Friday, March 21, 2014

PERIHAL WAKTU SOLAT

Hikmah Saintifik Waktu Solat Dan Perubahan Warna Alam

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ



Solat menjadi Ibadah utama seorang muslim, kewajipan solat ini menjadi salah satu cara untuk berkomunikasi langsung seorang hamba dengan Tuhannya. Banyak hikmah di dapati berkaitan perintah solat ini. Baik secara kesihatan, psikologi, sains, dan masih banyak lagi hikmah yang lain. Salah satu hikmah diperintahkan solat sebanyak 5 (lima) waktu. Rahsia ini terungkap berdasar pengamatan para pengkaji dan beberapa kajian saintifik.

Perpindahan waktu adalah bahagian dari kekuasaan Allah سبحانه وتعالى yang mempunyai hikmah dan kekhususan pada masing-masing. Setiap peralihan waktu solat, sebenarnya bersamaan dengan terjadinya perubahan tenaga alam yang boleh dicerap, diukur dan dapat dirasakan melalui perubahan warna alam. Bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing.

1. Waktu Subuh

Jika kita sering memperhatikan waktu selepas subuh, apalagi menjelang siang, langit seringkali berwarna biru yang diselangi dengan merah (oren) yang dihasilkan oleh sinar mentari yang akan terbit.

Dalam Islam, tidur selepas subuh sangat dilarang kerana akan ketinggalan rezeki. Ibnul Qayyim berkata, “Empat hal yang menghambat datangnya rezeki adalah:- (1) tidur di waktu pagi, (2) sedikit solat, (3) malas-malasan dan (4) berkhianat.” (Zaadul Ma’ad, 4/378)

Selain itu, mengapa kita tidak dibenarkan tidur selepas subuh adalah kerana warna biru mempengaruhi kelenjar tiroid. Bila kelenjar tiroid kita lemah, kita akan menghadapi masalah kehausan sepanjang hari.

Pada waktu Subuh, alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh manusia.

Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia yang berkaitan dengan penawar, penyembuhan, rezeki dan komunikasi.
.
Rugi Tinggal Waktu Subuh

Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat bangun secara berulang kali, lama-kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tiroid tidak dapat menyerap tenaga biru muda di alam ketika roh dan jasad masih tertidur.

Tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa), dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Di sinilah juga kita dapat ambil hikmah dan mencungkil rahsia diperintahkan solat di awal waktu.

Sejurus berkumandangnya azan Subuh, tenaga alam ini berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang kemudian diserap oleh tubuh kita terutama pada waktu rukuk dan sujud. Maka mereka yang terlewat Subuh sebenarnya hanya mendapat tenaga yang tersangat sedikit dan minimum sahaja.


 2. Waktu Zuhur



Ketika ini alam berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan seterusnya warna kuning mendominasi atmosfera menandakan masuknya waktu Zuhur. Spektrum warna alam yang menguning pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem pencernaan dan penghadaman.

Mengurangkan makan pada waktu kuning (siang hari) ialah amalan terbaik untuk menjaga supaya pemikiran menjadi cergas, tajam, dan peka. Kita juga amat digalakkan untuk melakukan puasa sunat Isnin dan Khamis untuk menggurangkan beban kerja organ pencernaan.

Di samping itu warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan seseorang. Mereka yang selalu ketinggalan atau melewatkan solat Zuhur berulang kali dalam hidupnya, maka ia akan menghadapi masalah system penghadaman di perut dan hilang sifat cerianya.


 3. Waktu Asar



Apabila masuknya waktu Asar, warna alam akan berubah kepada warna oren. Warna oren ialah rahsia kreativiti, di mana warna oren di alam boleh membawa pengaruh besar dalam kreativiti seseorang.

Di samping itu, organ-organ pembiakan juga akan kehilangan tenaga positif dari warna alam tersebut, di mana spektrum warna pada waktu ini mempunyai pengaruh yang cukup signifikan terhadap keadaan dan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem pembiakan (reproduktif) secara keseluruhan.

Dan jangan lupa beriadah kerana tenaga pada waktu Asar ini amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif. Orang yang kerap tertinggal waktu Asar dan lebih malang jika dia menggunakan waktu Asar untuk tidur, maka terpisahlah jasad dan roh seseorang itu dan akan menurunlah daya kreativiti dan kesuburannya serta dia berisiko menjadi mandul.


 4. Waktu Maghrib



Menjelang waktu Maghrib, warna alam berubah menjadi kemerahan. Kita lebih baik untuk berada di dalam rumah pada waktu maghrib ini kerana warna merah yang dipancarkan oleh alam ketika itu mempunyai resonansi yang sama dengan jin dan syaitan.

Kita kerap dinasihatkan oleh orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna merah pada waktu ini menghampiri dan selaras dengan frekuensi jin dan iblis (infra-red). Pada waktu ini jin dan iblis amat bertenaga kerana mereka bergema atau ikut bergetar dengan warna alam. Mereka yang hendak atau sedang dalam perjalanan pada waktu ini, sebaiknya menangguhkan dan berhenti seketika dengan menunaikan solat Maghrib terlebih dahulu.

Hal ini lebih baik dan lebih selamat kerana pada waktu ini, banyak interferns atau tumpang tindihnya dua atau lebih gelombang yang berfrekuensi sama atau hampir sama dan boleh menimbulkan fatamorgana yang boleh mengeliru dan merosakkan penglihatan kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, frekuensi otot, saraf dan tulang.



 5. Waktu Isyak



Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo (biru nila) dan seterusnya memasuki fasa kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian yang mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.

Sekiranya seseorang itu kerap ketinggalan Isyaknya dengan tidur sejak waktu Asar atau Maghrib atau mereka yang tidur sebelum mendirikan solat Isyak, pasti jiwa dan tidurnya tidak tenteram dan gelisah. Alam ketika ini mulai diselimuti kegelapan dan kita dianjurkan untuk merehatkan tubuh. Dan sebetulnya, waktu inilah tidur yang disyariatkan dalam Islam di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam keadaan santai atau berehat.

Dengan tidur di waktu ini, keadaan jiwa kita berada pada gelombang Delta dengan frekuensi di bawah 4 Hz dan seluruh sistem tubuh memasuki waktu rehat.


 6. Qiamullail



Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna-warna putih, merah jambu, dan seterusnya ungu.

Perubahan warna ini selaras dengan frekuensi kelenjar Pineal (otak kecil), kelenjar Pituitary (bawah otak), thalamus, dan Hypothalamus. Maka kita sepatutnya bangun dari tidur pada waktu ini untuk melakukan Qiamullail atau solat malam seperti dituntut oleh Agama Islam.


Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah dikurniakan syariat solat oleh Allah سبحانه وتعالى tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.

Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah سبحانه وتعالى mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas duniawinya.
.
Allah سبحانه وتعالى berfirman:

إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا.

“Sesungguhnya solat itu merupakan kewajiban yang ditetapkan waktunya bagi kaum mukminin.”
(Surah An-Nisa`: Ayat 103)

Dalam Mazhab Syafi’ie, terdapat empat kategori waktu solat. Menurutnya lagi solat di awal waktu adalah yang terbaik dan diikuti dengan ‘Waktu Ihktiyar’. Adapun menurut mazhab Syafi’ie, ‘Waktu Ihktiyar’ bukanlah bermaksud waktu pilihan secara mutlak atau secara keseluruhan, tetapi waktu pilihan yang terbaik berbanding waktu berikutnya iaitu ‘Waktu Jawaz’ (waktu harus). Waktu pilihan secara keseluruhan ialah selagi belum terbit fajar (masuk waktu subuh).

Secara ringkasnya dalam Mazhab Syafi’ie, keseluruhan waktu solat yang terbahagi kepada empat tersebut ialah;

Pertama; Waktu Terbaik, iaitu di awal waktu.

Kedua; Waktu Ikhtiyar, iaitu hingga sepertiga waktu.

Ketiga; Waktu Jawaz (harus), iaitu hingga sebelum tamatnya waktu (sebelum masuk waktu solat yang lain kecuali subuh di mana waktu tamatnya ialah sebelum terbit matahari).

Keempat; Waktu Hurmah (waktu haram), iaitu menangguh solat hingga ke saat terlalu hujung waktu di mana waktu yang masih tinggal tidak cukup untuk menyempurnakan keseluruhan rakaat solat. Solat jika sempat ditunaikan di dalam waktu sekurang-kurangnya satu rakaat maka ia dikira tunai secara keseluruhannya (sekalipun rakaat selebihnya dilakukan setelah habis waktu). Jika tidak sempat satu rakaat maka keseluruhanya dikira qadha’.
.
.
Permasalahan

1. Seseorang yang tertidur pada waktu Isyak atau menangguhkan solatnya kerana mahu tidur dahulu sehinggalah terjaga selepas pertengahan malam (selepas tamatnya waktu al-Ikhtiyariy) dalam pukul 1 atau 3 pagi atau jam 5.30 pagi, iaitu ketika hampir Subuh, kemudian baru bangun menunaikan solat Isyak. Kedudukan solatnya adalah sah dan boleh diterima kerana dia telah menunaikan solat itu di dalam waktunya walaupun makruh dan dia dikira berdosa kerana melewatkan solat Isyak sehingga masuk waktu dharurah.

Dalam hal ini Rasulullah ﷺ membenci tidur sebelum Isyak dan Abu Barzah Al-Aslami radhiyallahu ‘anhu berkata:

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَحِبُّ أَنْ يُؤَخِّرَ الْعِشَاءَ …

“Adalah Rasulullah ﷺ menyenangi mengakhirkan Solat Isyak. Dan Baginda membenci tidur sebelum Solat Isyak …”(Hadis Riwayat Ibnu Majah r.a.)
.
2. Sekiranya seseorang itu terjaga sewaktu telah hampir pada solat seterusnya, dia boleh meneruskan solatnya dan jika boleh dapat 1 rakaat dalam waktu tersebut, solatnya adalah dan sah diterima.

Jika tertidur samada dengan sengaja atau tidak, seseorang itu hendaklah segera mengqadhakan solat fardhunya selepas terbangun dari tidur walaupun waktu terbangun itu telah melepasi dari waktu solat berkenaan ataupun telah masuk waktu solat yang lain. InsyaAllah solatnya akan diterima.

Rasulullah ﷺbersabda;

“Tidaklah tertidur itu (dianggap) kelalaian. Kelalaian ialah bagi orang yang tidak menunaikan solat (dengan sengaja) hingga masuk waktu solat yang lain.” (Hadis Riwayat Imam Muslim).
.
Ramai yang masih lagi terkeliru dan musykil tentang tamatnya waktu solat Isyak. ada yang mengatakan bahawa waktu solat Isyak tamat pada pukul 12 malam, kerana solat Isyak tersebut adalah solat malam dan selepas pukul 12 tiada malam lagi. Ia jadi waktu pagi. Namun begitu ada juga berpendapat waktu Isyak adalah panjang iaitu sehingga terbitnya fajar shadiq.

Masuk waktu Isyak ialah dengan hilangnya mega merah di ufuk barat (yang menandakan tamatnya waktu solat Maghrib).
 
Dalam Al-Qamus disebutkan, “Malam adalah dari tenggelamnya matahari sampai terbitnya fajar shadiq atau terbitnya matahari.” Adapun dalam istilah syar’i, secara zahir malam itu berakhir dengan terbitnya fajar. Berdasarkan hal ini kita mengetahui bahawa tengah malam itu diukur dari tenggelamnya matahari sampai terbitnya fajar. Pertengahan waktu antara keduanya itulah yang disebut tengah malam sebagai akhir waktu Solat Isyak. Adapun selepas tengah malam ini bukanlah waktu pelaksanaan solat fardhu, tapi masa untuk melaksanakan solat sunnah / nafilah seperti Tahajjud. (Asy-Syarhul Mumti ’2/115)
 
Walau bagamanapun waktu berakhirnya Solat Isyak ada dua pandangan di kalangan ulamak;
 
Pertama; Sebelum Berakhir Sepertiga Malam.
 
Pandangan ini diutarakan oleh Imam Syafi’e dan Imam Ahmad dan segologan ulamak lain yang berdalilkan hadis dari Buraidah r.a. yang menceritakan penjelasan amali (praktikal) Rasulullah ﷺ tentang waktu solat.
 
Mengenai solat Isyak, Buraidah r.a. menceritakan; “Pada malam pertama Rasulullah ﷺ melakukan solat Isyak ketika hilang mega merah di ufuk Barat. Di malam kedua pula baginda melakukannya tatkala malam telah berlalu sepertiganya…Kemudian, baginda menjelaskan; “Waktu solat ialah antara dua waktu tersebut.”(Hadis Riwayat Imam at-Tirmizi. Kata beliau; hadis ini hasan gharib soheh).
 
 
Kedua; Sebelum Berakhir Separuh Malam.
 
Pandangan ini diutarakan oleh Imam Abu Hanifah yang berdalilkan sabda Nabi ﷺ; “Waktu solat Isyak ialah hingga separuh malam.” (Hadis Riwayat Imam Muslim, Abu Daud dan an-Nasai dari Ibnu ‘Umar r.a.).
 
Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni telah memadankan antara kedua-dua dalil tersebut di mana beliau menegaskan; “Yang utama (yakni yang afdhal) ialah tidak menangguhkan solat Isyak melebihi sepertiga malam. Namun jika ditangguhkan hingga separuh malam hukumnya adalah harus. Adapun selepas itu adalah waktu darurat…”(al-Mughni, 1/275).
 
 
Para ulama membahagikan waktu solat kepada dua :

1.      Waktu Al-Ikhtiyariy (الإختياري)
2.      Waktu Al-Idhtiroriy (الإضطراري).
 
Waktu Al-Ikhtiyariy
Waktu al-Ikhtiyariy bagi solat Isyak ialah sehingga sebahagian malam iaitu sebelum memasuki tengah malam. Waktu al-Ikhtiyariy atau waktu ikhtiar adalah waktu pilihan iaitu waktu yang diberi keluasan, kelapangan dan yang dibenarkan untuk memilih pada ketika mana kita ingin mengerjakan solat dalam tempoh waktu tersebut, tanpa makruh samaada di awal waktu ikhtiyari atau di akhirnya. Namun begitu yang afdhalnya waktu ikhtiyariy ini ialah masa yang perlu kita berusaha untuk mendapatkannya dan melakukannya di awal waktu.
 
Perkara ini berdasarkan hadis Nabi ﷺ

وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الْأَوْسَطِ

“Dan waktu solat Isyak ialah sehingga sebahagian malam yang pertengahan.”
Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim menyebut, maksud hadis ini ialah: “Waktu menunaikannya dalam waktu al-Ikhtiyariy.” (5/111)

Badan Fatwa Arab Saudi di dalam fatwa mereka menyebut:

ووقت العشاء من غيبوبة الشفق الأحمر إلى نصف الليل ، وهذا وقت الاختيار لها ، ووقت الاضطرار من نصف الليل إلى طلوع الفجر

“Waktu Isyak itu bermula dari lenyapnya awan merah (habis waktu Maghrib) sehingga pertengahan malam, ini adalah waktu al-Ikhtiyar, manakala waktu al-Idhthiror bermula dari sebahagian malam sehingga terbitnya Fajar.”(6/113)
.
.
Waktu Al-Idhtiroriy
 
Waktu al-Idhtiroriy ialah waktu yang tidak boleh dilewatkan solat sehingga masuk waktunya, melainkan bagi orang-orang yang berkeuzuran. Waktu al-Idhtiroriy bagi solat Isyak pula berlanjutan tempohnya sehingga sebelum terbitnya fajar sidiq.
 
Al-Syeikh Abdul Aziz Abdillah bin Baz menyebut:
 
فإذا غاب الشفق – وهو : الحمرة في جهة المغرب – انتهى وقت المغرب ، ودخل وقت العشاء إلى نصف الليل ، وما بعد نصف الليل 

وقت ضرورة لوقت العشاء ، فلا يجوز التأخير لما بعد نصف الليل ولكن ما بين غروب الشفق إلى نصف الليل كله وقت اختياري 

للعشاء ، فلو صلاها بعد نصف الليل أداها في الوقت ، لكن يأثم ؛ لأنه أخرها إلى وقت الضرورة

 “Apabila telah hilangnya awan merah (awan merah sebelah barat) tamatlah waktu Maghrib dan masuknya waktu Isyak sehingga pertengahan malam. Dan apa yang selepas pertengahan malam adalah waktu al-Idhthirar (dhorurah/dharurat) bagi solat Isyak, tidak boleh melewatkan solat Isyak sehingga selepas pertengahan malam, antara hilangnya awan merah sehingga pertengahan malam itu adalah waktu al-Ikhtiyariy bagi solat Isyak, jika seseorang menunaikan solat Isyak selepas pertengahan malam (selepas tamatnya waktu al-Ikhtiyariy) dia telah menunaikan solat itu di dalam waktunya, akan tetapi dia dikira berdosa, kerana melewatkan solat Isyak sehingga masuk waktu dharurah.”(Fatwa Bin Baz 10/384)
 
Ini menunjukkan tidak boleh melewatkan solat Isyak sehingga habisnya waktu al-Ikhtiyariy melainkan bagi orang-orang yang berada dalam keuzuran selepas berlalunya waktu al-Ikhtiyariy.
 
Di antara bentuk keuzuran tersebut ialah;
 
1. Baru sembuh daripada sakit selepas waktu al-Ikhtiyariy.

2. Orang yang ketika itu baru tersedar daripada kelupaan.

3. Tertidur dan selepas sepertiga atau separuh malam baru terjaga.

4. Kanak-kanak yang baru sahaja baligh selepas waktu al-Ikhtiyariy

5. Orang gila yang baru sedar dari gilanya selepas waktu al-Ikhtiyariy.

6. Wanita haid; selepas sepertiga/separuh malam barulah darah haidnya kering.

7. Orang kafir yang baru memeluk Islam selepas waktu al-Ikhtiyariy.
 
 
Hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu secara marfu’:

لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ أَنْ يُؤَخِّرُوا الْعِشَاءَ إِلَى ثُلُثِ اللَّيْلِ أَوْ نِصْفِهِ
“Seandainya tidak membebankan umatku nescaya aku akan memerintahkan mereka untuk mengakhirkan Solat Isyak hingga sepertiga atau pertengahan malam.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi no. 167, dishahihkan Al-Imam Al-Albani rahimahullahu dalam Shahih Sunan At-Tirmidzi)
.
Adapun menurut Mazhab Syafi’ie; selepas Waktu Ihktiyar itu ialah Waktu Jawaz (waktu harus), iaitu waktu harus untuk melakukan solat walaupun tidak sebaik Waktu Ikhtiyar tadi. Jadi, menurut mazhab Syafi’ie; Waktu Ikhtiyar tadi bukanlah bermaksud waktu pilihan secara mutlak (atau secara keseluruhan) tetapi waktu pilihan yang terbaik berbanding waktu berikutnya (Waktu Jawaz). Waktu pilihan secara keseluruhan ialah selagi belum terbit fajar (masuk waktu subuh).
.
Menurut mazhab Hanbali dan Maliki; selepas Waktu Ikhtiyar itu ialah Waktu Darurat yang bermula dari sepertiga atau seperdua malam hinggalan terbitnya fajar (masuk waktu subuh). Maksud Waktu Darurat ialah harus melakukan solat Isyak pada waktu tersebut (tanpa berdosa) bagi orang yang ada keuzuran. Solat Isyak yang ditunaikan dalam Waktu Darurat itu masih dianggap tunai (bukan qadha), cuma jika dengan keuzuran tidaklah berdosa dan sekiranya tanpa keuzuran akan berdosalah.
 
Kesimpulannya, menurut mazhab Hanbali dan Maliki; tidak harus kita menangguhkan solat Isyak hingga melepasi sepertiga atau separuh malam tanpa sebarang keuzuran.
.
.
والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML