Wednesday, October 22, 2014

MENEMPUH KESUSAHAN HIDUP



Dengan nama Allah yang menciptakan manusia dari segumpal darah..

"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur." (An_Nahl, 16:78)

Benar, kedatangan kita ke dunia ini, dalam keadaan kita tidak mengetahui sesuatu pun. Kita mulakan kehidupan ini dengan mendengar, kerana pendengaran adalah nikmat pancaindera pertama yang Allah Ta'ala berikan kepada kita. Kemudian barulah kita dapat melihat, (kepada yang baru dapat anak, jangan perasan ye, anak itu sebenarnya belum mampu melihat), kemudian diberikan akal fikiran, disebut sebagai mumaiyiz. Seterusnya kita terus membesar sehingga akhirnya kita menentukan jalan hidup kita sendiri. Setiap manusia akan melalui tempoh-tempoh ini. Bezanya, cepat atau lambat.

Allah Ta'ala menceritakan perihal kedatangan kita ke dunia ini untuk mengembalikan kita kepada asal kejadian kita iaitu menjadi seorang hamba yag bersyukur.

Sungguh, kita perlu bersyukur kepada Allah yang telah memberikan kita kehidupan. Walaupun masing-masing akan menempuh cabaran dan kesusahan. Tidak semua yang dihajati akan menjadi kenyataan, tidak semua yang kita inginkan akan kita perolehi. Allah Ta'ala telah siapkan jalan cerita yang unik dan menarik untuk setiap hambaNya. Bagi yang beriman, hiduplah mereka dengan jalan cerita tersebut tanpa keluh kesah, apalagi menyesal atas jalan cerita yang Allah Ta'ala sediakan. Bagi yang tidak beriman, sekalipun dunia mereka dipenuhi dengan pelbagai nikmat dan keseronokan, semua itu hanyalah tipuan yang melalaikan.  

Sengaja saya gunakan kata ganti nama yang ketiga ketika merujuk kepada orang-orang yang beriman. Saya khuatir, keadaan saya ketika ini belum mampu diklasifikasikan sebagai beriman. Saya terus menulis tentang kebaikan, walaupun hakikatnya, saya hanyalah seorang manusia biasa yang biasa melakukan kejahatan.  

Saya mula sedar, hidup ini susah dan payah. Semakin umur bertambah, semakin berat bebanan (berat badan pun lebih kurang) dan tanggungjawab yang perlu saya pikul. Mujurlah ada teman yang membantu. Mengingatkan saya,

"HALIMI, daripada ko sedih2 macam ni, baiklah ko solat dua rakaat ke, baca quran ke, mengadulah pada Dia. Dia Maha Mendengar segala permintaan hambaNya, dan teruskan bersabar. 'Mintalah pertolongan dengan jalan sabar dan mengerjakan Solat', ko jugak yang bagitau hari tu," pendek tapi cukup untuk membuatkan saya tersedar...

Encik Otak selalu berpesan,

HALIMI, hidup ni singkat.. In the blink of eye, you had already become someone in ur life and will be someone in someone's life. Be strong!! Masa yang ada ni, hiduplah elok2..

Bacalah selalu firman Tuhanmu,

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Al-Baqarah, 2:286)

AlhamduliLlah, saya bersyukur kerana sehingga ke saat ini, kontrak hidup saya dilanjutkan, semoga ketika kontrak ini ditamatkan, ianya ditandatangani oleh diri saya yang beriman...
Read More

BERDOA MEMOHON PERTOLONGAN ALLAH HENDAKLAH SENTIASA, BUKAN HANYA KETIKA DITIMPA MUSIBAH




RAMAI yang meminta kepada manusia tetapi tidak mahu meminta kepada Allah SWT. Mereka juga pandai menjaga hubungan baik dengan manusia tetapi memutuskan hubungannya dengan Allah SWT.

Mereka bergantung kepada manusia dan berharap mendapat manfaat daripadanya sehingga melupakan kuasa Allah SWT yang memberi manfaat dan mudarat. Perbuatan sebegini boleh menyebabkan iman seseorang terjejas. Seolah-olah mereka hilang kepercayaan kepada Allah SWT, padahal Dialah yang menggenggam ubun-ubun setiap makhluk.

Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik berjumpa dengan cucunda Umar bin Al-Khattab, seorang warak, zuhud lagi alim bernama Salim bin Abdullah bin Umar al-Khattab. Kedua-duanya berada di Baitullah. Khalifah bertanya: “Apakah kamu mempunyai hajat kepadaku, wahai Salim?” Salim menjawab: “Wahai Sulaiman tidakkah engkau malu mengatakan itu padahal engkau berada di Baitullah? Kemudian Salim keluar dan Sulaiman menunggunya di luar Baitullah dan kembali bertanya: “Apakah kamu mempunyai keperluan kepadaku?” Salim bertanya juga: “Keperluan dunia atau akhirat, wahai khalifah?” Sulaiman menjawab: “Keperluan dunia.” Salim berkata: “Adapun tentang keperluan dunia, kepada yang memilikinya pun aku tidak pernah meminta, bagaimana mungkin aku memintanya kepada yang tidak memilikinya?

Kepada Allah SWT yang memiliki dunia dan segala isinya pun beliau tidak meminta kecuali untuk kepentingan akhiratnya saja, apatah lagi kepada manusia yang hakikatnya tidak memiliki apa-apa. Begitu kuatnya hubungan orang mukmin kepada Allah SWT melebihi hubungan sesama manusia di dunia ini. Keyakinannya kepada Allah SWT terpacak kukuh dan tidak mungkin digoyah oleh kuasa apapun.

Orang mukmin berpegang kepada satu keyakinan, iaitu hanya kepada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: 

“Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-An’am: 17)

Apabila syaitan pernah meminta kepada Allah SWT dan permintaannya dimakbulkan, mengapa ramai manusia tidak yakin dengan doanya kepada Allah SWT seterusnya berhenti berharap, berputus asa daripada rahmat-Nya dan mencabut akar keyakinan daripada hatinya kepada Allah SWT? Sedangkan iblis diberi peluang, inikan pula manusia makhluk pilihan paling mulia.  

Sebagaimana yang terakam di dalam surah Al-A’raf: 14-15, maksudnya: 

“Iblis berkata: Beri tangguh kepadaku sampai waktu mereka (manusia) dibangkitkan”. Allah berfirman: Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh.”

Sehebat dan sekuat apapun, manusia tetap makhluk yang tidak berupaya melawan takdir-Nya. Dia memerlukan pertolongan Allah SWT, menyandar pada rahmat-Nya, bergantung hidup kepada limpah kurnia-Nya dan mengharapkan belas kasihan ketika menghadapi sebarang musibah.

Namun begitu, ada juga yang bergantung kepada Allah SWT ketika susah saja, jika sudah berakhir kesusahannya dia kembali berpaling. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya, begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah Yunus: 12)  

Mengapa cepat sekali hati berubah? Sekejap ingat sekejap lupa, iman dan kufur bertukar-tukar seperti baju yang dipakai. Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

“Bersegeralah kalian mengerjakan amal soleh. Kerana akan terjadi bencana yang menyerupai malam yang gelap, iaitu seseorang yang pada waktu pagi beriman tetapi pada waktu petang dia kafir atau sebaliknya pada waktu petang dia beriman dan pada pagi harinya dia kafir. Dia menukar agamanya dengan sedikit keuntungan dunia.” (Hadis riwayat Muslim)  

Perubahan iman yang berlaku sebegini pada asasnya disebabkan renggangnya hubungan manusia dengan Allah SWT, lemahnya keyakinan mengenai sifat-Nya dan kejahilan yang disengajakan. Secara sengaja mereka menolak kebenaran al-Quran dan Sunnah, berdolak-dalih mencari alasan untuk meninggalkan agama ke tepi. Pandai berputar belit menafikan ayat-ayat Allah dan semua itu dilakukan kerana mereka lupa siapa diri mereka sebenarnya. Jika mereka berpijak pada bumi nyata, mereka akan menghayati kelemahan diri. Mereka memerlukan Allah SWT untuk selamat sampai ke tujuan.

Jika mereka diliputi kesulitan hanya kepada Yang Maha Kuasa saja tempat bergantung. Apabila tiada lagi kekuatan dalam diri yang boleh menyelamatkan maka mereka menjerit mencari Tuhan Yang Maha Perkasa. Sebagaimana jeritan Qarun dan Firaun, kaum ‘Ad dan Tsamud. Sedangkan Nabi Musa merayu kepada Bani Israil setelah berkali-kali dikecewakan dengan kekufuran mereka:

Walau diri pernah ternoda oleh dosa dan maksiat, tetaplah berharap kepada Allah SWT. Sesiapa yang memutuskan hubungan dengan Allah maka dia akan terputus daripada kesenangan dunia dan di akhirat pula menanti azab yang kekal selama-lamanya. Doa dan harapan kepada Allah adalah senjata yang paling tajam untuk membunuh iblis dan syaitan. Doa seorang hamba melemahkan semangat iblis untuk menyesatkannya dari jalan Allah. Disebabkan tangisan, ketakutan, harapan dan cemas mengiringi doa seorang hamba membuat iblis berputus asa seketika.

Apatah lagi mendengar ketulusan seorang yang menyerahkan segala permintaannya menurut ilmu Allah SWT bukan menurut kehendak diri sendiri. Sebagaimana doa Nabi Nuh AS saat melihat darah dagingnya sendiri tenggelam ditelan banjir besar. Firman Allah yang bermaksud; 

“Nuh berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari memohon kepada Engkau sesuatu yang aku tiada mengetahui (hakikat)nya dan sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaku, dan (tidak) menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku termasuk orang-orang yang merugi.” (Surah Hud ayat: 47)

Bolehkah kita menghadirkan sangka baik kepada Allah SWT dalam keadaan seteruk apapun dan mempersembahkan doa yang paling tulus? Belum terlambat untuk mengetuk pintu langit dengan bahasa yang paling indah dan lembut diiringi dengan harapan dan keyakinan kepada janji Allah SWT. Sesungguhnya tidak akan ditolak doa orang yang berpuasa. Amin ya Allah, ya rabbal ‘alamiin.

Read More

MERIAH SUNGGUH MASJID KITA




Ingat lagi tak suasana ketika malam solat tarawih RAMADHAN YANG LEPAS?  

Alhamdulillah.. masjid penuh! Penuh dengan manusia.

Saat azan isya’ berumandang, berpusu-pusu manusia datang untuk solat berjemaah. Terlalu ramai. Sehingga Ahli Jawatan Kuasa masjid terpaksa menyediakan beberapa buah khemah untuk menampung pertambahan ahli jemaah.

Jangan hairan, tempat letak kenderaan pun tidak cukup. Penuh. Mahu tidak mahu, ada yang terpaksa parking kereta jauh di bahu jalan.

Seronok juga rasanya melihat pasangan suami isteri yang berjalan seiringan bersama dengan anak-anak mereka. Ada yang datang dengan keluarga, dengan jiran, dengan kawan-kawan, tidak kurang juga yang datang seorang diri. Masing-masing bersemangat mahu mengimarahkan masjid.

Fuuhhh.. Suasana di masjid ketika itu cukup indah. Tua, muda, miskin dan kaya semuanya berhimpun di rumah Allah. Masing-masing bersalaman dan bertanya khabar sebelum dan selepas solat. Malah ramai juga yang mendapat kenalan baru.

Allahuakbar.. Alangkah indahnya suasana itu. Terserlah kesatuan dan kekuatan umat Islam. Sebagai seorang muslim yang mengimpikan kembalinya kegemilangan Tamadun Islam zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin, sudah pasti akan tersentuh hati dan tersenyum melihat umat Islam datang memenuhi masjid. Ya.. Itu sudah pasti..  

Namun.. sayang seribu kali sayang. Suasana itu hanya ada pada bulan Ramadan.

Kini? Pada bulan ini? Apa sudah jadi dengan masjid?

Sunyi.Sepi..

Ya.. masjid kembali sunyi. Hanya yang rajin pergi ke masjid sahaja yang perasan akan kekurangan ini. Tidak percaya? Datanglah ke masjid. Buka mata seluas-luasnya dan saksikan sendiri.

Cukup menyedihkan. Terharu rasanya. Hanya dua, tiga atau empat saf sahaja yang penuh. Itu kira OK lagi. Kadang-kadang satu saf pun belum tentu penuh. Lebih-lebih lagi pada waktu subuh. Adapun yang datang, kebanyakannya orang-orang tua. Orang muda entah ke mana.

Arghh.. mengapa begini? Mengapa masjid tidak lagi meriah selepas Ramadan?

Seolah-olah apabila tiba bulan Ramadan, masjid akan dipenuhi dengan longgokan emas. Lalu ramailah manusia datang berebut-rebut mahu mengambil emas itu. Apabila Ramadan sudah habis, emas di masjid pun turut habis. Maka tidak ramai lagi yang datang ke masjid.

Adakah begitu? Benarkah begitu sikap umat Islam sekarang? Hanya beramal mengikut musim? Hanya beramal kerana ganjaran pahala yang berganda-ganda?

Aduhh.. jangan.. Mudah-mudahan diri kita bukan begitu.. Sedarlah bahawa Allah SWT sangat menggalakkan kita untuk solat berjemaah. Bukan sekadar solat berjemaah untuk solat sunat tarawih sahaja, bahkan untuk solat fardhu yang lain. Bukankah solat fardhu yang diwajibkan itu lebih utama berbanding solat sunat? Ya.. dan sudah pasti ganjaran bagi orang yang mengerjakan solat fardhu berjemaah tentu lebih besar disisi Allah.

Ramadan itu bulan tarbiyah. Bulan mendidik kita betapa solat berjemaah di Masjid itu sangat digalakkan dalam Islam. Dan berharap agar didikan itu sentiasa istiqamah walau di bulan berada di bulan lain. Bukan hanya sekadar memenuhi saf semasa di bulan Ramadan sahaja.

Kalau orang mukmin, peribadi mereka berbeza sedikit. Mereka tidak beramal kerana ganjaran pahala. Ganjaran banyak atau sikit, besar atau kecil, bagi mereka semua itu adalah bonus. Apa yang mereka kejar hanyalah cinta kasih dan redha daripada Allah.

Tapi.. ramai yang tidak mengerti. Belum memahami agaknya. Ramai yang merasa rugi terlepas solat sunat taraweh tetapi tidak pula merasa rugi terlepas solat fardhu berjemaah.

Sebenarnya, pelik juga apabila seseorang itu mampu untuk datang ke masjid melakukan solat sunat sebanyak lapan atau 20 rakaat tetapi tidak mampu untuk datang solat fardhu yang hanya 4 rakaat. Cuba fikir-fikirkan… Pelik bukan? Memang pelik..

Semasa bulan Ramadan kita ada masa untuk pergi ke masjid, tapi.. pada bulan-bulan yang lain, tiba-tiba pula tidak ada masa. Inipun pelik juga.. Mengapa begitu? Seakan-akan fungsi masjid hanya berjalan pada bulan Ramadan.

Masjid bukan di bina hanya khusus untuk solat tarawih sahaja. Tetapi masjid adalah pusat ibadah harian yang menghimpun hamba-hambaNya untuk sama-sama sujud kepadaNya tidak kira pada bulan Rejab, Sya’ban, Ramadhan, Syawal atau bulan-bulan lain.

Allah ‘Azza Wa Jalla menyatakan;

“Dan laksanakalah solat, tunaikanlah zakat dan ruku’lah kamu bersama orang-orang yang ruku’” (Surah al-Baqarah ayat 43)

Di mana tempat yang sesuai untuk umat Islam sama-sama ruku’ kepadaNya? Tentulah di masjid.

Masjid bukan sebarang tempat. Selain untuk solat berjemaah, masjid juga merupakan tempat berkumpul bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Hebat bukan?

Masjid menjadi tempat berhimpun bagi orang-orang yang tidak takut kepada apa-apa selain kepada Allah. Masjid juga menjadi pusat berhimpun bagi orang-orang yang mengharapkan hidayah Allah.

Allah yang nyatakan sedemikian;  

“Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapapun) selain kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk dalam golongan orang-orang yang mendapat hidayah.”  (Surah at-Taubah ayat 18)

Nampak? Cukup jelas bukan? Memang hebat peranan masjid. Sememangnya masjid adalah kilang untuk melahirkan insan-insan yang berkualiti di sisi Allah. Membentuk peribadi yang hebat di dunia, hebat juga di akhirat. “Sampai macam tu sekali?”

Ya.. Belum cuba belum tahu. Kalau betul kita hendakkan kekuatan dan hidayah daripada Allah, rajin-rajinlah datang ke masjid. Solat berjemaah dan cuba makmurkan masjid bersama-sama. Gagahkan diri selalu. Jangan layan nafsu malas. Hadiri kuliah ilmiah yang dijalankan, dan rapatkan ukhwah sesama ahli jemaah. Sama-samalah kita istiqamah.

Yang paling penting, ajak ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan rakan-rakan kita bagi mencintai dan merindui rumah Allah dengan mengimarahkannya. Jadikan suasana pada malam-malam Ramadan berlaku pada malam yang lain. Biar hati kita terikat dengan masjid. Mudah-mudahan kita berpeluang untuk mendapat naungan istimewa pada hari akhirat nanti sepertimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW;  

“Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naunganNya pada hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: (antaranya) Pemuda yang sentiasa terpaut hatinya dengan masjid.” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Sahabat-sahabat semua.. Mahukah masuk dalam golongan yang bertuah itu?

Pasti mahu bukan? Saya Mahu.

Maka apabila azan berkumandang, berhentilah memegang tetikus. Berhentilah menatap skrin komputer, iPad atau iPhone. Berdiri kuatkan diri, dan terus melangkah ke masjid. Jangan lupa senyum dan set dalam diri.. ”

Aku hamba Allah! Bukan hamba dunia!

Aku ada misi hidup! Aku mahu berjaya hingga ke Akhirat!
Read More

ALLAH MENJAWAB AL-FATIHAH KITA




"Ramai orang yang cara membacanya tegesa-gesa, dan seakan-akan ingin cepat menyelesaikan solatnya. Padahal di saat kita selesai membaca satu ayat dari surah Al-Fatihah tersebut, ALLAH menjawab setiap ucapan kita.

Dalam Sebuah Hadits Qudsi Allah Subhanahu Wata'ala ber-Firman: "Aku membagi solat menjadi dua bagian, untuk Aku dan untuk Hamba-Ku."

■ Ertinya, tiga ayat di atas Iyyaka Na'budu Wa iyyaka nasta'in adalah Hak Allah, dan tiga ayat ke bawahnya adalah urusan Hamba-Nya.

■ Ketika Kita mengucapkan "Alhamdulillahi-Rabbil 'alamin". Allah menjawab: "Hamba-Ku telah memuji-Ku."

■ Ketika kita mengucapkan "Ar-Rahmanir-Ra-him", Allah menjawab: "Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku."

■ Ketika kita mengucapkan "Maliki yaumiddin", Allah menjawab: "Hamba-Ku memuja-Ku."

■ Ketika kita mengucapkan “Iyyaka na’ budu wa iyyaka nasta’in”, Allah menjawab: “Inilah perjanjian antara Aku dan hamba-Ku.”

■ Ketika kita mengucapkan “Ihdinash shiratal mustaqiim, Shiratalladzina an’amta alaihim ghairil maghdhubi alaihim waladdhooliin.”- Allah menjawab: “Inilah perjanjian antara Aku dan hamba-Ku. Akan Ku penuhi yang ia minta.” (HR. Muslim dan At-Tirmidzi)

■ Berhentilah sejenak setelah membaca SETIAP satu ayat. Rasakanlah jawaban indah dari Allah kerana Allah sedang menjawab ucapan kita.

■ Selanjutnya kita ucapkan "Aamiin" dengan ucapan yang lembut, sebab Malaikat pun sedang mengucapkan hal yang sama dengan kita.

■ Barangsiapa yang ucapan “Aamin-nya” bersamaan dengan para Malaikat, maka Allah akan memberikan Ampunan kepada-Nya.” (HR. Bukhari, Muslim, Abu Dawud)

Wallahu a'lam..
Read More

AKHIR ZAMAN - KEKUASAAN DIPEGANG OLEH ORANG-ORANG BODOH DAN ZALIM



Pada akhir zaman nanti, akan kelihatan kuasa dari orang-orang bodoh dan zalim. Mereka mempunyai ramai pembantu dalam kezaliman mereka, bahkan mendera manusia dan menghinakan mereka. Rasulullah SAW telah mengumpamakan cambuk-cambuk tersebut dengan ekor lembu serta memperingatkan mereka dengan neraka dan azab Allah SWT.

Dari Abu Umamah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda, 

“Pada akhir zaman, akan ada orang yang membawa cemeti seperti ekor lembu. Mereka pergi pada pagi hari dalam kemurkaan Allah dan kembali pada petang hari dalam kemarahan Allah. “(HR. Al-Albaniy).

Dari Abu Hurairah ra bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, 

“Jika engkau diberi kesempatan yang panjang, engkau akan melihat suatu kaum yang pergi pada pagi hari dalam kemurkaan Allah dan kembali pada petang hari dalam kemarahan Allah. Di tangan mereka ada semisal (cambuk) ekor lembu. “(HR. Ahmad).

Dari Abu Hurairah ra bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, 

“Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah kulihat sebelumnya, iaitu suatu kaum yang bersamanya cemeti seperti ekor lembu, yang dipukul untuk memukul manusia, dan para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berjalan lenggak -lenggok, dan kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak akan masuk syurga, bahkan tidak akan mencium baunya. Padahal, baunya dapat tercium dari perjalanan (jarak) sekian dan sekian. “(HR Muslim).

Tanda-tanda itu telah berlaku dalam sejarah Islam dan akan muncul lebih hebat lagi sebelum berlakunya kiamat, iaitu ketika ilmu dicabut dan muncul kebodohan sehingga Islam tidak ada lagi, kecuali nama dan tulisannya sahaja. 

Turunnya bencana alam dan seksaan berat dari pemimpin yang Zalim. 

Rasulullah SAW memberitahu bahawa di akhir zaman nanti sebelum munculnya Al-Mahdi, umat akan ditimpa musibah besar, seperti cubaan dan seksaan berat yang dilakukan oleh para pemimpin dan hakim yang zalim. Mereka menyempitkan ruang gerak orang beriman sehingga seseorang akan berharap dapat menduduki seperti tempat saudaranya yang sudah meninggal agar terbebas dari cubaan, seksaan, kejahatan dan kezaliman para pemimpin tersebut.

Keadaan itu akan terus berlaku sehingga munculnya Al-Mahdi untuk menghukum mereka. Dia memenuhi bumi ini dengan kebaikan dan keadilan, sebagaimana sebelumnya bumi ini telah dipenuhi dengan kezaliman dan pembunuhan.

Dari Abu Sa’id Al-Khudri ra bahawa Rasulullah SAW bersabda, 

“Akan turun kepada umatku di akhir zaman nanti cubaan yang dahsyat dari pemimpin mereka. Belum pernah terdengar cubaan yang lebih dahsyat darinya sehingga bumi yang luas itu terasa sempit bagi mereka kerana bumi dipenuhi dengan kejahatan dan kezaliman. Seorang mukmin tidak mendapatkan tempat berpindah dari kezaliman itu. Kemudian, Allah Azza wa Jalla mengutus seseorang dari keturunanku.

Dia akan memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana bumi dipenuhi dengan kejahatan dan kezaliman. Penduduk bumi dan langit redha dengannya dan bumi tidak menyimpan sesuatu pun dari bijinya, kecuali mengeluarkannya. Begitu juga dengan langit, kecuali Allah menuangkannya ke bumi. Dia hidup di tengah-tengah mereka selama tujuh, lapan, atau sembilan tahun agar semua yang hidup dan mati menikmati apa yang tellah diperbuat Allah Azza wa Jalla terhada penduduk bumi dari kebaikan-Nya. “(HR Hakim).

Keadaan ini merupakan rangkaian dari bencana sebelumnya. Kezaliman mengakibatkan keadaan seperti ini. Begitu juga dengan pelbagai fitnah, kejahatan dan kezaliman pemimpin terhadap rakyatnya dengn sedikit rezeki serta kebajikan. Semua itu mengakibatkan kebimbangan manusia antara beriman dengan kufur.

Dari Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda, 

“Kiamat tidak akan berlaku sehingga seseorang yang melewati kubur dan mengatakan, seandainya aku boleh menduduki tempatnya.” (HR Asy-Syaikhoni).
Read More

PEPERANGAN AKHIR YA'JUJ WAL MA'JUJ

Assalamualaikum wbt Apa khabar? Diharap para pembaca semua sihat walafiat serta sentiasa dirahmati Allah swt hendaknya. Saya percaya, tentu anda seringkali terdengar mengenai perihal kedahsyatan bangsa Yakjuj dan Makjuj serta bencana besar yang akan dilakukan oleh mereka pada masa akan datang. Akan tetapi, adakah kita semua tahu bagaimanakah sejarah asal-usul mereka?

Mengapa mereka akan memakan apa sahaja yang berada di hadapan mereka? Apakah yang menyebabkan tubuh badan mereka lebih kuat dan hebat berbanding bangsa-bangsa yang lain? Adakah mereka ini termasuk di dalam golongan manusia? Untuk entri kali ini, saya akan merungkaikan secara amat terperinci mengenai sejarah asal usul bangsa Yakjuj dan Makjuj sebagai santapan pengetahuan buat anda semua!

Sedutan Daripada Kitab Kasyful Ghoibiyah 

Bermulalah kisah Nabi Nuh a.s mempunyai 4 orang anak lelaki iaitu Sam, Ham, Kan’an dan Yafis.

  • Sam menurunkan bangsa Arab Romawi dan Ajam. 
  • Ham menurunkan bangsa Habsyi dan Zangi yang berkulit hitam. 
  • Yafis menurunkan bangsa Turki Barbar, Mongol, Yakjuj dan Makjuj. 
  • Kan’an pula tidak sempat menghasilkan zuriat kerana mati ditenggelami banjir. 


Dari kiri adalah bangsa Arab Romawi, tengah adalah bangsa 
Zangi, manakala kanan pula adalah bangsa Mongol (Yakjuj)

Ham dikatakan telah menjadi raja di Mesir, Yafis telah menjadi raja di Hindustan dan Sam pula mungkin menjadi rakyat biasa sahaja. Yafis mempunyai anak yang bernama Aaj, Aaj pula mempunyai anak bernama Auj dan Auj pula mempunyai anak bernama Unuk.

Kini bermulalah kisah kehidupan anak istimewa yang bernama Unuk ini. Unuk merupakan kanak-kanak yang menghidapi penyakit terlebih hormon tumbesaran tubuh badan (penyakit ini masih lagi wujud sehingga ke hari ini).

Oleh kerana saiz tubuh badan manusia pada zaman dahulu adalah besar-besar, maka saiz badan Unuk pula adalah berkali-kali ganda lebih besar berbanding saiz badan manusia yang lain! mungkin ketinggian badan Unuk lebih tinggi daripada menara Burj di Dubai (wallahualam).

Ada satu lagi penyakit yang dihidapi oleh Unuk iaitu penyakit down syndrome iaitu tidak mampu berfikiran matang seperti mana orang dewasa. Cara pemikiran Unuk sentiasa seperti pemikiran kanak-kanak di dalam lingkungan usia 7-12 tahun.

Untuk pengetahuan semua, Nabi Nuh a.s mempunyai umur yang sangat panjang iaitu menjangkau 950 tahun! Menurut riwayat, ketika zaman Nabi Nuh a.s,

Unuk inilah yang ditugaskan untuk mengambil kayu terbesar di negara Mesir untuk dijadikan bahan binaan bahtera Nabi Nuh a.s. Menurut riwayat lagi, ketika terjadi banjir besar di zaman Nabi Nuh, Unuk dikatakan tidak tenggelam (wallahualam). Unuk hanya perlu memanjat sedikit sahaja gunung tinggi untuk menyelamatkan diri sedangkan putera Nabi Nuh a.s sediri yang bernama kan’an pun tenggelam ditelan banjir walaupun berada di puncak gunung! Sungguh besar sekali badan Si Unuk ini. Ketika banjir sedang berlaku, hanya puncak gunung Ararat di Turki sahaja yang timbul dari permukaan air bah.

Di khabarkan berita bahawa bahtera Nabi Nuh akhirnya berlabuh di puncak gunung tersebut dan Unuk pula meninggal dunia ketika zaman Nabi Musa a.s.

Mungkin beginilah keadaannya ketika Unuk ingin 
berjima’ dengan patung gadis tersebut. 

Setelah kesemuanya menetas dari kepompong, lalu mereka berasa sangat lapar dan dahaga lalu mereka pergi mencari makanan. Dengan melalui liang kemaluan patung itulah merupakan pintu gua tempat mereka keluar dan masuk.

Mereka keluar dan memakan apa sahaja yang mereka temui terutama binatang ternakan penduduk di situ. Setelah itu, pada zaman pemerintahan Iskandar Zulkarnain, ditutuplah pintu gua itu dengan tembok besi lalu mereka tidak dapat keluar mengganggu lagi.

Sebagaimana keterangan di dalam entri Fakta Mengenai Yakjuj Dan Makjuj, pada saat kiamat hampir tiba, mereka akan keluar setelah tembok tutupan mereka hancur di korek mereka. Menurut hadis, ketika zaman Nabi Muhammad SAW, saiz lubang yang telah dikorek oleh bangsa Yakjuj dan Makjuj adalah sebesar bulatan yang berdiameter lebih kurang 3-inci!

Agaknya sebesar manalah saiz bulatan yang telah dikorek oleh mereka ketika ini ya? Sesetengah pengkaji Islam telah menyatakan bahawa mereka sudah lama terbebas ke dunia luar. Mereka adalah dari kalangan suku kaum Mongolia (Yakjuj) dan juga suku kaum Khazar (Makjuj) di selatan Russia! (wallahualam).  

Gambar rajah Tembok Besi Zulkarnain di Fergana yang kini
telah pun dikorek oleh bangsa Yakjuj dan Makjuj 

Apa-apa pun, pegangan yang paling tepat sekali hanyalah Al-Quran dan Hadis kerana itulah sumber yang paling sahih.

Senarai rujukan yang digunakan. Entri ini merupakan 
sinopsis terhadap buku-buku ini 

Peristiwa-Peristiwa Sebelum Kedatangan Yakjuj Dan Makjuj 

Berbalik semula kepada tajuk asal, sebelum munculnya Yakjuj dan Makjuj untuk membuat kekacauan di dunia ini, terdapat pelbagai peristiwa aneh yang akan berlaku sebelum kedatangannya itu.

Di antara perstiwa-peristiwa tersebut adalah, keluarnya asap dukhan yang memenuhi timur dan barat bumi (tanda kiamat yang pertama), kemudian munculnya Imam Mahdi, munculnya si laknat Dajjal, dan turunnya kembali Nabi Isa a.s untuk membunuh si laknat Dajjal lalu mencorakkan kembali dunia yang telah rosak akibat dari perperangan Armageddon iaitu perperangan di antara tentera Khilafah pimpinan Imam Mahdi dengan tentera Freemason pimpinan si laknat Dajjal.

Si laknat Dajjal merupakan pemimpin terhadap anggota kumpulan Freemason/Illuminati, 
manakala Imam Mahdi pula adalah pemimpin terhadap anggota kumpulan Khilafah.

Setelah Nabi Isa a.s berjaya membunuh si laknat Dajjal di pintu gerbang Kota Lud/Lydda iaitu di Lapangan Terbang Ben Gurion di Israel. Maka malapetaka masih lagi terus menimpa umat Islam!

Kini terdapat mata-mata yang sedang mengintai dunia melalui pergunungan-pergunungan tinggi di wilayah utara bumi iaitu di banjaran Himalaya, banjaran Caucasus, banjaran Tien Shan dan banjaran-banjaran lain yang berdekatan dengannya.

Musuh kali ini ternyata lebih hebat dan dahsyat berbanding si terkutuk Dajjal bersama para pengikutnya (Freemason dan Zionis) sehinggakan Nabi Isa a.s sendiri dan seluruh kaum muslimin pun tidak mampu untuk melawannya!

Lapangan Terbang Ben Gurrion atau Gerbang Lud. Di sinilah tempat 
si laknat Dajjal akan dipancung oleh Nabi Isa kelak 

Cuba bayangkan betapa dahsyatnya malapetaka akhir zaman kelak (harap ia tidak lagi berlaku semasa hayat kita ini). Ketika bangsa Yakjuj dan Makjuj telah memunculkan dirinya, dunia ketika itu dikatakan baru sahaja hampir pulih daripada kesan tanda kiamat besar yang pertama iaitu kemunculan asap dukhan yang menyelubungi timur dan barat bumi.

Asap itu dikatakan akan mengakibatkan orang kafir (tidak berpuasa dan solat) boleh menghidapi penyakit radang manakala orang yang beriman (yang bersolat dan selalu berpuasa) pula hanya menghidapi penyakit selsema sahaja. Asap dukhan itu dikatakan akan menyelubungi bumi dalam tempoh masa yang agak lama, kemungkinan besar asap itu datangnya dari meteor yang akan terhempas ke bumi (wallahualam).

Menurut sumber rujukan, pada akhir zaman kelak segala kecanggihan teknologi akan musnah sama sekali. Segalanya adalah berpunca daripada kesan asap dukhan yang menyelubungi dunia ketika itu (tanda kiamat yang pertama) dan orang kafir pula banyak yang akan mati akibat dari perperangan, wabak penyakit serta kebuluran.

Asap dukhan itu dipercayai akan merosakkan segala hasil pertanian dan penternakan sedikit demi sedikit sehinggalah menjadi kurang! Ini adalah kerana, asap dukhan itu akan menghasilkan hujan asid yang berlarutan sehingga membawa kepada ketandusan dunia. Lihatlah hadis di bawah ini:

“Tidak akan datang hari kiamat sehingga hujan turun secara merata kepada manusia tetapi bumi tidak menumbuhkan tumbuhan sama sekali” (Musnad Ahmad 3:140)
Pada zaman akan datang, segala kecanggihan teknologi dikatakan akan lumpuh 
lalu kehidupan manusia kembali semula menjadi masyarakat di zaman dahulu 
kala (zaman Rasulullah saw). 

Kenapa Yakjuj Dan Makjuj Terselamat Dari Malapetaka? 

Menurut sumber rujukan, Yakjuj dan Makjuj sebenarnya telah lama terbebas di muka bumi ini (wallahualam). Mereka terdiri daripada suku bangsa Scythian iaitu suku kaum di Mongolia (Xiongnu, Mongol dan Tartar) dan juga suku kaum di wilayah selatan Russia (Khazar, Aryanomad, Hun Alan).  

Mungkin orang akan tertanya-tanya iaitu kenapa pada waktu ini masyarakat di sana tidak sedikit pun membuat kekacauan terhadap dunia? Menurut pendapat para pengkaji Islam, Yakjuj dan Makjuj sebenarnya adalah manusia biasa (cucu-cicit Nabi Adam) maka sudah tentu ianya tidak adil jika Allah swt menjadikan mereka seperti haiwan tetapi di akhirat nanti mereka akan dihukum seperti manusia lain. Jadi kesimpulannya, kehidupan Yakjuj dan Makjuj pada masa kini adalah sama sahaja seperti kita iaitu mempunyai pegangan agama, patuh pada undang-undang negara dan sebagainya.

Untuk pengetahuan semua, masyarakat Mongol dan Khazar (Yakjuj dan Makjuj) sejak turun temurun lagi mengamalkan corak pemakanan yang amat bebas. Mereka akan makan apa sahaja yang mereka mahu seperti ulat, anjing, kucing, labah-labah, katak, ular, kura-kura, daun pokok, usus beruang dan lain-lain (sumber: National Geographic).

Kesan daripada corak pemakanan bebas yang diamalkan oleh bangsa ini telah menyebabkan keadaan mereka menjadi agak berlainan sedikit berbanding bangsa-bangsa yang lain. Sifat mereka dikatakan agak sensitif dan tubuh badan mereka pula jauh lebih kuat berbanding bangsa lain tetapi mudah dihinggapi penyakit.

Salah satu corak pemakanan bebas yang diamalkan oleh 
bangsa-bangsa di asia tengah 



Lihatlah semasa wabak penyalit H1N1 dan SARS melanda dunia suatu ketika dahulu, negara merekalah yang paling ramai terkena jangkitan! Amalan pemakanan bebas ini telah mengakibatkan sistem keimunan tubuh mereka menjadi sangat-sangat lemah.

Selain bangsa Mongol dan Khazar, mungkin terdapat banyak lagi bangsa lain yang mengamalkan corak pemakanan bebas contohnya seperti masyarakat di Papua New Guinea, Vietnam, Kemboja, Indonesia, China dan lain-lain. Akan tetapi, pada masa akan datang mungkin mereka akan mati akibat keracunan Asap dukhan atau mungkin Imam Mahdi telah mengislamkan mereka (wallahualam).

Pernahkah anda terfikir bagaimanakah keadaan bangsa Khazar dan Mongol (Yakjuj dan Makjuj) apabila dilanda masalah kebuluran?

Keluarnya Yakjuj Dan Makjuj Membawa Kemusnahan Yang Dashyat!

Ketika Asap dukhan (tanda kiamat yang pertama) sedang melanda dunia, masyarakat dikatakan akan mengalami masalah kebuluran yang amat kriktikal tetapi mereka dapat menghadapinya dengan baik namun berbeza pula dengan kaum Khazar dan Mongol, mereka dikatakan akan menjadi sangat ganas dan dashyat lalu mereka mengamalkan semula cara hidup kuno mereka iaitu Nomad Gasar seperti merompak dan membunuh!

Setelah sumber makanan mereka telah kehabisan, maka bermulalah episod huru-hara yang maha dashyat! Mereka dikatakan akan berkumpul beramai-ramai lalu memanjat tembok-tembok semula jadi ciptaan Allah swt yang merupakan banjaran-banjaran tinggi. Dari situ, mereka akan meluru turun di dalam keadaan lapar dan dahaga terus menuju ke Tasik Tiberia di Palestin lalu meminumnya sehingga kering.

 Tasik Tiberia di Palestin yang dikatakan akan diminum oleh bangsa 
Yakjuj dan Makjuj sehingga kering 


Ketika Yakjuj dan Makjuj sedang melakukan kemusnahan yang dahsyat di muka bumi ini seperti membaham binatang liar, binatang ternakan, manusia, serangga, tumbuh-tumbuhan, memusnahkan bandar-bandar, meminum air tasik/sungai sehingga kering, membuang air kecil/besar merata-rata, penduduk di dunia dikatakan tidak mampu untuk melawan mereka.

Terlalu ramai penduduk yang telah terkorban ketika berperang dengan mereka. Kaum muslimin ketika itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah berkurung di dalam rumah sahaja di samping berdoa dan bertawakal tanpa henti.

Kekuatan bangsa Yakjuj dan Makjuj sangatlah luar biasa sehinggakan 
Nabi Isa sendiri pun tidak mampu menghadapinya


Pada waktu itu, negara China dan India dikatakan telah pun hancur dimamah Yakjuj dan Makjuj. Sebelum Yakjuj dan Makjuj tiba di timur tengah, Nabi Isa mendapat laporan daripada kaum muslimin bahawa negeri mereka telah pun dihancurkan oleh mereka. Setelah mendengar laporan itu, Nabi Isa a.s segera memohon petunjuk dari Allah swt lalu Allah swt memerintahkan Nabi Isa a.s supaya bersegera membawa kaum muslimin berlindung di Bukit Tursina, Mesir.

Kemudian Nabi Isa a.s memohon lagi pertolongan daripada Allah swt agar seluruh umat Islam dilindungi dari kejahatan Yakjuj dan Makjuj lalu Allah swt menghantar binatang merayap (iaitu sejenis virus berbentuk ulat) untuk menyerang leher dan belakang mereka sehingglah keseluruhan bangsa itu binasa dan mati.

Bukit Tursina, Mesir yang dikatakan sebagai tempat persembunyian 
Nabi Isa dan kaum muslimin di bawah perintah Allah


Menurut pendapat para pengkaji Islam, binatang merayap yang dimaksudkan itu adalah sejenis virus yang boleh berjangkit. Ia dipercayai datangnya dari corak pemakanan bebas yang diamalkan oleh bangsa Yakjuj dan Makjuj seperti memakan daging mentah serta minum air sungai.

Untuk membersihkan bangkai Yakjuj dan Makjuj yang bergelimpangan di sana-sini, lalu Allah swt menghantar burung bersaiz unta untuk membawa bangkai tesebut ke daerah yang diperintahkan-Nya. Kemudian Allah swt telah menurunkan hujan yang amat lebat membasahi keseluruhan tempat sehingga bumi menjadi benar-benar bersih seperti kilauan cermin (putih seperti pasir pantai).

Maka setelah itu, bumi dikatakan akan kembali menjadi subur dan menghijau. Nabi Isa a.s pula dikatakan akan memerintah dunia selama 40 tahun sehingga aman dan makmur dan beliau sempat menjalani ibadat haji dan umrah sebelum beliau wafat.

Para pengkaji Islam percaya bahawa ‘ulat merayap’ yang akan menyerang
 leher dan belakang Yakjuj dan Makjuj itu merupakan sejenis virus 
atau bakteria yang mudah berjangkit. 

Bangkai Yakjuj dan Makjuj yang bergelimpangan akan dibersihkan 
sendiri oleh Allah swt melalui burung dan hujan lebat 


Maka dengan itu, diisytiharkan bahawa tamatlah segala episod mengenai Yakjuj dan Makjuj. 

Segala kebenarannya hanya Allah swt sahaja yang maha mengatahui. Jika diberi kesempatan, insyaallah saya akan update lagi entri-entri yang menakjubkan khas buat anda semua. Segala kebenaran datangnya dari Allah swt, manakala sebarang kesilapan datangnya dari diri saya sendiri.
Read More

HATI TENANG, SETENANG AIR DI KALI

Setenang air di kali begitulah juga ketenangan dan kedamaian hati dan minda anda tatkala melihat keindahan suasana alam di sungai yang tenang... 



Suasana yang tenang dan aman jauh dari kesibukan menenangkan hati...setenang air di kali 



Pepohon subur menghijau di sepanjang tebing sungai memberikan suasana yang sejuk, nyaman dan menyegarkan. 



Syukur kita dengan keindahan suasana alam di sungai yang tenang yang memberi ketenangan hati dan minda...anugerah Maha Pencipta yang perlu kita pelihara. 



Ketenangan air kali yang menenangkan pandangan dengan keindahan warna-warni alam di tebing mu.


Keindahan alam yang mengingatkan kita kepada kebesaran Ilahi. Ucapkanlah...

Tasbih..."Subhanallah" 

Tahmid..."Alhamdulillah" 

Tahlil..."Laa ilaha ilallah" 

Takbir..."AllahuAkbar" 

Tanda ingatan dan kesyukuran kita kepadaNya, memberikan keindahan alam yang menenangkan hati...setenang air di kali...
Read More

KESUSAHAN HIDUP TANDA KERINDUAN ALLAH



Hidup dalam dunia yang penuh kemewahan dan semua yang ada di dalamnya berlumba-lumba pada hari ini sering menghanyutkan kita dengan seribu macam perkara. Hari-hari yang dilalui, dipenuhi dengan jadual dan aktiviti untuk mencapai yang dihajatkan oleh hati. Ingin mengejar itu dan ini.

Hati dan fikiran fokus kepada hal-hal dunia sehinggakan masa untuk kita berhubung mesra dengan ALLAh Ta’ala, berkhalwat dengan ALLAH Ta’ala sudah hampir tiada. Kalau ada pun, berapa ramaikah dari kita yang tergolong dari orang-orang yang sedaya upaya mencuri masanya untuk berhubungan ‘heart to Rabb’ dengan Dia?

Yang parahnya adalah, dalam 1 hari yang dilalui itu, ada manusia yang langsung tidak mengingati Tuhannya dek kesibukan yang mengikat diri. Dan ALLAh Ta’ala, punya cara yang tersendiri untuk menyedarkan! Dan hanya selepas itu, manusia yang tersedar.

ALLAH Punya Cara-Nya Sendiri 

Dia Maha Penyayang, Maha Mengingati dan Maha Mengasihi kepada semua hamba-Nya.

Apabila kita menyayangi seseorang, mesti timbul rasa rindu apabila berjauhan, dan rasa rindu untuk berhubung serta bermesra, bergurau sendanya dengannya. Begitulah juga tamsilan, halnya dengan kerinduan ALLAh Ta’ala terhadap hamba-Nya.

Tapi, cara manusia dan cara ALLAh Ta’ala memanggil, menyeru dan berhubung dengan hamba yang dikasihi-Nya sangat luar biasa. Tidak sama seperti cara manusia. ALLAh Ta’ala punya cara-Nya sendiri. Tapi sayang, dek kerana lemahnya iman yang ada, sangat sedikit dari pada manusia (termasuk saya) yang sedar dan faham akan cara ALLAh menyeru dan memanggil kita untuk mendekati dan mendampingi-Nya.  

Musibah dan masalah dalam kehidupan itu sebenarnya merupakan panggilan-panggilan ALLAh supaya manusia berhubung dengan-Nya. Manusia sering lupa untuk mengingati ALLAh Ta’ala. Sering!

Bagaimana mahu berhubung dengan ALLAH Ta’ala? Melalui telefonkah? Bukan, sayang.

ALLAH Ta’ala menyeru dan memanggil manusia untuk menghampiri-Nya dengan menurunkan kesusahan demi kesusahan, supaya dengan itu, manusia boleh tersedar dan lembut hatinya untuk kembali kepada-Nya berdoa, mengadu dan meluahkan masalah dalam hidup.

Ini soal pergantungan manusia sebagai seorang hamba kepada Tuhannya!

ALLAH Ta’ala yang menurunkan bala bencana dan ALLAH Ta’ala jugalah yang akan mengangkat kesemua bala bencana itu kembali daripada kita.  

Pernah terfikir tidak, kenapa diri sendiri ditimpa musibah secara tiba-tiba, padahal beberapa minit atau beberapa jam sebelumnya hati lapang dan gembira serta tersenyum tawa dengan hati yang riang? Mengapa ALLAh Ta’ala turunkan suatu masalah yang sangat menghimpit jiwa secara tiba-tiba tanpa sebarang alamat?  

Maka, itulah sebenarnya maksud dan perancangan ALLAh Ta’ala pada setiap waktu dan ketika menanti-nanti manusia yakni hamba-Nya meluangkan masa untuk bersama-Nya. Setiap kali ALLAh Ta’ala menyeru dan memanggil manusia melalui kesusahan-kesusahan hidup itu, ALLAh mahu manusia menyahut panggilan-Nya dengan berusaha merapat pada-Nya melalui solat, doa dan munajat.

Ujian kesusahan, kedukaan dalam kehidupan itu bukanlah tanda ALLAh Ta’ala itu zalim. Tetapi kerana zalimnya manusia terhadap diri sendirilah yang menyebabkan ALLAh Ta’ala dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih menyedarkan manusia dari lamunan duniawi.

Itu adalah tanda kasih dan sayang-Nya!

Saya sendiri, dan anda yang membaca,

tidakkah terasa kecut jiwa untuk mahu tunduk terhadap ALLAh?

Dia, ALLAh Ta’ala. Tuhan kita, sentiasa ada untuk menjaga kita.

Maka, jagalah Dia dalam urusan kehidupanmu.

Semoga ALLAh merahmati.
Read More

NIKMAT - HITUNGLAH KESYUKURANMU,BUKAN KESUSAHANMU


Dalam kehidupan kita, terlalu banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita. Antara sedar dan tidak sedar, nikmat yang kita dapat terlalu banyak. Nikmat kesihatan, nikmat kebahagiaan, nikmat rezeki, nikmat keamanan dan sebagainya. Alhamdulillah! kadang-kadang kita ini insan yang lemah yang mudah lupa untuk mengucapkan Alhamdulillah.

Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu Ya Allah, kerana memberikan keluarga yang sentiasa berada di sisiku, kerana memberikan aku sahabat yang selalu mendorong ku kejalanMu, kerana memberikan aku nikmat-nikmat pemberianMu, Siapa lah aku untuk mengeluh jika apa yang diinginkan tak diperolehi, kerana jika difikirkan, telah terlalu banyak nikmat pemberianMu itu, Dan pasti Allah memberi dengan adil kepada hamba-hambaNya. 

Seringkali kita manusia biasa hanya fokus kepada nikmat orang lain yang dirasakan lebih baik daripada kita. Dan seringkali juga kita akan mengeluh atas segala ujian dan musibah yang melanda hidup kita. Kita terlalu membesarkan kesusahan yang kita lalui sedangkan ada lagi manusia lain yang lagi menderita dan susah dari kita seperti mana musibah yang menimpa saudara kita di Gaza sekarang. Dalam masa yang sama, kita turut membutakan mata atas segala nikmat yang dikurniakan di sekeliling kita. Realitinya, kita tersangat mewah dan kaya dengan kenikmatan. Mengapa kita mudah lupa?? Benarlah bahawa kita hanya asyik mengira kesukaran dan kesusahan yang melanda diri tetapi kita lupa menghitung kesyukuran atas segala nikmat yang ada di sekeliling kita!

Nikmat dalam hidup 

Nikmat Allah yang kita kecapi dalam hidup kita ini terbahagi kepada dua :

  • Nikmat yang dinisbahkan dengan dunia seperti mendapat nikmat diri dan tubuh badan yang sempurna, beroleh kesenangan dan keselesaan hidup dan dijauhkan dari segala musibah dan kecelakaan. 

  • Nikmat yang dinisbahkan dengan akhirat seperti mendapat hidayah Islam, mendapat taufik dan hidayah daripada Allah dan mendapat pemeliharaan Allah daripada mudarat agama. 


Tepuk dada, tanya iman dan hati masing-masing. Alhamdulillah, segala infiniti pujian berbalik kepadaNya sekiranya kita mendapat kedua-dua nikmat ini. Dan sebesar-besar nikmat adalah kita dikurniakan nikmat IMAN dan nikmat ISLAM.

Syukurlah sekiranya kita dilahirkan fitrah dalam ISLAM. Sama-sama kita jaga nikmat itu dengan sebaik-baiknya supaya mendapat pengakhiran yang baik. Tak semestinya permulaan kita baik yakni kita dilahirkan islam akan menjamin pengakhiran yang baik juga untuk kita. Semua bergantung kepada hati, amal ibadah dan ketaqwaan kita kepadaNya.

Jadilah hamba yang bersyukur 

Malulah jika kita tak mampu menjadi hambaNya yang bersyukur. Rasulullah SAW, manusia yang paling mulia di bumi Allah ini pun bersolat malam sehingga bengkak kaki dan tatkala ditanya oleh Saidatina Aishah mengapa berbuat sedemikian lantas baginda menjawab:

‘ …tidak bolehkah aku menjadi hambaNya yang bersyukur.’ 

Dan kita, aku, kamu, awak, anda bagaimana pula? Nikmat dan kurniaanNya terlalu banyak sedang dosa kita juga banyak. Astagfirullah, Astagfirullah, Astagfirullah! Sesungguhnya setiap nikmat datang bersama tanggungjawab. Setiap satunya pasti dipersoalkan bagaimanakah telah kita gunakan semua nikmat dan kurniaanNya ini. Pada jalan Allah kah atau kita menjadi pula hambaNya yang semakin jauh dariNya dengan bersifat sombong serta sangat alpa.

Jangan kufur nikmat. Semua ini hanya dipinjamkan sementara sahaja dan anytime je Allah boleh tarik balik nikmat yang ada pada kita. Ingatlah juga, setinggi mana pun pangkat dan sebanyak mana pun harta kita di DUNIA ini, kepada Allah jualah tempat kita kembali. Di dalam kain kubur berselimutkan kain putih juga akan kita huni. Hanya amal sahaja yang menjadi peneman kita. Jadi, jangan bongkak dan sombong. Siapa kita nak bongkak dan sombong, kita ini hanya hamba. Kita buat salah pun, Allah still bagi chance untuk kita bertaubat dan bagi perkara-perkara baik untuk kita. Luasnya kasih sayang Dia dan rahmatNya untuk kita. Fikir-fikirkanlah.

Pembahagian syukur 

Bagaimana cara nak bersyukur?? Syukur itu boleh dengan hati, lidah yakni lisan kita dan juga amal perbuatan kita.


  • Syukur dengan hati 

Hati yang bersyukur akan sentiasa merasakan bahawa setiap nikmat yang diperolehi adalah mutlak daripada Allah SWT bukan kerana kelebihan, ilmu atau kepandaian yang ada pada dirinya. Mereka akan sentiasa merasa malu dan ‘terhutang budi’ kepada Allah.

  • Syukur dengan lidah 

Lidah yang akan sentiasa melafazkan kalimah ALHAMDULILLAH sebagai menzahirkan erti kesyukuran terhadap nikmat yang diterima daripada Allah. Sesungguhnya Allah amat suka apabila hamba-hambaNya menzahirakn kesan nikmat yang diperoleh dengan melafazkan kalimah puji-pujian kepadaNya.

  • Syukur dengan amal 

Menggunakan segala nikmat yang diperolehi untuk beribadah dan ketaatan kepada Allah. Sebagai contoh, mensyukuri nikmat mata iaitu nikmat penglihatan dengan sentiasa digunakan untuk membaca al-Quran, menatap kitab-kitab Allah, melihat alam semesta dengan tujuan merasai kebesaran Allah dan tidak melihat perkara-perkara maksiat.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama berusaha menjadi hamba yang bersyukur. Bersyukurlah dengan apa jua kehidupan yang kita jalani. Kita jatuh, bangunlah kerana masih ramai orang yang menyayangi dan memerlukan kita. Yakinlah bahawa langit yang gelap ini akan cerah di kemudian hari. Pandanglah ke hadapan dan jika perlu pandanglah laluan kita yang berliku di belakang sebagai pendorong kita untuk terus maju kerana ianya bukti bahawa kita telah mengharungi pelbagai pengalaman perit.

Namun kita masih mampu berdiri di dunia yang fana ini. Orang selalu kata jangan pandang orang yang lebih tinggi daripada kita tetapi pandanglah orang yang sama taraf dan lebih susah dari kita. Kerana kita akan termasuk dalam golongan orang-orang yang sentiasa bersyukur atas nikmatnya. In shaa Allah! Itu sahaja, jaga diri, jaga hati, jaga iman.

Wallahua’lam.
Read More

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML