Saturday, January 3, 2015

KEUTAMAAN MENYEBARLUASKAN UCAPAN SALAM



Wahai saudaraku, sebarluaskanlah salam.

Sunnah menyebarluaskan salam sangat kurang diamalkan oleh muslim pada zaman muta’akhir ini.  Sedangkan banyak saranan dari agama melalui kalam Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam tentang keutamaan menyebarluaskan salam.  Rugi yang besar bagi kita sekiranya tidak mengamalkan sunnah yang besar ini.

Berikut saya senaraikan beberapa keutamaan menyebarluaskan salam dengan menyatakan beberapa hadith yang saya petik dari kitab Riyadhussolihin, susunan Imam An-Nawawi:

1.  Memberi salam samada kenal atau belum kenal adalah tanda Islam seseorang itu baik.

Dari `Abdullah bin `Amr bin Al-`Ash radhiAllahu `anhuma, bahawasanya ada seseorang bertanya kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam:  “Bagaimanakah ISLAM yang baik itu?”  

Baginda menjawab:  “Iaitu kamu memberi makanan dan mengucapkan salam baik kepada orang yang telah kamu kenal mahupun orang yang belum kamu kenal.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

2.  Menyebarkan salam adalah suruhan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

Dari Al-Barra’ bin `Azib radhiAllahu `anhuma berkata:

“Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam menyuruh kami untuk melaksanakan tujuh macam perbuatan, iaitu:  menjenguk orang sakit, mengiringkan jenazah, mendo`akan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, menyebarkan salam dan menepati sumpah.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Yusuf `Abdullah bin Salam radhiAllahu berkata:  “Saya mendengar Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Wahai sekalian manusia, sebarluaskanlah salam, berikanlah makanan, hubungkanlah tali persahabatan dan solatlah sewaktu orang sedang tidur, nescaya kamu sekalian akan masuk syurga dengan selamat.”

(HR At-Turmudzi, katanya sahih)

3.  Menyebarluaskan salam akan mewujudkan kasih-sayang.  Natijahnya Iman dan Syurga.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Kamu sekalian tidak akan masuk Syurga sebelum beriman, dan kamu sekalian tidaklah beriman sebelum saling sayang menyayangi.  Mahukah aku tunjukkan sesuatu yang apabila kamu kerjakan nescaya kamu sekalian akan saling sayang-menyayangi?  Iaitu sebarluaskanlah salam di antara kamu sekalian.”

(HR Muslim)

4.  Para salafussoleh sentiasa mencari peluang dan ruang untuk sebarluaskan salam.

Dari At-Tufail bin Ubay bin Ka`ab, bahawasanya ia datang ke tempat `Abdullah bin `Umar, kemudian mereka pergi bersama-sama ke pasar.  Tufail berkata:

“Apabila kami berada di pasar maka setiap kali kami melewati tukang jual baju, orang yang akan menjual barang dagangannya, orang miskin dan bahkan melewati siapa pun juga `Abdullah pasti mengucapkan salam kepadanya.”  At-Tufail berkata:  “Suatu hari saya datang ke tempat `Abdullah bin `Umar kemudian dia mengajak saya ke pasar.  Maka saya berkata kepadanya:  “Apa yang akan kamu perbuat di pasar nanti, kerana kamu tidak membeli sesuatu pun, tidak juga mencari sesuatu, tidak akan menawar sesuatu, dan tidak juga akan duduk-duduk di pasar?  Lebih baik kita berbincang-bincang di sini sahaja.”  `Abdullah menjawab:  “Wahai Abu Bathn (kerana At-Tufail mempunyai perut yang besar), kita akan ke pasar untuk menyebarluaskan salam kepada sesiapa yang bertemu dengan kita.”

(Riwayat Imam Malik di dalam kitabnya al-Muwatta’ dengan sanad yang sahih)

5.  Orang yang paling dahulu memberi salam adalah orang yang paling utama di sisi ALLAH.

Dari Abu Umamah Shuday bin `Ijlan Al-Bahily radhiAllahu `anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Seutama-utama manusia menurut ALLAH adalah orang yang paling dahulu mengucapkan salam.”

(HR Abu Daud dengan sanad yang baik)

Dari Abu Umamah radhiAllahu `anhu, beliau berkata:

“Ada seseorang bertanya kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam:  “Wahai Rasulullah, kalau ada dua orang yang bertemu serentak, maka siapa yang harus mengucapkan salam terlebih dahulu?”  Baginda menjawab:  “Orang yang lebih utama menurut ALLAH Ta`ala.”

(HR At-Turmudzi, hadithnya hasan)

Mudah-mudahan dengan mengetahui nas-nas di atas menjadikan kita bermotivasi untuk melaksanakan sunnah menyebarluaskan salam ini.  Jangan lemah semangat atau berasa malu jika orang lain tidak buat.  Untuk kehidupan yang baik di akhirat dan di dunia, sebarluaskanlah salam.

Sebarkan mesej ini.  Semoga catitan ini bermanfaat buat diri saya dan tuan/puan sekalian.

WAllahu Ta`ala A`lam.
Read More

3 JENIS CINTA MANUSIA (KITA) KEPADA NABI MUHAMMAD S.A.W



3 jenis manusia cinta kepada Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam:

1)  Cinta Abu Lahab kepada Nabi

-  Abu Lahab cintakan insan yang bernama Muhammad sejak bayi.  Malah dialah antara orang yang bergembira dengan kelahiran Nabi.  Sejurus kelahiran bayi mulia itu, Abu Lahab lah yang menaja ibu susu bernama Thuwaibah yang merupakan hambanya kepada bayi tersebut.  Sejak kecil hingga Baginda Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam dewasa, Abu Lahab tiada masalah dengan Baginda.  Tetapi apabila Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam mengumpulkan ahli keluarga untuk mengajak kepada mentauhidkan ALLAH dan berserah diri kepadaNYA, Abu Lahablah dengan kelancangan mulutnya telah mencelaka Baginda dan pelbagai usaha dilakukan bagi mengagalkan dakwah Nabi (baca sini).  ALLAH tidak redha dia.  Ke neraka dia akhirnya!

-  Cinta jenis begini ada sejak dahulu sampai sekarang.  Manusia-manusia jenis ini mengaku cintakan Nabi, tetapi dalam masa yang sama, merekalah juga yang membangkang dan menentang usaha-usaha untuk membawa ajaran Islam ke dalam masyarakat.  Mereka persis Abu Lahab.

2)  Cinta Abu Talib kepada Nabi

-  Abu Talib cintakan kepada Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  Malah dia telah bela dan lindungi Nabi sejak kecil sampailah Abu Talib sendiri meninggal dunia pada usia sekitar 80 tahun (kurang-lebih).  Tetapi apabila Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam mengajak Abu Talib agar mentauhidkan ALLAH dan berserah diri kepadaNYA, Abu Talib memberikan banyak alasan.  Abu Talib tidak terima dakwah Nabi, tidak ikut ajaran Nabi dan dalam masa yang sama tidak pula dia menentang dan membangkang.  ALLAH tak redha dia.  Ke neraka dia akhirnya!

-  Cinta jenis begini juga ada sejak dahulu lagi.  Mereka mengaku mencintai Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam, bahkan jika nama Nabi dihina dan imej Nabi diperlekeh, mereka akan bangkit membela dan menyatakan ketidakpuashatian.  Tetapi malangnya, ajaran-ajaran Nabi tidak pula dihayati dan diambil sepenuhnya.  Mereka tidak kisah akan ajaran Nabi.  Mereka sekadar cinta sahaja.  Mereka persis Abu Talib.

3)  Cinta Abu Bakr radhiAllahu `anhu kepada Nabi

-  Abu Bakr radhiAllahu `anhu cintakan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  Beliau bukan setakat cinta, bahkan bela, lindung dan berkorban untuk Nabi.  Dan yang lebih istimewa dan bermakna ialah beliau ikut seruan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam 100%.  Bahkan setelah Baginda Nabi wafat, beliau terus sambung perjuangan dakwah Nabi untuk mentauhidkan ALLAH dan berserah diri kepadaNYA.  Sejak hidup lagi beliau sudah dijamin masuk ke Syurga.  ALLAH redha beliau.  Dan ke Syurgalah tempat akhir beliau radhiAllahu `anhu.

-  Cinta jenis ini juga telah ada sejak dahulu sampai sekarang.  Mereka ini mencintai Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam sepenuh hati dan sentiasa berusaha untuk menghayati semua ajaran-ajaran Nabi.  Para sahabat Nabi, tabi`in, tabi`ut tabi`in, orang-orang soleh selepas zaman mereka sampailah hari ini sentiasa menjadi penerus kepada dakwah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  Bukan sahaja dipraktikkan kepada diri sendiri dan keluarga, bahkan mereka menyebar-nyebarkan ajaran Nabi yang mulia.  Mereka tetap di atas jalan Nabi walaupun persekitaran mereka memilih sebaliknya.  Cinta mereka kepada Nabi persis seperti Abu Bakr radhiAllahu `anhu, iaitu cinta Nabi dan ikut serta taat kepada ajaran Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.

Cinta kita kepada Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam cinta yang macam mana?

Ayuh kita sama-sama muhasabah supaya akhir tempat kita ialah ke Syurga dan ALLAH redha kita, amin…
Read More

KEUTAMAAN SELAWAT KE ATAS NABI MUHAMMAD S.A.W



ALLAH Ta`ala menyuruh sekalian mukminin agar bersolawat ke atas Nabi sallAllahu `alaihi wasallam melalui firmanNYA:



Maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-malaikatNYA bersolawat ke atas Nabi.  Wahai orang-orang yang beriman, bersolawatlah kamu sekalian ke atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”
(Surah al-Ahzab, 33 : 56)

ALLAH iaitu Tuhan Yang Maha Mulia, Maha Berkuasa, Maha Agung, Raja Segala Raja dan tidak berhajatkan sesuatu apa pun dari sesiapa, bersolawat ke atas Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.  Seluruh para malaikat yang mulia juga bersolawat ke atas Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

Inikan pula kita yang lemah, dhaif dan hina.  Inikan pula kita yang tidak berkepastian samada selamat atau tidak dari api neraka.  Inikan pula kita yang saban waktu sentiasa pula berhajatkan kesejahteraan dan perlindungan.  Tentulah terlebih-lebih patut kita bersolawat ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.

Ia merupakan suruhan daripada ALLAH Ta`ala kepada orang-orang yang mengaku beriman.  Sudah tentulah suruhan agar bersolawat ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam mesti diambil berat dan diberi keutamaan untuk kita semua laksanakan.  Tambahan pula kita ini adalah ummat Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam yang telah banyak terhutang budi dan menumpang kebaikan Baginda.

Imam Ibnu Kathir rahimahullah apabila menerangkan maksud ALLAH bersolawat ke atas Nabi daripada ayat di atas ialah pujianNYA di sisi para malaikat ke atas Nabi.  Manakala malaikat bersolawat pula maksudnya ialah doa.  Dan mukmin bersolawat bermaksud memohon rahmat ALLAH ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  (Rujuk)

Apakah Kelebihan Berselawat?
Bersolawat kepada Nabi sallAllahu `alaihi wasallam adalah suruhan ALLAH dan tentunya apabila kita menurut perintah ALLAH, padanya ada ganjaran yang hebat dari sisiNYA.  Tambahan kepada itu, terdapat beberapa hadith dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang menceritakan tentang kebaikan-kebaikan bersolawat.  Antaranya ialah:

1)  ALLAH membalas dengan 10 solawat apabila kita bersolawat sekali ke atas Nabi.

Dari `Abdullah bin `Amr bin Al-`As (عبدالله بن عمرو بن العاص) radhiAllahu `anhu bahawa dia mendengar Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Barangsiapa yang bersolawat ke atasku satu solawat, maka ALLAH akan bersolawat ke atasnya sepuluh kali.”

(HR Muslim)

2)  Berpeluang untuk dekat dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pada Hari Akhirat.

Dari Ibnu Mas`ud radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Manusia yang paling dekat dengan aku nanti pada Hari Kiamat ialah mereka yang paling banyak bersolawat ke atasku.”

(HR at-turmudzi, katanya hadith ini hasan)

Bilakah Sepatutnya Bersolawat?
Sebagai mukmin yang sentiasa mengharapkan balasan baik dari sisi ALLAH Ta`ala, tentunya perbuatan bersolawat ke atas Nabi sallAllahu `alaihi wasallam mesti selalu diperbanyakkan.  Setiap mukmin wajar menjadikan bersolawat sebagai amalan seharian atau sepanjang masa.  Mudah-mudahan ia menjadi sebab rahmat ALLAH `Azza wa Jalla kepada kita pada Hari Akhirat kelak.

Walaupun begitu, terdapat beberapa situasi yang mana Nabi sallAllahu `alaihi wasallam amat menggalakkan atau  memperbanyakkannya pada saat-saat tertentu.  Malah ada juga celaan jika tidak bersolawat pada ketika-ketika yang tertentu.  Berikut adalah beberapa hadith yang menerangkannya:

1)  Perbanyakkan dan gandakan bersolawat pada hari Juma`at.

Dari Aus bin Aus (اوس بن اوس) radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya hari yang paling utama bagi kamu sekalian adalah hari Juma`at.  Oleh kerana itu, perbanyakkanlah solawat untukku pada hari itu, kerana sesungguhnya solawatmu itu diperlihatkan kepadaku.”

(HR Abu Daud dengan sanad yang sahih)

2)  Bersolawat apabila mendengar nama Nabi disebut.  Nabi mencela orang yang tidak bersolawat apabila mendengar namanya disebut.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Sungguh hina seseorang yang mendengar namaku disebut kemudian dia tidak bersolawat kepadaku.”

(HR at-Turmudzi, katanya hadith ini hasan)

Dari `Ali radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Orang yang bakhil ialah orang yang apabila mendengar namaku disebut, dia tidak bersolawat ke atasku.”

(HR at-Turmudzi, katanya hadith ini hasan sahih)

3)  Tidak semestinya perlu ke kubur Nabi untuk bersolawat.  Boleh bersolawat di mana-mana sahaja.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Janganlah kamu sekalian menjadikan kuburku sebagai tempat perayaan.  Dan bersolawatlah ke atasku  kerana sesungguhnya solawatmu itu akan sampai kepadaku di mana pun kamu berada.”

(HR Abu Daud dengan sanad yang sahih)

4)  Bersolawat dahulu sebelum berdo`a.

Dari Fadhalah bin `Ubaid (فضالة بن عبيد) radhiAllahu `anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam mendengar seseorang berdo`a sewaktu solatnya yang mana dia tidak mengagungkan nama ALLAH Ta`ala dan tidak bersolawat untuk Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.  Kemudian Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Orang ini sangat tergesa-gesa”

Baginda lantas memanggilnya dan bersabda kepadanya atau juga kepada yang lain yang maksudnya:

“Apabila salah seorang di antara kamu sekalian solat maka hendaknya ia memulainya dengan memuji dan menyanjung TUHANnya Yang Maha Suci kemudian bersolawat untuk Nabi sallAllahu `alaihi wasallam, baru setelah itu berdo`alah sekehendaknya.”

(HR Abu Daud dan at-Turmudzi, katanya hadith ini sahih)

Adakah Solawat Kita Sampai Kepada Nabi?
Solawat yang kita ucapkan hari ini sentiasa sampai kepada Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang kita cintai.  Bahkan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam menjawabnya.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Tiada seorang pun yang mengucapkan salam kepadaku melainkan ALLAH mengembalikan nyawaku sehingga aku dapat menjawab salam kepadanya.”

(HR Abu Daud dengan sanad yang sahih)

Bagaimanakah Cara Bersolawat?
Terdapat beberapa ucapan solawat yang diajar oleh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam kepada para sahabat kerana mereka bertanya kepada Baginda bagaimana caranya untuk bersolawat ke atas Baginda.  Berikut ini adalah antara contoh ucapan solawat yang wajar diberikan keutamaan untuk kita mengucapkannya:

1)  Dari Ka`b bin `Ujzah (كعب بن عجرة) radhiAllahu `anhu.

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيم وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

اَللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيم وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

(Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad.  Kama sollaita `ala Ibrahim wa `ala aali Ibrahim.  Innaka Hamiidun Majid.

Allahumma baarik `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad.  Kama baarakta `ala Ibrahim wa `ala aali Ibrahim.  Innaka Hamiidun Majid.)

Maksudnya:

“Ya ALLAH, limpahilah solawat (rahmat / kemuliaan / pujian) ke atas Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana ENGKAU telah limpahi solawat ke atas Nabi Ibrahim dan ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji, lagi Maha Agung.

Ya ALLAH, limpahilah keberkatan ke atas Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana ENGKAU telah limpahi keberkatan ke atas Nabi Ibrahim dan ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji, lagi Maha Agung.”

(HR al-Bukhari, no: 3370)

2)  Dari Ka`b bin `Ujzah (كعب بن عجرة) radhiAllahu `anhu.

 اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

اَللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

(Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad.  Kama sollaita `ala aali Ibrahim.  Innaka Hamiidun Majid.

Allahumma baarik `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad.  Kama baarakta `ala aali Ibrahim.  Innaka Hamiidun Majid.)

Maksudnya:

“Ya ALLAH, limpahilah solawat (rahmat / kemuliaan / pujian) kepada Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana ENGKAU telah limpahi solawat ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji, lagi Maha Agung.

Ya ALLAH, limpahilah keberkatan ke atas Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana ENGKAU telah limpahi keberkatan ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji, lagi Maha Agung.”

(HR al-Bukhari, no: 6357 dan Muslim, no: 406)

3)  Dari Abu Humaid as-Sa`idi (أبو حميد الساعدي) radhiAllahu `anhu.

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ. كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ. كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
(Allahumma solli `ala Muhammad wa azwajihi wa dzurriyyatihi.  Kama sollaita `ala aali Ibrahim.  Wa baarik `ala Muhammad wa azwajihi wa dzurriyyatihi.  Kama baarakta `ala aali Ibrahim.  Innaka Hamiidun Majid.)

Maksudnya:

“Ya ALLAH, limpahilah solawat (rahmat / kemuliaan / pujian) ke atas Nabi Muhammad dan isteri-isteri Baginda dan anak keturunan Baginda, sebagaimana ENGKAU telah limpahi solawat ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim.

Dan limpahilah keberkatan ke atas Nabi Muhammad dan isteri-isteri Baginda dan anak keturunan Baginda, sebagaimana ENGKAU telah limpahi keberkatan ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim.  Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji, lagi Maha Agung.”

(HR al-Bukhari, no: 6360 & Muslim, no: 407 )

Semoga dengan mengetahui hal yang penting ini menjadikan kita lebih beriltizam untuk terus memperbanyakkan solawat ke atas junjungan kita, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Mudah-mudahan ALLAH Ta`ala mengurniakan hidayah dan taufiqNYA buat kita semua, amin.

Sekadar menyampaikan,
Read More

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML