Thursday, January 9, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 71

Soal Jawab Agama 71 

(Dosa Pembunuhan, Pemerentah Yang Zalim, Suami Terminum Susu Badan Isteri Dan Lain-lain)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Soal Jawab Agama Siri 71 adalah menjelaskan persoalan dosa pembunuhan, pemerentah yang zalim, suami terminum susu badan isteri, cara mendidik anak-anak dan sabar di atas dugaan hidup.

641. Soalan : Setiap hari terdapat berita pembunuhan di sana sini. Pembunuhan berlaku kerana rompakan, balas dendam  dan kerana hendak menegakkan kerajaan tentera yang zalim. Bolehkan ustaz jelaskan hukum membunuh manusia dan penyeksaan yang akan diterima oleh pembunuh di hari akhirat nanti?

Jawapan :  

Membunuh manusia dengan sengaja tanpa sebab yang dibenarkan syarak adalah dosa besar yang akan dimasukkan ke dalam neraka Jahanam. Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW yang melarang seseorang melakukan pembunuhan.


Firman Allah SWT maksudnya : ''Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerusakan dimuka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya." (Surah al-Maaidah ayat 32)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan azab yang besar baginya".(Surah an-Nisa' (4) ayat 93)

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar. Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas dalam membunuh. Sesungguhnya ia adalah orang yang mendapat pertolongan.(Surah al-Israa' (17) ayat 33)


Dalam hadits riwayat Bukhari dan Muslim disebutkan yang maksudnya, “Jauhilah tujuh dosa besar, para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, apa sajakah dosa-dosa besar itu?” Nabi bersabda 1. Menyekutukan Allah (Syirik), 2. melakukan sihir, 3. membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT kecuali dengan cara yang hak, 4. memakan harta riba, 5. makan harta anak yatim, 6 keluar dari medan perang kerana takut kepada musuh, 7. menuduh zina kepada wanita mukminat yang telah bersuami. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sabda Rasulullah SAW yang maksud : “ Pertama kali yang akan diadili diantara manusia pada hari kiamat adalah perkara pembunuhan ( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:"Apabila dua orang muslim berbunuh-bunuhan dengan pedang maka pihak yang membunuh dan yang terbunuh kedua-duanya masuk neraka. Abu Bakrah bertanya, Wahai Rasulullah, orang yang membunuh memanglah masuk neraka tetapi bagaimana orang yang terbunuh pun masuk neraka? Jawab baginda, kerana ia berniat dengan bersungguh-sungguh hendak membunuh lawannya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah bukan sahaja mengharamkan perbuatan membunuh orang lain tetapi juga mengharamkan juga perbuatan membunuh diri sendiri. Lebih jauh dari itu Islam juga mengharamkan perbuatan mencederakan orang lain atau mencederakan diri sendiri yang mana Allah memberikan jalan penyelesaiannya dengan Hukum Qisas. Oleh yang demikian peranan anggota keselamatan dalam memastikan keselamatan nyawa dan jiwa dalam masyarakat adalah amat penting bukannya mereka yang bertanggungjawab menjaga keamanan tetapi membunuh rakyat pula.

642. Soalan : Apakah hukumnya jika seseorang bersyubahat dengan pemerentah yang zalim dan menyokong untuk mencederakan rakyat yang tidak berdosa yang berhimpun secara aman?

Jawapan :

Pemimpin yang zalim dan pegawai keselamatan yang bertindak kasar dan keras hingga mencederakan rakyat akan bertanggungjawab di hari akhirat nanti. Mereka yang muflis di akhirat  adalah kerana mereka melakukan kezaliman, membunuh, mencederakan dan menumpahkan darah orang ramai , suka maki hamun dan mengambil hak-hak orang lain tanpa hak.

Nabi SAW memberi amaran kepada sesiapa yang mengampu atau mengiyakan kezaliman pemerintah dengan sabda baginda yang bermaksud : “Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga). (Hadis Riwayat Ahmad, al-Nasai, dan al-Tirmidhi. Hadis ini sahih seperti yang dinilai oleh al-Albani.)

643. Soalan :  Jika seorang suami sedang berjimak dengan isterinya tanpa disengajakan beliau terminum susu badan isterinya. Dari segi Islam, apakah hukumnya.? Dan apakah ia ada kena mengena dengan ikatan suami isteri tersebut. Di harapkan penjelasan dapat diberikan? 

Jawapan:

Air susu ibu, Allah SWT anugerahkan kepada kaum wanita sebagai rahmat untuk bayi atau anak yang dalam jagaannya. Secara fitah air susu ibu mengandungi rahmat yang paling besar untuk pertumbuhan dan perkembangan minda bayi. Dalam Al Quran surah Al Baqarah ayat 233 menjelaskan "bahawa para ibu menyusu anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi mereka yang ingin menyempurnakan penyusuan". Ini membuktikan bahawa hak air susu ibu itu hanya untuk bayi bukan selain daripada itu. 

Dalam rukun penyusuan ada tiga, iaitu ibu yang menyusu, susu dan bayi yang menyusu. Jika rukun ini lengkap maka jatuhlah hukum susuan terhadap bayi tersebut. Bahkan setengah ulama menambahkan lagi tentang kadar banyaknya air susu yang diminum, jika melebihi lima kali maka jatuh hukum susuan dan setengahnya pula berpendapat hingga kenyang walaupun hanya satu kali menyusu. Jika melihat pada ketetapan ini maka bagi lelaki dewasa yang meminum susu wanita samaada sedikit atau hingga kenyang tidak mengakibatkan timbulnya hukuman susuan terhadap mereka, kerana timbulnya hukum susuan ini berlaku pada bayi yang berumur 2 tahun kebawah. 

Jika dalam mengadakan hubungan jimak dan asmara antara suami isteri, kemudian suami terminum air susu isterinya, maka perkara ini tidak berdosa. Jika suami tahu bahawa isterinya sedang menyusukan anak mereka yang masih kecil perlulah berhati-hati supaya tidak terminum lagi pada masa akan datang, lainlah jika memang isteri tidak lagi mempunyai susu maka suami boleh mendatangi isterinya mengikut cara yang dia suka. Wallahu a'lam.

644. Soalan : Bagaimana menjaga anak-anak daripada terjebak di dalam gejala sosial dan melakukan perbuatan maksiat?

Jawapan.

Sheikh Abdul Karim Zaiddain ada memberi beberapa panduan untuk mengawal anak-anak daripada terjebak di dalam gejala sosial dan melakukan maksiat. 

Antaranya adalah :    

1. Ambil tahu dengan siapa anak berkawan    

2. Pastikan anak sentiasa membaca Al-Quran    

3. Pastikan anak minat kepada masjid

Orang yang sentiasa menjaga solat, dan hatinya dekat dengan masjid akan dijaga Allah daripada terjebak dengan gejala sosial dan maksiat. Pihak masjid dan ahli jawatankuasa masjid perlu mesra jemaah. Jangan halau anak kecil yang mumayyiz dan tahu solat dengan betul ke belakang saf kerana ulama telah mengatakan bahawa saf tidak terputus dengan kehadiran mereka. Jika anak dihalau, emak dan ayah pun tidak akan datang mengimarahkan masjid.


645. Soalan : Saya telah bercerai dengan suami pertama kerana tidak ada persefahaman di antara kami dan saya telah berkahwin baru selepas iddah dengan orang lain. Baru berkahwin setahun suami meninggal dunia kerana sakit jantung. Hati saya cukup sedih memikirkan kehidupan saya ini . Bolehkan ustaz memberi sedikit nasihat apakah cara boleh mendidik hati saya supaya redha dengan qadak dan qadar Allah SWT?


Jawapan :

Puan perlu banyak bersabar dan redha dengan takdir yang telah menimpa kehidupan puan.
Sifat orang mukmin tidak berputus asa dengan rahmat Allah. Semuanya ada hikmah yang baik untuk puan kerana Allah SWT tidak akan mensia-siakan hidup puan.

Allah SWT berfirman maksudnya :  "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan : 'Kami telah beriman.' sedangkan mereka belum diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta'."(Surah Al-Ankabut ayat 2-3) 
Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman maksudnya : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah ayat 216). Semua kebaikan itu ada di dalam ilmu Allah SWT.

Jika puan sentiasa berdoa, bertawakal, bersabar dan tenang hadapi dugaan hidup insyaa Allah puan akan dikurniakan rezeki, kejayan dalam hidup ini dan akan datang seseorang yang  dapat membimbing puan kejalan yang diredai Allah SWT untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
Read More

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 72

Soal Jawab Agama Siri 72 

( Fadilat Memakmurkan Masjid, Hukum Jatuhkan Kerajaan Yang Sah Dan Lain-lain)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 72 adalah menjelaskan persoalan kebaika  memakmurkan masjid , hukum menjatuhkan kerajaan Islam yang sah, peratus keuntungan dalam perniagaan, sifat-sifat mahmudah dan ciri-ciri ulama pewaris nabi.


646. Soalan : Apakah fadhilat dan kebaikan memakmurkan masjid-masjid Allah SWT?

Jawapan : 

Apabila kita memakmurkan masjid-masjid Allah SWT itu adalah tanda orang yang beriman dan sentiasa mengerjakan amal soleh dan akan mendapat petunjuk daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT. dalan surah At-Taubah ayat 18 yang bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta tetap mengerjakan solat, menunaikan zakat dan tidak takut selain dari Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan mendapat petunjuk."

Menurut satu hadis dari Nabi SAW. bahawa salah satu golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah SWT. di hari kiamat nanti adalah insan yang hati dan jiwanya terpaut dengan masjid.

Dari Abu Hurairah r.a. yang berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda : " Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu yang dengannya Allah akan menghapuskan kesalahan dan meninggikan darjat?" Mereka menjawab, " Ya, wahai Rasulullah!" Baginda bersabda, " Menyempurnakan wuduk di saat-saat sulit, banyaknya langkah ke masjid dan menunggu solat (berikutnya) setelah (melakukan solat). Maka itu merupakan pengikat.. itu merupakan pengikat." (Hadis Riwayat Muslim)

647. Soalan : Apakah hukum menjatuhkan kerajaan yang sah yang dipilih oleh rakyat? 

Bolehkan ustaz terangkan kenapa pihak tentera Mesir sanggup menggulingkan pemimpin yang telah dipilih oleh rakyat dan sanggup membunuh rakyatnya sendiri  yang berdemontrasi secara aman. ? Sedangkan mereka menuntut hak-hak mereka yang telah dirampas oleh tentera?

Jawapan :

Dalam Islam Rasulullah SAW melarang menjatuhkan kerajaan yang telah dipilih  oleh rakyat.  Haram hukumnya apabila kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat secara adil dan kerajaan yang berusaha menegakkan peraturan Islam lalu dijatuhkan secara paksa (rampasan kuasa).

Jika kita analisa secara mendalam apa yang berlaku di Mesir adalah pertembungan di antara yang hak dan yang batil bukannya kerana masaalah kemiskinan atau jatuhnya ekonomi Mesir . Dr Mursi telah dipilih oleh rakyat secara pilihanraya bebas dan setelah berjaya beliau berazam dan berusaha membangunkan Negara Mesir sebagai negara yang maju dan beliau ingin menjadikan Mesir sebagai negara Islam yang berdaulat . Tentera Mesir menggulingkan kerajaan yang sah adalah disebabkan mengikut arahan Amerika dan Israel dan disokong oleh Arab Saudi dengan bantuan berbillion dollars USA kepada tentera Mesir.

Kenapa tentera sanggup membunuh rakyat yang tidak berdosa yang hanya berdemontrasi secara aman? Di sini pasti ada agenda besar yang dirancang oleh pihak Amerika, Yahudi , Iran dan Arab Saudi. Golongan ini amat takut jika Mesir menjadi kuasa tentera yang kuat di kalangan negara-negara Arab kemudian bergabung dengan Turki dan Tunisia maka negara haram Yahudi pasti dapat dikalahkan dan kerajaan monakiArab  amat takut kuasa mereka dirampas semula oleh rakyat.

Itu sebab kenapa Arab Saudi dan negara-negara Arab lain sanggup menyalurkan bantuan berbillion dollars kepada pihak Kudeta apabila Dr Mursi digulingkan. Kenapa negara-negara Arab berdiam diri apabila pihak tentera melakukan jenayah kemanusiaan kepada rakyatnya sendiri. Dr Mursi juga diawal pemerentahannya telah membuka pintu Rafah di Palestin dan membenarkan kemasukan ribuan pelarian Syria ke Mesir. Tanggungjawab ini adalah tanggungjawab agama sebagai seorang muslim yang prihatin di atas penderitaan umat Islam di negara lain.

Masaalah Mesir, Syria dan Palestin bukanlah masaalah negara lain tetapi masaalah ini sebenarnya adalah masaalah umat Islam yang perlu dirasai oleh semua umat Islam , kerana semua umat Islam adalah bersaudara. Tanda iman kita masih ada adalah merasai prihatin dan memberi sokongan wang ringgit dan doa kepada negara Islam yang dilanda musibah dan bencana. Merasa dukacita apabila umat Islam dibunuh , dibakar dan di cederakan oleh pemimpin Syiah, Yahudi dan sekular (boneka Amerika) . Terutama apabila rumah ibadah umat islam dibakar dan dirobohkan dan membunuh rakyat yang tidak berdosa dengan bom kimia (yang diharamkan oleh PBB) ribuan kanak-kanak , wanita, orang tua dan orang dewasa mati bergelimpangan. Berdoalah wahai saudara-saudaraku kepada umat Islam yang dizalimi sesungguhnya doa-doa kalian amat penting kepada mereka yang dizalimi semoga sampai balasan Allah SWT kepada mereka yang telah membuat kerosakan dimuka bumi.

648. Soalan : Dalam Islam, berapakah keuntungan yang kita boleh ambil dari sesuatu perniagaan?

Jawapan :

Dr. Muhammad Bakr Ismail (salah seorang ulamak dari al-Azhar, Mesir) menjelaskan dalam buku himpunan fatwanya (Baina as-Sa-il Wa al-Faqih, Syeikh Dr. Bakar Ismail, hlm. 108): “Tidak ada di dalam Islam batasan tertentubagi keuntungan (yang harus diambil dalam perniagaan atau jual-beli) mengikut pandangan yang paling soheh dari para ulamak Islam. Peniaga hendaklah menetapkan harga mengikut kadar yang diredhai olehnya dan juga diredhai oleh pembeli. 

Akad jual-beli terbina di atas saling redha-meredhai antara penjual dan pembeli sebagaimana firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara saling redha-meredhai di antara sesama kamu” (Surah an-Nisa’ ayat 29).

Dari fatwa di atas kita dapat simpulkan dua perkara berkenaan penetapan harga barang/produk:

a) Tidak ada batasan tertentu dari Syarak bagi keuntungan yang harus diambil dari produk yang dijual. Jadi, penentuan harga produk/barangan terserah sepenuhnya kepada penjual/pengeluar.

b) Namun begitu, para penjual/pengeluar hendaklah mengambil kira keredhaan pengguna terhadap harga yang ditetapkan. Tidak harus ia melakukan penipuan harga atau ghabn fahisyh (yakni beza harga yang keterlaluan dari harga sebenar di pasaran) yang menyebabkan pembeli hilang perasaan redhanya terhadap jual-beli apabila mereka mengetahui nilai sebenar di pasaran. Contohnya; menjual barang yang murah dengan harga yang terlalu tinggi dengan mengeksploit kejahilan pembeli terhadap nilai sebenar barang/produk di pasaran, seperti menjual barang yang bernilai RM20 dengan harga RM100 tanpa diketahui oleh pembeli nilai sebenarnya.

649.Soalan : Apakah jenis sifat-sifat mahmudah yang perlu ada pada  setiap mukmin untuk mendapat rahmat dan keredhaan daripada Allah SWT?


Jawapan :


Terdapat 10 sifat-sifat mahmudah yang perlu ada pada setiap mukmin iaitu:-

1. Taubat - keazaman untuk meninggalkan segala kesalahan dan dosa-dosa yg telah dilakukan.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

2. Takut kepada Allah (takwa)- Seseorang Mukmin itu apabila dia mengenali Zat Allah melalui sifat-sifat-Nya, maka jiwanya akan mewarisi perasaan takut terhadap Allah SWT.

Firman Allah maksudnya :  “ Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah S.W.T. ).”( Surah Ali Imran ayat 102 )

3. Mahabbah (kasih sayang) sesama mukmin.

Dari Muaz bin Jabal meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah SAW meriwayatkan hadis qudsi : Allah Azzawa Jalla berfirman yang bermaksud : " Orang-orang yang mencintai satu sama lain kerana kebesaran dan kemuliaan-Ku akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada hari kiamat, (bahkan) nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada mereka."(Hadis Riwayat Tirmizi)

4. Zuhud - mengambil dunia sekadar yang perlu. Di dalam hati tidak ada kecintaan pada kehidupan di dunia. Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia.  Firman Allah SAW bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa: 16-17)

5. Bersabar dengan ujian dan dugaan daripada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab" (Surah az-Zumar ayat 10).

 6. Syukur . Melahirkan rasa berterima kasih kepada nikmat Allah S.W.T. yang banyak diperolehi.

Rasulullah S.W.T. bersabda yang bermaksud :"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."(Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

7. Ikhlas dan benar. Melaksanakan sesuatu amalan semata-mata kerana Allah S.W.T.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya nilai perbuatan itu bergantung dengan niatnya,dan sesungguhnya bagi setiap orang, buah atau ganjaran sesuai bagaimana niatnya.barang siapa hijrahnya kerana menuruti perintah Allah dan RasulNya nescaya hijrahnya diterima oleh Allah dan RasulNya (dan diberi pahala) dan barang siapa hijrahnya kerana keuntungan dunia yang dikejarnya atau kerana perempuan yang akan dikahwininya,maka hijrahnya sampai kepada yang diniatnya itu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

8. Tawakkal - sentiasa berserah diri kepada Allah S.W.T. setelah berazam, seterusnya diikuti dengan usaha.

Allah S.W.T.  berfirman yang bermaksud : "Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)." (Surah al-Thalaq ayat 3).

9. Redha dengan Qadak dan Qadar.

Firman Allah lagi maksudnya : "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".(Surah  Al-Hadid ayat 22)

Allah berfirman maksudnya : "Tidak luput darpada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar daripada itu melainkan (semuanya tercatat) dalam kitab yang nyata (loh mahfuz). " (Surah Yunus ayat 61)

10. Mengingati mati - Merasai hidup di dunia ini adalah sementara dan di hari akhiratlah kehidupan yang kekal abadi.

 Ibnu Umar berkata: “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?

“Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik,” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)

Sifat-sifat mazmumah pula adalah berlawanan dengan sifat-sifat mahmudah maka perlulah ditinggalkan untuk menjadi mukmin yang diredai oleh Allah S.W.T.

650. Soalan : Perkembangan terkini di Mesir terdapat ulama yang bersyubahat dengan golongan sekular yang merampas kuasa daripada pemimpin Islam yang jujur dan bertakwa. Bolehkah ustaz terangkan ciri-ciri ulama pewaris nabi supaya kita dapat kenal ulama yang ikhlas berjuang semata-mata kerana Allah SWT.

Jawapan : 


Ciri-ciri ulama yangt sebenarnya adalah seperti berikut: 
1. Ulama dikenali dengan ilmunya dan keteguhan pendiriannya. Mereka terpelihara daripada terjebak ke dalam perkara-perkara yang syubahat. Ulama dikenali dengan jihad, dakwah, pengorbanan dari segi waktu, harta benda, nyawa dan kesungguhan mereka di jalan Allah. 
2. Ulama dikenali dengan ibadah dan khusyuk mereka kepada Allah. Ulama dikenali dengan jauhnya mereka dari keburukan dunia dan pujuk rayunya. Ulama dikenali dengan pengakuan oleh umat Islam dan jumhurnya dari kalangan ahli hak. 
3. Ulama  adalah orang yang tidak menginginkan kedudukan, dan membenci segala bentuk pujian serta tidak menyombongkan diri atas seorang pun.  Dia yang tidak hasad kepada seorang pun yang berada di atasnya dan tidak menghinakan orang yang ada di bawahnya dan tidak mengharapkan balasan  dalam menyampaikan ilmu Allah. 
4. Ulama yang tawaduk  juga  tidak mengaku mempunyai ilmu yang tinggi, tidak berbangga dengan ilmunya atas seorang pun, dan tidak mudah menghukumi orang yang jahil yang melanggar larangan Allah SWT, sebaliknya dengan lemah lembut menasihati mereka dengan cara yang penuh hikmah. 
5. Ulama akan mengamalkan ilmu yang dimilikinya. Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya orang alim itu adalah orang yang beramal dengan apa yang dia ketahui" (Hadis dalam Sunan ad-Darimi) 
Sayyidina Ali berkata : "Wahai orang yang mempunyai ilmu! beramallah kamu dengannya kerana sesungguhnya orang yang alim itu adalah orang yang beramal dengan ilmu yang dia ketahui serta selaras antara ilmunya dengan amalannya." 
6. Ulama ini meneruskan tugas nabi iaitu mengajar, mendidik, membersihkan hati umat daripada syirik dan maksiat serta berdakwah dan memerintah mengikut perundangan Allah sebagaimana kita fahami daripada ayat 2 surah al-Jumaah . 
Firman Allah SWT maksudnya : "Dialah (Allah) yang telah mengutuskan kepada kalangan orang-orang arab yang buta huruf seorang rasul dari bangsa mereka sendiri yang membacakan ayat-ayat Allah yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya. Dan membersihkan mereka daripada aqidah yang sesat serta mengajarkan mereka kitab Allah dan hikmat pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat. Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan nabi Muhammad s.a.w adalah dalam kesesatan yang nyata" (Surah al-Jumaah ayat 2) 
Hadis diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim dalam sahih daripada Abdullah bin Umar telah berkata : "Aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : 'Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan menariknya secara mengejut sebaliknya Allah akan menarik ilmu itu dengan mematikan para ulama  sehingga tiba suatu masa yang tiada lagi ada ulama  maka manusia akan memilih ketua-ketua mereka dari kalangan orang jahil lalu apabila mereka ditanya maka dikeluarkan fatwa yang sesat maka sesatlah mereka serta menyesatkan pula orang lain."

Jika terdapat enam ciri-ciri di atas maka layaklah ulama tersebut dipanggil sebagai ulama pewaris Nabi.
Read More

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 73

Soal Jawab Agama Siri 73 

(Hati Yang Mati, Doa Waktu Pagi dan Petang, Syaitan Musuh Utama, Hukum Faraid dan Aurat Wanita).

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 73 adalah menjelaskan persoalan hati yang mati, doa waktu pagi dan petang, syaitan musuh utama, hukum faraid dan aurat wanita.

651. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan apakah faktor-faktor hati menjadi mati dan cara-cara menghidupkan balik hati yang telah mati?

Jawapan :

Hati seseorang itu akan menjadi mati apabila terlalu kasih kepada dunia, takut mati, suka melakukan maksiat dan bakhil untuk bersedekah. 

Hati yang sentiasa berpaut kepada kehidupandan kesenangan  dunia akan menyebabkan seseorang itu takutkan mati. Hakikat sebenar kehidupan dunia ini telah digambarkan oleh Allah SWT. di dalam al-Quran : 

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?" (Surah Al-An'Am ayat 32)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui." (Surah Al-Ankabut ayat 64)

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Dan jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta harta-hartamu." (Surah Muhammad ayat 36)
  
Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : 
"Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". 

Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?"
Nabi SAW. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah SWT. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah SWT. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan".

Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" 

Nabi Muhammad SAW. menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati". 

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Cara-cara untuk menghidupkan hati yang mati adalah :

1. Membaca al-Quran, dan meneliti terjemahannya.

Firman Allah SWT. yang bermaksud, “Dan kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang zalim selain kerugian.”
(Surah al-Isra’ ayat 82)

2. Berzikir. kepada Allah SWT.


Seorang pemuda bertanya kepada Rasulullah SAW :  “Ya Rasulullah, sesungguhnya pintu-pintu kebaikan itu banyak, tapi aku tak mampu melakukan seluruhnya. Beritahukanlah kepadaku nasihat apa yang dapat aku pegang teguh, nasihat yang singkat sehingga aku tidak mudah melupakannya.”

Rasulullah SAW menjawab, “Basahlah lidahmu selalu dengan zikrullah.”
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Dari Abu Musa r.a. Rasulullah SAW besabda yang bermaksud : “Perumpamaan orang yang berzikir dengan yang tidak berzikir, seperti orang yang hidup dan orang yang mati.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
3. Beristighfar kepada Allah SWT.
  
Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Dan tidaklah Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun (istighfar)”
(Surah Al-Anfal ayat 33)

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud : “Sesungguhnya syaitan itu berkata kepada Allah : ‘Demi Izzah-Mu ya Allah, aku tidak akan berhenti menggoda hamba-hamba-Mu selama nyawa-nyawa mereka masih ada dalam jasad-jasad mereka. Maka Allah SWT. menjawab. ‘Demi Izzah-Ku dan keagongan-Ku, Aku akan mengampuni mereka selama mereka beristighfar memohon ampun kepada-Ku.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Al-Hakim)
4. Sentiasa menuntut ilmu dan menghadirkan diri di majlis ilmu.
  
Allah memberikan keutamaan dan kemuliaan bagi orang-orang yang berilmu dalam firman-Nya dalam Al-Quran surat Al-Mujadalah ayat 11 : “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman diantaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat”. 
Orang-orang yang berilmu akan pula dimudahkan jalannya ke syurga oleh Allah SWT dan senantiasa didoakan oleh para malaikat.
5. Banyak bersedekah.
Sifat suka bersedekah kepada fakir miskin akan menimbulkan rasa keinsafan dan kesedaran dalam diri seseorang. Terkikis sifat bakhil dan mementingkan diri sendiri.  

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidaklah hamba-hamba Allah bangun di pagi hari, kecuali disertai dengan turunnya dua malaikat. Salah satu dari keduanya lalu berkata : ‘Ya Allah berilah orang yang berinfaq ganti (dari barang yang diinfaqkan)’. Dan salah satu lagi berkata ; ‘Ya Allah berilah orang yang menahan (bakhil) akan kerugian.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) 
Dalam hadis yang lain sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : “Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”  (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
652. Soalan :  Apakah doa yang perlu diamalkan setiap hari di waktu pagi dan petang untuk menolak bala dan musibah?

Jawapan :
 Dari Aban bin Osman, bahwa Nabi SAW. bersabda: “Sesiapa membaca ‘BISMILLAAHIL LAZII LAA YADURRU MA’AS MIHI SYAI’UN FIL ARDI WALA FIS SAMAA’ WAHUWAS SAMII’UL ‘ALIIM’

Maksudnya : "Dengan nama Allah, dengan nama-Nya tidak akan berbahaya sesuatu yang ada di bumi dan di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui", sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa musibah hingga malam hari, dan sesiapa membacanya di waktu malam maka tidak akan ditimpa musibah hingga pagi hari, dengan izin Allah.” (Hadis Riwayat Ahmad no 497)

Satu ketika Aban bin Osman telah ditimpa musibah mendadak di mana dia telah ditimpa penyakit lumpuh. Sahabat hairan mengapa Aban boleh mengalami musibah, padahal dia yang telah meriwayatkan hadis doa menolak musibah. Maka Aban bin Usman dengan jujur mengakui bahwa pada hari itu dia telah terlupa membaca doa tersebut. 
Dalam hadis yang lain Nabi SAW ada mengajarkan satu doa untuk kita amalkan supaya doa tersebut menjauhkan kita daripada kesusahan bala. maksudnya :"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan bala, hinanya kesengsaraan, keburukan qada dan kegembiraan musuh (terhadap masaalahku)" (Hadis Riwayat al-Bukhari).
Dari Abu Darda' r.a dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda maksudnya ; "Barangsiapa diwaktu pagi dan petang membaca ; 'Hasbiallahu lailahaillahu alaihitawakkaltu wahuwarabbul 'arsilazim' (Cukuplah Allah bagiku; tidak ada tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal. dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arsy yang agung ' (Surah at-Taubah ayat 129), tujuh kali, maka Allah akan mencukupi apa yang diinginkan dari perkara dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Ibnu Sunni dan Ibnu Asakil secara marfu') 
Amalkanlah doa-doa tersebut di atas setiap hari waktu pagi dan petang  sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi SAW dan yakinlah bahawa kita sentiasa dibawah perlindungan Allah SWT daripada musibah, bala, su'ul khatimah dan gangguan sihir.
653. Soalan : Syaitan adalah musuh utama orang mukmin. Bolehkan ustaz huraikan apakah amalan-amalan yang di sukai oleh syaitan supaya kita dapat menjauhinya?
Jawapan.
Jika dikaji berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW terdapat 14 perkara yang disukai oleh syiatan. Oleh itu perlulah kita jauhkan diri daripada perkaraperkara yang di sukai oleh syaitan.

1. Syaitan makan dan minum dengan tangan kiri : 

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Apabila seseorang daripada kalian makan, maka makanlah dengan tangan kanannya dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana sesungguhnya, syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya. "(Hadis Riwayat Muslim)

2. Syaitan minum dan makan dalam keadaan berdiri : 

Rasulullah SAW melihat seseorang yang minum sambil berdiri.
Baginda menegur,  " Jangan begitu! " 
Orang itu bertanya, " Mengapa? " 
Rasulullah menjawab, " Adakah kamu suka minum bersama kucing? " 
Orang itu menjawab, " Tidak. " 
Rasulullah SAW meneruskan: "Sesungguhnya telah ikut serta minum bersama kamu sesuatu yang lebih buruk daripadanya, iaitu syaitan. "(Hadis Riwayat al-Darimiy dengan sanad yang sahih)

3. Syaitan ketawa apabila menguap sehingga mengeluarkan bunyi : 

Sekiranya kalian menguap, ingatlah itu adalah daripada syaitan. 
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Menguap adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang daripada kalian menguap, tahanlah sedaya mungkin kerana sesungguhnya apabila seseorang kalian menguap sambil berbunyi 'Haaa', maka ketawalah syaitan. "
( Hadis Riwayat Bukhari)
  
Jika tidak dapat menahan diri daripada menguap, maka tutuplah mulut dengan tangan dan berusaha tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud : "Jika seseorang kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka). "
( Hadis Riwayat Muslim)
  
4. Syaitan kencing di telinga : 
Apabila seseorang itu tidur sehingga pagi hari maka syaitan kencing di kedua belah telinganya seperti di dalam hadis riwayat Imam Al-Bukhari yang bermaksud : " Itu ialah orang yang syaitan telah kencing di dalam kedua-dua telinganya atau salah satu telinganya" 

5. Syaitan dapat makan, minum dan tempat bermalam : 

Imam Muslim meriwayatkan hadis yang bermaksud: "Apabila seseorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah dengan membaca 'Bismillah' ketika memasukinya dan ketika ingin makan, berkatalah syaitan kepada golongannya ; " Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga memiliki makanan malam. "
  
Sebaliknya apabila seseorang itu memasuki rumah dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya, berkatalah syaitan kepada golongannya ; " Kalian telah mendapat tempat bermalam. " 
Apabila seseorang tidak mengingati Allah ketika makan, maka berkatalah syaitan kepada golongannya ; "Kalian telah mendapat tempat bermalam dan makan malam. "

6. Syaitan makan sisa-sisa makanan : 

Apabila Rasulullah SAW makan, baginda menjilat jari-jarinya sebanyak tiga kali. 
Anas berkata, bahawa Rasulullah bersabda (maksudnya) : "Jika sesuatu makanan seseorang kalian jatuh, hendaklah dia mengambilnya dan membersihkan sebarang kotoran yang melekat padanya lalu memakannya. Janganlah meninggalkannya untuk syaitan. " 
Anas melanjutkan ; " Rasulullah juga menyuruh kami untuk menghabiskan sebarang sisa makanan. " 
Baginda berpesan ; " Ini kerana kalian tidak tahu di bahagian manakah pada makanan kalian terdapat keberkatan. " (Hadis Riwayat Muslim)

7. Orang yang membazir ialah saudara syaitan: 

Siapakah yang telah mempersaudarakan seorang yang membazir dengan syaitan?. Allah SWT sendiri yang mempersaudarakan antara keduanya. Firman Allah SWT ; 
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ 
Maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang  yang membazir itu ialah saudara-saudara syaitan." (Surah Al-Isra' ayat 27)
  
8. Syaitan mengganggu ibadat manusia : 

Sahabat bernama ‘Uthman bin Abi al-‘Ash  mengadu kepada Rasulullah SAW ; 
" Wahai Rasulullah! Sesungguhnya syaitan menghalang antaraku dan solat serta bacaan Al-Quran ku, dan ia selalu mengelirukan aku. "
Maka Rasulullah menjawab ; " Itulah syaitan yang disebut sebagai 'Khanzab', maka apabila merasai gangguannya, mohonlah perlindungan Allah dan ludahlah ke kiri sebanyak tiga kali. ‘Uthman bin al-‘Ash kemudian berkata; " Aku melakukan itu dan Allah menjauhkan gangguan syaitan itu dariku. " (Hadis Riwayat Muslim)

9. Sikap terburu-buru adalah daripada syaitan : 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ketenangan adalah daripada Allah manakala tergesa-gesa adalah daripada syaitan. " (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

10. Sikap cemburu adalah daripada syaitan : 

Cemburu di sini ialah cemburu membabi-buta tanpa bukti dan usul periksa. Seperti hadis Aishah r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: " Apa yang terjadi kepada kamu, wahai Aishah? Adakah kamu cemburu? " 
" Takkanlah aku tidak cemburu kepada orang seperti tuan? " 
Kemudian Rasulullah SAW melanjutkan : "Apakah telah datang kepadamu syaitan kamu?" 
" Wahai Rasulullah! Apakah bersama aku ada syaitan? " 
" Ya. " 
" Dan apakah syaitan itu ada di setiap manusia? " 
" Ya. " 
" Apakah syaitan juga bersama kamu wahai Rasulullah? " 
" Ya, akan tetapi Tuhanku telah menolongku daripadanya. "
  
11. Perasaan marah adalah daripada syaitan : 

Apabila seseorang itu di dalam keadaan marah, syaitan menguasai dirinya sehingga sanggup melakukan perkara di luar batas kemanusiaan. Perkara ini boleh diatasi dengan membaca 'istiqhfar' . 
Sulaiman Bin Surd berkata: "Ketika aku sedang duduk bersama Nabi SAW, terdapat dua orang sedang bertengkar sehingga salah seorang daripada mereka menjadi merah wajahnya dan urat-urat lehernya timbul. Maka Nabi SAW bersabda: " Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang jika diucapkan nescaya kemarahannya akan hilang. Iaitu sebutlah 'A'uzubillahi minash syaitan' nescaya kemarahannya akan hilang. "
( Hadis Riwayat Bukhari)
  
12. Syaitan gemar berkeliaran pada waktu senja : 

Kita sering dilarang oleh ibu bapa kita supaya tidak berada di luar rumah pada waktu senja. 
Pesanan ini berasal daripada Rasulullah SAW yang bermaksud: " Apabila malam menjelang tiba, maka tahanlah anak-anak kalian (daripada keluar) kerana sesungguhnya pada waktu itu syaitan-syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu waktu Isya', maka lepaskanlah mereka". (Hadis Riwayat Bukhari)

13. Pasar adalah tempat kegemaran syaitan : 

Tempat-tempat seperti ini merupakan tempat syaitan melepak. 
Rasulullah SAW bersabda: " Selagi mampu, janganlah menjadi orang yang pertama memasuki pasar dan janganlah menjadi orang terakhir yang keluar dari pasar kerana sesungguhnya pasar ialah medan tempur syaitan dan di situlah benderanya dipacakkan. "
( Hadis Riwayat Muslim)
  
Pada masa kini pusat membeli belah, pasaraya dan bursa saham juga termasuk di dalam hadis di atas.

14. Syaitan boleh membesar seperti rumah : 

Imam Ahmad Bin Hanbal dalam musnadnya meriwayatkan dari seseorang yang dibonceng oleh Nabi SAW. Dia berkata , " Tunggangan Nabi SAW tergelincir, maka aku katakan celaka syaitan. "

Nabi SAW bersabda : " Janganlah kalian menyebut 'Celakalah syaitan!' kerana apabila engkau mengatakannya, syaitan akan membesar sehingga sebesar rumah dan berkata, 'Demi kekuatanku!' . Sebaliknya sebutlah 'Bismillah!' kerana apabila engkau mengatakannya syaitan akan mengecil sehingga sekecil lalat. "
654. Soalan :  Sepupu saya perempuan telah meninggal dunia beliau ada meninggalkan sebiji loket belian nilainya adalah ribuan ringgit. Jika dijual, perlukah dibahagi mengikut hukum faraid.? Yang ada suami dan 2 orang anak lelaki. Menurut suami, sebenarnya ada lagi barang kemas arwah isterinya tetapi diambil oleh adik beradik dan  ibunya sendiri . Mustahil untuk mengambilnya semula. Perlukah dia beritahu kepada ipar-ipar secara lisan untuk menghalalkan ataupun cukup sekadar niatnya sahaja.?

Jawapan.

Pertama : Semua bentuk harta peninggalan si mati sama ada berupa wang, harta boleh alih (kereta, motor dan sebagainya) atau tidak boleh alih (tanah, rumah dan sebagainya) dan barang-barang berharga dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya mesti diagihkan kepada ahli-ahli warisnya yang berhak mengikut hukum faraid yang ditetapkan Allah dan Rasul. 
Harus dibahagikan secara persepakatan dengan syarat mendapat persetujuan semua ahli waris yang berhak tanpa terkecuali seorang pun. Dikecualikan jika ada ahli waris yang belum baligh, maka haknya mesti diberikan penuh mengikut yang diperuntukkan dalam hukum faraid, kerana persetujuannya tidak dipakai.

Kedua : Membolot harta si mati sedangkan ada ahli-ahli waris lain yang turut berhak atas atas harta itu, perbuatan tersebut merupakan dosa besar kerana memakan harta orang lain secara batil. 
Firman Allah SWT yang bermaksud; "Dan janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil" (Surah al-Baqarah, ayat 188). 
Memakan harta orang secara batil bermaksud melalui jalan yang haram termasuklah mencuri, merampas hak orang lain dan sebagainya (Lihat; Tafsir al-Jalalain; Surah al-Baqarah, ayat 188). Sabda Nabi SAW yang bermaksud ; "Tidak halal bagi seseorang mengambil sesuatu dari harta saudaranya yang lain kecuali dengan keredhaan darinya" (Hadis Riwayat Ahmad dari Amrin bin Yasribi r.a.. Juga diriwayatkan dari Khifah ar-Raqasyi r.a.. Lihat; Ziyadah al-Jami' as-Saghier, no. 3891. Menurut Syeikh al-Albani, hadis ini soheh).

Ketiga : Sekalipun orang yang dirampas haknya menghalalkan haknya yang dirampas, itu tidak mencukupi untuk menggugurkan dosa dari orang yang merampas. Ini kerana syarat taubat bagi orang yang melakukan dosa yang berkait dengan hak manusia lain ada empat;
1. Ia meninggalakan perbuatan dosa itu
2.  Ia menyesali ketelanjuran melakukannya.
3.  Ia bertekad/berazam tidak akan mengulanginya lagi
4.  Ia memulangkan hak orang lain yang dirampasnya atau memohon halal dari mereka.

Dengan penghalalan dari orang yang dirampas haknya, ia hanya menggugurkan tuntutan harta dari orang yang merampas iaitu menyelesaikan syarat ke 4 di atas. Adapun tiga syarat sebelumnya tidak terlaksana dengan semata-mata penghalalan tersebut. Ia mesti datang hari kesedaran hati orang yang terlibat dengan dosa tersebut.

Oleh demikian, hendaklah ada orang yang memperingatkan ibu dan sudara-saudara si mati tentang perbuatan mereka yang salah di sisi agama itu (merampas harta orang lain). Tindakan suami si mati menghalalkan haknya yang dirampas, ia mendapat pahala dengan tindakan itu. Namun ia tidak menggugurkan dosa dari ibu mertua dan adik-beradik iparnya jika mereka tidak bertaubat. Lagi pula harta itu membabitkan juga anak-anak si mati, tidak cukup dengan penghalalan dari suami sahaja. Lebih-lebih lagi jika ada anak yang belum baligh di mana persetujuan mereka tidak dipakai, bermakna; hak mereka mesti diberi secara penuh tanpa digugurkan sebarang hak pun. Wallahu a'lam.
655. Soalan : Ustaz apa hukum seorang perempuan berchating secara webcam tidak menutup kepala dan tidak menampakkan auratnya yang lain kecuali rambut sahaja. Saya ada mendengar hukum menunjukkan gambar tidak menutup kepala kepada orang lelaki tidak dikira berdosa kecuali mendatangkan syahwat. Saya ingin mendapatkan kepastian kerana hukum agama ini bukan boleh beri pendapat suka-suka sahaja tanpa dalil.

Jawapan;

Terdapat larangan yang jelas dari al-Quran dan as-Sunah ke atas wanita beriman agar menutup aurat iaitu seluruh badan kecuali muka dan dua tangan sahaja yang harus didedahkan. Lihat surah an-Nur, ayat 31. Antara yang disuruh Allah agar ditutup ialah bahagian kepala. Firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan hendaklah mereka (yakni wanita-wanita mukmin) melabuhkan tudung-tudung kepala mereka hingga menutupi belahan leher baju mereka" (Surah an-Nur, ayat 31). Menurut ulama tafsir; ayat ini bermaksud supaya wanita-wanita beriman menutup kepala mereka, leher serta dada mereka dengan kain-kain tudung (Lihat; Tafsir al-Jalalain).

Diriwayatkan dari Aisyah radhiyallahu 'anhu yang menceritakan; Asmak binti Abu Bakar suatu hari telah masuk bertemu Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dengan memakai pakaian yang nipis, lantas baginda berpaling dari melihatnya sambil bersabda; "Wahai Asmak, sesungguhnya seorang wanita apabila telah kedatangan haid (yakni sampai umur), tidak harus dilihat badannya melainkan ini dan ini sahaja" sambil baginda menunjuk ke muka dan dua tangannya" (Hadis Riwayat Abu Daud dari Aisyah).

Maksud dari arahan menutup aurat ialah tidak mendedahkannya untuk tontonan orang lain yang tidak diizinkan Allah melihatnya, iaitulah lelaki-lelaki yang bukan mahram. Apabila seorang wanita mengambil gambar dirinya ketika ia tidak menutup aurat, kemudian ia menunjukkan gambar itu kepada lelaki yang bukan mahramnya, apakah itu tidak dinamakan mendedahkan auratnya kepada orang yang tidak diizin Allah.? Jawapannya tidak lain adalah "Ya". Jadi tidak syak lagi bahawa perbuatan tersebut adalah dilarang. 
Kewajipan wanita Islam menutup aurat bukan atas alasan timbul syahwat orang atau tidak (jika ia mendedah aurat), tetapi kerana menyahut arahan Allah dalam al-Quran dan hadis tadi. Menjaga dari timbulnya syahwat hanyalah hikmah dari arahan menutup aurat, bukan illah (sebab) kepada menutup aurat kerana illahnya ialah arahan Allah. Contoh lain; sekalipun tiada kebimbangan berlaku zina, haram seorang wanita berduaan dengan lelaki yang bukan mahramnya kerana berduaan itu dilarang oleh Nabi SAW. Tidak harus seorang wanita berkata; "Tidak mengapa saya berduaan dengannya kerana saya yakin dapat menjaga diri dari zina".

Selain arahan supaya menutup aurat, terdapat juga arahan supaya menjaga pandangan mata. Firman Allah SWT yang bermaksud, "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki-lelaki mukmin; hendaklah mereka menahan pandangan-pandangan mata mereka" (Surah an-Nur, ayat 30). 
"Dan katakanlah kepada wanita-wanita beriman; hendaklah mereka menjaga pandangan mata mereka" (Surah an-Nur, ayat 31).  
Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Apabila seorang lelaki muslim menahan pandangannya tatkala terlihat wanita cantik, Allah akan gantikan untuknya (bagi mujahadahnya menahan pandangan itu) dengan kemanisan beribadah" (Hadis Riwayat Ahmad dari Abi Umamah). 
Persoalan; apabila seorang lelaki melihat gambar wanita yang tidak menutup aurat (seperti mendedahkan rambutnya), apakah ia dianggap menjaga pandangannya? Jawapannya sudah tentu "Tidak". Oleh demikian, anggapan bahawa gambar dikecualikan dari ayat yang menyuruh menutup aurat dan ayat yang menyuruh menjaga pandangan, anggapan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Ia bukan sahaja bertentangan dengan kehendak ayat, malah membuka jalan kepada perbuatan dosa yang lebih besar lagi iaitu melihat gambar lucah dan menonton video lucah dengan alasan ia bukan sebenar tetapi hanya foto atau rakaman. Dalam kaedah (prinsip) Fiqh ada dinyatakan "Ma Adda Ila al-Haram Fahuwa Haramun" (Sesuatu yang mendorong kepada yang haram, ia turut diharamkan)". Wallahu a'lam.
Read More

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 74

Soal Jawab Agama Siri 74 

(Kematian Anak Kecil, Qada Puasa Ibu Yang Telah Meninggal Dunia, Upah Haji Dan Lain-lain.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم  
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.  

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Soal Jawab Agama Siri 74 adalah menjelaskan persoalan kematian anak yang belum baligh, qada puasa untuk ibu yang telah meninggal dunia, upah haji, darah istihadah dan cara berwuduk ketika luka berbalut.

656 Soalan : Dua hari sebelum raya baru-baru ini anak bongsu saya telah kembali ke Rahmatullah kerana sakit jantung bengkak. Anak lelaki berumur 4 tahun. Saya redha tapi hati saya sangat sedih dan sangat rindukan anak saya. Saya cuba sedaya upaya untuk tidak menangis, meratap tetapi hati saya tidak dapat melupakan detik-detik akhir dia bersama saya hingga ke hembusan nafas terakhir. Saya takut untuk menghadapi waktu pagi sessudah subuh kerana waktu itulah arwah meninggalkan saya selama-lamanya.

Saya memohon kepada Allah agar dapat berjumpa anak saya dalam mimpi. Saya nak lihat wajahnya yang damai, yang tidak dalam kesakitan dan penderitaan. Dengan harapan hati saya tenang dan gembira dengan keadaan dia di sana disisi Allah. Tapi masih tidak dikabulkan.

Apa yang berlaku kepadanya sebagai ahli syurga, apa yang dibuatnya, siapa yang menemaninya dan sebagainya.?

Jawapan : 

Bersabarlah puan ada hikmah yang besar setiap kejadian ciptaan Allah SWT. 

Hadis riwayat Abu Hassan radhiyallahu’anhu, ia berkata: "Saya mengatakan kepada Abu Hurairah, bahawa dua orang anakku telah meninggal dunia. Adakah berita (hadits) Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang dapat engkau sampaikan kepadaku yang dapat menyenangkan hati kami berkenaan dengan anak kami yang meninggal itu. Abu Hurairah menjawab: Ada! Anak-anak kecil (yang meninggal) menjadi kanak-kanak syurga, ditemuinya kedua ibu bapaknya, lalu dipegangnya pakaian ibu bapaknya - sebagaimana saya memegang tepi pakaian ini – dan tidak berhenti (memegang pakaian) sampai Allah memasukkannya dan kedua ibu bapaknya kedalam syurga." (Hadis Sahih Riwayat Muslim : 2635-1524)

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:”Allah berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud,” Tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya, kemudian orang itu mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan orang itu akan mendapat balasan syurga.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Huraian :

1. Sabar ialah mengawal diri daripada kegelisahan dan menerima segala dugaan, rintangan dan segala suruhan Allah dengan hati yang tenang iaitu tidak merasa jemu dan berputus asa dalam menghadapi kesulitan hidup.

2. Kita hendaklah bersabar ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa kerana semua makhluk adalah menjadi milik Allah. Malah kita dinasihatkan untuk berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Surah al-Baqarah :156)

3. Sabar perlu dilakukan sejak mula-mula menghadapi bala kesusahan kerana seseorang yang menghadapi kesusahan dengan penuh kesabaran akan dihapuskan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga.

4. Sesungguhnya setiap mukmin yang beriman kepada Allah, imannya belum dapat diperakui sebelum diuji keimanannya itu dan berjaya pula menghadapi dugaan tersebut di mana tiada balasan yang lebih besar di dunia dan akhirat daripada balasan bagi seseorang yang bersifat sabar dalam menghadapi bala ketika di dunia.

5. Setiap ujian yang diturunkan oleh Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Oleh itu untuk menjadi hamba Allah yang dikasihi, hendaklah kita bersedia menghadapi setiap ujian yang menimpa dengan penuh kesabaran, sebaliknya bagi seseorang yang tidak redha menerima ujian Allah, maka ia akan menjadi hamba yang dibenci serta jauh daripada rahmat Allah.

657. Soalan : Saya nak bertanya bolehkah kita hendak qadakan puasa untuk arwah ibu yang pernah tinggalkan puasa masa hayatnya dulu ketika sakit?. Bagaimana cara dan niatnya. Saya harap ustaz dapat bantu menjawab kemusykilan saya ini.

Jawapan :

Sebagai anak kita boleh tolong mengqadakan puasa Ramadan yg ditinggalkan oleh arwah ibu kita. Niatnya sahaja aku qada puasa Ramadan untuk ibuku kerana Allah Taala.

Jika waris tidak mampu untuk menggantikan puasa arwah ibu (di sebabkan ibu uzur dan sakit) maka hendaklah digantikan membayar fidyah secupak makanan asasi untuk setiap hari yang ditinggalkan. 

Firman Allah SWT dalam Surah Al Baqarah ayat 184 : 

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (184) 

Maksudnya : "(iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka jika di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): Memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." (Surah al-Baqarah ayat 184) 

Pada ayat 184 dan permulaan ayat 185, Allah SWT menerangkan bahawa puasa yang diwajibkm itu ada beberapa hari yaitu pada bulan Ramadan menurut banyaknya hari bulan Ramadan itu (29 atau 30 hari). 

Sekalipun Allah SWT. telah mewajibkan puasa pada bulan Ramadan kepada semua orang-orang yang beriman, akan tetapi Allah Yang Maha Bijaksana memberikan keringanan kepada orang-orang yang sakit dan musafir untuk tidak berpuasa pada waktu itu dan menggantinya pada hari-hari lain di luar bulan Ramadan. Jika sakit yang tidak boleh sembuh maka diwajibkan membayar fidyah untuk setiap hari puasa yang ditinggalkan.

658. Soalan : Bapa saya  belum sempat mengerjakan haji beliau telah meninggal dunia, bolehkan saya upah haji untuk arwah bapa dan adalah dalil yang membenarkannya?

Jawapan : 

Islam membenarkan untuk waris-waris si mati membayar upah haji bagi melaksanakan hasrat arwah ayah  melalui jalan melantik seorang wakil yang layak (dengan syarat-syaratnya) berdasarkan kepada dalil dari hadis seperti di bawah ini:-

Telah berkata seorang perempuan kepada Rasulullah SAW: "Ya Rasulullah, bahawasanya bapa saya telah sampai kewajibannya mengerjakan haji di waktu dia telah tua, dan dia tidak kuasa (mampu) menunggang untanya?" Jawab Rasulullah SAW: "Kalau begitu engkau kerjakanlah haji ganti untuknya". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.)

Daripada riwayat yang lain, dari Ibnu Abbas r.a. katanya seorang perempuan dari suku bangsa Juhainah datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya: "Ya Rasulullah, ibuku telah bernazar untuk berhaji, namun belum dia sempat mengerjakan haji dia telah meninggal dunia. Adakah boleh saya gantikan Haji untuknya?" Jawab Rasulullah SAW: "Ya, Hajikanlah dia, jika ada ibumu berhutang, tidakkah engkau akan membayarkan untuknya? Bayarlah, kerana hak Allah (bagi sesorang Muslim yang telah bernazar mengerjakan Haji)  itu lebih berhak untuk dibayar". (Hadis Riwayat Bukhari.)

Huraiannya :

Hadis di atas dengan jelas memberitahu seseorang yang telah memenuhi syarat untuk mengerjakan haji tetapi atas sebab tua atau uzur (tidak sihat dan sukar untuk sembuh), atau meninggal dunia sebelum sempat mengerjakan Haji, maka anak-anaknya (lelaki atau perempuan) boleh berbuat manasik haji itu bagi pihak dirinya.


659. Soalan : Bolehkah ustaz menjelaskan apakah darah istihadah? Dan adakah apabila keluar darah istihadah seorang wanita boleh solat dan berpuasa?


Jawapan :


Darah istihadah ialah darah yang keluar bukan pada masa haid dan juga nifas. Darah istihadah merangkumi;

1. Darah yang keluar sebelum umur kemungkinan haid iaitu sembilan tahun mengikut jumhur ulamak.

2. Darah yang keluar kurang dari tempoh minima haid iaitu sehari semalam mengikut mazhab Syafi’ie.

3. Darah yang keluar melebihi tempoh maksima haid atau melebihi tempoh kebiasaan haid.

4. Darah yang melebihi tempoh maksima nifas.

5. Darah yang keluar dari wanita yang hamil mengikut pandangan jumhur ulamak selain mazhab Syafi’ie.

6. Darah yang keluar melebihi umur putus haid

Darah istihadhah tidak turun dari rahim sebagaimana darah haid atau nifas, akan tetapi keluar dari urat yang dipanggil al-‘Azil . Sifat darah istihadhah -menurut mazhab Syafi’ie- adalah cair dan berwarna merah terang (antara merah dan kuning).


Apabila keluar darah istihadah (bukan darah haid atau nifas) wanita diwajibkan solat dan berpuasa. Ketika solat perlu pakai tuala wanita dan ulama menjelaskan bahawa hanya satu wuduk untuk satu solat sahaja.


Cara kita dapat bezakan darah istihadah dengan darah haid adalah dengan tiga cara :

1. Dengan merujuk kepada kebiasaan haidnya yang lalu. 

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW. kepada Wanita yang istihadah pertamanya hendaklah merujuk kepada kebiasaan haidnya (yakni darah-darah yang keluar pada hari-hari kebiasaan haid adalah darah haid dan adapun yang keluar pada hari berikutnya adalah istihadhah). Ini berpandukan hadis dari ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Fatimah binti Abi Hubaisyh r.a telah mengadu kepada Nabi SAW; ‘Sesungguhnya aku kedatangan haid tanpa putus-putus. Apakah aku perlu meninggalkan solat?” Nabi SAW. menjawab; ‘Tidak. Sesungguhnya itu adalah darah dari urat (عرق), bukan darah haid. (Oleh demikian, janganlah kamu tinggalkan solat pada keseluruhan hari datangnya darah itu), akan tetapi kamu tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat”. (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Jadi, seorang wanita semasa menghadapi masalah tersebut, jika ia mengingati tempoh kebiasaan haidnya, hendaklah ia mengira bilangan hari haidnya mengikut tempoh kebiasaan tersebut dan darah yang keluar selepas tempoh itu dikira sebagai darah istihadah dan ia tertakluk dengan hukum wanita istihadah (bukan wanita haid atau nifas). Contohnya; jika ia biasa kedatangan haid selama tujuh hari, maka hendaklah ia menetapkan tempoh haidnya selama tujuh hari dan darah yang masih keluar selepas tujuh hari itu dikira istihadah.

2. Dengan melihat kepada perbezaan darah. 

Jika seorang wanita tidak mempunyai kebiasaan haid (kerana baru kedatangan haid atau melupai kebiasaan haidnya), hendaklah dirujuk kepada perbezaan darah. Ini berdasarkan hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan; Fatimah binti Abi Hubaiysh r.a. menghadapi istihadah, maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya; “Sesungguhnya darah haid adalah darah berwarna hitam yang dikenali (yakni ia mempunyai bau yang dikenali oleh kaum wanita). Oleh demikian, jika kamu melihat darah sedemikian, hendaklah kamu menahan diri dari menunaikan solat. Tetapi jika kamu melihat darah berwarna lain, maka ambillah wuduk dan kerjakanlah solat”. (Hadis Riwayat Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Hibban dan al-Hakim. Berkata al-Albani; hadis ini hasan soheh).

Hadis di atas menjadi dalil bahawa diambil kira perbezaan sifat darah di mana jika bersifat dengan warna hitam, maka ia adalah haid dan jika tidak, maka ia adalah istihadhah.

3. Dengan merujuk kepada kebiasaan haid kebanyakan wanita. 

Sekiranya seorang wanita tidak mengetahui kebiasaan haidnya dan begitu juga ia tidak dapat membezakan darah dengan melihat sifat-sifatnya (yakni warna darah yang keluar adalah sekata), maka ketika itu ia hendaklah merujuk kepada kebiasaan haid kebanyakan wanita iaitu enam atau tujuh hari. Ini berdasarkan hadis dari Hamnah binti Jahsyi r.a. yang menceritakan; Aku telah kedatangan haid yang banyak dan kuat. Lalu aku datang kepada Nabi SAW untuk meminta fatwa dari baginda. Lalu baginda bersabda; Sesungguhnya ia (bukanlah haid, tetapi) satu tindakan jahat dari Syaitan (hingga menyebabkan kamu lupa kebiasaan haid kamu). Oleh demikian, tetapkanlah tempoh haid kamu enam atau tujuh hari sahaja, kemudian mandilah….(Hadis Riwayat Abu Dad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah. Menurut al-Albani; hadis hasan).


660. Soalan : Orang yang mengalami luka pada badannya atau patah tulang anggotanya dan terpaksa dibalut, diplaster atau disimen di mana ia tidak dapat ditanggalkan (termasuk semasa ingin mengambil wuduk), bagaimana caranya ia hendak mengambil wuduk ? 

Jawapan :

Bagi kes tersebut, diberi kelonggaran untuk menyapu air di atas kain balutan atau plaster atau simen yang dipakainya. Orang yang menghadapi masalah sedemikian, ia hendaklah melakukan tindakan berikut semasa mengambil wuduk;

Pertama : Hendaklah ia membasuh dan meratakan air sebagaimana biasa ke kawasan-kawasan yang sihat (tidak sakit) dari anggota wuduknya.

Kedua : Bagi kawasan yang berbalut pula, wajib ia menyapu air ke atasnya. Menurut Imam Abu Hanifah; memadai dengan menyapu sebahagian besar balutan. Namun jumhur ulamak (iaitu Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad) berkata; “Wajib disapu air meliputi seluruh balutan”.

Berapa lamakah tempoh diizinkan menyapu balutan?

Keizinan dari Syarak untuk menyapu balutan tidak ada tempoh masa tertentu. Ia bergantung kepada tempoh kesembuhan luka atau patah. Selagi luka atau patah belum sembuh dan balutan masih perlu dipakai, maka selagi itu keharusan menyapu di atas balutan berterusan. Apabila sakit telah sembuh dan balutan dapat dibuka, hilanglah keharusan tersebut dan wajib mengambil wuduk atau mandi wajib sebagaimana asalnya. 

Read More

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 75

Soal Jawab Agama Siri 75 

(Hukum Faraid, Pertemuan Ahli Keluarga di Syurga, Bantuan Allah dan Lain-lain Lagi)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم  

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.  

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Soal Jawab Agama Siri 75 adalah menjelaskan persoalan pembahagian harta pusaka cara faraid, di syurga akan bertemu ahli keluarga, Allah akan membantu umat Islam yang membantu agamanya, kebaikan saling bantu membantu dan poligami dalam Islam.

661. Soalan : Seorang wanita meninggal dunia dengan meninggalkan wang sebanyak RM 130,000.00. Si mati juga meninggalkan suami, bapa dan 2 orang anak perempuan. Beliau tidak mempunyai anak lelaki tetapi mempunyai 2 orang adik lelaki dan 2 orang adik perempuan. Ibu kepada simati sudah lama meninggal dunia dua tahun lalu. Bolehkah ustaz jelaskan bagaimana pembahagian harta pusaka melalui sistem faraid? Adakah adik lelaki dan perempuan si mati boleh mendapat bahagian daripada harta pusaka tersebut?

Jawapan : 

Seorang wanita meninggal dunia : Harta yang ditinggalkan berjumlah RM 130,000.00

Suami akan mendapat bahagian : 3/13 bahgian darpada RM 130,000.00 = RM 30,000.00

Bapa akan mendapat bahagian : 2/13 bahagian daripada RM 130,000.00 = RM 20,000.00

2 anak perempuan setiap  seorang akan mendapat bahagian : 

4/13 bahagian daripada RM 130,000.00 = RM 40,000.00 .

Adik lelaki dan perempuan simati tidak akan mendapat bahagian kerana bapa simati masih hidup..

662. Soalan : Syurga adalah tempat yang disediakan oleh Allah SWT untuk orang-orang mukmin yang bertakwa.. Sekiranya dengan rahmat Allah SWT kita dapat masuk syurga, adakah kita akan dapat bertemu dengan ibu bapa , datok, anak-anak , cucu-cicit dan zuriat keturunan kita yang sama-sama bertakwa dan di izinkan untuk memasuki syurga?

Jawapan :

Sesungguhnya rahmat Allah SWT sungguh luas yang akan diberikan-Nya kepada sesiapa dikalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa iaitu balasan syurga. Di dalam syurga nanti kita akan berpeluang berjumpa dengan ahli keluarga dan sanak saudara jauh dan dekat yang dahulunya ketika di dunia sama-sama saling bantu membantu dan berkasih sayang.

Firman Allah SWT. maksudnya :" Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya."(Surah ath-Thur ayat 21) 
Ayat di atas secara jelas menjelaskan kelebihan dua hala di dalam hubungan ibu bapa dan anak cucu mereka di akhirat kelak. Orang-orang yang beriman akan ditempatkan di dalam syurga bersama dengan ibu bapa serta anak cucu mereka sebagai salah satu bentuk nikmat dan hiburan kepada mereka. 
Bahkan Allah akan mengangkat darjat ibu bapa yang soleh kerana doa anak-anak mereka, begitu juga meninggikan darjat anak- cucu disebabkan amal soleh ibu bapa mereka (Tafsir Ibn Kathir)). Menurut Imam al-Razi, ayat ini juga menjadi bukti bahawa kasih sayang ibu bapa yang beriman berterusan sehingga ke akhirat (Tafsir al-Razi).

Walaubagaimanapun nikmat ini hanya dikhususkan kepada ibu bapa dan anak cucu yang sama-sama beriman dan mati di dalam iman sahaja.


663. Soalan : Apabila kita lihat di luar negara ramai umat Islam ditindas, dibunuh, dibakar, ditangkap , dipenjarakan dan di seksa, tanpa peri kemanusiaan oleh golongan kafir, munafik dan fasik. Sedang berlaku pertembungan di antara yang hak dan yang batil. Adakah usaha-usaha murni ini yang dilakukan oleh para mujahidin, pendakwah dan pemimpin Islam akan mendapat bantuan dan pertolongan Allah SWT?


Jawapan :

Allah SWT. berfirman yang maksudnya : "Sesiapa yang menolong agama Allah maka Allah akan menolong mereka dan meneguhkan kehidupan mereka." (Surah Muhammad ayat 7)

Ayat ini membawa kita untuk melihat bagaimana untuk menyelesaikan masaalah. Allah SWT telah berjanji bahawa Dia akan menolong sesiapa sahaja yang menolong agama-Nya. Ini bererti bahawa segala masaalah yang kita hadapi hari ini akan diselesaikan oleh Allah SWT dengan syarat mereka itu sentiasa bekerja untuk menegakkan agama Allah SWT dengan ikhlas dan yakin. Keyakinan ini mesti ada terutama kepada para pendakwah.

Menolong agama Allah mempunyai pengertian yang luas. Apa jua usaha mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah keburukan adalah termasuk di dalam makna menolong agama Allah. Dalam melaksanakan kerja ini, kita seharusnya bersedia untuk mengorbankan apa sahaja asalkan ketinggian agama Allah SWT tertegak di atas muka bumi ini.

Penyelesaian dari Allah SWT mungkin datang dalam bentuk sama ada diberikan kesenangan hidup, kasih sayang manusia, keluarga yang bahagia, idea-idea yang baik dan mungkin juga ketenangan jiwa dan berjaya memenangi pilihanraya. Yang pasti Allah SWT tidak akan mungkir janji. Semakin banyak kita menghadapi masaalah maka seharusnya semakin kuat kita melakukan kerja-kerja dakwah kepada masyarakat, bukan semakin berkurang. Sikap ini perlu dimiliki oleh kita. Sauadara-sauadara kita yang sedang berjuang di Palestin, Syria dan Mesir insyaa Allah akan berjaya dan akan mendapat pertolongan daripada Allah SWT.

664. Soalan : Apakah kebaikan yang akan dikurniakan oleh Allah SWT kepada sesiapa sahaja yang suka membantu fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal?

Jawapan :
  
Di dalam kehidupan masyarakat Islam. Umat Islam digalakkan hidup  bantu membantu dan tolong menolong sesama muslim. Ini termasuk membantu golongan fakir miskin, anak yatim, janda dan ibu tunggal. Tujuannya adalah untuk melahirkan masyarakat penyayang dan adil sehingga dapat mengatasi masalah golongan terbiar dan yang tidak berada. 
Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi SAW. bersabda maksudnya : ''Orang yang berusaha membantu wanita janda dan orang miskin, mendapat pahala sama seperti pahala orang berjuang di jalan Allah, atau seperti pahala orang yang selalu qiamullail (bangun sembahyang malam) dan berpuasa di siang hari. ( Hadis riwayat Bukhari).

Kebaikan itu bukan sahaja akan diberikan oleh Allah SWT di dunia ini tetapi Dia akan memberikannya di hari akhirat.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW  bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).

665. Soalan : Ustaz saya berhajat untuk berpoligami dan isteri saya mengizinkan dengan syarat calun isteri kedua itu mestilah menutup aurat dan wanita yang  cinta kepada perjuangan Islam. Isteri pertama saya redha dan tidak akan bermusuhan dengan isteri kedua dan sanggup menjalini ikatan kasih sayang dan bertolak ansur. Bolehkah ustaz jelaskan apakah perkara-perkara yang wajib dilakukan oleh suami ketika dia berpoligami.?

Jawapan :

Alhamdulillah, syabas dan tahniah dan banyak-banyak bersyukurlah saudara kerana saudara dikurniakan isteri pertama yang solehah bukan sahaja membenarkan tetapi merestui dan meredhai hasrat murni saudara untuk berpoligami. Jika semua wanita di dunia ini mempunyai hati yang mulia seperi isteri saudara rasanya aman dunia ini dan tidak berlaku perceraian di sebabkan keinginan suami untuk berpoligami.

Sekiranya saudara berhasrat membina masjid kedua perkara-perkara yang saudara perlu jaga adalah seperti berikut :

Pertama : Disyaratkan pula berlaku adil, sebagaimana yang difirmankan Allah SWT ;

"Kemudian jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu), maka (kahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kaumiliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman." (Surah an-Nisak ayat 3)

Para mufassirin berpendapat bahawa berlaku adil itu wajib. Adil di sini bukanlah bererti hanya adil terhadap para isteri sahaja, tetapi mengandungi erti berlaku adil secara mutlak. Oleh kerana itu seorang suami hendaklah berlaku adil sebagai berikut:

1. Berlaku adil terhadap dirinya sendiri.

Seorang suami yang selalu sakit-sakitan dan mengalami kesukaran untuk bekerja mencari rezeki, sudah tentu tidak akan dapat memelihara beberapa orang isteri. Apabila dia tetap berpoligami, ini bererti dia telah menganiayai dirinya sendiri. Sikap yang demikian adalah tidak adil.

2. Adil di antara para isteri.

Setiap isteri berhak mendapatkan hak masing-masing dari suaminya, berupa kemesraan hubungan jiwa, nafkah berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain perkara yang diwajibkan Allah kepada setiap suami.

Adil di antara isteri-isteri ini hukumnya wajib, berdasarkan firman Allah dalam Surah an-Nisak ayat 3 dan juga sunnah Rasul. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya;

"Barangsiapa yang mempunyai dua isteri, lalu dia cenderung kepada salah seorang di antaranya dan tidak berlaku adil antara mereka berdua, maka kelak di hari kiamat dia akan datang dengan keadaan pinggangnya miring hampir jatuh sebelah." (Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal)

i) Adil memberikan nafkah.

Dalam soal adil memberikan nafkah ini, hendaklah si suami tidak mengurangi nafkah dari salah seorang isterinya dengan alasan bahawa si isteri itu kaya atau ada sumber kewangannya, kecuali kalau si isteri itu rela. Suami memang boleh menganjurkan isterinya untuk membantu dalam soal nafkah tetapi tanpa paksaan. Memberi nafkah yang lebih kepada seorang isteri dari yang lain-lainnya diperbolehkan dengan sebab-sebab tertentu. Misalnya, si isteri tersebut sakit dan memerlukan biaya rawatan sebagai tambahan.

Prinsip adil ini tidak ada perbezaannya antara gadis dan janda, isteri lama atau isteri baru, isteri yang masih muda atau yang sudah tua, yang cantik atau yang tidak cantik, yang berpendidikan tinggi atau yang buta huruf, kaya atau miskin, yang sakit atau yang sihat, yang mandul atau yang dapat melahirkan. Kesemuanya mempunyai hak yang sama sebagai isteri.

ii) Adil dalam menyediakan tempat tinggal. 

Selanjutnya, para ulama telah sepakat mengatakan bahawa suami bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang tersendiri untuk tiap-tiap isteri berserta anak-anaknya sesuai dengan kemampuan suami. Ini dilakukan semata-mata untuk menjaga kesejahteraan isteri-isteri, jangan sampai timbul rasa cemburu atau pertengkaran yang tidak diingini.

iii) Adil dalam giliran. 

Demikian juga, isteri berhak mendapat giliran suaminya menginap di rumahnya sama lamanya dengan waktu menginap di rumah isteri-isteri yang lain. Sekurang-kurangnya si suami mesti menginap di rumah seorang isteri satu malam suntuk tidak boleh kurang. Begitu juga pada isteri-isteri yang lain. Walaupun ada di antara mereka yang dalam keadaan haidh, nifas atau sakit, suami wajib adil dalam soal ini. Sebab, tujuan perkahwinan dalam Islam bukanlah semata-mata untuk mengadakan 'hubungan seks' dengan isteri pada malam giliran itu, tetapi bermaksud untuk menyempumakan kemesraan, kasih sayang dan kerukunan antara suami isteri itu sendiri. 

Hal ini diterangkan Allah dengan firman-Nya yang bermaksud ;
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya, dan rahmat-Nya, bahawa la menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Surah ar-Ruum ayat 21)

Andaikan suami tidak bersikap adil kepada isteri-isterinya, dia berdosa dan akan menerima seksaan dari Allah (SWT) pada hari kiamat dengan tanda-tanda berjalan dalam keadaan pinggangnya miring. Hal ini akan disaksikan oleh seluruh umat manusia sejak Nabi Adam sampai ke anak cucunya.

Firman Allah (SWT) dalam Surah az-Zalzalah ayat 7 hingga 8;
"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)."

3. Anak-anak juga mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan, pemeliharaan serta kasih sayang yang adil dari seorang ayah.

Oleh itu, disyaratkan agar setiap suami yang berpoligami tidak membeza-bezakan antara anak si anu dengan anak si anu. Berlaku adil dalam soal nafkah anak-anak mestilah diperhatikan bahawa nafkah anak yang masih kecil berbeza dengan anak yang sudah besar. Anak-anak perempuan berbeza pula dengan anak-anak lelaki. Tidak kira dari ibu yang mana, kesemuanya mereka berhak memiliki kasih sayang serta perhatian yang seksama dari bapa mereka. Jangan sampai mereka diterlantarkan kerana kecenderungan si bapa pada salah seorang isteri serta anak-anaknya sahaja.

4. Tidak menimbulkan huru-hara di kalangan isteri mahupun anak-anak. 

Jadi, suami mesti yakin bahawa perkahwinannya yang baru ini tidak akan menjejaskan serta merosakkan kehidupan isteri serta anak-anaknya. Kerana, diperbolehkan poligami dalam Islam adalah untuk menjaga kepentingan semua pihak. Jika kepentingan ini tidak dapat dijaga dengan baik, maka seseorang yang berpoligami pada saat itu adalah berdosa.

5. Berkuasa menanggung nafkah. 

Kesimpulan dari maksud kemampuan secara zahir ialah;

i) Mampu memberi nafkah asas seperti pakaian dan makan minum.

ii) Mampu menyediakan tempat tinggal yang wajar.

iii) Mampu menyediakan kemudahan asas yang wajar seperti pendidikan dan sebagainya.

iv) Sihat tubuh badannya dan tidak berpenyakit yang boleh menyebabkan ia gagal memenuhi tuntutan nafkah zahir yang lain.

v) Mempunyai kemampuan dan keinginan seksual.

Wallahu a'lam.

Read More

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML