Sunday, February 16, 2014

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 61

Soal Jawab Agama Siri 61 (Harta Hibah, Dirikan Rumah Di atas Tanah Orang Lain, Sewa Atas Penyewa Dan Lain-lain)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Soal Jawab Agama Siri 61 adalah menjelaskan persoalan harta hibah, dirikan rumah diatas tanah orang lain, sewa atas penyewa, berhutang tidak bertemu waris dan hak penama kedua hanya pemegang amanah sahaja.

591. Soalan :  Bapa saya yg masih lagi hidup telah membahagikan hartanya kepada kami adik-beradik seramai 8 orang ( 6 lelaki dan 2 perempuan). Masing-masing telah diperuntukkannya dengan hartanya yang berupa tanah dan rumah. Semuanya mendapat bahagian masing-masing. Soalan saya ialah, adakah pembahagian ini dipanggil hibah atau wasiat dan adakah ianya sah disegi syarak. Jika ianya tidak sah, bagaimanakah caranya yang sah?

Jawapan : 
  
Harus pemilik harta ketika ia sihat dan berakal waras menghibahkan hartanya kepada sesiapa yang ia kehendaki, tanpa berniat menganiayai waris-warisnya. Jika dengan niat tersebut, ia berdosa kerana niat jahat tersebut sekalipun hibah tersebut terlaksana kerana seseorang berhak membelanjakan harta miliknya mengikut keputusannya. 

Adapun menghibahkan harta kepada anak-anak, wajib berlaku adil kepada semua anak-anak, yakni; tanpa mengecualikan seorang pun dari mereka. Ini sebagaimana terdapat dalam Hadis Sahih Imam al-Bukhari riwayat dari an-Nukman bin Basyir yang menceritakan bahawa bapanya memberi kepadanya satu pemberian, lalu ia berjumpa Nabi supaya Nabi menjadi saksi terhadap pemberian tersebut. Maka Nabi bertanya kepadanya; "Adakah semua anak-anak kamu, kamu berikan pemberian yang sama?". 

Jawab bapaku; "Tidak". 

Lantas Nabi berkata; "Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah sesama anak-anak kamu". 

Lalu bapaku pulang dan dan mengambil kembali pemberian tersebut. (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). 

Dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda maksudnya; "Jangan bersaksikan aku, kerana sesungguhnya aku tidak akan menjadi saksi atas suatu kezaliman". 

Berdasarkan hadis tersebut, adalah dituntut oleh Syariat, hibah (pemberian) kepada anak-anak dilakukan sama rata, tanpa pilih kasih termasuk antara lelaki dan perempuan. Sebahagian ulamak berkata; diberikan kepada anak lelaki sekali ganda dari yang diberikan kepada anak perempuan (iaitu sebagaimana dalam faraid).

Jika seorang bapa melakukan pilih kasih, apakah hibahnya itu sah? Terdapat beza pandangan di kalangan ulamak;

1. Sebahagian ulamak (antaranya as-Sauri, Imam Ahmad dan Daud az-Zahiri) menyatakan; hibah tersebut haram, tidak sah (batal) dan wajib ditarik kembali. Dikecualikan jika ada suatu sebab tertentu seperti ada anak yang kurang upaya, ketika itu harus ia dilebihkan dari anak-anak lain mengikut pandangan Imam Ahmad.  

2. Menurut jumhur ulamak (merangkumi mazhab Imam Abu Hanifah, Malik dan Syafiie); hibah tersebut makruh (tidak haram) dan ianya sah (yakni tidak batal dan tidak wajib ditarik kembali).  Hanya disunatkan sahaja bapa mengambil kembali hibah tersebut dan membahaginya sama rata kepada semua anaknya. Jumhur ulamak memahami tegahan Nabi dalam hadis di atas sebagai tegahan makruh, bukan tegahan haram berbeza dengan golongan pertama tadi.

Adapun perbezaan antara hibah dan wasiat; hibah ialah pemberian yang diberikan ketika masih hidup. Adapun wasiat, ia adalah pemberian yang diikat dengan selepas mati, seperti seorang berkata; "Bila aku mati nanti, tanahku di tempat sekian sekian hendaklah diwakafkan kepada pihak sekian sekian". Hibah harus diberikan kepada anak-anak atau waris-waris lain dengan syarat berlaku adil tadi. Adapun wasiat tidak harus diberikan kepada orang akan mewarisi harta selepas mati termasuk anak-anak. Ini sebagaimana sabda Nabi; "Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap yang berhak akan haknya. Oleh demikian, tidak ada wasiat untuk orang yang bakal mewarisi" 
(Hadis Riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abi Umamah. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan). Wallahu a'lam.        

592. Soalan : Saya ada kemuskilan, bapa saudara saya telah mendirikan rumah di atas sebidang tanah milik aruah nenek saya atas kebenaran secara lisan oleh aruah nenek. Sebelum aruah nenek meninggal dia telah menukar hak milik tanah tersebut ke atas nama bapa saya (nenek berikan hibah). Anak bapa saudara saya juga telah mendirikan bengkel membaiki motosikal di atas tanah tersebut tanpa sebarang kebenaran daripada bapa saya sebagai pemilik tanah. Masalahnya sekarang bapa saya ingin menjual tanah tersebut memandangkan tanah tersebut tidak diusahakan dan bapa memerlukan wang bagi menyara anak-anak yang masih belajar dan dirinya dan emak yang tidak berapa sihat. Malangnya bapa saudara dan anak-anaknya telah melemparkan kata-kata yang kesat kepada bapa saya dan masih berpegang kepada kata-kata aruah nenek yang membenarkan beliau membina rumah dan tinggal di atas tanah tersebut biarpun nenek telah tiada pada mereka itu adalah tanah pusaka dan bapa tidak berhak meminta mereka keluar biarpun bapa telah mengatakan beliau akan memberikan sejumlah wang atas ikhlas beliau tetapi bapa saudara telah berkeras dan meminta pampasan berlebihan yang boleh dikirakan separuh daripada jualan tanah tersebut. Tanpa pampasan sebanyak yang dipohon mereka tidak akan keluar daripada rumah dan bengkel yang telah didirikan. 

Soalannya :
- Apakah bapa saudara saya berhak untuk tidak keluar daripada tanah tersebut dan meminta sejumlah pampasan yang tinggi.
- Adakah bapa saya berhak untuk tidak memberikan sebarang pampasan
- Apakah hukum menjalankan perniagaan di atas milik orang tanpa kebenaran dan memakan duit hasil perniagaan tersebut.
               
Jawapan;

1. Selesaikanlah masalah tersebut dengan baik tanpa menjejaskan tali persaudaraan (silaturrahmi). Menjaga tali persaudaraan terutamanya antara saudara yang ada pertalian darah amat-amat dituntut oleh Syariat Islam. 

Sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud : “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.” (Hadis Riwayat Muslim)

2. Penyelesaian secara sepakat dan saling bertolak ansur adalah yang terbaik. Jika tidak dapat dilakukan, maka penyelesaiannya mengikut hukum Fiqh adalah seperti berikut;

A) Rumah bapa saudara; oleh kerana ia membinanya dengan kebenaran pemilik asal (nenek saudara), apabila tanah itu berpindah milik, pemilik baru perlulah membayar nilai rumah di atas tanah tersebut (dengan harga semasa) jika ia ingin mengambil kembali tanah tersebut. Ini kerana rumah itu dibina dengan kebenaran dari pemilik tanah yang asal.

B) Bengkel anak saudara; oleh kerana bengkel itu dibina tanpa kebenaran pemilik tanah, pemilik tanah berhak merobohnya tanpa sebarang pampasan. Ini kerana ia membina bangunan di atas tanah orang lain tanpa kebenarannya, maka itu termasuk dalam menceroboh dan merampas hak orang lain. Sabda Nabi SAW maksudnya : "Sesiapa menghidupkan tanah mati (yakni tanah yang tidak berpemilik) tanah itu miliknya. Tidak ada sebarang hak bagi orang yang membina/menanam secara zalim (di atas tanah orang lain)" (Hadis Riwayat Imam at-Tirmizi dari Said bin Zaid. Kitab al-Ahkam 'an Rasulillah, bab Ma Zukira Fi Ihya' Ardhi al-Mawat, no. 1378. Turut diriwayatkan oleh Abi Daud dari 'Urwah yang meriwayatkan dari bapanya. Lihat; Sunan Abi Daud, kitab al-Kharaj wa al-Imarah wa al-Fai', bab Fi Ihya' al-Mawat, no. 3073).

Berkata Imam al-Khattabi; "Maksud hadis ini ialah seorang lelaki menanam pokok di atas tanah yang bukan tanahnya tanpa keizinan tuan tanah atau ia membina suatu binaan di atas tanah orang lain tanpa izin tuannya, maka ia diperintahkan supaya mencabutnya kecualilah jika tuan tanah meredhainya, maka dibiarkan" ('Aunul-Ma'bud, Syarah Sunan Abi Daud).     

C) Perniagaan di atas tanah orang lain; jika perniagaan yang dijalankan adalah halal (yakni menjual produk atau perkhidmatan yang halal) pendapatan yang terhasil darinya juga halal, namun ia berdosa kerana menjalankan perniagaan di atas tanah orang lain tanpa keizinanannya. Wajib ia memohon ampun kepada Allah SWT dan menyerahkan harta yang bukan haknya kepada pemiliknya atau memohon keizinannya untuk terus berniaga di situ. Tuan tanah berhak mengadu kepada pihak berkuasa untuk menuntut dikembalikan haknya dan bayaran sewa dari tanah tersebut sepanjang ia dicerobohi. 
Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Tuhfah al-Ahwazi (Syarah Sunan at-Tirmizi), Kitab al-Ahkam 'an Rasulillah, bab Ma Zukira Fi Ihya' Ardhi al-Mawat, no. 1378.
2. Aunul-Ma'bud (Syarah Sunan Abi Daud), kitab al-Kharaj wa al-Imarah wa al-Fai', bab Fi Ihya' al-Mawat, no. 3073.

593. Soalan :  Bolehkah ustaz huraikan  apakah hukum sewa atas penyewa?

Jawapan :

Menurut jumhur ulamak (merangkumi mazhab empat); di haruskan orang yang menyewa barang/premis untuk menyewakannya semula kepada orang lain selama dalam tempoh sewaan yang diakadkan dengan pemilik barang/premis. Sama ada bayaran sewaan yang dikenakan sama dengan bayaran sewaan yang dibayar kepada pemilik atau lebih tinggi atau lebih rendah hukumnya adalah harus. Ini kerana akad sewaan adalah sama seperti akad jual-beli iaitu akad pertukaran. 

Jika akad jual beli menukarkan antara harta (yang berupa wang) dengan harta (yang berupa barang/produk), akad sewaan pula menukar harta (iaitu bayaran sewaan) dengan manfaat (iaitu kegunaan barang yang disewa). Apabila sempurna akad sewaan, manfaat barang/premis yang disewa telah menjadi milik orang yang menyewa, maka ia harus menggunanya sendiri atau menghadiahnya kepada orang lain atau menjual manfaat itu (dengan pengertian menyewanya kepada orang lain). Ia sama seperti apabila sempurna akad jual-beli, pembeli bebas menggunakan barang/produk yang dibelinya mengikut yang disukainya kerana barang/produk itu telah menjadi miliknya.

Namun keharusan menyewa semula itu terikat dengan syarat berikut :

1. Barang/premis yang terbabit itu tidak terkesan dengan sebab bertukar tangan penyewa seperti menyebabkan kerosakan atau sebagainya.

2. Penggunaan penyewa kedua ke atas barang/premis sama seperti yang diakadkan antara penyewa pertama dengan pemilik atau penggunaan yang kurang risiko darinya, contohnya; jika penyewa pertama menyewanya untuk digunakan sebagai kediaman, tidak harus ia menyewanya kepada orang lain untuk dijadikan kilang atau seumpamanya.

3. Pemilik tidak mensyaratkan barang/premisnya tidak disewakan semula kepada orang lain.[1] Jika ia mensyaratkannya, tidak harus disewakan semula kerana sabda Nabi; "Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang dipersetujui sesama mereka selama menepati yang hak" (Hadis Riwayat Imam al-Hakim dari Aisyah r.a. dan Anas. Menurut as-Suyuti; hadis ini soheh. Lihat: al-Jami' as-Saghier, hadis no. 9214).

Nota;

[1] Ini berdasarkan pandangan mazhab Maliki dan Hanbali di mana menurut mereka; harus pemilik barang/premis mensyaratkan barang/premis kepunyaannya hanya digunakan oleh penyewa sahaja atau mensyaratkan tidak boleh disewa kepada orang lain. Penyewa terikat dengan syarat tersebut dan jika ia melanggarinya terbatallah akad sewaan. Pandangan ini ditarjih oleh Imam Ibnu Taimiyyah. Namun mazhab Syafiie berpandangan; tidak harus meletakkan syarat tersebut dan jika diletakkan batallah akad sewaan. Mazhab Hanafi pula berpendapat; akad tidak terjejas, namun syarat yang diletakkan itu tidak terpakai (yakni sia-sia sahaja dan tidak mengikat penyewa).

Rujukan;

1. Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 1/267, 284, 270, 286-287 (perkataan "Ijarah").
2. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, Kitab al-Ijaraat (11/450).
3. Fatawa as-Syabakah al-Islamiyah, no. 118454, 103260.
4. Fatawa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid, no. 82568.

 594. Soalan :  Saya mempunyai dua soalan yang perlukan penjelasan :

1. Seseorang yang berhutang tanpa diketahui oleh warisnya, jika meninggal, tiada siapa yang melunaskan hutang tersebut bagi pihak dirinya, jadi bagaimana dosa hutang yang ditanggung tersebut, adakah diselesaikan di akhirat nanti dengan cara membayar pahala amalan kepada si penghutang?

2. Semasa hidup, kalau kita merasakan kita ada hutang dengan seseorang pada masa lampau tetapi kita telah lupa siapa orang yang menjadi tempat kita berhutang itu atau orang tersebut tidak diketahui di mana berada atau tidak diketahui berapa jumlahnya, adakah boleh kita melangsaikan hutang yang sudah dilupai itu dengan cara mengeluarkan sejumlah wang dan disedekahkan (umpamanya untuk pembinaan masjid) sebagai pelunasan semua hutang yang tidak diingat itu dan wang itu diniatkan sebagai sedekah mewakili orang yang memberi hutang atau bagi pihak orang yang memberi hutang. Adakah hutang tersebut terlunas dengan cara itu.

Mohon diperjelaskan. Terima kasih.

Jawapan;

1. Terdapat hadis menegaskan;
مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ

Maksudnya :  “Sesiapa mengambil harta orang lain dengan keinginan untuk membayarnya, Allah akan membayar bagi pihaknya. Sesiapa mengambilnya dengan keinginan untuk memusnahkannya (yakni tiada keinginan untuk membayarnya), Allah akan memusnahkannya” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah r.a. Soheh al-Bukhari, Kitab al-Istiqradh…, hadis no. 2387).

Menurut penjelasan ulamak; maksud “mengambil harta orang lain’ merangkumi mengambilnya sebagai hutang, mengambilnya untuk menyimpanya (wadi’ah), melalui melalui satu bentuk mu’amalah atau lain-lainnya. Ia tidak terikat dengan mengambil secara zalim sahaja. Maksud; “dengan keinginan untuk membayarnya” ialah; berniat untuk membayarnya ketika di dunia.

Maksud “Allah SWT akan membayar bagi pihaknya” ialah; Allah SWT akan membantunya untuk membayarnya atau Allah SWT akan melapangkan rezkinya sehingga ia dapat membayar hak orang lain sebelum kematiannya. Atau boleh juga difahami dengan maksud doa dari Nabi SAW, iaitu; “Semoga Allah akan membayar bagi pihaknya”. Menurut Imam al-Munawi; makna zahir hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa berniat untuk menunaikan/membayar (hutang kepada orang lain yang tertanggung atas bahunya), kemudian ia mati sebelum sempat membayarnya kerana kesusahannya atau kerana matinya secara tiba-tiba, Allah tidak akan mengambil dari kebaikan-kebaikannya di akhirat (untuk dibayar kepada pemilik hutang tadi), akan tetapi Allah akan menjadikan pemilik hutang redha kepadanya (dan tidak menuntut haknya)” (Faidhul-Qadier, hadis no. 8351).

Maksud “mengambil dengan keinginan untuk memusnahkannya” ialah mengambil hak orang lain tanpa berniat membayarnya. Maksud “Allah akan memusnahkan hartanya” ialah; Allah akan memusnahkan hartanya di dunia dengan mentakdirkan banyak berlaku dugaan kepadanya, kerugian demi kerugian, musibah dan terhapusnya barakah, dan di akhirat pula Allah akan menghukumnya kerana hak orang lain tersebut.

Abu Hurairah r.a. menceritakan; Suatu hari Nabi SAW pernah bertanya sahabat-sahabatnya; ‘Tahukah kamu siapa orang muflis?’. Mereka menjawab; ‘Orang muflis mengikut kefahaman kami ialah seorang yang tidak memiliki wang (untuk membayar hutangnya) dan tidak pula memiliki barang (untuk digadai bagi membayar hutangnya)’. Lalu Nabi bersabda; “Seorang muflis dari kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) ia juga membawa dosa mencela orang ini, menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah oang itu dan memukul orang ini (dan seumpamanya), lalu diberikan kepada orang ini sebahagian dari pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan ditapukkan ke atasnya hingga akhirnya ia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa)” (Hadis Riwayat Imam Muslim. Soheh Muslim, kitab al-Birri wa as-Shilah wa al-Adab, hadis no. 2581).

2. Untuk soalan kedua; hendaklah berusaha mengingati siapa pemilik hutang tersebut,kemudian mencarinya dan menyerahkan kembali wangnya. Jika ia sudah meninggal hendaklah diserahkan kepada waris-warisnya. Jika masih tidak berupaya mengingati siapa pemilik hutang itu atau ia tidak dijumpai setelah puas mencarinya dan begitu juga waris-warisnya juga tidak dijumpai, hendaklah duit hutang itu disedekahkan kepada fakir miskin atau kepada mashalah-maslahah am agama dan kaum muslimin (pembinaan masjid, imarah masjid, pengajian Islam, program dakwah dan seumpamanya) dan diniatkan sedekah itu untuk pemilik hutang tersebut. Namun jika setelah disedekahkan hutang tersebut, tiba-tiba muncul pemiliknya, wajib dibayar hutangnya dan pahala sedekah tadi berpindah menjadi milik orang yang memberinya.

Rujukan :

1.      Faidhul-Qadier (Syarah al-Jami’ as-Saghier), Imam al-Munawi, hadis no. 8351.
2.      Minhatul-Bari Fi Khidmati Soheh al-Bukhari (Syeikh Mustafa al-Bugha), hadis no. 2275.
3.      Subulus-Salam (Syarah Bulughul-Maram), kitab al-Buyu’ Abwab; as-Salam wa al-Qardh wa ar-Rahn, no. hadis 876.
4.      Fatwa Muhammad Soleh al-Munajjid (http://www.islamqa.com), no. 132202.

595. Soalan : Saya mempunyai satu soalan yang perlukan penjelasan :


Harta yang kita miliki dan isteri kita sekarang, contohnya kereta, rumah, wang atau tanah perlukah diletakkan penama atau orang yang akan mewarisinya kelak jika kita meninggal dunia. Jika diletakkan, adakah ia akan dikira sebagai hibah, atau ianya dikira harta pusaka yg wajib dibahagi mengikut hukum faraid setelah peninggalan kita. Jika tidak diletakkan penama, apakah risiko yang akan kita hadapi setelah meninggal nanti. Untuk kereta dan rumah yang dibeli secara loan, wajibkah kita mengambil insurans hayat untuk diri kita bagi keperluan jika ketiadaan kita nanti, baki pinjaman tersebut ditanggung oleh pihak insurans dan kita tidak lagi menanggung hutangnya setelah berada di alam sana.

Jawapan;

1. Perlu atau tidak meletakkan penama pada harta adalah bergantung kepada maslahah pemilik harta dan waris-warisnya. Namun menurut fatwa ulamak; Penama tidak lebih dari pemegang amanah sahaja. Apabila berlaku kematian pemilik harta, penama wajib menguruskan harta tersebut dengan membahagikannya kepada waris-waris si mati. Ia tidak boleh dianggap hibah kerana hibah ialah pemberian ketika hidup dan hibah hanya dikira sah apabila telah diterima/dipegang oleh penerima hibah (yakni telah bertukar nama/milik kepadanya). Oleh kerana harta/wang yang ditinggalkan itu masih atas nama si mati, maka harta itu dianggap harta peninggalan si mati dan mesti diagihkan kepada waris-warisnya setelah ditolak hutang-hutang dan wasiatnya (jika ada).

2. Mengambil insuran (yang islamic; takaful atau sebagainya) untuk menampung hutang apabila mati kelak suatu yang baik untuk mengelak kita dari masih menanggung hutang apabila mati kelak. Mati dengan menanggung hutang dan tidak ada orang/pihak yang sanggup mengambil alih hutang tetsebut, menyebabkan berlaku apa yang disebut oleh Nabi SAW dalam hadisnya;

 نفس المؤمن معلقة بدينه حتى يقضى عنه

Maksudnya : "Roh orang beriman tergantung dengan hutangnya hinggalah dilunaskan bagi pihaknya" (Hadis Riwayat Imam at-Tirmizi. hadis hasan). 

Maksud "tergantung dengan hutangnya' ialah; darjat kemuliaan yang hendak diberikan kepadanya tertahan dengan sebab hutangnya di dunia yang belum dilunaskan hinggalah apabila hutang itu dilunaskan barulah darjah kemuliaan itu diberikan kepadanya" (Faidhul-Qadier, no. 9281).

Wallahu a'lam.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML