Sunday, February 16, 2014

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 71

Soal Jawab Agama 71 (Dosa Pembunuhan, Pemerentah Yang Zalim, Suami Terminum Susu Badan Isteri Dan Lain-lain)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Soal Jawab Agama Siri 71 adalah menjelaskan persoalan dosa pembunuhan, pemerentah yang zalim, suami terminum susu badan isteri, cara mendidik anak-anak dan sabar di atas dugaan hidup.

641. Soalan : Setiap hari terdapat berita pembunuhan di sana sini. Pembunuhan berlaku kerana rompakan, balas dendam  dan kerana hendak menegakkan kerajaan tentera yang zalim. Bolehkan ustaz jelaskan hukum membunuh manusia dan penyeksaan yang akan diterima oleh pembunuh di hari akhirat nanti?

Jawapan :  

Membunuh manusia dengan sengaja tanpa sebab yang dibenarkan syarak adalah dosa besar yang akan dimasukkan ke dalam neraka Jahanam. Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW yang melarang seseorang melakukan pembunuhan.


Firman Allah SWT maksudnya : ''Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerusakan dimuka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya." (Surah al-Maaidah ayat 32)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan azab yang besar baginya".(Surah an-Nisa' (4) ayat 93)

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar. Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas dalam membunuh. Sesungguhnya ia adalah orang yang mendapat pertolongan.(Surah al-Israa' (17) ayat 33)


Dalam hadits riwayat Bukhari dan Muslim disebutkan yang maksudnya, “Jauhilah tujuh dosa besar, para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, apa sajakah dosa-dosa besar itu?” Nabi bersabda 1. Menyekutukan Allah (Syirik), 2. melakukan sihir, 3. membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT kecuali dengan cara yang hak, 4. memakan harta riba, 5. makan harta anak yatim, 6 keluar dari medan perang kerana takut kepada musuh, 7. menuduh zina kepada wanita mukminat yang telah bersuami. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sabda Rasulullah SAW yang maksud : “ Pertama kali yang akan diadili diantara manusia pada hari kiamat adalah perkara pembunuhan ( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:"Apabila dua orang muslim berbunuh-bunuhan dengan pedang maka pihak yang membunuh dan yang terbunuh kedua-duanya masuk neraka. Abu Bakrah bertanya, Wahai Rasulullah, orang yang membunuh memanglah masuk neraka tetapi bagaimana orang yang terbunuh pun masuk neraka? Jawab baginda, kerana ia berniat dengan bersungguh-sungguh hendak membunuh lawannya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah bukan sahaja mengharamkan perbuatan membunuh orang lain tetapi juga mengharamkan juga perbuatan membunuh diri sendiri. Lebih jauh dari itu Islam juga mengharamkan perbuatan mencederakan orang lain atau mencederakan diri sendiri yang mana Allah memberikan jalan penyelesaiannya dengan Hukum Qisas. Oleh yang demikian peranan anggota keselamatan dalam memastikan keselamatan nyawa dan jiwa dalam masyarakat adalah amat penting bukannya mereka yang bertanggungjawab menjaga keamanan tetapi membunuh rakyat pula.

642. Soalan : Apakah hukumnya jika seseorang bersyubahat dengan pemerentah yang zalim dan menyokong untuk mencederakan rakyat yang tidak berdosa yang berhimpun secara aman?

Jawapan :

Pemimpin yang zalim dan pegawai keselamatan yang bertindak kasar dan keras hingga mencederakan rakyat akan bertanggungjawab di hari akhirat nanti. Mereka yang muflis di akhirat  adalah kerana mereka melakukan kezaliman, membunuh, mencederakan dan menumpahkan darah orang ramai , suka maki hamun dan mengambil hak-hak orang lain tanpa hak.

Nabi SAW memberi amaran kepada sesiapa yang mengampu atau mengiyakan kezaliman pemerintah dengan sabda baginda yang bermaksud : “Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga). (Hadis Riwayat Ahmad, al-Nasai, dan al-Tirmidhi. Hadis ini sahih seperti yang dinilai oleh al-Albani.)

643. Soalan :  Jika seorang suami sedang berjimak dengan isterinya tanpa disengajakan beliau terminum susu badan isterinya. Dari segi Islam, apakah hukumnya.? Dan apakah ia ada kena mengena dengan ikatan suami isteri tersebut. Di harapkan penjelasan dapat diberikan? 

Jawapan:

Air susu ibu, Allah SWT anugerahkan kepada kaum wanita sebagai rahmat untuk bayi atau anak yang dalam jagaannya. Secara fitah air susu ibu mengandungi rahmat yang paling besar untuk pertumbuhan dan perkembangan minda bayi. Dalam Al Quran surah Al Baqarah ayat 233 menjelaskan "bahawa para ibu menyusu anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi mereka yang ingin menyempurnakan penyusuan". Ini membuktikan bahawa hak air susu ibu itu hanya untuk bayi bukan selain daripada itu. 

Dalam rukun penyusuan ada tiga, iaitu ibu yang menyusu, susu dan bayi yang menyusu. Jika rukun ini lengkap maka jatuhlah hukum susuan terhadap bayi tersebut. Bahkan setengah ulama menambahkan lagi tentang kadar banyaknya air susu yang diminum, jika melebihi lima kali maka jatuh hukum susuan dan setengahnya pula berpendapat hingga kenyang walaupun hanya satu kali menyusu. Jika melihat pada ketetapan ini maka bagi lelaki dewasa yang meminum susu wanita samaada sedikit atau hingga kenyang tidak mengakibatkan timbulnya hukuman susuan terhadap mereka, kerana timbulnya hukum susuan ini berlaku pada bayi yang berumur 2 tahun kebawah. 

Jika dalam mengadakan hubungan jimak dan asmara antara suami isteri, kemudian suami terminum air susu isterinya, maka perkara ini tidak berdosa. Jika suami tahu bahawa isterinya sedang menyusukan anak mereka yang masih kecil perlulah berhati-hati supaya tidak terminum lagi pada masa akan datang, lainlah jika memang isteri tidak lagi mempunyai susu maka suami boleh mendatangi isterinya mengikut cara yang dia suka. Wallahu a'lam.

644. Soalan : Bagaimana menjaga anak-anak daripada terjebak di dalam gejala sosial dan melakukan perbuatan maksiat?

Jawapan.

Sheikh Abdul Karim Zaiddain ada memberi beberapa panduan untuk mengawal anak-anak daripada terjebak di dalam gejala sosial dan melakukan maksiat. 

Antaranya adalah :    

1. Ambil tahu dengan siapa anak berkawan    

2. Pastikan anak sentiasa membaca Al-Quran    

3. Pastikan anak minat kepada masjid

Orang yang sentiasa menjaga solat, dan hatinya dekat dengan masjid akan dijaga Allah daripada terjebak dengan gejala sosial dan maksiat. Pihak masjid dan ahli jawatankuasa masjid perlu mesra jemaah. Jangan halau anak kecil yang mumayyiz dan tahu solat dengan betul ke belakang saf kerana ulama telah mengatakan bahawa saf tidak terputus dengan kehadiran mereka. Jika anak dihalau, emak dan ayah pun tidak akan datang mengimarahkan masjid.


645. Soalan : Saya telah bercerai dengan suami pertama kerana tidak ada persefahaman di antara kami dan saya telah berkahwin baru selepas iddah dengan orang lain. Baru berkahwin setahun suami meninggal dunia kerana sakit jantung. Hati saya cukup sedih memikirkan kehidupan saya ini . Bolehkan ustaz memberi sedikit nasihat apakah cara boleh mendidik hati saya supaya redha dengan qadak dan qadar Allah SWT?


Jawapan :

Puan perlu banyak bersabar dan redha dengan takdir yang telah menimpa kehidupan puan.
Sifat orang mukmin tidak berputus asa dengan rahmat Allah. Semuanya ada hikmah yang baik untuk puan kerana Allah SWT tidak akan mensia-siakan hidup puan.

Allah SWT berfirman maksudnya :  "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan : 'Kami telah beriman.' sedangkan mereka belum diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta'."(Surah Al-Ankabut ayat 2-3) 
Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman maksudnya : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah ayat 216). Semua kebaikan itu ada di dalam ilmu Allah SWT.

Jika puan sentiasa berdoa, bertawakal, bersabar dan tenang hadapi dugaan hidup insyaa Allah puan akan dikurniakan rezeki, kejayan dalam hidup ini dan akan datang seseorang yang  dapat membimbing puan kejalan yang diredai Allah SWT untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML