Sunday, January 12, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 11

Soal Jawab Agama Siri 11 

(Nikmat Syurga )

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 11 adalah menjawab persoalan kenikmatan di dalam syurga dan siapakah yang layak memasukinya. 

201. Soalan : Sila terangkan kenikmatan syurga yang dinyatakan dalam al-Quran.dan hadis?

Firman Allah SWT maksudnya : (Mereka duduk di dalam syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata; Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan. Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, – Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir. Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya. Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih, Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini. Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya, Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya. (Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan. Mereka tidak akan mendengar dalam syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; – Mereka hanya mendengar ucapan: ” Selamat! Selamat! ” (dari satu kepada yang lain). (Surah Al-Waaqi’ah (56) ayat  15-26)” 


Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW telah bersabda ; “Kelompok pertama yang akan masuk ke syurga akan bercahaya seperti bulan purnama. Di syurga, mereka tidak akan meludah, membuang hingus atau membuang air besar. Bejana mereka dibuat daripada emas. Sikat dari emas dan perak, alat pemanggang (dupa) dari kayu cendana, harum peluh mereka bagaikan wangi kasturi. Setiap penghuninya memiliki dua isteri, kulitnya sangat licin dan wajahnya teramat cantik. Mereka tidak akan berselisih faham, hati mereka bersatu dan mereka mengagungkan Allah setiap pagi dan petang.” (Hadis riwayat Bukhari.)

Satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah ra berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Allah SWT berfirman: “Aku sudah menyediakan buat hamba-Ku yang soleh sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga serta belum pernah terlintas oleh hati seseorang."

202. Soalan : Apakah nama-nama syurga dan syurga terdapat berapa tingkat dan apakah nama syurga yang paling tinggi sekali? 

Nama-nama syurga adalah :1. Syurga Firdaus 2. Syurga 'Adn 3. Syurga Na'iim 4. Syurga Na'wa 5. Syurga Darussalaam 6. Syurga Daarul Muaqaamah 7. Syurga Al-Muqqamul Amin dan 8. Syurga Khuldi  

Syurga mempunyai 100 tingkat dan syurga tertinggi sekali adalah Syurga Firdaus. 
Ibnu Abi Hatim meriwayatkan bahwa syurga itu ada 100 tingkat, yang pertama dari perak, ke-2 dari emas, ke-3  dari mutiara, selebihnya 97 tingkat adalah penuh dengan kelezatan dan kenikmatan yang  tidak boleh dibayangkan oleh akal manusia. 

Setiap tingkat berbeza-beza pula. Jarak antara satu tingkat dengan tingkat yang lain ialah seperti jarak antara bumi dan langit. Adapun tingkatan syurga yang paling tinggi darjatnya dinamakan “Al-Firdaus”. 

 Nabi SAW. memerintahkan ummatnya untuk berdoa memohon Firdaus melalui sabdanya, “Jika kalian meminta pada Allah mintalah kepada-Nya Firdaus, kerana sesungguhnya Firdaus adalah syurga yang paling utama, dan merupakan tingkatan tertinggi dari syurga, diatasnya terdapat ‘Arsy Ar Rahman dan dari Firdaus itulah memancar sungai-sungai syurga”. 

Dalam kitab Sunan Tirmizi dan Ibnu Majah, serta Sahih Ibnu Hibban, disebutkan hadis dari Abu Said, Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya ahli syurga yang berada pada tingkat tertinggi dapat melihat orang yang berada pada tingkat di bawahnya, seperti mana melihatnya bintang yang tertinggi di langit. Sesungguhnya Abu Bakar dan Umar termasuk golongan yang menikmatinya". (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

203. Soalan : Apakah ciri-ciri yang melayakkan seseorang untuk memasuki Syurga Firdaus?

Syurga teratas dan paling istimewa akan didiami oleh para nabi dan Rasul Allah serta orang-orang mukmin yang soleh yang memiliki amalan terbaik ketika di dunia. Rasulullah S.A.W. mengajarkan kepada kita agar ketika memohon syurga kepada Allah Ta’ala, maka mintalah Syurga Firdaus.  

Mereka yang paling layak untuk memasuki Syurga Firdaus adalah mereka yang memiliki 7 ciri-ciri amal soleh : 

1. Sentiasa  khusyuk dalam solat 
2. Mengelak dari perkara yang tidak memberi faedah (sentiasa mengerjakan amal soleh) 
3. Membayar zakat 
4. Menjaga kehormatan dirinya (tidak berzina) 
5. Menjaga Amanah 
6.Menunaikan janji 
7. Menjaga solat 

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya beruntung orang-orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna, dan orang yang menunaikan zakat, dan orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba  sahaya yang mereka miliki maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Tetapi sesiapa yang cari dibalik itu (zina dan sebagainya) maka mereka itulah orang-orang yang melampau batas. Dan (sungguh beruntung) orang yang memelihara amanat-amanat dan janjinya, serta orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi (yakni) yang akan mewarisi (syurga) Firdaus. Mereka kekal didalamnya." (Surah al-Mukminun ayat 1-11) 

204. Soalan : Siapakah yang layak untuk mendapat nikmat syurga? 


Syurga adalah tempat istirehat yang sebenarnya. Satu tempat istimewa yang disediakan oleh Allah SWT. kepada hamba-hamba-Nya yang bertakwa dan telah mengabdikan diri mereka sepenuhnya ketika didunia. Banyak terhadap ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW. yang menceritakan tentang nikmat dan keseronokan tempat tinggal di syurga Allah SWT.

Firman Allah SWT maksudnya : "(Untuk mereka) Syurga-syurga "Adn", yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam syurga itu apa yang mereka kehendaki; demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertakwa"
(Surah an-Nahl ayat 31)  

Dari Iyadh bin Himar r.a, bahawa sesungguhnya didalam khutbahnya Rasulullah SAW. bersabda, “Ahli syurga ada 3 golongan, iaitu para penguasa yang menggunakan kekuasaannya untuk keadilan dan kebenaran, seseorang yang penyayang dan lembut hatinya kepada siapa saja dan orang muslim yang menjaga diri dari kemaksiatan. Sedangkan ahli neraka ada lima golongan iaitu: orang lemah yang tidak peduli sesamanya, para pengkhianat, penipu yang memperdaya keluarga dan harta orang lain, kikir dan pendusta, serta orang yang berakhlak tercela” (Hadis Riwayat Muslim)

205. Soalan :Apakah makanan yang menjadi hidangan pertama kali untuk penghuni syurga? 

Makanan yang menjadi hidangan pertama kali penghuni syurga adalah hati ikan.

Diriwayatkan dari Rasulullah SAW. bahawa baginda ditanya,"Makanan apakah yang menjadi hidangan pertama kali penghuni syurga?" Baginda menjawab, "Hati ikan."  
Ditanya kembali. "Kemudian apa lagi setelah itu?" Baginda menjawab,"Bagi mereka disembelihkan sapi syurga yang biasa makan di tepian syurga." Kemudian baginda ditanya lagi, "Apakah minuman mereka?" Maka, baginda menjawab, "Dari mata air syurga yang bernama Salsabila." (Hadis Riwayat Muslim).

206. Soalan : Bagaimana keadaan manusia ketika bertemu Allah SWT. di hari akhirat ?

Semua manusia akan dihidupkan oleh Allah SWT. Kesemua amalan-amalan manusia daripada  sekecil-kecilnya  hingga sebesar-besar amalan, samaada yang baik atau yang buruk , yang nyata atau pun yang tersembunyi akan di dedahkan di hadapan Allah SWT . Bagi seorang muslim mukanya akan berseri-seri kerana gembira sebaliknya pula seorang kafir akan dihancur-leburkan hingga berwarna hitam pekat.

Diriwayatkan dari Rasulullah SAW. bahawa baginda ditanya, "Apakah yang diperbuat oleh Tuhan kita ketika kita menemui-Nya? Baginda menjawab," Kalian dihidupkan di sisi-Nya, lembaran-lembaran jalan hidup kalian ditampakkan dihadapan-Nya, tidak ada hal sekecil apa pun yang tersembunyi di balik hati kalian. Demi Allah, Tuhan kalian tidak pernah salah sedikitpun dalam menghisab amal kalian. Seorang muslim mukanya berseri-seri laksana kain yang putih bersih, adapun seorang kafir dihancur-leburkan seperti arang yang berwarna hitam pekat."(Hadis Riwayat Ahmad). 

207. Soalan : Apakah jenis-jenis mata air yang mengalir di syurga ?
Terdapat beberapa jenis mata-air di syurga iaitu sungai dari madu yang murni, sungai dari arak yang tidak memabukkan, sungai dari susu yang tidak berubah rasa dan air jernih yang belum berubah rasanya. 

Rasulullah SAW. ditanya, seperti apakah mata air yang mengalir di syurga? Maka, baginda menjawab," Mata air dari madu yang murni, sungai-sungai dari khamar (arak) yang tidak menyebabkan mabuk dan penyesalan, sungai-sunagai dari susu yang tidak berubah rasanya, air jernih yang belum berubah dan buah-buahan. Demi Allah, kalian tidak pernah melihat kenikmatan ini di dunia dan tidak ada sedikitpun yang serupa dengannya."
(Hadis Riwayat Ahmad).

208. Soalan : Apabila seseorang memasuki syurga adakah dia akan bertemu dan dinikahkan semula dengan isterinya semasa di dunia?
Benar, apabila seseorang di izinkan oleh Allah SWT untuk memasuki syurga maka dia akan dinikahkan semula dengan isterinya ketika di dunia jika isterinya juga ahli syurga. Jika isterinya bukan ahli syurga maka dia akan dinikahkan dengan wanita solehah ahli syurga yang lain. Wanita dunia (yang menjadi isteri ahli syurga) ini akan menjadi ketua bidadari bermata jeli. Wajahnya lebih cantik daripada bidadari bermata jeli. Perhubungan intim di syurga tidak mengeluarkan air mani dan tidak menyebabkan kehamilan.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Adakah kita akan mempunyai isteri di syurga?" Maka, baginda menjawab, " Orang-orang yang soleh akan dinikahkan dengan wanita-wanita yang solehah. Kalian akan merasakan kenikmatan sebagaimana isteri-isteri kalian juga akan merasakan kenikmatan waktu di dunia. Perbedzaannya, hubungan intim di syurga tidak menyebabkan kehamilan." (Hadis Riwayat Ahmad)

209. Soalan : Bagaimana keadaan seorang ahli syurga ketika dia bersama-sama dengan isteri-isterinya di syurga ?

Sahabat bertanya kepada Nabi SAW, "Apakah kita berhubungan badan dengan isteri-isteri kita di syurga? Maka, baginda menjawab, "Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, seorang lelaki mampu berhubungan badan dengan seratus bidadari pada satu pagi." (Imam Hafidz Abu Abdullah al-Maqdisi mengatakan bahawa perawi hadis ini adalah sahih). 

"Apakah penghuni syurga saling menikah?" Maka, baginda menjawab, "Nafsu syahwat mereka tidak pernah putus dan kemaluan mereka tidak pernah lemas serta dorongan seksual mereka sangat kuat sekali." 

"Apakah ada hubungan badan di syurga?" Maka, baginda menjawab, "Ya, demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya. Apabila ia telah berdiri dari isteri-isteri-Nya (telah selesai dari hubungan badan), mereka kembali perawan seperti semula." (Perawi hadis ini adalah sahih dengan syarat Ibnu Hibban) 

210. Soalan : Apakah dia  "Al-Kautsar." ?

Al-Kautsar adalah telaga indah dikelilingi kubah-kubah mutiara yang berlorong-lorong dianugerahkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW di syurga. Airnya ini lebih putih dari susu, lebih manis dari madu.


قَالَ رَسُوْلُ الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: بَيْنَمَا أَنَا أَسِيرُ فِي الْجَنَّةِ، إِذَا أَنَا بِنَهَر،ٍ حَافَتَاهُ، قِبَابُ الدُّرِّ الْمُجَوَّفِ، قُلْتُ: مَا هَذَا يَا جِبْرِيلُ...؟، قَالَ: هَذَا الْكَوْثَرُ، الَّذِي أَعْطَاكَ رَبُّكَ، فَإِذَا طِينُهُ مِسْكٌ أَذْفَرُ،
(صحيح البخاري)

Sabda Rasulullah SAW : “Ketika aku berjalan di syurga, maka kulihat telaga indah, dikelilingi kubah-kubah mutiara yang berlorong-lorong, kukatakan : “Apa ini wahai Jibril..?”, ia menjawab :”Ini telaga Al-Kautsar, yang diberikan untukmu dari Tuhanmu wahai Muhammad (SAW). Maka kulihat pasirnya dari misik yang harum dan wangi” 
(Hadis Riwayat Bukhari)

Diriwayatkan dalam Shahih Al Bukhari Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda tentang telaga Kautsar : “ Aku melihat cawan-cawan yang mengelilingi telaga Al Kautsar yang jumlahnya lebih banyak dari bintang di langit”.

Dalam riwayat yang sahih disebutkan bahawa jika satu cawan pecah, dan pecahan cawan itu jatuh ke bumi maka pecahan itu jauh lebih indah dan lebih berharga dari segala perhiasan yang ada di bumi. 

211. Soalan : Jika seorang wanita yang pernah berkahwin lebih dari satu suami di dunia dengan siapakah dia akan bersama di syurga?

Diriwayatkan dari Rasulullah SAW bahawa baginda ditanya , "Seorang wanita yang telah menikah dengan lebih dari dua atau tiga laki-laki, bersama siapakah ia tinggal di antara mereka di syurga?" Maka, baginda menjawab, "Ia akan memilih yang paling mulia akhlaknya." 

Apabila seorang wanita ketika di dunia memiliki dua atau lebih suami, maka kelak di syurga dia dipersilakan untuk memilih siapa di antara suami-suaminya yang dia inginkan untuk menjadi pendampingnya di syurga, asalkan suaminya itu tergolong dari ahli syurga. Satu lagi pendapat mengatakan bahawa dia akan bersama suaminya yang terakhir. Ini disebut oleh hadis Rasulullah SAW maksudnya : “Wanita adalah kepunyaan suaminya yang terakhir” (Hadis Riwayat Al-Albani) 

 212. Soalan : Adakah penghuni syurga tidak tidur?
  
Dari Jabir bin Abdillah dan Abdullah bin Abi Aufa r.a Rasulullah SAW bersabda :" Tidur adalah saudaranya kematian, dan ahli syurga tidak tidur" (Albani dalam Silsilah ash-Shahihah no. 1087)

Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan (mereka). Mereka dan isteri-isteri mereka berada dalam tempat yang teduh, bertelekan di atas dipan-dipan. Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta.  (Kepada mereka dikatakan): “Salam”, sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang.” (Surah Yasin ayat 55 – 58)


213. Soalan. Adakah di syurga ada kenderaan?

Di syurga ada kuda dari permata yang akan menjadi kenderaan penghuni syurga.

"Apakah di syurga ada kuda?" Maka, baginda menjawab, "Apabila masuk syurga, kalian disiapkan seekor kuda tunggangan dari permata, yang mempunyai dua sayap, membawa terbang kemanapun kalian kehendaki di syurga."  

214. Adakah wanita dunia lebih mulia dari bidadari dan bagaimana pula kehebatan bidadari bermata jeli?

Dari Ummu Salamah r.a, ia berkata: Saya bertanya, “Wahai Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari yang bermata jeli?” Baginda SAW menjawab, “Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari yang bermata jeli, seperti kelebihan apa yang tampak daripada apa yang tidak tampak.” Saya bertanya, “Kerana apa wanita dunia lebih utama daripada mereka?” Baginda SAW menjawab, “Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuning-kuningan, sanggulnya mutiara dan sisirnya terbuat dari emas. Mereka berkata, ‘Kami hidup abadi dan tidak mati, kami lemah-lembut dan tidak jahat sama sekali, kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali, kami reda dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya’.” (Hadis Riwayat. Ath-Thabrani)

Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya salah seorang bidadari syurga datang ke dunia, pasti ia akan menyinari langit dan bumi dan memenuhi antara langit dan bumi dengan aroma yang harum semerbak. Sungguh penutup kepala salah seorang wanita syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang membatasi pandangan, yang tidak pernah tersentuh oleh manusia dan jin sebelumnya” (Surah ar-Rahman ayat 56) 

215. Soalan :  Apakah amalan yang menyebabkan seseorang layak masuk syurga dan apakah amalan seorang wanita memudahkannya untuk memasuki syurga?

Dari Abu Hurairah bahwa Nabi SAW pernah ditanya mengenai hal apa yang paling banyak memasukkan manusi ke dalam syurga, baginda menjawab : ‘’Takwa kepada Allah dan berakhlak baik.'’(Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan Ibnu Hibban dalam shahihnya.)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya)."(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani) 

216. Soalan : Adakah seorang yang tua ketika di dunia apabila memasuki syurga umurnya menjadi muda?

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Setiap lelaki yang masuk syurga akan diberi 72 bidadari; tidak peduli pada umur berapa dia mati, ketika dia masuk syurga dia akan menjadi seorang berumur 30 tahun dan tidak akan tambah tua. Lelaki di syurga akan diberi keperkasaan yang sama dengan keperkasaan seratus orang lelaki." (Hadis Riwayat Tirmizi)


217. Soalan : Apakah nikmat yang paling besar di miliki oleh ahli syurga?

Terdapat satu hadis qudsi : Shuhaib meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW. bersabda :  “Jika calon ahli syurga telah masuk kedalam syurga, Allah SWT berfirman, ‘ Hai ahli syurga! Apakah kalian ingin sesuatu yang lebih dari nikmat ini?’
Mereka menjawab, ‘Bukankah Engkau telah mencermelangkan muka kami? Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami dari neraka?’ Maka, disingkaplah hijab. Maka, tidak ada kenikmatan yang lebih mereka senangi dari pada memandang Tuhan mereka.” 
(Hadis ini sahih. Ia dikeluarkan oleh Muslim (181), Ahmad (4/333), At-Tirmidzi (2552), dan Ibnu    Majah (187).)

Jika ahli syurga telah masuk ke dalam syurga, Allah memberi mereka kemampuan dan kekuatan untuk melihat Zat-Nya. Dapat melihat Zat Allah ini adalah nikmat ahli syurga yang paling besar. Dalil yang membenarkan bahawa ahli syurga akan dapat melihat Zat Allah adalah firman-Nya dalam Al-Quran, maksudnya : "Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka melihat,” (Surah Al-Qiyamah ayat 22-23).

218. Soalan : Adakah di syurga ada tempat untuk penghuni syurga berjumpa dan berbincang?

Imam at-Tirmizi meriwayatkan daripada Said bin Musayyab yang bermaksud: Bahawa sesungguhnya ia (Ibnu Musayyab) bertemu dengan Abu Hurairah pada suatu hari. 
Maka Abu Hurairah berkata kepadanya: "Aku mohon kepada Allah untuk dikumpulkan-Nya antara aku dan engkau di pasar syurga". Maka berkatalah Said: "Apakah di syurga ada pasar?" Jawabnya: "Ya, ada." 

Dalam riwayat yang lain pula menyebut (yang bermaksud): Sesungguhnya dalam syurga itu ada pasar yang tidak ada padanya jual beli. Akan tetapi apabila sampai ahli syurga di dalamnya, duduklah mereka bersandar di atas mutiara lembut dan tanah dari kasturi. Ketika itu mereka saling berkenalan dalam syurga seperti mereka di dunia. Mereka saling menyebut mengenai ibadat mereka terhadap Tuhan dan bagaimana keadaan mereka menghidupkan malam dengan sembahyang dan berpuasa pada siang hari. Bagaimana kefakiran di dunia serta kekayaannya dan bagaimana keadaannya mati. 
Begitulah keadaan pasar di syurga berbeza dengan pasar di dunia. Ahli syurga bertemu di pasar itu pada Jumaat dan keadaan penghuni syurga semakin hari semakin cantik.

Hadis riwayat Muslim daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya di syurga ada pasar yang dikunjungi penghuninya setiap Jumaat, lalu bertiuplah angin dari arah utara yang menerpa wajah dan pakaian mereka, sehingga mereka semakin tampan (cantik) itu, lalu keluarga mereka berkata: Demi Allah kamu semakin cantik. Mereka menjawab: Demi Allah kamu juga semakin bertambah cantik setelah kami tinggal pergi."
  
 219. Soalan : Adakah di syurga Allah SWT akan bertemukan kita dengan anak cucu,  ibu bapa, ahli keluarga  dan zuriat keturunan kita?

 Firman Allah SWT:

بِسْــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُم بِإِيمَنٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَآ أَلَتْنَهُم مِّنْ عَمَلِهِم مِّن شَىْءٍۢ ۚ كُلُّ ٱمْرِئٍۭ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌۭMaksudnya : 

"Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.(Surah Ath-Thuur ayat 21)

Dari surah tersebut dengan jelas kita memahami bahawa keluarga daripada anak cucu orang yang beriman akan dapat bersama-sama berkumpul pada suatu tempat di syurga, asalkan mereka mengikuti orang tua mereka di dalam hal keimanan yakni beramal soleh dan ketakwaannya.

220. Soalan : Adakah kita akan dikumpulkan bersama orang yang kita cinta di akhirat nanti?

Benar, kita akan dikumpulkan bersama-sama orang yang kita cintai di dunia. Jika kita mencintai artis, penyanyi, pemain muzik, pelakun, pelawak , ahli sukan,atau pemimpin yang rasuah dan zalim maka kita akan dikumpulkan bersama-sama mereka. Sebaliknya pula jika kita mencintai Rasulullah SAW, para sahabat, alim ulama dan orang soleh maka kita juga akan dikumpulkan bersama-sama mereka. 

Dalam satu hadis riwayat Anas bin Malik r.a. : Ada seorang Arab Badwi bertanya kepada Rasulullah SAW : “Bilakah kiamat itu tiba?” 
Rasulullah bersabda : “Apa yang telah kamu persiapkan untuk itu?” 
Lelaki itu menjawab : “Cinta Allah dan Rasul-Nya.” 
Rasulullah menjawab : “Kamu akan bersama orang yang kamu cintai.” 
(Hadis Riwayat Muslim, No. 4775) 

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa setiap mukmin yang beriman dan bertakwa akan bertemu di syurga orang yang dicintai ketika di dunia dahulu. 
Apabila ditanya oleh Nabi SAW kepada Arab Badwi apakah persiapan beliau untuk menghadapi kiamat, beliau menjawab dia mencintai Allah  dan Rasul-Nya. Jika benar apa yang beliau ucapkan maka di hari akhirat nanti beliau akan bertemu Allah SWT dalam keadaan Allah SWT mencintai dan meredainya. 

Begitu juga jika beliau mencintai Rasul-Nya maka beliau akan bertemu dan berkumpul bersama-sama baginda di syurga. 

Jika di dunia kita mencintai Rasulullah SAW, para sahabat baginda, alim ulama, orang-orang soleh, para mujahid Islam, orang-orang mukmin, ibu bapa, isteri, anak-anak, ahli keluarga dan sahabat-sahabat seperjuangan insyaa Allah kita akan bertemu dengan mereka di dalam syurga , salah satu tempatnya adalah di Pasar Syurga setiap hari Jumaat. 
Tanda kita mencintai Rasulullah SAW adalah dengan mengikut sunah dan ajaran Rasulullah SAW dan banyak berselawat ke atas baginda maka kita akan bertemu dan dikumpulkan bersama baginda. 

Nabi SAW menyuruh umatnya apabila ingin mencari sahabat maka carilah sahabat yang soleh kerana sahabat yang soleh bukan sahaja akan membantu menyelamatkan kita ketika di dunia tetapi dia juga akan memberi syafaat ketika di hari akhirat nanti. 

Nabi SAW mengajarkan kepada kita agar bersahabat dengan orang yang dapat memberikan kebaikan dan sering menasehati kita. 

مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ ، وَكِيرِ الْحَدَّادِ ، لاَ يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ ، أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ ، وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً 

Maksudnya : “Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh dan orang yang jahat adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.” (Hadis Riwayat Imam al- Bukhari dari Abu Musa.)
Read More

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 12

Soal Jawab Agama Siri 12 

(Seksaan Api Neraka, Siapa Penghuni Neraka dan Ciri-ciri Ahli Neraka)

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 12 adalah memberi penjelasan mengenai seksaan api neraka, siapa penghuni neraka dan apakah ciri-ciri ahli neraka. 

221. Soalan : Sila jelaskan golongan manakah yang akan dimasukkan oleh Allah SWT ke dalam neraka?

Neraka adalah tempat penyeksaan bagi mahluk Allah SWT yang menentang Allah SWT dan Rasu-Nya. Mereka adalah orang-orang yang menentang terhadap syariat Allah SWT dan mengingkari suruhan Rasulullah SAW.

Sesiapa sahaja orang yang dimasukkan ke dalam neraka, dia tidak akan keluar darinya. Pintu neraka berdiri kokoh dan tertutup rapat. Itulah penjara bagi orang-orang yang menganggap remeh berita tentang pengadilan akhirat.
  
Neraka adalah tempat kembali yang seburuk-buruknya untuk orang fasik, kafir dan munafik mereka kekal di dalam selama-lamanya. Kecuali orang fasik yang ada sedikit iman setelah menjalani seksaan neraka ribuan atau jutaan tahun barulah akan dibenarkan memasuki syurga.



Apabila orang-orang kafir sampai di neraka, pintu-pintu dikunci di belakang mereka. Di sini, mereka melihat pemandangan yang paling menakutkan. Mereka segera faham bahawa mereka akan menerima azab yang pedih dan dahsyat di neraka, tempat mereka untuk selama-lamanya. Pintu-pintu yang terkunci menunjukkan bahawa tidak akan jalan untuk menyelamatkan diri. 


Allah SWT menerangkan keadaan orang-orang kafir sebagai berikut (maksudnya) :

“Dan orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, mereka itu adalah golongan kiri. Mereka berada dalam neraka yang ditutup rapat.” (Surah al-Balad (90) ayat 19-20)

222. Soalan : Siapakah yang menjaga pintu neraka dan apakah bahan yang menjadi bahan bakar api neraka?

Pintu gerbang neraka di jaga oleh Malaikat Malik, yang memiliki 19 malaikat penyeksa di dalam neraka, salah satunya yang disebut namanya dalam Al-Quran adalah Zabaniah.

Didalam Al-Quran disebutkan bahan bakar neraka adalah dari manusia dan batu (ada yang mengatakan batu berhala).

223. Soalan : Bagaimana seksaan yang diterima oleh ahli neraka?  

Walaupun neraka sering digambarkan sebagai tempat penyeksaan yang teramat panas, tetapi ada juga penyeksaan neraka berbentuk hawa neraka yang teramat dingin. 

Disebutkan di dalam Al-Quran, firman Allah SWT maksudnya : “ Inilah (azab neraka), biarlah mereka merasakannya, (minuman mereka) air yang sangat panas dan air yang sangat dingin. (Surah Sad (38) ayat 57)

Seksaan di dalam neraka yang paling ringan diberikan sandal api yang boleh membuat otak mereka mendidih. Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya penghuni neraka yang paling ringan seksaannya ialah orang yang diberi sepasang sandal yang talinya terbuat dari api neraka, lalu mendidihlah otaknya kerana panasnya yang laksana air panas mendidih di dalam periuk. Dia mengira tiada seorangpun yang menerima seksaan lebih dahsyat dari itu, padahal dialah orang yang mendapat seksaan paling ringan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

224. Soalan : Neraka tempat penyeksaan itu di panggila Jahannam, berapakan jumlah pintu-pintu Jahannam?

Allah SWT telah menciptakan api neraka pada hari Ahad. Neraka itu mempunyai tujuh buah pintu.

Allah SWT berfirman yang maksudnya :" Jahannam itu tujuh pintu, tiap-tiap pintu (disediakan) untuk golongan yang tertentu daripada umat manusia." (Surah Al-Hijr ayat 44)

225. Soalan. Neraka itu mempunyai beberapa nama sila nyatakan nama-nama tersebut ?

Neraka yang diciptakan oleh Allah SWT mempunyai beberapa nama dan terdapat golongan tertentu yang akan menerima seksaan yang amat dahsyat.

1. Jahannam.

Firman Allah SWT maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: "Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan". (Surah Ali-Imran ayat12)

Allah SWT berfirman yang maksudnya : "Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar tempat yang telah diancamkan kepada mereka (pengikut-pengikut syaitan) seluruhnya." (Surah Al-Hijr ayat 43)

2. Sa'ir.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api kedalam perut mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala".(Surah an-Nisaa ayat 10)

Allah SWT berfirman maksudnya : "Dan dia akan masuk ke dalam Sa'ir (api yang menyala-nyala)." (Surah Al-Insyiqaq ayat 12)
  
3. Saqar.

Firman Allah SWT maksudnya :"Mereka tanyakan kepada orang-orang yang berdosa: "Apakah yang menyebabkan kalian masuk ke dalam  saqar?".Orang-orang yang berdosa menjawab: "Kami dahulu tidak mengerjakan solat, dan kami (juga) tidak memberi makan orang miskin.Kami telah ikut membicarakan soal Muhammad, bersama orang yang benci kepadanya.Dan Kami mendustakan "Hari Pembalasan",sampai datang kepada kami kepastian kematian." (Surah Al-Muddassir ayat 42-47)

4. Jahim.

Allah SWT berfirman maksudnya : " Dan diperlihatkan dengan jelas neraka Jahim kepada orang-orang yang sesat."(Surah Asy-Syu'ara ayat 91)

Neraka sebagai tempat penyeksaan orang-orang musyrik atau orang yang menyekutukan Allah. Mereka akan diseksa oleh para sesembahan mereka. Dalam ajaran Islam syirik adalah sebagai salah satu dosa paling besar menurut Allah SWT, kerana syirik berarti menganggap bahawa ada makhluk yang lebih hebat dan berkuasa sehebat Allah SWT dan boleh pula menganggap bahawa ada Tuhan selain Allah. 

5. Hutamah. (Api yang dinyalakan)

Firman Allah SWT maksudnya : "Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela,
yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitung, dia mengira bahwa hartanya itu dapat mengkekalkannya, sekali-kali tidak! Sesungguhnya Dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Hutamah. dan tahukah kamu apa Hutamah itu? (iaitu) api (yang disediakan) Allah yang dinyalakan, yang (membakar) sampai ke hati." (Surah Al-Humazah ayat 1-7)

6. Lazo. (Api yang bergejolak)

Firman Allah SWT maksudnya : " Sekali-kali tidak dapat, sesungguhnya neraka itu adalah bergejolak.(Surah Al-Ma'arij ayat 15)

Neraka yang disediakan untuk orang yang suka mengumpulkan harta, serakah dan menghina orang miskin. Bagi mereka yang tidak mahu bersedekah, membayar zakat, atau bahkan bermuka masam apabila ada orang miskin datang meminta bantuan.
  
7. Hawiyah. (Api yang sangat panas)

Allah SWT berfirman maksudnya : " Dan adapun orang yang ringan timbangan (kebaikan) nya, maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah. Dan tahukah kamu apakah neraka Hawiyah itu? (iaitu) api yang sangat panas" (Surah Al-Qari'ah ayat 8-11)
  
Neraka Hawiyah yang diperuntukkan atas orang-orang yang ringan timbangan amalnya, iaitu mereka yang selama hidup didunia mengerjakan kebaikan bercampur dengan keburukan. Orang muslim lelaki dan perempuan yang tidak tanduknya tidak sesuai dengan ajaran agama Islam, seperti para wanita muslim yang tidak menutup aurat, pergaulan bebas lelaki dan perempuan,  bagi para lelaki muslim yang sering memakai sutra dan emas, mencari rezeki dengan cara tidak halal, memakan riba dan sebagainya.

8. Wail

Firman Allah SWT maksudnya : "Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang (iaitu) orang-orang yang apabila menerima takaran dari orang lain mereka minta dipenuhi, dan apabila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi." (Surah Al-Mutaffifin ayat 1-3)

Firman Allah SWT maksudnya : “Maka celakalah orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai terhadap solatnya..” (Surah Al-Ma’un(107) ayat  3-4)

Neraka yang disediakan untuk para pengusaha atau pedagang yang menipu, dengan cara mengurangi berat timbangan untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat-lipat. Dan juga mereka yang melalai-lalaikan solat hingga habis waktu solat.

226. Soalan : Siapakah golongan yang ramai memasuki neraka?

Ramai wanita di neraka kerana mereka tidak bersyukur dan banyak mengutuk dan mengingkari suami mereka. 

Ðari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah SAW telah bersabda: “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu memohon ampun. Kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni neraka.” Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni neraka?” Rasulullah SAW bersabda: “Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami.(Hadis Riwayat Muslim)  

227. Kenapakah jin dan manusia di seksa  dengan azab sekali di neraka? Apakah kesalahan yang telah mereka lakukan ketika di dunia?



Firman Allah SWT maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A'raaf (7) ayat 179) 

Semua penderitaan yang mereka alami, tidak akan ada seorang pun dapat memberikan pertolongan kepada penghuni neraka. Tidak ada yang sanggup menyelamatkan mereka darinya. Dibuang seperti itu akan memberi mereka perasaan kesepian yang pahit.

228. Soalan : Bagaimana seksaan yang diterima oleh penghuni neraka, adakah kulit mereka hangus lalu digantikan dengan kulit yang baru?

Penghuni neraka tidak tahan rasa sakit dan mereka tidak pernah mati. Oleh kerana itu, mereka tidak pernah dapat menyelamatkan diri dari seksaan. Dalam Al Quran, rasa sakit diterangkan sebagai berikut: "alangkah beraninya mereka menentang api neraka!" (Surah al-Baqarah (2) ayat 175).

Kulit mereka pulih semula setelah  dibakar; seksaan yang sama berlangsung terus menerus selama-lamanya; Sekali lagi, Allah SWT berfirman maksudnya : "Masuklah kamu ke dalamnya; maka baik kamu bersabar atau tidak, sama saja bagimu." 
(Surah at-Thuur, (52) ayat 16)
Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah an-Nisaa' (4) ayat 56)


229. Apakah jenis hukuman dan seksaan yang diterima oleh penghuni neraka?

Di akhirat para penghuni neraka akan menjalani hukuman berupa seksa yang sangat pedih. Seksaan yang mereka derita dalam neraka itu bermacam-macam sekali, sebagaimana yang difirmankan Allah seperti berikut:

1. "Dalam neraka Jahannam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, lambung dan punggung mereka." (Surah At-Taubah (9) ayat 35)

2. "Ketika belenggu dan rantai dipasang di leher mereka, supaya mereka diseret, kedalam air yang sangat panas, kemudian mereka dibakar dalam api."(Surah Gafir (40) ayat 71-72)

3. "Peganglah dia kemudian seretlah dia ketengah-tengah neraka. Kemudian tuangkanlah di atas kepalanya seksaan (dari) air yang amat panas. Rasakanlah, sesungguhnya kamu orang yang perkasa lagi mulia." (Surah Ad-Dukhan (44) ayat 47-49)

4. "Peganglah dia lalu belenggulah tangannya kelehernya. Kemudian masukkanlah dia ke dalam api neraka yang menyala-nyala. Kemudian belitlah dia dengan rantai yang panjangnya tujuh puluh hasta." (Surah Al-Haqqah (69) ayat 30-32)

5. "Maka orang kafir akan dibuatkan untuk mereka pakaian dari api neraka, disiramkan air yang sedang mendidih ke atas kepala-kepala mereka. Dengan air itu dihancur luluhkan segala apa yang ada di dalam perut mereka dan juga kulit-kulit mereka. Dan cambuk-cambuk dari besi. Setiap kali mereka hendak keluar dari neraka lantaran kesengsaraan mereka, maka mereka dikembalikan kedalamnya, (serta dikatakan kepada mereka): "Rasailah azab yang membakar ini." (Surah Al-Hajj (22) ayat 19-22)

6. Firman Allah SWT  maksudnya : “Di hadapannya ada Jahannam dan dia akan diberi minuman dengan air nanah, diminumnnya air nanah itu dan hampir dia tidak boleh menelannya” (Surah Ibrahim ayat 16-17). 

Diberi air nanah yang amatlah busuk baunya lagi pekat, maka mereka pun merasa jijik dan tidak mampu menelannya. 

7. Diberi minuman dengan hamiim (air yang mendidih) sehingga memotong ususnya. 
Hamiim ialah air yang mendidih oleh panasnya api Jahannam, yang mampu melelehkan isi perut dan menceraiberaikan kulit mereka yang meminumnya. Sebagaimana Allah SWT berfirman maksudnya : “Dengan air itu dihancur luluhkan segala apa yang ada dalam perut mereka dan juga kulit (mereka)” (Surah Al Hajj ayat 20)

 8. Firman Allah SWT maksudnya : “Mereka tidak memperoleh makanan selain dari pohon yang berduri,yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar.” (Surah Al Ghasiyah ayat 6-7)

230. Soalan : Sila jelaskan apakah ciri-ciri ahli neraka yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW? 

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Ahli neraka ada lima golongan iaitu: orang lemah yang tidak peduli sesamanya, para pengkhianat, penipu yang memperdaya keluarga dan harta orang lain, kikir dan pendusta, serta orang yang berakhlak tercela” (Hadis Riwayat Muslim) 

Berdasarkan hadis di atas jelaslah bahawa 5 golongan manusia ahli neraka adalah :

1. Orang lemah yang tidak peduli sesamanya. (orang jahil, tidak berilmu dan bodoh sombong)

2. Para penghianat dan penipu yang memperdaya keluarga dan harta orang lain.(anak yang menghianati  ibu bapanya, suami yang penghianati isteri dan anak-anaknya dan pemimpin  zalim, perasuah yang menipu dan menghianati rakyatnya)

3. Kikir (kedekut).

4. Pendusta.

5. Orang yang berakhlak tercela. 

231. Soalan : Bagaimana keadaan api neraka yang di sediakan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang derhaka dan tidak mahu melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya?

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanatnya dari Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Api neraka telah dinyalakan selama seribu tahun sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun hingga putih, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga hitam gelap, bagaikan malam gelap kelam."

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud : " Sesungguhnya seringan-ringan seksa ahli neraka iaitu seorang yang bersandal (selipar) dari api neraka, dan dapat mendidihkan otaknya, seolah-olah di telinganya ada api, dan giginya berapi dan di bibirnya ada wap api, dan keluar ususnya dari bawah kakinya, bahkan ia merasa bahawa dialah yang terberat seksanya dari semua ahli neraka, padahal ia sangat ringan seksanya dari semua ahli neraka."

232. Soalan : Siapakan golongan yang akan dimasukkan ke dalam neraka tanpa hisab?
  
Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya :
"Enam kerana enam akan dimasukkan ke neraka pada hari kiamat sebelum hisab (perhitungan amal) iaitu :
1. Kerajaan yang zalim.
2. Orang yang fanatik (menyombongkan kebangsaannya)
3. Ketua kampung/pemimpin yang sombong.
4. Pedagang atau ahli perniagaan yang berkhianat.
5. Orang kampung yang kerana kebodohannya.
6. Dan ahli ilmu kerana hasad dengkinya."

233. Soalan : Apakan doa yang diajarkan oleh Nabi SAW supaya dijauhi daripada seksaan api neraka :

Doa untuk memohon perlindungan Allah SWT daripada azab neraka Jahanam


رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ ، رَبَّنَا إِنَّكَ مَنْ تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ


Maksudnya : "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka" "Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun" (Surah Ali-Imran ayat 191-192)
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Bila seseorang selesai membaca tasyahhud (akhir), hendaklah ia memohon perlindungan kepada Allah empat perkara, iaitu: ' Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari seksa Neraka Jahannam, dari seksa kubur, dari fitnah hidup dan mati, dan dari fitnah al-Masih Dajjal'. (Selanjutnya, hendaklah ia berdoa memohon kebaikan untuk dirinya sesuai kepentingannya)". (Hadis Riwayat Muslim, Abu 'Awanah, Nasa'i dan Ibnu jarud dalam al-muntaqa)
Doa untuk kebahagiaan dunia dan akhirat : "Ya Tuhan, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, serta selamatkanlah kami dari seksa neraka." 
(Surah Al-Baqarah ayat 201).

234. Soalan : Adakah perbuatan memutuskan silaturahim dan membuat fitnah tidak akan masuk syurga dan akan dimasukkan ke dalam neraka?

Benar, sesiapa sahaja yang suka memutuskan silaturahim  dan suka membuat fitnah dia tidak akan masuk syurga dan akan dimasukkan pula ke dalam neraka.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya  : "Tidak akan masuk syurga bagi yang memutuskan silaturahim". (Hadis Riwayat Muslim dari Al-Zuhri)
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan masuk syurga pembawa fitnah”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
235. Soalan : Adakah  umat Islam yang di seksa di neraka yang mempunyai sedikit iman dalam hatinya akan masuk syurga setelah habis hukumannya di neraka?

Benar, umat Islam (mempunyai sedikit iman) yang berdosa yang telah menjalani seksaan di neraka akhirnya akan di masukkan ke dalam syurga, kerana Allah SWT berjanji, sesiapa yang Islam dan beriman dan ada keimanannya sebesar zarrah atau sebesar tubuh semuit hitam yang halus atau sebesar biji sawi, jika wujud dalam kalbunya keyakinan tentang adanya Tuhan Yang Esa yang berhak di sembah, iaitu Allah SWT, dan menyebut dia kalimah 'la-ilaha illallah' (Yang bermaksud: Tiada tuhan yg berhak disembah kecuali Allah SWT ). Akhirnya kelak, setelah berakhkab [Nota: 'Akhkab' adalah hitungan waktu akhirat. Katanya satu akhkab bersamaan dgn 100,000 tahun dalam tahun akhirat. Setiap sehari di akhirat sama dengan 1,000 tahun kiraan tahun kita di dunia sekarang!!] 

dalam neraka, akan masuk syurga. Itulah orang Iman yg terakhir mendapat syurga, setelah sekian jutaan atau ribuaan atau ratusan tahun merana dalam neraka dalam proses pembersihan diri mereka daripada dosa!  
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sesunguhnya, barangsiapa di antara umatku yang mati, sedangkan dia tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu apapun, orang itu masuk syurga.” Aku (Abu Dzar) bertanya: “Sekalipun orang itu berzina dan mencuri?” Jawab Nabi, Ya, sekalipun dia berzina dan mencuri.” (Hadis Shahih Bukhari  no.647).

236. Soalan : Apakah amalan-amalan ahli neraka?

Amalan-amalan ahli neraka adalah seperti berikut :

1. Melakukan amalan syirik kepada Allah.2. Mendustakan para Rasul dan kufur.
3. Hasad dengki. 4. Berdusta. 5. Berhianat. 6. Berbuat zalim. 7. Perbuatan keji lagi hina.
8. Mungkir janji. 9. Memutus silaturahim. 10.  Takut untuk pergi berjihad. 11. Bakhil (Kedekut). 12. Tidak sama antara zahir dan batin, 13. Berputus asa dari rahmat Allah, 14. Merasa aman dari azab Allah, 15. Berkeluh kesah (tidak sabar) ketika tertimpa musibah, 16. Sombong dan tidak menyukuri nikmat, 17. Meninggalkan kewajiban terhadap Allah, 18. Melanggar batasan-batasan-Nya, 19. Melakukan perkara haram, 20. Takut terhadap makhluk dan tidak takut terhadap khaliq, 21. Berharap kepada makhluk dan tidak kepada khaliq, 22. Bertawakkal kepada makhluk dan tidak kepada khaliq, 23. Beramal dengan riya dan sum’ah, 24. Menyalahi Al-Quran dan sunnah, 25. Taat kepada makhluk dan tidak kepada khaliq, 26. Fanatik kepada kabatilan, 27. Mencela ayat-ayat Allah, 28. Menentang kebenaran, 29. Menyembunyikan ilmu dan kesaksian yang sebenarnya harus disampaikannya. 30. Melakukan sihir (santau dan sejenisnya), 31. Derhaka kepada orang tua, 32. Membunuh jiwa yang Allah haramkan tanpa jalan yang benar, 33. Makan harta anak yatim, 34. Makan riba, 35. Lari dari peperangan, 36. Menuduh wanita baik-baik lagi mukminah telah berbuat zina, 37. Berzina dan 38. Meminum arak.

237. Soalan : Siapakah orang muflis diakhirat yang akan dihumbankan ke dalam api neraka?

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab : “Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”
Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”

(Hadis Riwayat Muslim dan Tirmizi)

238. Soalan : Jika seseorang itu meninggal dunia adakah akan diperlihatkan tempat duduknya samaada di syuga atau neraka?

Benar seseorang  telah meninggal dunia (berada di alam barzakh) akan diperlihatkan setiap pagi dan petang tempat duduknya samaada di syurga atau neraka. Alam barzakh boleh menjadi taman-taman syurga atau boleh menjadi satu lubang daripada lubang-lubang api neraka.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya bila salah seorang di antaramu meninggal, maka diperlihatkan kepadanya tempatnya di waktu pagi dan petang. Jika ia termasuk ahli syurga, maka ia ahli syurga. Dan jika termasuk ahli neraka, maka ia ahli neraka. Lalu dikatakan kepadanya: ”Inilah tempatmu sehingga Allah bangkitkan kamu pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Bukhari) 

239. Soalan : Adakah amalan yang tidak ikhlas akan di tolak oleh Allah SWT dan pelakunya akan dimasukkan ke dalam neraka?

Terdapat hadis riwayat Muslim yang menceritakan 3 golongan manusia yang akan di tolak amalannya kerana tidak ikhlas dan membuat sesuatu untuk pujian manusia.

Dari Abi Hurairah radhiyallahu 'anhu, ia berkata, aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa sallam bersabda : “Sesungguhnya manusia pertama yang diadili pada hari kiamat adalah orang yang mati syahid di jalan Allah. Dia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatan (yang diberikan di dunia), lalu ia pun mengenalinya. Allah bertanya kepadanya : 'Amal apakah yang engkau lakukan dengan nikmat-nikmat itu?' Ia menjawab : 'Aku berperang semata-mata karena Engkau sehingga aku mati syahid.' Allah berfirman : 'Engkau dusta! Engkau berperang supaya dikatakan seorang yang gagah berani. Memang demikianlah yang telah dikatakan (tentang dirimu).' Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeret orang itu atas mukanya (tertelungkup), lalu dilemparkan ke dalam neraka. 
Berikutnya orang (yang diadili) adalah seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya serta membaca al Quran. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatannya, maka ia pun mengakuinya. Kemudian Allah menanyakannya: 'Amal apakah yang telah engkau lakukan dengan kenikmatan-kenikmatan itu?' Ia menjawab: 'Aku menuntut ilmu dan mengajarkannya, serta aku membaca al Quran hanyalah kerana engkau.' Allah berkata : 'Engkau dusta! Engkau menuntut ilmu agar dikatakan seorang ‘alim (yang berilmu) dan engkau membaca al Quran supaya dikatakan (sebagai) seorang qari (pembaca al Quran yang baik). Memang begitulah yang dikatakan (tentang dirimu).' 
Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeret atas mukanya dan melemparkannya ke dalam neraka. Berikutnya (yang diadili) adalah orang yang diberikan kelapangan rezeki dan berbagai macam harta benda. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatannya, maka ia pun mengenalinya (mengakuinya). Allah bertanya : 'Apa yang engkau telah lakukan dengan nikmat-nikmat itu?' Dia menjawab : 'Aku tidak pernah meninggalkan sedekah dan infaq pada jalan yang Engkau cintai, melainkan pasti aku melakukannya semata-mata kerana Engkau.' Allah berfirman : 'Engkau dusta! Engkau berbuat yang demikian itu supaya dikatakan seorang dermawan (murah hati) dan memang begitulah yang dikatakan (tentang dirimu).' Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeretnya atas mukanya dan melemparkannya ke dalam neraka.’” 

(Hadis Riwayat Muslim)

240. Soalan : Apakah amalan soleh yang boleh menjauhkan diri kita daripada api neraka?

Terdapat beberapa amala-amal soleh yang akan membantu kita daripada terjerumus ke dalam neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
1. Jangan marah kepada orang lain dan banyak memberi kemaafan. 

2. Jauhilah makanan haram dan syubahat. 

3. Tutuplah keburukan orang lain nescaya Allah akan menutup keaiban kita pada hari kiamat 

4. Sentiasa mengalir air mata penyesalan kerana dosa-dosa yang dilakukan kepada Allah SWT. 

5. Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian ( bala ) daripada Allah SWT. 

6. Banyakkan bersedekah dalam keadaan sembunyi ( tidak diketahui ) dan menghubungkan kasih sayang dan silaturahim. 

7. Bersabar di dunia dengan bala dan musibah dan reda dengan qada dan qadar Allah SWT.

8. Bersih hati daripada hasad dengki dan iri hati, jauhkan diri daripada memfitnah, mengumpat dan mengadu domba.
Read More

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 13

Soal Jawab Agama Siri 13 

( Mengenai Perselisihan Faham Umat Islam, Sifat Munafik, Hukum Hantar Jenazah, Istiqamah, Menuntut Ilmu, Mengambil Wuduk, Tayamum dan Lain-lain).)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Soal Jawab Agama Siri 13 adalah memberi penjelasan mengenai perselisihan faham umat Islam, sifat munafik, hukum hantar jenazah, istiqamah, menuntut ilmu, mengambil wuduk, tayamum, kelebihan solat subuh dan solat isyak berjemaah, hukum dedahkan gambar lama di laman sosial dan lain-lain lagi.

241.Soalan: Jika terdapat perselisihan faham dan perteligkahan di antara saudara muslim apakah yang harus kita lakukan sebagai umat Islam yang cintakan keamanan dan perdamaian?

Seorang mukmin akan sentiasa berusaha untuk mendamaikan jika berlaku perselisihan dan persengkitaan di antara dua saudara muslim. Walau pun mungkin kita tidak mampu menyatukan mereka dengan satu pandangan tetapi sekurang-kurangnya kita mampu mendamaikan dan mengujudkan suasan yang lebih harmoni kerana prinsip yang perlu kita pegang, "Bekerjasama di dalam perkara yang dipersetujui dan bermaaf-maafan di dalam perkara yang di perselisihkan selagi perkara tersebut bukan menyentuh masalaah prinsip."


Masing-masing perlulah di ajak kembali kepada al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.


Firman Allah SWT maksudnya : "Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya” (Surah An-Nisaa (4) ayat 59)

Nabi SAW bersabda maksudnya :  “Seorang mukmin terhadap mukmin yang lainnya seperti bangunan yang saling mengokohkan satu dengan yang lain.” (Hadis Riwayat Bukhari  dan Muslim).

Meski pun Rasulullah SAW berkali-kali mengingatkan umatnya tentang erti persaudaraan, namun tetap saja diantara kita saling menyakiti, saling merendahkan dan saling menjatuhkan satu sama lain.

Firman Allah SWT maksudnya  : “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.” (Surah  Al-Hujuraat ayat 10).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Perumpamaan mukmin dalam hal saling mencintai dan berkasih sayang adalah ibarat satu satu tubuh, apabila satu organnya merasa sakit, maka seluruh tubuhnya turut merasakan hal yang sama, sulit tidur dan merasakan demam.” (Hadis Riwayat Muslim).

242.Soalan: Bagaimanakah hendak mengetahui orang munafik pada masa kini?

Sifat munafik yang boleh kita kenal pada masa kini adalah mereka yang tidak menjalankan amanah dan sering melakukan penghianatan kepada tanggungjawab agama, bila bercakap seringkali berbohong dan berdusta, mungkir janji dan menipu. Undang-undang Allah SWT yang lengkap dan sempurna tidak ingin didaulat dan dilaksanakan. Malahan mereka mengatakan undang-undang Allah SWT tidak sesuai dengan zaman sekarang dan dalam masyarakat majmuk.

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : "Empat perkara barangsiapa berada didalamnya maka jadilah dia munafik yang tulin, dan barangsiapa ada padanya sesuatu sifat darinya maka akan ada padanya sifat nifak sehingga dia meninggalkannya. 
Antaranya :1. Apabila diamanahkan kepadanya dia akan khianat. 2. Apabila berbicara atau bercakap dia akan berdusta. 3. Apabila berjanji dia akan mungkir janji. 4.Apabila mendakwa dia akan menipu".(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash r.a)

Ulama membahaskan kita tidak dapat mengenal orang munafik, secara jelas dan tidak boleh kita menuduh seseorang itu munafik, tetapi kita dapat mengetahui tanda-tanda orang munafik seperti di nyatakan di dalam hadis di atas.

243.Soalan: Adakah menghantar jenazah untuk dikebumikan hukumnya fardu kifayah?

Benar menghantar jenazah adalah fardu kifayah iaitu apabila ada dikalangan umat Islam menguruskannya maka orang lain akan terlepas daripada tanggungjawab tersebut.

Tetapi sebaik-baik mukmin adalah sentiasa melakukan kebaikan dan tidak akan membiarkan  amalan baik berjalan begitu sahaja kerana besar pahalanya di sisi Allah SWT apabila kita mengiringi jenazah hingga ke pengkebumian.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda (maksudnya) :“Barang siapa yang mengiringi jenazah orang Islam kerana iman dan mengharapkan pahala dari Allah, dan ia bersamanya sehingga jenazah itu disolatkan dan selesai dikebumikan, maka ia kembali mendapat pahala dua qirath yang masing-masing qirath seperti Gunung Uhud. Barang siapa yang menyembayangkannya (solat jenazah)  dan ia kembali sebelum dikebumikan maka ia kembali dengan satu qirath.”

244.Soalan : Apakah amalan yang paling di sukai oleh Allah SWT ?

Amalan yang paling di sukai oleh Allah Azza Wajalla dalam agama apabila ia melakukan amalan secara istiqamah iaitu berterusan. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Merekalah ahli syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.” (Surah Al-Ahqaaf, ayat 13 dan 14)

Allah SWT menyukai amal ibadah dan amal soleh yang di lakukan sedikit tetapi berterusan dan istiqamah. 

245. Soalan : Apakah kelebihan orang yang menuntut ilmu?

Banyak kelebihan orang yang menuntut ilmu yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis       Nabi  SAW. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Allah akan mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Teliti apa yang kamu kerjakan." (Surah Al-Mujadalah ayat 11)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan menghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan." (Hadis Riwayat Abu ad-Darda' r.a)

Sabda Rasulullah SAW :

- عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ. (ابن ماجه وغيره)

Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam." (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan lain-lain)

Penuntut ilmu agama adalah bakal muballigh (penyampai maklumat) Islam, maka merekalah yang akan menyebarkan agama Allah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah kepada rasul-Nya.

Menuntut ilmu agama adalah tidak tertentu kepada satu-satu golongan sahaja melainkan ia adalah wajib dituntut oleh setiap orang Islam demi menjamin kehidupan yang sempurna di dunia dan akhirat.

246.Soalan: Adakah berdosa sekiranya seseorang menuntut ilmu agama tetapi tujuannya untuk mendapat habuan duniawi semata-mata?

Jika seseorang berhajat menuntut ilmu agama maka mestilah mengikut adab-adab yang telah ditetapkan oleh Islam. Adab menuntut ilmu hendaklah ikhlas dan diniatkan di dalam hati kerana Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada hari kiamat.”(Hadis Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesiapa yang mempelajari ilmu yang boleh mendapatkan keredhaan Allah, sedangkan dia mempelajarinya kerana ingin mendapatkan habuan dunia, dia tidak akan dapat mencium bau syurga di hari akhirat kelak.”(Hadis Riwayat Abu Daud)

Orang berilmu perlulah melaksanakan ilmu yang dipelajarinya kemudian ilmu tersebut hendaklah disampaikan pula kepada orang lain. Jangan sembunyikan kebenaran untuk mencari keredhaan manusia walau pun orang tersebut pemimpin negara.

247.Soalan: Adakah orang jahil yang tidak mahu menuntut ilmu akan di tanya oleh Allah SWT di hari akhirat?

Orang jahil yang tidak berilmu jika dia melakukan dosa dan maksiat akan mendapat balasan di hari akhirat nanti, alasannya kerana dia jahil tidak akan diterima, kerana banyak masa yang dia miliki ketika di dunia kenapa tidak mahu menuntut ilmu?

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”( Hadis Riwayat al-Bazzar)

Orang-orang yang berilmu akan pula dimudahkan jalannya ke syurga oleh Allah dan senantiasa didoakan oleh para malaikat, sedangkan orang jahil mudah tergelincir daripada landasan yang benar dan mudah dimasukkan ke dalam neraka.

248.Soalan:  Apakah fadilat dan kelebihan berwuduk dengan sempurna?

Dari Umar bin Khattab r.a, dari Nabi SAW bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud :"Tidaklah salah seorang di antara kamu berwuduk, maka ia sempurnakan wuduknya kemudian berkata, 'Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya,' kecuali dibukakan baginya delapan pintu syurga, ia boleh masuk dari mana sahaja yang dikehendakinya." (Hadis Riwayat Muslim )

Hadis ini berbicara tentang fadilat wuduk dan maqam orang yang berwuduk, serta bagaimana wuduk itu mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia disisi Allah. Wuduk yang dimaksudkan di sini bukan sekadar perlaksanaan secara formal akan gerakan-gerakan yang ada di dalamnya, akan tetapi sebuah kesempurnaan.

Di dalam hadis yang lain Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : "Jika seorang hamba yang muslim atau mukmin berwuduk ketika ia basuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya semua kesalahan yang dilihat dengan kedua matanya bersama air atau bersama tetes air terakhir. Jika membasuh kedua tangannya, keluarlah dari kedua tangannya semua kesalahan yang dilakukan tangannya bersama keluarnya air atau tetes terakhir air. Jika membasuh kedua kakinya, keluarlah semua kesalahan yang diperbuat kakinya bersama air atau tetes terakhir air, sampai ia selesai wuduk dalam keadaan bersih dari dosa." (Hadis Riwayat Muslim).


Sentiasa berwuduk adalah amalan dan sunah Nabi SAW .Orang mukmin akan sentiasa memperbaharui wuduk jika terbatal.

249. Soalan : Adakah terbatal wuduk jika ada keraguan dan apakah syarat-syarat sah wuduk?

Tidak perlu berwuduk kembali jika ada keraguan sehingga dia yakin telah terbatal kerana perbuatan itu sejajar dalam sepotong riwayat Mu'allaq:  ”Tidak wajib wuduk kecuali jika engkau mendapatkan baunya atau mendengar suaranya (kentut).”

 Terdapat 10 perkara syarat-syarat sah wuduk :

1. Islam. 2. Tamyiz / berakal. 3. Air mutlak yang suci lagi menyucikan. 4. Telah nyata dalam keadaan berhadas. 5. Tidak ada perkara yang membatalkan wuduk ketika mengerjakan wuduk. 6. Tidak terdapat penghalang pada anggota wuduk semasa berwuduk. 7. Meratakan air pada seluruh anggota wuduk yang wajib. 8. Mengetahui cara-cara berwuduk. 9. Dapat membezakan antara yang fardu dan yang sunat wuduk. 10. Melebihkan basuhan atau usapan pada anggota-anggota wuduk untuk mendapatkan kesempurnaan dalam berwuduk.

250.Soalan: Kenapa kita digalakkan melakukan amalan-amalan sunat?

Mengamalkan perbuatan perbuatan sunat sebagai bukti kita cinta pada Allah sepertimana kita dapat lihat kekasih Allah Nabi Muhammad SAW  walaupun dijanjikan syurga baginda tetap melakukan amalan-amalan sunat .Nabi SAW solat malam hingga bengkak-bengkak kaki baginda. 

Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk melakukan amalan-amalan sunat untuk menampung amalan fardu jika terdapat kekurangan. Orang mukmin yang mengamalkan amalan seperti yang disebutkan di dalam al-Quran dan hadis adalah mukmin yang beruntung kerana mereka dianugerahkan dengan pelbagai keistimewaan dan kelebihan di dunia dan di akhirat nanti kerana setiap amalan dapat ganjarannya. 

Dari Abu Hurairah r.a  Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya amalan pertama akan dihisab pada seseorang hamba ialah solatnya. Jika solatnya baik maka sesungguhnya beliau telah berjaya dan selamat dan sekiranya solatnya rosak maka sesungguhnya rugi dan binasalah ia.

Sekiranya berlaku sesuatu kekurangan pada solat fardunya, maka Tuhan Pemelihara Azza wa Jalla akan berfirman (kepada para malaikat-Nya) : Lihatlah oleh kamu adakah hamba-Ku mempunyai ibadat tathowwu’ (sunat)?

Lalu solat fardunya itu disempurnakan dengan solat tathowwu’-nya itu. Kemudian seluruh amalan dihisab sedemikian juga.”  (Hadis Sahih Riwayat  At-Tirmidzi dan An-Nasa’i. Juga dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Al-Hakim dll dengan lafaz sedikit berbeza)

Penjelasan dan Pengajaran : 

1.  Ibadat tathowwu’ (sunat) adalah salah satu dari cabang amalan-amalan mandub (sunat). Antara contoh ibadat tathowwu’ seperti sedekah, puasa Isnin dan Khamis, solat sunat dan sunat muakkad. Dipanggil juga sunat tambahan atau nafilah. (Sila rujuk ilmu usul fiqh).

2. Mengenai kekurangan solat fardu, ulama mempunyai pelbagai pendapat. Antaranya, kekurangan kerana kurang khusyuk dalam solat, kekurangan bilangan solat fardu, kekurangan kesempurnaan solat dan lain-lain.

Jangan sesekali kita memandang remeh ibadah sunat. ‘Ibadah sunat adalah perkara yang apabila dikerjakan, mendapat pahala yang boleh menyelamat dari azab dan apabila ditinggalkan, akan mengalami kerugian yang besar.

Seperti amalan solat berjemaah. Sabda Nabi SAW maksudnya : “ Barang siapa yang pergi ke masjid untuk berjemaah maka satu langkah akan menghapuskan kesalahan (dosa) dan yang satu langkah lainnya dituliskan kebaikan. Hal ini berlangsung pada saat berangkat mahupun pulang.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban).

251.Soalan: Kenapa orang sekarang tidak takut kepada Allah, tidak mengikut hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Allah SWT malah bermegah megah dengan hal dunia?

Hidup kita di dunia ini hanyalah sementara sahaja sedangkan hidup kita yang kekal abadi adalah di hari akhirat. Mereka yang tidak takut kemurkaan Allah SWT dengan melakukan maksiat, bermegah-megah dengan harta dan engan melaksanakan hukum-hukum Allah SWT sebenarnya dia adalah orang yang sombong. Allah SWT benci dan murka kepada orang kaya tetapi sombong dengan kekayaannya dan bermegah-megahan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, Bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).” 
(Surah al-Qashash ayat 78) 

Allah SWT secara terang-terangan memberi amaran keras kepada manusia yang bermegah-megah dengan harta hingga menunjuk-nunjuk sebagai satu kebanggaan buat diri mereka. Amaran ini diulangi beberapa kali dengan jelas supaya manusia benar-benar mengingati-Nya dan tidak menjadikan harta sebagai sembahan. Allah SWT mengutuk dengan sekeras-kerasnya sikap ini sehingga Dia menjanjikan azab yang maha pedih buat manusia-manusia yang ingkar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! Demi sesungguhnya! kalaulah kamu mengetahui - (Apa yang kamu akan hadapi) - Dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat). (ingatlah) Demi sesungguhnya! - kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.” (Surah at-Takaatsur, ayat 1-6)

252. Soalan: Adakah kita berdosa jika kita sedekahkan wang ringgit kepada negara luar yang mengalami kesulitan sedangkan negara kita lebih ramai yang mengalami kesulitan?

Umat Islam adalah bersaudara tidak kira samaada di dalam negara kita sendiri atau pun negara luar. Jika saudara kita dinegara luar memerlukan bantuan segera kerana bencana alam, peperangan, penindasan oleh musuh-musuh Islam seperti di Palestin, Myanmar, Cina dan ditempat-tempat lain maka kita wajib membantunya atas dasar satu akidah dan satu agama (syariat Islam). Islam tidak boleh dipisahkan dengan sempadan geografi kerana setiap muslim itu bersaudara.

Tetapi jika kita dapati negara kita sendiri sedang mengalamai bencana seperti banjir, tanah runtuh,  lebih afdhal atau lebih baik bersedekah di negara kita, Rasulullah SAW berpesan yang lebih baik adalah keluarga kita, jiran kita, hujung kampung, negeri lain dan seterusnya. Islam mengajar kita bahawa yang memberi lebih baik dari yang menerima. Tangan yang diatas lebih baik dari tangan yang dibawah.

Rasulullah SAW dalam hadisnya ada menyatakan: ”Tangan yang diatas lebih baik daripada tangan yang dibawah. Tangan yang diatas adalah pemberi dan tangan yang dibawah adalah penerima.” ( Hadis Riwayat Muslim )

253.Soalan: Bagaimanakah hendak mengambil wuduk jika ketiadaan air?

Jika ketiadaan air untuk mengambil wuduk maka diharuskan kita bertayamum.

Firman Allah SWT maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) Iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu Junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikma-tNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Maa’idah ayat 6)

254. Soalan : Apakah dia tayamum dan syarat-syarat di benarkan bertayamum?

Tayamum adalah pengganti wuduk atau mandi wajib yang tadinya seharusnya menggunakan air bersih digantikan dengan menggunakan tanah atau debu yang bersih. Yang boleh dijadikan alat tayamum adalah tanah suci yang ada debunya. Dilarang bertayamum dengan tanah berlumpur, bernajis atau berbingkah. Pasir halus, pecahan batu halus boleh dijadikan alat melakukan tayamum.

Orang yang melakukan tayamum lalu solat, apabila air sudah tersedia maka ia tidak wajib mengulang solatnya. Namun untuk menghilangkan hadas, harus tetap mengutamakan air daripada tayamum yang wajib hukumnya bila sudah tersedia. 

Tayamum untuk hadas hanya bersifat sementara dan darurat hingga air sudah ada.

Sebab / Alasan Melakukan Tayamum :

- Dalam perjalanan jauh
- Jumlah air tidak mencukupi kerana jumlahnya sedikit
- Telah berusaha mencari air tapi tidak berjumpa
- Air yang ada suhu atau kedaannya mengundang kemudharatan
- Air yang ada hanya untuk minum
- Air berada di tempat yang jauh.
- Pada sumber air yang ada terdapat keadaan yang membahayakan diri
- Sakit dan tidak boleh terkena air

Syarat Sah Tayamum :

- Telah masuk waktu solat
- Memakai tanah berdebu yang bersih dari najis dan kotoran
- Memenuhi alasan atau sebab melakukan tayamum
- Sudah berupaya / berusaha mencari air namun tidak ketemu
- Tidak haid maupun nifas bagi wanita / perempuan
- Menghilangkan najis yang yang melekat pada tubuh

Sunat Ketika Melaksanakan Tayamum :

- Membaca basmalah
- Menghadap ke arah kiblat
- Membaca doa ketika selesai tayamum
- Medulukan kanan dari pada kiri
- Meniup debu yang ada di telapak tangan
- Menyilangkan jari- jari setelah menyapu tangan hingga siku.

Rukun Tayamum :

- Niat Tayamum.
- Menyapu muka dengan debu atau tanah.
- Menyapu kedua tangan dengan debu atau tanah hingga ke siku.

255. Soalan : Saya hendak tanya perempuan yang berada dalam keadaan (haid) boleh tak potong kuku dan rambut yang gugur perlu disimpan untuk mandi wajib nanti. atau boleh ditanam terus kuku dan rambut yang gugur?

Untuk menjawab persoalan ini di kemukakan jawapan Imam Ibn Taymiah di dalam kitabnya Ghiza' al-albab, 1/382).

Beliau berkata: "Tidak aku ketahui hukum makruh membuang rambut dan bulu dan kuku ketika junub, bahkan Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya seorang mukmin tidak najis (tubuhnya) sama ada hidup ataupun mati", malah Nabi memberitahu: "Buangkan darimu bulu-bulu kufur (yang tidak dicukur semasa kafir) dan berkhatanlah (apabila masuk Islam)."

Maka jelaslah bahawa dibenarkan, bahkan tidak dilarang untuk mencukur atau membuang apa-apa yang lebih daripada kebiasaannya yang tumbuh di tubuh kita.

Oleh kerana arahan Rasulullah tidak menunjukkan sebarang penangguhan cukur selepas mandi. Demikian juga diperintah wanita haid agar menyikat rambutnya semasa mandi junub, yang mana diketahui bahawa dengan menyikat ini boleh menggugurkan rambut (sebelum tamat mandi). Wallahualam

256. Soalan : Saya hendak tanya apakah keutamaan solat subuh dan isyak berjemaah? 

Rasulullah SAW bersabda, ”Tidak ada solat yang lebih berat buat orang-orang munafik dari solat Isyak dan solat Subuh. Seandainya mereka tahu keutamaan keduanya, pastilah mereka akan mendatanginya meski dengan merangkak" 
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Banyak kebaikan dan keutamaan solat subuh dan isyak berjemaah : Orang yang sembahyang Subuh berjamaah seolah-olahnya dia sembahyang sunat seluruh malam dan orang yang sembahyang Isyak berjamaah seolah-olahnya dia menghidupkan separuh malam.

Sabda Rasulullah SAW.

مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ
صحيح مسلم)

Maksudnya :" Sesiapa yang sembahyang Isyak pada satu jamaah seolah-olahnya dia sembahyang separuh malam, dan sesiapa yang sembahyang Subuh pada satu jamaah seolah-olahnya dia sembahyang seluruh malam." (Hadis Riwayat Muslim)

257. Soalan : Seseorang Isteri wajib taat kepada suami; suami tidak wajib taat kepada Isteri."... Minta ustaz hurai dan kupas maksud dan makna dan dalam hal bagaimana dan mencakupi bagaimana dan mencakupi perkara apa sebenarnya?

 Terdapat beberapa hadis mengenai kewajipan isteri mentaati suami : Taat isteri boleh dilihat dari hadis-hadis yang banyak diriwayatkan, seperti:

1. Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila ia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya.” (Hadis Riwayat Muslim)

2. Al-Imam Bazzar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka." (Hadis riwayat Al Imam Bazzar)

3. Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Hadis Riwayat Ahmad)

4. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sekiranya aku (boleh) menyuruh manusia menyembah manusia nescaya aku akan menyuruh isteri menyembah suaminya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

258. Soalan : Saya hendak tanya biasanya perempuan termasuk saya kalau seminggu sebelum dan tengah datang bulan sentiasa hendak marah pada orang lain tanpa sebab. Boleh ustaz jelaskan bagaimana saya hendak mengatasi masaalah tersebut.

Orang mukmin sentiasa berlemah lembut, tidak mudah marah sentiasa mengawal emosi. Ingat marah itu datangnya daripada godaan syaitan, walaupun dalam keadaan uzur wanita boleh berzikir dan baca al-Matsurat supaya masa tak solat itu ada amalan-amalan zikir yang mengingati Allah SWT. Amalan-amalan yg boleh dilakukan beristighfar, berzikir, bersedekah, memberi salam semua amalan ini memberi kekuatan kepada diri kita untuk menangkis godaan dan hasutan syaitan. Bila terasa marah banyakkan beristighfar dan ingat Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat  mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia  berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi SAW  lagi yang bermaksud : "Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Al Imam Al Hasan Al Bashri rahimahullah berkata: “Empat hal, barangsiapa yang mampu mengendalikannya maka Allah akan menjaga dari syaitan dan diharamkan dari neraka : iaitu seseorang mampu menguasai nafsunya ketika berkeinginan, cemas, syahwat dan marah.”

259. Soalan : Saya ingin bertanya apakah hukum seorang menantu yang selalu tidak puas hati dengan ayah dan emak mertuanya. Dia selalu berkata yang emak mertuanya itu "membela" dan macam-macam lagi kerana rumah mereka berdekatan, dia tak boleh lihat orang lain lebih sikit daripadanya.

Dalam ajaran Islam menjalani hubungan kekeluargaan dan membina ikatan silaturahim adalah sangat di tuntut sehingga Nabi SAW menyatakan tidak akan masuk syurga sesiapa yg memutuskan silaturahim. Perlu diingat anak menantu wajib menghormati kedua ibu bapa mertuanya. Berdosa besar jika membuat tuduhan tanpa bukti dan menimbulkan pergaduhan di antara ahli keluarga. Baginda melarang umatnya tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Sepatutnya anak menantu mengasihi ibu bapa mertuanya sama seperti dia mengasihi ibu bapanya sendiri. 

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Bukan dari kalangan umatku yang sempurna, orang yang tidak mengasihi yang kecil dari kalangan kami dan tidak mengenal kemuliaan orang yang lebih tua di kalangan kami" (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Ciri-ciri ahli syurga itu hatinya bersih tidak ada buruk sangka, hasad dengki atau perasaan iri hati di atas kelebihan orang lain. Jiwanya sentiasa tenang dan suka membantu orang lain terutama ahli keluarga sendiri. Wallahulam.

260. Soalan : Sekarang saya sudah tutup aurat, tapi banyak gambar-gambar dahulu di facebook tak tutup aurat. Jika ditakdirkan saya mati dan saya tak hapuskan gambar-gambar tersebut adakah ianya akan bawa saya ke neraka? 

Jika kita dahulu tak tutup aurat dan sekarang sudah tutup aurat maka kita perlulah padamkan semua gambar-gambar lama samaada di facebook, blog , twiter dan lain-lain. Jika rakan-rakan ada menyimpannya suruh mereka padamkan. Jika kita sudah bertaubat dan tak mampu nak hapuskannya maka kita serahkan pada Allah SWT banyakkan beristighfar dan bersedekah. Allah SWT Maha Mengetahui hati-hati kita yang telah bertaubat dan ingin kembali mentaati perintah-perintah Allah SWT.

Allah SWT. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (Surah Al-Baqarah ayat 222)

 Bersambung...
Read More

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML