Soal Jawab Agama Siri 34 (Doa Nabi Yunus a.s, Keberkatan, Doa Pergi Masjid dan Lain-lain)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 34 adalah menjawb persoalan mengenai doa Nabi Yunus a.s, keberkatan dalam Islam, doa pergi masjid, bersalaman dengan bakal mak mertua dan najis tahi cicak.
466.Soalan : Di dalam al-Quran terdapat banyak doa-doa yang diucapkan para Rasul untuk memohon keampunan kepada Allah SWT. Bolehkan ustaz terangkan sedikit fadilat doa Nabi Yunus a.s. yang terdapat di dalam al-Quran?
Di dalam al-Quran terdapat kisah Nabi Yunus a.s. yang boleh dijadikan pengajaran kepada para pendakwah bahawa tugas menyeru manusia kepada akidah tauhid dan kebenaran Islam perlu kepada kesabaran , istiqamah dan ketenangan. Seorang pendakwah dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan dakwah sedangkan hasilnya adalah urusan Allah SWT.
Allah SWT menceritakan hal itu dalam firman-Nya : “Dan (ingatlah kisah) Zun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahawa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya) maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap :
"Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk orang-orang yang zalim." (Surah al-Anbiya’ ayat 87)
Tidak ada seorang pun yang mengetahui perasaan dalam diri Nabi Yunus a.s. selain Allah SWT. Nabi Yunus a.s. cukup marah kepada kaumnya kerana keengganan mereka untuk beriman kepada Allah SWT. Dalam keadaan demikian, baginda meninggalkan kaumnya.
Doa Nabi Yunus a.s. yang dinukilkan di dalam al-Quran adalah :
"Laailahailaanta subhanainni kuntum minazzalimin"(Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk orang-orang yang zalim.)
Terdapat beberapa riwayat yang menyatakan fadilat doa Nabi Yunis a.s. :
“Barangsiapa mempunyai apa-apa hajat, hendaklah ia berwuduk, kemudian sujud kepada Allah, sambil membaca tasbih Nabi Yunus sebanyak 40 kali dengan cara jari telunjuknya menghadap ke arah kiblat ketika ia sujud. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian akan diperkenankan doa dan permintaannya.”
“Sesungguhnya aku ketahui satu kalimah yang apabila dibaca oleh mereka-mereka yang ditimpa bala atau kesusahan, Allah akan lepaskan si pembacanya dari kesusahan. Kalimah tersebut ialah tasbih saudaraku Nabi Yunus a.s. “La ilaha illa anta subhaanaka inni kuntu minazzalimin.”
467. Soalan : Solat berjemaah di masjid adalah solat yang sangat dituntut kerana fadilatnya 27 darjat lebih baik daripada solat bersendirian dirumah. Bolehkan ustaz jelaskan doa untuk pergi ke masjid?
Apabila mendengar seruan azan untuk solat fardu maka terdapat doa yang diajarkan oleh Nabi SAW untuk di amalkan untuk kita bersiap-siap ke masjid. Doa tersebut adalah seperti berikut :
Maksudnya : "Ya Allah ciptakanlah cahaya di hatiku, cahaya di lidahku, cahaya di pendengaranku, cahaya di penglihatanku, cahaya dari atasku, cahaya dari bawahku, cahaya di sebelah kananku, cahaya di sebelah kiriku, cahaya dari depanku, dan cahaya dari belakangku. Ciptakanlah cahaya dalam diriku, perbesarlah cahaya untukku, agungkanlah cahaya untukku, berilah cahaya untukku, dan jadikanlah aku sebagai cahaya. Ya Allah, berilah cahaya kepadaku, ciptakan cahaya pada urat sarafku, cahaya dalam dagingku, cahaya dalam darahku, cahaya di rambutku, dan cahaya di kulitku. Ya Allah, ciptakanlah cahaya untukku dalam kuburku … dan cahaya dalam tulangku. Tambahkanlah cahaya untukku, tambahkanlah cahaya untukku, tambahkanlah cahaya untukku" (Hadis Riwayat Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad no. 695)
Nabi SAW mengajarkan kepada kita bahawa apabila kita berniat untuk ke masjid untuk solat fardu maka berdoalah kepada Allah SWT supaya diri kita diliputi cahaya, bermula daripada hati kita (hati adalah raja punca segala kebaikan ) kemudian lidah kita (supaya lidah membaca al-Quran, menyampaikan ilmu dan mengajak kebaikan), pendengaran kita (supaya telinga banyak mendengar perkara baik, majlis ilmu dan bacaan al-Quran), penglihatan kita (supaya mata digunakan untuk melakukan ketaatan).
Kemudian kita memohon kepada Allah SWT memberikan cahaya kepada 6 dimensi (atas, bawah, kanan, kiri, depan dan belakang) kenapa perlu kepada 6 dimensi? Ini adalah kerana iblis berjanji di hadapan Allah SWT agar dia akan menggoda anak cucu Adam dalam semua arah. Oleh itu kita minta perlindungan Allah SWT daripada godaan dan hasutan iblis dan syaitan. Cahaya yang meliputi 6 dimensi akan menjadi penghadang dan pendinding daripada gelombang buruk yang dibawa oleh iblis dan syaitan.
Iblis telah berjanji akan menipu dan memperdaya manusia dari setiap penjuru hidup, dari depan ,dari belakang, dari kanan, dan dari kiri.
468. Soalan : Apakah maksud berkat di dalam Islam ? Dan apakah tanda-tanda terdapat keberkatan pada umur , rezeki dan ilmu?
Perkataan berkat (barakah) bermaksud perkembangan dan kebaikan. Secara umumnya maksud berkat (barakah) disini adalah memohon restu dari Allah SWT agar dikurniakan kebaikkan yang berkembang. Berkat ini tidak syak lagi adalah dengan keizinan Allah SWT..
Firman Allah SWT :
وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُبَارَكًا
Maksudnya "Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya (keberkatannya)" (Surah Qaaf ayat 9)
Allah SWT bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang. tanda Allah SWT kasih kepada hamba-hamba-Nya adalah Allah SWT memberi pertolongan, rahmat dan keberkatan dalam kehidupan .
1. Keberkatan pada umur :
Tanda-tanda keberkatan pada umur adalah semakin panjang umur maka semakin banyak amal soleh dan amal kebajikannya dan meninggalkan dosa dan maksiat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik manusia menurut pandangan Allah (Islam) ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula perbuatannya, sedang seburuk-buruk manusia ialah orang yang panjang umurnya tetapi buruk pula perbuatannya" (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim)
2. Keberkatan pada rezeki :
Tanda keberkatan pada rezeki walaupun sedikit tetapi mencukupi. Rezeki yang berkat adalah rezeki yang diperolehi daripada sumber-sumber yang halal. Dan digunakan pula rezeki tersebut untuk kebaikan dan di jalan Allah SWT
Apabila kita mensyukuri rezeki Allah SWT maka Allah SWT akan memberkati hidup kita dan Dia akan memberi tambahan rezeki dijalan yang tidak disangka-sangka.
Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya, “ Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang. ” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Setiap Mukmin hendaklah mempunyai sifat qanaah iaitu redha dan menerima apa yang ada tanpa banyak menuntut perkara yang bukan keperluannya. Lawan bagi sifat qanaah ialah tamak yang menjadikan seseorang itu sentiasa cemburu dan dengki dengan rezeki yang diperolehi oleh orang lain. Salah satu cara untuk menanamkan sifat qanaah kepada diri dan keluarga ialah dengan sentiasa mengucapkan ‘alhamdulillah’ di atas setiap perbuatan atau perkara baik yang diterima.
Rezeki adalah ketentuan Allah SWT . Untuk menambah keberkatannya hendaklah membiasakan diri dengan sifat pemurah dan tidak bakhil untuk bersedekah kepada orang lain kerana hal ini akan memberikan ketenangan kepada diri malah akan lebih disayangi oleh masyarakat kerana sesungguhnya, harta yang kita miliki terdapat hak-hak orang lain di dalamnya yang wajib kita tunaikan. Kekayaan yang sejati adalah kekayaan iman yang tercermin dari kesederhanaan hidupnya dan kesederhanaan itu tercermin dari sifatnya yang qanaah.
Kita sering mendengar berita orang kaya rezekinya melimpah ruah tetapi hidup keluarganya porak peranda, anak-anaknya menjadi penjenayah dan penceraian berlaku di antara suami istari. Ini menunjukkan tidak ada keberkatan rezeki yang mereka perolehi ada sesuatu yang tidak kena maka berlakulah keadaan seperti ini.
Kita juga mendengar suatu keluarga yang pendapatannya kecil menanggung anak-anak yang ramai tetapi anak-anaknya menjadi insan yan berakhlak mulia dan berjaya di dalam kerjaya dan kehidupan. Ini menunjukkan ada keberkatan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Allah telah berfirman, “ telah berfirman Allah kepada malaikat pembahagi ( pengedar ) rezeki kepada bani Adam : mana satu hamba-Ku yang kamu temui menujukan harapannya kepada Aku semata, maka jaminkanlah rezekinya langit dan bumi. Dan mana satu hamba-Ku yang kamu temui sedang mencari rezekinya, sesungguhnya dia sedang menuntut keadilan, maka lorongkanlah jalan-jalannya tetapi jika dia menuntut selain dari itu, maka biarkanlah antara mereka dengan apa yang mereka tuntut itu, kelak mereka tidak akan memperolehi lebih daripada apa yang telah Aku tentukan untuk mereka itu.” (Hadis riwayat Abu Naim)
Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah dalam apa jua keadaanpun, kerana kasih sayang Allah itu mendahului Kemurkaan-Nya. Dan pastikan sumber rezeki yang kita perolehi dari sumber yang halal dan tidak meninggalkan suruhan Allah SWT semasa mencari rezeki , rezeki yang diperolehi akan diberkati dan hidup kita akan sentiasa mendapat rahmat Allah SWT .
3. Keberkatan Pada Ilmu :
Ilmu yang bermanfaat secara mutlak di dunia dan akhirat adalah ilmu syar’i ( ilmu Islam ). ilmu yang pengamalnya yang diikhtiraf oleh Allah SWT. dan Rasulullah SAW. , ilmu ini adalah seperti yang diungkapkan oleh Imam Asy-Syatiby di dalam kitab Al Muwafaqot, “ Ilmu yang muktabar menurut syara ’ adalah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal, yang tidak membiarkan pemiliknya mengikuti hawa nafsunya bagaimanapun ia, bahkan ia mengikat pengikutnya dengan ilmu tersebut, yang membawa pemiliknya mematuhi aturan-aturannya suka atau tidak suka ”.
Mengenai ilmu pengetahuannya yang bermanfaat kepada orang lain. Dengan kata lain, segala ilmu yang dapat memberikan manfaat kepada orang lain dan dapat menambahkan ketakwaan mereka kepada Allah SWT. Maka selama ilmu itu masih dipelajari, selama itulah orang yang mengajarkannya pada peringkat permulaan itu akan mendapat pahala yang berterusan yang akan dimasukkan ke dalam catitan amalan kebajikannya. Antara lain, seperti apabila seseorang yang mengarang kitab untuk rujukan orang lain, maka selagi kitabnya dapat memberikan manfaat kepada orang lain, maka Allah akan mengurniakan ganjaran dan pahala yang berterusan kepada pengarang kitab tersebut.
Ilmu yang berkat adalah ilmu yang difahami, dilaksanakan dan disampaikan pada orang lain. Ilmu yang berkat juga akan mendekatkan diri kita kepada Allah SAW
469. Soalan : Saya nak tanya apakah hukum seorang lelaki salam tangan bakal mak mertua?
Dalam perkara ini, lelaki tersebut dilarang untuk bersalaman dengan bakal mak mertuanya tanpa sebarang lapik. Hal ini adalah kerana hubungannya dengan wanita tersebut adalah seperti mana hubungannya dengan bakal isterinya (ajnabia/asing).
Walau bagaimanapun, selepas bernikah dengan bakal isterinya, hubungannya dengan mak mertuanya adalah sama seperti mana hubungannya dengan mak kandungnya sendiri, iaitu hubungan yang mahram (tidak boleh berkahwin dengannya buat selama-lamanya) kerana telah bernikah dengan anaknya.
Demikianlah sistem perhubungan di dalam sebuah keluarga Islam. ia begitu menjaga status setiap individu yang berperanan di dalam keluarga tersebut. sebagai contohnya tahap ayah dan ibu mertua disamakan seperti ayah dan ibu kandung. Bersentuhan kulit dengan mereka tidak menyebabkan terbatalnya wuduk, dan seorang menantu tidak boleh berkahwin dengan mertuanya buat selama-lamanya kerana status mereka dengannya adalah seperti hubungan seorang ayah dengan seorang anak begitu juga sebaliknya.
470. Soalan : Saya nak tanya.adakah batal wuduk jika kita terpijak najis cicak?
Dalam persoalan ini, wuduk saudara tidak terbatal. Ini adalah kerana memijak tahi cicak ataupun apa jua jenis najis sekalipun tahi manusia tidak akan menyebabkan wuduk terbatal.
Apa yang perlu saudara lakukan hanyalah mencuci/membasuh tahi tersebut sehingga hilang sifat-sifatnya dan ciri-ciri najis seperti warna, bau dan juga rasanya (guna deria sentuhan).
Jika tahi manusia adalah najis muralazah, basuh hingga bersih dan hilang bau, rasa dan warnanya.
Setelah sifat najis hilang dan sertu telah dilakukan, saudara boleh terus bersolat ataupun menyentuh al-Quran.
No comments:
Post a Comment