Soal Jawab Agama Siri 121 (Terlelap Semasa Solat, Saf Wanita, Semasa Iddah, Ziarah Wanita Dan Solat Berjemaah)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 121 adalah membicarakan persoalan terlelap semasa solat, saf wanita, isteri berhiasa semada iddah, lelaki menziarahi wanita solat berjemaah di masjid.
886. Soalan : Ustaz, apakah hukumnya sekiranya kita terlelap/tertidur sekejap ketika solat, terutamanya solat subuh. adakah solat akan terbatal.
Jawapan :
Biasanya kita hanya mengantuk sahaja di tengah solat (yakni terlelap, bukan tertidur). Mengantuk tidaklah membatalkan solat (sebagaimana tidak membatalkan wuduk) tanpa ada khilaf di kalangan ulama sama ada mengantuk/terlelap itu berlaku ketika kita sedang berdiri, rukuk, sujud atau duduk. Adapun jika kita benar-benar tertidur ketika sedang solat, maka hukumnya menurut mazhab Syafiie adalah seperti berikut;
1. Jika tidur itu berlaku semasa sedang duduk iaitu punggung kita berada tetap di atas lantai, tidaklah batal solat.
2. Jika tidur itu berlaku semasa sedang berdiri atau sedang rukuk atau sujud, batallah solat mengikut pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafiie.
Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi dalam kitabnya “al-Majmuk”; “Jika seseorang tidur di dalam solatnya pada ketika sedang duduk iaitu punggungnya tetap di atas lantai, tidak batal solatnya tanpa khilaf (di kalangan ulamak mazhab Syafiie). Jika ia tidur bukan ketika duduk (yakni ketika berdiri, rukuk atau sujud), terdapat khilaf. Mengikut pandangan yang lemah; tidak batal solat dan wuduknya. Namun mengikut pandangan yang menjadi pegangan mazhab (Syafiie); batal solat dan juga wuduknya” (al-Majmu', 2/16. Dinaqalkan secara mafhum).
Jika seorang tertidur hingga ia bercakap di dalam solatnya (dengan percakapan yang bukan solat), batallah solatnya. Berkata Imam al-Walwaliji dalam fatwanya; “Orang yang menunaikan solat jika ia tertidur dan bercakap ketika sedang tidur itu, batallah solatnya” (Dinaqal oleh Imam Ibnu Nujaim dalam kitabnya al-Asybah wa an-Nazair, 1/276).
Mengenai perbezaan antara mengantuk (terlelap) dengan tidur, dijelaskan oleh ulama seperti berikut;
a) Tidur menguasai akal dan deria (yakni akal dan deria tidak berfungsi lagi kerana dikuasai oleh tidur), sedang mengantuk hanya melemahkan akal dan deria sahaja (yakni akal dan deria masih berfungsi, cuma ia lemah sahaja kerana dipengaruhi persaan mengantuk).
b) Berkata al-Qadhi Husain dan Imam al-Mutawallai; tanda tidur ialah hati tidak merasai apa-apa lagi dan sendi-sendi badan akan jatuh/longlai.
c) Menurut ulama juga; di antara tanda mengantuk ialah kita masih mendengar ucapan orang yang hampir dengan kita sekalipun kita tidak memahami apa yang dikatakanya. Adapun mimpi ia adalah dari tanda tidur (maknanya, jika terlelap hingga sampai bermimpi, itu tandanya kita telah tertidur).
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 2/13 (bab al-Ahdas allati Tanqudhu al-Wudhu’).
2. Al-Mausi’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (perkataan; Naum).
3. Al-Asybah wa an-Nazhair, Imam Ibnu Nujaim, 1/276.
887.Soalan : Rasulullah SAW bersabda maksudnya : ‘Sebaik-baik saf bagi lelaki ialah saf yang pertama dan seburuk-buruknya saf yang terakhir, manakala sebaik-baik saf bagi wanita ialah saf yang paling belakang dan seburuk-buruknya adalah saf yang pertama.’ (Hadis Riwayat Muslim).
Saya tidak jelas tentang saf wanita, minta ustaz memberikan pencerahannya?
Jawapan:
Hadis yang disebutkan ialah hadis sahih, namun di sisi sebahagian ulama, ia ditanggungkan atas keadaan ketika mana tiada halangan/tabir antara saf lelaki dengan saf wanita.
Maka, sekiranya wanita itu terlindung atau terpisah dengan lelaki, maka sebaik-baik saf wanita tetap saf pertama dan seburuk-buruknya ialah saf paling akhir. Sekiranya wanita berjemaah sesama mereka sendiri dan wanita menjadi imam maka saf yang paling baik adalah yang pertama dan yang paling buruk adalah dibelakang.
Justeru, mereka (wanita) juga perlu mengutamakan saf hadapan seperti lelaki kerana berdasarkan umum hadis berkenaan. Wallahualam.
[Majmuk Fatawa Ibn Baz (25/145)]
888. Soalan : Boleh ustaz jelaskan, apakah hukum nya, seorang isteri yang kematian suami, berhias untuk ke tempat kerja? Dia berhias bukan berniat untuk berkahwin lain tetapi berhias untuk diri sendiri. Harap ustaz dapat memberi jawapan pada soalan saya ini, Terima ksih.
Jawapan :
Soalan di atas merangkumi dua hukum;
Pertama : Hukum keluar berkerja
Kedua : Hukum berhias
Huraiannya :
Pertama : Hukum Keluar Berkerja :
Dibolehkan wanita yang kematian suami untuk keluar berkerja (atau untuk urusan-urusan lain yang perlu) asalkan ia pulang untuk bermalam di rumah suaminya selama masih dalam iddah (4 bulan 10 hari dari tarikh kematian suami, atau hingga melahirkan anak jika ia hamil).
Menurut jumhur ulama; diwajibkan ke atas isteri yang kematian suami untuk terus tinggal di rumah suaminya : Tidak keluar darinya melainkan untuk berkerja –jika ia seorang wanita berkerjaya- atau untuk menguruskan keperluan-keperluannya. Kewajipan itu berterusan hingga tamat iddahnya.
Dalilnya ialah sabda Nabi SAW kepada Fari’ah binti Malik r.a. (seorang wanita sahabat yang baru kematian suami); “Teruslah tinggal di rumahmu –iaitu rumah yang menjadi kediamanmu ketika datangnya berita kematian suamimu- sehingga berakhir iddahmu”. Berkata Fari’ah r.a; ‘Aku beriddah di rumah itu sehingga 4 bulan 10 hari’ (Musnad Imam Ahmad; 27087. Sunan Abu Daud; 2300. Status hadis; isnadnya hasan).
Kedua : Hukum Berhias.
Diharamkan ke atas wanita yang kematian suami untuk berhias selama dalam iddah itu. Perhiasan yang dilarang merangkumi; perhiasan diri (berinai, bersolek dan sebagainya), perhiasan pada pakaian dan juga barang-barang kemas (cincin/gelang emas atau perak, batu-batu permata dan sebagainya).
Dalilnya ialah sabda Nabi SAW maksudnya : “Wanita yang kematian suami; janganlah ia memakai pakaian yang dicelup dengan mu’asfar (pencelup berwarana kuning) atau misyq (pencelup berwarna merah), jangan ia memakai perhiasan (barang-barang kemas), janganlah ia mewarnai diri (*seperti berinai dan sebagainya), dan jangan ia bercelak” (Musnad Ahmad; 26581. Sunan Abu Daud; 2304. Dari Ummu Salamah r.a. Status hadis; isnadnya sahih).
Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda maksudnya : “Janganlah wanita berkabung atas suatu kematian melebihi 3 hari, kecuali atas kematian suaminya iaitu 4 bulan 10 hari, dan janganlah ia memakai pakaian yang dicelup (bercorak dan berwarna-warni), jangan bercelak dan jangan memakai wangian kecuali setelah bersuci dari haid; dibolehkan sedikit sahaja (untuk menghilangkan bau tidak enak pada faraj)” (Hadis Riwayat Muslim; 938/66, dari Ummu ‘Atiyah r.a.).
Menurut ulama; maksud larangan pakaian bercelup itu ialah yang dicelup untuk tujuan menghiasnya, jadi maksud larangan itu ialah; memakai pakaian yang berhias (bercorak dan berwarna warni). Maka wanita dalam iddah kematian suami hendaklah memakai pakaian yang biasa-biasa sahaja, berwarna apa sekalipun, asalkan tidak bercorak dan berwarna-warni dan tidak kelihatan tujuan untuk berhias. Tidak ditegah berpakaian elok. Tidak ada nas mewajibkan pakaian berwarna hitam atau yang mensunatkannya.
Tidak ditegah memotong kuku, membersih diri, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, menyisir rambut dan sebagainya kerana tiada dalil melarangnya. Turut tidak dilarang ialah mengemas rumah, menyembur pewangi rumah dan seumpamanya kerana yang dilarang ialah perhiasan dan wangian di badan sahaja.
Kesimpulannya; harus bagi isteri yang kematian suami untuk keluar berkerja semasa dalam iddahnya, namun janganlah ia berhias.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Syarah Ibnu Qasim, hlm. 172.
2. at-Talaq, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hifnawi, hlm. 420-426.
3. Tamam al-Minnah, Syeikh ‘Adil al-Azzazi, 3/230-240.
4. Fatawa ‘Ulama al-Balad al-Haram, hlm. 673.
5. Hasyiyah al-Baijuri ‘Ala Ibni Qasim, 2/180.
6. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi; 10/116.
889. Soalan: Tiga orang teman sekolah lelaki datang ke rumah teman sekolahnya yang perempuan. Di rumah tersebut ada ibu dan adik lelakinya yang telah baligh. Apakah hukumnya kehadiran lelaki tersebut dirumah teman sekelasnya yang perempuan, adakah dikira berdosa kerana berkhalwat?
Jawapan :
Istilah berduaan/bersunyian hilang apabila dihadiri bersama oleh orang lain. Oleh itu, para ulamak (antaranya Imam an-Nawawi) menfatwakan; jika perjumpaan antara lelaki dan wanita disertai oleh orang lain sama ada oleh lelaki yang menjadi mahram wanita itu (bapanya, abangnya, anaknya yang telah baligh dan sebagainya), atau wanita yang menjadi mahram lelaki tersebut (ibunya, kakaknya atau sebagainya), atau dihadiri bersama oleh wanita lain yang dipercayai yang menemani (seperti kes di atas; si wanita ditemani oleh ibu dan adik lelaki yang telah baligh), maka perjumpaan itu dibolehkan pada hukum Syarak kerana ia terkeluar dari makna khalwah (berduaan/bersunyian) yang dilarang Nabi SAW dalam hadis tadi (Lihat; Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi; jilid 9 (hadis; 1341).
Namun ia terikat dengan syarat; aman dari fitnah dan keraguan. (Lihat; Fatawa ‘Ulamak al-Baladil Haram, hlm. 679.)
Maka yang diharamkan ialah; berduaan/bersunyian antara seorang lelaki dan seorang wanita (keduanya ajnabi) tanpa dihadiri orang ketiga bersama mereka. Menurut Imam an-Nawawi; keharamannya telah diijmakkan ulama. Menurut beliau lagi; turut diharamkan ialah jika yang hadir bersama mereka itu ialah lelaki yang tidak disegani oleh mereka kerana masih kecil seperti anak berusia dua atau tiga tahun atau seumpamanya kerana kewujudannya sama seperti tiada. Begitu juga, turut diharamkan ialah jika berhimpun ramai lelaki dengan seorang wanita. Adapun jika berhimpun seorang lelaki dengan ramai wanita, mengikut pandangan yang soheh; dibolehkan (*dengan syarat tadi, iaitu; aman dari fitnah dan keraguan). (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).
Merujuk kepada soalan, maka diboleh seorang wanita menerima tetamu-tetamu lelaki dirumahnya dengan syarat mematuhi hukum-hakam dan adab yang telah ditetapkan Syariat, antaranya;
1. Dihadiri oleh orang lain yang disegani sebagaimana dijelaskan tadi
2. Tidak membuka aurat
3. Selamat dari fitnah dan keraguan
4. Menjaga adab-adab pergaulan lelaki dan perempuan; tidak berlaku ikhtilat.
5. Tidak disertai program maksiat
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi; jilid 9 (hadis; 1341).
2. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/268 (perkataan; ‘khalwah’).
3. Fatawa ‘Ulamak al-Baladil Haram, hlm. 679.
890. Soalan : Manakah lebih utama antara solat berjemaah dengan Isteri dirumah atau solat berjemaah di masjid? Tolong berikan penjelasan beserta dalil..?
Jawapan :
Bagi mereka yang duduk berhampiran dengan masjid, tuntutan bersolat dimasjid adalah diutamakan dari bersolat jemaah di rumah. Syiekh Ibn Qayyim rh. telah menyenaraikan beberapa pandangan para sahabat berkenaan keutamaan solat berjemaah dimasjid (Al-Salaah wa Hukm Taarikiha, ms.153) :-
a. Berkata Ibn Mas'ud ra.:-
ولقد رأيتنا وما يتخلف عنها إلا منافق معلوم النفاق .
"Aku telah melihat Kita (semasa hayat Nabi SAW) dan tidak ada yang tinggal (tidak bersolat di masjid) melainkan orang munafik yang diketahui akan kemunafikannya"
b. Berkata Ibn Mas'ud ra. juga :-
من سمع المنادي فلم يجب من غير عذر فلا صلاة له .
"Barangsiapa yang mendengar muazzin dan tidak menyahutnya tanpa sebarang keuzuran, maka tidak ada solat baginya"
c. Abu Musa al-Asha'ari ra. berkata :-
وعن أبي موسى الأشعري رضي الله عنه قال : من سمع المنادي فلم يجب بغير عذر فلا صلاة له .
"Barangsiapa yag mendengar muazzin dan tidak menyahutnya dengan sebarang keuzuran, maka tidak ada solat baginya"
d. 'Ali ra. berkata :-
لا صلاة لجار المسجد إلا في المسجد ، قيل : ومَن جار المسجد ؟ قال : مَن سمع المنادي
"Tidak ada solat seorang yang berjiran dengan masjid kecuali di masjid itu". Ada yang berkata :"Siapakah yang berjiran dengan masjid?", beliau berkata,"Barangsiapa yang boleh mendengar muazzin".
e. Diriwayatkan bahawa Hasan ibn 'Ali ra. berkata :-
من سمع النداء فلم يأته لم تجاوز صلاته رأسه إلا من عذر
"Barangsiapa yang mendengar azan dan tidak datang, maka solatnya tidak melepasi kepalanya melainkan dia uzur"
f. Diriwayatkan bahawa 'Ali ra. berkata :-
وعن علي رضي الله عنه قال : من سمع النداء من جيران المسجد وهو صحيح من غير عذر فلا صلاة له .
"Barangsiapa yang mendengar azan dari kalangan jiran kepada masjid, dan dia sihat dan tidak uzur, maka tidak ada solat baginya"
Kata-kata dari para sahabat diatas menggambarkan bahawa keutamaan bagi mereka yang berjiran dengan masjid, atau dengan kata lain, mereka yang dapat mendengar azan dari masjid (diandaikan tanpa bantuan alat pembesar suara), ialah menunaikan solat secara berjemaah di masjid! Imam Ahmad mengandaikan bahawa suara muazzin akan tidak kedengaran jika lebih dari satu farsakh atau lebih kurang 5km.
Berkata bekas Mufti Besar Arab Saudi, Syiekh Abdul Aziz bin Baaz rh :-
أما من يستطيع الوصول إلى المسجد فإنه يجب عليه ذلك عملاً بالأدلة الشرعية ، ومنها قوله صلى الله عليه وسلم : ( من سمع النداء فلم يأت فلا صلاة له إلا من عذر ) قيل لابن عباس رضي الله عنهما : ما هو العذر ؟ قال : ( خوف أو مرض ) . رواه ابن ماجه والدار قطني وصححه ابن حبان والحاكم وإسناده صحيح .
"Bagi mereka yang boleh sampai kepada masjid, maka sesungguhnya hendaklah dia melakukannya sebagaimana amalan ini merupakan dalil syariah, dimana Nabi SAW bersabda :'Barangsiapa yang mendengar seruan solat (azan) dan tidak datang, maka tidak ada solat baginya melainkan uzur'. Berkata Ibn Abbas ra :'Apakah dia uzur itu?' jawabnya :'Takut atau sakit'. [Hadis riwayat Ibn Maajah dan al-Daaraqutni; dikelaskan sebagai sahih oleh Ibn Hibban dan al-Hakim; Sanadnya sahih)" - [Majmu' Fataawa wa Maqaalaat li al-Syiekh Ibn Baaz, 6/23]
Bagi mereka yang jauh tempat tinggalnya dari masjid, hendaklah dia menunaikan solat berjemaah bersama-sama dengan isteri dan anak-anaknya. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment