Sunday, February 16, 2014

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 51

Soal Jawab Agama Siri 51 (Masuk Masjid, Solat Hajat, Solat Jenazah , Kurafat dan Sihir)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Soal Jawab Agama Siri 51 adalah menjelaskan persoalan iaitu hukum orang bukan Islam masuk masjid, solat hajat, solat jenazaah, jauhi kepercayaan kurafat dan amalan sihir.

541. Soalan : Boleh atau tidak orang bukan  Islam masuk ke dalam bangunan masjid atau sekitar masjid untuk membaiki kerosakan peralatan di masjid atau menghadiri majlis yang di adakan. Apakah hukumnya.?

Jawapan :

Harus orang yang bukan Islam masuk ke dalam masjid untuk tujuan yang dibenarkan syarak seperti membaiki peralatan letrik, hawa dingin, bumbung bocor dan sebagainya atau untuk melakukan perkara-perkara harus yang lain seperti mendengar tazkirah atau untuk menghadiri jamuan yang dianjurkan oleh pihak masjid . Ini kerana Nabi S.A.W. pernah membiarkan beberapa perwakilan orang yang bukan muslim memasuki masjid baginda dan melihat umat Islam menunaikan solat, mendengar bacaan al-Quran dan khutbah baginda S.A.W. demikian juga untuk menyeru mereka kepada Allah dengan lebih dekat. 

Nabi SAW juga penah mengikat seorang kafir di dalam masjid iaitulah Thamamah bin Athal al-Hanafi (ثمامة بن أثال الحنفي), seorang tawanan perang, lalu Allah SWT memberi hidayah kepada beliau dengan beliau memeluk Islam. (Sila lihat Majmu’ Fatawa wa Maqalaat Mutanawwi’ah oleh al-Syeikh al-‘Allamah Abdul Aziz bin Abdillah bin Baz R.H. jld 8, m.s. 356) 
Inilah pandangan yang lebih kuat dan lebih hampir kepada kebenaran pada pandangan yang mempunyai dalil bersamanya.

 Said ibn Musayyin berkata: 
قد كان أبو سفيان يدخل مسجد المدينة وهو على شركه، وقدم عمير بن وهب فدخل المسجد والنبي صلى الله عليه وسلم فيه ليفتك به فرزقه الله الإسلام

Maksudnya: “Abu Sufyan pernah memasuki masjid al-Madinah ketika ia masih seorang musyrik, demikian juga ‘Umair bin Wahb pernah memasuki masjid untuk membunuh Nabi S.A.W. yang berada di dalamnya, kemudian Allah menghidayahkan dia dengan Islam. (Sila lihat al-Mughniy oleh Ibn Qudamah)


542. Soalan : Saya ada kemusykilan berkenaan solat hajat. Saya keliru adakah benar solat hajat yang kita lakukan hanya boleh minta satu hajat sahaja setiap kali solat,tidak boleh minta bersama hajat-hajat yang lain?Bermakna kalau ada 5 hajat,kita perlu solat hajat sebanyak 5x untuk setiap satu perkara yang dihajatkan.Harap dapat membantu.Terima kasih.

Jawapan :

Allah SWT itu bersifat Maha Mendengar dan maha Mengetahui. Oleh yang demikian selaku hamba-Nya yang sentiasa bergantung harap dengan Allah SWT  maka tidak menjadi sebarang kesalahan sekiranya dalam solat hajat kita boleh memohon apa yang dihajati oleh kita asalkan perkara itu adalah perkara yang baik.

Tidak menjadi satu kesalaha menghimpun dan memohon  hajat dalam satu solat hajat.

 543. Soalan : Bolehkah sembahnyang jenazah dilaksanakan beberapa kali contohnya kali pertama jenazah disembahyangkan oleh ahli keluarga di rumah kediamannya, manakala kali ke dua dilaksanakan di masjid oleh ahli qariah. Apakah hukumnya dan manakah yang lebih afdhal?

Jawapan

Sembahyang jenazah boleh dilaksanakan beberapa kali, contohnya kali pertama jenazah disembahyangkan oleh ahli keluarga di rumah kediamannya, manakala kali ke dua dilaksanakan di masjid oleh ahli qariah. Semakin ramai jemaah yang menyembayangkan jenazah adalah lebih baik.

544. Soalan : Saya hamil baru 2 bulan dan minggu lepas saya sekeluarga (suami dan anak perempuan saya berumur 3tahun) pergi ke hutan lipur untuk aktiviti riadah bersama keluarga. Sebelum bermain air dengan anak saya, saya mulakan langkah membaca Bismillah dan doa. Yang menakutkan saya, ada seorang sahabat saya mengatakan tindakan saya pergi ke hutan lipur kurang sesuai kerana biasanya tempat seperti itu adalah kediaman bunian. Ada kes bunian boleh mengambil bayi di dalam kandungan kerana kita pergi ke kawasan mereka. Adakah betul dalam Islam bunian wujud atau tidak? Saya serahkan pada Allah SWT tetapi saya juga mohon pandangan Ustaz.?

Jawapan :

Bunian itu adalah panggilan masyarajat orang melayu, mereka itu adlah golongan Jin yang menjadi makhluk Allah dan tetap berada di atas muka bumi. Golongan Jin itu ada yang Islam dan ada yang kafir. Golongan Jin  Islam melakukan solat, puasa , zakat dan menunaikan fardu haji, sedangkan golongan Jin Kafir syirik kepada Allah SWT dan bekerjasama dengan syaitan untuk menggoda dan menyesatkan manusia

Mereka hidup di atas muka bumi seperti manusia, turut beribadah kepada Allah, yang memisahkan manusia dan jin adalah cara hidup dan alam yang berbeza.

Jin boleh berada di mana sahaja tidak semestinya di hutan lipur atau lebuh raya. Melawat ke tempat-tempat yang sedemikian dengan menambahkan lagi ingatan kita pada Allah dan bersyukur dengan setiap nikmat yang telah diberikan.

Kepercayaan karut perlu diketepikan. Ibu mengandung adalah manusia biasa yang normal, makan seperti biasa dan boleh menikmati hidup seperti biasa. Cuma sifat orang mukmin sentiasa bedoa, berzikir dan bertawakal kepada Allah di dalam setiap perbuatan yang dilakukannya dan sentiasa mohon perlindungan Allah SWT daripada gangguan makhluk jin dan syaitan.


545. Soalan : Saya ada 1 soalan berkenaan dengan santau, iaitu santau
angin. Apakah tanda-tanda seseorang itu sudah terkena santau? Dan apakah cara-cara untuk mengelak dari terkena santau? Sekiranya sudah menjadi mangsa,bagaimana untuk memulihkan ianya semuala? Terima Kasih.

Jawapan :

1. Tanda-tanda awal seseorang itu terkena santau ialah gatal pada tekak yang disertai dengan batuk. Batuk merupakan tanda yang paling lumrah bagi mereka yang terkena santau. Batuk ini berlainan daripada batuk biasa. Ia lebih merupakan batuk kering yang memanjang tanpa mengeluarkan kahak.

Batuk berpanjangan,selalunya ia bermula pada magrib dan berakhir pada subuh..antara yang paling teruk adalah jam 12 pagi  ke subuh 

2: berat badan menurun mendadak.

3: Menukar perwatakan seseorang secara tiba-tiba. (contoh dari penyabar menjadi panas baran )

4: Pelupa keterlaluan.

5: Susah tidur malam / kerap terjaga pada waktu malam.

6: Miang-miang kulit,gatal-gatal atau sebagainya.

7: Tiba-tiba menjadi pembenci.

8: Selalu sengal-sengal tulang

Antara ayat Pelindung dari sihir dan santau adalah dari Surah As-Saffat ayat 7, Surah Al-Ikhlash dan Ayatul Kursi.

Untuk di jadikan amalam perlindung diri dari sihir, Berikut adalah amalan Baginda Rasulullah SAW :

Sebelum tidur,ambil wuduk dahulu dan semasa hendak tidur baca lah 3 Qul. (Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Suran an-Nas )

Tadah tangan sepert berdoa tarik nafas dalam 10 saat dan hembus pada nya,selepas itu baca tiga QUL tadi dan diusapkan seluruh angota badan dengan nya.
Amalan Nabi SAW sebanyak 3 kali.

Islam menyediakan kaedah  berubat dengan pelbagai cara, iaitu melalui perlaksanaan solat hajat,dengan menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dan berdoa kepada Allah SWT. Yakinlah di atas pertolongan Allah dan bukannya kepada bomoh yang menggunakan jampi serapah serta  tidak tentu dan jelas butir sebutannya.

Saudara juga boleh mendapatkan rawatan melalui Pusat Rawatan Traditional Islam atau pun Pusat Rawatan Islam yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML