Showing posts with label REMAJA. Show all posts
Showing posts with label REMAJA. Show all posts

Wednesday, April 16, 2014

DUA SEBAB UTAMA ORANG SEGERA BERHENTI MEROKOK

Bukan senang hendak berhenti dari tabiat merokok.  Bagi saya yang tidak pernah merokok, mungkin senang untuk menasihatkan kenalan-kenalan saya agar berhenti merokok.  Hakikatnya dalam hati mereka memang mempunyai niat dan azam untuk berhenti merokok.  Namun, mereka selalu gagal akibat banyak faktor.  Antara faktor itu ialah merokok sudah menjadi tabiat yang sukar ditinggalkan, ketagihan dan juga dorongan kawan-kawan.

Kenaikan kadar cukai ke atas produk tembakau dan kempen ilustrasi bahaya rokok yang tertera di atas kotak rokok gagal membuatkan para perokok meninggalkan tabiat yang sudah sebati dengan kehidupan mereka.  Namun, ada juga yang berjaya berhenti dari merokok.  Sepemerhatian saya, ada dua faktor yang memberikan mereka motivasi yang lebih untuk berhenti merokok.

Yang pertama ialah faktor agama.  Telah banyak fatwa dari para ulama Islam yang mengatakan bahawa merokok adalah haram hukumnya di sisi Islam.  Saya sendiri ketika remaja dulu pernah membaca atau mendengar fatwa tentang pengharaman merokok sekitar tahun 1991 atau 1992.  Fatwa tersebut telah dikeluarkan oleh ulama-ulama dari timur tengah.

Kini, alhamdulillah fatwa-fatwa di Malaysia yang dahulunya mengatakan bahawa merokok adalah makruh atau tidak jelas tentang pengharamannya, mula bertegas bahawa merokok adalah haram.  Dan keputusan tersebut telah disebarkan di banyak ceramah di surau-surau dan masjid-masjid.  Malah, ada sebahagian institusi agama mengeluarkan poster kempen memaklumkan tentang pengharaman merokok.


Fatwa Kebangsaan Malaysia tentang merokok yang ditampal di sebuah surau di Shah Alam

Antara sebab pengharaman merokok di sisi ISLAM


Hasil dari kempen ini, maka ramailah yang telah meninggalkan perbuatan merokok.  Kepayahan yang terpaksa mereka lalui tentunya dikira sebagai mujahadah di sisi ALLAH.  Mereka akur dengan ketentuan agama dan tunduk patuh dengannya.  Semoga ALLAH membalasi mereka dengan hasanah, amin…

Faktor yang kedua yang selalu saya jumpa ialah kerana sayangkan ahli keluarga, terutama terhadap kesihatan anak-anak mereka.  Saya mempunyai beberapa orang rakan yang berhenti disebabkan oleh faktor ini.  Selepas mendapat anak yang pertama, mereka mula menanam azam untuk berhenti merokok.  Mulanya mereka mengurangkan bilangan puntung yang mereka hisap.  Akhirnya, mereka berjaya meninggalkan tabiat itu terus.

Kasihan kepada anak-anak yang terpaksa menyedut asap busuk dan bahaya dari ibubapa mereka yang merokok.


Seperti yang telah saya sebutkan di atas, bukan senang hendak berhenti merokok.  Namun, disebabkan oleh kasih-sayang dan tidak mahu menyebabkan anak-anak menghidu asap busuk dan bahaya dari rokok, maka dikorbankan tabiat tersebut.  Betapa besar kasih-sayang seseorang terhadap anak-anak dan ahli keluarga sehingga berjaya menukarkan seseorang dari perokok tegar kepada perokok ringan, seterusnya tidak merokok.

Banyak lagi faktor lain yang menyebabkan mereka berhenti merokok.  Namun, faktor dalaman iaitu kasih sayanglah yang menyebabkan seseorang itu dapat berhenti merokok.  Yang pertama, sayangkan agama.  Dan yang kedua, sayangkan keluarga.

Berhentilah merokok.  Semoga ALLAH Ta`ala mempermudahkan niat dan azam kalian untuk berhenti merokok, amin…
Read More

APA HUKUM 'COUPLE' KERANA ALLAH??

Soalan:

Saya mengenali seorang wanita yang menyebabkan saya lebih dekat dengan ALLAH.  Dia terlalu baik dan mempunyai cirri-ciri wanita solehah.  Kami selalu berjumpa untuk membincangkan hal-hal agama dan meningkatkan kecintaan kepada ALLAH.

Dia selalu menggalakkan saya supaya menghafal al-Quran, menunaikan solat malam, menasihati saya supaya lebih dekat dengan ALLAH.  Saya keliru dengan perhubungan ini.  Adakah perhubungan ini dibenarkan kerana kami berkawan kerana ingin mencari redha ALLAH?

Jawapan:

Ramai pemuda Islam melakukan kesilapan dalam hal ini.  Mereka telah terperangkap dalam mainan syaitan yang sentiasa menggesa ummat Islam melakukan kejahatan.

Berhati-hatilah dengan tipu daya syaitan yang membuatkan kejahatan dipandang sebagai kebaikan.  Syaitan sentiasa mengetuk pintu dan menyelewengkan hidayah ALLAH daripada kamu.

Hayatilah firman ALLAH subhanahu wa ta`ala di bawah:

قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لأقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ

“Iblis menjawab:  Disebabkan ENGKAU menghukumkan aku sesat, aku akan mengambil tempat menghalangi mereka dari jalanMU yang lurus.”  (Surah al-A`raf, 7:16)

ثُمَّ لآتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ

 وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ وَلا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ

“Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta belakang mereka, dari kanan mereka serta kiri mereka dan ENGKAU tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”  (Surah al-A`raf, 7:17)

Ibnu Jauzi rahimahullah berkata:

“Iblis sentiasa memerangkap manusia selagi dia mampu.  Kadang-kadang kemampuannya berkurang dan bertambah di mana ia bergantung kepada kesedaran dan kelekaan mereka yang jahil dan berilmu.  Ingatlah, hati itu seperti kubu.  Syaitan sentiasa mengelilingi kubu tersebut untuk melihat pengawalnya dalam keadaan leka.  Pengawal perlu tahu setiap pintu kubu yang telah diamanahkan untuk menjaganya.  Dia tidak boleh terleka walau sekelip mata kerana musuh tidak pernah membiarkannya.  Seorang lelaki bertanya kepada Hasan al-Basri:  Adakah iblis itu tidur?  Dia menjawab:  Jika dia tidur, sudah pasti kita mempunyai masa rehat.”  -  Rujuk Talbis Iblis, mukasurat 52.

Ketahuilah, ini cabang panahan syaitan terhadapmu.  Bermula dengan pandangan mata sehinggalah kepada perkenalan yang kononnya berlandaskan agama, dihiasi dengan nasihat dan perbincangan-perbincangan agama.  Inilah fitnah yang paling besar bagi kamu.

Kamu juga selalu berjumpa dengannya.  Inilah pergaulan yang dilarang kerana ALLAH melarang seorang lelaki dan wanita bersama-sama tanpa hubungan yang sah.

Sabda Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam:

“Tidak bersunyi-sunyian lelaki dan wanita (bukan mahram), melainkan syaitan akan menjadi yang ketiga di antara mereka.”  -  Hadith riwayat al-Tirmizi: 1901.

Ali bin Abi Talib radhiAllahu `anhu berkata:

“Seorang perempuan dari Khath`am datang kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan meminta fatwa daripada baginda dan berkata:  Sesungguhnya penurunan kewajiban berbuat haji telah diturunkan sedangkan bapaku seorang yang tua dan nyanyuk.  Adakah dikenakan juga ke atasnya dan bolehkah aku menunaikan untuknya.  Baginda bersabda:  Ya, perbuatkanlah untuk bapamu.  Berkata Ali:  Ketika itu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam memalingkan leher Al-Fadhal.  Ibn `Abbas berkata:  Wahai Rasulullah, mengapa kamu memalingkan muka sepupumu?  Baginda berkata:  Aku melihat seorang lelaki dan seorang wanita.  Mereka berdua tidak aman dari dipengaruhi syaitan (selagi dia terus memandang).”  -  Hadith riwayat Ahmad: 530)

Kami nasihatkan agar kamu membuat keputusan terhadap perhubungan ini.  Samada mengambilnya sebagai isteri jika dia mempunyai akhlaq dan pegangan agama yang baik.  Atau memutuskan perhubungan ini kerana ia akan membawa keburukan dan kejahatan.
Read More

LELAKI YANG BAIK IBARAT PETANI YANG BAIK

Lelaki ibarat petani.  Dan perempuan ibarat tanah.


Petani Baik, Tanah Pun Baik

Petani yang baik apabila bertemu dengan tanah yang subur tentunya akan melahirkan hasil tanaman yang bermutu tinggi.  Kerana benih yang ditanam oleh petani yang baik bukan sahaja dibiarkan ia tumbuh begitu sahaja, malah akan dijaga dan diteliti tumbesarannya dengan tekun sekali.

Dengan ketelitian dan kesungguhan si petani yang baik tadi, tanah yang subur juga tentunya tidak mahu mengecewakan si petani dengan sedaya upaya mengeluarkan hasil yang terbaik dari isi perut bumi untuk dituai si petani.  SubhanALLAH, akhirnya tumbuh melatalah rezeki kurniaan ALLAH di muka bumi ini dengan rezeki yang baik-baik.

Petani Tidak Baik, Tetapi Tanah Baik

Bayangkan pula apabila petani yang tidak baik bertemu dengan tanah yang subur.  Dengan sifat kejahilan si petani, ditambah dengan sifat kemalasan, cuai, leka dan mengabaikan tanah yang subur itu, akan mengakibatkan tanah yang subur itu mengeluarkan hasil yang tidak bermutu tinggi.  Hasil tanaman yang dikeluarkan oleh tanah yang subur itu akan mudah rosak dan keadaan rupa bentuk tanah yang subur itu menjadi tidak teratur dan ditumbuhi semak.

Lebih malang lagi jika si petani yang tidak baik itu bukan sahaja tidak menjaga dan memanfaatkan tanah yang subur itu, malah merosakkan pula tanah tersebut.  Akhirnya, tentulah tanah yang pada asalnya subur itu bertukar menjadi tanah yang rosak.  Sayang sekali si tanah tidak dapat mengeluarkan produk terbaik dek kerana perbuatan si petani yang tidak baik itu.

Petani Baik, Tetapi Tanah Tidak Baik

Bayangkan pula apabila si petaninya bagus dan baik, tetapi tanah yang ditemuinya pula tidak subur.  Dalam kes sebegini, tentulah tidak sama seperti si petani yang baik bertemu dengan tanah yang subur.  Si petani yang baik tentunya akan berusaha segigih mungkin untuk menjadikan tanah yang pada asalnya tidak subur menjadi lebih subur.  Bukan mudah.

Mujahadahnya lebih tinggi dan pengorbanannya juga lebih besar.  Dicuba bermacam-macam kaedah, trial & error, dirujuk sana sini untuk mendapatkan nasihat pakar dan lain-lain lagi usaha bagi menjayakan usaha murninya itu.  Bukan calang-calang petani yang dapat mengusahakan tanah yang tidak subur, bahkan menghasilkan hasil yang baik.  Berkat usaha yang yang tidak mengenal jemu dan kesabaran yang tinggi, maka insyaALLAH akan berjaya juga.  Jika gagal juga, beralih sahajalah ke tanah yang lain yang lebih berprospek tinggi.

Petani Yang Tidak Baik, Tanah Juga Tidak Baik

Oh, yang ini saya rasa tidak perlulah diceritakan.  Fikirlah sendiri…

Lelaki Yang Baik Bisa Merubah Keadaan

Jika dilihat beberapa kes di atas, hampir dapat kita simpulkan bahawa peranan dan sikap si petani menjadi faktor yang sangat penting untuk berjayanya sesuatu usaha pertanian.

Di awal tulisan telah saya umpamakan si petani sebagai seorang lelaki dan tanah sebagai seorang perempuan.  Cuba fikirkan perumpamaan tersebut.

Ya, lelaki memainkan peranan yang sangat penting di dalam hubungan rumahtangga. Si lelaki atau si suami mesti mempunyai sifat positif yang banyak untuk dia mengemudikan rumahtangganya menjadi rumahtangga yang berjaya.

Lebih mudah jika si isteri turut sama mempunyai sifat positif yang banyak, kerana ini akan memudahkan pelayaran rumahtangga yang sejahtera.  Malah akan menghasilkan zuriat-zuriat yang baik daripada mereka berdua.

Sekiranya si lelaki tidak mempunyai sifat positif yang banyak, malah ditenggelami pula dek sifat-sifat negatif, tentulah rumahtangga akan mudah goyang.  Kita lihat banyak kes-kes isteri yang setiap hari yang makan hati dan berulamkan jantung akibat sikap lelaki yang zalim.  Kadang-kadang yang sedihnya, si isteri punyalah baik dan sabar, tetapi terpaksa berhadapan dengan karenah si suami yang bermacam-macam itu.

Jika dilihat senario si suami  yang baik tetapi si isteri pula buat perangai, di sini memerlukan kepandaian si suami untuk membentuk dan mendidik isteri itu menjadi baik.  Bukan mudah.  Tak ramai yang sanggup.  Si suami yang penyabar dan hikmah sahaja yang mampu menempuhinya.

Jadi, ingin saya seru:

“Wahai diri ini dan lelaki semuanya, tidak kira samada dewasa atau masih remaja, berusahalah menjadi lelaki yang baik.  Bukankah ALLAH telah mengiktiraf ‘Arrijalu qowwamuna `ala nnisa’?  Pengiktirafan ini bukan untuk diegokan atau didabikkan dada, tetapi ia menuntut kita semua, lelaki-lelaki agar lebih bersedia dan trampil untuk menjadi pemimpin dan menjadi pembela kepada golongan wanita.  Janganlah kita menjadi perosak mereka, malah mengambil kesempatan mereka pula”

Air, Cahaya, Keredhaan ALLAH Dan RahmatNYA

Jika petani diibaratkan lelaki atau suami.  Tanah diibaratkan perempuan atau isteri.  Air dan cahaya yang menyinari tanaman-tanaman pula boleh kita ibaratkan sebagai redha dan rahmat ALLAH.

Sebagaimana tanaman tidak boleh subur tanpa air dan cahaya, walaupun petaninya bagus dan tanahnya subur, begitulah juga perlunya redho dan rahmat ALLAH di dalam sebuah rumahtangga.  Redho dan rahmat ALLAH sangat-sangat dihajatkan oleh kita sebagai manusia dalam semua perkara, termasuklah dalam hal rumahtangga.

Jadilah lelaki dan suami yang baik.
Jadilah wanita dan isteri yang baik.
Dan pohonlah redho serta rahmat ALLAH.
Semoga rumahtangga yang kita bina sejahtera selama-lamanya, amin…
Read More

USTAZ??!! APA HUKUM BERKAPEL HA???

Banyak betul soalan ni saya terima dari remaja.  Alhamdulillah, sekurang-kurangnya mereka mengambil berat tentang hukum dan pandangan agama dalam sesuatu hal.  Tidaklah mereka sembrono berbuat sesuatu tanpa memikirkan apa pandangan agama.

Kali ni, saya nak tukar cara menulis pulak.  Nak cuba cara cerita pulak.  Saya harap inti dan maksud dapat difahami dengan mudah bagi sesiapa yang membaca, terutama remaja, insyaALLAH:

=======================================
AL-KISAH......

Nabilah dan Husna baru sahaja habis kelas dan merancang untuk berjumpa Ustadz Faisal untuk bertanya sesuatu yang bersarang di kepala mereka dan rakan-rakan mereka.

“Assalamu’alaikum, ustadz” tegur Nabilah & Husna kepada Ustadz Faisal yang sedang khusyuk membaca sesuatu di dalam komputernya.

“Wa’alaikumussalam warahmatullah.  Oh, kamu Nabilah, Husna.  Ada apa-apa yang saya boleh bantu?” tanya Ustadz Faisal sambil melemparkan senyuman.

“Ustadz sibuk ke?” tanya Husna.

“Eh, takdelah.  Biasa-biasa saje.  Hah, ada apa-apa yang awak nak tanya ke Husna, Nabilah?” Ustadz meneka agaknya mungkin ada soalan yang mahu ditanya oleh mereka berdua.

Nabilah dan Husna adalah pelajar yang suka bertanya.  Ustadz Faisal sudah mengagak mesti ada soalan yang hendak ditanya mereka.  Ustadz Faisal memang suka pelajar-pelajarnya datang dan bertanya.  Dengan cara begini, Ustadz Faisal tahu apa yang berlegar di dalam fikiran anak-anak muridnya dan beliau mengharapkan dengan memberikan jawapan-jawapan itu dapat membantu memberikan kefahaman tentang bagaimana sesuatu isu atau perkara itu dapat diselesaikan dengan pendekatan agama.

“Engkaulah tanya…” bisik Nabilah kepada Husna.  Husna pula membalas balik, “Eh Nabilah, engkaulah tanya…” Mereka masing-masing tolak-menolak.

“Eh kamu berdua ni.  Kalau kamu tak nak tanya, biar saya jelah yang tanya.” Gurau Ustadz Faisal sambil membulatkan matanya yang kecil itu.

Nabilah dan Husna tertawa tersipu-sipu.

“Begini ustadz…” Nabilah menolak Husna dengan bahunya.  Husna membalas kembali tolakan itu.

“Hmm…tergedik-gedik, tergedik-gedik diorang ni” bisik hati ustadz Faisal.

“Kami nak tanya pasal couple ni ustadz…” Nabilah memulakan bicara.

“Apa benda couple tu?” tanya ustadz pula sambil mengerutkan keningnya.  Sengaja buat tak tahu.  “Jenama ais krim ke?” sambung Ustadz Faisal bergurau.

“Alaa, ustadz ni…takkan itu pun tak tahu…hehe” Nabilah dan Husna tertawa.

“OK, cuba awak terangkan pada saya apa yang awak faham tentang couple?” Ustadz Faisal menanyakan mereka berdua untuk menguji.

“Yang saya faham, couple ni macam bercintalah ustadz.” Terang Husna.

“Tak boleh ke bercinta?  Habis tu saya sekarang ni cintakan isteri saya, tak boleh ke?” uji ustadz Faisal lagi.

Ustadz Faisal memang macam tu caranya.  Dia biasanya akan bertanya itu dan ini kepada pelajar-pelajarnya jika pelajar-pelajarnya bertanya tentang sesuatu perkara.  Tujuannya ialah supaya mengajak pelajar-pelajar itu sama-sama mencari jawapan dengan berfikir.  Sebab kadang-kadang, jawapan kepada persoalan yang ditanya sudah mereka tahu tanpa mereka sedari.  Cuma masih belum kemas barangkali kefahamannya.

“Bukan macam tu ustadz.  Macam kami nilah, remaja bercinta.  Belum kahwin.  Masing-masing ada pasangan masing-masing.  Boyfriendlah, girlfriendlah.  Macam tulah… Boleh tak ustadz?” Nabilah memberikan penerangan disusuli soalan.

“Begini…saya nak tanya awak balik.  Apa yang selalu diperbuat oleh pasangan-pasangan yang bercinta ini, yang awak panggil couple ini?” Sengaja Ustadz Faisal bertanya lanjut bagi membuka minda Nabilah dan Husna.

“Tentulah mereka berjumpa, berdating ustadz.” Jawab Husna dengan penuh yakin.

“Lagi?” Ustadz Faisal mengajak Nabilah dan Husna memikirkan apa yang diperbuatkan oleh pasangan yang bercinta atau bercouple ini.

“Mereka tukar-tukar hadiah, mereka keluar sama-sama, belajar sama-sama.” Terang Nabilah pula.

“Lagi?” Ustadz Faisal bertanya lagi.

“Hmm… itu jelah yang kami tahu, ustadz.” Husna menggarukan kepalanya yang tidak gatal sambil melihat ke siling untuk mencari jawapan.

“Hah, awak tengok apa tu Husna?  Ada jawapan ke kat siling tu?” sergah Ustadz Faisal sambil tersenyum.  “Kalau macam tu, saya nak tengok jugaklah.” Ustadz Faisal melawak.

“Ish ustadz nih” Nabilah dan Husna tertawa melihat gelagat Ustadz Faisal.

“OK, awak kata orang yang bercouple akan berjumpa, dating, itu dan ini.  Dalam ISLAM boleh ke lelaki dan perempuan berjumpa?” Ustadz Faisal meminta jawapan dari Nabilah dan Husna.

“Bolehlah ustadz.  Kalau tak boleh macam mana nak beli barang, nak belajar dan sebagainya.” Nabilah memberikan jawapannya dengan penuh yakin.

“Ha, begitulah.  Lelaki dan perempuan kalau mempunyai urusan atau hajat tertentu memang boleh berinteraksi dan bermuamalah seperti berjual-beli, belajar, bermesyuarat dan bekerja.  ISLAM membenarkan.  Tetapi, jika tiada sebab yang penting, ISLAM melarang lelaki dan perempuan bergaul bebas dan berjumpa.” Ustadz Faisal memberikan penerangan.

“Dalam al-Quran, ALLAH menyuruh lelaki dan perempuan yang muslim agar menundukkan pandangan.  Malah ada saranan untuk berinteraksi di sebalik tabir di antara lelaki dan perempuan bagi menjaga kesucian hati kedua-dua pihak.  Betapa ISLAM telah menggariskan hukumnya.  Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah………..” Tiba-tiba Ustadz Faisal diam dan tunduk.  Beliau menajamkan pendengaran beliau seperti ingin mendengar sesuatu.

“Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam……….” Beliau mengulang dan diam lagi.

Nabilah dan Husna tiba-tiba teringat dan serentak mengucapkan “sallAllahu ‘alaihi wasallam…”. Mereka tersipu-sipu.

Ustadz Faisal tersenyum lalu menyambung semula “Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah suatu ketika di dalam majlis ilmu, seorang perempuan datang bertanya sesuatu kepada Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam.  Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam telah menolak muka seorang lelaki yang merupakan sepupu Baginda yang ada di dalam majlis tersebut.  Apabila ditanya kenapa dibuat demikian,  Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam menjawab bahawa lelaki dan perempuan tidak aman dari dipengaruhi Syaitan.” Ustadz Faisal memberikan penjelasan.

“Dalam ketika yang lain, seorang buta pernah datang berjumpa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam dan menyuruh Aishah agar duduk di belakang tabir.  Aishah radhiAllahu ‘anha bertanya, “bukankah dia buta, mana dia nampak saya.”  Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam menjawab, “ya, dia buta dan tak nampak engkau.  Tapi engkau boleh melihat dia.”  Nah, ISLAM telah meletakkan peraturan bahawa antara lelaki dan perempuan mesti ditundukkan pandangan dan tidak bebas bergaul di antara keduanya.  Sedangkan pandang sahaja pun ISLAM sudah mengawal, inikan pula lebih dari itu.” Sambung Ustadz Faisal lagi.

“Awak faham tak apa yang cuba saya sampaikan.” tanya Ustadz Faisal kepada Nabilah dan Husna untuk mendapatkan respon mereka berdua.

“Faham ustadz.” Serentak Nabilah dan Husna menjawab.

“Jadi, saya rasa awak dapat jawapannya kepada persoalan awak pasal couple ini.  Awak lihatlah orang-orang yang bercouple, apa mereka buat?  Mereka berjumpa, berbual-bual, bermesra, keluar sama-sama; sedangkan ISLAM tidak merestui hubungan lelaki dan perempuan yang belum bernikah berbuat itu semua.  Pendek kata, ia hanya akan meletakkan diri seorang muslim dalam keadaan berdosa dan kemurkaan ALLAH.  Malah boleh menjerumuskan diri ke dalam perzinaan.” Terang Ustadz Faisal.

“Oh ya ustadz, saya teringat ayat al-Quran kata, “la taqrabuzzina!”…”  Husna mencelah.

“Betul tu Husna, bagus.  ALLAH Subhanahu wata’ala kata jangan dekati zina.  Perbuatan-perbuatan seperti berdating, berjumpa, keluar sama-sama, itu semua adalah perbuatan-perbuatan yang boleh membawa kita semakin hampir dengan zina, na’udzu billahi min dzalik!” Ustadz Faisal mengiyakan apa yang diutarakan oleh Husna.

“Awak ingat tak hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam yang sebut pasal lelaki dan perempuan yang duduk berdua-duaan?  Saya pernah jelaskan dalam usrah umum sekolah kita” tanya Ustadz Faisal.

“Yang mana satu ek?” Husna memandang Nabilah.  Dan sekali lagi dia memandang siling mencari jawapannya.

Tiba-tiba Ustadz Faisal pandang siling, diikuti Nabilah.  Husna perasan gelagat beliau ditiru Ustadz Faisal dan Nabilah.  Husna senyum tersipu-sipu.

“Confirm takde jawapan kat siling tuh…hehe” Ustadz Faisal mencelah, bergurau.

Mereka bertiga tertawa.

“Oh saya ingat, ye…hadith pasal lelaki dan perempuan yang bersendirian akan ditemani oleh ‘orang’ ketiga, iaitu Syaitan.  Yang tu kan ustadz?” Nabilah bersuara meminta pengesahan jawapannya daripada ustadz Faisal.

“Bagus Nabilah.  2 markah untuk awak.” Ustadz Faisal tersenyum bangga sambil menyambung, “Syaitan ni takde kerja lain.  Kerjanya untuk menyesatkan manusia.  Jangan awak sangka Syaitan duduk di antara lelaki dan perempuan yang bersendirian tu tengok aje, senyum-senyum aje.  Tak!!!!  Dia akan mainkan peranannya supaya lelaki dan perempuan itu akan terjebak dengan zina, iaitu dosa besar yang dimurkai ALLAH.” Jelas Ustadz Faisal.

“Mungkin mula-mula ringan-ringan.  Pandang-pandang, sentuh-sentuh.  Kemudian pegang-pegang.  Apabila dah biasa, mulalah berzina.  Syaitan ni pandai, genius.  Dia dah ada pengalaman jutaan tahun.  Bagi dia kacang je nak bagi manusia ni terjebak dengan bunga-bunga zina dan zina itu sendiri.  Sejarah dah membuktikan.  Malah sekarang ni pun macam-macam gejala sosial berlaku.  Bohsia, bohjan, buang bayi, pelacuran.  Ini semua akibat kita pandang ringan hukum ALLAH.  Astaghfirullah…” sambung Ustadz Faisal lagi.

Nabilah dan Husna mendengar dengan khusyuk penjelasan Ustadz Faisal.

“Sebab itu kita disuruh jaga pandangan mata kita dan seluruh pancaindera kita.  Awak kalau nampak ayam goreng, awak rasa nak makan tak ayam goreng?” Tanya ustadz Faisal.

“Tentulah ustadz.  Bukan sahaja nampak, bau aje pun dah teringin.” Jawab Husna.

“Ha’ahlah.  Hish, ustadz ni sebut pasal ayam goreng, terasa pulak nak makan ayam goreng.” Sambung Nabilah pula.

“Hehe…tulah manusia.  Manusia ni kalau tak jaga pandangan dan pancaindera kita, kita tentu berkeinginan untuk memiliki sesuatu.  Kalau awak pandang lelaki, tentu awak rasa nak memiliki perhatian lelaki itu.  Macam lelaki, kalau dia nampak perempuan cantik, tentu dia nak jadikan dia sebagai awek.  Tapi, kalau dia tak nampak dan tak tengok, tentu dia tak teringin pun.  Fikiran kita pun jangan disibukkan dengan hal-hal couple ni.  Jangan asyik berbual pasal couple dengan kawan-kawan, gossip si anu dengan si anu, baca buku cinta…ini semua dapat membuatkan kita mempunyai keinginan untuk bercouple.” Ustadz Faisal memberikan penerangan.

Nabilah dan Husna mengangguk tanda setuju.

“SubhanALLAH, ALLAH tahu fitrah kita.  DIA yang ciptakan kita.  Dia suruh kita menundukkan pandangan ada sebabnya.  InsyaALLAH, jika awak ikut apa yang ALLAH suruh, awak akan selamat dari bahaya bercouple ini dan lain-lain bahaya…” jelas Ustadz Faisal.

“Malah, jika kita jauhi amalan couple ini, insyaALLAH gejala sosial seperti zina dan buang bayi akan menjadi sifar.  Masyarakat akan lebih sejahtera.  Nampak tak betapa besarnya implikasi couple ni.  Mungkin sebahagian masyarakat nampak kecil dan biasa-biasa sahaja, sedangkan ia boleh menatijahkan sesuatu yang buruk kepada masyarakat.” Sambung Ustadz Faisal dengan wajah yang serius.

“Ustadz, alhamdulillah saya rasa saya dah faham apa hukum bercouple ni.  InsyaALLAH ustadz, saya dan Husna akan cuba ingat nasihat ustadz ni.” Nabilah seakan dapat menyimpulkan perbincangan pada petang itu.

“Doakan kami ye ustadz supaya kami dapat jaga diri kami ye…” sambung Husna pula.

“InsyaALLAH Nabilah, Husna…saya doakan agar kalian dipelihara ALLAH.  Sebaik-baiknya kamu berdua kongsikanlah apa yang kita bincangkan ini dengan kawan-kawan yang lain.  Mudah-mudahan mereka semua akan faham apakah kedudukan bercouple ini di sisi ISLAM.” Ustadz Faisal merespon.

“Tapi ustadz, macam mana ye kalau kami remaja ni jatuh cinta?” Tiba-tiba nabilah bertanya lanjutan dari perbualan itu.

Belum sempat Ustadz Faisal membuka mulut, tiba-tiba Jannah datang memanggil Nabilah dan Husna dengan penuh tergesa-gesa.

“Bas datang, bas datang!  Cepat, cepat…!” jerit Jannah sambil memegang daun pintu, termengah-mengah.

“Ah ustadz, kami minta maaf!  Kami terpaksa minta diri dulu.  Nanti kami datang lagi jumpa ustadz tanya.  Terima kasih ustadz” Nabilah dan Husna tergesa-gesa memohon diri.

“Sama-sama.  Hah, cepat..nanti bas tinggal, susah pulak.  Takpe, esok kalau awak nak tanya lagi, datang je jumpa saya di bilik guru ni” Balas Ustadz Faisal.

“Assalamu’alaikum ustadz” Ucap Nabilah dan Husna.

“Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.” Jawab ustadz Faisal.
Read More

Sunday, March 23, 2014

MASALAH SOSIAL DI KALANGAN REMAJA KINI

Masalah Sosial di Kalangan Remaja Kini Makin Meruncing









Pengenalan

Berbagai ragam krisis akhlak dan moral kini terus menular, merebak dan mewabak dalam masyarakat kita khasnya di kalangan remaja. Daripada kes bosia, hamil luar nikah yang diikuti dengan pembuangan zuriat di dalam tong sampah, penderaan, gengsterisme dan vandalisme, rogol, sumbang mahram, ketagihan dadah, hinggalah kepada mat rempit.

Pelbagai kes jenayah berlaku turut melibatkan kes Juvana. Dalam tahun 1995 ,1,895 kes melibatkan Juvana. Daripada jumlah itu 406 kes curi kenderaan atau (21.42 peratus), lain-lain kecurian 451 kes (23.80%), pecah rumah malam hari 324 kes (17.10%), curi dalam bangunan/orang gaji 277 kes (14.62%), mendatangkan kecederaan 154 kes (8.13%), pecah rumah siang hari 148 kes (7.81%), rogol 70 kes (3.70%) dan samun 58 kes (3.06%). Perangkaan-perangkaan yang menggerunkan ini menyerlahkan kepada kita betapa seriusnya krisis akhlak yang melanda remaja di negara kita ketika ini.

Ternyata bahawa pendidikan moral kita dengan enam belas nilai teras, pendidikan sivik, pendidikan Islam, pendidikan jarak jauh dan sebagainya; masih jauh untuk dapat menangani kegawatan dan kemerosotan dalam bidang ini. Faktor-faktor tertentu seperti mencari kepuasan nafsu, ingin membebaskan diri dari kemiskinan,kongsi gelap, dadah, bertelingkah dengan ibu bapa , gagal dalam peperiksaan , bosan duduk di rumah, trauma akibat perbuatan seks dan sebagainya rupa-rupanya lebih berpengaruh dari asuhan institusi pendidikan yang sedia ada.

Perkembangan akhlak seseorang boleh dibahagikan kepad tiga tahap :

a) Tahap awal kanak-kanak
b) Tahap pertengahan dan akhir kanak-kanak
c) Tahap baligh dan remaja

Peringkat pertama

Dalam peringkat ini kanak-kanak mula membentuk keyakinan kepada persekitarannya. Proses ini amat bergantung kepada belaian ibu yang berterusan di mana ibu memenuhi keperluan emosi dan fisiologinya. Hubungan ibu dan anak dalam peringkat ini perlulah dijaga dan perkukuhkan sehingga kanak-kanak mempunyai keyakinan kepada lingkungan dan alam sekitarnya. Anak-anak yang tidak memperolehi perhatian serta kasih sayang ibu dalam tahap ini perkembangan emosional dan fizikalnya mungkin akan terbantut. Anak tersebut kelihatan lebih kecil dari umurnya yang sebenar.

Dalam peringkat 18 bulan hingga 3 tahun kanak-kanak mula beralih daripada bersandarkan kepada ibu semata-mata. Kanak-kanak mula membentuk keperibadiannya tersendiri, di mana ia bertarung untuk memastikan pilihannya sendiri. Dalam peringkat ini ibu wajar memberikan penuh perhatian. Kegagalan kanak-kanak tersebut dalam merealisasikan kemandiriannya menyebabkannya ia akan ragu terhadap dirinya serta kurang yakin dengan kemampuannya sekaligus mengakibatkan berkurangnya keyakinan kepada orang lain. Anak-anak akan bersifat malu dan merasa serba kekurangan.

Keupayaan anak-anak untuk mandiri serta merasakan kewujudan dirinya yang tersendiri cukup penting dalam peringkat ini. Dalam tahap inilah berkembangnya sifat-sifat personal seperti sayang, benci, ego serta kebebasan untuk mengungkap perasaan. Dalam peringkat umur 3 hingga 6 tahun kanak-kanak tersebut terus mengembangkan kemandirian dengan kegiatan yang lebih meluas; di mana mereka lebih aktif bergerak, mempunyai tahap prihatin yang lebih tinggi, banyak bertanya dan bercakap. Ibu bapa dan pengasuh wajar mengarahkan kanak-kanak dengan bijak agar mereka memperoleh kemahiran-kemahiran mengatur dan menyusun sesuatu sehingga kanak-kanak berjaya melaksanakannya. Layanan yang kasar serta kekerasan yang berlebihan boleh menjejaskan jiwa, mental dan fizikal kanak-kanak.

Ibu bapa tidak wajar menganggap kanak-kanak pada peringkat ini seperti orang tua dalam erti kata meletakkan tanggungjawab moral dan akhlak terhadap perbuatan dan reaksinya kerana kanak-kanak masih belum mampu membezakan dengan tepat dan memahami sesuatu. Mereka hendaklah dikasihi, diperlakukan secara lemah lembut dan sikap toleransi. Rasulullah S.A.W. sendiri pernah menunjukkan sifat-sifat yang demikian. Abu Qatabah meriwayatkan pada suatu hari Nabi keluar menemui kami. Beliau mendokong Umamah Abu 'Asr. Beliau bersembahyang sambil mendokong Umamah, apabila Baginda ruku', beliau meletakkan dan apabila ia bangun ia dukung semula Umamah. Hadis ini membayangkan betapa kasihnya Rasulullah kepada cucunya.Beliau tidak memperlakukannya sebagai manusia yang mengerti segala-galanya.Beliau membenarkan anak tersebut bersamanya ketika sembahyang walhal sembahyang itu adalah ibadah yang suci dalam Islam.

Peringkat pertengahan dan akhir kanak-kanak

Dalam peringkat ini kanak-kanak mula memperluas arena hubungan sosial dan pergaulannya dengan orang lain yang sekampung atau sesekolah atau juga rakan sebaya dengannya. Kanak-kanak mula menyesuaikan diri dengan situasi dan kondisi baru dalam hidupnya. Ia mula membezakan perbuatan dan jenis-jenis tindak tanduk yang disukai oleh orang lain atau sebaliknya. Ia gembira jika orang lain puas dengan perbuatannya. Sebaliknya ia kecewa, menyesal jika orang lain marah kepadanya. Ini adalah permulaannya yang betul bagi proses pembentukan akhlak yang luhur.

Perkembangan akhlak yang positif ini menyebabkan kanak-kanak selalu berusaha untuk menyelaraskan antara kehendak dirinya dengan kehendak orang lain. Antara kecenderungan dan motivasi dengan nilai agama, akhlak, tradisi, guru, peraturan dan undang-undang. Dalam peringkat ini terteralah kesedaran tentang tanggungjawab akhlak dalam diri kanak-kanak sehingga ia mencapai tahap perkembangan akhlak yang ke-3. Dalam peringkat ini ibu bapa dan guru perlu perihatin kepada kecendurangan ini dan amat perlu diarahkan secara yang bijaksana sehingga kanak-kanak dapat memperolehi model yang utama (role model) di samping mengembangkan kearah nilai-nilai kebaikan.

Peringkat yang ketiga iaitu peringkat baligh dan remaja

Perkembangan akhlak pada masa ini mula berakar dan mantap. Fizikal kanak-kanak mula berkembang dan membesar. Perkembangan ini diikuti oleh perkembangan sosioemosinya di mana anak tersebut mula memperolehi keperibadiannya yang unik. Ia mula merasakan 'sense of belonging' kepada kelompok yang lebih besar. Peringkat ini adalah peringkat yang amat komplikated (rumit) dan ia disertai oleh pengalaman-pengelaman baru serta peranan dan peluang-peluang yang baru. Menyerlahnya dorongan kejantinaan semakin merumitkan hubungannya dengan orang lain. Keupayaan fizikalnya semakin kukuh dan mencapah. Tanggungjawab persekolahan ikut bertambah, disiplin hidupnya mula terbentuk.

Kanak-kanak mula berubah menjadi manusia yang berupaya mengawal kehendak nalurinya. Ia mula menundukkan diri kepada contoh utama yang telah terserap jauh dalam batinnya. Ia menjadikan contoh utama tersebut sebagai kriteria dalam tingkah laku dan situasi yang bersifat moral. Ia akan beriltizam dengan saranan-saranan dan contoh yang ditunjukkan sama ada wujud dalam bentuk undang-undang, sistem, adat dan budaya sosial atau ketiadaannya.

Kesempurnaan perkembangan akhlak berkaitan dengan kesempurnaan perkembangan akal, kejiwaan dan sosial. Huzaifah meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda : "Janganlah kalian menjadi pak turut. Kalian menyatakan kalau orang lain buat baik kalian buat baik. Kalau mereka jahat kalian buat jahat. Akan tetapi mantapkanlah pendirian kalian. Jika orang baik kalian wajar berbuat baik. Jika mereka melakukan kejahatan janganlah pula kalian melakukan."
Pembentukan Akhlak Remaja Islam

Pembentukan akhlak di dalam Islam dimulai dengan pengukuhan akidah melalui ikrar bahawa tidak ada Tuhan sebenarnya yang disembah kecuali Allah dan Muhammad adalah Rasulullah. Bagi kanak-kanak yang baru lahir pendedahan ini dimula dengan azan dan iqamat. Dalam peringkat berikutnya kanak-kanak dilatih dengan budaya hidup beragama Islam oleh ibu bapanya . Apabila lidah anak-anak sudah boleh bertutur mereka dilatih menyebut nama Allah dan beberapa ayat ringkas seperti:

وَقُلْ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُنْ لَهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ وَلِيٌّ مِنْ الذُّلِّ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا(111)
Dan katakanlah: "Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya dengan bersungguh-sungguh!"

atau doa kepada ibu bapa:

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنْ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا(24)
dan lain-lain.

Pengungkapan syahadat sebagai suatu proses pembangunan akhlak bergandingan dengan tujuh syarat yang mustahak dipenuhi seperti mana yang disebutkan oleh Saikh Yusuf al-Badri:

a) Ilmu yang menafikan kejahilan
b) Kecintaan kepada Allah yang menafikan kecintaan kepada yang lainnya
c) Keyakinan yang menafikan keraguan
d) Penerimaan yang menafikan penolakan
e) Kepatuhan yang menidakkan keingkaran
f) Keikhlasan yang menafikan kesyirikan
g) Kejujuran yang menafikan sifat mendustakan atau sekadar berlakon.

Pemantapan kalimah tauhid ini bermakna pendidikan membentuk pemikiran, perasaan serta penanaman nilai-nilai keimanan yang dinyatakan oleh Rasulullah sebagai 60 atau 70 lebih cabang dalam diri umat Islam. Sesungguhnya kesedaran manusia tentang kewujudan, kebesaran, kekuasaan dan keesaan Allah s.w.t. tentunya akan menimbulkan keperihatinan yang tinggi terhadap arahan-arahanNya.

Dalam konteks yang sama, perkara utama yang perlu dilakukan oleh seorang muslim ialah memastikan dirinya bersih dari kekufuran atau tanda-tanda kekufuran kepada Allah dan Rasulnya; iaitu samada menafikan perkara-perkara asas agama, atau melakukan perkara-perkara yang membatalkan syahadat. Kemudian, ia harus memastikan dirinya terlepas dari sifat-sifat kemunafikan, samada yang bersifat tanggapan mahupun yang bersifat amalan. Kemunafikan dalam tanggapan umpamanya, meyakini sesuatu yang bercanggah dengan hakikat Islam yang sebenar walhal lidahnya mengatakan ia menurut Islam yang sebenar. Kemunafikan dalam amalan ialah melakukan akhlak-akhlak orang yang munafik seperti tidak mematuhi janji, membiasakan diri dengan berdusta dan bersifat khianat. Ia hendaklah memastikan dirinya bersih daripada kefasikan atau penderhakaan kepada Allah. Tidak melakukan apa yang dilarang oleh Allah. Tidak menyalahi perintah Allah. Manusia muslim mesti menghindarkan diri dari segala kejahatan ; lahir dan batin.

Pembangunan akhlak bermula dengan perlaksanaan :
1- solat.
2- zakat dan infak.
3- puasa.
4- haji.
5- membaca al qur'an.
6- zikir.
7- memikirkan penciptaan allah.
8- mengingati mati dan memendekkan angan-angan.
9- muraqabah, muhasabah, mujahadah dan mu'atabah.
10- jihad, amal makruf dan nahi mungkar.
11- dedikasi dan bersifat tawadduk.
12- mengenali tipu daya syaitan terhadap manusia serta menangkis dan menutup laluannya.
13- mengenal jenis-jenis penyakit hati serta mengetahui cara-cara merawatnya.


Bagaimana Membangunkan Akhlak Umat Islam

Menurut Syaikh Abdul Rahman al Midani; akhlak manusia memang boleh berkembang dan boleh dibentuk dengan berbagai cara. Antara cara-cara tersebut ialah melalui:

a- Latihan Amali Dan Amalan-Amalan Menjernihkan Batin

Pendidikan akhlak tidak hanya melalui penjelasan mengenai nilai-nilai akhlak kepada masyarakat di mana mereka boleh memilih dan menghargai nilai-nilai tersebut tetapi juga pendidikan akhlak boleh dibuat berdasarkan latih tubi, perlaksanaan atau penghayatan yang berterusan umpamanya. Walaupun di peringkat awal ia dilaksanakan kerana arahan atau tekanan dari luar, namun lama kelamaan ia akan menjadi kebiasaan dan tabiat. Manusia sememangnya berupaya memperolehi akhlak atau sifat yang mulia melalui pendekatan ini. Rasulullah s.a.w. bersabda ( maksudnya ) :

"Suruhlah anak kalian bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkannya ketika umur mereka ( menjangkau ) sepuluh tahun.

Seandainya sembahyang boleh dibiasakan sejak dari kecil , maka puasa, zikir dan tilawatul Qur'an pun boleh diamalkan sejak dari kecil dan secara berterusan; sehingga menjadi amalan yang lazim dan budaya hidup. Amalan amalan ini pastinya lambat-laun akan menjadi adat atau kebiasaan seseorang.

b- Meletakkan Diri Dalam Lingkungan Persekitaran Yang Soleh

Persekitaran sosial dan budaya kerap mempengaruhi manusia. Persekitaran tersebut merangkum tradisi, model tingkah-laku dan saranan serta rangsangan yang bersifat akhlak. Manusia memang sering terpengaruh kepada persekitarannya; dengan cara meniru serta mencontohi figure yang disanjungi oleh mereka. Kewujudan seseorang dalam lingkungan masyarakat yang baik serta soleh sudah tentu akan menyebabkan ia beriltizam dengan amalan dan etika yang dihayati oleh kumpulan tersebut. Ia akan berusaha melaksanakan sesuatu yang disanjungi oleh masyarakatnya. Sebaliknya, perbuatan yang dianggap keji oleh lingkungannya, ia akan berusaha sedaya upaya untuk menghindarinya.
Dalam kontek menegaskan kesan lingkungan ini Allah SWT berfirman:
وَالْبَلَدُ الطَّيِّبُ يَخْرُجُ نَبَاتُهُ بِإِذْنِ رَبِّهِ وَالَّذِي خَبُثَ لَا يَخْرُجُ إِلَّا نَكِدًا كَذَلِكَ نُصَرِّفُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَشْكُرُونَ
Maksudnya :
"Negara yang baik (makmur) akan menampilkan hasil mahsulnya ( yang baik dan sihat) dengan izin tuhannya, manakala negara yang buruk, tidak akan dapat menghasilkan kecuali pengeluaran yang buruk. Demikianlah Kami ajukan tanda-tanda kebesaran Kami kepada kaum yang bersyukur."
Surah al 'Araf, ayat 58 :

Masyarakat yang buruk ialah masyarakat yang tidak melaksanakan syariat Allah. Mereka menguatkuasakan peraturan dan undang-undang ciptaan manusia yang menyimpang dari jalan Allah yang lurus. Dengan demikian, warganya sudah pasti akan berkembang di dalam masalah sosial yang tidak sihat. Mereka akan terpengaruh dengan gejala-gejala kejahatan yang berkembang pesat dalam masyarakat yang dilanda oleh fenomena moral berkenaan.


c-Qudwah Hasanah

Manusia juga dipengaruhi oleh idolanya. Idola tersebut kerap menjadi rol model dalam kehidupan mereka. Manusia yang berperanan menjadi rol model tersebut antara lain ialah tokoh politik, artis, seniman, atlit sukan, ibu bapa, guru dan sebagainya. Meskipun Rasulullah adalah qudwah yang paling ideal bagi umat Islam, namun penghayatan nilai-nilai yang dibawa oleh Rasulullah hendaklah dipaparkan oleh golongan idola berkenaan. Mereka sewajarnya sentiasa berusaha menunjukkan contoh dan teladan yang terpuji agar dapat ditiru oleh generasi muda. Penghayatan golongan idola tersebut terhadap nilai-nilai yang luhur dan utama pasti akan mengukuhkan keyakinan generasi baru bahawa keutamaan dan keluhuran memang sebenarnya boleh dilaksanakan. Ia bukan zaman dahulu kala atau idealisme khayalan belaka; tetapi malah ianya suatu realiti yang tentunya boleh dicontohi dan direalisasi oleh generasi masa kini.
Allah SWT berfirman:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Bermaksud;
"sesungguhnya Rasulullah itu bagi kamu adalah contoh ikutan yang baik untuk mereka yang mengharapkan Allah, mengharapkan ( ganjaran ) hari akhirat dan mereka yang kerap mengingati Allah." Surah al Ahzab, ayat 21.


d- Tekanan Sosial Dari Masyarakat Islam

Antara mekanisme yang digunakan oleh Islam dalam membentuk penganutnya serta memastikan mereka melaksanakan tata kelakuan berakhlak ialah wujudnya komuniti sosial yang komited dengan dasar dan prinsip-prinsip Islam. Masyarakat Islam yang mempunyai impak yang besar dan pengaruh yang kuat dalam memaksa individu mengamalkan atau menurut nilai dan norma-norma akhlak. Mereka boleh melaksanakan tekanan moral yang berkesan untuk mendisplinkan golongan yang berkecenderungan untuk melakukan kejahatan. Manusia memang suka dipuji, dihormati dan disanjung. 

Manusia juga takut dikeji dan dicemuh oleh kumpulan di mana ia mempunyai sense of belonging kepada mereka. Faktor-faktor tersebut adalah anak kunci yang sedikit sebanyak menentukan tindak-tanduk seseorang. Masyarakat Islam yang aktif boleh berperanan menyuburkan semangat dan amalan hidup berakhlak. Ia juga boleh membendung trend-trend kufur dan maksiat dalam masyarakat melalui perlaksanaan amal mak'ruf dan nahi mungkar. Apabila masyarakat kehilangan keprihatinannya terhadap kewajipan menegakkan makruf dan mencegah yang mungkar, maka bermulalah proses penghakisan moral, akhlak dan martabat umat berkenaan.

e- Kuasa Negara Islam melalui sistem keadilan dan galakannya

Tuntutan akhlak dan nilai-nilainya tidak akan bermaya tanpa digandingi oleh kuasa atau autoriti yang menguatkuasakan nilai-nilai tersebut. Oleh kerana itu, antara tanggungjawab negara Islam ialah mewujudkan mekanisme dan jentera-jentera pentadbiran yang dapat beroperasi untuk memastikan ketertiban serta penghayatan kaedah-kaedah akhlak dalam masyarakat. Jika negara tidak melaksanakan amanah ini kerana ia tidak berlandaskan sistem perlembagaan dan undang-undang Islam sudah pasti keadaan akhlak umat akan lebih parah dan malang.Melalui puluhan kementerian, badan-badan berkanun, agensi-agensi kerajaan akhlak akan digugat dan dihakis. Amalan pemerintahan yang tidak adil menjanjikan kemusnahan bukan hanya dalam bidang akhlak tetapi juga dalam semua hal.

Selain dari apa yang telah dinyatakan di atas maka akhlak juga boleh dibentuk oleh media massa, sekolah, rakan sebaya, masjid atau surau dan sebagainya. Untuk lebih jelas ada baiknya kita terangkan satu persatu peranan tersebut :

f - Peranan Media Massa

Media massa merupakan satu mekanisme yang mempunyai pengaruh yang amat besar dan berkesan di dalam pembentukan keperibadian manusia. Ia merupakan agen sosialisasi dan memainkan peranan penting di dalam menanam dan menggalakkan amalan-amalan berakhlak di dalam masyarakat. Media massa mampu mencorakkan hati budi, mentaliti dan sahsiah umat khasnya yang beroperasi 24 jam. Media massa tersebut perlu bebas dari cengkaman faham sekularisme, budaya komersial yang melampau, faham kebendaan dan dorongan untuk hidup secara mewah dan berpoya-poya. Media massa hendaklah mempunyai asas falsafah dan dasar-dasar komunikasi yang selaras dengan nilai-nilai akhlak Islam. Para petugas media massa hendaklah meningkatkan rasa akauntabiliti, tanggungjawab dan kewajipan mereka untuk memihak dan menegakkan nilai-nilai luhur seperti kebenaran, kejujuran dan sebagainya.

Para pengguna media massa terutama golongan yang bertanggungjawab seperti ibubapa, guru, pemimpin politik dan pentadbir hendaklah lebih bijaksana dalam mengarah, membimbing, meningkatkan rasionaliti, kematangan dan kewaspadaan serta keupayaan memilih siaran yang lebih bermanfaat untuk ditontoni oleh anak-anak atau orang-orang yang di bawah jagaan mereka. Media massa juga sebenarnya boleh menjadi wahana "cultural domination dan imperialisme" melalui berbagai saluran teknologi maklumat yang canggih seperti internet, multimedia dan sebagainya.


g - Peranan Sekolah

Sekolah mempunyai fungsi yang tersendiri dalam mendidik generasi baru dengan akhlak Islam. Antara lain sekolah boleh :

1. Menggandakan keberkesanan institusi pendidikan, menambahkan produktivitinya, meningkatkan kewibawaannya di kalangan setiap anggotanya baik mereka itu pelajar atau petugas.

2. Memperbaiki suasana persekolahan, mendaulatkan undang-undang atau peraturan Islam khasnya yang berkaitan dengan persekolahan, memperbaiki hubungan antara sesama anggota sekolah atau institusi.

3. Memancangkan dengan teguh akan nilai-nilai murni dan akhlak yang baik seperti ketaatan atas dasar kesedaran menghormati peraturan dan pihak yang berwewenang, menjaga perasaan orang lain, menjaga standard layanan dalam berinteraksi, berkorban untuk kepentingan ramai, bekerjasama, melakukan self criticism, mengawal diri, menghargai ilmu, menghormati ulama' dan sebagainya.

4. Membaiki prestasi persekolahan murid-murid dari segi kualiti dan kuantiti, mendidik mereka dari segi agama, akhlak dan sosial secara wajar dan sihat, mempersiapkan mereka agar dapat memikul tugas dan tanggungjawab yang bakal mereka hadapi; di samping melatih mereka menghukum atau menilai diri sendiri sebagai seorang yang berfikiran matang dan bebas.

Para pelajar di sekolah hendaklah dilatih supaya merendah diri dan memuliakan orang yang mereka bergaul dengan mereka. Mereka hendaklah digalakkan lebih suka memberi dari menerima. Dalam sanubari mereka patut dicambahkan keinsafan bahawa tangan yang memberi lebih utama dari tangan yang menerima. Disuburkan pula perasaan zuhud dalam hatinya dan di asuh agar tidak menjadi mata duitan.

Mereka harus juga diasuh supaya tidak meludah dalam majlis atau berkahak, tidak menguap besar di hadapan orang, tidak meletakkan kaki di atas sebelah kaki yang lain serta tidak membanyakkan cakap. Anak-anak harus digalakkan tidak banyak bercakap kecuali sekadar menjawab. Mereka harus dilatih pandai mendengar tuturan orang, lebih-lebih lagi jika orang yang bercakap itu lebih tua daripadanya.

Mereka mesti ditegah mengucapkan kata-kata kesat, atau bergaul dengan orang-orang yang celupar. Justeru antara kaedah mendidik anak-anak ialah melindungi mereka dari rakan-rakan yang jahat. Selain dari itu elok juga selepas belajar mereka dibenarkan bermain-main untuk menyegarkan tubuh mereka setelah penat belajar. Mereka hendaklah diasuh supaya patuh kepada ibu bapa, guru dan menghurmati mereka.

Selain dari latihan serta disiplin seperti di atas, pelajar harus juga dilatih menghargai tugas dan tanggung jawab dengan cara yang bijak, lemah-lembut tanpa terburu-buru melaksanakan kekerasan atau pemaksaan melalui penderaan. Kepatuhan yang lahir dari keinsafan dan kesedaran batin biasanya lebih berkesan dan mantap. Bagi seorang pendidik menggunakan tindakan menghukum biarlah terhadap perkara yang paling akhir dalam fikirannya; samada mereka golongan guru atau bapa. Bahkan apabila hukum hendak dikenakan kepada murid biarlah sekadar yang perlu sahaja.

Bimbingan dan nasihat yang lemah lembut tetapi tegas kadang-kadang lebih meninggalkan kesan di dalam hati serta dipatuhi. Hukuman atau penderaan bukanlah langkah utama yang merupakan satu-satunya penyelesaian. Penderaan adalah langkah terakhir apabila contoh yang baik, nasihat dan hubungan kasih sayang antara anak dan bapa atau guru tidak mampu lagi untuk digunakan.

Rasulullah bersabda yang bermaksud :
"Suruhlah anak-anak kamu menunaikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka ( kerana enggan sembahyang ) apabila umur mereka sepuluh tahun". (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud).

Demikianlah dalam Islam pembelajaran tidak dimulai dengan rotan atau hukuman. Malah di dahului oleh berbagai cara dan pendekatan untuk memupuk kebiasaan dan akhlak yang terpuji seperti melatih bersembahyang dengan menggunakan kecenderungan meniru yang menjadi pembawaan kanak-kanak dan dengan rasa yang penuh kasih sayang dari orang dewasa. Misalnya dengan memaparkan contoh, nasihat, perkataan yang baik, teguran yang lemah lembut tetapi tegas dan sebagainya. Sekiranya cara-cara tersebut gagal barulah dikenakan sedikit kekerasan yang bertujuan mendidik bukan yang menimbulkan kecacatan fizikal dan sebagainya.

Firman Allah :

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ
"Dengan rahmat ALlah kepadamu itu maka engkau berlemah lembut menghadapi mereka. Seandainya hatimu keras dan (sikapmu) kasar nescaya mereka bubar dari sekelilingmu.
(Surah Ali Imran : ayat 159)

Satu hakikat pembelajaran yang lumrah di sekolah ialah murid kerap dipengaruhi oleh sifat, kebiasaan dan akhlak guru. Sekiranya guru mempunyai akhlak yang baik murid ikut terpengaruh dengan akhlak ini. Demikianlah sebaliknya. Pandangan negatif murid bukan setakat terhad kepada guru tetapi juga mungkin menjangkau kepada pelajaran, kepada sekolah dan seterusnya kepada sistem persekolahan keseluruhannya.

Displin sekolah hendaklah dilaksanakan dengan semangat kerjasama. Guru besar, nazir, guru, murid malah ibubapa hendaklah sama-sama berperanan. Ini bermakna harus ada penerimaan dan permuafakatan tentang polisi dan cara-cara merealisasikannya seboleh-bolehnya dari semua pihak agar masing-masing melindungi dan mempertahankannya.

Usaha mengatasi masalah di sekolah hendaklah dengan menghapuskan sebab-sebab pokok atau punca dari mana datangnya permasalahan itu. Ini termasuk menghapuskan suasana yang membantu atau menyokong salah laku dari murid . Di samping itu juga penyelesaian boleh di usahakan dengan mengambil langkah pencegahan dan mengujudkan suasana yang lebih positif. Ini di dasarkan kepada prinsip "mencegah lebih baik dari merawat".

Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh sekolah dalam membangun akhlak ialah dengan mengadakan kempen menyedarkan murid tentang keperluan menghormati disiplin sekolah, menerangkan tentang mengapa suatu disiplin itu dibuat dan memperbanyakkan aktiviti sekolah dengan mempelbagaikannya, menggunakan atau memenuhi masa lapang murid, menghubung-kaitkan sukatan pelajaran dengan keperluan diri dan masyarakat mereka dan langkah-langkah yang lain.


h - Peranan rakan sebaya

Antara agen sosial yang berpengaruh di dalam membentuk sikap dan akhlak individu ialah rakan sebaya. Rakan sebaya merupakan kelompok rujukan bagi remaja di dalam tingkah laku mereka. Perasaan "sense of belonging" kepada kumpulan adalah suatu yang lumrah. Remaja akan mengubahsuai dan mengadaptasikan nilai-nilai rakan sebayanya untuk mendapat penerimaan dan pengakuran mereka. Remaja memang menyedari adanya jurang generasi antara mereka dengan kumpulan dewasa dan mereka sering berhadapan masalah dalam mewujudkan hubungan dengan generasi yang lebih tua. Kajian yang dilakukan oleh Lambert dan rakan-rakannya ( 1972 ) menunjukkan remaja menghadapi berbagai konflik apabila mereka berusaha merentasi jurang generasi( generation gap ) tersebut antara pemikiran mereka dan pemikiran ibubapa mereka.

Kajian menunjukkan bahawa masalah remaja lelaki dan perempuan adalah :
1. kesukaran untuk membincangkan permasalahan mereka dengan para ibubapa mereka dan para penjaga mereka
2. kesukaran untuk memberitahu ibubapa dan penjaga mereka mengenai apa yang mereka lakukan
3. wujudnya jarak yang agak lebar antara jalan fikiran mereka dengan jalan pemikiran ibubapa dan penjaga mereka. 
Oleh kerana itu golongan remaja umpamanya sering merujuk rakan sebaya dan kelompok sosial tertentu untuk mendapat bimbingan ke arah menyelesaikan masalah mereka. Kesilapan di dalam memilih kelompok rakan setara samada bersahabat dengan penagih dadah, kutu lepak, gangster atau kumpulan samseng, bohsia dan sebagainya pasti akan mengakibatkan kemusnahan akhlak golongan remaja dan dewasa .
i - Peranan rumah ibadah

Bagi umat Islam, rumah ibadat yang paling penting ialah masjid. Di sinilah umat Islam sering berkumpul untuk menyembah Allah secara berjamaah. Sebab itulah di mana sahaja dalam negara umat Islam; bahkan di kota-kota besar dunia kedapatan bangunan masjid yang berbagai bentuk dan rupa. Ada yang kecil dan ada pula yang besar. Masjid sentiasa menjadi lambang kemegahan umat dan pemerintah Islam. Sebagai tempat ibadah masjid mempunyai peranan dan pengaruh yang besar dalam meneruskan penghayatan nilai-nilai akhlak dalam masyarakat Islam. Kelangsungan budaya, cara hidup dan syiar Islam lumrahnya diperkukuhkan oleh institusi ini. Sebab itu perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W ketika baginda berhijrah ke Madinah al Munauwarah ialah membina Masjid Quba' dan Masjid Nabawi.

Ilmu yang dipelajari di masjid pada masa dahulu bersepadu dengan nilai tauhid, ruh Islam dan akhlak . Ia mengimbaukan ketakwaan dan mengukuhkan ubudiah manusia kepada Allah . Ilmu yang dipelajar membawa berkat dan meningkatkan ciri khasyatullah atau takut kepada Allah. Sebab itu lahir para ulama dan ilmuan yang jujur, soleh dan dedikasi. Apabila semangat dan imbauan seperti ini sudah tiada lagi ilmu disalut dengan semangat kebendaan dan keserakahan manusia. Sebab itu muncullah ilmuan-ilmuan sekular yang amat benci kepada Islam dan ajaran Allah itu sendiri .

Ada berbagai bentuk kegiatan keilmuan, kebudayaan dan kemasyarakatan yang boleh dijalankan di dalam atau di pekarangan masjid untuk tujuan mengukuhkan akhlak dan sahsiah umat . Antaranya ialah:
1. Kelas Fardu Ain
2. Kelas Tajuid & Qiraat.
3. Kelas Bimbingan Remaja.
4. Kelas Bahasa Arab.
5. Ceramah Berkala.
6. Seminar Motivasi dan Pembentukan Syakhsiah.
7. Kursus Rumahtangga Bahagia.
8. Kursus Pengurusan Jenazah.
9. Madrasah atau Sistem Pengajian Formal.
10. Kursus Dakwah dan Imamah.
11. Acara Tadarus al-Quran.
12. Khemah Ibadan & Qiamullail.
13. Kursus Pengurusan Masjid.
14. Kegiatan Amar Ma'ruf & Nahi Munkar.
15. Seminar Pengurusan Sumber Masjid.
16. Kempin Memakmurkan Masjid.
17. Membentuk organisasi Belia Masjid ( Rakan Masjid )

Seluruh agensi sosial, Jentera Kerajaan, Kementerian dan Badan-badan Berkanun, NGO dan Badan-badan Korporat, swasta dan awam hendaklah digembling untuk bersama-sama berperanan meningkatkan kualiti akhlak umat samada dengan mengadakan kempen hidup beretika dan berakhlak atau melancarkan buku-buku rujukan yang menjelaskan nilai-nilai akhlak tersebut dan sebagainya.

.

Masalah Sosial di Kalangan Remaja Masa Kini


Masalah sosial memang hebat dibincangkan di mana-mana sahaja di dunia ini dan kini lebih hebat dibincangkan dari masa kesemasa di Malaysia sendiri. Bukan sahaja masalah ini terjadi di negara membangun tetapi di negara maju dan juga dunia ketiga. Remaja masa kini hidup penuh dengan cabaran demi kemajuan dan kemodenan sehingga mereka kini hidup dengan penuh kebebasan. Kebebasan remaja kini tiada terbatas lagi hingga berlaku pelbagai masalah sosial di kalangan mereka yang bergelar remaja. Permasalahan sosial di kalangan remaja masa kini amat membimbangkan banyak pihak terutama sekali golongan ibu bapa dan golongan pendidik. Akhlak remaja semakin jatuh dan bagaikan tidak dapat dibendung lagi.

Seks bebas, lari dari rumah, buang bayi, mengedar dan menagih dadah, alkohol, ponteng sekolah, mengugut, menubuhkan kumpulan haram. Kesemua yang disebutkan tadi hanyalah sebahagian dari permasalahan sosial di kalangan remaja kita.

Remaja adalah seorang manusia yang berusia antara 14-21 tahun. Pada usia tersebut mereka sangat naif terhadap apa-apa perkara , mereka selalu ingin mencuba semua yang ada di dunia ini tanpa memikirkan akibatnya di masa yang akan datang.

Penyakit ini sebenarnya sudah lama bertapak di negara kita. Ia disebabkan oleh banyak faktor, antaranya adalah suasana persekitaran yang berubah secara mendadak terutamanya dengan pengaruh media massa dan elektronik yang saban hari mempengaruhi pemikiran golongan muda terutama yang baru meningkat remaja. memaparkan tentang eksploitasi terhadap wanita dan kebebasan remaja yang keterlaluan yang banyak. Dengan kurangnya didikan agama dan kasih sayang dari ibu bapa, perasaan ingin mencuba, desakan atau pengaruh dari rakan sebaya ini semua sebab terjadinya masalah sosial yang kian sukar dibendung lagi.

Masalah sosial yang melanda remaja pada masa kini terjadi daripada beberapa faktor. Antaranya selain daripada yang diberikan di atas merupakan pengaruh atau ugutan daripada rakan sebaya, kekurangan ilmu bagi menyesuaikan diri dengan kehidupan di bandar dan mempunyai sikap ingin mencuba sesuatu yang tidak baik dan juga sebab seperti di bawah.

Globalisasi /Kebebasan

Globalisasi sebenarnya tidak bermaksud kebebasan yang tidak ada batasnya, tetapi bermaksud kebebasan setiap manusia untuk menunjukkan seluruh potensinya sehingga dapat membawanya perubahan yang bererti baik pada diri sendiri mahupun orang lain.

Dalam era globalisasi ini banyak sekali berlaku pengekploitasian terhadap segala sesuatu iaitu ilmu pengetahuan sampai hal-hal yang bersifat pornografi yang membahayakan mental generasi muda kita. Remaja mudah terpengaruh terhadap perkara baru dan trendy misalnya mewarna rambut, memakai anting-anting atau tattoo bahkan sampai kepada hal-hal yang sangat serius iaitu pengambilan minuman keras, narkotik dan pergaulan bebas yang menjurus kepada free sex (seks bebas) yang giat dilakukan oleh remaja.

Modenisasi

Globalisasi bergerak seiringan dengan modenisasi. Salah satu alasan utama yang menjurus kepada masalah jenayah di kalangan remaja adalah disebabkan oleh proses modenisasi ini. Dalam dunia yang serba moden ini, masyarakat yang inginkan kemewahan menjadi semakin individualistik dan materialistik.

Sesetengah masyarakat moden tidak lagi menerima suratan takdir. Mereka mempercayai bahawa usaha mereka boleh membawa kebaikan. Jika di banding dengan masyarakat tradisional, masyarakat moden mempunyai cita-cita tinggi. Mereka mahukan prestij, gaji tinggi dan barang-barang mewah. Masyarakat moden tidak lagi menganggap saudara-mara mereka dan jiran mereka sebagai kelompok rujukan. Mereka mempunyai hubungan yang luas, di luar batasan sosial dan fizikal. Bagi mereka terdapat beberapa adat resam tradisional yang sudah tidak diamalkan lagi dalam masyarakat moden.

Media Massa / Internet

Dewasa ini, media massa memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi masyarakat khususnya golongan remaja. Melalui teknologi yang semakin canggih ini, golongan remaja mudah terdedah kepada banyak maklumat termasuk bahan yang tidak sesuai yang boleh mendatangkan bahaya jika digunakan tanpa panduan daripada golongan dewasa.

Golongan pelajar lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling mereka. Paparan adegan-adegan negatif dari filem barat yang banyak memaparkan adegan ganas menimbulkan perasaan ingin tahu dan ingin cuba sendiri mengikut apa yang mereka tonton dari video cakera padat dan sesetengah program televisyen.

Selain daripada video cakera padat (VCD), bahan-bahan pornografi juga mudah didapati melalui internet yang sukar dibuat tapisan oleh pihak yang berwajib. Oleh itu, ibu bapa seharusnya membimbing dan memberi tunjuk ajar supaya remaja ini mendapat panduan yang betul.
Ideologi Kebebasan Bertingkah Laku

Kebebasan bertingkah laku di negara Barat telah banyak membawa akibat yang buruk dalam masyarakat mereka. Apakah kita sepatutnya mencontohi mereka? Adakah semua yang dibawa Barat baik? Rancangan Barat yang berunsur realiti banyak memperlihatkan adegan yang tidak selaras dengan kebudayaan Timur.
Rancangan televisyen pastinya mengghairahkan remaja kerana memaparkan adegan-adegan yang menjolok mata dan kadang-kadang unsur-unsur seks yang melampau serta cara hidup yang serba pincang. contohnya filem-filem Barat yang di tayang di televisyen, lebih-lebih lagi bagi siaran yang berbayar.

Rancangan televisyen sebegini seolah-olah memberikan satu fahaman bahawa orang ramai boleh mengadakan seks rambang selagi tidak ada pencabulan hak dan kebebasan di antara dua pihak. Budaya seperti inilah yang mendedahkan remaja kepada penyakit-penyakit kelamin yang berbahaya.

Pakaian Dan Kes Rogol

Anak-anak muda kini diajak menjadi golongan yang berfikiran terbuka. Malangnya, minda mereka dicemar oleh konsepsi kehidupan yang membawa kepada kecelaruan. Zaman ini perempuan Melayu Islam yang memakai mini skirt, seluar pendek atau memadankan tubuh dengan bikini dan bertanding dalam peraduan ratu cantik di khayalak ramai tidak dianggap sebagai pesalah. Golongan wanita muda yang berpakaian menjolok mata tidak dapat menerima pendapat bahawa merekalah yang memainkan peranan dalam melonjaknya jumlah kes rogol dan pencabulan kehormatan.

Dunia Cinta Remaja

Perasaan ingin berpasangan semakin memuncak ketika berada di alam remaja. Sekiranya perasaan ini tidak dikawal atau dibendung sudah tentu ia akan membawa kepada masalah sosial. Isu terkini benarkah remaja kini banyak terlibat dalam aktiviti seks bebas? Mereka bercinta dan melakukan hubungan seks serentak demi cinta sejati.

Remaja lelaki dan perempuan masa kini menghadapi masalah sosial seperti pergaulan bebas, anak luar nikah, zina dan sebagainya. Bercinta tidak pernah dianggap salah malahan orang yang tidak percaya akan cinta kepada insan lain dan pencipta-Nya merupakan golongan manusia yang rugi. Islam sendiri menggalakkan umatnya saling kenal mengenali antara satu sama lain tanpa mengira jantina, bangsa dan agama.

Mungkin ada cara untuk menangani masalah percintaan. Remaja diingatkan supaya berkawan atau bercinta dengan cara yang telah digariskan oleh Islam yang diantaranya adalah mengelakkan pergaulan tanpa batas, berdua-duaan di tempat sunyi dan sebagainya.

”cinta yang tak terkawal boleh membawa kepada masalah yang lebih buruk…”

Mengisi Masa Lapang Remaja

Penggunaan untuk mengisi waktu lapang bagi remaja sering diabaikan. Kerap kita berjumpa dengan remaja-remaja yang masih memakai pakaian seragam sekolah berkeliaran di pusat membeli belah atau ‘melepak’ di tepi jalan. Kegiatan semacam ini dirasakan kurang bermanfaat dan dapat menimbulkan berbagai masalah sosial, seperti mengganggu ketenteraman.

Pelajar yang sibuk dan menyukai kesibukan, biasanya memiliki masa lapang yang terbatas. Mereka kurang berminat pada kegiatan-kegiatan yang tidak berfaedah. Pengisian masa lapang yang kurang terarah, akan mendesak remaja melakukan aktiviti atau kegiatan yang kurang terarah seperti perbuatan negatif.

Oleh itu perlu diingat aktiviti apa saja yang dipilih oleh seseorang, khususnya remaja, sebagai pengisi masa lapang tidak harus dipandang remeh oleh ahli keluarga.

CARA MENGATASI MASALAH SOSIAL REMAJA

Remaja atau belia perlu mengekalkan pergaulan terpuji di kalangan rakan-rakan mereka dan mestilah mempunyai dan mengamalkan sifat-sifat yang terpuji seperti berakhlak mulia, beradab ketika berbicara, sering memberi salam, jujur, memelihara amanat, sabar, toleransi dan seumpamanya hingga kepada azam menanam rasa memuliakan teman atau rakan yang baik pada setiap pertemuan. Pergaulan juga harus dijaga daripada perkataan yang sia-sia, kotor dan perkara-perkara yang merupakan ‘kerugian’ bagi setiap individu Muslim.Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Bukanlah seorang Mukmin yang sempurna, yang suka mencela dan melaknati, berperangai jahat dan berakhlak rendah."

Bagi remaja yang sudah terpesong hendaklah sedar bahawa kita sepatutnya mengamalkan nilai-nilai murni yang baik dalam pergaulan serta mencari arah dan tujuan hidup yang asal serta mencipta kebaikan dan kecemerlangan diri. Tidak bererti keterlanjuran diri yang telah berlalu merupakan sempadan yang tidak dapat diubah ke arah yang lebih baik dan sempurna. 

Justeru, pergaulan yang dicari ialah pergaulan yang baik, beretika, dan sentiasa ingat kepada ajaran-ajaran beragama serta menghala tuju ke arah kualiti hidup yang berguna. Lihatlah kepada resmi ikan, meskipun berenang di lautan masin, namun ikannya tetap tawar dan sedap dimakan.Maknanya, meskipun pelbagai perubahan sosial yang berlaku di sekeliling kita, pengaruhnya tidak semudah itu meresap ke dalam diri kita, namun yang baik tetap menjadi pilihan dan keutamaan kita. Untuk mempertahankan kebaikan yang kita sedia miliki inilah kita perlu kepada ketahanan diri. Ketahanan diri yang dimaksudkan ini memerlukan kepada bekalan yang kukuh dan mantap. Dalam konteks ini, apa yang lebih mujarab untuk menjadi benteng yang menjadi senjata mengawal diri ialah memperteguh keimanan dan kekuatan beragama.Tiada apa-apa yang akan dapat membantu dalam mengawal diri kita ini, jika kita kosong dengan bekalan keimanan dan ketakwaan yang mendalam. 

Kita perlu dan tidak boleh mengabaikan bahawa perhiasan yang paling indah ialah keimanan dan ketakwaan yang mendalam kepada Allah s.w.t.Jika hakikat ini kita abaikan, maka mudahlah segala ancaman dan gejala sosial menebusi pertahanan diri kita. Jika pertahanan diri kita sudah dibolosi,Inilah yang akan menjadi isu kehidupan yang bukan sahaja akan melibatkan banyak perkara, malahan ia juga akan melibatkan tenaga dan usaha yang jika dialihkan ke arah yang lebih bermakna, akan lebih memberikan kesan dan manfaatnya.Inilah yang sedang kita lalui sekarang dan kita memerlukan persiapan diri untuk berdepan dengan budaya yang sudah mula membauri kemurnian yang sedemikian lama kita pupuk dan semai bersama. Kita perlu sedar dan menginsafi bahawa jika kita terus membiarkan keadaan ini berlaku, kita akan kehilangan nilai dan juga kemurnian jati diri bangsa. Justeru, semua pihak (lebih-lebih remaja sendiri) harus berperanan dan bertanggungjawab dalam mewujudkan ketahanan budaya dan nilai-nilai kehidupan beragama yang sedemikian lama kita genggam. Tidak ada ertinya lagi untuk kita sering menyalahkan antara satu dengan yang lain.

Kerajaan telah melakukan bermacam-macam cara untuk menarik minat dan perhatian remaja dari melakukan aktiviti yang tidak berfaedah, seperti kempen Budi Bahasa budaya kita, Tak Nak kepada Rokok, Belia Benci Dadah dan banyak lagi, namun usaha dan susulan sedemikian yang giat dilaksanakan dengan bantuan badan-badan tertentu tidak begitu berjaya menarik minat remaja secara menyeluruh. JAKIM sebagai salah sebuah agensi kerajaan juga turut serta dalam hal ini seperti mengadakan program menjadikan masjid sebagai tempat persinggahan penagih dadah, bengkel menangani gejala sosial remaja, dakwah untuk remaja, menerbitkan bahan-bahan bacaan berunsur Islam untuk remaja serta banyak lagi.

Tanggungjawab membanteras masalah sosial sebegini bukan sahaja tanggungjawab kerajaan dan pihak sekolah sahaja malah tanggungjawab ini harus dipikul oleh semua pihak, terutama ibu bapa sendiri. Adalah tidak munasabah sekiranya pihak ibu bapa sekadar menuding jari kepada pihak lain sekiranya anaknya bertindak liar.
”..Ini tanggungjawab semua pihak, remaja pun tidak boleh disalahkan 100%...”

Kembali kepada Akal Budi Islam
Menurut Islam, kanak-kanak mula dapat membezakan perkara yang baik dan buruk setelah mencapai mumaiyiz iaitu berumur tujuh tahun. Pada ketika inilah ibu bapa atau penjaganya patut melatih anak mengerjakan ibadat yang wajib. Apabila anak mencapai umur baligh, mereka wajib melaksanakan semua suruhan agama dan menjauhkan segala larangannya.

Islam mempunyai suatu sistem yang cukup lengkap, datangnya dari pencipta manusia sendiri iaitu Allah SWT yang sendirinya tahu tentang baik atau buruk bagi manusia itu. Amalkan ajaran Islam sepenuhnya sebagai cara hidup.

Kesimpulan

Sama ada disedari atau tidak kebanyakan masalah yang melanda remaja masa kini adalah disebabkan oleh tekanan serta permasalahan yang wujud di dalam persekitaran. Terdapat banyak faktor yang perlu ditimbangkan sebelum kita boleh menuding jari siapa penyumbang utama isu ini. Bak kata pepatah “mencegah adalah lebih baik daripada mengubati ”. Maka, adalah wajar bagi semua pihak untuk sentiasa menangani dan prihatin dengan permasalahan sosial remaja.

Sebagai penjaga kepada anak-anak, ibu bapa haruslah lebih peka dan sentiasa mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anaknya. Ibu bapa haruslah bersikap terbuka dan membincangkan isu ini dengan anak-anak mereka Marilah kita dengan penuh sedar dan keinsafan bergabung fikiran, tenaga, kepakaran dan pengalaman, bertindak mencari jalan penyelesaian walaupun usaha yang dilaksanakan nanti belum pasti dapat menghapuskan permasalahan ini tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha untuk membendung daripada terus merebak memusnahkan anak bangsa rakyat yang tercinta. Begitu juga dengan remaja, mereka seharusnya sentiasa peka dan terus berusaha untuk menjadi remaja yang merdeka. “Remaja hari ini adalah pemimpin hari esok”.












Rumusan

Gagasan dan tugas untuk membangun, memupuk dan meningkatkan mutu akhlak umat khasnya di kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar. Ia tidak dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh manusia yang berjiwa besar dan mempunyai kualiti kemanusian yang tinggi. Ia harus bermula dengan melahirkan para pemimpin umat yang berakhlak, beriman dan bertakwa. Pemimpin yang mempunyai iltizam yang tidak berbelah bagi kepada set-set nilai akhlak Islam, mempunyai kerohanian yang amat tinggi, mewarisi ciri perjuangan Rasulullah yang diutus untuk membangun akhlak dan keluhuran akan beroleh kedudukan dalam pemerintahan lantas memastikan semua umat menunaikan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh yang makruf, mencegah yang mungkar, menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah, mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah. Mereka menguatkuasakan sistem hidup Islam yang memang membela akhlak. Mereka melaksanakan undang-undang Allah yang sebenarnya memang melindungi nilai dan norma akhlak dalam masyarakat.

Dengan adanya pemimpin yang soleh dan bertakwa seluruh agen sosialisasi dan jentera kerajaan akan menghala ke arah yang sama. Rakyat akan terbentuk oleh media yang beretika dan berakhlak. Pengaruh luar yang buruk akan disekat samada dalam rancangan tv, filem, internet maupun apa jua pengaruh lain yang mengancam jatidiri dan maruah umat. Dasar-dasar kementerian dan agensi pembangunan masyarakat akan selaras dengan tuntutan nilai dan tatanan akhlak. Tidak berlaku proses pertentangan antara kerja membangun dan merosak akhlak serentak dalam jentera-jentera berkenaan.

Agenda-agenda khusus menangani gejala keruntuhan dan kemorosatan akhlak akan disusun dengan lebih berkesan dan menyeluruh. Segala-galanya akan dimanfaatkan dalam menjana kekuatan untuk meningkatkan mertabat umat dalam segala bidang.Kebenaran keadilan dan ihsan akan didaulatkan . Manusia diasuh kembali menjadi hamba Allah yang ta'at dan bukan hamba benda, wang, pembangunan, bangsa atau negara. Semoga semua langkah-langkah yang dicadangkan di atas dapat membantu mengatasi masalah keruntuhan akhlak yang semakin berleluasa, khasnya di kalangan remaja kita dewasa ini.
Read More

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML