Sunday, February 16, 2014

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 100

Soal Jawab Agama Siri 100 (Ibu Dan Anak Susuan, Anak Angkat, Hubungan Bekas Suami Dan Isteri Dan Lain-lain Lagi)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 100 adalah membicarakan persoalan ibu dan anak susuan, kedudukan anak angkat, perhubungan di antara bekas suami dan isteri, tanggungjawab anak lelaki setelah berkahwin dan ciri-ciri untuk menjadi isteri yang solehah.

781. Soalan :  Saya mempunyai tiga soalan mengenai ibu susuan.

1. Sekiranya seorang wanita menjadi ibu susu kepada seorang bayi perempuan, apakah bentuk hubungan yang terjalin antara bayi perempuan tersebut dengan wanita tersebut, suami wanita tersebut dan antara bayi perempuan tersebut dengan anak-anak wanita tersebut. Bagaimana dengan batasan aurat di antara mereka?

2. Status anak susuan berbeza daripada anak angkat. Bagaimana batasan aurat seorang anak angkat lelaki/perempuan dengan keluarga angkatnya? Sekiranya seseorang itu tidak mengetahui tentang statusnya sebagai anak angkat, dia berada dalam sesebuah keluarga seperti biasa sehinggalah diberitahu ketika dia sudah dewasa. Setelah mengetahui status sebenar, apakah tindakan yang perlu dilakukan dari sudut keterbatasan aurat?

3. Bolehkan suami kepada wanita susuan menjadi wali pernikahan kepada anak susuan?

Jawapan

1. Bayi perempuan tersebut akan diiktiraf dalam Islam sebagai anak susuan dan mahram kepada wanita itu, dan wanita itu pula akan diiktiraf dalam Islam sebagai ibu susu kepadanya. Hasil dari itu akan terhasil ikatan pengharaman kahwin secara kekal (buat selama-lamanya) di antara suami susu dan anaknya.

Susuan bagi bukan bayi tidak akan menghasilkan ikatan mahram kekal ini, demikian menurut Majoriti mazhab. Syarat untuk sabit hubungan mahram melalui susuan itu adalah susu  ibu itu mesti sampai ke perut bayi samada melalui mulut dan hidung, manakala jika melalui telinga, suntikan dan dubur maka ia tidak di kira. (Rujuk  Al-Muhazzab, 2/156; Tabyin al-Haqaiq, 2/185 ; Al-Ikhtiyar, 3/120 ; Syarh Qanun al-Ahwal al-Syakhsiyyah, Dr As-Sartowi, ms 104). 

Apabila sabit mahram susuan, maka haram kumpulan berikut haram berkahwin secara kekal dengan bayi perempuan itu (Rujuk Bidayatul Mujtahid, 2/33):-

i- Suami wanita susuan kerana ia di anggap ayah kepada bayi itu.
ii- Ayah serta datuk kepada ibu susunya.
iii- Anak-anak lelaki kepada ibu susunya.
iv- Cucu-cucu lelaki ibu susunya.

Batasan aurat adalah seperti adik beradik kandung.

Dalil bagi kedudukan di atas adalah dari firman Allah SWT maksudnya : "(Antara yang haram kahwin adalah) Ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan adik-beradik susuan kamu" (Surah An-Nisa ayat  23).

Dalil ini mengharamkan kahwin kepada seluruh usul dan adik beradik. Juga Nabi SAW bersabda maksudnya :"Apa yang jadi haram disebabkan susuan adalah seperti apa yang diharamkan kerana keturunan"

2. Islam tidak menggalakkan konsep anak angkat tanpa sebarang ikatan yang diiktiraf Islam, ia jauh berbeza dengan anak susuan, anak angkat adalah dikira sebagai orang asing di dalam rumah, maka semua batasan aurat perlu di jaga sebagaimana wanita di luar rumah. Ia adalah satu fenomena yang tidak sihat menurut Islam.

Dan jika seseorang hanya tahu statusnya sebagai anak angkat hanya ketika ia telah dewasa, maka bermula dari ia sedar..semua batasan aurat mesti dijaga sebagaimana yang di tuntut oleh Islam kepada lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

3. Bapa susuan tidak boleh menjadi wali kepada anak susuannya.

782. Soalan : Jika seseorang itu mempunyai anak angkat yg diambil dan berdaftar atau anak angkat daripada anak kawan atau anak orang lain. Persoalannya,,dijaga dan dipelihara sejak kecil sehingga ibu atau bapa angkat meninggal dunia.. Soalan saya adakah doa anak angkatnya sampai kepada simati sebagai doa anak yg soleh..? Minta penjelasan saya kurang arif.

Jawapan : 

Anak angkat kedudukannya di dalam Islam : 

1. Bapa angkat tidak boleh bin atau bintikan anak angkat tersebut atas namanya. 

2. Anak angkat tidak boleh mewarisi harta pusaka ibu bapa angkatnya. 

3. Anak angkat bukan mahram terhadap anak-anak kandung si bapa angkat. Apabila anak angkat sudah baligh jika dia perempuan auratnya perlu di jaga supaya tidak dilihat oleh bapa angkat atau anak-anak lelaki bapa angkat tersebut.

4. Bapa angkat tidak boleh menjadi wali nikah terhadap anak angkat yang perempuan semasa hendak diijab kabulkan, ketika ini perlu cari wali sebenar anak angkat tersebut, jika tidak bertemu maka dia akan di nikahkan dengan wali hakim.

Walau pun anak angkat tidak ada hak waris tetapi bapa angkat yg berharta boleh membuat wasiat terhadap anak angkatnya tetapi tak boleh melebihi 1/3 jumlah harta keseluruhan simati. 

Doa anak angkat yg soleh terhadap ibu bapa angkatnya yang telah meniggal dunia juga mustajab di sisi Allah SWT walau pun darjatnya tidak sama seperti anak kandung simati. Kedudukan anak angkat dengan ibu bapa kandung yang sebenar tetap berjalan seperti biasa walau pun dia dibela oleh orang lain. Dia masih boleh mendoakan ibu bapa kandungnya yang telah meninggal dunia.

Ibu dan bapa angkat tetap mendapat pahala apabila anak angkatnya menjadi anak yg soleh kerana jasa ibu dan bapa angkat membelanya, memberikan ilmu yg bermanfaat dan memberi nafkah kepadanya sehingga dia menjadi insan beriman dan bertakwa.

783. Soalan : Apabila telah berlaku perceraian di antara suami dan isteri. Mereka mempunyai dua orang anak yang masih kecil. Hak penjagaan kanak-kanak tersebut telah diberikan oleh mahkamah kepada pihak ibu kanak-kanak tersebut. Tetapi bekas suami boleh menziarahi atau membawa kanak-kanak tersebut di hujung minggu. Saya ingin tahu bagaimana batas perhubungan bekas suami dan isteri tersebut semasa mereka menguruskan anak-anak mereka dan adakah bapa kanak-kanak tersebut wajib memberikan nafkah kepada anak-anak mereka?

Jawapan :

Perlu diingat apabila telah berlaku perceraian dan telah habis iddah maka mereka telah hilang hak sebagai suami dan isteri. Jika mereka hendak kembali setelah habis iddah maka mereka perlu bernikah semula. Oleh itu mereka perlu jaga batas-batas pergaulan dan tidak boleh berjumpa berdua-duaan tanpa ada mahram. Bekas suami tidak boleh masuk kerumah bekas isterinya walau pun dengan niat mereka hendak jumpa anak-anaknya. 

Sebaik-baiknya jika bekas suami telah berkahwin maka semasa datang perlu bawa isterinya bersama supaya tidak timbul fitnah atau jika bekas isteri telah bersuami maka perlu ada suami wanita tersebut jika hendak berjumpa dengan anak-anaknya. Atau boleh di lakukan oleh bekas suami membawa ibunya atau adik perempuannya semasa kunjungan untuk mengambil atau menzaiarhi anak-anaknya.

Akhlak dan adab sopan perlu dijaga dan bekas suami tidak boleh bebas bergurau senda dengan bekas isterinya. Bekas suami wajib memberi nafkah kepada anak-anaknya sehingga anak-anak tersebut dewasa dan telah hidup berdikari dan boleh mencari nafkah untuk dirinya sendiri.

784. Soalan : Apakah tanggungjawab anak lelaki setelah berkahwin terhadap kedua ibu bapanya dan begitu juga tanggungjawab anak perempuan setelah dia berkahwin? Boleh ustaz huraikan sedikit.

Jawapan :

Ramai dikalangan anak lelaki yang telah berkahwin mengabaikan tanggungjawabnya kepada kedua ibu bapanya. Mereka menyerahkan kepada kakak atau adik perempuan untuk menguruskan ibu bapa mereka yang sudah uzur. 

Perbuatan ini adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Perlu difahami bahawa perhubungan dan tanggungjawab anak lelaki terhadap ibu bapanya tidak akan terputus walaupun ia telah mendirikan rumahtangga. Sebaliknya anak perempuan apabila mereka berkahwin sahaja maka tanggungjawabnya dibawah jagaan suaminya. Darisegi tanggungjawab untuk menjaga dan memberi nafkah kepada ibu bapa untuk anak perempuan terputus. Melainkan dengan izin dan reda suami anak-anak perempuan atas kerelaannya boleh berkhidmat kepada kedua ibu bapanya.

Anak-anak lelaki tidak boleh lepas tangan kerana mereka tetap akan berdosa jika mereka mengabaikan kebajikan kedua ibu bapa mereka jika kedua ibu bapa mereka miskin dan perlu kepada bantuan dan penjagaan.

Disini kami kemukakan sebuah hadis yang agak panjang tentang sikap seorang anak lelaki yang melarang bapanya mengambil sedikit hartanya yang terjadi pada zaman Rasulullah SAW.

Diriwayatkan dari Jabir Ibnu Abdillah ia berkata bahawa seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya ayahku telah mengambil hartaku".

Kemudian Malaikat Jibril pun turun kepada Rasulullah SAW dan berkata: "Allah Azza Wajalla menyampaikan salam kepadamu. Apabila orang tua itu datang kepadamu maka tanyalah kepadanya tentang sesuatu yang dikatakan dalam dirinya dan hanya di dengar oleh telinga saja".

Tatkala orang tua itu datang, Rasulullah SAW pun bertanya: "Mengapa anak lelakimu mengeluh tentang sikapmu, dan apakah engkau ingin mengambil hartanya ?".

Orang tua itu pun berkata: "Tanyalah kepada anak lelaki ku itu ya Rasulullah, apakah aku menggunakannya bagi salah seorang ibu saudaranya atau bagi diriku".

Rasulullah SAW berkata: "Janganlah ceritakan hal ini kepada kami, beritahulah aku tentang sesuatu yang engkau ucapkan dalam dirimu dan hanya didengar oleh kedua telingamu". (sesuai dengan perintah malaikat Jibril tadi)

Orang tua itu pun berkata: "Demi Allah, ya Rasulullah, Allah SWT selalu menambah keyakinan kami terhadap diri baginda. Aku telah mengucapkan sesuatu dalam diriku yang hanya didengar oleh kedua telingaku".

Rasulullah SAW bersabda: "Katakanlah agar saya dapat mendengarnya". Orang tua itu pun berkata:

"Ku beri engkau makan ketika masih bayi dan ku biayai engkau ketika dewasa.

Engkau minum dari rezeki yang kuberikan kepadamu.

Bila engkau sakit di waktu malam, aku tidak tidur dan gelisah semalaman kerana penyakitmu.

Seakan akulah yang terkena penyakit itu bukannya engkau sehingga akhirnya aku menangis.

Diriku takut jika engkau binasa. Supaya engkau tahu bahawa maut memiliki waktu tertentu.

Tatkala engkau menjadi besar dan mencapai akhir usia, aku pun tidak mengharapkanmu.

Engkau balas aku dengan kekerasan dan kebengisan, seakan-akan engkaulah pemberi kenikmatan dan kurnia.

Jika engkau tidak memelihara hak aku sebagai seorang bapa cukupah engkau lakukan seperti yang dilakukan tetangga yang berdekatan.

Lalu engkau penuhi hak tetangga terhadapku dan tidak kikir kepadaku dengan harta yang bukan hartamu".

Ketika itu Rasulullah SAW memegang leher baju anak lelaki tersebut dan berkata: "Engkau dan hartamu milik ayahmu".

Berdasarkan riwayat di atas jelaslah tanggungjawab anak lelaki masih di bebankan amanah untuk membantu dan menguruskan keperluan kedua ibu bapanya dan tidak boleh bersikap sombong dan angkuh terhadap kedua ibu bapanya. Anak perempuan pula jika ibu bapanya memerlukan khidmatnya kerana sesuatu keperluan jika mendapat keizinan suami boleh membantu keperluan kedua ibubapanya kerana besar pahala yang akan diperolehi oleh suaminya kerana simpati dan prihatin terhadap kedua mertuanya,

785. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan apakah ciri-ciri untuk menjadi isteri yang solehah?

Jawapan :

Suami mana akan memandang ke belakang apabila isterinya sentiasa harum dan bersih. Malah, aroma itu pasti memikat selera suami untuk sentiasa berada di samping isteri daripada berborak bersama rakan di kedai kopi.

Berapa ramai isteri yang memberikan senyuman manis, pandangan yang mesra dan lembut serta wajah yang berseri-seri ketika mengiringi suami keluar rumah atau menyambut kepulangannya di muka pintu.?

Rasululullah SAW pernah bersabda bahawa isteri solehah ialah yang menggembirakan suaminya apabila suami melihat kepadanya.

Sabda Rasulullah SAW. dari Ibnu Abbas r.a maksudnya : "Maukah aku berikan kepadamu sebaik-baik benda yang disimpan? Iaitu  wanita yang solehah. Apabila suaminya melihat kepadanya, gembiralah dia; apabila suaminya perintah akan dia, taatlah ia padanya dan apabila suaminya meninggalkannya, ia akan memelihara nama baik suaminya." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Dari hadis di atas jelaslah kepada kita ukuran seorang isteri yang baik. Ia mampu melayani suami sebaik mungkin dalam segala bidang; ketaatan yang tidak berbelah-bahagi asalkan yang diredai Allah SWT dan boleh mengawal harta benda dan nama baik suaminya ketika tidak ada di rumah.

Bayangkan suami yang pulang dalam keadaan letih kerana beban tugas di pejabat ditambah kesesakan jalan raya, isteri yang menyambut di muka pintu menguntum senyuman, wajah yang dihiasi cantik, menolong membawa beg, membuka sarung kaki dan menyediakan minuman untuk menghilangkan dahaga.

Memang sukar mencari ciri-ciri wanita sedemikian kerana kebanyakan isteri terutama yang bekerja terlalu terbawa-bawa perangai mereka di pejabat sehingga suami tidak diberi perhatian. Akhirnya, suami jemu dan sengaja balik lewat ke rumah.

Layanan isteri kepada suami tidak perlu kepada unsur kewangan. Sebagai ketua rumah tangga, suami perlu menyediakan keperluan kepada isteri termasuk makan minum, pakaian, perhiasan dan belanja isteri.

Jika perkara ini dilaksanakan, apa alasan isteri untuk tidak memberi layanan kelas satu kepada suami.?

Beruntung isteri yang tahu melayan dan menghiburkan suami kerana selain mendapat kenikmatan, mereka juga mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Bersabda Rasulullah SAW: "Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya  adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit daripada golongan kamu yang dapat melakukannya."(Hadis Riwayat Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang wanita reda atas kehamilannya dari suaminya yang sah, sesungguhnya ia telah mendapat ganjaran pahala seperti ibadah puasa dan mengerjakan ibadah-ibadah lainnya dijalan Allah; dan jika ia merasa berat, letih atau lesu, tidaklah dapat dibayangkan oleh penghuni langit dan bumi, betapa kesenangannya disediakan oleh Allah di hari akhirat nanti. Apabila anaknya lahir, maka dari setiap teguk air susu yang dihisap oleh anak, si ibu mendapat kebajikan pahala. Apabila si ibu berjaga malam (kurang tidur kerana anak) maka si ibu mendapat ganjaran pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba sahaya kerana Allah.” (Hadis Riwayat Ibn Hibban) 

Isteri yang sengaja enggan melayan hajat suami di tempat tidur tanpa alasan yang menasabah akan dilaknat malaikat kerana tidak menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Nabi SAW bersabda maksudnya :  "Jika seorang suami memanggil isterinya datang ke katilnya (iaitu untuk hubungan kelamin) dan dia menolak, dan menyebabkan suaminya tidur dalam kemarahan, malaikat-malaikat akan mengutuknya hingga waktu pagi."(Hadis Riwayat  Bukhari)  

Oleh itu, isteri perlu faham, walau setinggi mana pangkat, kedudukan, harta dan darjat mereka, jangan lupa memberi kasih sayang dan kemanjaan kepada suami. Senyuman, kemanjaan, pakaian dan haruman dan ketaatan adalah senjata untuk memikat hati suami dan menjamin kebahagiaan rumah tangga yang sedang dibena.

Walaupun kalian belum sempurna dengan ciri-ciri isteri solehah, kalian perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi kriteria ini dengan berdoa dan berazam untuk mencapai tahap solehah yang akan meletakkan kalian menjadi perhiasan terbaik di dunia seperti  hadis Nabi SAW  yang menyatakan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML