang-Orang Melayu yang bertentangan dengan Aqidah Islam, Pustaka Aman Press Kelantan, 1996.

923. Soalan ustaz bolehkah seseorang berkahwin dengan adik iparnya iaitu adik kandung isterinya sesudah isterinya bercerai dengan suaminya? Terima kasih

Wasalam

Jawapan:

Diantara pernikahan yang dilarang dalam al-Quran adalah menikahi dua orang wanita bersaudara. Allah SWT menyebutkan salah satu wanita yang tidak boleh dikawini, diantaranya,

وَأَنْ تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ

”Kalian tidak boleh menggabungkan dua wanita bersaudara.” (Surah An-Nisa' ayat 23).

Maknanya, seorang lelaki dilarang berkahwin dengan dua wanita bersaudara, sehingga keduanya bersama-sama menjadi isteri satu orang. Diantara hikmah adanya larangan ini adalah agar pernikahan ini tidak memutus hubungan silaturahim diantara kedua saudara tersebut.

Oleh kerana itu, jika isteri pertama sudah berpisah, samaada melalui perceraian mahupun kerana meninggal dunia, maka suami boleh menikahi adik isterinya, kerana sudah tidak lagi bercampur dua wanita bersaudara.

Apakah Harus Menunggu Masa Iddah?

Sebagai gambaran, Si X dan si Y adalah dua wanita bersaudara. Lelaki A menikah dengan si X. Kemudian terjadi perceraian. Jika si A ingin menikahi si Y, apakah harus menunggu masa iddah (3 kali haid)?

Sebelumnya, perlu difahami bahawa perceraian antara suami istri, ada 2 keadaan:

1. Talak raj’i, iaitu talak yang masih memungkinkan untuk terjadinya rujuk. Itulah talak satu dan talak dua sebelum masa iddah selesai.

2. Talak Ba’in, iaitu talak yang tidak mungkin terjadi rujuk. Itulah talak tiga.

Dalam menghuraikan perkara di atas :

Pertama, jika perceraian yang terjadi adalah talak raj’i, maka suami harus menunggu selesainya masa iddah isteri pertamanya, untuk boleh berkahwin dengan adik isterinya.

Kedua, jika perceraian yang terjadi adalah talak ba’in, maka suami boleh langsung bernikah adik isterinya, tanpa harus menunggu selesainya masa iddah isteri pertamanya. Dan ini adalah pendapat Said bin Musayib, Hasan al-Bashri, Urwah bin Zubair, as-Syafii, Abu Tsaur, Abu Ubaid, Ibnul Mundzir, dan beberapa ulama lainnya.

Al-Qurthubi mengatakan,

وَأَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ عَلَى أَنَّ الرَّجُلَ إِذَا طَلَّقَ زَوْجَتَهُ طَلَاقًا يَمْلِكُ رَجْعَتَهَا أَنَّهُ لَيْسَ لَهُ أَنْ يَنْكِحَ أُخْتَهَا أَوْ أَرْبَعًا سِوَاهَا حَتَّى تَنْقَضِيَ عِدَّةُ الْمُطَلَّقَةِ

Ulama sepakat bahawa seorang lelaki yang menceraikan isterinya talak raj’i, maka dia tidak boleh menikahi saudara isterinya, hingga selesai masa iddah isteri yang ditalak. Wallahu a'lam.

924. Soalan : Apakah benar, di akhirat nanti haiwan yang kita korbankan, bulunya, tanduknya, dan kukunya haiwan korban itu akan didatangkan dan akan menolong orang yang berkorban? Minta pencerahan ustaz.

Jawapan:

Terdapat sebuah hadis dari A’isyah radhiyallahu ‘anha, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda,

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya, “Tidak ada amalan manusia yang lebih dicintai oleh Allah untuk dilakukan pada hari Nahr (Idul Adha), melebihi amalan mengalirkan darah (korban). Kerana korbannya akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya, dan kukunya. Dan darahnya akan menetes di tempat yang Allah tentukan, sebelum darah itu menetes di tanah. Untuk itu hendaknya kalian merasa senang kerananya.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Turmudzi no 1493, Ibn Majah 3126, al-Hakim dalam al-Mustadrak 7523. Dalam sanad hadis ini terdapat perawi bernama Abdullah bin Nafi’ dan Sulaiman bin Yazid (Abul Mutsanna), dari Hisyam bin Urwah, dari ayahnya Urwah bin Zubair.

Tentang Abdullah bin Nafi’, Ibnul Jauzi (w. 597 H) menyatakan,

قال يحيى عبد الله بن نافع ليس بشيء وقال النسائي متروك وقال البخاري منكر الحديث وقال أبن حبان لا يحتج بأخباره

”Yahya bin Main mengatakan, ’Abdullah bin Nafi tidak teranggap.’ Nasai menyebutnya, ’Perawi yang ditinggalkan.’ Sementara Bukhari menegaskan, ’Munkarul Hadis.’ Dan Ibnu Hibban mengatakan, ’Beritanya tidak diterima sebagai dalil.” (al-Ilal al-Mutanahiyah, 3/569).

Imam adz-Dzahabi (w. 748 H) mengatakan: “Sulaiman orang yang lemah dan sebagian ahli hadis meninggalkannya.” al-Baghawi (w. 317 H) mengatakan: “Hadis ini dinilai sangat dhaif oleh Abu Hatim.” (Silsilah Ahadits ad-Dhaifah, no. 526).

Dengan demikian, keterangan yang tersebar di masyarakat bahawa haiwan korban akan datang pada hari kiamat, bersama tanduk, bulu, dan kukunya adalah keterangan yang bersumber dari hadis dhaif, yang tidak boleh dipertanggung jawabkan keabsahannya.

Kita boleh menggalakkan orang lain untuk berkorban, tanpa menyebutkan hadis yang tidak boleh dipertanggung jawabkan kesahihannya. Wallahu a'lam.

925. Soalan : Adakah boleh seseorang mentertawakan rakannya yang terkentut dengan bunyi yang kuat?

Jawapan :

Diantara adab dalam Islam yang diajarkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah tidak menghina keadaan orang lain, yang dirinya sendiri juga melakukannya. Kentut adalah bagian dari rangkaian metabolisme tubuh manusia. Sehingga semua orang yang normal mengalaminya. Untuk itu, ketika kita mendengar ada orang yang kentut, kita dilarang menertawakannya. Kerana kita sendiripun pernah mengalaminya.

Dari sahabat Abdullah bin Zam’ah radhiyallahu ‘anhu, Suatu hari Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menyampaikan khutbah. Baginda menceritakan tentang kisah unta Nabi Saleh yang disembelih kaumnya yang menentangnya. Baginda menafsirkan firman Allah SWT di surat as-Syams. Kemudian baginda menasihati agar bersikap lembut dengan wanita, dan tidak boleh memukulnya.

Kemudian baginda menasihati sikap sahabat yang tertawa ketika mendengar ada yang kentut.

إِلَامَ يَضْحَكُ أَحَدُكُمْ مِمَّا يَفْعَلُ؟

Maksudnya, “Mengapa kalian mentertawakan kentut yang kalian juga biasa mengalaminya.” (Hadis Riwayat Bukhari 4942 dan Muslim 2855).

Menertawakan Kentut Kebiasaan Jahiliyah

Dalam Tuhfatul Ahwadzi, Syarh Sunan Turmudzi, Al-Mubarokfuri mengatakan,

وكانوا في الجاهلية إذا وقع ذلك من أحد منهم في مجلس يضحكون فنهاهم عن ذلك

“Dulu mereka (para sahabat) di masa jahiliyah, apabila ada salah satu peserta majlis yang kentut, mereka tertawa. Kemudian beliau melarang hal itu.” (Tuhfatul Ahwadzi, 9/189).

Imam Ibnu Utsaimin menjelaskan,

الإنسان إنما يضحك ويتعجب من شيء لا يقع منه، أما ما يقع منه؛ فإنه لا ينبغي أن يضحك منه، ولهذا عاتب النبي صلى الله عليه وسلم من يضحكون من الضرطة؛ لأن هذا شيء يخرج منهم، وهو عادة عند كثير من الناس.

Umumnya orang akan menertawakan dan heran dengan sesuatu yang tidak pernah terjadi pada dirinya. Sementara sesuatu yang juga dialami dirinya, tidak selayaknya dia menertawakannya. Kerana itulah, Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mencela orang yang menertawakan kentut. Kerana kentut juga mereka alami. Dan semacam ini (menertawakan kentut) termasuk adat banyak masyarakat. (Syarh Riyadhus Sholihin, 3/120).

Kemudian Imam Ibnu Utsaimin juga menyebutkan satu kaidah,

وفي هذا إشارة إلى أن الإنسان لا ينبغي له أن يعيب غيره فيما يفعله هو بنفسه

Ini merupakan isyarat bahawa tidak sepatutnya bagi manusia untuk mencela orang lain dengan sesuatu yang kita juga biasa mengalaminya. (Maroji’ : syarh riyadlush sholihin, (Syarh Riyadhus Sholihin, 3/120).
Read More

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 129

Soal Jawab Agama Siri 129 (Punca Penyakit Hasad Dengki, Cemburu Yang Di Benarkan, Hukum Menggunakan Sihir Dan Lain-lain lagi)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 129 adalah membicangkan persoalan kenapa berlaku penyakit hasad dengki, cemburu (iri hati) yang dibenarkan , hukum menggunakan sihir, sihir di gunakan kerana hasad dengki dan contoh hasad dengki di zaman Rasulullah SAW.

921. Soalan : Ada orang yang suka hasad dengki dengan kejayaan orang lain samaada kerjaya dan perniagaan hingga porak peranda masyarakat di buatnya. Bolehkah ustaz huraikan kenapa keadaan ini boleh berlaku?

Jawapan :

Sifat hasad dengki adalah berpunca daripada hati yang kotor, hati yang berpenyakit dan hati yang sakit. Sifat ini adalah salah satu cabang daripada sifat mazmumah dan sifat yang sangat dibenci oleh Allah SWT.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Waspadalah terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api memakan kayu." (Hadis Riwayat Abu Dawud)"

Betapa bahayanya sifat hasad dengki bukan sahaja mengikis pahala-pahala yang di buat oleh seseorang itu sebagaimana api memakan kayu api tetapi penyakit ini akan mengundang untuk mendapat laknat Allah SWT., sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Ada tiga macam orang yang terkena laknat Allah SWT iaitu seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya". (Hadis Riwayat Ad Dailami daripada Umar r.a)

Terdapat tujuh faktor yang menimbulkan perasaan hasad dengki tersebut. iaitu :

Pertama : Perasaan Permusuhan dan Kebencian

Pendekkata perasaan hasad dengki sentiasa bergandingan dengan perasaan marah dan permusuhan. Mungkin dia pernah di malukan atau dihina maka timbul perasaan dendam dan kebencian. Sifat marah yang ada hingga hilang pertimbangan yang waras, jiwanya sudah hilang sifat pemaaf.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : ”Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Kedua : Merasa Diri Mulia

Perasaan ini manifestasinya ialah seseorang itu merasa keberatan kalau ada sesiapa yang dianggapnya mengatasi dirinya. Dia tidak rela kalau ada orang lain melebihinya. Kalau ada orang –orang sepertinya yang mendapat lebih pangkat, kuasa, ilmu dan harta, dia bimbang kalau-kalau orang tersebut akan bersikap sombong terhadapnya. Dia tidak boleh tahan dengan sikap mengatasi yang ditunjukkan oleh saingannya itu. Malah dia tidak boleh menerima apa yang dirasakannya sebagai sikap mengatasinya dan mulalah timbul hasad dengki.

Ketiga : Takabbur

Jelasnya seorang itu mempunyai watak membesarkan diri terhadap orang lain, selalu memperkecilkan dan mempergunakan seseorang untuk kepentingan dirinya. Ia menganggarkan seseorang itu mematuhinya. Apabila orang berkenaan menerima atau memperolehi sesuatu kurnia ia khuatir kalau-kalau orang itu tidak lagi merelakan diri untuk mengikut arahannya. Akhirnya orang yang telah mendapat kurnia tersebut akan enggan mengikutinya, atau boleh jadi ia menganggap orang tersebut akan cuba pula menyainginya.

Sebenarnya, perasaan sombong atau takabbur boleh berlaku apabila timbulnya suatu pandangan terhadap orang lain dengan pandangan yang kecil dan hina.

Keempat : Ujub (bangga diri)

Iaitu merasai atau menyangkakan dirinya lebih sempurna. Orang yang bersifat ‘ujub adalah orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan.
Dengan itu, maka timbullah perasaan menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa tiap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.

Kelima : Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan

Biasanya perasaan hasad dengki ini wujud dalam kalangan orang yang saling berlumba-lumba merebut sesuatu habuan terutama di dalam perniagaan. Tiap orang akan merasa dengki kepada saingannya apabila saingannya mendapat suatu kelebihan yang boleh membantu dirinya sahaja membolot habuan yang menjadi tujuan mereka tadi.

Keenam : Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti

Berlumba-lumba mengejar pangkat kedudukan , atau berusaha menjadi ketua supaya dapat pengaruh, kuasa dan kedudukan di dalam pejabat atau masyarakat. Jika usaha-usahanya gagal maka timbul di dalam dirinya hasad dengki dan untuk menjatuhkan lawannya.

Ketujuh : Busuk Hati

Perasaan busuk hati ini kalau ada pada seseorang maka ia akan bersikap tidak suka sesuatu kebaikan diperolehi oleh hamba Allah yang lain. Apabila disebutkan dihadapannya tentang kesenangan mana-mana hamba Allah, sempit hatinya mendengar perihal tersebut. Akan tetapi apabila dinyatakan pula sebaliknya, umpama tentang kesusahan, kegagalan dan nasib malang menimpa orang lain maka ia merasa gembira dan suka hati.

922. Soalan : Kita sebagai manusia memang tidak boleh mengelak dari memiliki perasaan cemburu ini. Jadi cemburu bagaimana yang dibenarkan dalam Islam?

Jawapan :

Setiap manusia tidak boleh mengelakkan diri daripada perasaan cemburu kerana sifat ini sudah sedia ada di dalam diri manusia. Tetapi ada cemburu yang dibenarkan di dalam Islam iaitu sebagaimana hadis daripada Abdullah bin Mas'ud r.a.. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Tidak boleh iri hati kecuali pada dua hal: (iri ter­hadap) orang yang dikurniakan Allah dengan harta kemudian membelanja­kannya dalam kebenaran dan (iri terha­dap) orang yang dikaruniai Allah dengan ilmu kemudian mengamalkannya dan mengajarkannya’.” (Muttafaq ‘Alaih).

Huraian hadis :

Ciri Iri yang Positif. :

Iri (cemburu) yang positif, maka semua pernyataan dan tindakan yg dilakukan pun akan positif. Bahkan memuji dan menghargai orang yang di iri tersebut dengan setulus hati.

Iri (cemburu) yang positif boleh juga disebut mencontohi atau mengikut kebaikan orang lain untuk di amalkan pada diri sendiri.

Iri (cemburu) adalah perasaan yang dilarang dalam ajaran agama. Namun ada iri yang diperbolehkan adalah iri ingin mendapatkan kenikmatan yang diperoleh orang lain yang kenikmatan itu dipergunakan dalam kebaikan, sehingga menambah rasa iri atau mengimpi-impikannya untuk dia pula buat kebaikan.

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama."
(Hadis Riwayat Tirmizi).

Jadi iri yang dibolehkan ternyata ada 2 jenis, iaitu orang kaya dan orang berilmu dengan syarat:

1. Kaya digunakan untuk kebaikan.

2. Berilmu (pandai) dan mengajarkannya kepada orang lain.

Terhadap dua orang itu kita boleh iri (cemburu)

Hal demikianlah yang diterangkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam hadis di atas, yakni dibolehkannya kita mengimpikan kebaikan-kebaikan yang dilakukan oleh orang-orang yang diberi karunia harta dan ilmu. Begitulah bentuk syukur orang-orang yang mendapatkan keduanya dari Allah SWT. Mereka yang diberi harta mensyukurinya dengan menginfakkan hartanya di jalan yang Allah redhai, se­dangkan mereka yang diberi ilmu men­syukurinya dengan mengamalkan dan mengajarkannya.

Perasaan iri (cemburu) berlaku juga dikalangan sahabat Muhajirin yang miskin. Lalu mereka berjumpa Rasulullah SAW. untuk mengadu.

Dari Abu Hurairah r.a, ia menga­takan, “Orang-orang miskin dari kalang­an Muhajirin datang mengadu kepada Rasulullah SAW, mereka berkata, ‘Orang-orang yang ada banyak harta mendapatkan kedudukan yang tinggi dan kenikmatan yang abadi.’

Rasulullah SAW bertanya, ‘Mengapa de­mi­kian?’

Mereka menjawab, ‘Mereka me­mang solat seperti juga kami dan mereka berpuasa seperti juga kami. Namun mereka bersedekah sedangkan kami tidak dan mereka membebaskan hamba sedangkan kami tidak.’

Lalu Rasulullah SAW bersabda (maksudnya), "Mahu­kah kalian jika aku memberi tahu kalian tentang sesuatu yang kalian terima dan dapat melampaui mereka dan kalian berada dalam garda terdepan bagi orang-orang setelah kalian serta tak ada yang lebih utama daripada kalian semua kecuali orang yang mengerjakan apa yang kalian lakukan ini?’

Mereka menjawab, ‘Tentu, wahai Rasulullah.’

Lalu baginda SAW bersabda, ‘Hendaklah kalian bertasbih, bertakbir, dan bertah­mid setiap selesai solat masing-masing sebanyak 33 kali.’

Setelah itu mereka kembali meng­ha­dap Rasulullah SAW, dan mengadu, ‘Saudara-saudara kami orang-orang kaya itu mendengar apa yang telah kami lakukan, lalu mereka pun turut melaku­kannya juga.’

Maka Rasulullah SAW bersabda, ‘Itulah karunia Allah yang diberikan-Nya kepada siapa saja yang dikehendaki-Nya’.” (Muttafaq `Alaih). Sifat iri bukan kerana benci tetapi kerana nak berlumba-lumba membuat kebaikan, maka sikap seperti ini di benarkan syarak.

923. Soalan : Ada juga orang dengki sampai menghantar sihir. Bagaimana Islam memandang perkara ini?

Jawapan :

Jika seseorang itu menggunakan khidmat bomoh untuk menghantar sihir kepada orang yang dibencinya kerana hasad dengki maka perbuatan tersebut adalah haram dan berdosa besar. Pelakunya akan mendapat laknat Allah SWT dan boleh jatuh kepada syirik.

Sabda Nabi s.a.w bermaksud: “Barangsiapa datang kepada tukang tenung (bomoh), kemudian dia membenarkan perkataannya, maka sembahyangnya tidak diterima oleh Allah selama 40 hari.”(Hadis Riwayat Muslim).

Bomoh yang menggunakan khidmat jin atau syaitan akan menggunakan ilmu sihir untuk melakukan penyihiran kepada seseorang yang meminta tolong kepadanya. Sifat hasad dengki yang di dorong oleh hawa nafsu sudah tidak kira sesuatu perbuatan itu samaada halal atau haram sedangkan amalan sihir adalah perbuatan yang amat dilarang keras oleh Nabi SAW.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan bertilik nasib (menggunakan khidmat bomoh) adalah najis (haram) dan ia daripada perbuatan syaitan.”(Surah al-Maidah, ayat 90)

Orang yang menggunakan sihir sebenarnya sudah hilang iman di dalam dadanya kerana sanggup menjadi hamba kepada jin dan syaitan. Bomoh yang menjalankan sihir akan menyuruh orang yang meminta tolong supaya melakukan perkerjaan kurafat dan syirik untuk menjayakan sihir yang dilakukan. Perbuatan ini bukan saja berdosa besar tetapi boleh menjadikan sesorang menjadi syirik kerana bergantung kepada kekuasaan jin-jin kafir dan syaitan yang melakukan pekerjaan sihir tersebut.

924. Soalan : Sihir dan ilmu hitam sinonim dengan masyarakat melayu untuk tujuan merosakkan kehidupa orang lain kerana hasad dengki, adakah perbuatan yang sama berlaku dalam bangsa-bangsa lain juga?

Jawapan :

Ilmu Sihir adalah ilmu yang menggunakan khidmat jin-jin kafir dan syaitan atau dipanggil juga ilmu hitam. Ilmu ini telah wujud di zaman kerajaan Sulaiman a.s , kerajaan Firaun, zaman Rasulullah SAW sehingga zaman kita. Ilmu sihir bukan saja terdapat dikalangan masyarakat melayu tetapi semua bangsa ada ilmu sihir mereka masing-masing.

Masyarakat yang terkenal dengan penggunaan ilmu sihir adalah masyarakat orang asli yang mengamalkan penyembahan kepada semangat (jin kafir dan syaitan), masyaraakat beragama Budha di Thailand dan sebagainya. Hasad dengki menggunakan ilmu sihir juga berlaku dikalangan bangsa-bangsa lain tetapi tidaklah seteruk masyarakat melayu. Berlaku pergeseran sedikit saja sudah sanggup menggunakan bomoh apatah lagi jika musuhnya mendapat kejayaan di dalam bidang perniagaan atau pelajaran.

925. Soalan : Ustaz boleh cerita kisah teladan mengenai wanita yang mempunyai penyakit hasad dengki ini yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Jawapan :

Wanita yang terkenal dizaman Rasulullah SAW yang mempunyai penyakit hasad dengki adalah Ummu Jamil ( Isteri Abu Lahab) nama sebenarnya adalah Arwah binti Harb. Beliau akan diazab sebagaimana suaminya diazab di dalam neraka. Arwah binti Harb adalah saudara perempuan Abu Sofyan bin Harb. Dia diazab kerana usahanya menyebarkan fitnah dan memadamkan dakwah Nabi Muhammad SAW. Orang Arab mengatakan bahawa, orang yang berusaha menyebarkan dan merosak hubungan antara manusia adalah seolah-olah ia membawa kayu api antara manusia, seakan-akan dia membakar silaturahim antara mereka.
Adapula yang menyatakan bahawa isterinya itu menaruh duri, pecahan kaca dan kotoran pada jalan yang biasa dilalui oleh Nabi Muhammad SAW., untuk menyakiti baginda.

Isteri Abu lahab, rendah budinya dan jahat amal perbuatannya. Pada lehernya selalu ada seutas tali yang kuat, digunakannya untuk memikul duri-duri yang akan diletakkannya pada jalan yang dilalui Nabi. Ini adalah penghinaan untuk dia dan untuk suaminya.

Maksudnya, isteri Abu Lahab begitu hebat usahanya untuk menyalakan permusuhan antara manusia, sehingga Allah mengisahkan dia sebagai seorang perempuan yang membawa kayu bakar yang digantungkan pada lehernya kemana saja ia pergi. Ini adalah seburuk-buruknya perumpamaan bagi seorang perempuan.

Telah diriwayatkan dari Said bin Musayyab; bahwa Ummu Jamil (panggilan isteri Abu lahab) mempunyai sebuah kalung yang sangat mahal, ia berkata,: "Sesungguhnya saya akan mempergunakan harga kalung ini untuk memusuhi Muhammad", lalu Allah menggantikan kalung tersebut dengan kalung dari api neraka.

Tetepi selepas baginda S.A.W. diangkat menjadi Rasul, Ummu Jamil dan Abu Lahab menjadi orang yang paling kuat menentang Rasulullah S.A.W. Mereka juga bertindak menyuruh kedua-dua orang anaknya menceraikan isteri masing-masing.(anak-anak Rasulullah SAW)

Ternyata Utbah dan Utaibah berpihak kepada ibu dan ayah mereka. Berani pula Utaibah menunjukkan sikap kurang ajar kepada bekas bapa mertuanya. Dengan angkuh dan sombong dia mengherdik Rasulullah S.A.W. "Wahai Muhammad! Aku ceraikan puterimu dan aku tinggalkan agamamu. Aku tidak akan mengikutmu lagi."

Walaupun terguris hati dengan tindakan biadab itu, Rasulullah S.A.W. menerimanya dengan lapang dada. Semua kehendak Allah SWT. Allah SWT memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Akhirnya semua mereka Ummu Jamil, Abu Lahab dan kedua anak-anak mereka mati di dalam kehinaan dan kekafiran.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ (1) مَا أَغْنَى عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ (2) سَيَصْلَى نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ (3) وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ (4) فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِنْ مَسَدٍ (5)

Maksudnya : “Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa (1). Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan (2). Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak (3). Dan (begitu pula) istrinya, pembawa kayu bakar (4). Yang di lehernya ada tali dari sabut (5)”. (Surah Al Lahab (111) ayat 1-5).
Read More

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 128

Soal Jawab Agama Siri 128 (Kisah Tha'labah, Memakai Krim Anti Penuaan, Harta Anak Yatim, Menanggung Dosa Dan Nabi SAW Pernah Di sihir)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal jawab Agama Siri 128 adalah membicangkan persoalan kisah Tha'labah bin Hatib, memakai krim anti-penuaan, pemegang wasiat harta anak yatim , menanggung dosa orang lain dan Nabi SAW pernah disihir.

916. Soalan : Benarkah kisah sahabat Nabi SAW Tha’labah bin Hatib yang kononnya miskin, lalu dia meminta Nabi SAW doakan agar dia kaya, apabila dia kaya dia tak mahu membayar zakat, lalu al-Quran mengutuk perbuatannya itu. Kisah ini selalu dijadikan bahan ceramah.

Jawapan: 

Kisah ini yang sering disebut oleh ramai pendakwah sebagai satu contoh buruk. Tha’labah dikatakan meminta agar Nabi SAW. mendoakan kekayaannya. Apabila beliau kaya dan berharta beliau enggan memberi zakat. 

Kononnya, Al-Quran turun mengutuk perbuatan tersebut dalam Surah al-Taubah: 75-77:

وَمِنْهُمْ مَنْ عَاهَدَ اللَّهَ لَئِنْ آتَانَا مِنْ فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنْ الصَّالِحِينَ(75)فَلَمَّا آتَاهُمْ مِنْ فَضْلِهِ بَخِلُوا بِهِ وَتَوَلَّوا وَهُمْ مُعْرِضُونَ(76)فَأَعْقَبَهُمْ نِفَاقًا فِي قُلُوبِهِمْ إِلَى يَوْمِ يَلْقَوْنَهُ بِمَا أَخْلَفُوا اللَّهَ مَا وَعَدُوهُ وَبِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ

Maksudnya: "Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: 'Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh”. Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya; dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan)."

Rasulullah S.A.W dikatakan wafat dalam keadaan tidak menerima zakatnya. Begitu juga Abu Bakr dan `Umar r.ahuma selepas itu enggan menerima zakatnya. Beliau dikatakan meninggal pada zaman pemerintah `Uthman bin `Affan r.a.

Memang tidak dinafikan ramai para penafsir telah mengaitkan ayat ini dengan Tha’labah dan dia dianggap dari golongan munafik berdasarkan ayat di atas. Sedang Ibn Hajar al-`Asqalani menyebut di dalam al-Isabah bahawa dia adalah ahli perang Badr. Kita hendaklah sedar, jika dia ahli Perang Badr, maka Ahli peperangan Badar tidak mungkin menjadi seorang munafik. Kesemua ahli Badr adalah ahli syurga. Di sana ada fadilat khas yang diberikan untuk ahli peperangan Badar. 

Nabi SAW bersabda :

لَعَلَّ الله اطَّلعَ عَلى أهْلِ بَدْرٍ فقـال “اعـمَلوا مَا شِـئْتُم فَقَد وَجَبَتْ لَكُمُ الجَنَّةُ أو فقد غَفَرْتُ لكم”

Maksudnya : ”Allah melihat kepada ahli Perang Badar dan berfirman ” buatlah apa yang kamu suka sesungguhnya telah pasti untuk kamu syurga atau Aku telah ampuni kamu semua” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Dia dikatakan terbunuh di dalam peperangan Uhud. Dengan itu al-Hafizd Ibn Hajar menafikan kesahihan cerita tersebut (Al-Isabah, 1/206). 

Demikian juga al-Imam Ibn Hazm (meninggal 456H) dalam al-Muhalla menganggap kisah ini sebagai batil tanpa syak (Ibn Hazm, Al-Muhalla, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah). 

Antara ulama dahulu yang mengkritik riwayat ini Ibn `Abd al-Barr (meninggal 463H), al-Haithami الهيثمي (meninggal 807H) dan lain-lain. 

Ulama zaman ini yang mengkritik riwayat ini antaranya al-Syeikh Ahmad Muhammad Syakir, al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani, al-Syeikh Muqbil bin Hadi al-Wadi`I dan lain-lain. 

atu buku khas mengkritik riwayat ini telah ditulis oleh `Adab عداب bin Mahmud al-Himsy الحمش bertajuk ثعلبة بن حاطب الصحابي المفترى عليه yang bermaksud Tha’labah bin Hatib, seorang sahabah yang didustai ke atasnya, adalah satu tulisan yang baik untuk dibaca.

Oleh itu wajar berhati-hati agar kita tidak mentohmahkan sahabah tanpa asas yang kukuh. Walaupun tidak dinafikan cerita ini begitu tersebar dan buku-buku tafsir, namun sikap mengkaji dan meneliti sangat penting.

917. Soalan : Saya hendak tanya adakah di bolehkan syarak jika seorang muslim memakai krem anti penuaan ( anti ageing cream) adakah ia di bolehkan? Saya hendak tahu dalil-dalil atau qaul ulama mengenai hal ini. Terma kasih.

Jawapan:

Penggunaan kream ant-penuaan ini bukanlah mengubah kejadian Allah SWT sebagaimana mereka yang melakukan pembedahan kosmetik. Umat ini hanyalah stimulasi keatas sel-sel manusia, dimana sel-sel ini akan memperbaiki dirinya sendiri. 

Konsepnya sama seperti makanan tambahan (food supplement) sahaja; seperti vitamin. Banyak sekali kream-kream anti-penuaan ini diperbuat dari herba. Malah menurut Ibn Qayyim r.h, Imam Zahabi r.h ada menyatakan bahawa minyak zaiton (Olive Oil) dapat melambatkan proses ’penuaan’. Dari riwayat Abu Aseed, kata beliau : Nabi SAW bersabda :

كُلُوا الزَّيْتَ وَادَّهِنُوا بِهِ فَإِنَّهُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبَارَكَةٍ

Maksudnya : “Makanlah minyak zaitun dan gunakannya pada rambut dan kulit, kerana ia datang dari pokok yang barakah” (Hadis Riwayat Tirmudzi no. 1775).

Apa yang perlu dilihat pada kream-krean ini adalah; apakah isi kandungannya mengandungi bahan-bahan yang dilarang atau tidak? Selama-mana ia mengandungi bahan-bahan halal, maka penggunaan kream tersebut adalah harus. Wallau a'lam.

918. Soalan : Saya terdengar pendapat mengatakan pemegang wasiat harta anak yatim mempunyai sebahagian hak keatas harta tersebut. Dan ia dibolehkan untuk membelanjakan asalkan tidak dengan secara pembaziran. Betulkah pandangan sebegini?

Jawapan:

Panduan mengurus harta anak yatim dijelaskan dalam ayat berikut:

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan janganlah kamu makan harta anak yatim lebih dari batas berpatutan dan janganlah kamu tergesa-gesa membelanjakannya sebelum mereka dewasa. Barangsiapa (di antara penjaga) itu mampu, maka hendaklah dia menahan diri (dari makan memakan harta anak yatim itu dan barangsiapa (penjaga) yang miskin, bolehlah dia memakan harta itu menurut kadar yg patut…) (Surah an-Nisaa’ ayat 6)

Tafsir Ibn Jauzi (w. 597H, Baghdad) menjelaskan dalam tafsirnya, maksud makan harta anak yatim dengan berpatutan itu:

1. menggunakannya dengan cara pinjaman (loan)
2. membelanjakan menurut kadar keperluan dan tidak berlebihan
3. menggunakan harta itu setimpal dengan nilai kerja yang dilakukan demi kepentingan anak yatim itu.
4. pengurus mengambil dalam keadaan terdesak, apabila ia kelapangan ia memulangkan semula, tapi kalau tidak mampu, maka ia halal.

Begitulah maksud ayat itu dan maksud memakan harta anak yatim oleh pengurusnya. 

Wallahu a'lam.

919. Soalan : Saya ada 2 soalan yang hendak minta ustaz memberikan pencerahannya.

1: Betulkah perempuan yang sudah baligh tetapi belum kawin lagi dosa yang dbuat olehnya ditanggung oleh bapanya…saya mendengar ramai ustaz cakap seperti ini?

2. Selemah-lemah iman ialah mencegah kemungkaran dengan hati. adakah kita berdosa kalau kita hanya mampu cegah dengan hati  ? Tambahan pula pada zaman yang banyak maksiat ni?

Jawapan:

1. Cakap-cakap ustaz itu hendaklah terus dirujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya. Apabila kita rujuk al-Quran kenyataan ini bercanggah dengan surah al-An’am ayat 164
maksudnya, "Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudharatannya kembali kpd dirinya sendiri; dan orang yg berdosa TIDAK AKAN memikul dosa orang lain."

Orang yang bercakap begitu ialah mereka keliru dengan konsep wali kepada anak gadis. Seorang wali (ayah) masih bertanggungjawab kepada keselamatan, nafkah dan penjagaan sebelum anak daranya itu dipinang dan bernikah. Mana-mana anak Adam yang sudah baligh, maka buku amalan atas nama masing-masing pun dibuka dan dialah kena bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri dan tak ada konsep ada orang tulung pikul dosa orang lain. sendiri kena tanggung. Ayah dan ibu akan memikul dosa jika dia cuai dalam pendidikan anak-anak atau nafkah tapi bukan kena pikul dosa anak yang dah akil baligh! Kalau macam itu teruklah Nabi Nuh a.s.dia kena pikul dosa anaknya dan isterinya dan Nabi Luth a.s. kena pikul dosa isterinya yang derhaka.

2). Fiqh amar makruf nahi mungkar, terdapat hadis : Dari Abi Sa’eed al-Khudri yg dikeluarkan oleh Imam Muslim (no. 49) dalam sahihnya:

” Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah merubahnya dengan tangannya, jika ia tidak sanggup, maka dengan lidahnya, dan jika tidak sanggup juga, maka dengan hatinya, demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (hadis no.34, matan Arba’iin an-Nawawiyah)

Berbalik pada apakah berdosa seorang muslim hanya sanggup mencegah dgn hati sahaja?

Mengikut pensyarah-pensyarah hadis ini, tidak berdosa baga si fulan yang hanya mampu mencegah dengan hatinya atau membenci kemungkaran itu kerana dia tidak ada kesanggupan atau kemampuan mencegah dengan lisan (nasihat) atau tangan (kekuasaan).

Kata Imam al-Munawi ketika mensyarah hadis ni dalam Faidhul Qadir (Jld 4/131), perasaan benci akan mungkar ini wajib ada bila ia melihatnya dan tercetus niat bahawa jika aku ada kuasa atau kemampuan lisan, maka aku akan mengubahnya dengan tangan dan lidahku. Tidak cukup dengan ada rasa benci, tapi dia hendaklah meninggalkan majlis itu jika mungkar itu berlaku dalam majlis yang dihadhirinya sebagai menandakan kebencian hatinya.

Maksudnya kalau tidak ada perasaan benci akan mungkar itu bila melihat orang melakukannya, barulah berdosa. atau mungkar berlaku depan matanya tapi dia tidak menunjukkan hatinya benci yaitu dengan meninggalkan kemungkaran atau majlis kemungkaran itu sebagai tanda protes. Wallahu a'lam.

920. Soalan : Saya ada 3 soalan minta pencerahan daripada ustaz.

1. Saya mendengar dakwaan sesetengah pihak, mengatakan Nabi Muhammad SAW sendiri pernah dishir betulkah ini berlaku? Tidakkah Nabi Muhammad maksum yang terpelihara daripada kejahatan manusia, adakah wujud keterangan dalam al-Quran atau as-Sunnah tentang perkara ini?

2. Apakah hikmah Islam melarang keras pekerjaan atau amalan sihir?

3. Bolehkah saya mengunakan memakai tangkal untuk menghalang kejahatan atau hasad dengki manusia?

Jawapan : 

1. Nabi Muhammad SAW memang maksum, seperti Firman Allah SWT yang maksudnya, "Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diperturunkan kepadamu dari Tuhan kamu dan jika tidak kamu kerjakan apa yang diperintahkan itu, bererti kamu tidak menyampaikan amanat-Nya. Allah akan memelihara kamu daripada (kejahatan) manusia, sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir." (Surah al-Maaidah, 67).

Perkataan maksum jelas disebut daripada makna perkataan 'ya'tsimuka' (Memelihara kamu). Dalam tafsir yang muktabar, tidak ada orang yang boleh membunuhnya. Ia juga bermakna Nabi Muhammad maksum, dipelihara sehingga tidak berlaku sesuatu kemaksiatan ke atasnya. Nabi SAW  tidak melakukan kesalahan yang mendatangkan dosa.

Adapun makna keselamatan umum, sepeti Nabi SAW disakiti sehingga pernah luka kaki baginda dibaling batu oleh kanak-kanak upahan di Taif atau terluka (mengalami berbagai kesakitan) dalam Perang Uhud, sakit kepala, demam dan sebagainya pernah berlaku ke atas baginda.

Semua ini bukan bermaksud maksum, yang dipelihara Allah S.W.T kerana baginda sebagai manusia biasa yang menerima wahyu, baginda juga berlapar, rasa dahaga, sakit dan sebagainya.

Merujuk kepada dakwaan Nabi SAW disihir, jika diteliti huraian di atas, bermakna sihir memang boleh berlaku. Di sebut dalam hadis sahih, Daripada A'ishah r.anha: "Kata A'ishah, telah disihir Rasulullah SAW oleh seorang lelaki daripada Bani Zuraiq dikatakan lelaki itu ialah Labid bin al-A'sam al-Yahudi. Rasulullah SAW berasa tidak keruan, perkara yang telah dilakukan, baginda merasa ragu sudah dilakukan atau tidak. Nabi bertanya A'ishah, "Wahai A'ishah, apakah kamu tahu bahawa Allah S.W.T telah melakukan sesuatu ke atas diriku? Nabi menyambung dengan katanya, "ada dua orang laki-laki datang kepada ku ketika aku sedang tidur, maka salah seorang berada disisi kepalaku, seorang lagi berada disisi kakiku, maka seorang daripadanya bertanya kepada kawannya, 'apakah sebenarnya yang dideritai oleh Muhammad ini? Maka seorang lagi menjawab, dia telah disihirkan orang. Ditanya lagi, siapakah yang telah mensihirnya? Dijawab lagi, sihirkan oleh Labid bin al-A'sam. Ditanya lagi dengan apakah dilakukan sihir itu? Jawabnya, digunakan sikat rambutnya, dengan satu ikhtiar lain (sihir). Ditanya, di manakah diletakkan barang-barang tersebut? Dijawabnya, ditanam dalam sebuah perigi namanya Perigi Darwan. Maka ditanya lagi, dengan apakah kita akan merawatkan Muhammad ini? Maka dibacakan beberapa ayat dari al-Quran. Nabi Muhammad SAW sedar dari tidurnya maka diberitahu kepada A'ishah, "Bahawasanya, Allah S.W.T telah menyembuhkan aku dan aku tidak mahu hal ini menjadi fitnah di kalangan manusia dan aku telah sembuh." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis sahih ini sekurang-kurangnya memberikan kefahaman kepada kita bahawa musuh-musuh Islam, terutamanya Yahudi, akan melakukan apa sahaja untuk memenuhi kehendak mereka. Ulama bersepakat bahawa berpandukan kepada hadis sahih ini, memang ada percubaan oleh insan yang kenali melakukan sesuatu yang dipanggil sihir.

Nabi SAW memerintahkan sahabat, turun ke dalam perigi mencari barang-barang sihir tersebut, dikeluarkan dan Nabi telah sembuh seperti biasa.

Peristiwa ini tidak boleh disamakan dengan manusia di zaman kita yang terkena sihir sehingga hilang pertimbangan kewarasan, menderita kesakitan memanjang dengan menggangu ibadat, malah menganggu daripada melakukan kerja harian, ini semua tidak menganggu Nabi.SAW.

Nabi Muhammad SAW cuma terasa ada sesuatu yang tidak kena berlaku dalam dirinya. Tiada siapa yang mengetahui, A'ishah pun tidak mengetahui sehingga Nabi SAW memberitahu tentang dua orang lelaki (malaikat) datang untuk mengubat baginda dengan ayat-ayat al-muawwiyat, ayat pelindung penyakit sihir.

Sekaligus, ia merupakan panduan kepada umatnya untuk melindungi diri daripada penyakit.

Seterusnya, jelas bahawa Nabi sendiripun bila disihirkan orang, baginda sendiri tidak mengetahui, melainkan selepas Jibril a.s memberitahu bahawa baginda telah matbub (disihirkan).

Jika Nabi SAW sendiri tidak mengetahui baginda disihirkan, bagaimana orang yang datang untuk berubat, mengadu kesakitan, tiba-tiba orang yang hendak mengubat tersebut mengatakan 'kamu telah kena sihir?' Datang pesakit lain, kita mengatakan pula, 'kamu telah kena buatan orang.'

Ada yang lebih ke hadapan mengatakan, 'kamu telah disihir fulan bin si fulan.'

Bagaimana insan biasa boleh mengetahui sihir yang kena kepada orang lain? Bukan kena kepada kepada dirinya, dengan membuat keputusan orang itu kena sihir, inilah masalah yang kita hadapi.

Tidak sepatutnya berlaku sedemikian kerana hanya Allah S.W.T sahaja mengetahuinya dan tidak ada orang yang boleh tahu hal sebenarnya.

Pengubatan disyariatkan, tetapi jangan sampai kita mendakwa orang itu kena sihir atau menuduh serta menuding jari kepada orang yang didakwa melakukan sihir.

2. Pekerjaan dan amalan sihir adalah sesuatu yang pada kebiasaannya mengagungkan makhluk halus sama ada yang bernama iblis, jin, syaitan dan sebagainya. Makhluk ini sememangnya bertugas sepenuh masa menyesatkan anak Adam dan menjauhkan mereka dari rahmat Allah S.W.T.

Mereka telah dilaknati Allah S.W.T, maka mereka berusaha untuk menyesatkan manusia supaya dijauhkan rahmat Allah SWT. Salah satu caranya adalah menggunakan sihir sebagai satu profesion mereka mengajar manusia melakukan kerja jahat tersebut.

Manusia akan mudah terpengaruh apabila seorang manusia mampu melakukan perkara yang ganjil pada pandangan manusia lain. Atau seolah-olahnya ada kelebihan khusus kepada orang tertentu, yang mengetahui penyakit orang lain tanpa diberitahu. Atau mungkin boleh membaca fikiran orang lain.

Hal sedemikian ini ada kemungkinan boleh berlaku dengan bantuan makhluk halus, dapat mengagak atau makhluk halus mengetahui daripada percakapan mereka kepada diri atau kawan-kawan.

Perkara ini merangsang manusia mendampingi dan mendapatkan khidmat ahli sihir untuk menyampaikan sesuatu maksud mereka.

Bila sihir dilakukan, maka berlaku perkara negatif, yang paling besar sekali adalah kerosakan aKidah. Dalam beberapa hadis Rasulullah SAW maksudnya,"Sesiapa yang mendatangi ahli sihir maka sesungguhnya dia telah mensyirikkan Allah S.W.T." (Hadis Riwayat Imam Muslim).

Hadis lain menyebut maksudnya, "Sesiapa yang mendatangi seorang yang mendakwa mengetahui perkara ghaib, lalu mempercayai dakwaan tersebut, sesungguhnya dia telah kufur dengan al-Quranul Karim yang diturunan kepada Nabi Muhammad."

Dengan amalan sihir juga membuka jalan kepada seseorang mempercayai apa sahaja yang dikatakan ahli sihir kepadanya. Kata-kata seperti, 'penyakit itu berpunca daripada orang yang terdekat kepadanya', kadang-kadang menamakan orang tertentu (sama ada ahli keluarga atau kawan karibnya), terus dipercayai tanpa menyiasat dengan terperinci.

Hal ini boleh menimbulkan permusuhan yang berpanjangan sehingga perkara yang tidak sepatutnya berlaku, dilakukan. Lebih buruk apabila, dibalas balik dengan sihir juga.

Dalam al-Quran, Allah S.W.T menyebut maksudnya, "Sesungguhnya syaitan-syaitan itu mengkehendaki supaya berlakulah di kalangan kamu, permusuhan dan benci-membenci."
(Surah ali-Imran, 91).

Jelas bahawa peluang yang terbuka kepada orang yang mendatangi ahli sihir ini, syaitan mengambil kesempatan menimbulkan permusuhan antara dua orang yang berkasih, menimbukkan kebencian yang amat sangat antara anak beranak.

Ilmu sihir merupakan perantaraan yang boleh menimbulkan caca merba dalam masyarakat. Peluang ini digunakan oleh orang yang bukan ahli sihir, tetapi mendakwa boleh melakukan hal-hal sedemikian untuk mendapat keuntungan duniawi sehingga mengenakan bayaran yang tidak tertanggung oleh pesakit.

Oleh kerana itu maka Islam sebagai agama salam sejahtera, menyelamatkan manusia dari hal-hal yang tidak baik, khasnya menjaga akidah supaya tidak rosak, memelihara harta benda dari pemerasnya dan untuk manusia kembali kepada pertolongan Allah S.W.T.

Islam melarang dengan sekeras-kerasnya menggunakan sihir sebagai medium menyampaikan sesuatu maksud.

3. Di zaman permulaan Islam amalan memakai tangkal digunakan ramai masyarakat jahiliyyah. Raslullah SAW telah mengharamkan pengunaan tangkal dan menggantikan dengan pengunaan ayat al-Quran dan doa, khususnya memohon daripada Allah S.W.T menghindari dari sesuatu yang tidak diingini.

Dakam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya, juzuk ke 4 halaman 156 disebut hadis yang maksudnya, "Sesiapa yang menggantung tangkal, maka sesungguhnya dia telah melakukan perkara syirik."

Hadis ini merupakan hadis umum. Berlaku suatu ketika apabila sahabat-sahabat menerima ayat al-Quran daripada Rasulullah SAW, diamalkan untuk menghindari ganguan, menulis ayat tersebut dikertas dan menggantungkan kepada anak-anak mereka yang belum boleh membaca al-Quran.Bila dirujuk kepada Rasulullah SAW, baginda tidak melarangnya.

Ada sebahagian pendapat jika tangkal tersebut diperbuat daripada ayat-ayat al-Quran, maka ia diharuskan.

Pandangan ulama-ulama muktabar yang dipetik daripada Kitab al-Fatawa az-Zahabiyyah (Fatwa-fatwa yang amat berharga) pada halaman 253 bagi soalan seperti dikemukakan ini, dijawab bahawa, "Adapun penulisan ayat-ayat al-Quran dan nama-nama Allah S.W.T untuk dijadikan tangkal, maka ulama-ulama berselisih pendapat di kalangan ulama-ulama salaf ada yang mengharamkannya secara mutlak dan ada sedikit yang mengharuskannya, dengan syarat-syarat khusus. Yang paling sahih, bahawasanya penggunaan tangkal-tangkal sama ada al-Quran atau tidak, dilarang dalam hadis-hadis terdahulu. 

Tentang keharusan yang Rasulullah SAW berikan kepada beberapa orang sahabat, itu adalah pada permulaan Islam. Apabila iman sudah tertanam dalam diri dan untuk mengelak daripada keburukan-keburukan yang boleh menjejaskan iman, maka, dilarang sama sekali penggunaan tangkal, walaupun menggunakan ayat al-Quran kerana, 

1; mencegah daripada keburukan yang lebih besar, 

2; menjaga kesucian al-Quran dari terbawa dalam tandas dan 

3; membulatkan keyakinan bahawa Allah Taala sahaja yang melindungi manusia daripada segala-galanya."

Wallahu a'lam

Read More

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 127

Soal Jawab Agama Siri 127 (Najis Tahi CIcak, Adab Membaca A-Quran, Wanita Haid Membaca Al-Quran, Khunsa, Hadis Palsu Dan Samak Kulit Binatang)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal jawab Agama Siri 127 adalah membicangkan persoalan najis tahi cecak, adab membaca al-Quran, wanita haid boleh membaca al-Quran, kedudukan khunsa dalam Islam dan hadis palsu.(Siapa kenal dirinya maka kenal tuhannya) dan mensucikan kulit binatang.

911. Soalan :Adakah tahi cicak najis, ada ustaz membeitau saya tahi cicak yang kering tidak najis tetapi yang basah adalah najis,betul ke pendapat ni.

Bagaimana pula najis burung merpati yang kebisaannya banyak terdapat didalam masjid contoh masjid umawi dan masjid al-Azhar

Jawapan :

Tahi cicak dan tahi burung merpati termasuk umum al-balwa (perkara-perkara yang sulit dielakkan), maka ia dimaafkan syarak walaupun ia najis, tapi kerana ia sesuatu yang sulit dielakkan (umum al-balwa) maka ia termasuk najis-najis yang dimaafkan. Semua empat madzhab sepakat dalam hal ini. (Ref: Fiqh Islami wa Adillatuh karya Dr Prof Ustaz Wahbah az-Zuhaly, Syria, Jld 1) WA

Jikalau kita terpijak maka ia tidak membatalkan wuduk. Terpijak najis tidaklah termasuk dalam perkara-perkara yang membatalkan wuduk (al-Wajiz fi fiqhis sunnah wal kitabil aziz, Sheikh Abdul Azhim Badawi alKhalafi)

912. Soalan : Ustaz saya ada 3 soalan hendak ditanya iaitu :

Pertama : Bagaimanakah adab-adab membaca al-Quran, 

Kedua : Apakah wanita yang sedang haid boleh membaca Al Quran?

Ketiga : Apakah tanpa wuduk juga boleh membaca al-Quran? 

Terima kasih atas jawapannya. 

Jawapan.

Pertama : Diantara adab-adab membaca Al-Quran:

1. Membaca ta’awwudz (a’udzu billahi minasysyaithanirrajim).

Allah SWT berfirman:

(فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ) (النحل:98)

Maksudnya : “Apabila kamu membaca al-Quran, hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk.” (Surah An-Nahl (16) ayat 98)

2. Membaca Al-Quran dengan tartil (sesuai dengan kaedah-kaedah tajwid).

Allah SWT berfirman:

(وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلاً) (المزمل:4)

Maksudnya : “Dan bacalah al-Quran itu dengan tartil.” (Surah al-Muzzammil ( 73) ayat 4)

3. Hendaklah dalam keadaan suci.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

إني كرهت أن أذكر الله إلا على طهر

Maksudnya : “Sungguh aku membenci jika aku berzikir kepada Allah dalam keadaan tidak suci.” (Hadis Riwayat. Abu Dawud, dan disahihkan oleh Syeikh Al-Albany)

4. Membersihkan mulut sebelum membaca Al-Quran dengan siwak atau berus gigi atau yang lain.

Berkata Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu berkata:

إن أفواهكم طرق للقرآن . فطيبوها بالسواك

“Sesungguhnya mulut-mulut kalian adalah jalan-jalan Al-Quran, maka wangikanlah mulut-mulut kalian dengan siwak.” (Atsar ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah, dan disahihkan oleh Syeikh Al-Albany di Shahih Ibnu Majah 1/110-111).

5. Memilih tempat yang bersih.

6. Hendaknya merenungi apa yang terkandung di dalam al-Quran.

Allah SWT berfirman:

(أَفَلا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلافاً كَثِيراً) (النساء:82)

Maksudnya : “Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran? Kalau kiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya.” (Surah an-Nisa' (4) ayat 82)

7. Memohon rahmat Allah jika melewati ayat-ayat rahmat dan meminta perlindungan dari Allah daripada keburukan ketika melewati ayat-ayat azab.

Di dalam hadis Hudzaifah disebutkan bahawa suatu saat beliau solat malam bersama Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kemudian beliau menceritakan bagaimana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam membaca Al-Quran ketika solat:

إذا مر بآية فيها تسبيح سبح وإذا مر بسؤال سأل وإذا مر بتعوذ تعوذ

Maksudnya : “Jika melewati ayat yang di dalamnya ada tasbih (penyucian kepada Allah) maka baginda bertasbih, dan jika melewati ayat tentang permintaan maka baginda meminta, dan jika melewati ayat tentang memohon perlindungan maka baginda memohon perlindungan.” (Hadis Riwayat Muslim)

8. Tidak membaca Al-Quran dalam keadaan mengantuk.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

إذا قام أحدكم من الليل فاستعجم القرآن على لسانه فلم يدر ما يقول فليضطجع

Maksudnya : “Kalau salah seorang dari kalian solat malam kemudian lisannya tidak boleh membaca Al-Quran dengan baik (kerana mengantuk) dan tidak tahu apa yang dikatakan maka hendaklah dia berbaring.” (Hadis Riwayat Muslim)

(Lihat pembahasan lebih luas di At-Tibyan fii Aadaab Hamalatil Quran, An-Nawawy, dan Al-Itqan fii ‘Ulumil Quran, As-Suyuthi (1/276-299), Al-Burhan fii ‘Ulumil Quran, Az-Zarkasyi (1/449-480).

Kedua : Para ulama berbeza pendapat tentang apakah wanita yang haid boleh membaca al-Quran atau tidak? Sebahagian ulama menyatakan diperbolehkan bagi wanita yang sedang haid untuk membaca al-Quran kerana tidak adanya dalil yang sahih yang melarang.

Bahkan dalil menunjukkan bahawa wanita yang haid boleh membaca al-Quran, diantaranya sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kepada Aisyah radhiyallahu ‘anha yang akan melakukan umrah akan tetapi datang haid:

ثم حجي واصنعي ما يصنع الحاج غير أن لا تطوفي بالبيت ولا تصلي

Maksudnya : “Kemudian berhajilah, dan lakukan apa yang dilakukan oleh orang yang berhaji kecuali tawaf dan solat.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, dari Jabir bin Abdillah)

Berkata Syeikh Al-Albany:

فيه دليل على جواز قراءة الحائض للقرآن لأنها بلا ريب من أفضل أعمال الحج وقد أباح لها أعمال الحاج كلها سوى الطواف والصلاة ولو كان يحرم عليها التلاوة أيضا لبين لها كما بين لها حكم الصلاة بل التلاوة أولى بالبيان لأنه لا نص على تحريمها عليها ولا إجماع بخلاف الصلاة فإذا نهاها عنها وسكت عن التلاوة دل ذلك على جوازها لها لأنه تأخير البيان عن وقت الحاجة لا يجوز كما هو مقرر في علم الأصول وهذا بين لا يخفى والحمد لله

“Hadis ini menunjukkan bolehnya wanita yang haid membaca al-Quran, kerana membaca al-Quran termasuk amalan yang paling utama dalam ibadah haji, dan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam telah membolehkan bagi Aisyah semua amalan kecuali tawaf dan solat, dan seandainya haram baginya membaca al-Quran tentunya akan baginda terangkan sebagaimana baginda menerangkan hukum solat (ketika haid), bahkan hukum membaca al-Quran (ketika haid) lebih berhak untuk diterangkan kerana tidak adanya nash dan ijmak yang mengharamkan, berbeza dengan hukum solat (ketika haid). Kalau baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam melarang Aisyah dari solat (ketika haid) dan tidak berbicara tentang hukum membaca al-Quran (ketika haid) ini menunjukkan bahwa membaca al-Quran ketika haid diperbolehkan, kerana mengakhirkan keterangan ketika diperlukan tidak diperbolehkan, sebagaimana hal ini ditetapkan dalam ilmu ushul fiqh, dan ini jelas tidak samar lagi, walhamdu lillah.” (Hajjatun Nabi hal:69). 

Wanita haid boleh membaca al-Quran tetapidilarang menyentuh mushhaf atau bagian dari mushhaf, dan ini adalah pendapat empat mazhab, Hanafiyyah (Al-Mabsuth 3/152), Malikiyyah (Mukhtashar Al-Khalil hal: 17-18), Syafi’iyyah (Al-Majmu’ 2/67), Hanabilah (Al-Mughny 1/137).

Mereka berdalil dengan firman Allah SWT.

لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ (الواقعة: 79)

Maksudnya : “Tidak menyentuhnya kecuali orang-orang yang suci.” 

Sebagian ulama mengatakan bahawa yang dimaksud dengan mushaf yang kita dilarang menyentuhnya adalah termasuk kulitnya / sampulnya kerana dia masih bersama mushaf. Adapun memegang mushhaf dengan sesuatu yang tidak melekat dengan mushhaf (seperti sarung tangan dan yang sejenisnya) maka diperbolehkan.

Berkata Syeikh Bin Baz:

يجوز للحائض والنفساء قراءة القرآن في أصح قولي العلماء ؛ لعدم ثبوت ما يدل على النهي عن ذلك بدون مس المصحف، ولهما أن يمسكاه بحائل كثوب طاهر ونحوه، وهكذا الورقة التي كتب فيها القرآن عند الحاجة إلى ذلك

“Boleh bagi wanita haid dan nifas untuk membaca al-Quran menurut pendapat yang lebih sahih dari 2 pendapat ulama, kerana tidak ada dalil yang melarang, namun tidak boleh menyentuh mushhaf, dan boleh memegangnya dengan penghalang seperti kain yang bersih atau selainnya, dan boleh juga memegang kertas yang ada tulisan al-Quran (dengan menggunakan penghalang) ketika diperlukan” (Fatawa Syeikh Bin Baz 24/344).

Ketiga: Yang lebih utama adalah membaca al-Quran dalam keadaan suci, dan boleh membacanya dalam keadaan tidak suci kerana hadas kecil.

Dan ini adalah kesepakatan para ulama.

Berkata Imam An-Nawawi:

أجمع المسلمون على جواز قراءة القرآن للمحدث الحدث الاصغر والأفضل أن يتوضأ لها

“Kaum muslimin telah bersepakat atas bolehnya membaca Al-Quran untuk orang yang tidak suci kerana hadas kecil, dan yang lebih utama hendaknya dia berwuduk.” (Al-Majmu’, An-Nawawy 2/163).

Diantara dalil yang menunjukan bolehnya membaca al-Quran tanpa berwuduk adalah hadis Ibnu Abbas ketika beliau bermalam di rumah ibu saudaranya Maimunah radhiyallahu ‘anha (isteri Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam), beliau berkata:

فنام رسول الله صلى الله عليه و سلم حتى إذا انتصف الليل أو قبله بقليل أو بعده بقليل استيقظ رسول الله صلى الله عليه و سلم فجلس يمسح النوم عن وجهه بيده ثم قرأ العشر الخواتم من سورة آل عمران

“Maka Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tidur sampai ketika tiba tengah malam, atau sebelumnya atau sesudahnya, baginda bangun kemudian duduk dan mengusap muka dengan tangan baginda supaya tidak mengantuk, kemudian membaca sepuluh ayat terakhir dari surat Ali Imran.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Di dalam hadis ini Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam membaca Al-Quran setelah bangun tidur, sebelum baginda berwuduk.

Imam Al-Bukhari telah meletakkan hadis ini di beberapa bab di dalam kitab beliau (Shahih Al-Bukhary) diantaranya di bawah bab:

باب قراءة القرآن بعد الحدث وغيره

“Bab Membaca Al-Quran setelah hadas dan selainnya”

Namun sekali lagi, tidak boleh bagi orang yang berhadas kecil menyentuh mushaf secara langsung.

Wallahu a’lam.

913. Soalan : Saya ada 3 soalan mengenai khunsa.

1. Adakah wuduk seorang lelaki terbatal bila bersentuhan kulit dengan pondan dan khunsa?
2. Adakah apa-apa perbezaan antara pondan dan khunsa?
3. Jika pondan sembahyang berjamaah, dalam saf manakah dia patut berada?

Jawapan:

1. Khunsa (Pondan)

Khunsa dari bahasa Arab bermaksud ‘lembut’. Dari sini timbulnya istilah kaum lembut, mak nyah atau pondan. Menurut kamus dewan, pondan ialah lelaki yg memiliki sifat perempuan atau sebaliknya (perempuan yg memiliki sifat lelaki). 

Menurut syarak: khunsa ialah seseorang yang diragui seksnya (jantinanya) sama ada kedua-dua alat kelamin, tiada langsung atau ada alat kelamin lelaki tapi batinnya perempuan atau sebaliknya. 

Menurut Syaikh Hasanain Muhammad Makhluf, Fatwa Darul Ifta’, ada dua jenis khunsa: khunsa ghayr musykil (khunsa yg senang ditentukan kecenderungan seksnya) dan khunsa musykil (yang sukar ditentukan).

2. Jika khunsa yang ghayri musykil (yang sudah dikenal pasti jantinanya), maka status wuduk dan ibadahnya menyerupai kaum yg ditentukan (samada lelaki atau wanita). Contoh : Jika khunsa itu sudah disahkan perempuan, maka jika anda bermadzhab Syafi’iy, maka batallah wuduk jika bersentuhan dengannya.

3. Kedudukan mereka dalam solat: jumhur ulama menetapkan khunsa berada di barisan ke tiga selepas dewasa, kanak-kanak lelaki dan khunsa selepas itu baru wanita (alMughny, 2/42) Berdasarkan hadis umum dari Abu Daud, Sunan, 1/181 Wallahu a'lam.

914. Soalan : Apakah hadis yang bermaksud, " Siapa kenal dirinya maka kenal tuhannya." Adakah hadis ini hadis sahih ? Hadis selalu dibaca oleh orang-orang tarikat dan juga ramai penceramah menggunakan hadis ini. Bolehkah kita berpegang dengan hadis ini?

Jawapan:

Hadis ini dihukum sebagai palsu oleh para ulama hadis. Tidak boleh berpegang dengannya. Sesiapa yang membacanya tanpa diterangkan kepalsuannya, maka termasuk dalam golongan yang mengada-adakan pembohongan terhadap Nabi SAW.

Terdapat ramai yang berceramah serta berhujjah dengan menyebut bahawa perkataan tersebut adalah hadis Rasulullah SAW sedangkan keputusan para ulama terhadap perkataan ini membuktikan ia hadis yang palsu, antaranya:

-Kata Ibn Taimiyyah hadis ini palsu.

-Kata al-Nawawi: Ianya tidak thabit.

-Kata Abu al-Muzaffar bin al-Sam`ani: “Ianya bukan daripada Rasulullah SAW.

-Kata al-Sayuti menyebut: “Hadis ini tidak sahih”..

-Kata Al-`Allamah al-Fairuz Abadi, penulis al-Qamus: Ianya bukan daripada hadis-hadis Nabi SAW sekalipun kebanyakan orang menganggapnya hadis Nabi SAW. Tidak sahih sama sekali. Hanya diriwayatkan daripada Israiliyyat.”

(lihat: `Ali al-Qari, al-Masnu’ fi Ma’rifat al-Hadith al-Maudu’ المصنوع في معرفة الحديث الموضوع, m.s.189, Riyadh: Maktab al-Rusyd/ Al-Jarrahi, Kasyf al-Khafa` 2/262/ Nasir al-Din al-Albani, Silsilah ad-Dha`ifah wa Al-Maudu`ah, 1/166 / dan lain-lain.)

915. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan perkara-perkara berikut :

1. Cara mensucikan kulit binatang , 

2. Bekas air yang dijilat anjing dan 

3. Mensucikan darah haid yang terkena kain.?

Jawapan : 

1. Menyucikan kulit bangkai (Bangkai adalah haiwan yang mati begitu saja tanpa melalui penyembelihan yang syar’i). dengan disamak.

Daripada Ibnu ‘Abbas radiallahu ‘anhuma, beliau berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda,

أَيُّمَا إِهَابٍ دُبِغَ فَقَدْ طَهُرَ

“Kulit bangkai apa saja yang telah disamak, maka ia telah suci.” (Hadis Riwayat An-Nasa’i no. 4241, At-Tirmizi no. 1728, Ibnu Majah no. 3609, Ad-Darimi dan Ahmad. Shaikh Al-Albani dalam Al Jami’ Ash Shogir wa Ziyadatuhu no. 4476 mengatakan bahawa hadis ini sahih.

Namun hadis di atas tidak berlaku umum. Perlu dibezakan antara:

[1] kulit bangkai yang jika haiwannya disembelih, ia menjadi halal, maka kulit bangkai tersebut boleh suci dengan disamak.

[2] kulit bangkai yang jika haiwannya disembelih tidak membuat haiwan tersebut halal (ertinya: haiwan tersebut haram dimakan), maka kulitnya tetap tidak boleh suci dengan disamak.

(Dalam masalah ini ada perbezaan pendapat ulama. Ada sebahagian ulama yang menganggap bahawa haiwan yang haram sekali pun jika kulitnya disamak tetap menjadikan kulitnya suci. Mereka berdalil dengan keumuman hadis tentang kulit yang disamak. Namun pendapat yang dipilih oleh Shaikh Muhammad bin Soleh Al Uthaimin itulah yang lebih tepat, sebagaimana alasan yang beliau sebutkan di atas.)

Inilah pendapat yang lebih kuat daripada pendapat ulama yang ada.

Contoh pertama: Kulit kambing yang mati dalam keadaan bangkai, misalnya kambing itu mati dilanggar dan tidak sempat disembelih, maka boleh menjadi suci dengan disamak.

Contoh kedua: Serigala adalah haiwan yang haram dimakan kerana termasuk haiwan buas. Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

كُلُّ ذِى نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ فَأَكْلُهُ حَرَامٌ

“Setiap haiwan buas yang bertaring haram untuk dimakan.” (Hadis Riwayat Muslim no. 1933, dari Abu Hurairah).

Sekirannya serigala mati, lalu kulitnya diambil, walaupun kulit tadi disamak, kulit tersebut tetap tidak suci (najis). Alasannya, jika serigala tersebut disembelih, ia tidak boleh membuat haiwan tersebut jadi halal, maka jika kulit haiwan tersebut disamak, maka tidak membuat jadi suci. Kulit serigala ini masih tetap najis berbeza dengan kulit kambing tadi. Demikian penjelasan dari Al Faqih Shaikh Muhammad bin Soleh Al Uthaimin rahimahullah dengan perubahan teks.

[Lihat Fathu Dzil Jalaali wal Ikrom Syarh Bulughil Marom, Shaikh Muhammad bin Soleh Al ‘Uthaimin, 1/159, Madarul Wathon Lin Nasyr, cetakan pertama, tahun 1425 H]

2. Menyucikan bekas yang dijilat anjing

Dari Abu Hurairah, beliau berkata bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda,

طُهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولاَهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya ,“Cara menyucikan bekas di antara kalian apabila dijilat anjing adalah dicuci sebanyak tujuh kali dan awalnya dengan tanah.” (Hadis Riwayat Muslim no. 279)

Sebagaiman diterangkan oleh An-Nawawi rahimahullah, mengenai cara membersihkan jilatan anjing ada beberapa riwayat. Ada riwayat yang menyebut

 “سَبْع مَرَّات أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ”,

 iaitu tujuh kali dan awalnya dengan tanah. 

Shaikh Muhammad bin Soleh Al ‘Uthaimin rahimahullah menjelaskan bahawa yang dimaksud “pertamanya dengan tanah”  Mencampuri tanah dan air, lalu dilumuri pada bekas yang dijilat anjing. (Lihat Fathu Dzil Jalaali wal Ikrom Syarh Bulughil Marom, 1/95.)

3. Menyucikan pakaian yang terkena darah haid

Dari Asma’ binti Abi Bakr, beliau berkata, “Seorang wanita pernah mendatangi Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kemudian dia berkata,

إِحْدَانَا يُصِيبُ ثَوْبَهَا مِنْ دَمِ الْحَيْضَةِ كَيْفَ تَصْنَعُ بِهِ

“Di antara kami ada yang bajunya terkena darah haid. Apa yang mesti kami perbuat?”

Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menjawab,

تَحُتُّهُ ثُمَّ تَقْرُصُهُ بِالْمَاءِ ثُمَّ تَنْضَحُهُ ثُمَّ تُصَلِّى فِيهِ

Maksudnya , “Buangkan darah haid dari pakaian tersebut kemudian kikislah kotoran yang masih tersisa dengan air, lalu cucilah. Kemudian solatlah dengannya.” (Hadis Riwayat Bukhari no. 227 dan Muslim no. 291)

Kalau masih ada bekas darah haid yang tertinggal setelah dibersihkan tadi, maka hal ini tidaklah mengapa.

Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata bahawa Khaulah binti Yasar berkata pada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam,

يَا رَسُولَ اللَّهِ لَيْسَ لِى إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ. قَالَ « فَإِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِى مَوْضِعَ الدَّمِ ثُمَّ صَلِّى فِيهِ ». قَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنْ لَمْ يَخْرُجْ أَثَرُهُ قَالَ « يَكْفِيكِ الْمَاءُ وَلاَ يَضُرُّكِ أَثَرُهُ »

“Wahai Rasulullah, aku hanya memiliki satu pakaian. Bagaimana ketika haid saya memakai  pakaian itu juga?”

Lantas Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda maksudnya, “Jika engkau telah suci, cucilah bahagian pakaianmu yang terkena darah lalu solatlah dengannya.”

Lalu Khaulah berujar lagi, “Wahai Rasulullah, bagaimana jika kesannya (kesan darah) tidak hilang?”

Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menjawab, “Air sudah cukup untuk (sudah menghilangkan najis tersebut), sehingga kesannya (kesan darah haidah) tidaklah membahayakanmu.”(Hadis Riwayat Ahmad. Shaikh Syu’aib Al-Arnauth mengatakan bahawa hadis ini hasan.)

Jika wanita ingin membersihkan darah haid tersebut dengan menggunakan kayu sikat atau alat lainnya atau dengan menggunakan air dan sabun atau pembersih lainnya untuk menghilangkan darah haid tadi, maka ini lebih baik. (Lihat Sahih Fiqh Sunnah, Shaikh Abu Malik, 1/84, Al Maktabah At Taufiqiyah).  

Dalilnya adalah hadis Ummu Qais binti Mihshon, beliau mengatakan,

سَأَلْتُ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- عَنْ دَمِ الْحَيْضِ يَكُونُ فِى الثَّوْبِ قَالَ « حُكِّيهِ بِضِلْعٍ وَاغْسِلِيهِ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ ».

“Aku bertanya pada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mengenai darah haid yang mengenai pakaian. Baginda menjawab, “Gosoklah dengan tulang dan cucilah dengan air dan sidr (sejenis tanaman)”.” (Abu Daud no. 363, An-Nasai no. 292, 395, dan Ahmad (6/355). Shaikh Al-Albani mengatakan bahawa hadis ini sahih.)


Read More

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML