Soal Jawab Agama Siri 45 (Wanita Haid dan Nifas, Waktu Solat Isyak, Aurat Wanita dan Talak Melalui SMS.)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 45 adalah menjawab persoalan wanita haid dan nifas, waktu solat Isyak, aurat wanita dan talak melalui sms.
511. Soalan : Wanita haid dan wanita nifas, apakah keduanya boleh makan dan minum pada siang hari bulan Ramadan?
Mereka yang sedang menghadapi haid dan nifas diharamkan berpuasa dan mereka boleh makan dan minum pada siang hari bulan Ramadan. Namun, lebih baik hal itu dilakukan dengan sembunyi-sembunyi jika ada anak-anak dirumah, kerana perkara tersebut boleh menimbulkan tanda tanya dan salah faham di kalangan anak-anak .
512. Soalan : Saya ada sedikit kemusykilan tentang tamatnya waktu sembahyang Isyak. ada seorang ustaz di kampung saya mengatakan bahawa solat Isyak tamat pada pukul 12 malam, kerana solat Isyak tersebut adalah solat malam dan selepas pukul 12 tiada malam lagi. Ia jadi waktu pagi. lantas timbul kekeliruan dengan apa yg saya pelajari iaitu waktu Isyak adalah panjang sehingga terbitnya fajar sidik. Mohon diberi pencerahan tentang hal ini. wassalam.
Para ulama membahagikan waktu solat kepada waktu ikhtiariy (الإختياري) dan waktu al-Idhtiroriy (الإضطراري). Waktu al-Ikhtiyari bagi solat Isya ialah sehingga sebahagian malam. Manakala waktu al-Idhtiroriy pula berlanjutan sehingga terbitnya fajar sidik.
Maksud waktu al-Ikhtiariy: ialah waktu yang dibenarkan solat di dalamnya tanpa makruh, samaada di awal waktu ikhtiyari ini atau di akhirnya.
Manakala maksud waktu al-Idhtiroriy: ialah waktu yang tidak boleh dilewatkan solat sehingga masuk waktunya melainkan bagi orang-orang yang berada dalam keuzuran seperti orang gila yang normal setelah berlalunya waktu al-Ikhtiyariy, wanita haid, orang yang tertidur, terlupa, orang kafir yang baru memeluk islam atau budak yang baru baligh.
Ini menunjukkan tidak boleh melewatkan solat Isya sehingga habisnya waktu al-Ikhtiyari melainkan bagi orang-orang yang memiliki keuzuran seperti yang disebut di atas.
Perkara ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W.
وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الْأَوْسَطِ
Maksudnya: “Dan waktu solat Isya ialah sehingga sebahagian malam yang pertengahan.”
Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim menyebut, maksudnya hadis ini ialah: “waktu menunaikannya dlm waktu al-Ikhtiyariy.” (5/111) :
Badan Fatwa Arab Saudi di dalam fatwa mereka menyebut:
ووقت العشاء من غيبوبة الشفق الأحمر إلى نصف الليل ، وهذا وقت الاختيار لها ، ووقت الاضطرار من نصف الليل إلى طلوع الفجر
Maksudnya: “Waktu Isya itu bermula dari luputnya awan merah (habis waktu Maghrib) sehingga pertengahan malam, ini adalah waktu al-Ikhtiyar, manakala waktu al-Idhthiror bermula dari sebahagian malam sehingga terbitnya fajar.” (6/113)
Al-Syeikh Abdul Aziz Abdillah bin Baz menyebut:
“Apabila telah hilangnya awan merah – iaitu awan merah sebelah barat – tamatlah waktu Maghrib dan masuknya waktu Isya sehingga pertengahan malam. Dan apa yang selepas pertengahan malam adalah waktu dhorurah (al-Idhthirar) bagi solat Isya, tidak boleh melewatkan solat Isya sehingga selepas pertengahan malam, antara hilangnya awan merah sehingga pertengahan malam itu adalah waktu al-Ikhtiyariy bagi solat Isya, jika seseorang menunaikan solat Isya selepas pertengahan malam (selepas tamatnya waktu al-Ikhtiyariy) dia telah menunaikan solat itu di dalam waktunya, akan tetapi dia dikira berdosa, kerana melewatkan solat Isya sehingga masuk waktu dharurah.” (Fatwa Bin Baz 10/384).
Wallahu a'lam
513. Soalan : Saya ada sedikit masalah. Saya akan berkahwin. Bakal suami saya adalah anak bongsu kepada 4 beradik lelaki. Saya faham aurat saya dengan bakal abang ipar nanti. Saya harus memakai tudung di dalam rumah dan tidak boleh bersalam dengan mereka. Saya ada berbincang isu ini dengan tunang saya,dalam keluarganya kedua-dua kakak iparnya tidak memakai tudung dan dia juga bersalam dengan mereka sebagai tanda hormat. Dia bimbang sekiranya saya memakai tudung di dalam rumah dan tidak bersalam dengan abangnya, abangnya akan menganggap saya sebagai orang luar dan tidak hormat pada mereka. Apa yang saya harus lakukan? Adakah saya boleh membuka aurat saya dengan menganggap mereka sebagai adik beradik.?
Dalam perkara hukum Allah SWT kita wajib mematuhinya sebaliknya hukum adat yang bertentangan dengan syariat Islam perlu ditinggalkan. Jawapan soalan saudari adalah seperti berikut :
1. Hubungan antara seorang wanita dan abang/adik iparnya hanyalah mahram muaqqat (mahram sementara), bukan mahram muabbad (mahram selamanya), di mana dia dibolehkan berkahwin dengan abang/adik iparnya itu jika ditakdirkan berlaku penceraian dengan suaminya atau suaminya meninggal. Oleh itu, tidak harus ia membuka aurat di hadapan abang/adik iparnya, bersalaman dengannya dan berduaan termasuk keluar bermusafir tanpa orang lain.
2. Pandangan Allah SWT terhadap kita perlu kita utamakan dari pandangan manusia. Sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam-; “Sesiapa berusaha mencapai keredhaan manusia dengan menjadikan Allah murka kepadanya, Allah akan menyerahkannya kepada manusia. Sesiapa menjadikan manusia marah kepadanya dengan kerana ia mencari redha Allah, Allah akan mencukupkannya dari pergantungan kepada manusia” (Hadis Riwayat Imam at-Tirmizi dari ‘Aisyah r.a.. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 8394)
3. Kuatkan diri, berpegang teguh dengan Syariat dan mohon kekuatan dari Allah SWT, insya Allah mereka yang akan ikut saudari nantinya, bukan saudari yang ikut mereka. Banyak cara lain yang diharuskan Syariat untuk saudari mengeratkan hubungan kekeluargaan (dengan keluarga sebelah suami), antaranya sering menziarahi mereka (bersama suami), peramah, suka membantu, tidak lokek wang ringgit dan sebagainya (semua itu akan memadamkan segala kesangsian orang lain terhadap saudari di samping mereka akan menghormati saudari, malah sampai masanya mereka akan mengikuti cara saudari).
Berbincanglah dengan bakal suami tentang hal tersebut dan capai kata sepakat sebelum berkahwin agar tidak ada perbalahan dengan suami apabila telah berkahwin nanti. Bagi seorang isteri, memadai dengan suami memahami pendiriannya pada peringkat awal sebelum orang lain turut memahaminya.
Wallahu a'lam.
514. Soalan : Adakah pengecualian aurat kepada wanita yang sakit dan tua (terlantar atas katil), kawan2 yang bukan mahram selalu ziarah beliau. Atau sama sahaja seperti wanita yang sihat?
Walau pun sakit bahagian badan yang wajib ditutup (yakni aurat), tidak harus didedahkan kepada orang lain yang haram melihatnya melainkan ketika darurat, antaranya ketika rawatan yang tidak dapat dielakkan dari membuka bahagian yang sakit untuk dirawat oleh doktor. Hukum ini tidak ada beza antara wanita yang telah tua atau masih muda, yang sihat atau yang sakit. Yang harus melihatnya hanyalah doktor atau jururawat yang menjalankan rawatan sahaja.
Adapun pelawat, tidaklah harus melihatnya. Oleh kerana si pesakit mungkin tidak berdaya melaksanakan kewajipan menutup aurat tersebut atau ia tidak sedarkan diri, orang yang menjaganya (sama ada anak-anak atau orang lain) yang wajib memastikan ditutup auratnya. Jika tidak boleh ditutup auratnya atas nasihat doktor, hendaklah dibuka kepada kaum wanita dan lelaki-lelaki mahramnya sahaja untuk menziarahinya. Adapun lelaki yang bukan mahram hendaklah dihalang menziarahinya kerana menjaga hukum tadi.
515. Soalan : Saya ada satu pertanyaan. Kalau seorang suami telah menulis mesej di telefon bimbit untuk menjatuhkan talak kepada isterinya tetapi belum dihantar kepada isterinya, adakah talak itu sudah jatuh atau belum?. Sekian.
Menurut jumhur Fuqhak (antaranya Imam Abu Hanifah, Malik dan Syafiie); menulis ucapan talak tidak dikira jatuh talak melainkan dengan niat, yakni ada niat mentalak isteri ketika menulis ucapan talak tersebut. Ini kerana orang yang menulis boleh jadi ia menulis kerana ingin merekodkan atau bertujuan penceritaan atau ingin mencuba pen/pensil, ingin melihat tulisannya atau seumpamanya, maka kerana itu dalam kes talak ia memerlukan niat talak supaya tulisan talak itu tidak bertujuan lain.
Talak dengan SMS termasuk dalam kategori talak dengan tulisan di atas. Jika SMS yang mengandungi ucapan talak itu ditulis oleh suami berserta dengan niat untuk menujukan ucapan talak itu kepada isterinya, jatuhlah talak.
Ucapan talak tidak disyaratkan dilafazkan di hadapan isteri. Sekalipun isteri tidak mengetahui suaminya ada melafazkan talak ke atasnya, talak akan tetap berlaku dengan semata-mata keluar ucapan tersebut dari suami (sama ada dengan lafaz mulut atau dengan tulisan berserta niat tadi).
Oleh demikian, merujuk kepada soalan di atas, jika ketika menulis ucapan talak dengan SMS itu ada niat untuk menceraikan isteri, jatuhlah talak walaupun SMS itu belum dihantar. Dikecualikan jika dalam tulisan itu ada dikaitkan dengan syarat sampai seperti dituliskan “Jika SMS ini sampai kepada kamu (yakni isterinya), maka kamu aku ceraikan”, maka tidak jatuh talak melainkan setelah SMS itu sampai kepada isteri.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment