Monday, January 13, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 1

Soal Jawab Agama Siri 1

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Alhamdulillah sepanjang penglibatan saya di dalam penulisan tazkirah samaada di dalam blog atau facebook saya banyak menerima soalan-soalan mengenai agama dan persoalan masalah kehidupan yang dikemukakan oleh rakan-rakan blog dan facebook. Maka di sini saya cuba himpunkan sebahagian soalan-soalan tersebut berserta jawapannya untuk perkongsian kita semua. Saya akan cuba kemukakan soalan-soalan dan jawapan secara bersiri in syaa Allah.

1. Soalan: Apakah amalan yang perlu saya lakukan sebelum saya tidur?

* Mengibaskan tempat tidur dengan ujung sarung atau dengan pakaiannya sebanyak tiga kali. (Hadis Riwayat Bukhari).

*Tidur dengan berwuduk terlebih dahulu. Hal ini berdasarkan sabda Nabi  SAW maksudnya : “Apabila kamu hendak tidur maka berwuduklah sebagaimana wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di atas sisi kananmu”, (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). 

*Dan lebih elok memulakan tidur dengan membaringkan tubuh ke sisi sebelah kanan sebagaimana dalam hadis di atas.

* Jangan tidur dengan tengkurap, berdasarkan sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya itu adalah cara tidur yang dimurkai Allah ‘azza wa jalla”. (Hadis Riwayat Abu Daud dengan sanad yang shahih)

2.Soalan: Apakah surah yang boleh kita amalkan supaya boleh dijadikan pelindung semasa tidur?

Mengumpulkan kedua telapak tangannya. Kemudian ditiup dan dibacakan: surat Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas. Kemudian dengan kedua telapak tangan tadi mengusap tubuh yang dapat dijangkau dimulai dari kepala, wajah dan tubuh bagian depan. Hal ini dilakukan sebanyak tiga kali. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Membaca doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah, seperti membaca doa “Bismika Allahumma amuutu wa ahyaa (Dengan menyebut nama-Mu ya Allah aku mati dan hidup)” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

3.Soalan: Apakah yang perlu dilakukan apabila saya terjaga daripada tidur di tengah malam akibat termimpikan sesuatu perkara?

Apabila tiba-tiba terbangun di tengah malam, maka dianjurkan meminta kepada Allah SWT
kerana saat itu adalah saat yang mustajab doa, sebagaimana sabda Nabi SAW maksudnya “Tidaklah seorang muslim yang tidur dalam keadaan suci dan berzikir lalu tiba-tiba terbangun di malam hari kemudian mohon kepada Allah kebaikan dunia dan akhirat kecuali Allah akan mengabulkannya”, (Hadis Riwayat Abu Daud) 

Dan jika terjaga daripada tidur akibat mimpi buruk, Nabi SAW bersabda maksudnya,  "Ketika bermimpi buruk hendaknya berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk dan dari keburukan yang dilihat dalam mimpi”, (Hadis Riwayat Muslim).

4.Soalan: Apakah cara penyelesaian yang terbaik apabila saya dan rakan sekerja sering berselisihan pendapat mengenai sesuatu perkara?

Di dalam Islam terdapat kaedah untuk menyelesaikan sesuatau perbezaan pendapat iaitu dengan berbincang dan bermuzakarah secara baik dan sopan mengikut lunas-lunas ajaran Islam. 

Firman Allah SWT maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya-jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”  
(Surah an-Nisa', ayat 59).

5.Soalan: Saya dan jiran berselisihan faham dan dia membuka aib dan memfitnah saya kepada jiran yang lain. Apakah akibat perbuatan tersebut?

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan masuk syurga pembawa fitnah”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Mereka yang suka membuat fitnah sebenarnya dia juga telah memutuskan silaturahim.
Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud: "Tidak akan masuk syurga bagi yang memutuskan silaturahim.” (Hadis Riwayat Muslim).  

Kita perlu buangkan sifat mazmumah yang bersarang di dalam hati kita iaitu sifat suka membuat fitnah, mengumpat, mendedahkan aib, menghina dan menjatuhkan maruah seseorang. Sayangkanlah segala amal ibadah, amal soleh dan amal kebaikan yang kita telah lakukan sejak akil baligh hingga sekarang supaya ianya tidak terhapus begitu saja  disebabkan kita melayan suasana masyarakat yang suka buat fitnah dan mendedahkan aib seseorang dan kita berada bersama-sama kumpulan tersebut.

6.Soalan: Apakah kesan dan akibat seseorang yang suka membuat fitnah dan mendedahkan aib seseorang melalui laman sosial?

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : "Tidaklah seorang hamba menutupi aurat  (aib ) orang lain di dunia kecuali Allah menutupi auratnya ( aibnya ) di akhirat." (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Muslim (orang Islam) adalah saudara bagi orang Islam lainnya, dia tidak menganiayanya dan tidak pula menyerahkannya kepada musuhnya ( tidak juga meninggalkannya tanpa pertolongan), barangsiapa menolong saudaranya untuk memenuhi hajatnya, maka Allah bersamanya dalam memenuhi hajatnya, dan barangsiapa melapangkan suatu kesusahan dari seorang muslim, maka Allah akan melapangkan baginya suatu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat, dan barangsiapa menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat. “ (Hadis Riwayat Muslim)

Fitnah adalah dosa besar yang tidak di ampunkan oleh Allah SWT sekiranya orang yang membuat fitnah tidak memohon maaf daripada orang yang difitnahkan. Sekirannya fitnah tersebut disebarkan melalui internet dan berjuta-juta manusia membaca dan melayarinya maka setiap seorang yang mendapat berita tersebut maka orang yang membuatnya akan mendapat dosa. Jika selama 20 tahun berita fitnah itu masih ada di internet selagi ada orang membacanya maka dosa itu akan mengalir terus kepada pembuat fitnah seperti air sungai yang mengalir. Sekiranya orang yang difitnah itu memaafkan kesalahan orang yang membuat fitnah, dosa tersebut tidak mudah terhapus kerana berita fitnah tersebut sukar untuk di hapuskan kerana ramai orang yang menyimpan video atau tulisan tersebut atau mereka masih mempercayainya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sesiapa yang menyebarkan fitnah di laman sosial sebenarnya dia telah mengumpul dosa yang banyak dan sukar dihapuskan, Selagi berita fitnah itu di simpan dan dipercayai selagi itulah dosa yang akan ditanggung berterusan, perbuatan ini amat memudahkan seseorang menjadi muflis di hari akhirat nanti.

7.Soalan : Apakah perkara terbaik yang perlu dilakukan apabila diri sedang diuji oleh Allah SWT?

Pertama, kita perlu bersabar dan redha dengan ujian Allah SWT, kerana kita terdiri dari orang-orang yang beriman. Orang beriman akan tenang menghadapai segala dugaan dan ujian.

Firman Allah SWT maksudnya : “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.” (Surah Al-Ankabut, ayat 2-3).

8.Soalan: bagaimanakah cara yang terbaik untuk menghadapi situasi yang mana saya tidak dapat apa yang saya hajatkan?

Allah SWT mengetahui apa yang terbaik untuk diri manusia. Kita hanyalah insan kerdil yang tidak mampu mengaturkan apa yang terbaik dalam kehidupan dan juga masa hadapan. Kadangkala kita sudah fikir perancangan kita adalah baik namun bukanlah yang terbaik disisi Allah SWT. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu  menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

9.Soalan: Bagaimana untuk kita persiapkan diri bagi menghadapi ujian dan dugaan yang diberi?

Kita perlu persiapkan diri untuk bagaimana harus menghadapi dugaan ini iaitu dengan meminta pertolongan daripada Allah SWT melalui sabar, berdoa dan solat. Mengadulah kepada Allah SWT semoga Dia permudahkanlah ujian yang sedang kita hadapi. 

Sesungguhnya orang orang yang bersabar dan mengerjakan solat adalah salah satu golongan yang dikasihi oleh Allah SWT. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." (Surah Al-Baqarah,ayat 45)

10.Soalan: Apakah balasan untuk orang orang yang sabar dalm menghadapi dugaan tersebut?

Balasan untuk orang yang sabar adalah pahala yang besar sebagaimana  firman Allah SWT yang bermaksud : "Apa yang ada disisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan Kami pasti akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl,ayat 96)

Kesan daripada sabar ini hati akan menjadi tenang dan bahagia ini adalah satu kurniaan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang dikasihi-Nya. Hati yang sejahtera ini tidak akan putus asa dan rasa kecewa walaupun dia dikecewakan oleh insan lain kerana pertalian yang kukuh di antara hatinya dengan kecintaan kepada Allah SWT.

11.Soalan: Islam menggalakkan kita untuk berwangi-wangian. Adakah hukum jika kita sembahyang dengan memakai minyak wangi beralkohol?

Minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis. Dari itu, adalah sah sembahyang seseorang yang memakai minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.

12.Soalan: Apakah amalan yang boleh dilakukan untuk ibu bapa kita yang telah meninggal dunia?

Amalan-amalan anak untuk kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia :

1. Mohon keampunan untuk mereka.
Doakan kepada mereka.supaya diampunkan dosa-dosa mereka. (Setiap selepas solat fardu berdoalah kepada Allah SWT untuk  kedua ibu bapa supaya Allah SWT mengampunkan semua dosa-dosa mereka)

Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya : "Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (Hadis Riwayat Muslim).

"Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla menaikkan darjat seorang lelaki yang soleh di syurga, lalu dia bertanya: “Wahai Tuhan! Kenapakah saya mendapat kelebihan ini?”
Di jawab: “Disebabkan permohonan ampun anak kamu kepada kamu.” (Hadis Sanad Hasan Riwayat Ahmad dalam Musnadnya – hadis no: 10610 (jld. 2, ms. 509) dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth.)

Doa keampunan kepada ibubapa yang boleh diamalkan daripada al-Quran seperti mana doa berikut :

“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan; dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!” (Surah Nuh (71) ayat 28)

Memandangkan hadis yang pertama menyebut doa seorang anak yang soleh secara umum, maka dianjurkan juga mendoakan rahmat kepada ibubapa sebagaimana berikut:

“Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra’ (17) ayat 24)

Demikianlah dua doa yang diajarkan oleh al-Qu’an dan ia mencakupi dua perkara yang amat diperlukan oleh ibubapa setelah mereka meninggal dunia: keampunan dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Doa-doa ini boleh kita baca di mana-mana dan pada bila-bila masa. Ia tidak terhad kepada saat menziarahi kubur ibu bapa.

2. Menunaskan hutang mereka.

Hutang seperti ini akan menawan ibubapa yang meninggal dunia sehinggalah ia dilunaskan.

Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda kepada Sa‘ad ibn al-Atswal radhiallahu 'anh yang baru kematian saudaranya: "Saudara kamu tertahan disebabkan hutangnya, oleh itu pergilah engkau melunasinya." (Hadis Sahih Riwayat Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 2433 .Kitab al-Ahkam, Bab membayar hutang orang yang meninggal dunia).

3.  Laksanakan wasiat ibadah yang mereka tinggalkan. 
Jika ibu bapa memiliki hajat untuk melaksanakan sesuatu ibadah lalu mereka tidak sempat kerana meninggal dunia, maka kita boleh melaksanakan ibadah tersebut. ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma menerangkan:

Bahawa seorang wanita daripada Juhainah datang menemui Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan berkata: “Sesungguhnya ibuku bernazar untuk melaksanakan haji akan tetapi dia tidak sempat melaksanakan haji tersebut sehingga dia meninggal dunia. Apakah boleh aku melaksanakan haji tersebut untuknya?”

Rasulullah menjawab: “Ya, hajikanlah dia. Apa pandangan kamu jika ibu kamu memiliki hutang, adakah kamu juga akan melunasinya? Lunaskanlah untuk Allah kerana (hutang kepada) Allah adalah lebih berhak untuk dilunasi." (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 1852 (Kitab al-Hajj, Bab menunaikan nazar haji untuk yang meninggal dunia).

4.  Melaksanakan Rancangan Atau Janji Ibu bapa.
Jika ibu bapa memiliki rancangan tertentu dan mereka tidak sempat melaksanakannya, kita sebagai anak boleh melaksanakannya dan ganjaran kebaikan akan mengalir kepada ibu bapa dan juga kita. Jabir bin ‘Abd Allah radhiallahu 'anh menerangkan:

Nabi SAW pernah bersabda : “Apabila datang harta dari Bahrain nescaya aku akan memberi engkau sekian-sekian.”

Namun harta dari Bahrain tidak datang sehinggalah Nabi SAW wafat.

Ketika harta dari Bahrain sampai, Abu Bakar (radhiallahu 'anh) memerintahkan seseorang menyeru: “Sesiapa yang memiliki janji atau hutang dengan Nabi SAW datanglah kepada kami.”

Maka aku datang dan berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW berjanji kepada aku sekian-sekian.” Maka dia memberi aku satu genggaman dan aku menghitungnya, ternyata jumlahnya lima ratus (dirham). Dia berkata: “Ambillah lagi seumpamanya.” (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 2296 (Kitab al-Kafalah, Bab orang yang bertanggungjawab untuk menunaikan hutang si-mati…).

Dalam hadis di atas, janji Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada Jabir dilaksanakan oleh Abu Bakar radhiallahu 'anh sebagai pemerintah pada saat itu. Dalam kes ibu bapa, janji atau rancangan mereka boleh dilaksanakan oleh anak-anaknya.

5. Meneruskan Apa Yang Baik dan Menghentikan Apa Yang Buruk.
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun". (Hadis Sahih Riwayat Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 1017 (Kitab al-Zakat, Bab suruhan bersedekah sekalipun dengan setengah biji tamar…)

6. Berhubung Dengan Orang Yang Dicintai Oleh Ibu bapa.
Kebaikan yang terakhir adalah setinggi-tinggi kebaikan yang dapat dilakukan oleh seorang anak kepada ibu bapanya yang telah meninggal.

Hadisnya adalah seperti berikut: Dalam satu perjalanan ke Mekah, ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma menemui seorang Arab Badui. Lantas Ibn ‘Umar mengucapkan salam kepada beliau, menaikkan beliau ke atas keldai yang tadi ditungganginya dan kemudian memberikan beliau serban yang sedang dipakainya. Ibn Dinar (yang menyaksikan perbuatan Ibn ‘Umar) berkata kepadanya:

“Semoga Allah memperelok keadaan kamu! Sesungguhnya mereka adalah orang Arab Badui dan sesungguhnya mereka sudah mencukupi dengan sesuatu yang sedikit.”

Maka Ibn ‘Umar menjawab: “Sesungguhnya ayah orang ini adalah sahabat yang amat dicintai oleh (ayahku) ‘Umar bin al-Khaththab. Sesunguhnya aku mendengar Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya bakti terbaik seorang anak ialah menghubung silaturahim dengan orang yang dicintai ayahnya.”

(Hadis Sahih Riwayat Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2552 (Kitab al-Birr wa al-Sholah wa al-Adab, Bab keutamaan berbuat baik kepada rakan ayah dan ibu).

Berdasarkan hadis di atas, hendaklah kita berbuat baik kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia dengan menjalinkan hubungan silaturahim dan berbuat baik kepada sesiapa sahaja yang dicintai atau menjadi sahabat karib ibu bapa semasa mereka masih hidup.

Selain daripada perkara-perkara diatas seorang anak yang soleh atau solehah akan melakukan beberapa perkara kebaikan untuk membantu ibu bapa mereka yang sedang berada di alam barzakh sebagai ikhtiar dan usaha-usaha untuk membantu mereka beroleh kebaikan dan tambahan pahala yang berterusan.

1. Banyakkan bersedekah terutama sedekah jariah : Terutama pembinaan sekolah agama, masjid, rumah anak yatim dan mewakafkan tanah perkuburan orang Islam dan niatkan untuk mereka.

2. Sedekahkan al-Quran dan buku-buku Islam : Untuk sekolah-sekolah agama atau maahad tahfiz atau dimasjid-masjid niatkan untuk mereka.

3. Selalu sedekahkan ayat-ayat al-Quran seperti : Surah al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-nas, surah Yasin, surah al-Baqarah dan ayat-ayat al-Quran yang lain untuk mereka. Sebaik-baik yang membacanya adalah kita sendiri sebagai seorang anak.. Sedekah bacaan al-Quran menurut majoriti ulama ahli sunah waljamaah sampai kepada simati 

Abu al-Lajlaj Abu Khalid (seorang sahabat) mendengar Nabi SAW menggalakkan para sahabat membaca ayat suci al-Quran di bahagian kepala dan kaki si mati di atas kubur. Lalu mewasiatkan amalan tersebut kepada anaknya supaya berbuat demikian.

Abd Rahman bin al-A’la bin Lajlaj daripada bapanya, katanya : berkata Abu al-Lajlaj Abu Khalid : “Wahai anakku, apabila aku meninggal dunia kebumikanlah aku. Apabila kamu meletakkan jasadku di liang lahad, bacalah: “Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah SAW, Kemudian curahkanlah tanah dengan cermat ke atasku. Kemudian bacalah disisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda sedemikian.” (al-Thabrani, Mu’jam al-Kabir, 1982, Maktabah al-Ulum Wal Hikam, hlm 220 juz 19)

4. Beramal dengan amalan Islam. 

Semua anak-anak yang masih hidup apabila mereka tidak mengamalkan cara hidup Islam dengan melakukan maksiat dan dosa, anak perempuan tidak menutup aurat,  bergaduh sesama adik beradik kerana harta pusaka semua tindakkan ini menyusahkan dan membebankan ibu bapa kita yang berada dialam barzakh. Ibu bapa akan menyesal kerana mereka tidak mendidik anak-anak mereka dengan cara hidup Islam hingga mereka melakukan maksiat kepada Allah SWT. Ketika ini penyesalan sudah tidak berguna lagi kerana perkara tersebut sudah berlaku. Tetapi untuk anak-anak pula macamana mereka hendak membantu ibu bapa mereka yang sudah mati tadi? Maka mereka perlu beramal soleh, beramal ibadah dan beramal kebaikan kerana semua pahala yang kalian buat akan membari saham yang besar kepada ibu bapa kalian yang sedang menderita di alam barzakh.

Amalkanlah ilmu yang diajarkan oleh kedua ibu bapa kalian maka mereka akan mendapat pahala ilmu yang bermanfaat. Banyakkan sedekah jariah dan niatkan untuk ibu bapa maka ibu bapa kalian akan mendapat pahala sedekah jariah.

 13. Soalan : Adakah sumber pendapatan yang haram seperti judi, rasuah dan riba boleh digunakan untuk sedekah dan mengerjakan haji?

Dilarang umat Islam memiliki sumber yang haram.Memiliki sumber wang haram contoh daripada sumber judi, rasuah atau riba akan membawa kemurkaan Allah SWT. Sekiranya orang yang memiliki wang haram digunakan untuk menyara keluarga, membeli rumah, tanah dan dilaburkan dalam perniagaan semuanya menjadi haram dan tidak akan mendapat keberkatan. Sekiranya pemilik asal  harta haram ini telah meninggal dunia tetapi warisnya tetap menggunakan harta tersebut untuk perniagaan, membeli harta dan mengembangkan harta tersebut , ahli waris tidak berdosa kerana mereka tidak mengetahuinya tetapi pemilik asalnya akan menanggung dosa di atas perbuatan mereka ketika di dunia.  Maka dosa-dosa yang akan diperolehi bertali arus masuk ke alam barzakh, dan azab di alam barzakh akan diterima berterusan hingga ke hari kiamat.

Harta yang haram tidak sah jika digunakan untuk bersedekah, bayar zakat , mengerjakan haji dan sebagainya. Di akhirat nanti semua hasil sumbangan daripada harta haram akan dilemparkan dimuka memiliknya.


Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun". (Hadis Sahih Riwayat Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 1017 (Kitab al-Zakat, Bab suruhan bersedekah sekalipun dengan setengah biji tamar…)

Sabda Rasulullah SAW maksudnya :“Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya “( Hadis riwayat at-Tirmizi.)

Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya makan makanan yang halal lagi baik dan sumber pendapatan juga dari sumber yang halal kerana banyak hikmah tersendiri di sebalik perintah tersebut. Makanan merupakan ciri utama dalam pembentukan fizikal yang sihat bagi manusia. Seseorang mukmin yang sentiasa prihatin terhadap pemilihan makanan halal, suci dan bersih dalam pemakanan sehariannya pasti akan lahir dalam dirinya keimanan dan nur yang dapat memandu jiwanya ke arah ketakwaan dan peningkatan ibadahnya kepada Allah S.W.T.

14. Soalan: Apakah hukum kita mengamalkan ilmu sihir dan mempelajarinya?

Mempelajari dan mengamalkan ilmu sihir adalah berdosa besar kerana ilmu sihir adalah amalan jin kafir dan syaitan.

Dalam kitab-kitab muktabar oleh ulama yang menulis dan menjelaskan tentang pengertian sihir, kesimpulannya diertikan sebagai suatu jampi mentera (biasanya berasusiasi) berurusan dengan makhluk halus (jahat) melalui proses amalan atau perbuatan halus untuk menganggu rohani dan jasmani mangsa dengan tujuan jahat menganggu dan menyakiti orang-orang tertentu.

Ditujukan kepada fikiran atau tubuh badannya bagi memaksa mengasihi sesuatu atau menyimpan kebencian yang boleh berlaku porak peranda dalam hubungan insan yang sedang berkasih atau suami isteri sehingga menyebabkan perceraian atau menganggu fizikal sehingga boleh menjadi penyebab kepada kematian dan sebagainya.

Itulah pengertian umum, bahawa sihir adalah ilmu yang dipelajari dan diamalkan bagi suatu tujuan yang biasanya untuk mendatangkan berbagai-bagai kemudaratan

Pengertian atau pengenalan istilah sihir sudah menjadi sebutan umum, penyakit yang berpunca dari perbuatan orang atau suatu amalan halus yang dinamakan ilmu hitam atau black magic yang rata-ratanya ada hubung kait dengan amalan syaitan, yang membantu manusia bagi mengenakan sesuatu tujuan jahat untuk memuaskan kehendak nafsu bagi tujuan jahat.

Dalam hadis 2766, al-Bukhari dan hadis 89 al-Muslim, Nabi SAW menggesa umatnya menjauhi tujuh perkara yang membinasakan dan salah satu daripada tujuh itu adalah perbuatan sihir.

Dalam hadis an-Nasai pula disebut (mafhumnya), "Sesiapa yang simpulkan benang dan dijampi menterakan untuk sesuatu tujuan jahat, maka sesungguhnya dia telah melakukan sihir. Dan sesiapa yang melakukan sihir, maka dia telah mensyirikkan Allah S.W.T."

Mengamalkan ilmu sihir dan mengajarkan ilmu tersebut atau mencipta satu kaedah untuk membuat maksiat (contoh satu cara permainan judi dan sebagainya) adalah dosa besar.

Satu lagi dosa yang berterusan akan ditanggung oleh seseorang itu adalah apabila dia mengajarkan ilmu yang batil seperti ilmu sihir, ilmu perbomohan yang syirik atau kaedah-kaedah untuk membuat maksiat sedangkan ilmu itu diikuti , dipelajari dan diperturunkan kepada orang lain maka dosa-dosa besarnya akan ditanggungnya selagimana perkara tersebut di amalkan oleh orang lain.

15.Soalan: Apakah antara amalan yang dapat membantu kita bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi hari akhirat?

Antara  amalan yang dapat membantu kita adalah dengan memberi sumbangan untuk jihad fisabilillah dan sedekah jariah. Seperti firman Allah SWT yang  bermaksud : “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya : “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku- ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang soleh.” (Surah al-Munafiqqun ,ayat 10)

Orang mukmin akan mengambil kesempatan semasa hidup di dunia untuk membuat pelaburan untuk hari akhirat. Harta yang dimiliki untuk jihad fisabilillah, bersedekah, amal jariah dan membantu fakir miskin dan anak-anak yatim. Allah SWT akan menggandakan sedekah kita sehingga 700 kali ganda atau lebih.

16.Soalan: Bagaimanakah cara untuk saya memohon keampunan dari Allah SWT?

Bertaubat dan beristighfarlah setiap hari kerana Nabi SAW beristighfar 100 kali sehari. Sesiapa yang sentiasa bertaubat kepada Allah SWT dia akan bersih daripada dosa-dosa. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud:"Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (Surah Al-Baqarah ayat 222)

Dari Anas bin Malik ra., ia berkata : Saya mendengar Rasulullah SAW. bersabda : Allah berfirman maksudnya : “Wahai anak Adam ( manusia ), sesungguhnya selama kamu berdoa dan mengaharap kepadaKu, Aku memberi keampunan kepadamu terhadap apa (dosa ) yang ada padamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adam seandainya dosamu sampai ke langit kemudian kamu minta ampun kepadaKu maka Aku memberi ampun kepadamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adaml, sesungguhnya apabila kamu datang kepadaKu dengan kesalahan sepenuh bumi kemudian kamu menjumpai Aku dengan tidak mensekutukan Aku dengan sesuatu nescaya Aku datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi”. (Hadits Riwayat Tirmidzi).

17.Soalan: Apakah hukum orang yang menggantung gambar keluarga atau pun gambar sendiri dirumah mereka?

Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Imam Bukhari bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya para malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada didalamnya gambar, patung, anjing dan orang yang junub.”

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa malaikat tidak masuk kerumah orang yang ada gambar, patung,anjing dan orang yang berjunub. Malaikat yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah malaikat Rahmat. Gambar yang dimaksudkan adalah gambar makhluk bernyawa seperti gambar manusia dan binatang.Haram bagi orang yang meletakkan gambar yang bernyawa di rumah-rumah mereka, seperti gambar bersanding, menerima ijazah dan sebagainya sekali pun gambar keluarga, sama ada separuh gambar atau sempurna gambar tersebut. 

Untuk patung permainan kanak-kanak di bolehkan untuk permainan bukan untuk perhiasan. Sebagaimana hadis riwayat Aisyah r.ha. 

Saidatina Aisyah r.ha berkata, "Aku biasa bermain-main dengan anak-anakan perempuan (boneka perempuan) di sisi Rasulullah SAW dan kawan-kawanku datang kepadaku, kemudian mereka menyembunyikan boneka-boneka tersebut kerana takut kepada Rasulullah SAW., tetapi Rasulullah SAW malah senang dengan kedatangan kawan-kawanku itu, kemudian mereka bermain-main bersama aku." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

18.Soalan: Bagaimana pula jika digantung gambar seperti gambar bunga dan pemandangan?

Tiada mengapa dan diharuskan meletakkan gambar yang berbentuk bunga, pohon pokok, kapal, rumah, ayat Al-Quran, kata-kata hikmah, kereta, motorsikal dan sebagainya.

19.Soalan: Bagaimana pula hukum orang yang menjadikan patung manusia ataupun patung haiwan sebagai perhiasan rumah?

Patung manusia atau patung haiwan diharamkan dijadikan barang perhiasan diletakkan di dalam atau atas almari. Malaikat rahmat tidak akan masuk rumah di dalamnya terdapat patung makhluk bernyawa. Tetapi patung mainan kanak-kanak diharuskan (patung mainan tersebut setelah digunakan kanak-kanak hendaklah disimpan dikotak permaian bukannya dipamerkan) berdasarkan hadis riwayat Aisyah.

20.Soalan : Kenapa membela anjing di larang?

Sesiapa yang membela anjing berdasarkan hadis Nabi SAW malaikat rahmat tidak akan datang kerumah tersebut.

“Suatu ketika Malaikat Jibril berjanji kepada Nabi yang mana dia akan datang menemui Nabi, tetapi dia tidak datang-datang. Dan kemudiannya dia (Jibril) memberitahu, “Kami dari golongan malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya mengandungi gambar (berupa makhluk bernyawa) atau anjing.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/54), no. 450)

‘Aisyah menyatakan bahawa Jibril (‘alaihis salam) berjanji dengan Rasulullah SAW untuk menemuinya pada masa yang telah ditetapkan, namun pada masa yang tersebut, dia (Jibril) tidak datang. Kemudiannya Nabi mencampakkan tongkat di tangannya dan berkata, “Tidak pernah Allah dan utusannya (Malaikat Jibril) memungkiri janji”. Kemudian Nabi terlihat dan menemui anak anjing di bawah katil dan berkata, “Aisyah, bila anjing ini masuk ke sini?” Dan beliau (‘Aisyah) menjawab, “Demi Allah, saya tidak tahu.” Kemudiannya Nabi mengarahkan dan anjing itu pun dikeluarkan. Tidak lama selepas itu, Jibril pun datang dan Rasulullah berkata kepadanya, “Engkau berjanji kepada saya dan saya menantikan engkau, tetapi engkau tidak datang-datang. Jibril pun menyatakan, “Di dalam rumah-mu ada anjing, di mana ia menghalang (saya untuk masuk), untuk kami (malaikat) tidak masuk rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar”.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Pakaian dan Perhiasan (24), no. 5246)

Menurut Dr. Yusuf Al­Qaradawi di dalam. bukunya Halal dan Haram Dalam Islam pula menjelas­kannya begin; Memelihara anjing di dalam rumah tanpa ada suatu keperluan, terma­suk perkara yang dilarang oleh Nabi SAW. Alasannya, dengan membenar­kan anjing berkeliaran di dalam rumah dibimbangkan akan tertinggalnya najis pada bekas minuman kesan dari jilatan anjing tersebut.

Sebahagian ulama berpendapat, hik­mah dilarang memelihara anjing di rumah adalah; kalau anjing itu menya­lak akan menakutkan tetamu yang datang, menyebabkan orang lari dan mengganggu orang yang sedang lalu lalang.

Read More

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 2

Soal Jawab Agama Siri 2 

(Bab Aqiqah dan Kedudukan Wanita Dalam Islam)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 2 adalah menjelaskan persoalan mengenai ibadah aqiqah dan kedudukan wanita dalam Islam.

21.Soalan: Apakah pengertian ibadah Aqiqah?.  

Aqiqah pengertian dari segi bahasa ialah rambut dikepala kanak-kanak. Sementara pengertian aqiqah dari segi syara ialah binatang yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi. 

Aqiqah adalah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh  Allah SWT  sebagaimana penjelasan Rasulullah SAW. dengan sabdanya yang bermaksud: "Setiap anak yang lahir itu  terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama." (Hadis Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

22.Soalan: Apakah hukumnya melakukan ibadah aqiqah kerana saya baru sahaja dikurniakan seorang anak lelaki. 

Hukum Aqiqah itu adalah sama dengan ibadah kurban iaitu Sunnat Muakkad kecuali di nazarkan menjadi wajib.Anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing. 

Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah SAW. memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Hadis Riwayat al-Tirmizi).

23. Soalan: Apakah yang perlu saya lakukan dengan daging aqiqah? Perlukah disedekahkan atau menjamu kepada tetamu?

Daging Aqiqah digalakkan supaya tidak disedekahkan dalam keadaan mentah, bahkan disunatkan supaya dimasak terlebih dahulu dengan sedikit rasa manis walaupun aqiqah itu aqiqah nazar. Tujuannya ialah untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap keelokkan perangai dan budi pekerti  anak yang diaqiqahkan. 

Kemudian daging yang telah dimasak itu diberi makan kepada fakir miskin, sama ada dengan dihantar masakan itu ke rumah-rumah mereka atau dijemput mereka itu hadir makan di rumah tempat beraqiqah. Namun yang lebih afdal adalah dihantar masakan tersebut ke rumah-rumah orang fakir miskin.

Sementara itu, sunat bagi orang yang beraqiqah memakan sebahagian kecil daripada daging binatang yang diaqiqahkan, selagi mana aqiqahnya itu bukan aqiqah wajib (aqiqah nazar) atau aqiqah kerana wasiat.Dalam hal memakan, menyedekah dan menghadiahkan daging aqiqah tersebut sama keadaannya dengan korban.

24.Soalan: Apakah tertib semasa proses daging aqiqah dibahagi-bahagikan?

Semasa memotong daging disunatkan supaya jangan dipecah-pecahkan tulang binatang aqiqah itu, bahkan disunatkan supaya mengasingkan tulang-tulang itu mengikut sendi-sendinya. Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah radhiallahu ‘anha katanya yang bermaksud : "Afdal bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing. Dipotong anggota-anggota (binatang) dan jangan dipecah-pecah tulangnya." (Hadis riwayat al-Hakim)

25.Soalan: Apakah syarat-syarat sah dan perkara sunat aqiqah yang perlu saya patuhi?

Syarat sah aqiqah ialah berniat aqiqah ketika menyembelih. Binatang ternakan berkaki empat iaitu kambing, biri-biri, kibas, lembu, kerbau dan unta. 

Memenuhi syarat-syarat sembelihan. Tidak terdapat kecacatan pada binatang tersebut Disembelih pada waktunya iaitu hari ketujuh selepas kelahiran.

Binatang yang hendak disembelih sudah cukup umur. Binatang yang sudah cukup umur untuk dijadikan aqiqah adalah umur Biri-biri/ 1 tahun atau lebih, atau kambing 2 tahun atau lebih, atau lembu/kerbau 2 tahun atau lebih, atau unta 5 tahun atau lebih.

Kita hendaklah mengetahui juga sunat-sunat aqiqah iaitu hendaklah dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran, menyembelih ketika matahari sedang naik (pagi). mencukur rambut bayi selepas penyembelihan, memberi nama yang baik kepada bayi, berdoa ketika hendak menyembelih, daging dimasak manis. Tidak mematahkan sendi tulang binatang tersebut ketika dimasak dan yang terakhir daging aqiqah disunatkan buat jamuan atau kenduri .

26.Soalan: Apakah hikmah yang kita perolehi daripada melakukan ibadah aqiqah ini?

Terdapat beberapa hikmah yang boleh kita perolehi daripada melakukan ibadah ini antaranya ialah tanda kesyukuran diberikan kekuatan oleh Allah SWT. untuk menjalankan syariat Islam dan dianugerahkan anak dan menggalakkan amalan sedekah. Bukan itu sahaja malah dapat melepaskan penghalang pada bayi dalam memberi syafaat kepada orang tua mereka. Ibadah ini adalah sebagai mengikuti salah satu  sunnah Rasulullah SAW selain dapat mengukuhkan semangat persaudaraan dalam masyarakat. 

Ibadah ini juga boleh membuang sifat kedekut, bakhil dan tamak dalam diri dan sekaligus dapat memulakan kehidupan seorang bayi dengan amalan yang baik membiasakan berkorban bagi orang tua .

27.Soalan: Dari manakah batas aurat seorang wanita muslim dan kepada siapakah aurat ini boleh dihalalkan? 

Batas aurat untuk wanita muslim adalah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud :"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka ( 'dan hendaklah mereka menutup dada mereka dengan penutup'); dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, bapa mereka, bapa mertua mereka, anak anak mereka, anak anak tiri mereka, saudara saudara mereka, anak bagi saudara saudara mereka yang lelaki, anak bagi saudara saudara mereka yang perempuan, perempuan perempuan islam atau hamba hamba mereka, orang gaji dari orang orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, kanak kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah an-Nur ayat 31)

Berdasar ayat diatas wanita muslim hanya boleh membuka aurat kepada 11 golongan sahaja  sedangkan 5 golongan dibawah tidak boleh dibuka auratnya (walaupun terdiri daripada saudara maranya) iaitu suami kepada ibu saudara, sepupu lelaki, abang ipar (suami kepada kakaknya),  adik ipar (suami kepada adiknya) dan semua lelaki yang bukan mahramnya.

28.Soalan: Jika saya seorang wanita muslim, siapakah golongan yang bukan mahram saya?

Wanita muslim perlu juga mengambil perhatian mereka tidak boleh bersalaman dengan 5 golongan tersebut di atas (kerana mereka bukan mahramnya iaitu suami kepada ibu saudara, sepupu lelaki, abang ipar (suami kepada kakaknya),  adik ipar (suami kepada adiknya) dan semua lelaki yang bukan mahramnya.

Hanya dengan mahram sahaja boleh bersalaman. Kebanyakkan wanita muslim tidak menjaga aurat mereka dirumah kepada kaum keluarga yang bukan mahram dan suka bersalaman dengan mereka dengan tujuan menjaga hati mereka sedangkan bersalaman dengan bukan mahram haram hukumnya.

29.Soalan: Bilakah hukum wajib menutup aurat bagi wanita?

Wanita muslim diwajibkan menutup aurat adalah ketika mencapai usia akil baligh.Untuk wanita usia akil baligh adalah wanita yang berakal dan cukup umur dan telah datang haid. Proses haid bermula daripada umur 12 atau 13 tahun tetapi kadang kala seawal umur 10 tahun dan selewat-lewatnya 16 tahun dan sudah wajib menunaikan perintah Allah SWT. Permulaan haid banyak bergantung kepada beberapa faktor seperti kaum, genetik, suhu persekitaran dan pemakanan.

30.Soalan: Apakah hukumnya jika saya memakai tudung tetapi memakai pakaian yang nipis dan tidak menutupi dada?

Setiap wanita muslim perlulah  memahami batas-batas aurat yang wajib ditutup kerana jika mereka tidak faham batas-batas tersebut maka mereka tidak menutup aurat walau pun nampak seolah-olah mereka sedang menutup aurat.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya :“ … dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bunggul unta. Mereka tidak masuk syurga dan tidak mendapatkan wanginya syurga padahal wanginya boleh didapati dari jarak perjalanan sekian dan sekian.”
(Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)

Jenis-jenis pakaian wanita yang dikira tidak menutup aurat seperti kehendak agama adalah seperti berikut :

1. Pakaian yang dipakai terlalu nipis hingga menampakkan bayangan warna kulit.

2. Tudung yang dipakai terlalu nipis dan tidak menutup dada-dada mereka.

3. Baju dan seluar yang dipakai terlalu ketat hingga menampakkan bentuk badan dan peha mereka.

4. Tudung yang dipakai hanya membelit leher mereka dan tidak dilabukkan ke dada mereka.

5. Memakai tudung tetapi memakai baju kemeja T lengan pendik, hingga menampakkan lengan tangan mereka dan memakai seluar yang ketat. 

Perhatian : Pakaian yang sempurna adalah tudung yang labuh hingga menutup dada wanita kerana terdapat perhiasan yang perlu ditutup. Kedua-dua pergelangan tangan baju perlulah di butangkan atau dipinkan supaya tidak menampakkan kulit tangan. Elok memakai sarung lengan bila memakai baju kurung. Baju yang dipakai perlulah di labuhkan sedikit samaada jubah, maxi atau baju kurung. Jika hendak berseluar mestilah seluar yang longgar tidak menampakkan bentuk peha dan betis. 

Firman Allah SWT yang bermaksud : ”Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, 'hendaklah mereka menutupkan jilbabnya keseluruh tubuh mereka (memakai baju yang labuh dan longgar)'. Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (Surah al-Ahzab ayat 59).

31.Soalan: Apakah kebaikan menjaga pergaulan dalam konteks Islam?

Jika semua wanita muslim yang telah sampai usia akhil baligh menutup auratnya, menjaga pergaulan dengan lelaki yang bukan mahram, tidak mendekati zina dan sentiasa menjaga adab-adab dan akhlak Islam maka masyarakat akan mempunyai suasana yang baik dan tidak mungkin berlaku gejala sosial dan melahirkan ramai anak-anak tidak sah taraf. Islam amat tegas dalam menjaga aurat dan kehormatan kaum wanita kerana wanita adalah aset penting untuk melahirkan keluarga muslim dan masyarakat Islam yang mampu mendaulatkan hukum-hukum Allah SWT.  Tanpa ada wanita sebagai ibu dan isteri solehah tidak mungkin keluarga muslim, masyarakat Islam dan daulah Islamiah dapat dilahirkan dalam negara kita.

Oleh itu setiap lelaki mukmin  bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kaum wanita yang berada didalam tanggungannya (isteri-isteri, anak-anak perempuan, adik dan kakak dan ibu) sentiasa menutup auratnya dan berakhlak dengan akhlak Islam. Gunakan cara hikmah dan perkataan yang baik untuk menasihati mereka supaya mereka sentiasa berada di dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

32.Soalan: Apakah hukum seorang wanita muslimah mencukur kening,lebih lebih lagi apabila menjelang majlis perkahwinan?

Jumhur ulama berpendapat, hukum mencabut atau mencukur bulu kening adalah haram. Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Allah melaknat wanita yang mencukur atau mencabut bulu kening atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu keningnya, wanita yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik. Itu perbuatan mengubah ciptaan Allah". (Hadis Riwayat Muslim)

33.Soalan: Apakah hukum seorang wanita yang memakai minyak wangi apabila keluar rumah?

Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya .

Nabi SAW  bersabda maksudnya : "Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia mandi dahulu (membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut)." (Hadis Sahih Riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah)

34.Soalan: Apakah hukum seorang wanita bersolek untuk kelihatan cantik ke tempat kerja ataupun keluar berjalan? 

Kebanyakkan wanita sukar untuk meninggalkan bersolek (berbedak yang tebal), bergincu bibir dan bercelak apabila keluar rumah kerana sudah kebiasaan mengikut tren masyarakat. Sebenarnya wanita solehah tidak perlu terikut-ikut dengan amalan orang bukan Islam yang 'mewajibkan' bersolek dan bermake-up dengan tujuan supaya dipandang cantik, hakikat sebenarnya kecantikan seperti ini tidak perlu mengikut pandangan Islam. Memadailah dengan bedak yang tipis untuk menghilangkan kesan minyak dimuka. Jika wanita sentiasa berwuduk maka wajahnya akan nampak berseri tidak memerlukan "make up" yang berlebih-lebihan.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Hendaklah kaum wanita tetap di rumah, dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku seperti orang-orang jahiliyah dahulu".(Surah al-Ahzab (59) ayat 33)

35.Soalan: Fesyen bertudung sekarang banyak yang menghasilkan selendang untuk menutup aurat. Apakah hukum memakai pakaian atau tudung yang nipis?

Asma binti Abu Bakar menemui Rasulullah SAW dengan memakai pakaian yang tipis.Asma’ binti Abu Bakar telah masuk ke tempat Rasulullah SAW  berada sedangkan dia memakai pakaian nipis. Rasulullah SAW  lalu berpaling daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haid) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

36.Soalan: Adakah suara wanita aurat dan apakah hukum seorang wanita bercakap dengan nada yang berlenggok-lenggok atau manja?

Mendengar wanita berbicara atau bersuara, tidaklah termasuk hal yang terlarang dalam Islam. Kecuali bila suara wanita itu dalam bentuk suara yang mendayu-dayu, mendesah atau dibuat sedemikian rupa sehingga membangkitkan nafsu berahi lelaki yang mendengarnya (seperti menyanyi ). Tentu saja para ulama sepakat untuk mengharamkannya. Namun bila dalam bentuk pembicaraan biasa wanitasaja di mana hal itu jauh dari fitnah dan urusan berahi, para ulama sepakat mengatakan bahawa mendengar suaranya tidak diharamkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)." (Surah al-Ahzab ayat 32)

Walaupun ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri Nabi SAW tetapi pengajaran di dalam perintah Allah SWT ini boleh di amalkan untuk semua wanita-wanita yang beriman yang berhati-hati di dalam menjaga akhlak dan keperibadiannya.

37.Soalan: Apakah balasan seorang wanita memakai pakaian yang ketat dan jarang sehingga menampakkan susuk tubuhnya?
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barang siapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti." (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud , An Nasaii dan Ibnu Majah.)

38.Soalan: Adakah kaki wanita (dari tapak kaki hingga buku lali) di kira aurat. ?
Di zaman moden kini tidak ramai wanita yang mahu menutup aurat sepenuhnya seperti mana yang dilandaskan oleh syarak. Mungkin ada yang beranggapan kaki bukanlah suatu yang wajib ditutup kerana ia tidak mendatangkan syahwat kepada lelaki, namun tanggapan itu jelas salah. Ada juga yang mungkin tidak mengetahui bahawa pergelangan kaki adalah termasuk daripada aurat yang wajib ditutup oleh wanita. Zaman kini wanita beranggapan bahawa pergelangan kaki bukan lagi satu aurat walhal dalam Al-Quran telah jelas menyuruh wanita menutup aurat sepenuhnya moga dengan itu mereka akan dianggap wanita yang baik-baik dan tidak akan diganggu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”,(Surah Al-Ahzaab ,ayat 59)

39. Apakah amalan-amalan wanita yang boleh melayakkan mereka masuk syurga?

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).”  (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa Allah SWT Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang telah memberi peluang keemasan kepada setiap wanita yang beriman bahawa untuk memasuki syurga-Nya yang penuh kenikmatan adalah melalui empat syarat sahaja iaitu sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruah dirinya dan mentaati perintah suaminya.

Sedangkan seorang lelaki yang beriman dia kena melalui banyak halangan dan dugaan dan melaksanakan beberapa tanggung jawab kepada Allah SWT. terlebih dahulu barulah ia layak memasuki syurga Allah SWT melainkan para syuhada yang syahid di jalan Allah SWT.

40. Jika wanita solehah memasuki syurga bagaimana kedudukannya berbanding dengan bidadari bermata jeli? 

Jika wanita di dunia layak untuk memasuki syurga maka dia akan menjadi ketua kepada bidadari bermata jeli dan mempunyai kedudukan yang mulia dan berwajah lebih jelita daripada para bidadari.

Daripada Umm Salamah, isteri Nabi SAW, katanya : Aku bertanya, "Ya Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari bermata jeli?

Baginda menjawab, "Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari seperti kelebihan apa yang nampak dari apa yang tidak terlihat."

Aku bertanya, "Mengapa wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari?"

Baginda menjawab, "Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuningan, sanggulnya mutiara dan sisirnya terbuat dari emas."

Mereka berkata : "Kami hidup abadi dan tidak mati. Kami lemah lembut dan tidak jahat sama sekali. Kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali. Kami reda dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya."

(Hadis Riwayat ath-Tabrani)

Read More

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 3

Soal Jawab Agama Siri 3 

(Hutang, Sihir, Majikan, Hukum Faraid, Hari Kekasih dan Doa)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 3 meragkumi persoalan hutang , amalan sihir, tanggungjawab majikan,  hukum faraid, hukum menyambut hari kekasih dan mustajab doa.

Cara Menuntut Hutang.

41.Soalan: Saya mempunyai sebuah kedai runcit di sebuah kampung yang mana penduduknya berpendapatan sederhana. Ramai pembeli yang sering membeli dan berhutang di kedai saya. Ada yang liat untuk membayar hutang. Apakah cara terbaik untuk menuntut hutang dari mereka? 

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW pernah bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah SWT akan merahmati seorang yang lapang dadanya ketika menjual, membeli dan menagih hutang" (Hadis Riwayat Bukhari dari Jabir r.a.).

Sifat orang mukmin yang akan mendapat rahmat Allah SWT apabila dia berlapang dada semasa dia berniaga menjual barang kepada pelanggannya. Tidak menipu timbangan dan jelas akad jual beli tidak ada unsur-unsur menipu pelanggannya. Begitu juga ketika dia membeli tidak cerewet dan mudah dan mesra semasa membeli jika dia meminta potongan harga adalah dengan harga yang berpatutan tidak menyakitkan hati penjual. Begitu juga sifat mukmin yang terpuji sentiasa berlapang dada semasa menuntut hutangnya dan masih memberi ruang masa jika orang yang berhutang masih belum mampu. Dia tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang yang berhutang dan sentiasa menjaga ukhwah dan silaturahim.

Jauhi Bomoh Dan Sihir Supaya Terhindar Daripada Syirik

42.Soalan: Pada zaman sekarang ramai orang lebih menggunakan bomoh dan amalan syirik untuk mengkehendaki sesuatu perkara dan menghancurkan orang lain. Apakah hukumnya bagi mereka yang mengamalkannya?

Islam melarang umatnya untuk melibatkan diri dengan sihir kerana sihir adalah amalan syaitan dan sesiapa yang melakukannya adalah akan mendapat dosa besar.Kebiasaannya di dalam masyarakat kita mempercayai dan menggunakan khidmat bomoh untuk menyihir kepada orang yang dibenci atau menggunakan khidmatnya untuk mendapat rawatan  mengubati penyakit berpunca daripada gangguan sihir.

Islam melarang keras umatnya berjumpa bomoh untuk mengetahui perkara-pekara ghaib , tenung nasib, mencari-cari berita sesiapa yang mengenakan sihir keatasnya  dan berubat dengannya maka  solatnya tidak akan diterima oleh Allah SWT selama 40 hari. Sebenarnya jin dan syaitan akan menceritakan berita bohong kepada bomoh tersebut supaya berlaku perpecahan dikalangan ahli keluarga atau jiran tetangga.

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Barangsiapa datang kepada tukang tenung (bomoh), kemudian dia membenarkan perkataannya, maka sembahyangnya tidak diterima oleh Allah selama 40 hari.”(Hadis Riwayat Muslim).

43.Soalan: Apakah hukum jika kita mengamalkan ilmu pengasih ataupun mandi bunga?

Bomoh yang menggunakan khidmat jin atau syaitan ini selain mengubati mereka yang sakit, ia juga  menawarkan khidmat tanam susuk, serikan wajah, ilmu pengasih, pelaris perniagaan, pendinding diri (menggunakan bahan-bahan yang telah dipuja), mandi bunga, semahan darah ayam hitam atau kambing hitam (baru buka gelanggang silat atau rumah baru) dan berbagai-bagai amalan syirik yang amat dilarang keras oleh Nabi SAW.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan bertilik nasib (menggunakan khidmat bomoh) adalah najis (haram) dan ia daripada perbuatan syaitan.”(Surah al-Maidah, ayat 90)

44.Soalan: Apakah hukum jika kita mempelajari ilmu sihir dengan tujuan untuk keselamatan diri?

Islam melarang kita mempelajari ilmu sihir kerana ilmu sihir adalah amalan syaitan kerana segala kejadian luar biasa yang datang berpunca daripada sihir sebenarnya mempunyai kaitan dengan pertolongan daripada jin dan syaitan. Ilmu sihir boleh dipelajari melalui tukang sihir atau bomoh-bomoh. Mempelajari sihir boleh menjadikan seseorang syirik kepada Allah SWT. Sihir biasanya digunakan untuk mendatangkan mudharat kepada seseorang dengan bantuan jin dan syaitan tetapi kesemuanya adalah dengan izin Allah.

Ibnu Qudamah Al-Maqdisi mengatakan," Sihir adalah ikatan-ikatan, jampi-jampi, perkataan yang dilontarkan secara lisan maupun tulisan, atau melakukan sesuatu yang mempengaruhi badan, hati atau akal orang yang terkena sihir tanpa berinteraksi langsung dengannya. Sihir ini mempunyai hakikat, diantaranya ada yang boleh mematikan, membuat sakit, membuat seorang suami tidak dapat mencampuri isterinya atau memisahkan pasangan suami isteri, atau membuat salah satu pihak membenci lainnya atau membuat kedua belah pihak saling mencintainya"

Seharusnya kita menjauhi bomoh yang menggunakan khidmat jin atau syaitan, jika kita menghadapi sakit berpunca daripada gangguan makhluk halus maka jumpalah pakar perubatan Islam yang menggunakan ayat-ayat al-Quran dan doa dan jampi-jampi yang diambil daripada amalan Nabi SAW dan para sahabat. Dengan ini  kita akan dapat menyelamatkan aqidah kita daripada terus terpesong oleh para bomoh yang mencari keuntungan dan kepentingan diri.

Majikan Mengabaikan Pembayaran Gaji (Upah) Pekerjanya

45.Soalan: Apakah hukum seorang majikan yang tidak membayar upah (gaji) kepada pekerjanya?

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:”Berikanlah upah kepada pengambil upah (orang yang bekerja) sebelum kering peluhnya” (Hadis Riwayat Ibn Majah). 

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa sekiranya kita menjadi majikan dan mengambil seseorang bekerja dengan kita maka jangan diabaikan gaji atau upah yang sepatutnya diberikan kepadanya. Berdosa besar jika majikan menipu dengan tidak memberikan hak  bayaran sepatutnya diberikannya. Nabi SAW menyuruh disegerakan upahnya iaitu sebelum kering peluhnya.

Dalam konteks hubungan majikan-pekerja pula Islam melihat bahawa pekerja itu bukanlah sebagai hamba kepada manusia lain untuk menghasilkan sesuatu pengeluaran kerana penghambaan hanya dikhususkan untuk Allah S.W.T. Oleh itu hendaklah ada keadilan antara majikan dan pekerja di mana gaji yang diberi hendaklah setimpal dengan kerja serta tanggungjawab yang dipikul oleh pekerja tersebut bahkan kalau perlu sebelum keringatnya kering kerana Rasulullah SAW. pernah bersabda yang bermaksud: "Alangkah besar dosanya orang yang menahan-nahan makan (upah dan sebagainya) orang yang menjadi tanggungjawabnya.” . 

46.Soalan: Apakah pula hukum jika majikan membayar gaji tidak setimpal dengan tugas yang dilakukan oleh pekerjanya?

Majikan akan mendapat dosa jika membayar gaji tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan kerana terdapat unsur-unsur penindasan. Tanpa upah yang sepadan, sudah tentu mereka akan membawa masalah dalam masyarakat kerana terpaksa hidup bergantung dengan ihsan orang lain yang sudah tentu akan mewujudkan ketidakstabilan dan penindasan dalam masyarakat.

Memenuhi keperluan ini adalah wajib dan pihak berkenaan khasnya pemerintah perlu memastikan keperluan asas manusia ini dapat dipenuhi dengan baik.Sebagai individu yang berkeluarga, dengan adanya gaji atau upah yang setimpal, maka mereka dapat memenuhi keperluan tempat tinggal, pakaian, pendidikan, makanan ahli keluarga di bawah tanggungan dengan baik termasuk ibu bapa yang tua yang tiada sumber pendapatan lagi. Ini akan memperkasakan lagi tanggungjawab mereka sebagai ketua keluarga.

Pembahagiaan Harta Pusaka Menurut Hukum Faraid

47.Soalan: Apakah dia hukum Faraid dan pembahagian harta pusaka dan tujuannya dalam konteks Islam?

Faraid ialah berasal daripada perkataan faradha (فرض), di dalam bahasa Arab yang bererti ketentuan atau kepastian. Jika yang dimaksudkan dengannya berkaitan dengan warisan atau harta pusaka, maka ertinya ialah bahagian yang telah ditetapkan mengikut hukum syarak untuk ahli waris.

Dengan itu, jika pengertian hukum dikaitkan dengan pengertian faraid, maka makna hukum faraid  ialah ketetapan yang diberikan Allah tentang kedudukan harta yang ditinggalkan oleh si mati atau hukum yang diberikan Allah dalam menangani pemerosesan pembahagian harta warisan kepada yang berhak.

Pembahagian harta pusaka secara hukum Faraid bertujuan untuk memberikan kepada yang berhak dan untuk membantu waris yang ditinggalkan. Syarak telah menetapkan apabila seseorang itu meninggal, hartanya akan dibahagikan mengikut pembahagian faraid. Pembahagian harta secara faraid adalah salah satu cara pembahagian harta di dalam Islam. Ayat-ayat 7, 11, 12 dan 176 dalam surah al-Nisaa menggariskan panduan berkenaan waris-waris yang berhak dan juga bahagian-bahagian yang harus diperoleh setiap waris.

Merujuk kepada kitab Mughil Muhtaj tulisan As-Sheikh Muhammad Al-Khatib As-Syarbini yang telah menyatakan bahawa antara perkara yang perlu diselesaikan ke atas harta si mati adalah zakat yang belum ditunaikan, barang-barang gadaian yang belum ditebus, hutang si mati ke atas harta yang ditinggalkan, harta sepencarian, wakaf, nazar, hibah yang telah sempurna rukunnya tetapi belum dipindah milik, perbelanjaan pengebumian, hutang dan wasiat.

Setelah diselesaikan perkara-perkara tersebut barulah baki harta itu dibahagikan menurut hukum faraid.Dalam kitab tersebut wasiat telah ditafsirkan sebagai pemberian disandarkan atau dikaitkan sesudah mati iaitu pemberian tersebut diserahkan setelah pemberiannya sudah mati.

48.Soalan: Kepada siapakah pemberian wasiat tersebut harus diberikan?

Semua waris tidak berhak mendapatkan harta wasiat kerana mereka akan memperolehinya melalui pembahagian harta secara faraid setelah pemilik harta meninggal dunia.

Pemberian wasiat orang Islam boleh diberikan dengan kadar tidak melebihi 1/3 bahagian sahaja. Wasiat yang melebihi kadar 1/3 adalah tidak berkuatkuasa kecuali mendapat persetujuan ahli waris yang lain atau kadar tersebut mesti dikurangkan sehingga sekadar 1/3 sahaja. Hukum Syarak juga telah menetapkan bahawa penerima harta pusaka melalui wasiat ini adalah seseorang yang tidak disenaraikan sebagai ahli waris.

49.Soalan: Apakah perkara perkara yang perlu dilakukan terhadap harta pusaka yang ditinggalkan seseorang yang telah meninggal dunia mengikut hukum faraid?

Sebagaimana yang telah disebutkan bahawa hukum faraid hanya membicarakan harta pusaka yang ditinggalkan oleh orang yang meninggal, maka yang dikira sebagai harta pusaka ialah semua harta yang dimilikinya secara sah sehingga dia meninggal.Sebaik saja dia meninggal, semua harta peninggalannya sudah dikira sebagai hak milik para ahli warisnya.

Tetapi sebelum menjadi milik ahli waris secara sah dan sempurna, ada lima perkara yang perlu dilakukan, yakni harta waris akan diproses menerusi hukum faraid melalui cara berikut:

Pertama : Perkara yang mula sekali perlu (bahkan wajib) diperhatikan ialah tentang kedudukan harta waris itu sendiri daripada segi hak dan kaitannya dengan perkara-perkara lain seperti zakat, nazar, kaffarah, haji, gadaian, denda hukum, hutang kepada Allah dan sebagainya. Dengan demikian, jika zakatnya belum dikeluarkan, maka wajib dikeluarkan. Jika sebahagiannya juga ada diperuntukkan untuk nazar oleh si mati, maka wajib ditunaikan.

Jika antara harta itu terdapat gadaian juga wajib ia diasingkan. Jika ada hutang si mati kepada Allah, maka bayarlah hutang itu. Jika semasa hidupnya sudah wajib dia menunaikan haji, tetapi dia tidak pergi menunaikannya, maka wajib juga diasingkan untuk keperluan menghajikannya (upahkan haji untuknya), begitulah seterusnya

Kedua : Setelah cara pertama yang di atas dapat disempurnakan, maka baki harta itu diperuntukkan pula untuk perbelanjaan perlaksanaan fardu kifayahnya, seperti membeli kain kafan dan keperluan pengkebumiannya menurut yang selayaknya.

Ketiga : Kemudian bakinya yang masih ada dikeluarkan untuk melunaskan segala hutangnya kepada orang lain, iaitu hutang yang sabit mengikut pengakuannya semasa hidup atau yang sabit melalui bukti-bukti yang diperakui kerana hutang itu wajib dibayar bagi pihak si mati.

Keempat : Daripada baki harta itu lagi dibayarkan (diasingkan) pula untuk keperluan wasiatnya jika ada, iaitu tidak lebih daripada 1/3 (sepertiga) daripada baki harta yang ada setelah perkara-perkara di atas diselesaikan.Sekiranya dia mewasiatkan semua atau sebahagian hartanya, maka wasiat ini tidak diterima, tetapi cukup dikeluarkan 1/3 (sepertiga) sahaja untuk wasiatnya itu.

Kelima : Baki harta yang masih ada selepas empat perkara di atas dilakukan, maka itulah dia harta waris yang menjadi milik semua ahli waris yang berhak.Itulah juga harta yang dimaksudkan di dalam hukum faraid yang wajib dibahagi-bahagikan kepada semua ahli waris yang berhak, sesuai dengan kadar bahagian masing-masing. (Nihayah AI-Zain h. 281)

51.Soalan: Bolehkah kita menggunakan wang peninggalan si mati untuk perbelanjaan kenduri tahlilnya?

Telah menjadi amalan umat Islam bahawa apabila simati meninggal dunia maka waris akan membuat kenduri tahlil untuk mendoakan simati. Waris-waris perlu ingat bahawa sekiranya mereka bercadang mengadakan majlis tahlil perlulah menggunakan wang mereka sendiri dan jangan digunakan wang peninggalan  simati kerana hak-hak yang wajib ditunaikan (5 perkara) di atas belum diselesaikan.Adalah jelas di sini waris- waris tidak boleh memakan harta simati sebelum di tunaikan hak-hak simati dan dibuat pembahagian dengan ahli-ahli waris yang lain secara faraid.

52.Soalan: Siapakah yang berhak kepada harta waris (si mati)

Orang yang berhak kepada harta waris hanyalah orang-orang yang disebut sebagai ahli waris yang terdiri daripada pihak lelaki dan perempuan, seperti berikut:

Daripada pihak lelaki: Anak lelaki, anak lelaki daripada anak lelaki (cucu), bapa, Datuk,  Saudara lelaki seibu sebapa (saudara kandung),  Saudara lelaki sebapa,  Saudara lelaki seibu, anak lelaki daripada saudara lelaki seibu sebapa, anak lelaki daripada saudara lelaki sebapa,  Bapa saudara yang seibu sebapa dengan bapa, Bapa saudara yang sebapa dengan bapa, Anak lelaki daripada bapa saudara yang seibu sebapa,  Anak lelaki daripada bapa saudara yang sebapa dengan bapa, suami, dan orang yang memerdekakan hamba sahaya (bekas tuannya).

Daripada pihak perempuan: Anak perempuan, Anak perempuan daripada anak lelaki,  Ibu,  Nenek perempuan daripada pihak ibu,  Nenek perempuan daripada pihak bapa, Saudara perempuan seibu sebapa, Saudara perempuan sebapa, Saudara perempuan seibu,  Isteri, dan perempuan yang memerdekakan hambanya.

53.Soalan: Apakah perlu sebagai orang islam untuk merancangkan wasiatnya?

Nabi SAW menggalakkan umatnya supaya membuat wasiat melalui sabdanya: "Tidak patut bagi seseorang muslim yang ingin berwasiat tidur selama dua malam, selagi ia tidak menulis wasiatnya disisinya".(Muttafaqun Alaihi)

Pengurusan harta sebagai bekalan kehidupan diakhirat mesti diurus dan dirancang semasa hidupnya lagi. Sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Baginda telah mengarahkan sahabat yang ingin pergi berperang agar mewasiatkan hartanya kepada orang lain. Ia bertujuan agar segala harta dan tanggungjawab yang akan ditinggalkan , sekiranya dia syahid di medan peperangan, dapat diurus dengan baik dan sempurna.

Sesungguhnya Islam telah menyusun,mengatur sistem dan kaedah terbaik bagi umatnya mengurus harta pusaka. antaranya adalah melalui kaedah wakaf, sedekah, hibah, faraid dan wasiat.

Wasiat hanya boleh dilaksanakan kepada selain daripada mereka yang layak mendapatkan bahagian harta mengikut hukum faraid. Wasiat dan hutang si mati hendaklah dijelaskan dahulu sebelum harta si mati dibahagikan mengikut faraid.Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita semua sebagai umat Islam untuk membuat wasiat dan menuliskannya dan diserahkan kepada satu "badan pemegang amanah" yang akan di pertanggungjawabkan untuk  membantu menyelesaikan harta pusaka menurut hukum faraid.

Haram Menyambut Hari Kekasih (Valentine's Day)

54.Soalan: Adakah hukum menyambut hari kekasih bagi meraikan kekasih sebagai orang yang tersayang kerana saya melihat ramai remaja kita pada zaman kini menyambutnya?

Tentang hukum menyambut Hari Kekasih (Valentine's day) , Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Kekasih (Valentine's day) tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”

Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan hari tersebut  ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah S.W.T. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya yang bermaksud : "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." ( Surah al-Israa’ ayat 32)

Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulama telah merumuskan bahawa sambutan Hari Kekasih (Valentine's day)  adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Doa Yang Mustajab Di sisi Allah SWT.

55.Soalan: Apakah kelebihan doa seorang ibu?

Berdoa adalah amalan yang dituntut oleh Islam. Seorang hamba yang merasa hina di sisi Tuhannya akan memanjatkan permohonan dan doa kehadrat Allah SWT. agar ditunaikan segala hajat yang diperlukannya. Ia merasa amat kerdil dan tidak ada pergantungan dan pengharapan yang lain melainkan ditujukan kepada yang Maha Esa.

Doa ibu bapa kepada anak-anaknya adalah yang terbaik. Allah SWT amat murka jika ada anak yang derhaka kepada ke dua ibu bapanya. Sehinggakan doa mereka dikabulkan terus di dunia ini lagi. Tidak payah menunggu seksaan dihari akhirat. Contoh sahabat Nabi SAW bernama Alaqamah kerana menyakiti hati ibunya dia tak boleh mengucap kalimah “Laa ilaaha illallaah”di saat kematiannya. Setelah ibunya memaafkannya barulah dia boleh mengucap kalimah syahadah.

Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya." (Hadis Riwayat Tirmidzi, Ahmad dan Abu Daud)

56.Soalan: Adakah doa seseorang yang teraniaya akan dimakbulkan oleh Allah SWT?

Doa seorang yang di zalimi dan di anianya tidak ada hijab disisi Allah SWT samaada dia seorang muslim atau bukan muslim .

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang diantaranya untuk diterima oleh Allah." (Hadis Riwayat Ahmad - sanad hasan)

Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara." (Hadis Riwayat Hakim - sanad sahih)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya :“Seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim ,kerana itu janganlah menganiaya,jangan membiarkannya teraniaya dan janganlah menghinanya.Takwa tempatnya disini! Sambil baginda menunjuk ke dadanya sebanyak 3 kali. Alangkah besar dosanya menghina saudara sesama muslim,setiap muslim haram menumpahkan darah saudara sesama muslim. Haram merampas haratanya dan haram mencemarkan kehormatan atau nama baiknya” (Hadis Riwayat Muslim)

57.Soalan: Kenapakah doa seorang musafir dimakbulkan oleh Allah SWT.?
Seorang musalifir adalah seseorang yang keluar rumah dan kampung halamannya untuk menuju sesuatu distinasi. Tujuannya adalah murni semata-mata kerana Allah iaitu untuk :Menuntut ilmu : 2. Berdakwah, berjihad di jalan Allah dan membantu mangsa bencana alam.3. Menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai untuk merapatkan hubungan silaturahim dan menunaikan jemputan.4. Mencari nafkah untuk menyara ahli keluarga.

Allah SWT. memberi keistimewaan kepada hamba-Nya yang bermusafir hinggakan Allah SWT memberi kelonggaran boleh berbuka di waktu bulan Ramadan semasa ia musafir. Solat lima waktu juga diberi rukshah (kelonggaran) iaitu boleh dikerjakan dengan cara jamak dan qasar.

Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya." (Hadis Riwayat Tirmidzi, Ahmad dan Abu Daud)

58.Soalan: Adakah doa orang yang berpuasa mustajab di sisi Allah SWT?

Doa orang yang berpuasa sampai ia berbuka puasa adalah mustajab di sisi Allah SWT. Allah SWT telah menjanjikan bahawa setiap doa oarng yang berpuasa akan dimakbulkan permintaannya. Ini bermakna Dia akan mengotakan janji-Nya. Apa yang dihajati oleh orang yang berdoa tadi akan ditunaikan tetapi menurut cara Allah dan perancangan-Nya bukan perancangan manusia. 

Puasa adalah milik Allah SWT hanya Dia sahaja yang akan memberikan ganjaran pahalanya.

Kadang-kadang perancangan Allah SWT sama dengan perancangan orang yang meminta kadang-kadang ia berbeza. Apa pun yang pasti doanya termakbul dan Allah memberi pilihan yang terbaik untuk manusia itu.

Dari Anas bin Malik r.a. bahawa dia berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya :“Tiga doa yang tidak ditolak ; doa orang tua terhadap anaknya ; doa orang yang sedang berpuasa dan doa seorang musafir”. (Hadis Riwayat  Baihaqi.  Disahihkan oelh Al-Albani dalam Silsilah Shahihah).

59.Soalan: Adakah kita mendoakan saudara kita yang jauh tanpa pengetahuannya termasuk di dalam doa yang mustajab di sisi Allah SWT?

Doa seorang muslim terhadap saudaranya daripada tempat yang jauh adalah salah satu doa yang mustajab. .Daripada Abu Darda’ bahawa dia berkata bahawasanya Nabi SAW. bersabda maksudnya :“Tidaklah seorang muslim berdoa untuk saudaranya yang tidak di hadapannya, melainkan maka malaikat yang ditugaskan kepadanya berkata : “Amin, dan bagimu seperti yang kau doakan”.(Hadis Riwayat Muslim).

Persahabatan yang terjalin di dalam alam maya seperti di blog dan facebook dan mereka saling mendoakan di antara satu sama lain adalah termasuk di dalam hadis di atas. Oleh itu banyakkan mendoakan saudara-saudaramu yang kamu kenali atau tidak kamu kenali.

60.Soalan: Adakah doa dari anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia akan diterima oleh Allah SWT?

Dari Abu Hurairah r.a. bersabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :"Apabila seorang diantara kamu meninggal dunia maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendoakannya."(Hadis Riwayat Muslim)

Untuk merealisasikan maksud hadis di atas, maka perlulah kita mendidik anak-anak kita lelaki dan perempuan supaya mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.  Ibu bapa perlu mengobankan sedikit wang untuk memberi pendidikan Islam kepada anak-anak mereka. Jika berkemapuan di dalam keluarga sekurang-kurangnya seorang daripada anak kita akan  menjadi hafiz atau hafizah .

Read More

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 4

Soal Jawab Agama Siri 4 

(Solat Duha, Kenduri Kahwin, Memaafkan Orang Lain, Fidyah Puasa dan Puasa Sunat)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Soal Jawab Agama Siri 4 membincangkan mengenai persoalan solat Duha, majlis kenduri kahwin, maafkan kesalahan orang lain, fidyah puasa dan jenis-jenis puasa sunat.

Kelebihan Solat Duha Dan Kunci Murah Rezeki dan Keberkatannya.

61.Soalan: Di pejabat saya mempunyai sahabat yang sering menunaikan solat Duha sebelum masuk waktu tengahari. Apakah kelebihan solat sunat ini?

Solat Duha adalah salah satu daripada sunnah Rasulullah S.A.W. Baginda tidak pernah meninggalkannya kerana betapa besar akan fadilatnya. Solat Duha adalah solat sunat yang dituntut, dan tanda kesyukuran dan pergantungan seorang hamba kepada Tuhannya yang memberi nikmat dan rezeki yang tidak putus-putus.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya, "Sesiapa yang berjalan untuk pergi mendiriian solat fardhu berjemaah, maka ianya seperti pahala haji, dan sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan solat sunat (iaitu Duha) , maka ianya seperti pahala umrah sunat".
(Hadis Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Daud,Tabrani , Baihaqi )

Solat Duha adalah solat sunat yang dikerjakan 28 minit selepas terbit matahari (selepas masuk waktu syuruk) dan sebelum masuk waktu zohor (waktu yang sesuai adalah diantara jam 8.00 pagi hingga 11.30 pagi). Soat Duha boleh dikerjakan 2, 4, 6, 8, 10 atau 12 rekaat.

Firman Allah SWT dalam hadis qudsi maksudnya : "Wahai anak Adam jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan  4 rekaat pada waktu permulaan siang (solat Duha) , nanti pasti Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya (Hadis Riwayat Hakim dan Thabrani)

Dari Abu Dzar r.a., beliau berkata, Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Setiap persendian (ruas) tulang salah seorang di antara kamu ada sedekahnya.Setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid sedekah, setiap tahlil sedekah, setiap takbir sedekah, perintah yang baik itu sedekah, mencegah kemungkaran itu juga sedekah. Dan kesemuanya itu cukup dengan melakukan dua rakaat solat Duha." (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata : "Kekasihku (Rasulullah SAW) telah memberi wasiat kepadaku untuk mengerjakan shaum (puasa) tiga hari setiap bulan, solat Duha dua rakaat dan solat witir sebelum saya tidur". (Hadis Riwayat Lima Imam Hadis).

62.Soalan: Apakah doa yang boleh kita amalkan ketika selesai menunaikan solat sunat Duha ini?

Sekurang-kurang solat Duha adalah dua rekaat, selepas salam Nabi S.A.W. mengajar kita berdoa seperti berikut (maksudnya) : " Ya Allah bahawasanya waktu Duha itu waktu Duha-Mu, kecantikan ialah kecantikan-Mu , keindahan itu keindahan-Mu, kekuatan itu kekuatan-Mu , kekuasaan itu kekuasaan-Mu dan perlindungan itu perlindungan-Mu . Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaan-Mu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh ."

Doa yang kita ucapkan cukup indah dan penuh pengharapan kepada Allah S.W.T. Sebagai hamba yang lemah yang amat memerlukan bantuan dan pertolongan Allah S.W.T yang menguasai langit dan bumi dan yang menjaga rezeki dan perbendaharaan alam semesta.

Majlis Kenduri Kahwin (Walimatul Urus)

63.Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan kenduri kahwin (walimahul urus) mengikut syariat Islam?

Kata walimah (الوليمة) diambil dari kata asal walmun (الولم) yang bererti perhimpunan, kerana pasangan suami isteri (pada ketika itu) berkumpul sebagaimana yang dikatakan oleh imam az-Zuhri dan selainnya.

Manakala sebahagian ulama dari kalangan mazhab Ahmad dan selainnya menyatakan, “Bahawasanya walimah merujuk kepada segala bentuk makanan yang dihidangkan bagi meraikan kegembiraan yang berlangsung.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 15/486)

Dari penjelasan definisi ini dapat kita fahami bahawa yang dimaksudkan dengan walimatul urus itu adalah jamuan makan yang diadakan bagi meraikan pernikahan pasangan pengantin baru.

64.Soalan: Adakah duit hantaran itu termasuk amalan umat Islam terdahulu dan adakah maskahwin diwajibkan semasa akad nikah ?

Hantaran belanja tidak termasuk dalam amalan yang dituntut dalam ajaran Islam dan bukan amalan umat Islam terdahulu (sahabat-sahabat Rasulullah SAW) kerana Islam tidak membebankan umatnya untuk mengadakan majlis walimatul urus dengan perbelanjaan yang besar. Tetapi jika pihak bakal pengantin lelaki bersetuju untuk memberikan hadiah (memberikan hantaran) sempena majlis perkahwinan mereka Islam tidak menghalangnya. Islam hanya meminta seorang lelaki yang ingin mengahwini seorang perempuan untuk membayar maskahwin sahaja. Maskahwin ini boleh terdiri dari emas, wang ringgit atau sekadar bacaan  dari al-Quran.

Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: " Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ". (Hadis Riwayat Abu Daud ).

Maskahwin ini yang bakal diterima oleh bakal isteri menurut ulama tidak boleh diambil oleh ibu bapa wanita atau oleh bakal suaminya. Maskahwin ini tidak boleh digunakan untuk majlis jamuan makan kenduri kahwin tanpa kebenaran anak perempuan yang berkahwin.

65.Soalan: Adakah hukum bersanding pengantin lelaki dan perempuan semasa majlis perkahwinan ?

Setelah dikaji dari sumber yang sahih dari hadis dan sunnah, sememangnya adat bersanding ini juga tidak bersumber dari ajaran Islam. Ia lebih bersumberkan ajaran dari agama Hindu. Malahan adat tepung tawar , beras kunyit yang berasal dari ajaran Hindu masih lagi dikekalkan pada hari ini

Apa yang berlaku semasa  majlis bersanding  ini lebih kepada pembaziran dan sesungguhnya didalam al-Quran , Allah SWT menyatakan bahawa orang yang membazir adalah saudara syaitan. Kerana kos yang tinggi akan digunakan untuk menyiapkan pelamin dan peralatannya sedangkan wang tersebut tidak perlu dibazirkan di atas perkara yang tidak berfaedah.Walaupun niat kita mengadakan upacara persandingan dengan niat yang baik iaitu untuk meraikan pasangan pengantin, namun sekiranya upacara itu dicemari oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan agama Islam, maka secara tidak langsung upacara tersebut salah disisi agama.

Jika terdapat majlis makan berdamai semasa majlis kenduri kahwin di antara pengantin lelaki dan perempuan dan keluarga kedua-dua pihak maka majlis seperti ini dibolehkan kerana mendatangkan kebaikan untuk mengeratkan silaturahim di antara dua keluarga yang baru berkenal-kenalan.

66.Soalan: Apakah hukum amalan berinai yang dilaksanakan pada majlis tersebut?

Berinai adalah salah satu amalan semasa majlis perkahwinan. Inai bagi perempuan dibolehkan kerana tiada larangan dan wanita-wanita di zaman salaf berinai dan Nabi SAW  tidak menegahnya, malah menyuruhnya, dari Aisyah ra : "Nabi SAW melihat tangan di sebalik tirai dan berkata, "Apakah ini tangan lelaki atau perempuan?" maka dikatakan itu tangan perempuan, maka Nabi SAW pun bersabda maksudnya : " Jika kamu seorang perempuan, pasti kamu akan mengubah warna kuku kamu (dengan inai).”(Hadis RiwayatAbu Daud, 4166) dan (Hadis Riwayat Nasa’i 5092)

Walau bagaimanapun berinai dengan daun inai atau sebagainya, pada dua tangan dan kaki, bagi kaum lelaki hukumnya adalah haram. Di antara dalil yang mengharamkan lelaki berinai ialah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim: Daripada Anas dia berkata: “Bahawa Nabi SAW  melarang kaum lelaki memakai za’faran (kuma-kuma).” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

67.Soalan: Apakah hukum pengantin perempuan  bersolek (berlebih-lebihan) di majlis perkahwinan ini?

Perbuatan andaman yang berbentuk “li tadlis” mengabui atau merubah kecantikan yang sebenar juga dilarang sama sekali dalam Islam malah ianya adalah haram. Antaranya yang disebut oleh al-hadis riwayat Muslim. Dari Abdullah Ibn Mas’ud r.a katanya : "Allah melaknat wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat demikian; wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka, wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah.”

Apa yang jelas dari bersolek adalah satu dosa kerana termasuk dalam "Tabarruj" dan melakukan sesuatu untuk mendapat pujian adalah riak. Semua perkara ini adalah perbuatan mungkar yang membawa dosa dan dilarang oleh Allah SWT . Jika bersolek sekadarnya dan tidak nampak bedak yang tebal dan tiada perhiasan yang berlebihan tidaklah dilarang.

68.Soalan: Apakah tujuan mengadakan majlis kahwin (walimah) mengikut konteks Islam?

Mengadakan majlis walimah untuk pernikahan sepasang pengantin merupakan anjuran dan sunnah Rasulullah SAW kerana dengan adanya majlis walimah, sesuatu perkahwinan itu boleh diumumkan kepada khalayak, demikian juga para tetamu undangan boleh menghadirinya sambil bersilaturrahim dan mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin. Ia juga sebagai satu tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana diberikan rahmatnya iaitu seorang menantu dan tanda kesyukuran ini ialah dengan menjamu tetamu makan terutama sekali yang miskin.

Islam mengajarkan umatnya untuk mendahulukan orang fakir miskin. Hal ini dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan Bukhari bermaksud: “Seburuk-buruk makanan ialah makanan dari majlis kenduri kahwin yang hanya dijemput orang kaya, orang fakir dan miskin tidak diundang untuk makan bersama.”

69.Soalan: Apakah hukum jika majlis walimah ini disertakan dengan hiburan?

Pada masa kini, majlis perkahwinan diserikan lagi dengan berbagai hiburan, hiburan di dalam Islam dibolehkan berdasarkan hadis  riwayat Bukhari daripada Aisyah r.ha bahawa seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda maksudnya : "Wahai Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan."

Dalam hadis yang bertaraf ‘hasan’ yang diriwayatkan oleh al-Nasai dan al-Tirmizi, baginda bersabda maksudnya :" Perbezaan antara yang halal dan yang haram adalah kompang dan suara dalam perkahwinan. Maksudnya perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diisytiharkan. Berbeza dengan perzinaan.”

Berdasarkan dalil-dalil ini, dapatlah diketahui bahawa Islam tidak melarang bentuk hiburan. Hiburan dalam Islam dilihat sebagai suatu keizinan untuk menenangkan diri dan menghiburkan hati yang gundah-gulana. Hiburan yang tidak bertentangan dengan Islam adalah alunan nasyid yang memuji kebesaran Allah SWT dan berbentuk doa dan mempromosikan akhlak Islam. Hiburan yang berbentuk karaoke campuran lelaki dan perempuan dan memuji-muja kecantikan wanita adalah dilarang.

Memaafkan Kesalahan Orang Lain

70.Soalan: Apakah perlu kita memaafkan kesalahan orang yang melakukan kesalahan kepada kita mengikut ajaran Islam?

Manusia biasa sering melakukan kesilapan dan kesalahan.  Sebaik-baik orang yang bersalah adalah perlu meminta maaf. Jika seseorang mengaku kesalahannya dan meminta maaf secara baik dan dia menyesal di atas keterlanjurannya maka kita sepatutnya memaafkannya. Sifat pemaaf adalah akhlak muslim yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita semua.

Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah sebaik-baik contoh ikutan bagi seluruh umat manusia. Antara contoh keperibadian yang tinggi yang wujud dalam diri Rasulullah SAW adalah sikap pemaaf baginda. Ini dapat kita perhatikan dalam banyak peristiwa yang dialami baginda melalui banyak riwayat yang menceritakan kemuliaan akhlak baginda dengan memaafkan manusia termasuk orang yang bukan Islam yang menyakiti baginda hingga menyebabkan mereka masuk Islam.

Allah SWT berfirman maksudnya : “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran ayat 132).

71.Soalan: Apakah kelebihan seorang muslim yang mampu menahan marahnya?

Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari).

Cara-cara Bayaran Fidyah Untuk Mereka Yang Meninggalkan Puasa

72.Soalan: Apakah pengertian fidyah dan sebab-sebab di kenakan fidyah?

Fidyah adalah satu bentuk ibadah niyabah (gantian) yang diberi pahala kepada pelakunya. Hukum menyempurnakan ibadah yang tidak sempurna adalah wajib, maka justeru itu hukum fidyah adalah wajib seperti ditentukan syarak.

Firman Allah SWT bermaksud: “…Dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 184).

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan yang belum diqadanya, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari ditinggalkan bagi pihaknya.” (Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Fidyah bererti membayar denda berbentuk beras kepada fakir miskin atau pun digantikan dengan nilai mata wang masa kini. Kadar fidyahnya mudah sahaja, iaitu sehari tinggal puasa bersamaan dengan fidyah secupak beras untuk tahun pertama. Tahun berikutnya digandakan mengikut tahun .

73.Soalan : Banyak manakah sebenarnya ukuran secupak beras dan siapkan yang wajib membayar fidyah?

Secupak beras adalah bersamaan dengan 556 gram, iaitu lebih sedikit daripada setengah kilo, tetapi tidak sampai satu kilo.Dalam hal ini, satu perkara perlu diberi perhatian, iaitu membayar lebih tidak mengapa, membayar kurang jangan sekali.

Contoh kiraan : Sekiranya mengikut kiraan semasa 1kilo beras harganya bersamaan dengan rm 2.60.Jika kita ambil kiraan secupak beras (556gm) = 2.60 x 0.556 = rm 1.45. Oleh itu secara kasar harga untuk dibayar secupak beras adalah rm 1.50

(Harga beras dikira mengikut harga pasaran terkini)

Terdapat beberapa keadaan di mana seseorang itu dikenakan fidyah apabila meninggalkan puasa atau sebaliknya:

1. Seseorang yang meninggalkan puasa kerana bermusafir atau sakit, maka wajib ke atasnya mengqada’ puasa sebelum datangnya Ramadan tahun berikutnya dan jika dilaksanakan dalam keadaan sedemikian maka tiada dikenakan fidyah.

2. Seseorang yang menangguhkan qada puasanya sehingga tiba Ramadan berikutnya kerana cuai atau tidak mengambil berat, maka dia dikira berdosa dan diwajibkan membayar fidyah berserta qada puasa mengikut bilangan hari ditinggalkan.

3. Seseorang sakit berterusan hingga masuk Ramadan yang lain, dia wajib mengqada puasanya saja tanpa dikenakan fidyah.

4. Sekiranya seseorang itu mati sebelum berkemampuan atau berkesempatan mengqada puasanya bukan disebabkan cuai atau sebagainya, maka dia tidak berdosa dan tidak perlu meminta orang lain mengqada bagi pihaknya serta tidak diwajibkan membayar fidyah bagi puasa ditinggalkannya.

5. Sesiapa yang mati selepas mampu mengqada puasanya, maka walinya (bapa, datuk atau ahli keluarganya) disunatkan mengqada hari-hari ditinggalkan bagi pihaknya.

6. Orang lain yang berpuasa bagi pihaknya adalah sah apabila mendapat keizinan salah seorang ahli keluarga terdekatnya. Jika dia berpuasa tanpa mendapat keizinan dan wasiat daripada si mati, maka puasa ganti itu tidak sah.

7. Jika tiada seorang pun berpuasa bagi pihak si mati, maka hendaklah dikeluarkan satu cupak makanan bagi setiap hari ditinggalkannya. Makanan itu wajib dikeluarkan daripada harta pusaka ditinggalkannya, sama seperti hutang. Sekiranya dia tidak memiliki harta, maka orang lain boleh mengeluarkan bagi pihaknya dan terlepaslah dosanya.

8. Seseorang meninggalkan puasa kerana tua atau lanjut usia, sekiranya dengan berpuasa akan membawa kesulitan kepadanya, maka wajib membayar fidyah saja berdasarkan kesepakatan ulama.

9. Seseorang yang tidak berkemampuan untuk berpuasa, sekiranya dia tidak berkemampuan juga untuk membayar fidyah maka tiada apa-apa dikenakan ke atasnya.

10. Seseorang yang mengalami sakit kronik berpanjangan dan tiada harapan untuk sembuh, maka wajib membayar fidyah dengan kesepakatan ulama, kerana puasa tidak lagi diwajibkan ke atasnya.

11. Wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak, jika meninggalkan puasa kerana bimbangkan keselamatan anaknya, maka wajib membayar fidyah berserta dengan qada puasa mengikut jumhur ulama.

Sebaliknya, jika dia meninggalkan puasa kerana bimbangkan keselamatan dirinya sendiri, maka dia boleh berbuka puasa dan diwajibkan qada puasa saja tanpa perlu membayar fidyah.

Menurut pandangan paling sahih dalam Mazhab Syafie, bayaran fidyah berganda dengan bergandanya tahun. Manakala menurut Mazhab Maliki dan Hanbali, bayaran fidyah tidak berganda mengikut tahun kerana ia dikira sekali gus saja.

Bayaran fidyah boleh ditunaikan sepanjang hidup. Namun, lebih baik mempercepatkan pembayarannya sekadar termampu dan seboleh-bolehnya ditunaikan dalam Ramadan kerana pahala pada bulan itu lebih banyak berbanding bulan lain.

Ada pendapat yang mengatakan bayar fidyah lebih afdal terus kepada fakir miskin, daripada melalui amil yang dilantik.Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa lebih afdal membayar fidyah melalui amil, kerana amil telah dilantik dengan cara tertentu oleh pihak berkuasa. Tambahan pula, bukan senang hendak mencari fakir miskin di kawasan tempat tinggal kita.

Bagaimana pun menurut Imam Shafie, ikut mana-mana pendapat yang dirasakan sesuai kecuali apabila ditentukan oleh mufti negeri masing-masing. Dalam hal ini mufti hendaklah diutamakan.Sekarang ini terdapat masjid-masjid yang telah mengadakan kutipan wang fidyah untuk diberikan kepada fakir miskin. Cara ini amat memudahkan orang ramai yang ingin membayar fidyah (wang denda)

74.Soalan:  Berapakah nilai pendapatan yang boleh diklasifikasikan sebagai fakir miskin?

Nilai fakir sebenarnya boleh diukur begini. Ambil RM10 untuk buat pengukuran. Andaikan seseorang itu memerlukan RM10 sehari untuk perbelanjaan harian, termasuk diri sendiri dan tanggungan di bawahnya.Sekiranya pendapatannya sehari cuma RM3. Maka dia adalah seorang fakir. Sekiranya pendapatannya RM7, maka dia adalah seorang yang miskin.Sekiranya pendapatannya RM10, maka dia seorang yang sederhana. Sekiranya pendapatannya RM12, maka dia seorang yang berada. Sekiranya pendapatannya RM18, maka dia seorang yang kaya.

75.Soalan: Selepas membayar fidyah, adakah saya bebas dari hutang puasa?

Tidak, belum lagi. Puasa yang telah ditinggalkan itu tetap wajib diqada (diganti), dalam nisbah dan kadar yang sama, iaitu satu hari tertinggal bersamaan dengan satu hari qada. Jumlah fidyah meningkat mengikut tahun, tetapi bilangan puasa tetap sama.

Contoh mudah :

 1. Tinggal puasa 1 hari tahun lepas, bayar 1 cupak.
 2. Tinggal puasa 2 hari tahun lepas, bayar 2 cupak.
 3. Tinggal puasa 1 hari 2 tahun lepas, bayar 2 cupak.
 4. Tinggal puasa 2 hari 2 tahun lepas, bayar 4 cupak.
 5. Tinggal puasa 1 hari tahun lepas dan 1 hari 2 tahun lepas, bayar 3 cupak.
 6. Tinggal puasa 2 hari tahun lepas dan 1 hari 2 tahun lepas, bayar 4 cupak.
 7. Tinggal puasa 7 hari tahun lepas dan 7 hari 2 tahun lepas dan 7 hari 3 tahun lepas, (7 + 14 + 21) bayar 42 cupak.

Dalam kes ke 7, seseorang yang telah meninggalkan puasa selama 3 tahun adalah 21 hari, wajib diqadakan adalah 21 hari puasa qada dan wajib membayar fidyah sebanyak 42 cupak (42 x rm 1.50 = rm 63.00). Kesimpulannya, darabkan jumlah hari dengan jumlah tahun lalu (berasingan mengikut tahun) dan kemudian tambahkan kesemua tahun-tahun ini, maka dapatlah jumlah cupaknya. Wallaulam.

Fadhilat-fadhilat Puasa-puasa Sunnat :

76.Soalan: Apakah fadilat atau kelebihan bagi orang yang berpuasa sunat enam hari dalam bulan syawal?

Fadilat atau keutamaannya sangat besar sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa Ramadan, kemudian diiringi dengan puasa (sunnat) enam hari dalam bulan Syawal adalah seperti puasa selama setahun." (Hadis Riwayat Muslim)

Cara melakukannya yang terbaik (afdal) secara berturut-turut dan dimulakan pada hari kedua bulan Syawal, tetapi boleh dan sah dengan tidak berturut-turut, misalnya sehari puasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari didalam bulan Syawal.

Jika terdapat puasa qada sebaik-baiknya selesaikan dahulu puasa qada di dalam bulan Ramadan dengan di ikuti puasa enam. Sebahagian ulama menetapkan mengqada puasa Ramadan yang ketinggalan wajiblah berturut-turut, namun sebahagian yang lain mengatakan qada Ramadan tidaklah wajib disegerakan, boleh ditangguhkan sehingga bulan Syaaban samada uzur ataupun tidak. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dari Aisyah ujarnya: "Atasku ada puasa dari bulan Ramadan, maka aku tidak mengqadanya sehingga datanglah bulan Syaaban tahun yang berikutnya".

77.Soalan: Apakah kebaikan bagi orang yang mengamalkan puasa sunat Puasa Hari Arafah?

Disunatkan kepada orang yang tidak melakukan ibadah haji berpuasa sunat di Hari Arafah. Fadhilatnya sangat besar sebagaimana dijelaskan menerusi hadis daripada Abi Qatadah r.a. ujurnya, Rasullullah SAW telah ditanya oleh sahabat mengenai Puasa Hari 'Arafah, sabdanya yang bermaksud: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan tahun-tahun kemudiannya." (Hadis Riwayatkan oleh Muslim dan al-Tirmizi). 

Menerusi hadis daripada Abi Qatadah r.a. juga bahawa Rasullullah SAW. bersabda yang bermaksud: "Puasa pada hari 'Arafah itu menghapuskan dosa dua tahun yang lalu dan tahun yang akan datanag." (Hadis Riwayat Muslim)

78.Soalan: Apakah fadilat berpuasa sunat pada Bulan Muharram?

Daripada Abi Hurairah r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah SAW. yang maksudnya: "Seafdal-afdal puasa selepas Ramadan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram dan seafdal-afdal solat selepas solat fardu ialah solat malam." (Hadis Riwayat Muslim)

Daripada Ibu 'Abbas r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah SAW. maksudnya: "Sesiapa berpuasa pada hari 'Arafah nescaya terhapus dosanya dua tahun dan sesiapa berpuasa satu hari daripada bulan Muharram maka untuknya setiap sehari (mendapat pahala) 30 hari." (Hadis Riwayat al-Tabrani)

79.Soalan: Apakah kelebihan berpuasa pada hari 'Asyura (10 Muharram)

Daripada Abi Qatadah r.a. bahawasanya Rasullullah SAW telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu." (Hadis Riwayat Muslim)

80.Soalan: Apakah kelebihan yang boleh kita perolehi  jika kita berpuasa pada hari Tasu'a (Tanggal 9 Muharram)

Ia disunatkan, namun Rasullullah SAW. belum sempat mengerjakannya, bagaimanapun Baginda SAW. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada 9 Muharram." (Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)

Sebaik-baiknya dalam bulan Muharram kita berpuasa sunat dua hari iaitu 9 dan 10 Muharram. supaya puasa kita tidak menyamai puasa orang Yahudi kerana Yahudi akan berpuasa pada 10 Muharram sahaja. Wallaulam.
Read More

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML