Tuesday, March 25, 2014

REFORMASI FATWA TENTANG ROKOK ~ DULU KHILAF SEKARANG IJMA'

{REFORMASI FATWA ROKOK: DULU KHILAF KINI IJMAK}



Fikrah Perokok Terumbang-ambing Antara Mistik,

Imperalisme dan Kapitalisme



SELAMA 16 KURUN lamanya umat Islam “buta tembakau”. Umat Islam tidak tahu langsung apa itu tembakau, bagaimana pokok, daun dan batangnya serta untuk apa tembakau itu boleh digunakan. Sepanjang tempoh itu umat Islam bersih dari usaha pendapatan penanaman tembakau dan pencemaran asapnya.
Sementara itu, walaupun mereka bebas dari fenonema tembakau tetapi mereka menghadapi zaman kemunduran. Rata-rata kedudukan politik, ekonomi dan sosial umat Islam pada waktu itu berada pada tahap sangat daif; semakin menurun hari demi hari. Mereka hidup dalam kejumudan, kepompong taklid buta, kegelapan politik dan ketidakstabilan sosial. Tetapi, malangnya umat Islam terus lena diulit ilusi kegemilangan Islam lampau.

Manakala masyarakat barat sebaliknya, di mana mereka menemui sentuhan ketamadunan moden. Selepas keperitan dan pengajaran perang Salib yang berlanjutan hampir 200 telah mengalihkan strategi mereka 180 darjah ke arah pembangunan dalaman, penguasaan ekonomi melalui penemuan-penemuan baru. Mereka nekad menerobos sempadan sejarah gelap ke alam pencerahan dan realiti masa depan yang gemilang walaupun terpaksa bermula dari bawah.

Rentetan penemuan demi penemuan dicapai yang membawa kepada penemuan tembakau pada akhir kurun ke-14 menjadikan gelombang penguasaan ekonomi global kian realistik. Sejak itu, dunia Eropah telah berkembang pesat dengan industri tembakau yang diterajui monopoli kapitalis. Masyarakat barat telah diselubungi fenonema ini selama 200 tahun sebelum merebak ke dunia umat Islam.

Penemuan sejarah mencatatkan penemuan awal rokok dari mitos mistik orang-orang asli benua Amerika. Orang Indian ini menghisap rokok untuk mendapatkan asapnya bagi tujuan pemujaan ruh baik dan menghindarkan ruh jahat.

Menurut catatan “Wikipedia” sewaktu Colombus dan kelasinya menemui pulau Bahamas pada tahun 1429, mereka melihat orang-orang Indian yang memegang sesuatu yang bernyala dan mengeluarkan asap di hujungnya. Mereka menghisap benda itu dan menghembuskan asapnya dengan menggunakan alat seperti paip. Mereka meletakkan tembakau di dalam lubang paip dan menyalakannya untuk mendapatkan asap.

Mereka melakukan demikian kerana berpegang kepada kepercayaan interaksi ghaib ruh baik dan ruh jahat. Mereka sentiasa melakukannya sebagai upacara suci bagi mendapatkan pertolongan ruh agong dan dalam situasi yang sama bermohon dijauhi dari ruh yang tidak baik.

Hakikatnya, ruh jahat atau baik yang dimaksudkan oleh orang Indian itu merupakan makhluk halus dari jenis jin. Percaya atau tidak, makhluk halus di dunia ini hanya dua sahaja iaitu malaikat yang diciptakan dari nur dan kedua jin yang dijadikan dari unsur api.

Dr. Salah al-Khalidi dalam “al-Qasas al-Qur’ani” menyatakan bahawa malaikat dan jin merupakan makhluk alam ghaib, iaitu ghaib dari alam nyata manusia sahaja. Manusia tidak melihat mereka dengan mata kasar tetapi mereka hidup dan wujud di sekeliling kita.

Tambahnya lagi, asal-usul jin dari “al-Samum” seperti penjelasan surah al-Hijr, ayat 27, maksudnya; “Dan kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas”. Hakikat “api yang sangat panas” itu disebut dalam al-Quran sebagai “al-Samum”. “al-Samum” pula terbentuk dari “al-Marij” iaitu gabungan dua juzuk api. Pertama; diambil dari satu juzuk yang terakhir dari kepanasan api yang mengeluarkan sinaran api dan kedua, juzuk asap hitam yang dijulang api marak. Intergrasi kedua-dua juzuk inilah diciptakan jin.

Menurut keterangan “Ensiklopedia Islam” golongan malaikat semuanya baik belaka, taat, beriman dan tidak sekali mengganggu manusia, malah mendatangkan rahmat. Manakala golongan jin terbahagi kepada dua; jin beriman dan kedua jin kafir yang disebut juga syaitan dan iblis yang tentunya membuat kacau dan memperdaya manusia dari hidayat Allah. Justeru, mitos mistik orang Indian itu berkait rapat dengan anutan kuasa ghaib yang bertentangan dengan Islam.

Pembakaran seumpama colok dan kemenyan untuk mendapatkan asap sebenarnya mengandungi elemen penyeruan makhluk halus kerana unsur asap sinonim dengan kejadian jin. Dikatakan bahawa jin bukan sahaja makan sisa tulang dan makanan tetapi juga begitu teruja dengan asap.

Sehubungan itu, tidak jauh kebenarannya jika Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus dalam satu ceramahnya berseloroh bahawa orang yang hisap rokok perlu hati-hati kerana asap yang dihasilkan itu mampu menarik minat jin. Katanya; “Jin dijadikan dari asap dan makan dari unsur asap seperti manusia dijadikan dari tanah yang makan dari unsur kejadian tanah. Maka orang yang hisap rokok sebenarnya kawan jin”. Kenyataan ini memberikan signal tersirat apakah pengaruh asap yang menjadi makanan jin ini juga salah satu faktor menyulitkan usaha “menalak tiga” rokok. Keadaan ini membuat perokok begitu liat dan sukar memberikan keikhlasan suci untuk membuang jauh-jauh tabiat rokok.

Namun, saya yakin niat perokok bukan mendampingkan diri dengan jin. Mereka menyalakan rokok semata-mata mendapatkan kenikmatan candu dalam kandungan asap rokok. Dalam cita-cita perokok asap itu adalah kemuncak kelazatan. Tiada rokok tanpa asap. Banyak benda lain yang berasap tapi tidak seindah rokok.

Sebab itu soal hubungan jin, pembaziran duit dan efek racun dalam rokok yang disahkan pakar perubatan mengandungi lebih kurang 4000 racun yang membawa penyakit tahap berbahaya dan maut sehingga laporan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan 4.9 juta manusia mati setahun akibat rokok merupakan perkara sampingan, malah sesuatu yang tidak dapat dielakkan bagi perokok. Mereka rela apa saja demi rokok!

Suatu perkara sampingan yang perlu disentuh berkaitan asap dalam kesempatan itu juga ialah fatwa Jabatan Mufti Melaka menegaskan jika asap yang dihasilkan samada dari rokok, colok dan kemenyan dalam bentuk perbomohan, penyeruan dan perubatan tradisional dengan maksud mendampingi dan meminta bantuan makhluk ‘ghaib’ adalah bercanggah dengan akidah Islam.

Sejarah kepesatan perusahaan tembakau secara jelas disaksikan apabila ahli korporat besar bernama Rodrigo De Jares merintis perniagaan tembakau, khususnya perusahaan rokok di Cuba. Pada tahun 1556-1558 rokok mula diperkenalkan ke Perancis, Sepanyol dan Portugal sehingga tersebarlah ke seluruh dunia.

Dilaporkan, selepas orang-orang Sepanyol berjaya mempromosikan tembakau ke Eropah, terutama kepada golongan bangsawan British yang menghisap tembakau dengan paip pada waktu rehat telah melonjakan aktiviti penanaman tembakau sebagai komuniti ekonomi negeri-negeri jajahan British yang bermula di Amerika Utara.

Usaha kapitalis melalui selendang imperealis semakin berjaya. Pada tahun 1630-an hasil tembakau memberikan loba besar bagi negeri Virginia. Akibatnya, fenonema tembakau tidak dapat disekat lagi, kian pesat pada abad ke-17.
Serentak dengan itu, pedagang Eropah memperkenalkan tembakau ke seluruh Asia dan Afrika. Kemudian dalam abad ke 19 orang-orang Sepanyol memperkenalkan cerut ke Asia melalui tanah Filipina dan kemudian ke Rusia dan Turki serta tidak terkecuali ke dalam negeri-negeri Islam, terutama tanah jajahan mereka.

Dr. Yusuf al-Qardawi dalam ‘Fatawa Mu’asarah’ dan mantan Syeikh al-Akbar Mesir, Jad al-Haq Ali Jad al-Haq dalam fatwanya mengatakan tembakau dan rokok masuk ke bumi umat Islam lewat ke-11 Hijrah, khususnya di Maghribi, Sudan, kemudian berkembang ke negeri-negeri lain. Ertinya, selama 100 tahun umat Islam tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan tembakau, apatah lagi rokok.

Justeru, aneh sekali umat Islam di negara ini yang masih koma dengan hakikat rokok. Sehingga kini, masih ramai yang menyangka sigaret muncul dari sejarah melayu silam. Mereka merumuskan demikian kerana tembakau yang dilihat begitu sinonim dengan kebudayaan melayu sejak berzaman menggunakan sireh, buah pinang dan daun nipah merupakan salah satu tumbuhan asli tropika yang tumbuh di rantau ini.

Ini satu kekeliruan. En. Mohd Fakri bin Mohd Noor, PRO Lembaga Tembakau Negara, Kota Bharu Kelantan yang telah berkhidmat hampir 20 tahun berkata tembakau bukan tumbuhan asal rantau ini. Tumbuhan tembakau seperti juga getah dibawa masuk ke Tanah Melayu seringi penjajahan Inggeris.

Sumber Lembaga Tembakau Negara melaporkan industri tembakau di Malaysia bermula dengan tembakau cerut yang ditanam secara meluas di Sabah sejak awal abad kesembilan belas, setelah didapati penanamannya berjaya diusahakan pada tahun 1883. Pada satu ketika ianya menarik minat lebih dari lima puluh pengusaha dari Eropah dan mencapai nilai eksport sebanyak RM2 juta pada tahun 1902.

Selepas perang dunia kedua, khususnya di tahun 1959 usaha meningkatkan tanaman tembakau telah dilaksanakan secara serius. Di pertengahan 1970-an pula penanaman tembakau berkembang maju di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Pahang dan lain-lainnya di negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Berdasarkan fakta di atas menunjukkan industri tembakau dan rokok mempunyai hubungan yang erat dengan gerakan penjajahan barat ke atas bumi umat Islam, khususnya Yahudi melalui dasar kapitalisme.

Kegilaan kapatilis yang didalangi oleh golongan elit Yahudi yang mementingkan kekayaan semata-mata mengenepikan soal moral sama sekali. Mereka tidak mempersoalkan langsung keburukan rokok, malah mengeksplotasi dari elemen ketagihan rokok sebagai aset melariskan perniagaan rokok. Adapun penjajahan tidak lebih dari wasilah demi merealisasikan matlamat itu.

Kemunculan rokok hakikatnya membawa malapetaka dan kemusnahan besar kepada dunia samada barat dan timur. Namun kapitalis tidak memperdulikan kesan itu kepada manusia walaupun usaha-usaha pengharaman penanaman tembakau dan rokok dijalankan pemerintah. Mereka sentiasa melancarkan propaganda tentang keistimewaan rokok yang didakwa mampu melancarkan darah, memenangkan tekanan darah, baik untuk usus dan sebagainya.

Menurut fakta buku “Rokok Haram atau Makruh dan Penawar atau Pembunuh” yang ditulis oleh Muhammad Abu Faroq al-Athari menyebut bahawa Raja Inggeris bernama Jims 1 mengambil langkah drastik mengharamkan rokok. Raja ini juga melancarkan operasi besar-besaran memusnahkan tembakau secara habis-habisan serta mengeluarkan satu perintah berupa undang-undang pengharaman rokok pada tahun 1604M.




Kemudaratan rokok jelas menghancurkan generasi manusia sehingga pada tahun 1643M kerajaan Rusia telah meluluskan undang-undang berat di mana sesiapa yang membeli, menjual, mengedar dan menghisap rokok dari tembakau akan dihukum dengan dibuang negeri ke Siberia atau dihukum mati.

Kemudaratan Rokok Yang Terselindung, Ulama Dalam Dilema



REALITINYA, orang Islam tidak merokok sehinggalah sekitar tahun 1600 Masihi. Muhammad Syafiq Girbal dalam “al-Mausu’ah al-‘Arabiyyah al-Maisarah” menyebut kemasukan rokok ke negara Islam pada lewat tahun 1000 Hijrah itu pelopori oleh orang-orang Kristian.

Manakala catatan “al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah” menegaskan bahawa orang Arab tidak sekali-kali mengetahui tembakau apalagi rokok. Beliau melukiskan gerakan yang awal membawa tembakau ke negara Turki Uthmaniah ialah orang Inggeris, yang membawanya ke Maghrib ialah Yahudi, kemudian dilanjutkan ke Mesir, Hijaz, India, dan banyak negeri-negeri Islam.

Al-Syeikh al-Akbar Mesir, Jad al-Haq melaporkan rokok mula merebak di negara Arab khususnya Maghribi, Sudan dan Mesir. Tanpa menafikan juga pada waktu itu bermulanya juga menjajahan Portugis di Tanah Melayu dan Belanda di Indonesia.

Saya melihat dua sebab budaya rokok cepat merebak mempengaruhi umat Islam. Pertama kerana kejayaan barat pada kurun ke 17 menerobos pemodenan hidup yang luarbiasa. Kemodenan itu memberikan stail hidup baru kepada dunia sehingga kiblat kepada sistem nilai hidup telah berpusing ke arah barat. Dalam pada itu, umat Islam telah mundur dan hilang kepimpinan dunia dari tangannya. Kemajuan diukur terhadap apa yang dicapai oleh barat. Seseorang dianggap maju seperti menyertai parti, makan dengan garpu, pakai kot, main tenis, hisap cerut dan pakai seluar pendek.

Kedua gelombang imperialisme barat khususnya ke atas bumi umat Islam ialah demi menjayakan cita-cita kapitalis dan projek melonggarkan penghayatan agama Islam. Maka golongan yang menaja dan mendokong penjajahan global ini ialah golongan elit yang memperkudakan kuasa politik. Golongan ini sangat pengaruh, berkuasa dan berpegang kepada ‘matlamat menghalalkan cara’. Mereka mencurahkan modal yang banyak dalam pelaburan perindustrian tembakau.

Walaupun saya tidak mempunyai fakta sejarah untuk memperkukuhkan keterangan itu, namun kenyataan Mike Muller menerusi “Tabacco And The Third World” yang dipindahkan oleh Muhamad Abu Farooq al-Athari boleh dijadikan penunjuk. Mike Muller menyebut “Kesihatan rakyat di negara-negra miskin terpaksa dikorbankan demi untuk menambah kekayaan syarikat-syarikat tembakau. Orang-orang miskin menjadi “Quinea Pigs” kepada tujuh buah syarikat tembakau yang menguasai perniagaan tembakau dunia”.

Kita dapat melihat bagaimana pada peringkat awal rokok diperkenalkan hanya mengaitkan hal-hal kebaikan dan manfaat serta gaya santai orang-orang bangsawan. Kalau terdapat kelemahan dari rokok hanyalah baunya yang kurang segar. Dunia tidak dapat mengesan apa-apa keburukan rokok kurang dari 50 tahun selepasnya.

Muhammad ‘Uthman el-Muhammady menyatakan dalam bahasa Inggeris tembakau pada awalnya dikenali sebagai “tobacco”. Manakala dalam bahasa Latinnya dipanggil “Nicotania tabacum”. Kemudian, pada selepas tahun 1630an namanya menjadi “nocotiana” kerana mengambil sempena nama Jean Nicot yang menjadi duta Francis ke Portugal yang meminta supaya Permaisuri Francis mengambil berat tentangnya kerana dikatakan mempunyai khasiat sebagai ubat.

Di samping itu pengusaha rokok melancarkan promosi hebat yang disokong oleh kajian-kajian sains yang menyokong keistimewaan rokok. Mereka hanya menonjolkan kebaikannya dengan menyembunyikan kemudaratan yang besar. Contohnya mereka memanipulasikan nikotin yang digemburkan sebagai bahan organik semulajadi di dalam batang dan daun tembakau yang sangat bermanfaat untuk kesihatan manusia. Nikotin ini boleh bertindak sebagai perangsang, meningkatkan kecergasan, refleksi, kecerdasan serta daya ingatan.

Walaupun ada fakta-fakta dari pakar perubatan yang membuktikan kemudaratan rokok di samping kesan negatif terhadap sosial dan ekonomi sehingga pada tahun 1604 kerajaan Inggeris mengharamkan rokok dan memusnahkan penanaman tembakau dan kerajaan Rusia menghukumkan hukuman mati atau buang negeri ke Siberia, namun perniagaan rokok tetap diteruskan. Malah mereka melancarkan propaganda bertujuan meragukan kebenaran fakta perubatan bahaya rokok sebagai tidak muktamad dan memerlukan kajian mendalam.

Maka bila ia berkembang dalam negeri-negeri Islam ada golongan yang bependapat ianya ada mempunyai faedah-faedah yang banyak, sehingga ada yang menyatakan bahawa rokok menghadamkan makanan, menghilangkan unsur-unsur racun atau toksin dalam badan, membunug ulat-ulat dalam usus, menyenangkan keluar lendir badan, memanaskan badan kepala dan badan, meringankan selsema, menguatkan tumpuan fikiran, dan cita-cita, serta menjadikan keluar hampas badan dengan segera.

Malah Muhamad Abu Farooq al-Athari mengatakan ada yang mendakwa rokok boleh mendatangkan ilham dan inspirasi, mententeramkan perasaan, menenangkan jiwa, mengurangkan kebosanan akal fikiran dan menjadi ubat.

Mantan al-Syeikh al-Akbar Mesir, Jad al-Haq Ali Jad al-Haq menyebut kesan dari kekeliruan itu ada golongan yang mengambil pandangan daripada ahli-ahli perubatan dan pemikir zamannya, bahawa menghisap rokok itu pada permulaannya mendatangkan beberapa faedah pada badan, sehingga ada yang berterusan menghisap rokok sehingga jadilah selaput pada matanya, berat pada gerak geri anggota, dan penghadaman pun terganggu. Ada pendapat menyatakan menghisap rokok itu panas, menjadikan kering badan, menimbulkan rasa haus, memudaratkan kalbu dan otak, menimbulkan debaran pada jantung, dan memekatkan darah.

Hakikat yang perlu diketahui bahawa pencapaian sains, teknologi dan usaha penyelidikan umat Islam pada abad itu tersangat naif. Itu belum dikira kebergantungan kita kepada kemajuan sains dan kepakaran barat dalam mendapatkan info baru. Kesimpulannya umat Islam pada zaman itu tidak memiliki kecanggihan sains kecuali mengambil sumber dan pandangan sains dari barat. Maka dalam kedaifan itulah ulama Islam terpaksa berijtihad bagi mengeluarkan hukum rokok berdasarkan sumber umum sahaja tanpa sokongan dari penelitian sains yang menyakinkan.

Seperti yang dimaklumi, efek dari bahaya rokok tidak dapat dilihat dengan cepat atau segera. 4000 jenis racun yang ada dalam asap rokok amat bergantung kepada keaktifan mengambil rokok. Tetapi kerana unsur ketagihan yang dihasilkan nikotin menjadikan rokok sebagai tabiat yang melazimkan perokok sentiasa menghisap rokok. Secara evolusi rokok menjadi “pembunuh senyap”.

Kesan-kesan rokok ini dapat dikesan oleh manusia seawal-awalnya selepas 100 tahun perniagaan rokok didirikan. Hal ini dibuktikan dari catatan penemuan tembakau yang dilaporkan pada 1492, kemudian terus berkembang pada sekitar tahun 1556-1558 ketika mana rokok mula diperkenalkan ke Perancis, Sepanyol dan Portugal sehingga tersebarlah ke seluruh dunia. Selepas 50 tahun rokok diperkenalkan barulah kesan buruknya dapat dilihat sehingga Inggeris, Rusia, Sweden, Denmark, Slovakia, Nimsa dan Majar mewujudkan undang-undang mengharamkan rokok.

Tiada bangkangan dari mana-mana tulisan ilmuan Islam yang sempat saya periksa yang tidak bersetuju akan fatwa rokok mula dicatat dalam kitab-kitab Islam hanyalah selepas 1000 tahun Hijrah. Pada tahap itu ulama mula membincangkan hukumnya dibawa subjek “al-dukhan”, “al-tutun”, “al-tunbak” dan “al-tabagh.”

Suka saya bentangkan secara ditil pandangan Dr Abd al-Jalil Syalabi ahli badan penyelidikan Islam untuk rujukan kita bersama dalam perbincangan ini. Beliau menyatakan bahawa menghisap rokok tidak ada zaman Nabi s.a.w., juga zaman penyusunan teks fiqh para imam yang terawal, juga ketika munculnya mazhab-mazhab fiqh. Perbuatan merokok hanya muncul lebih kurang dalam kurun ke 16 Masihi.

Justeru, fuqaha mampu melihat tentang hukumnya itu mengikut kadar maklumat yang ada pada mereka. Pada masa mereka itu, dengan tahap teknologi yang seadanya tidak kelihatan secara jelas akan bahayanya merokok itu kepada kehidupan tamadun manusia.

Sehubungan itu, tumpuan pandangan ulama sewaktu meneliti hukum rokok adalah lebih banyak tertumpu kepada orang yang menghisap itu sendiri bukan kepada bahan yang dihisap itu dan persekitarannya. Apabila terdapat fakta yang walau belum boleh dipertanggungjawabkan menyatakan tidak ada bahaya rokok, maka sudah dipakai untuk membantu memahami rahsia rokok.

Dr Abd al-Jalil Syalabi menambah lagi; sebab itulah pada zaman itu ada ulama yang menganggap rokok sejenis minuman (syarb) yang hukumnya harus pada zatnya. Hukum ini semata-mata dinisbah kepada orang yang menghisapnya sahaja. Manakala hukumnya secara ditil, mereka tidak bersepakat menurut kedudukan hukum taklifi yang lima di bawah;

Harus bagi orang yang tidak mendatangkan apa-apa kesan atas hartanya dan kesihatannya, ia seperti kopi dan teh yang diminum.

Makruh nisbah bagi orang sedikit hartanya, bila harga rokok itu tidak memberi kesan terhadap hartanya bagi keperluan dirinya, keluarga da orang di bawah tanggungannya serta tidak mendatangkan kesan buruk atas kesihatannya.

Haram nisbah bagi orang yang fakir yang memerlukan harga rokok itu untuk belanja hidup dan keperluannya, sebagaimana haram untuknya bila ada kesan buruk kepada kesihatannya.

Sunat bagi orang yang mendapat kecergasan daripada menghisap rokok itu bagi setengah daripada kerja-kerjanya. Kedudukannya seperti kedudukan kopi yang menjadikan orang cergas dan tidak mengantuk.

Wajib apabila sabit dengan merokok itu dapat menyembuhkan sesuatu penyakit yang dihidapinya. Kedudukan ini sama seperti ubat yang wajib ia gunakan untuk memulihkan kesihatannya.

Inilah beberapa gambaran ijtihad pada tahun 1600 tahun dahulu dalam isu rokok. Hakikatnya perbezaan hukum di atas bukan khilaf semata-mata tetapi gambaran dari kegagalan ulama mendapatkan maklumat sebenar. Al-Syeikh al-Akbar Jad al-Haq menegaskan ulama pada era itu dalam dilema antara kebaikan dan kemudaratan rokok. Hakikatnya mereka hanya melihat kepada zahir perbuatan merokok dari daun tembakau yang mengeluarkan asap. Mereka jahil mengenai kandungan dalam tembakau yang membawa bahaya besar kepada paru-paru dan sistem tubuh badan manusia. Ulama memang pakar dalam soal ilmu agama tetapi mereka tidak memiliki pengetahuan dalam bidang sains.

Sebelum saya menoktahkan perbincangan dalam siri ini, saya menegaskan bahawa isi kandungan siri ini hanya merupakan satu usaha memahamkan kita akan realiti hukum rokok yang difatwakan pada zaman terawal tanpa berjaya disokong fakta sains. Maka hukum tersebut bukan muktamad dan tidak menjadi hujah apabila ada fakta baru yang temui dan diperakukan. Saya benar sidang pembaca menantikan siri minggu depan yang insya Allah saya bentangkan hujah ulama silam dan kontemporari.

Wahai Saudaraku! – Dulu khilaf Kini Ijmak

PADA suatu ketika dulu dunia umat Islam pernah gawat dengan isu perdebatan hukum rokok. Apapun, perdebatan yang berpanjangan itu tidak menokhtahkan resolusi muktamad sehingga timbul kecelaruan dalam fikiran saya apakah sesuai diistilahkan perdebatan rokok zaman dulu sebagai “kontroversi hukum rokok”! Namun diri saya cukup yakin bahawa perdebatan ulama didasari ketaqwaan dan dilatari etika bukan kedengkian. Mereka telah meninggalkan untuk kita warisan ilmu gemilang, moga Allah s.w.t merahmati ruh mereka- amin. 

Kehangatan itu saya dapat dijiwai ketika menelaah kitab-kitab mazhab yang memperdebatkan hukum sigaret. Masing-masing mendirikan hujah, tetapi ternyata kesepakatan hukum tidak tercapai jua. Umat Islam terus dilema, asap rokok terus disedut dalam kekeliruan dan rokok terus dijual dalam kesangsian.

Namun, apakah pada saat ini yang sebegini canggih dengan penemuan atom, kanser, barah, pembedahan teknologi masih menyebabkan kita berada dalam kegelapan mencari-cari keputusan muktamad hukum sigaret seperti saudara kita yang hidup di zaman kapal layar. Sungguh malang! Oleh kerana Rasulullah s.a.w telah wafat, maka umat Islam barangkali menunggu turunnya nabi Isa a.s untuk memutuskan hukum rokok. Waktu itu barulah kita berpuashati dan menyakini bahawa rokok itu haram dan barulah segala usaha pembasmian dilaksanakan seikhlasnya.

Sebab itu saya pernah berhadapan dengan golongan yang tegar mempertahankan hukum rokok sebagai harus atau paling keras hukumnya makruh sahaja kerana diqiaskan dengan bauan yang kurang menyenangkan. Malah dalam situasi terganggunya konsentrasi dan terputusnya ilham menghisap rokok menjadi wajib. Saya percaya mereka juga terkeliru. Saya juga menyakini bahawa jika mereka diberi peluang melihat kesan rokok secara praktikal dan penunjukkan data-data kajian ilmiah nescaya mereka akan bersikap lebih bijaksana, profesional dan matang. Saya tetap bersabar menunggu detik-detik dimasukkan nur hidayat kebenaran Allah s.w.t ke dalam jiwa manusia.

Saudaraku yang budiman! apakah sebelum anda menanam tembakau atau membuka kilang tembakau atau menjual rokok atau menghisap rokok pernah membuat kajian nekad untuk mengetahui hukum rokok? Jika kajian hukum telah anda buat sudahkah anda pastikan kitab zaman mana yang anda rujuk dan sudahkan membuat perbandingan secara komprehensif? Jika belum membuat rujukan, bererti anda hanya bertanya ulama, tetapi ulama yang pakai kitab mana ia dia sandarkan. Ulama itu hisap rokok atau tidak! Jika semua di atas anda tidak lakukan maka anda terlibat dalam fenonema rokok berdasar ikut-ikutan atau terpengaruh dengan budaya yang membinggungkan.

Sebelum saya membuka forum ini lebih jauh izinkan saya menyedut fatwa rokok negeri Kelantan zaman “Tok Kenali”. Alhamdulillah, keterlibatan langsung saya dalam pengeditan khazanah tak ternilai fatwa negeri Kelantan di bawah kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka menemukan saya fatwa rokok itu. Pertanyaan 202, jilid 1, berbunyi; “Tembakau jawa yang kelaziman orang melayu memakannya (menghisapnya) seperti dimasukkan dalam daun nipah (rokok daun nipah) atau sigaret dan cerut dan lainnya daripada daun tembakau itu. Adakah sekelian yang tersebut itu haram atau makruh atau harus?

Jawapan; “Masalah ini khilaf (berselisih) pendapat ulama. Kata setengah halal dan kata setengah haram. Zat tembakau itu suatu yang harus diisti’malkan dia (digunakan) bahkan sunat jika boleh jadi ubat. Jikalau tidak jadi makruh selama tidak jadi (mendatangkan) mudarat dengan dia pada akal atau badan. Adapun jika jadi mudarat dengan dia maka haram diisti’malkan dia (digunakan).

Jika kita mengkaji secara jujur necsaya kita menemui pangkal masalah yang kita perdebatkan ini. Hukum tembakau dan penggunaannya sebagai rokok bergantung kepada sejauh mana bencana kemudaratan pada akal dan badan manusia. Jika terbukti rokok mengancam kemaslahatan hidup maka hukumnya adalah haram. Dengan itu, saya ingin tegaskan bahawa ulama silam tidak menghalalkan rokok secara mutlak tetapi bersyarat bahawa tidak memudaratkan kemaslahatan hidup manusia. Maka sesiapa yang berhukum harus atau makruh merokok dengan menyandarkan pandangan ulama silam adalah sesuatu kekeliruan yang nyata.
Persoalannya, wajarkah sebagai seorang mukmin begitu rendah mutu penghayatan Islamnya dan tidak sudi memberikan kesungguhan mencari kebenaran. Tidakkah dihambat perasaan, dilingkungi ketakutan dan terasa sedikit bersalah sehingga mendorong kita nekad mencari sebuah kepastian. Soal halal haram makanan termasuk ibadat. Rasulullah s.a.w menyebut; “Tidak tumbuh suatu daging dari usaha yang haram melainkan neraka lah yang utama baginya” Dalam situasi yang lain, amalan dan doa kita tidak diterima oleh Allah s.w.t. Amalan itu walaupun sah kerana memenuhi rukun dan syaratnya tetapi tergantung-gantung tidak diangkat ke langit kerana beberapa asas lain tidak dipenuhi.

Saudaraku!, perdebatan dan perbincangan fatwa rokok mula dicatat dalam kitab-kitab Islam hanyalah selepas 1000 tahun Hijrah. Pada tahap itu ulama membincangkan hukumnya dibawa subjek “al-dukhan”, “al-tutun”, “al-tunbak” dan “al-tabgh.” Manakala perbuatan merokok seringkali diistilah sebagai “al-tadkhin”.
Untuk rujukan saudara, sila rujuk dalam Mausu’ah al-Fiqh al-Islami, jilid 12, halaman 65-70. Karya ini berjaya mencatatkan pandangan fuqaha serta aliran mazhab Islam mengenai hukum rokok berserta dengan inti pati pendalilan. Justeru, ruangan ini terlalu sempit untuk membentangkan pandangan tersebut secara rinci. Maka izinkan saya dalam ruangan ini hanya membincangkan dalam suasana semi ilmiah dengan menumpukan mesej dan rumusan yang diperolehi.

Sebelum seseorang berpegang kepada hukum rokok, ia perlu memahami secara jelas 4 senario kematangan ijtihad rokok. Pertama; Dr. Abd al-Jalil Syalabi ahli badan penyelidikan Islam menyatakan menghisap rokok tidak wujud zaman Nabi s.a.w., juga zaman penyusunan teks fiqh para imam yang terawal, juga ketika munculnya mazhab-mazhab fiqh. Perbuatan merokok hanya muncul lebih kurang dalam kurun ke 16 Masihi.
Senario kedua ialah keupayaan fuqaha menyimpulkan hukum rokok amat terhad kepada perumusan dalil-dalil syarak yang umum. Adapun fakta sainstifik mengenai kebaikan atau keburukan rokok tidak diperolehi kecuali dari pemerhatian umum bukan pengkajian. Pada masa mereka itu, dengan tahap teknologi yang seadanya tidak kelihatan secara jelas akan bahayanya merokok itu kepada kehidupan tamadun manusia.

Senario ketiga ialah fokus ulama sewaktu meneliti hukum rokok adalah lebih tertumpu kepada orang yang menghisap itu sendiri bukan kepada bahan yang terkandung dihisap itu serta sejauh mana implikasinya kepada ekonomi dan sosial secara menyeluruh.

Berdasarkan 4 senario di atas, tabiat hukum rokok mengalami reformasi ijtihad kepada 3 peringkat perkembangannya. Peringkat pertama pada zaman permulaan kemasukan rokok ke bumi umat Islam pada tahun 1600. Peringkat kedua tercatat pada zaman pertengahan dan peringkat ketiga ialah zaman moden di mana alat-alat sains mula dicipta.

Sebagai pengetahuan, Dr. Abd al-Jalil Syalabi menjelaskan pada zaman permulaan ada ulama yang menganggap rokok sejenis minuman (syarb) yang hukumnya harus pada zatnya. Hukum ini semata-mata dinisbah kepada orang yang menghisapnya sahaja. Manakala hukumnya secara ditil, ulama tidak bersepakat menurut kedudukan hukum taklifi yang lima sama ada harus bagi orang yang tidak mendatangkan apa-apa kesan atas hartanya dan kesihatannya, ia seperti kopi dan teh yang diminum. Makruh nisbah bagi orang sedikit hartanya, bila harga rokok itu tidak memberi kesan terhadap hartanya bagi keperluan dirinya, keluarga da orang di bawah tanggungannya serta tidak mendatangkan kesan buruk atas kesihatannya.

Haram nisbah bagi orang yang fakir yang memerlukan harga rokok itu untuk belanja hidup dan keperluannya, sebagaimana haram untuknya bila ada kesan buruk kepada kesihatannya. Sunat bagi orang yang mendapat kecergasan daripada menghisap rokok itu bagi setengah daripada kerja-kerjanya. Kedudukannya seperti kedudukan kopi yang menjadikan orang cergas dan tidak mengantuk. Wajib apabila sabit dengan merokok itu dapat menyembuhkan sesuatu penyakit yang dihidapinya. Kedudukan ini sama seperti ubat yang wajib ia gunakan untuk memulihkan kesihatannya.

Inilah beberapa senario ijtihad pada tahun 1600 tahun dahulu dalam isu rokok. Hakikatnya perbezaan hukum di atas bukan dari khilaf pemahaman nas-nas syarak, tetapi manifestasi kegagalan ulama mendapatkan maklumat sebenar. Al-Syeikh al-Akbar Jad al-Haq menegaskan ulama pada era itu berada dalam dilema antara kebaikan dan kemudaratan rokok. Hakikatnya ulama hanya melihat kepada zahir perbuatan merokok dari daun tembakau yang mengeluarkan asap. Mereka tidak mempunyai maklumat mengenai kandungan dalam tembakau yang membawa bahaya besar kepada paru-paru dan sistem tubuh badan manusia.

Manakala pada peringkat pertengahan senario ijtihad mula menampakkan kematangan dengan penyokongan dalil dari saintifik. Namun secara umumnya metodologi penyimpulan hukum syarak masih bergerak secara peribadi. Seorang alim akan berijtihad bersendirian menurut keupayaan alat-alat ijtihad tanpa khidmat nasihat secara khusus dari pakar-pakar sains berkaitan. Contoh mantan Syeikh al-Azhar bernama Syaltut (1893-1963M) menghukum rokok pada kedudukan sama ada haram atau makruh. Beliau mengingatkan bahawa senario ijtihad rokok pada zaman permulaan kemunculannya sesuatu yang tidak jelas dan muktamad. Adapun hukum yang rajih pada zaman ini ialah sama ada haram atau makruh.

Kesedaran terhadap keterbatasan serta kesilapan hukum rokok mula menonjol setelah bukti demi bukti kemudaratan rokok secara saintifik dapat dibuktikan. Mufti Mesir, Dr. al-Syeikh Ahmad al-Tayyib menyebut perbincangan hukum rokok pada peringkat silam tidak sunyi sama ada haram, harus dan makruh bergantung sejauh mana kesan kemudaratan, pembaziran dan kejelekan baunya. Namun, mutakhir ini kajian ilmiah membukti kesan buruk, bahaya dan ancaman terhadap kesihatan dalam mana-mana jua keadaan. Persatuan Kesihatan Dunia dan Persatuan Kesihatan Islam telah menghantar dokumen kemudaratan rokok kepada Majlis Fatwa. Lantas, Majlis Fatwa al-Azhar mengeluarkan kenyataan bahawa jika sabit kemudaratan rokok keatas kesihatan dan kehidupannya maka hukum rokok adalah haram secara syarak.


Read More

BOLEHKAH WANITA BERDAKWAH MELALUI NASYID???


Umat Islam terutamanya para muda mudi amat memintai muzik dan lagu. Para remaja Islam dalam kalangan lelaki dan wanita juga tidak terkecuali daripada menjadi peminat muzik ini. Walau bagaimanapun, mereka mengalihkan minat itu kepada dendangan lagu-lagu nasyid yang liriknya membawa kepada kebaikan dan kesedaran agama.

Tidak dapat dinafikan, banyak juga nasyid-nasyid ini yang dilihat menyimpang dari landasan asal lalu sifat komersialnya melebihi nasihatnya. Liriknya yang asalnya membawa kepada nasihat agama mulai bertukar kepada puja-puji wanita dan kekasih. Bezanya dengan lagu pop rock biasa hanyalah kerana ia diadun sedikit dengan menyebut nama-nama Allah sekali sekala, kalimah Islam atau apa-apa elemen Islam.

Saya akan menulis lanjut tentang hal ini kemudian, Insha’ Allah. Dalam penulisan ini, saya ingin mengajak pembaca melihat peranan kaum wanita muslimah dalam industri nasyid ini. Adakah ianya halal atau sebaliknya?

Suara Wanita

Majoriti ulama berfatwa suara wanita bukanlah aurat. Dalilnya mudah iaitu:

أنَّ رسول الله ـ صلَّى الله عليه وسلَّم ـ قال: “يا معشر النساء تصدقن وأكثرن الاستغفار؛ فإنِّي رأيتكنَّ أكثر أهل النار، فقالت امرأة جزلة

 منهنَّ: وما لنا يا رسول الله أكثر أهل النار؟ فقال: تكثرن اللعن، وتكفرن العشير”..

Ertinya: Sesungguhnya Rasulullah SAW berkata: wahai seluruh kaum wanita, bersedeqah dan banyakkan istighfar, sesungguhnya aku melihat wanita adalah majoriti ahli neraka. Maka berkatalah seorang wanita: Mengapa kami menjadi majoriti ahli neraka ya Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: “Wanita banyak yang melaknati dan mencela orang lain serta mengingkari kebaikan suaminya..” (Riwayat Muslim)
Saya bukan ingin mengulas isi kandungan hadith itu, tetapi ingin membawakan bukti bahawa suara wanita dalam keadaan biasa bukanlah aurat. Pertanyaan secara langsung wanita itu membuktinya. Selain hadith ini, banyak lagi hadith-hadith lain yang membuktikan suara wanita bukan aurat.

Hasilnya, pandangan terkuat dalam mazhab Hanafi, yang muktamad dalam Maliki, Syafie dan Hanbali menganggap suara wanita bukanlah aurat.

Berubah Menjadi Aurat

Bagaimana hukum jika seorang wanita itu melembut dan memanjakan suara di hadapan lelaki bukan mahram?.

Inilah perbincangan saya.

Tidak dapat dinafikan lagi jika demikian keadaannya, sudah tentu ia diharamkan oleh Islam.

“Eh ustaz, sedapnya suara wanita tadi ye” kata seorang rakan saya.

“Yang mana satu ni?” Tanya saya sambil cuba mengingat kembali.

“Ala, yang sekali meeting dengan kita tadi le” katanya menjelaskan.

“Sedap macam mana tu” tanya saya menduga.

“Ish..naik le bulu roma saya dan kalau boleh nak dengar tiap-tiap hari suara dia, astaghfirullah, eh.. dosa ke ustaz, suara bukan aurat kan?” katanya
sambil tersenyum kambing.

Bayangkan bagaimana keterlanjuran kata oleh siswa ini di hadapan saya. Wanita perlu mengetahui betapa lemahnya lelaki di hadapan mereka. Lelaki secara
umumnya (kecuali yang punyai keimanan yang hebat) memang mudah tergoda dengan suara merdu wanita walaupun wanita itu tidak langsung berniat untuk menggoda. Maka apatah lagi jika di ketika ia memang berniat untuk menggoda.

Saya masih ingat satu ketika di satu universiti, satu mesyuarat sedang berjalan. Saya mempengerusikan mesyuarat.

Suasana agak biasa, sehinggalah tiba-tiba seorang mahasiswi memberikan pandangannya kepada satu isu yang sedang dibincangkan.

Walaupun mahasiswi itu berada di belakang tabir, tetapi oleh kerana suaranya yang lembut dan lemak gemalai secara semulajadi (bukan sengaja dibuatnya), semua mahasiswa yang tadinya seperti mengantuk menjadi cergas dan terbeliak mata sambil berubah wajah seperti malu-malu serta cukup tekun mendengar setiap butiran ayat yang keluar dari mahasiswi itu.

Entah apa yang merasuk mereka..

Habis meeting, seorang dari mereka menyapa saya lalu berkata:

“Siapa tadi ye ustaz, siswi tadi tu”.

“Siswi mana?” tanya saya.

“Ala yang suara merdu tu, apa namanya ye ustaz..ehem ehem, terpikat juga saya dengar suaranya” tegaskan tanpa malu-malu.

Cuba lihat apa yang terjadi, hanya dengan suara tanpa melihat rupa pun sudah boleh meruntun hati seseorang siswa yang mengaji agama di universiti,
apatah lagi jika siswa yang mengaji rempitan di jalanraya!

Teringat Di Jordan

Saya juga teringat satu hari, ketika saya sampai ke satu universiti untuk memberikan ceramah, ketika itu agak kecoh siswa di sana berkenaan satu
VCD nasyid kumpulan wanita yang baru sampai dari Malaysia. Saya mendengar bahawa terdapat bakal-bakal ustaz ini yang berebut-rebut untuk melihat dan mendengarnya. Apabila saya bertanya lanjut tentang hal ini kepada seorang pemimpin mahasiswa, rupanya VCD itu begitu popular kerana penasyidnya terdiri dari kalangan anak-anak gadis yang ‘ada rupa’ serta ‘solehah’. Hmm solehahkah mereka …?

Pinjam meminjam pun berlaku dengan hebatnya di kalangan mahasiswa, ada juga yang menyalin ke dalam komputer masing-masing. Kemudian timbul aduan dari
salah seorang mahasiswa soleh kepada saya bahawa terdapat mahasiswa yang amat asyik dan mengulang-mengulang vcd tersebut.

Lihatlah kesannya, adakah ini dakwah ?..baca sampai ke habis, inshaAllah akan mendapat jawapannya.

Amaran Allah

Allah SWT yang menciptakan manusia sememangnya telah memberi peringatan akan hal ini apabila menyebut :-

تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِى فِى قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلاً مَّعْرُوفاً

Ertinya : “Maka janganlah kamu wahai wanita, merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang berpenyakit di hatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik ( kandungan dan tatacaranya)” (Al-Ahzab: 32)

Para ulama tafsir  menyebut, suara wanita yang dilagukan adalah termasuk dari kecantikan-kecantikan (yang tidak harus dipertonton dan diperdengarkan kepada lelaki bukan mahram) tiada khilaf dalam hal ini (Adwa al-Bayan, 5/10: At-Tashil Li Ulum At-Tanzil, 3/137)

Imam As-Suddi berkata: larang ini bermaksud larangan kepada kaum wanita menipiskan suaranya (lembut, lunak dan manja) apabila bercakap di hadapan khalayak lelaki. Imam Qurtubi pula mengatakan, kerana suara yang sebegini akan menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat (Tafsir Ibn Kathir, 3/483; Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, 14/177).

Berdasarkan dalil ayat ini, apa yang boleh saya fahami adalah nasyid wanita juga tergolong dalam bab yang diharamkan oleh Islam apabila ia diperdengarkan kepada lelaki yang bukan mahram. Adapun jika ia dinyanyikan oleh kanak-kanak wanita yang belum baligh atau ia dinyanyikan khas untuk para wanita. Ia adalah harus.

Suara Wanita Ketika Beribadah

Displin Islam dalam hal ini boleh dilihat dari perkara di bawah ini:-

1) Ingin Menegur Imam semasa solat, 
Jika kaum wanita ingin menegur imam lelaki yang tersilap bacaan atau terlupa rakaat dan lainnya. Nabi SAW hanya membenar para wanita mengingatkan imam dengan menggunakan tepukan sahaja.

Hadithnya :-

فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم ما لي رأيتكم أكثرتم التصفيق من رابه شيء في

صلاته فليسبح فإنه إذا سبح التفت إليه وإنما التصفيق للنساء 

Ertinya: Berkata Rasulullah SAW, mengapa aku melihat kamu banyak bertepuk apabila ragu-ragu (waswas) dalam sesuatu perkara semasa solatnya. Hendaklah kamu (lelaki) bertasbih dan sesungguhnya tepukan itu hanya untuk wanita” (Riwayat Al-Bukhari, no 652)

Arahan Nabi untuk wanita bertepuk bagi membantu imam itu adalah bagi menjaga suaranya dari memesongkan orang lelaki yang sedang solat (Faidhul qadir, 3/281; Al-hawi al-Kabir, 9/17)

2) Wanita dan azan

Imam al-Jassas ketika mentafsirkan ayat dari surah al-ahzab tadi menyebut bahawa ayat ini memberi hukum bahawa wanita dilarang dari melaungkan azan terutamanya jika kemerduan suaranya dijangka mampu mengelodak hati sang lelaki ( Ahkam al-Quran, 5/229 dengan pindaan ringkas)

Demikian juga pandangan mazhab Syafie dan hanbali, dan tidak diketahui ada yang bercanggah pendapat dalam hal ini , kata Imam Ibn Quddamah, Al-Mughni,
2/68)

3) Wanita menjadi imam solat kepada wanita lain atau ketika solat jahar.

Sudah tentu wanita harus untuk menjadi imam kepada wanita lain, tetapi mereka tidak dibenarkan mengeraskan bacaan quran mereka jika di tempat itu terdapatnya para lelaki yang bukan mahramnya. (Al-Mughni, Ibn Quddamah)

Imam Ibn Hajar berkata: “jika dikatakan bahawa sekiranya wanita menguatkan bacaannya di ketika solat maka solatnya batal, adalah satu pendapat yang
ada asasnya” (Fath Al-Bari, 9/509)

Jelas bahawa suara wanita yang dilagukan atau dalam keadaan biasa apabila melibatkan soal ibadah hukumnya dilihat semakin ketat kerana dibimbangi
menggangu ibdaaha wanita itu terbawa kepada kerosakan kaum lelaki yang lemah ini. Kerana itu disebutkan

فرع: صرّح في النوازل بأنّ نغمة المرأة عورة..ولهذا قال عليه الصلاة والسلام: (التسبيح للرجال والتصفيق للنساء، فلا يحسن أن 

يسمعها الرجل)

Ertinya: Ditegaskan bahawa suara wanita yang dilagukan adalah aurat ..kerana itu Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya tasbih untuk lelaki, dan tepukan
khas untuk wanita, maka tiada harus didengari ‘tasbih’ wanita oleh si lelaki”. ( Syarh Fath  Al-Qadir, 1/206 )

4) Suara wanita dan talbiah Haji 
Ijma’  ulama bahawa wanita tidak mengangkat suaranya kecuali hanya setakat didengari olehnya sahaja, demikian pendapat Ato’, Imam Malik, Syafie, Hanafi Awzaie ( AL-Um, 2/156 ; Al-MUghni , Ibn Quddamah, 5/16 )

Kesimpulan

Suara wanita boleh dibahagikan kepada dua jenis :-

1) Suara biasa wanita yang didengari secara jahar kepada lelaki awam; Ia diperbezakan hukumnya di kalangan ulama. Ada yang mengharamkannya secara total, ada yang mengharuskan secara total. Ada pula yang mengharuskannya apabila dijangka tidak membawa fitnah kepada lelaki
(Al-Jami’ Li Ahkami Quran, 14/227 ; Ibn Qayyim, al-Hasyiah, 6/156; ‘Ianah at-Tolibin, Ad-Dimyati; 3/260, Al-furu’, Ibn Al-Mufleh, 1/372 )

2) Yang dilembutkan dengan sengaja, dimanjakan dan dimerdukan. Ianya adalah diharamkan untuk diperdengarkan kepada khalayak lelaki
secara Ijma’. ( An-Nihayah, Ibn Athir, 42/2, Lisan al-Arab, Ibn Manzur, 73/8, Tafsir At-Tabari; 3/22, Hasiyah At-Tohawi; 1/161)

Maka
kumpulan nashid wanita hari ini termasuk di dalam kumpulan yang kedua tanpa khilaf. 

Malah bukan sekadar ‘illah suara sahaja yang boleh menjadikan mereka tercebur dalam perkara haram, malah pakaian dan pergerakkan mereka di khalayak awam juga.

Kebiasaannya apabila persembahan di buat, mereka kerap bersolek-solekan dengan pakaian yang canggih manggih. Di samping itu, duduk pula di atas pentas
menjadi tontotan lelaki, jika para ulama semasa menghukumkan haramnya bersanding pengantin di atas pentas dalam keadaan senyap tanpa berkata. Apatah lagi kumpulan nasyid wanita yang bersolek adakala seperti pengantin ini dan melentuk-lentuk tubuh dan suaranya di hadapan lelaki bukan mahram, sudah tentu haramnya lebih besar.

“Tapi ustaz, inikan alternative untuk mereka yang suka tengok penyanyi wanita yang seksi..eloklah mereka tengok kami” mungkin ini sebahagian
pertanyaan penyokong kumpulan nasyid wanita.

Jawapannya, benda yang haram tidak boleh dialternatifkan dengan yang haram juga.

Sebagaimana di sebut oleh dalil :-

إِنَّ اللَّهَ عز وجل لاَ يمحوا السيء بالسيء، وَلَكِنْ يَمْحُو السيء بِالْحَسَنِ، 

إِنَّ الْخَبِيثَ لاَ يمحوا الْخَبِيثَ.


Ertinya: ” Sesungguhnya Allah SWT tidak akan memadam yang buruk dengan buruk juga, tetapi yang buruk (haram) dipadamkan dengan yang baik (halal)
Sesungguhnya yang kotor itu TIDAK boleh mensucikan yang kotor” ( Riwayat Ahmad, 1/387: Perawi Ahmad adalah thiqah kecuali… sebahagiannya khilaf;
Majma’ Az-Zawaid, 10/228  )


Justeru, tidak boleh menggantikan penyanyi wanita seksi itu dengan penyanyi nasyid wanita. Kerana kedua-duanya haram buat si lelaki bukan mahramnya.

Jangan pula ada yang mendakwa kononnya ia adalah bentuk dakwah, TIDAK! Allah tidak akan menjadikan dakwah berkesan melalui perkara haram. Tiada siapa
boleh mengatakan ia sengaja minum arak kerana ingin mendakwah rakannya bahawa arak itu buruk.

Nabi SAW bersabda:

إن الله لم يجعل شفائكم فيما حرم عليكم

Ertinya: “Allah SWT tidak menjadikan penyembuhan kamu melalui perkara yang diharamkanNya” ( Riwayat Al-Bukhari )

Hadith ini menjelaskan tidak boleh mengambil apa jua yang diharamkan oleh Allah SWT untuk dijadikan ubat, kerana Allah tidak akan menjadikan ubat
dalam perkara yang diharamkanNya.  ( Tuhfatul Ahwazi , 6/168 )

Demikianlah dakwah dan pemulihan akhlak dan jiwa manusia, Allah SWT tidak akan menjadinya perkara yang diharamkanNya (melembutkan suara hadapan bukan
mahram) sebagai medium dakwah yang berkesan. Ia tidak lain hanyalah untuk komersial dan mengaut untung sahaja.

Setiap hasil untung dari jualan kaset nasyid wanita dewasa ini juga tidak lain kecuali hasil yang haram menurut sepakat ulama mazhab. Kecuali jika ia
khas untuk wanita dan dijual secara tertutup di majlis wanita sahaja. Persembahan juga untuk kaum wanita.

Sedarilah kumpulan nasyid wanita dan penyanyi wanita yang mendakwa dakwah melalui nasyid anda..Ia pasti tidak kan berjaya, usaha itu juga pastinya
tidak diterima oleh Allah SWT berdasarkan dalil-dalil yang diberi.

BANTAHAN KEPADA ARTIKEL: 

Apabila tulisan ini mula disebar luaskan, maka terdapat suara-suara penyokong nasyid wanita yang cuba mengharuskan tindakan mereka dengan memberikan
satu hadith berkenaan dua orang hamba wanita yang mempersembahkan nyanyian kepada Aisyah r.a di rumah Nabi SAW

Hadith ini adalah seperti berikut :-

عن عَائِشَةَ رضي الله عنها قالت دخل أبو بَكْرٍ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ

من جَوَارِي الْأَنْصَارِ تُغَنِّيَانِ بِمَا تَقَاوَلَتْ الْأَنْصَارُ

يوم بُعَاثَ قالت وَلَيْسَتَا بِمُغَنِّيَتَيْنِ فقال أبو بَكْرٍ

أَمَزَامِيرُ الشَّيْطَانِ في بَيْتِ رسول اللَّهِ وَذَلِكَ في يَوْمِ عِيدٍ فقال رسول اللَّهِ  يا أَبَا بَكْرٍ إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا وَهَذَا عِيدُنَا

Ertinya: Dari ‘Aisyah r.a berkata : Abu Bakar ( bapa Aisyah r.a ) masuk ke rumah dan dibersamaku dua orang jariah (hamba wanita) dari kalangan bangsa Ansar sedang menyanyi dengan kisah-kisah Ansar ketika hari Bu’ath, lalu asiyah berkata: Mereka berdua bukanlah penyanyi, Berkata Abu Bakar  r.a: ” Adakah seruling Syaitan di rumah Rasulullah SAW? Maka Rasul berkata: WAhai Abu Bakar, ini adalah hari raya). [HR Bukahri, 1/335]

Dalam riwayat lain:

عن عَائِشَةَ قالت دخل عَلَيَّ رسول اللَّهِ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ

تُغَنِّيَانِ بِغِنَاءِ بُعَاثَ فَاضْطَجَعَ على الْفِرَاشِ وَحَوَّلَ

وَجْهَهُ وَدَخَلَ أبو بَكْرٍ فَانْتَهَرَنِي وقال مِزْمَارَةُ

الشَّيْطَانِ عِنْدَ النبي فَأَقْبَلَ عليه رسول اللَّهِ عليه السَّلَام

فقال دَعْهُمَا

Ertinya: “Daripada ‘Aisyah, Rasulullah SAW masuk ke rumah dan bersamaku dua orang jariah (hamba wanita) dari kalangan bangsa Ansar sedang menyanyi dengan kisah-kisah Ansar ketika hari Bu’ath, maka baginda terus baring dan memalingkan wajanya, maka masuk pula Abu Bakar r.a lalu menegurku sambil berkata, adakah seruling syaitan di sisi nabi SAW, maka nabi terus mendapatkannya lalu berkata : Biarkannya”.

Secara ringkas, hujjah untuk mengatakan terdapat percanggahan atau harusnya nasyid wanita dengan dalil ini adalah tersasar dari kebenaran kerana:-

1) Ia dipersembahkan oleh hamba wanita. Maka hukum hamba adalah berbeza dengan hukum wanita merdeka dalam banyak hukum fiqh.

2) Dua orang jariah itu digambarkan dalam banyak riwayat lain sebagai bukan penyanyi khas, yang pandai menyanyi dengan teknik menyanyi yang dikenali dengan melembutkan suara, memerdu dan melunakkannya sebagaimana penyanyi profesional. Ini disebutkan melalui nas

“وليستا بمغنيتين”

Imam An-Nawawi dan Imam Ibn Hajar al-Asqolani mentafsirkannya sebagai:-

معناه ليس الغناء عادة لهما ولا هما معروفتان به

Ertinya: Maknanya, ia bukanlah nyanyian yang biasa digunakan pada masa itu, dan keduanya juga tidak dikenali pandai menyanyi (Nawawi, Syarh muslim, 6/182 : fath Al-Bari, 2/442)

3) Rasulullah juga digambar tidak turut serta menikmatinya tetapi hanya membiarkannya dinikmati oleh ‘Aisyah.

Ia juga adalah di dalam rumah Nabi Saw dan bukan di khlayak ramai. Imam An-Nawawi mengulas bahawa Nabi juga disebut berpaling wajah :-

وإنما سكت النبي عنهن لأنه مباح لهن وتسجى بثوبه وحول وجهه اعراضا عن اللهو ولئلا يستحيين فيقطعن ما هو مباح لهن

Ertinya: Nabi senyap dari tindakan itu kerana ia harus BAGI WANITA, dan nabi MENUTUP DENGAN PAKAIANNYA dan berpaling wajah darinya sebagai menjauhi perkara melalaikan” (Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 6/183)

4) Takrif ‘Jariah’ selain bermaksud hamba, ia juga digunakan untuk kanak-kanak wanita belum baligh. Sebagaimana disebut oleh Imam al-Aini & Imam As-Suyuti :-

قوله جاريتان تثنية جارية والجارية في النساء كالغلام في الرجال ويقال على من دون البلوغ

Ertinya: Dua orang jariah: disebutkan bagi mereka yang dibawah umur baligh (Umdatul Qari, 6/269)

قوله جاريتان الجارية في النساء كالغلام في الرجال يقعان على من دون البلوغ

Ertinya: Jariah untuk wanita, ghulam panggilan untuk lelaki yang keduanya digunakan untuk mereka yang di bawah umur baligh. (Sindi, 3/194: Syarhu As-Suyuti li sunan An-Nasaie, 3/197 )

Hal ini juga disebut di dalam Awnul Ma’bud :-

لأنهما جاريتان غير مكلفتين تغنيان بغناء الأعراب

Ertinya : kerana mereka berdua belum mukallaf ( belum baligh) lalu mereka menyanyikan lagu-lagu a’rab ( Awnul Ma’bud, 13/181)

Justeru, apa lagi hujjah yang boleh diguna untuk mengharuskannya?. Dharurat atau maslahat?..lupakan sahaja.



1.Manusia memerlukan hiburan dalam kehidupan seharian. Namun dalam memilih hiburan yang ada pada hari ini, manusia kerapkali terjerumus ke dalam perkara-perkara yang haram. Hal ini termasuklah dalam memilih lagu-lagu nasyid. Apakah dalil-dalil yang menyebut tentang hukum mendengar lagu dalam Islam?

Islam merupakan agama yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Tidak ada satu pun dalam ajaran Islam yang bertentangan atau tidak sesuai untuk dijadikan amalan dalam kehidupan kita.

Manusia sebagai makhluk yang dianugerahkan Allah s.w.t dengan naluri kejiwaan dan perasaan sememangnya memerlukan kepada sesuatu yang boleh memberi ketenangan, kerehatan minda dan keseronokan. Sehubungan dengan itu, hiburan melalui nyanyian telah menjadi salah satu medan atau platform yang paling popular dalam memenuhi tuntutan tersebut.

Islam sama sekali tidak mengharamkan hiburan, kerana ia merupakan salah satu keperluan dalam diri manusia. Namun persoalannya apakah bentuk nyanyian atau muzik yang menepati syariat Islam pada masa kini?

Mendengar lagu nasyid tanpa disertakan dengan alat muzik adalah dibenarkan, sebagaimana yang jelas dari nas-nas yang menunujukkan keharusannya, telah sabit (sahih) bahawa Rasulullah r dan para sahabat telah mendengar nasyid dan syair ketika bermusafir juga ketika berada di Madinah, ketika bekerja juga waktu rehat, samada secara perseorangan seperti nasyid Hassan, ’Amir Al-Akwa’, Anjasyah dan Bilal ra, juga secara beramai-ramai sebagaimana yang dikhabarkan oleh Anas ra dalam peristiwa menggali parit (Khandaq).

Adapun mendengar lagu (nyanyian) yang disertakan dengan alat-alat muzik maka ulama’ berbeza pendapat tentangnya;

Jumhur (majoriti) ulama’ silam -termasuklah ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie- mengharamkannya dikecualikan duff (kompang).

Mereka berdalil antaranya;

1-Hadis Nabi s.a.w. yang diriwayat oleh Abu Malik Al-Asy’ari ra menegaskan; “Akan ada di kalangan umat-ku orang-orang yang akan menghalalkan penzinaan, sutera dan alat-alat bunyian (muzik)”. [Hadis riwayat Imam Al-Bukhari]

Ini adalah mu’jizat Rasulullah saw, memang ramai betul orang sukakannya.

2-Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sebahagian manusia dari umatku mereka meminum arak dengan memberinya nama yang lain (yakni menukar namanya), kepala-kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian dan penyanyi-penyanyi wanita….” [Hadis Riwayat Ibnu Majah dari Abu Malik al-Asy’ari, dinilai sahih oleh Sheikh Al-Albani).

Hadis di atas menyentuh alat-alat muzik secara umumnya.

3- Hadis yang secara khusus menyebut alat-alat muzik pula ialah; Imam Ahmad meriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. yang telah menceritakan bahawa “Rasulullah s.a.w. telah mengharamkan arak, judi, gendang, biola dan setiap yang mengkhayalkan adalah haram”. Dalam satu lafaz yang lain, Rasulullah bersabda; “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas umatku arak, judi, tuak gandum, gendang dan biola”. (Riwayat Imam Ahmad)

4- Selain dari dalil-dalil di atas, suasana juga menunjukkan bahawa orang yang banyak mengguna dan mendengar alat-alat bunyian (muzik) ini telah menjadi adat atau kebiasaan orang-orang fasik (yakni suka melakukan maksiat dan tidak menjaga agama).

Namun sebahagian ulama’ mengharuskan alat-alat bunyian atau muzik dalam sebarang bentuk dan bunyi selagi ia tidak bercampur dengan perlakuan-perlakuan yang haram seperti minum arak, percampuran lelaki dan wanita, nyanyian-nyanyian yang bercanggah dengan agama (spt. memuja wanita, yang membangkitkan syahwat dsbnya) dan selagi tidak melalaikan ibadah dan tanggungjawabnya.

Di antara mereka ialah sahabat Nabi s.a.w. Abdullah bin Jaafar dan Abdullah bin az-Zubair, Imam Malik, Towus, Sa’ad bin Ibrahim az-Zuhri (seorang Tabi’in), Abdul-‘Aziz bin Salamah al-Majisyun, Imam Abu Bakar Ibnu Al-‘Arabi, Imam Ibnu Hazm dan sebagainya.

Hujah mereka ialah; tidak ada dalil yang benar-benar terang dan nyata yang menyebutkan pengharaman alat-alat bunyian atau muzik tersebut.

Jika ada sekalipun, umpamanya hadis riwayat Imam Bukhari di atas (yang dikemukakan oleh jumhur tadi)!!, ia kerana bercampur dengan arak, zina atau sebagainya yang jelas dilarang, bukan semata-mata kerana alat bunyian/muzik. Maka jika alat-alat bunyian/muzik tersebut bebas dari unsur-unsur haram tersebut, maka ia kembali kepada hukum asalnya iaitu harus. Sekalipun banyak hadis yang dikemukakan oleh ulama’-ulama’ yang berhujjah melarang alat-alat bunyian, namun hadis-hadis tersebut tidak sunyi dari kecacatan. Ia berlegar antara dhaif atau maudhuk (palsu) dan tidak harus dijadikan hujjah terutama untuk mengharamkan sesuatu di mana telah disepakati ulama’ bahawa pengharaman mesti berdasarkan dalil yang soheh. Sebagai contohnya, hadis riwayat Imam Ahmad di atas; di dalam sanadnya (yakni rangkaian periwayatnya) terdapat seorang bernama Al-Walid bin ‘Abadah di mana ia adalah majhul (tidak dikenali). Berkata Imam Ibnu Hazm; “Tidak ada sebarang hadis yang soheh yang mengharamkan nyanyian dan alat-alat bunyian. Semuanya adalah maudhuk (hadis-hadis palsu)”.

Ramai ulama’ semasa hari ini cenderung kepada pandangan kedua di atas, yakni; muzik adalah harus selagi tidak bercampur dengan perkara-perkara haram dan tidak melalaikan dari ibadah dan tanggungjawab. Begitu juga hukumnya dengan nyanyian yang hari ini tidak dapat dipisahkan dengan muzik. Di antara mereka ialah Dr. Yusuf al-Qaradhawi (rujuk kitab beliau; al-Halal Wa al-Haram Fil-Islam), Syeikh Muhamad al-Ghazali dan Mufti Mesir sekarang ini Dr. Ali Jum’ah (lihat buku Himpunan Fatwanya bertajuk; al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa ‘Asyriyyah, hlm. 452).

Perhatian;

Sebagai penuntut ilmu yang cintakan kebenaran, kita tidak sepatutnya berdiam diri apabila hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dipertikaikan kesahihanya, sedangkan ramai ulama’ tampil menjelaskan keraguan serta mempertahankan kesahihannya.

Demikian juga apa yang diriwayatkan bahawa sebahagian sahabat mempunyai hamba yang bermain dengan alat muzik, riwayat tersebut adalah ”batil’.

2.Apakah pula yang menjadi penentu kepada hukum lagu ataupun nasyid? Adakah pada liriknya, rentaknya ataupun situasi penyampaiannya?

Ketiga-tiganya sekali, lagu, lirik dan situasi..

Sebagaimana yang kita sebutkan di atas tadi bahawa tidak ada ulama’ yang mengharuskan nyanyian secara mutlaknya. Keharusan nyanyian adalah bersyarat. Secara ringkas, syarat-syarat utama yang telah ditetapkan ulama’ bagi nyanyian yang diharuskan ialah;

1. Hendaklah apa yang diperkatakan di dalam nyanyian itu (yakni lirik atau senikatanya) menepati ajaran Islam dan adab-adab Islam.

2. Cara nyanyian itu dipersembahkan juga penting untuk diperhatikan. Adakalanya senikata lagu tidak bercanggah dengan Islam, tetapi gaya penyanyi mempersembahkan nyanyian menimbul ghairah orang yang melihatnya atau membangkitkan nafsu mereka –seperti penyanyi perempuan yang tidak menutup aurat dan dengan suara menggoda-, maka nyanyian sebegitu adalah diharamkan walaupun senikatanya baik.

3. Tidak berlebihan hingga melalaikan dari kewajipan hidup yang sebenar dan lebih utama, seperti mengabaikan solat, tugas seharian lantaran mengikuti program / konsert yang di anjurkan.

3.Kita melihat terdapat banyak khilaf mengenai garis panduan alat muzik yang diberikan oleh ilmuwan Islam. Ada yang mengatakan gitar dibolehkan. Bagaimana pula dengan penggunaan biola, piano dan drum? Apakah garis panduan bagi alat muzik yang dibenarkan dan tidak dibenarkan di dalam Islam?
Terdapat hadis-hadis yang menyebut beberapa jenis alat yang diharamkan, seperti hadis riwayat Imam Ahmad di atas.

Menurut mazhab Syafi’ie; “Diharamkan mengguna dan mendengar alat-alat bunyian seperti biola, gambus, shonji (iaitu dua piring tembaga yang dilagakan keduanya untuk menghasilkan bunyi), gendang, serunai, dan sebagainya. Setiap alat muzik yang bertali adalah haram tanpa khilaf. Diharuskan duff bagi majlis kenduri kahwin, berkhatan atau sebagainya. Nyanyian jika tanpa alat bunyian, hukumnya makruh dan jika disertai alat-alat bunyian, hukumnya adalah haram”. (Lihat Mughni al-Muhtaj, Kitab asy-Syahadat).

Walaupun ada ulama’ mengharuskan penggunaan alat-alat muzik, tetapi meninggalkannya adalah lebih selamat.

4.Merujuk kepada pandangan Dr. Yusuf al-Qardhawi, penggunaan alat muzik dibolehkan bagi tujuan untuk berdakwah. Di Negara kita pula, nasyid sekarang sudah dijadikan satu industri yang mana para penasyid diletakkan sebaris dengan para penyanyi yang lain, serta diberikan anugerah dalam majlis-majlis yang turut dipenuhi dengan persembahan-persembahan yang tiada khilaf tentang keharamannya, seperti Majlis Anugerah Industri Muzik dan lain-lain. Adakah alasan berdakwah kepada para artis boleh diterima apabila menuntut para penasyid kita menghadiri majlis-majlis seperti ini?

Menghadiri majlis sedemikian menjadikan kita mengiktiraf perbuatan tersebut, sedangkan telah ada larangan daripada meramaikan golongan yang tidak baik, terdapatkan juga larangan menyerupai orang kafir atau fasiq, seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Ibnu Omar ra dengan sanad yang sahih;

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ maksudnya: ”Sesiapa yang menyerupai (gaya – tingkah laku) sesuatu kaum maka dia termasuk dari kumpulan tersebut”.

Alasan nak berdakwah, apa bukti kejayaan orang yang telah melakukannya, tapi sebaliknya ada, penasyid pula terikut2 dengan pakaian dan gaya mereka.

5.Dalam industri nasyid sekarang juga, kita melihat irama nasyid kebanyakannya diketengahkan dengan nada yang mendayu-dayu ataupun terlalu rancak seperti irama rap dan hip hop. Ini adalah sangat berbeza dengan tujuan nasyid zaman awal Islam yang menjadi peniup semangat jihad. Apa komen Dr? Bagaimanakah kita dapat kembalikan nasyid kepada tujuannya yang asal?

Memang nasyid kontemporari hari ini sudah hilang arah...

Perkembangan yang dialami oleh seni nasyid di Malaysia mengalami pasang surutnya. Bukan sahaja dari aspek penerimaan masyarakat kepada album nasyid melalui penjualan album, malah kepelbagaian bentuk nasyid juga semakin berwarna-warni hingga timbul pelbagai persoalan di sekitar hala tuju dan masa depan nasyid di negara kita.

Suatu masa nasyid dilihat sebagai suatu bentuk seni yang mempunyai identitinya yang tersendiri. Irama nasyid Malaysia menggabungkan elemen Timur Tengah dan Nusantara, menghasilkan kombinasi yang indah serta menepati bahasa jiwa dan perasaan pendengarnya. Sebagaimana lagu-lagu Islam di Turki, negara Arab dan Pakistan memakai pakaian budaya tempatan, begitu juga di Malaysia. Nasyid Malaysia mempunyai mempunyai identiti dan membentuk cara yang tersendiri.

Selepas menempuh perjalanan masa, unsur yang lebih asing mula menyerap masuk ke dalam pengungkapan irama nasyid Malaysia. Jika dahulu, kebanyakan nasyid menampilkan rentak, lirik dan persembahan yang dekat dengan kemelayuan persekitarannya, kini unsur-unsur yang lazimnya dikaitkan dengan budaya Barat mengambil alih hingga akhirnya menghasilkan “nasyid kontemporari” yang bernada raggae, blues, hiphop dan rock.

Hujjahnya ialah ingin mencari mencari kelainan.

Perubahan yang sedemikian rupa, berlaku atas beberapa faktor. Antaranya adalah soal desakan untuk menghasilkan kelainan. Setiap album nasyid yang mahu dipertaruhkan di pasaran, perlu berhempas pulas memikirkan elemen baru dan unik, demi untuk menggarap perhatian pendengar dan seterusnya diterjemahkan dalam pencapaian penjualan album yang memberangsangkan.

Untuk mencapai matlamat tersebut senikata yang diucapkan menjadi janggal dengan irama, contohnya apabila menyebut asma’ Allah serta sifat-Nya, atau Rasulullah saw serta selawat ke atasnya demikian juga dengan zikir. Semuanya kadangkala menjadikan telinga orang yang beriman sakit, kerana bimbang berlaku kesalahan dalam sudut aqidah.

Selain itu nasyid telah menjadi terlalu komersial....

6.Tidak kurang juga kita melihat di kalangan wanita Islam yang semakin menonjolkan diri dalam bidang nasyid di khalayak ramai. Apakah ianya dibenarkan dalam Islam hanya dengan memakai pakaian yang menutup aurat? Bagaimanakah sebenarnya kedudukan suara wanita dalam Islam?

Pakaian sebahagian ahli nasyid bahkan penceramah wanita tidak memenuhi etika berpakain.. OLeh itu, pakaian artis khususnya wanita perlu diberi nafas baru. Islam menerima perkembangan fesyen dan perhiasan, asalkan tidak melanggar batasan syarak. Imej yang agak seksi dan menggoda tidak mencerminkan anutan agama Islam dan budaya ketimuran. Soal aurat dalam Islam tidak ada kompromi, bagi mengharuskan nyanyian, persembahan atau ceramah, kewajipan menutup aurat adalah penting. Begitu juga persembahan dan pergaulan antara artis lelaki dan wanita perlu ada batasan. Sebarang bentuk sentuhan, pelukan dan geselan perlu dielakkan.

Aspek persekitaran juga menjadi kayu pengukur bagi mengharuskan sesuatu persembahan atau konsert. Kedudukan penonton yang diasingkan antara lelaki dan wanita serta yang berkeluarga adalah sangat baik dan bertepatan dengan budaya Islam.

Ini dapat membantu mengelakkan berlakunya sebarang bentuk maksiat serta pergaulan bebas sewaktu konsert berlangsung. Keadaan bersesak-sesak dan melompat menari antara lelaki dan wanita adalah salah di sisi agama.

Kesesuaian waktu dan kemudahan tempat juga penting supaya penonton tidak mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap tiang agama.

Berkait dengan hukum nyanyian bersama wanita, Islam telah meletakkan disiplin yang jelas tanpa wujudnya sebarang bentuk diskriminasi dan penindasan terhadap kaum wanita. Bagi mengelakkan sebarang fitnah yang berunsurkan pandangan yang bersyahwat dari golongan kaum lelaki dan memperagakan tubuh badan dari golongan kaum wanita, mengalun-alunkan suara (iaitu cara selayaknya sebagai penyanyi) dan seumpamanya, Islam melarang dan tidak membenarkan lelaki berduet bersama wanita dalam persembahan nyanyian. Ia bersalahan dengan adab Islam yang disebut di dalam Al-Quran Al-Karim iaitu firman Allah (s.w.t):

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ * وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ

وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ

بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي

الإرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا

أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ *

Yang bermaksud: “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya”. [Surah An-Nuur: 30-31]

Dan sabda Nabi (s.a.w) yang bermaksud: “Wahai Ali! Jangan kamu iringi pandangan pertamamu dengan pandangan kedua, sesungguhnya bagi kamu pandangan pertama tapi tidak pada pandangan kedua”.

Nyanyian yang dipersembahkan oleh wanita dikhalayak ramai adalah suatu perkara yang tidak dibenarkan oleh Islam. Al-Quran Al-Karim menyatakan arahan Allah (s.w.t):

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلا مَعْرُوفًا

Yang maksudnya: “…Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya…”. [Surah Al-Ahzab : 32]

Wanita hanya dibenarkan mempersembahkan nyanyian atau nasyid hanya untuk kalangan mereka sahaja dan tidak boleh dihadapan khalayak lelaki.

7.Dengan perkembangan nasyid yang begitu pesat sekarang, sejauh mana Dr. melihat nasyid ini dapat memberi kesan dalam berdakwah kepada golongan muda, ataupun mencetuskan kesedaran dan keinsafan serta dijadikan satu alternatif hiburan kepada golongan ini?

Nasyid sebagai alat bukan matlamat…

Jika nasyid didefiniskan sebagai jalan dakwah, maka ia sangat bergantung kepada faktor manusia yang membentuk nasyid itu sendiri. Rupa dan warna dakwah adalah gambaran seorang Da’ie terhadap apa yang beliau sendiri faham tentang mesej agamanya.

Jika nasyid bermaksud dakwah, maka nilai dakwah itu bukan hanya pada lirik dan lagu, tetapi ia sangat terkesan oleh apa yang ditonjolkan melalui keperibadian penyampainya.

Sama ada nasyid tradisional mahu pun yang kontemporari dengan gaya rap dan rock, latar belakang dan syakhsiah penasyid akan tetap menjadi sebahagian daripada penilaian masyarakat tentang sejauh mana relevannya dakwaan nasyid itu sebagai medium dakwah.

Nasyid adalah wasilah, maka ianya tidak sesuai disemua tempat dan waktu. Bagi golongan yang sentiasa hidup dengan alunan muzik, maka kita kemukakan nasyid sebagai alternative atau badil kepada muzik kegemarannya.

Tapi bagi muda mudi / pelajar aliran agama rasanya tidak perlu kita terikut-ikut dengan rentak golongan ini, lebih-lebih lagi pelajar aliran tahfiz, tumpukan kepada hafazan, kajian mendalam tentang hukum hakam adalah menjadi keutamaan sebagai seorang da’ie yang akan mengepalai masyarakat –dengan izin Allah- di masa depan.

Kata Abdullah bin Mas’ud ra:

( الغناء ينبت النفاق في القلب كما بنبت الماء البقل ).

Maksudnya: “Nyanyian itu menumbuhkan sifat munafiq di dalam hati, seperti air menumbuhkan sayuran” [HR Al-Baihaqi]

Ramai golongan muda mendengar lagu dari pagi ke malam, tapi tidak ramai yang menghabiskan masanya dengan alquran, ini kadangkala membuatkan kita terfikir kepada ayat yang dijadikan hujjah oleh ulama’ yang tidak membenarkan nyanyian.

Firman Allah yang bermaksud; “Dan ada di antara manusia orang yang membeli Lahwal-Hadith (cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan) untuk menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah tanpa sebarang ilmu/pengetahuan dan ia menjadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan ejekan. Mereka itu bagi mereka azab yang menghinakan”. (Surah Luqman, ayat 6).

Menurut Abdullah bin Mas’ud r.a.; maksud lahwal-Hadith dalam ayat di atas ialah nyanyian. Berkata Imam Hasan al-Basri; ayat di atas diturunkan kepada nyanyian dan alat-alat bunyian. Ada ulama’ berpendapat; lahwal-hadith itu ialah penyanyi-penyanyi dari kalangan jariyah (hamba perempuan).

Semoga perbincangan kita ini membuka pandangan untuk mengkaji dan berfikir tentang hukum Islam mengenai hiburan, bukan hanya setakat berselindung disebalik beberapa nama ulama’ besar untuk menghalalkan apa yang nafsu bersetuju dengannya, tanpa mengambil kira pandangan lain yang bertentangan serta sandaran dalil-dalilnya.
Sekian,

Sekian
Read More

HUKUM MEROKOK DAN KAITAN DENGAN KUALITI IMAN

بسم الله الرحمن الرحيم

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا وسيئات أعمالنا

من يهده الله فلا مضل له، ومن يضلل فلا هادي له، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، أما بعد



شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ [البقرة: 185

Maksudnya: {Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan yang batil)}. [Al-Baqarah: 185]

Allah subhanahu wa Ta’ala telah menjadikan bulan Ramadhan sebagai satu bulan yang mulia berbanding bulan-bulan yang lain dengan beberapa kelebihan dan keistimewaan, antaranya ialah:
• Syurga dihias setiap hari pada bulan Ramadhan.
• Syaitan-syaitan dibelenggu sepanjang bulan Ramadhan.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ((إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ، وَغُلِّقَتْ 

أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ، وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ، وَيُنَادِي مُنَادٍ: يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ، وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ، وَلِلَّهِ 

عُتَقَاءُ مِنْ النَّارِ، وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ)) [رواه الترمذي، "حسن" صحيح الجامع].ز

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi saw telah bersabda: “Apabila masuk malam pertama bulan Ramadhan, dirantai/dibelenggu para syaitan dan jin yang nakal. Ditutup pintu-pintu neraka, tidak dibuka walau satu pintu dan dibuka pintu-pintu syurga tidak ditutup walau satu pintu dan. Dan ada penyeru yang akan menyeru: ’Wahai golongan yang inginkan kebaikan ayuhlah (melakukannya) dan wahai golongan yang mahukan kejahatan berhentilah”. Tersenarai di sisi Allah nama-nama hamba-Nya yang bebas daripada api neraka pada setiap malam” (HR Tirmizi)

Para ulama berbeza pendapat tentang maksud dibelenggu para syaitan. Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan dari al-Halimiy yang menyatakan maksud dibelenggu itu mengandungi makna para syaitan tidak dapat sampai melakukan fitnah kepada umat Islam sepertimana diluar bulan Ramadhan disebabkan umat Islam menyibukkan diri dengan berpuasa yang berperanan melemahkan syahwat, demikian juga mereka sibuk dengan membaca al-Quran dan berzikir.

Syeikh ‘Atiyyah Saqr menyebut beberapa ulama yang mensyarahkan hadith ini menyatakan yang dimaksudkan dibelenggu ini ialah tidak dapat menguasai orang-orang yang benar-benar berpuasa dengan puasa yang sebenarnya, dengan meraikan setiap adab-adab termasuk memelihara lidah, pandangan dan semua anggota dari melakukan maksiat sebagai memenuhi sabda Nabi saw:

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan bohong dan perbuatan yang keji, maka Allah tidak ada hajat kepada makanan dan minuman yang ditinggalkannya.” (HR al-Bukhari)

Sebahagian ulama yang lain pula berpendapat maksud para syaitan yang dibelenggu itu ialah sebahagian syaitan yang degil/melampau, adapun selain daripadanya tidak dibelenggu. Inilah yang dinyatakan di dalam hadith: Maksudnya: “Dibelenggu padanya (Ramadhan) syaitan-syaitan yang degil/melampau.” Maka dibelenggu syaitan itu adalah perumpamaan melemahkan syaitan dalam menyesatkan umat Islam dan menghiasi syahwat mereka.
• Pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup.
• Terdapat pada bulan ini Lailatul Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak mengambil peluang untuk membuat kebaikan dan beramal padanya maka dia telah melepaskan semua peluang kebaikan.
• Pada setiap malam Ramadhan tersenarai di sisi Allah nama-nama hamba-Nya yang bebas daripada api neraka.
Sabda Rasulullah ص:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ، الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَة ضِعْفٍ، قَالَ اللهُ: إِلا الصَّوْمَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ 

مِنْ أَجْلِي. لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ: فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ. وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ)) [مسلم: 1151

Maksudnya: “Setiap amalan anak Adam itu digandakan pahalanya, satu kebaikan seumpama sepuluh, hingga 700 kali ganda. Allah berfirman (dalam hadis qudsi): Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah untuk Aku dan Akulah yang akan memberikan ganjarannya. Dia meninggalkan syahwatnya, makanannya kerana Aku. Bagi orang-orang yang berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya, dan bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi di sisi Allah.” [HR: Muslim dari Abu Hurairah ]

Sabda Rasulullah ص:

((مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ)) [متفق عليه]

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan Ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas”. [HR: Al-Bukhari dan Muslim].

• Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada haruman kasturi di sisi Allah.
• Para malaikat memohon keampunan untuk orang yang berpuasa sehingga dia berbuka.
• Orang-orang yang berpuasa akan mendapat keampunan pada malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan.

Berpuasa memberi banyak faedah kepada kehidupan jasmani dan rohani.
Kaedah berpuasa juga digunakan oleh para doktor untuk mengubati sebahagian penyakit seperti masalah kegemukan.
Dalam konteks rohani, ia amat berfaedah untuk menjinakkan nafsu yang liar, melatih untuk bersabar, memahami erti kefakiran dan sebagainya.



Fatwa semasa mengenai hukum merokok menjurus kepada haram

Fatwa Semasa Mengenai Hukum Merokok’ yang dikeluarkan oleh bererapa orang Mufti / Ulama’;

1. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya hukumnya adalah haram kerana daripadanya terdapat kemudaratan.

2. Ulama-ulama semasa seperti Dr Abdul Jalil Shalabi mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan masyarakat.

3. Dr Zakaria Al Bari (anggota Akademi Kajian Islam dan Anggota Lajnah Fatwa Al-Azhar) menyatakan merokok hukumnya haram adalah pendapat yang kuat.

4. Syeikh Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.

5. Syeikh Hasanain Makhluf iaitu mantan Mufti Kerajaan Mesir telah menetapkan merokok adalah haram jika mendatangkan mafsadat kesihatan dan mengurangkan hak keluarga dari segi pengurangan nafkah kepada keluarganya. Makruh jika mafsadat itu tidak ketara atau tidak mengurangkan hak nafkah keluarga.

6. Ulama terkenal masa kini Dr Yusof Qaradhawi juga telah menfatwakan bahawa merokok adalah HARAM disisi agama.

7. Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang berlangsung pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam.

8. Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan yang telah diwartakan pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 telah menyebutkan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi mana-mana orang Islam.

9. Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa menanam tembakau atau merokok dan memanfaatkan hasil tembakau adalah haram.

10. Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah berpegang kepada fatwa merokok adalah haram walaupun sehingga kini belum ada penguatkuasaan berhubung perkara itu kerana berdasarkan pendapat pengamal perubatan bahawa perbuatan merokok boleh mendatangkan mudarat.

11. Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka juga telah bersetuju menerima pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram. [Harakahdaily.net]

Melihat kepada senarai ini, merokok sudah difatwakan haram oleh majlis ulama Malaysia sebelum tahun 2000 tetapi entah mengapa fatwa ini hanya diwartakan beberapa tahun kemudian. Mungkin mereka ingin memberi peluang kepada syarikat rokok untuk lebih bersedia menangani kesan dari fatwa ini. Namun apa yang jelas sama ada diwartakan atau tidak, bilangan mereka yang merokok terus meningkat.



SEJARAH ROKOK DAN TEMBAKAU 
Apabila menyebut rokok, maka ianya tidak lepas dari perbincangan tentang tembakau. Berdasarkan kepada maklumat, tembakau ini tidak dikenali melainkan pada awal kurun ke 11 hijrah. Ekoran dari itu, ulama-ulama di zaman sebelum itu tidak memperkatakan hukum rokok.

Mengikut dakwaan sesetengah pihak, amalan merokok ini berasal dari amerika dan merebak ke eropah dalam kurun ke 16. [Ifadah Al-Ikhwan bi Adillah Tahrim Syurb Ad-Dukhan : m/s 9].
Pada awalnya, amalan merokok ini dianggap sebagai salah satu amalan untuk perubatan. Pada kurun ke 19, amalan merokok ini sudah tersebar di seluruh dunia, termasuk dunia umat Islam ketika itu [Ifadah Al-Ikhwan: m/s 11].

Setelah amalan merokok ini tersebar, didapati ianya banyak memberi kerosakan dan menjejaskan kepada kesihatan, terutama kepada kesihatan otak, jantung, penglihatan mata dan sebagainya.
Apa yang lebih teruk dari itu adalah, terjejasnya kesihatan itu bukan sekadar dikalangan perokok sahaja, tetapi ianya merebak kepada mereka-mereka yang tidak merokok juga.
Perkara ini telah diakui oleh sebilangan besar Doktor-doktor di dunia, sehinggakan kemudharatan merokok ini sudah boleh dianggap sebagai sesuatu yang “disepakati” dikalangan para doktor. Ekoran dari keadaan rokok yang banyak memberi kesan buruk kepada manusia, maka ulama-ulama mula berijtihad dalam menyatakan hukum rokok.

HUKUM ROKOK ADALAH HARAM
Telah dinyatakan di atas, boleh dikatakan seluruh para doktor dunia telah “bersepakat’” bahawa merokok adalah sesuatu yang boleh memudharatkan kepada kesihatan.
Maka dengan itu, Islam telah menetapkan hukum bahawa, merokok itu adalah haram dengan beberapa alasan.

Antara sebab pengharaman Rokok adalah seperti berikut; 
a-Ada kaitan dengan arak.
Berdasarkan kepada satu kajian, sebelum rokok di buat, tembakau akan di peram dengan perahan anggur atau perahan epal. Dalam keadaan ini, perahan anggur dan apel ini sebenarnya merupakan antara cirri-ciri arak. [Ifadah Al-Ikhwan: m/s 50].

Dalam keadaan inilah, dapat dikatakan rokok ini sebenarnya berasal dari tembakau yang telah diperam bersama perahan arak yang telah di haramkan oleh Allah SWT. Firman Allah;

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ}

Maksudnya; “Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya” (Surah Al-Maidah : 90)



b- Rokok membunuh.
Sememangnya diketahui, rokok merupakan antara alat untuk membunuh manusia secara perlahan. Semuanya berpunca dari kemudharatan disebalik merokok.
Memudharatkan diri sendiri merupakan perkara yang diharamkan oleh Allah. Firman Allah;

ولا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ}

Maksudnya; {Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke Dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya Segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berusaha memperbaiki amalannya.} (Surah Al-Baqarah: 195)

Begitu juga, rokok tidak sekadar memberi mudharat kepada diri perokok sahaja, bahkan rokok dapat memberi mudharat kepada orang tidak merokok juga. Keadaan ini adalah haram di sisi Islam dengan firman Allah;

{ وَلا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا }

Maksudnya: {Janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu}. (Surah An-Nisa’ : 29) Dan sabda Nabi SAW:

{لا ضَرَرَ ولا ضِرَارَ}

Maksudnya; “Tidak boleh memberi mudharat dan tidak boleh memudharatkan kepada orang lain. ” [Muwatta’ : 2/745 : hadis no : 1429].

c- Rokok adalah perkara yang buruk.

Firman Allah;

{الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الْأُمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِنْدَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ

 الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ}

Maksudnya; “Iaitu orang-orang Yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi Yang Ummi, Yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di Dalam Taurat dan Injil Yang ada di sisi mereka. ia menyuruh mereka Dengan perkara-perkara Yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara Yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka Segala benda Yang baik, dan mengharamkan kepada mereka Segala benda Yang buruk”. (Surah Al-‘Araf : 157)

Firman Allah ini dengan jelas Allah menyatakan bahawa, Allah menghalalkan kepada manusia segala perkara yang baik dan mengharamkan perkara yang buruk (tidak baik).
Imam Ibnu Kathir dalam mentafsirkan ayat ini mendatangkan maksud “tayyibat” dan “Khabisat” dengan beberapa pendapat ulama dengan katanya;

فكل ما أحل الله تعالى من المآكل فهو طيب نافع في البدن والدين وكل ماحرمه فهو خبيث ضار في البدن والدين

Maksudnya; “Setiap yang Allah halalkan daripada makanan, maka ia adalah baik dan memberi manfaat kepada badan dan agama. Dan setiap perkara yang Allah haramkan, maka ia adalah perkara yang buruk, memberi mudharat kepada badan dan agama. [Tafsir Ibni Kathir : 2/255].

Rokok sememangnya tidak memberi manfaat kepada agama dan badan, tetapi hakikatnya adalah, rokok dapat memberi keburukan dan mudharat kepada badan dan agama. Ekoran dari itu, dari firman Allah ini jelas kepada kita bahawa rokok adalah haram.

d- Merokok adalah pembaziran.
Dengan menghisap rokok, tiada kebaikan yang didapati melainkan keseronokkan yang tidak memberi faedah kepada diri disamping memberi kesan mudharat kepada kesihatan. Ekoran dari itu, dengan menghisap rokok akan menyebabkan perokok akan melakukan pembaziran yang diharamkan oleh Allah SWT. Firman Allah;

{إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا}

Maksudnya; “Sesungguhnya orang-orang Yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk Yang sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah Al-Isra’ : 27)
Keharaman membazir ini tidak dikhususkan kepada sesiapa pun, samada dia kaya atau miskin.

Ibnu Mas’ud dan Ibnu Abbas mendefinisikan membazir adalah ;


التبذير الإنفاق في غير حق

Maksudnya; “Membazir adalah menginfaqkan pada yang tidak dijalan kebenaran”
Mujahid pula menyatakan;

لو أنفق إنسان ماله كله في الحق، لم يكن مبذرًا، ولو أنفق مدًا في غير حقه كان تبذيرًا

Maksudnya; “Kalau insan menafkahkan semua hartanya pada kebenaran, itu tidak dinamakan sebagai membazir. Dan kalau dia menafkahkan satu cupak pada bukan jalan kebenaran, maka itu sudah dikira sebagai membazir”
Adapun Qatadah pula menyatakan;

التبذير النفقة في معصية الله تعالى، وفي غير الحق وفي الفساد

Maksudnya; “Membazir adalah nafkah pada maksiat kepada Allah dan tidak diatas jalan kebenaran disamping untuk melakukan kerosakan”.[Tafsir Ibni Kathir : 3/37].
Dari ketiga-tiga definisi ini, didapati semuanya bersesuaian dengan merokok. Ekoran dari itu, jelas bahawa rokok adalah haram.

e- Rokok menghasilkan bau busuk.
Jika bawang dilarang dari memakannya oleh Rasulullah SAW sehingga ulama menyatakan atas makruh memakannya disebabkan baunya yang busuk. Iaitu dengan hadis;

عن ابن عُمَرَ رضي الله عنهما أَنَّ النبي قال في غَزْوَةِ خَيْبَرَ: من أَكَلَ من هذه الشَّجَرَةِ يَعْنِي الثُّومَ فلا يَقْرَبَنَّ مَسْجِدَنَا

Maksudnya; “Daripada Ibni Omar, sesungguhnya Nabi SAW berkata dalam peperangan khaibar, barangsiapa yang makan daripada ini – iaitu bawang putih – maka dia dilarang menghampiri masjid kami”. [Sahih Al-Bukhari: 1/292: hadis no: 815.]

Dalam hadis ini, nabi SAW melarang makan bawang kerana baunya. Maka berdasarkan kepada qiyas awla, terlebih melaranglah oleh nabi SAW dari menghisap rokok yang baunya lebih busuk dari bau bawang. [http://al-bakistani.blogspot.com]

Di antara langkah-langkah untuk berhenti merokok, Insya Allah.
Secara mudah kita semua boleh melihat kesan merokok ini dari dua aspek. Aspek pertama ialah ia jelas membazir. Apatah lagi dengan harga rokok yang mahal sekarang. Membazir adalah kerja syaitan. Setiap pembaziran jelas hukumnya iaitu haram. Aspek yang kedua pula ialah merokok jelas merosakkan anggota tubuh iaitu paru-paru. Allah menjadikan tubuh badan kita dengan begitu elok sekali dan setiap kita hendaklah manjaga tubuh badan agar sentiasa sihat. Dengan merokok ia akan merosak paru-paru dan dengan ini jelas hukumnya adalah haram.

Walaupun hukum merokok ini jelas haram, namun ramai manusia yang mempersendakan hukum Allah. Ada yang tergamak mempersendakan hukum ini dan berhujjah dengan pelbagai dalilnya bahawa merokok bukanlah haram. Masya’-Allah. Begitulah Syaitan sudah menjadikan perbuatan buruk mereka dipandang baik oleh golongan ini seperti yang Allah banyak kali sebutkan dalam Al Quran. Begitulah juga golongan yang tidak memakai tudung. Mereka memandang diri mereka adalah lebih mulia, moden dan berpendidikan berbanding daripada mereka yang memakai tudung dan tudung labuh.

Bagi perokok, selalunya mereka memandang diri mereka lebih macho, segak dan bergaya dengan tabiat merokok mereka. Bagi golongan ini, tidak merokok adalah sesuai bagi golongan yang mundur, pondan, antisosial dan lemah. Begitulah tipu daya syaitan yang menipu golongan perokok yang sebenarnya bodoh dan sangat lemah sehingga mudah ditipu dan dipermainkan oleh syaitan.

Susah sangatkah seseorang itu untuk berhenti menghisap rokok?? Sebenarnya ia boleh jadi senang atau susah dan ianya bukan bergantung ke atas Allah semata-mata tetapi bergantung kepada perokok itu sendiri. Pada waktu bulan puasa, semua perokok hampir tiada masalah untuk tidak merokok pada waktu siangnya kerana perokok tersebut sudah menetapkan niatnya serta bertekad untuk berhenti sekadar pada waktu siang sahaja. Allah sekadar memudahkan proses seterusnya setelah manusia itu sudah berniat dan bertekad. Namun perokok tidak ada niat dan tekad untuk berhenti merokok pada sebelah malamnya. Itulah sebabnya Allah mengizinkan perokok untuk terus merokok pada sebelah malamnya kerana itulah sebenarnya kehendak dan tekad perokok.

Sekiranya perokok berniat dan bertekad untuk terus berhenti merokok, sebenarnya dengan menggunakan model bulan puasa, ia adalah suatu proses yang mudah sekiranya perokok tersebut hendak menjadikannya mudah. Ramai yang dinasihati alhamdulillah berjaya terus berhenti merokok dengan mudah sekali kerana perokok tersebut menjadikannya mudah.

Bagi memudahkan proses berhenti merokok, boleh gunakan nasihat berikut:

1- Elakkan dari berkata sebutan yang negatif seperti “susahlah nak berhenti merokok” atau “lecehlah” kerana sebenarnya setiap sebutan kita adalah doa. Apabila kita berkata dengan sebutan negatif ini, sebenarnya insya-Allah Allah akan memakbulkan doa tersebut lalu diberikan Allah jalan yang sukar untuk berhenti merokok. Sebaik-baiknya jangan berkata apa-apa bila hendak berhenti merokok.

2- Seterusnya gantilah sebutan berkaitan keinginan berhenti merokok ini dengan sebutan yang positif dan doa seperti “ya Allah permudahkan usaha aku untuk berhenti merokok buat selama-lamanya”. Sebutlah selalu sama ada di mulut atau didalam hati dengan sebutan seperti ini atau sebutan lain yang positif. Ingat setiap sebutan adalah sebenarnya doa.

3- Sembahyang sunat taubat dua rakaat dengan sepenuh taubat dari perbuatan merokok lalu dan minta Allah ampunkan

4- Sembahyang sunat hajat dengan satu doa yang bulat iaitu minta Allah permudahkan segala urusan berkaitan hajat untuk berhenti merokok buat selama-lamanya.

5- Kesalilah perbuatan merokok anda yang lalu kerana ini adalah sebahagian dari tanda bertaubat. Seterusnya teruskan tekad untuk berhenti selama-lamanya. Pandang hinalah perbuatan merokok anda yang lalu dan kepada rakan-rakan anda yang merokok.

6- Jauhi diri anda dari semua rakan anda yang merokok kerana mereka semua tidak akan redha dengan usaha anda berhenti merokok. Mereka akan menasihati anda untuk kembali kepada merokok. Asap rokok mereka juga adalah amat menyulitkan sekiranya anda terbau terutama sekali pada awal peringkat berhenti merokok ini.

Akhir sekali nasihat kepada yang merokok, berhentilah melakukan dosa berkaitan menghisap rokok. Berhenti merokok sebenarnya satu proses yang sangat mudah sekiranya perokok ingin menjadikannya mudah dan ia akan menjadi sangat sukar sekiranya perokok seorang yang lemah dan gembira dengan tabiat merokok ini dan tiada niat dan tekad untuk berhenti.

Berhentilah merokok kerana perokok bakal mewarisi tabiaat ini kepada anak-anak dan keturunan. Ia juga menunjukkan betapa lemahnya imannya seseorang itu kerana tidak mampu untuk menghayati ajaran Islam dan sunnatu Rasulullah saw, kerana semua larangan dan kesan perbuatan merokok bertentangan dengan hukum dan ajaran Islam.

Ambillah peluang dan kesempatan dengan kedatangan Ramadhan yang penuh keberkatan, pengampunan dan rahmat ini untuk memulakan azam baru, hidup baru yang lebih sihat dan bersih dari sudut dunia dan akhirat, insya’allah. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan. [http://emjayjb.multiply.com/].

Rokok dan Iman:
Syariah Islam diturunkan oleh Allah untuk memberikan kebaikan dan kemaslahatan kepada manusia. Objektif atau maqasid hukum Islam ialah untuk menjaga kepentingan dan keperluan manusia di dunia serta akhirat. Syariah Islam dibina dengan asas untuk membawa kebaikan dan menolak keburukan (Jalb al-masalih wa dar’ al-mafasid) – (جلب المصالح ودرء المفاسد).

Berkata Ibn Al-Qayyim rh:

إِنَّ الشَّرِيعَةَ مَبْنَاهَا وَأَسَاسُهَا عَلَى الْحِكَمِ وَمَصَالِحِ الْعِبَادِ فِي الْمَعَاشِ وَالْمَعَادِ، وَهِيَ عَدْلٌ كُلُّهَا، وَرَحْمَةٌ كُلُّهَا، وَمَصَالِحُ كُلُّهَا، وَحِكْمَةٌ كُلُّهَا؛ 

فَكُلُّ مَسْأَلَةٍ خَرَجَتْ عَنْ الْعَدْلِ إلَى الْجَوْرِ، وَعَنْ الرَّحْمَةِ إلَى ضِدِّهَا، وَعَنْ الْمَصْلَحَةِ إلَى الْمَفْسَدَةِ، وَعَنْ الْحِكْمَةِ إلَى الْبَعْثِ؛ فَلَيْسَتْ مِنْ 

الشَّرِيعَةِ وَإِنْ أُدْخِلَتْ فِيهَا بِالتَّأْوِيلِ

“Syariah Islam dibina atas asas hikmah kebijaksanaan, kemaslahatan hamba di dunia dan akhirat. Syariat semuanya adil, maslahah, hikmah. Maka semua perkara yang keluar dari batasan keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada lawannya, dari maslahah kepada mafsadah, hikmah kepada pekerjaan sia-sia, maka ia bukanlah dari Syariat Islam walaupun dimasukkan ke dalamnya secara takwil” [Ibn Al-Qayyim, I’lam Al-Muwaqqi’iin].
Maslahah yang menjadi tujuan Syariat ini merangkumi lima perkara; Hifz al-Din (agama), Hifz al Nafs (nyawa/jiwa), Hifz al Aql (akal), Hifz al Nasb (keturunan, termasuk juga maruah) dan Hifz al-Mal (harta).

Dalilnya firman Allah swt:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا جَاءَكَ الْمُؤْمِنَاتُ يُبَايِعْنَكَ عَلَى أَنْ لَا يُشْرِكْنَ بِاللَّهِ شَيْئًا وَلَا يَسْرِقْنَ وَلَا يَزْنِينَ وَلَا يَقْتُلْنَ أَوْلَادَهُنَّ وَلَا يَأْتِينَ بِبُهْتَانٍ يَفْتَرِينَهُ 

بَيْنَ أَيْدِيهِنَّ وَأَرْجُلِهِنَّ وَلَا يَعْصِينَكَ فِي مَعْرُوفٍ فَبَايِعْهُنَّ وَاسْتَغْفِرْ لَهُنَّ اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: {Wahai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan janji setia, bahawa mereka tidak akan menyekutukan Allah, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anaknya, tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka (mengadakan pengakuan-pengakuan palsu mengenai hubungan) dan tidak akan menderhakaimu dalam urusan yang baik, Maka terimalah janji setia mereka dan mohonkanlah keampunan kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.} [Al-Mumtahanah: 12].

Maka setiap yang mengandungi penjagaaan dan keselamatan ke atas lima perkara ini amt ditekanakan dan disebut maslahah, manakala setiap yang membuat hilangnya penjagaan dan kesejahteraannya disebut mafsadah (kerosakan/perbuatan yang merosakkan).

Penjagaan dan pemeliharaan terhadap lima perkara ini merupakan satu aspek yang sangat penting dalam penentuan Syariat Islam. Ini menunjukkan bahawa penjagaan terhadapnya merupakan satu cara dan juga sebagai suatu alat untuk menghasilkan satu tujuan terpenting dalam kehidupan manusia iaitu mengabdikan diri yang sebenarnya terhadap Allah swt semata-mata.

Maka sudah jelas dan terang sekali bahawa perbuatan merokok bercanggah dan bertentangan dengan ajaran Islam dan maqasid al-syariah iaitu menjaga lima perkara; Agama, Nyawa, Akal, Keturunan dan Harta Benda:

Ini kerana merokok secara kesimpulannya merosakkan kesemua lima perkara ini:

1- Menjejaskan akal/mental.

2- Membahayakan kesihatan fizikal.

3- Membahayakan keselamatan diri dan orang lain.

4- Membahayakan keturunan.

5- Mengganggu manusia lain.

6- Menimbulkan akhlak buruk.

7- Menyia-nyiakan waktu hidup.

8- Bercanggah dengan maruah keIslaman.

9- Membazirkan harta (wang).

10- Menimbulkan permusuhan di antara manusia.

PENUTUP

Perokok juga seolah-olah sengaja menempah maut, ini kerana, jika dilihat kepada kotak-kotak rokok, tertulis padanya pesanan tentang bahaya merokok, tetapi manusia tetap juga menghisap rokok. Merokok ibarat membunuh diri sendiri, tiada manfaatnya. Usaha kerajaan melaksanakan kempen “tak nak” sudah baik. Cumanya ia perlu ditambahkan lagi. Bukan tak nak merokok tapi haram merokok!

Secara mudah kita semua boleh melihat kesan merokok ini dari dari dua aspek. Aspek pertama ialah ia jelas membazir. Apatah lagi dengan harga rokok yang mahal sekarang. Membazir adalah kerja syaitan. Setiap pembaziran jelas hukumnya iaitu haram. Aspek yang kedua pula ialah merokok jelas merosakkan anggota tubuh iaitu paru-paru. Allah menjadikan tubuh badan kita dengan begitu elok sekali dan setiap kita hendaklah menjaga tubuh badan agar sentiasa sihat. Dengan merokok ia akan merosak paru-paru dan dengan ini jelas hukumnya adalah haram.

Setiap dosa walau dosa kecil, sekiranya dilakukan berulang kali akan menjadikan pelakunya FASIK. Dosa ini mengundang pelbagai musibah dan kesulitan hidup anda didunia dan pastinya diakhirat perokok ini akan mendapat balasan setimpal dengan dosa-dosa ini.

Dari perbahasan ini jelas kepada kita bawah rokok adalah sesuatu yang haram, terutama rokok-rokok tersebut adalah rokok yang banyak memberi sokongan ekonomi kepada Israel yang sedang menyerang Islam. Akal yang rasional akan menolak rokok kerana ia bukan sahaja memberi kesan buruk terhadap akal-fikiran, tubuh-badan, diri sendiri dan keluarga, orang ramai dan masyarakat, bahkan terhadap iman dan agama! Sekian.
Read More

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML