Soal Jawab Agama Siri 42 (Masuk Syurga Tanpa Hisab, Ketenangan Hati, Menutup Aib, Putus Tunang Dan Doa)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 42 adalah menjawab persoalan masuk syurga tanpa hisab, amalan-amalan yang boleh mendatangkan ketenagan hati, menutup aib saudaranya, putus tunang dan kedudukan doa.
496. Soalan : Sesiapa yang dapat masuk syurga tanpa hisab adalah golongan yang sangat beruntung. Minta ustaz jelaskan hadis Nabi SAW yang menjelaskan golongan yang akan masuk syurga tanpa hisab?
Dari Abu Bakar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda ” Aku dianugerahi Allah 70,000 orang dari umatku masuk syurga tanpa hisab. Wajah mereka seperti bulan purnama di waktu malam, Hati mereka semuanya sama. Lalu aku memohon tambahan kepada Allah dan Allah menambahkan untukku setiap seorang menjadi 70,000 orang (Hadis Riwayat Ahmad)
Daripada Muhammad Bin Sirin r.a ( Imam Ibn Sirin ) dia berkata : Saidina ‘Imran r.a pernah menceritakan kepadaku dengan katanya : “ Rasulullah SAW pernah bersabd maksudnya : " 70 Ribu dari kalangan umatku akan masuk ke dalam syurga tanpa hisab tanpa dihitung amalan-amalan mereka . Mereka ( para sahabat r.a ) bertanya : Siapakah mereka itu wahai Rasulullah ? . Jawab Baginda SAW . Mereka ialah orang-orang yang tidak menggunakan besi panas di dalam rawatan , orang-orang yang tidak minta dijampi dan mereka juga adalah orang-orang yang bertawakal kepada Tuhan mereka..." (Hadis Sahih Riwayat Muslim di dalam sahihnya ( Kitab al-Iman , Bab ke-94 : Dukhul Towaif minal muslimin al-Jannah bi ghair hisab wa la ‘azab . Nombot hadist : 218 ) .
497. Soalan : Apakah amalan-amalan yang boleh mendatangkan ketenangan pada hati dan jiwa?
Terdapat lima perkara yang boleh mendatangkan ketenangan pada hati dan jiwa iaitu :
1. Tafakur dan muhasabah .
Kita hendaklah sentiasa merenung kehidupan kita, bermuhasabah tentang hubungan hati kita dengan Allah SWT Fikirkan betapa banyaknya dosa-dosa yang telah kita lakukan, tugas dan amanah yang telah kita tinggalkan dan betapa kurangnya amal soleh kita dan rasa tidak mampu nak berhadapan dengan Allah SWT. di hari akhirat nanti. Sayyidina Umar setiap malam bertafakur dan bermuhasabah dan mengenangkan akan dosa-dosanya.
2.Beristighfar .
Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Dan mohonlah keampunan kepada Tuhan kamu dan kembalilah kepada-Nya nescaya Dia akan mengurniakan pemberian yang baik kepada kamu hingga ke waktu yang ditentukan." (Surah Hud ayat 3)
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa memperbanyakkan istighfar, Allah melepaskan segala kesulitannya, menjadikan jalan keluar bagi kesempitannya dan mengurniakannya rezeki dari sumber yang tidak diketahui.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
3.Berselawat kepada Nabi SAW.
Nabi SAW bersabda amksudnya, "Barang siapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangakt sepuluh darjatnya" (Hadis Riwayat Ahmad, Nasa'i dan al- Hakim)
4.Mengingati mati .
"Perbanyakkan mengingati mati, kerana yang demikian itu akan mengurangkan seseorang itu melakukan dosa dan zuhud pada dunia."
Imam al-Ghazali mengatakan, "Dengan meningati mati, hati kamu menjadi lembut."
5.Berzikir dalam hati .
Allah SWT berfirman maksudnya :"Berzikirlah (ingatlah) kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan rendah hati dan perasaan takut." (Surah Al-A'raf ayat 205)
498. Soalan : Apakah balasan di akhirat sesiapa yang menutup aib saudaranya di dunia?
Sesiapa yang menutup aib saudaranya di dunia, walaupun perbuatan tersebut memang dilakukannya maka Allah SWT akan menutup aibnya di hari akhirat.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa menolong saudaranya untuk memenuhi hajatnya, maka Allah bersamanya dalam memenuhi hajatnya, dan barangsiapa melapangkan suatu kesusahan dari seorang muslim, maka Allah akan melapangkan baginya suatu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat, dan barangsiapa menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat." (Hadis Riwayat Muslim).
Dari Ibnu Umar radhiyallahu 'anhu ia berkata : Rasulullah SAW naik ke atas mimbar, lalu memanggil dengan suara yang tinggi : "Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya dan iman itu belum sampai ke hati mereka, janganlah menyakiti orang-orang yang beriman, janganlah mencela mereka, dan janganlah mencari-cari aurat ( aib ) mereka, kerana barangsiapa mencari-cari aib saudaranya yang muslim, maka Allah membuka aibnya dan memalukannya walaupun dia berada di dalam rumahnya". (Hadis Riwayat Tirmidzi).
499. Soalan :Kawan saya merasa kecewa apabila tunangnya memutuskan ikatan pertunangan di antara mereka kerana telah jatuh hati dengan seorang lelaki yang lebih kaya dan tampan. Bagaimanakah caranya saya dapat menasihatinya supaya bersabar dengan ketentuan qadak dan qadar daripada Allah SWT?
Saudara perlulah mengingatkannya bahawa semua peristiwa yang berlaku adalah dengan kehendak Allah SWT dan mungkin terdapat hikmah yang besar di atas terputusnya ikatan pertunangan tersebut. Berkemungkinan wanita tersebut bukan wanita yang baik kerana lebih mementingkan harta dan rupa yang tampan.
Firman Allah SWT maksudnya : ".dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir".
(Surah Yusuf ayat 12)
Orang mukmin tidak akan putus asa daripada rahmat Allah dan sentiasa bersabar dengan ujian yang melanda dirinya kerana sifat orang yang putus asa adalah sifat orang-orang kafir.
Firman Allah SWT maksudnya : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu , padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui". (Surah al-Baqarah ayat 216)
Sesungguhnya sesuatu perkara itu hakikat sebenarnya Allah Maha Mengetahui. Baik atau buruk sesuatu perkara itu ianya adalah di dalam ilmu Allah. Yakinlah berlakunya sesuatu peristiwa itu mengandungi hikmah dan kebaikan yang banyak. Yakinlah akan ada penggantinya yang lebih solehah daripada tunangnya yang lama.
500. Soalan : Saya telah banyak berdoa kepada Allah SWT untuk sesuatu hajat tetapi sehingga kini doa saya masih belum dimakbulkan oleh Allah SWT. Bolehkah ustaz terangkan kenapa doa-doa saya masih belum dimakbulkan?
Terdapat tiga perkara kedudukan doa kita kepada Allah SWT :
Pertama : Apabila Allah cepat makbulkan doamu, maka Dia menyayangimu.
Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu mereka) : Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul." (Surah al-Baqarah ayat 186)
Kedua : Apabila Dia lambat makbulkan doamu, Dia ingin mengujimu.
Menurut al-Khatabi : "Jika Allah tidak menjawab doa seseorang, Dia akan memberikan kepadanya ketenangan dan kelapangan dalam hatinya atau mengelakkan dirinya daripada kecelakaan, atau menggantinya dengan pahala."
Menurut hukama : "Manusia menyangka doa mereka tidak dimakbulkan, sedangkan sebenarnya ia dimakbulkan melebihi daripada apa yang dipohon atau ia menolak dengan musibah atau penyakit lebih banyak daripada apa yang dipinta, atau diberikan ganjaran pada hari kiamat.”
Ketiga : Apabila Dia tidak makbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.
Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha Mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah ayat 216).
Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah SWT. Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Aku bersama sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, maka bersangka tentang-Ku apa sahaja yang kamu ingini." (Hadis Qudsi)
Allah SWT telah memerintahkan hamba-Nya untuk berdoa, sebagaimana Firman-Nya dalam surah al-Mukmin yang bermaksud : “Dan Tuhanmu berfirman, ‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina’”. (Surah Al-Mukmin (40) ayat 60)
No comments:
Post a Comment