Saturday, January 3, 2015

KEUTAMAAN MENYEBARLUASKAN UCAPAN SALAM



Wahai saudaraku, sebarluaskanlah salam.

Sunnah menyebarluaskan salam sangat kurang diamalkan oleh muslim pada zaman muta’akhir ini.  Sedangkan banyak saranan dari agama melalui kalam Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam tentang keutamaan menyebarluaskan salam.  Rugi yang besar bagi kita sekiranya tidak mengamalkan sunnah yang besar ini.

Berikut saya senaraikan beberapa keutamaan menyebarluaskan salam dengan menyatakan beberapa hadith yang saya petik dari kitab Riyadhussolihin, susunan Imam An-Nawawi:

1.  Memberi salam samada kenal atau belum kenal adalah tanda Islam seseorang itu baik.

Dari `Abdullah bin `Amr bin Al-`Ash radhiAllahu `anhuma, bahawasanya ada seseorang bertanya kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam:  “Bagaimanakah ISLAM yang baik itu?”  

Baginda menjawab:  “Iaitu kamu memberi makanan dan mengucapkan salam baik kepada orang yang telah kamu kenal mahupun orang yang belum kamu kenal.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

2.  Menyebarkan salam adalah suruhan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

Dari Al-Barra’ bin `Azib radhiAllahu `anhuma berkata:

“Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam menyuruh kami untuk melaksanakan tujuh macam perbuatan, iaitu:  menjenguk orang sakit, mengiringkan jenazah, mendo`akan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, menyebarkan salam dan menepati sumpah.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Yusuf `Abdullah bin Salam radhiAllahu berkata:  “Saya mendengar Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Wahai sekalian manusia, sebarluaskanlah salam, berikanlah makanan, hubungkanlah tali persahabatan dan solatlah sewaktu orang sedang tidur, nescaya kamu sekalian akan masuk syurga dengan selamat.”

(HR At-Turmudzi, katanya sahih)

3.  Menyebarluaskan salam akan mewujudkan kasih-sayang.  Natijahnya Iman dan Syurga.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Kamu sekalian tidak akan masuk Syurga sebelum beriman, dan kamu sekalian tidaklah beriman sebelum saling sayang menyayangi.  Mahukah aku tunjukkan sesuatu yang apabila kamu kerjakan nescaya kamu sekalian akan saling sayang-menyayangi?  Iaitu sebarluaskanlah salam di antara kamu sekalian.”

(HR Muslim)

4.  Para salafussoleh sentiasa mencari peluang dan ruang untuk sebarluaskan salam.

Dari At-Tufail bin Ubay bin Ka`ab, bahawasanya ia datang ke tempat `Abdullah bin `Umar, kemudian mereka pergi bersama-sama ke pasar.  Tufail berkata:

“Apabila kami berada di pasar maka setiap kali kami melewati tukang jual baju, orang yang akan menjual barang dagangannya, orang miskin dan bahkan melewati siapa pun juga `Abdullah pasti mengucapkan salam kepadanya.”  At-Tufail berkata:  “Suatu hari saya datang ke tempat `Abdullah bin `Umar kemudian dia mengajak saya ke pasar.  Maka saya berkata kepadanya:  “Apa yang akan kamu perbuat di pasar nanti, kerana kamu tidak membeli sesuatu pun, tidak juga mencari sesuatu, tidak akan menawar sesuatu, dan tidak juga akan duduk-duduk di pasar?  Lebih baik kita berbincang-bincang di sini sahaja.”  `Abdullah menjawab:  “Wahai Abu Bathn (kerana At-Tufail mempunyai perut yang besar), kita akan ke pasar untuk menyebarluaskan salam kepada sesiapa yang bertemu dengan kita.”

(Riwayat Imam Malik di dalam kitabnya al-Muwatta’ dengan sanad yang sahih)

5.  Orang yang paling dahulu memberi salam adalah orang yang paling utama di sisi ALLAH.

Dari Abu Umamah Shuday bin `Ijlan Al-Bahily radhiAllahu `anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Seutama-utama manusia menurut ALLAH adalah orang yang paling dahulu mengucapkan salam.”

(HR Abu Daud dengan sanad yang baik)

Dari Abu Umamah radhiAllahu `anhu, beliau berkata:

“Ada seseorang bertanya kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam:  “Wahai Rasulullah, kalau ada dua orang yang bertemu serentak, maka siapa yang harus mengucapkan salam terlebih dahulu?”  Baginda menjawab:  “Orang yang lebih utama menurut ALLAH Ta`ala.”

(HR At-Turmudzi, hadithnya hasan)

Mudah-mudahan dengan mengetahui nas-nas di atas menjadikan kita bermotivasi untuk melaksanakan sunnah menyebarluaskan salam ini.  Jangan lemah semangat atau berasa malu jika orang lain tidak buat.  Untuk kehidupan yang baik di akhirat dan di dunia, sebarluaskanlah salam.

Sebarkan mesej ini.  Semoga catitan ini bermanfaat buat diri saya dan tuan/puan sekalian.

WAllahu Ta`ala A`lam.
Read More

3 JENIS CINTA MANUSIA (KITA) KEPADA NABI MUHAMMAD S.A.W



3 jenis manusia cinta kepada Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam:

1)  Cinta Abu Lahab kepada Nabi

-  Abu Lahab cintakan insan yang bernama Muhammad sejak bayi.  Malah dialah antara orang yang bergembira dengan kelahiran Nabi.  Sejurus kelahiran bayi mulia itu, Abu Lahab lah yang menaja ibu susu bernama Thuwaibah yang merupakan hambanya kepada bayi tersebut.  Sejak kecil hingga Baginda Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam dewasa, Abu Lahab tiada masalah dengan Baginda.  Tetapi apabila Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam mengumpulkan ahli keluarga untuk mengajak kepada mentauhidkan ALLAH dan berserah diri kepadaNYA, Abu Lahablah dengan kelancangan mulutnya telah mencelaka Baginda dan pelbagai usaha dilakukan bagi mengagalkan dakwah Nabi (baca sini).  ALLAH tidak redha dia.  Ke neraka dia akhirnya!

-  Cinta jenis begini ada sejak dahulu sampai sekarang.  Manusia-manusia jenis ini mengaku cintakan Nabi, tetapi dalam masa yang sama, merekalah juga yang membangkang dan menentang usaha-usaha untuk membawa ajaran Islam ke dalam masyarakat.  Mereka persis Abu Lahab.

2)  Cinta Abu Talib kepada Nabi

-  Abu Talib cintakan kepada Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  Malah dia telah bela dan lindungi Nabi sejak kecil sampailah Abu Talib sendiri meninggal dunia pada usia sekitar 80 tahun (kurang-lebih).  Tetapi apabila Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam mengajak Abu Talib agar mentauhidkan ALLAH dan berserah diri kepadaNYA, Abu Talib memberikan banyak alasan.  Abu Talib tidak terima dakwah Nabi, tidak ikut ajaran Nabi dan dalam masa yang sama tidak pula dia menentang dan membangkang.  ALLAH tak redha dia.  Ke neraka dia akhirnya!

-  Cinta jenis begini juga ada sejak dahulu lagi.  Mereka mengaku mencintai Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam, bahkan jika nama Nabi dihina dan imej Nabi diperlekeh, mereka akan bangkit membela dan menyatakan ketidakpuashatian.  Tetapi malangnya, ajaran-ajaran Nabi tidak pula dihayati dan diambil sepenuhnya.  Mereka tidak kisah akan ajaran Nabi.  Mereka sekadar cinta sahaja.  Mereka persis Abu Talib.

3)  Cinta Abu Bakr radhiAllahu `anhu kepada Nabi

-  Abu Bakr radhiAllahu `anhu cintakan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  Beliau bukan setakat cinta, bahkan bela, lindung dan berkorban untuk Nabi.  Dan yang lebih istimewa dan bermakna ialah beliau ikut seruan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam 100%.  Bahkan setelah Baginda Nabi wafat, beliau terus sambung perjuangan dakwah Nabi untuk mentauhidkan ALLAH dan berserah diri kepadaNYA.  Sejak hidup lagi beliau sudah dijamin masuk ke Syurga.  ALLAH redha beliau.  Dan ke Syurgalah tempat akhir beliau radhiAllahu `anhu.

-  Cinta jenis ini juga telah ada sejak dahulu sampai sekarang.  Mereka ini mencintai Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam sepenuh hati dan sentiasa berusaha untuk menghayati semua ajaran-ajaran Nabi.  Para sahabat Nabi, tabi`in, tabi`ut tabi`in, orang-orang soleh selepas zaman mereka sampailah hari ini sentiasa menjadi penerus kepada dakwah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  Bukan sahaja dipraktikkan kepada diri sendiri dan keluarga, bahkan mereka menyebar-nyebarkan ajaran Nabi yang mulia.  Mereka tetap di atas jalan Nabi walaupun persekitaran mereka memilih sebaliknya.  Cinta mereka kepada Nabi persis seperti Abu Bakr radhiAllahu `anhu, iaitu cinta Nabi dan ikut serta taat kepada ajaran Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.

Cinta kita kepada Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam cinta yang macam mana?

Ayuh kita sama-sama muhasabah supaya akhir tempat kita ialah ke Syurga dan ALLAH redha kita, amin…
Read More

KEUTAMAAN SELAWAT KE ATAS NABI MUHAMMAD S.A.W



ALLAH Ta`ala menyuruh sekalian mukminin agar bersolawat ke atas Nabi sallAllahu `alaihi wasallam melalui firmanNYA:



Maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-malaikatNYA bersolawat ke atas Nabi.  Wahai orang-orang yang beriman, bersolawatlah kamu sekalian ke atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”
(Surah al-Ahzab, 33 : 56)

ALLAH iaitu Tuhan Yang Maha Mulia, Maha Berkuasa, Maha Agung, Raja Segala Raja dan tidak berhajatkan sesuatu apa pun dari sesiapa, bersolawat ke atas Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.  Seluruh para malaikat yang mulia juga bersolawat ke atas Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

Inikan pula kita yang lemah, dhaif dan hina.  Inikan pula kita yang tidak berkepastian samada selamat atau tidak dari api neraka.  Inikan pula kita yang saban waktu sentiasa pula berhajatkan kesejahteraan dan perlindungan.  Tentulah terlebih-lebih patut kita bersolawat ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.

Ia merupakan suruhan daripada ALLAH Ta`ala kepada orang-orang yang mengaku beriman.  Sudah tentulah suruhan agar bersolawat ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam mesti diambil berat dan diberi keutamaan untuk kita semua laksanakan.  Tambahan pula kita ini adalah ummat Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam yang telah banyak terhutang budi dan menumpang kebaikan Baginda.

Imam Ibnu Kathir rahimahullah apabila menerangkan maksud ALLAH bersolawat ke atas Nabi daripada ayat di atas ialah pujianNYA di sisi para malaikat ke atas Nabi.  Manakala malaikat bersolawat pula maksudnya ialah doa.  Dan mukmin bersolawat bermaksud memohon rahmat ALLAH ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  (Rujuk)

Apakah Kelebihan Berselawat?
Bersolawat kepada Nabi sallAllahu `alaihi wasallam adalah suruhan ALLAH dan tentunya apabila kita menurut perintah ALLAH, padanya ada ganjaran yang hebat dari sisiNYA.  Tambahan kepada itu, terdapat beberapa hadith dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang menceritakan tentang kebaikan-kebaikan bersolawat.  Antaranya ialah:

1)  ALLAH membalas dengan 10 solawat apabila kita bersolawat sekali ke atas Nabi.

Dari `Abdullah bin `Amr bin Al-`As (عبدالله بن عمرو بن العاص) radhiAllahu `anhu bahawa dia mendengar Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Barangsiapa yang bersolawat ke atasku satu solawat, maka ALLAH akan bersolawat ke atasnya sepuluh kali.”

(HR Muslim)

2)  Berpeluang untuk dekat dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pada Hari Akhirat.

Dari Ibnu Mas`ud radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Manusia yang paling dekat dengan aku nanti pada Hari Kiamat ialah mereka yang paling banyak bersolawat ke atasku.”

(HR at-turmudzi, katanya hadith ini hasan)

Bilakah Sepatutnya Bersolawat?
Sebagai mukmin yang sentiasa mengharapkan balasan baik dari sisi ALLAH Ta`ala, tentunya perbuatan bersolawat ke atas Nabi sallAllahu `alaihi wasallam mesti selalu diperbanyakkan.  Setiap mukmin wajar menjadikan bersolawat sebagai amalan seharian atau sepanjang masa.  Mudah-mudahan ia menjadi sebab rahmat ALLAH `Azza wa Jalla kepada kita pada Hari Akhirat kelak.

Walaupun begitu, terdapat beberapa situasi yang mana Nabi sallAllahu `alaihi wasallam amat menggalakkan atau  memperbanyakkannya pada saat-saat tertentu.  Malah ada juga celaan jika tidak bersolawat pada ketika-ketika yang tertentu.  Berikut adalah beberapa hadith yang menerangkannya:

1)  Perbanyakkan dan gandakan bersolawat pada hari Juma`at.

Dari Aus bin Aus (اوس بن اوس) radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya hari yang paling utama bagi kamu sekalian adalah hari Juma`at.  Oleh kerana itu, perbanyakkanlah solawat untukku pada hari itu, kerana sesungguhnya solawatmu itu diperlihatkan kepadaku.”

(HR Abu Daud dengan sanad yang sahih)

2)  Bersolawat apabila mendengar nama Nabi disebut.  Nabi mencela orang yang tidak bersolawat apabila mendengar namanya disebut.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Sungguh hina seseorang yang mendengar namaku disebut kemudian dia tidak bersolawat kepadaku.”

(HR at-Turmudzi, katanya hadith ini hasan)

Dari `Ali radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Orang yang bakhil ialah orang yang apabila mendengar namaku disebut, dia tidak bersolawat ke atasku.”

(HR at-Turmudzi, katanya hadith ini hasan sahih)

3)  Tidak semestinya perlu ke kubur Nabi untuk bersolawat.  Boleh bersolawat di mana-mana sahaja.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Janganlah kamu sekalian menjadikan kuburku sebagai tempat perayaan.  Dan bersolawatlah ke atasku  kerana sesungguhnya solawatmu itu akan sampai kepadaku di mana pun kamu berada.”

(HR Abu Daud dengan sanad yang sahih)

4)  Bersolawat dahulu sebelum berdo`a.

Dari Fadhalah bin `Ubaid (فضالة بن عبيد) radhiAllahu `anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam mendengar seseorang berdo`a sewaktu solatnya yang mana dia tidak mengagungkan nama ALLAH Ta`ala dan tidak bersolawat untuk Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.  Kemudian Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Orang ini sangat tergesa-gesa”

Baginda lantas memanggilnya dan bersabda kepadanya atau juga kepada yang lain yang maksudnya:

“Apabila salah seorang di antara kamu sekalian solat maka hendaknya ia memulainya dengan memuji dan menyanjung TUHANnya Yang Maha Suci kemudian bersolawat untuk Nabi sallAllahu `alaihi wasallam, baru setelah itu berdo`alah sekehendaknya.”

(HR Abu Daud dan at-Turmudzi, katanya hadith ini sahih)

Adakah Solawat Kita Sampai Kepada Nabi?
Solawat yang kita ucapkan hari ini sentiasa sampai kepada Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang kita cintai.  Bahkan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam menjawabnya.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Tiada seorang pun yang mengucapkan salam kepadaku melainkan ALLAH mengembalikan nyawaku sehingga aku dapat menjawab salam kepadanya.”

(HR Abu Daud dengan sanad yang sahih)

Bagaimanakah Cara Bersolawat?
Terdapat beberapa ucapan solawat yang diajar oleh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam kepada para sahabat kerana mereka bertanya kepada Baginda bagaimana caranya untuk bersolawat ke atas Baginda.  Berikut ini adalah antara contoh ucapan solawat yang wajar diberikan keutamaan untuk kita mengucapkannya:

1)  Dari Ka`b bin `Ujzah (كعب بن عجرة) radhiAllahu `anhu.

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيم وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

اَللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيم وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

(Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad.  Kama sollaita `ala Ibrahim wa `ala aali Ibrahim.  Innaka Hamiidun Majid.

Allahumma baarik `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad.  Kama baarakta `ala Ibrahim wa `ala aali Ibrahim.  Innaka Hamiidun Majid.)

Maksudnya:

“Ya ALLAH, limpahilah solawat (rahmat / kemuliaan / pujian) ke atas Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana ENGKAU telah limpahi solawat ke atas Nabi Ibrahim dan ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji, lagi Maha Agung.

Ya ALLAH, limpahilah keberkatan ke atas Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana ENGKAU telah limpahi keberkatan ke atas Nabi Ibrahim dan ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji, lagi Maha Agung.”

(HR al-Bukhari, no: 3370)

2)  Dari Ka`b bin `Ujzah (كعب بن عجرة) radhiAllahu `anhu.

 اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

اَللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

(Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad.  Kama sollaita `ala aali Ibrahim.  Innaka Hamiidun Majid.

Allahumma baarik `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad.  Kama baarakta `ala aali Ibrahim.  Innaka Hamiidun Majid.)

Maksudnya:

“Ya ALLAH, limpahilah solawat (rahmat / kemuliaan / pujian) kepada Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana ENGKAU telah limpahi solawat ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji, lagi Maha Agung.

Ya ALLAH, limpahilah keberkatan ke atas Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana ENGKAU telah limpahi keberkatan ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji, lagi Maha Agung.”

(HR al-Bukhari, no: 6357 dan Muslim, no: 406)

3)  Dari Abu Humaid as-Sa`idi (أبو حميد الساعدي) radhiAllahu `anhu.

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ. كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ. كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
(Allahumma solli `ala Muhammad wa azwajihi wa dzurriyyatihi.  Kama sollaita `ala aali Ibrahim.  Wa baarik `ala Muhammad wa azwajihi wa dzurriyyatihi.  Kama baarakta `ala aali Ibrahim.  Innaka Hamiidun Majid.)

Maksudnya:

“Ya ALLAH, limpahilah solawat (rahmat / kemuliaan / pujian) ke atas Nabi Muhammad dan isteri-isteri Baginda dan anak keturunan Baginda, sebagaimana ENGKAU telah limpahi solawat ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim.

Dan limpahilah keberkatan ke atas Nabi Muhammad dan isteri-isteri Baginda dan anak keturunan Baginda, sebagaimana ENGKAU telah limpahi keberkatan ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim.  Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji, lagi Maha Agung.”

(HR al-Bukhari, no: 6360 & Muslim, no: 407 )

Semoga dengan mengetahui hal yang penting ini menjadikan kita lebih beriltizam untuk terus memperbanyakkan solawat ke atas junjungan kita, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Mudah-mudahan ALLAH Ta`ala mengurniakan hidayah dan taufiqNYA buat kita semua, amin.

Sekadar menyampaikan,
Read More

Thursday, January 1, 2015

CINTA DAN IKUT RASULULLAH S.A.W



Alhamdulillah.  Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad.  Amma ba`d.

Apabila tiba bulan Rabi`ul-awwal, di mana-mana pun masyarakat Muslim di seluruh dunia menyambut Maulidur-Rasul.  Maulidur-Rasul disambut bagi memperingati tarikh kelahiran insan mulia, iaitu Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.

Walaupun terdapat perbezaan pendapat di kalangan para `ulama’ berkenaan tarikh sebenar kelahiran Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam, namun rata-rata masyarakat kita telah menerima bahawa 12 Rabi`ul-Awwal merupakan tarikh lahirnya Baginda ke dunia ini.  Kelahiran Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam membawa bersamanya rahmat ke seluruh alam.  Alhamdulillah.

Di dalam kitab ar-Rahiq al-Makhtum karangan Sheikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa tarikh kelahiran Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam adalah pada hari Isnin, 9 Rabi`ul Awwal tahun pertama peristiwa gajah.  Ia juga bersamaan 20 atau 22 April 571 (M).  Manakala tarikh kewafatan Baginda ialah pada tanggal 12 Rabi`ul Awwal, hari Isnin, tahun ke 11 Hijrah.

Sambutan Maulidur Rasul?
Sebahagian `ulama’ ada yang mengatakan bahawa menyambut ulangtahun maulidur-Rasul hukumnya sebagai harus.  Ada yang kata sunat.  Dan malah ada juga yang mengatakan ia sebagai bid`ah.

Saya secara peribadi lebih cenderung untuk tidak meraikannya kerana Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam tidak pernah menyuruh kita menyambutnya.  Malah para Sahabat Baginda radhiAllahu `anhum ajma`in juga tidak meraikan sambutan tersebut, sedangkan merekalah insan-insan yang tersangat cinta dan malah sanggup berkorban nyawa dan harta untuk perjuangan Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.

Apatah lagi dengan mengadakan perarakan dan majlis besar-besaran yang diisi dengan nyanyian ala-konsert dengan tujuan untuk meraikan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.  Tentu sahaja ia amat jauh dari cara dan kehendak Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam serta sahabat-sahabatnya radhiAllahu `anhum ajma`in.  Sewajarnya perbuatan ini tidak diteruskan.

Namun, jika masyarakat sekitar meraikannya dengan mengadakan ceramah, kuliah atau majlis ilmu, maka saya juga akan turut hadir untuk mendapat peluang mengingatkan kembali sejarah kehidupan Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.  Memang pada waktu inilah, kebanyakan masjid dan surau akan mengadakan kuliah-kuliah dan ceramah-ceramah bagi mengajak ummat Islam mengenang kembali perjuangan dakwah Nabi dan mengambil pengajaran daripadanya.  Selagi tidak berlebih-lebihan dan membazir, in shaa’ ALLAH ia dikira program yang ma`ruf.  Mudah-mudahan ada manfaat darinya, in shaa’ ALLAH.

Yang Lebih Utama
Perkara yang lebih utama dari menyambut hari kelahiran Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam ialah menerapkan rasa cinta dan ikut sunnah Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam.  Perkara inilah yang lebih penting.  Bahkan, syara` telah menetapkan bahawa mencintai Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dan mengikutinya adalah sebahagian daripada kewajipan seorang muslim.

Anas bin Malik radhiAllahu `anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda yang maksudnya:
“Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintaiku lebih daripada ibubapa, anaknya dan seluruh ummat manusia.” 
(HR al-Bukhari dan Muslim)

Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam telah dipilih ALLAH Subhanahu wa Ta`ala sebagai Pesuruh dan KekasihNYA.  Kita sebagai muslim wajib mencintai insan yang paling dicintai dan diredhai ALLAH.  Inilah peringkat cinta yang tertinggi di kalangan makhluq.

Betapa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah banyak berkorban dan menghadapi pelbagai dugaan dalam berjuang untuk menyampaikan nikmat ISLAM dan IMAN yang kita perolehi saat ini.

Baginda pernah dipukul, disakiti, dicela, dimaki, diejek, dilukakan dan dipulaukan oleh orang yang hampir dengannya iaitu kaum sendiri.  Malah diugut bunuh dan dijalankan operasi bunuh ke atas Baginda pun ada.  Namun, Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam tetap tidak berganjak dari misi menyampaikan wahyu kepada ummatnya.  Ia amanah dari ALLAH `Azza wa Jalla.

Sanggupkah kita melalui perkara yang sama seperti Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam?

Banyak benar telah Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam lakukan untuk kita.  Oh, Rasulullah… kami cinta padamu!!!

Bagaimana cara kita meluahkan rasa cinta kita kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam?

Cukupkah hanya dengan meluahkan perkataan cinta?

Bagaimanakah cara yang tepat dan berhasil?

Pertama:  Kenali Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam
Kisah-kisah mengenai Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam yang telah kita dengar dan pelajari sejak di bangku sekolah sepatutnya telah menjadikan kita mengenali peribadi Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam.

Daripada kisah-kisah tersebut, banyak yang telah kita ketahui betapa pengorbanan dan perjuangan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam untuk menyampaikan seruan ALLAH Subhanahu wa Ta`ala sangat berat dan besar jasanya kepada kita semua.

Dengan mengenali Nabi sallAllahu `alaihi wasallam, pasti akan terbit rasa cinta.  Orang kata, “Tak kenal, maka tak cinta”.  Jadi, untuk menerbitkan rasa cinta, kita perlu menyelidiki sifat peribadi dan sejarah kehidupan Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam.  In shaa’ ALLAH, melalui buku-buku, ceramah, kuliah dan lain-lain sumber yang banyak boleh didapati akan mengenalkan kita kepada insan yang mulia ini.  Dalam ceramah-ceramah sempena Maulidur-Rasul juga dapat kita ambil manfaat untuk refresh apa yang kita lupa dan mengambil ilmu dari para penceramah yang `alim, in shaa’ ALLAH.


Buku berjudul Ar-Rahiq Al-Makhtum mengenai sirah Nabi adalah buku yang mesti dimiliki!  (KLIK GAMBAR)


Kedua:  Perbanyakkan Solawat Ke Atas Rasulullah
Ummat ISLAM disuruh untuk bersolawat ke atas Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam.

ALLAH berfirman yang maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-malaikatNYA bersolawat ke atas Nabi.  Wahai orang-orang yang beriman, bersolawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”
(Surah al-Ahzab, 33:56)

Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda yang maksudnya:
“Barangsiapa yang bersolawat ke atasku sekali, nescaya ALLAH akan bersolawat ke atasnya 10 kali solawat”
(HR Muslim)

Sentiasalah bersolawat ke atas Nabi sallAllahu ‘alaihi wa sallam.  Tatkala lapang atau sibuk, getarkanlah lidah kita dengan bersolawat ke atas Baginda.  Solawat iaitu do’a kesejahteraan kepada Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah cara yang paling sesuai untuk kita menerapkan dan menyuburkan rasa cinta kepada Nabi sallAllahu ‘alaihi wa sallam.

Lafaz solawat Ibrahimiyyah iaitu lafaz solawat yang dibaca tatkala tasyahud dalam solat sangat disarankan kita semua membacanya kerana  ia telah diajarkan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dan dikatakan ia adalah ungkapan solawat yang disukai Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.



Ketiga:  Ikut dan Hidupkan Sunnah Nabi
Ungkapan cinta tidak memadai untuk kita menunjukkan rasa cinta kepada Baginda.  Malah cinta sahaja tidak mencukupi.  Kita mesti menerapkan al-hubbu wa ittiba’ iaitu cinta dan ikut sunnah Nabi.  Sebagai seorang muslim sejati, mencintai Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam mesti disertai dengan ikut sunnah yang Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam.

Jika kita sekadar cinta tetapi tidak ikut, seakan samalah kita seperti Abu Talib yang mencintai Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.  Abu Talib adalah bapa saudara Nabi yang banyak berjasa kepada Baginda.  Tetapi sayang sekali, seruan Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam tidak mahu diterimanya.  Sikap seperti ini ramai dimiliki oleh ahli masyarakat.  Mereka mempunyai rasa cinta kepada Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.  Malah mereka akan berasa marah dan berang apabila ada pihak mengutuk, mengejek, mengkeji dan memperlekehkan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.  Itu bagus.  Tetapi yang sedihnya, dalam masa yang sama mereka tidak pula menurut perintah-perintah ALLAH melalui seruan Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam.  Cinta sebegini tidak diterima sebagai cintakan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.

Jika sekadar ikut dan tidak cinta pula, samalah kita dengan para munafiqin yang berlegar-legar di sekeliling Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.  Mereka ikut Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.  Malah melakukan beberapa sunnah.  Tetapi di dalam hati mereka tidak ada rasa cinta pun terhadap Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.  Bahkan pula mempunyai niat buruk terhadap Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam.  Perbuatan seperti ini juga tertolak.  Bahkan celaka.

Seorang muslim mesti mempunyai kedua-duanya.  Iaitu cinta dan ikut sunnah (al-hubbu wa ittiba’ as-sunnah).

Hendaklah kita cuba sedaya upaya untuk mengamalkan segala sunnah Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam samada dari segi perkataan mahupun amalan.  Apa yang disuruh Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam hendaklah kita sungguh-sungguh cuba melaksanakannya.

Pada susuk tubuh dan akhlaq Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam terdapat banyak tauladan dan kebaikan yang boleh kita ambil.  Firman ALLAH yang maksudnya:
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) ALLAH dan (kedatangan) Hari Qiamat dan dia banyak menyebut dan ingat ALLAH.”
(Surah al-Ahzab, 33:21)

Hendaklah kita pegang sungguh-sungguh akan sunnah Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam dan menjadikan ia sebagai pedoman dalam menghadapi cabaran kehidupan.  In shaa’ ALLAH, dengan mengikuti sunnah Nabi kita akan selamat.  Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya aku telah tinggalkan di antara kalian sesuatu yang jika kalian berpegang teguh dengannya, maka kalian tidak akan tersesat selamanya; iaitu kitabullah dan sunnah NabiNYA."
(Disahihkan oleh Al-Hakim)
“Barangsiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukan termasuk golonganku.”
(Muttafaqun `alaih)
“Aku berwasiat kepadamu agar bertakwa kepada ALLAH ‘Azza wa Jalla, agar mendengar, taat dan patuh meskipun pemimpinmu seorang budak.  Barangsiapa hidup panjang umur dari kamu maka dia akan melihat banyak persengketaan.  Berpeganglah kepada sunnahku dan sunnah-sunnah khulafaur rasyidin yang mendapat petunjuk dan hidayah (sesudahku). Gigitlah kuat-kuat dengan gigi gerahammu. Waspadalah terhadap ciptaan persoalan-persoalan baru. Sesungguhnya tiap bid`ah adalah kesesatan.”
(HR Tirmidzi)

Segala pesanan dan perintah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam wajib untuk kita taat dan amalkan.  Perintah, pesanan dan nasihat Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam boleh kita ikuti melalui pembacaan buku-buku hadith yang banyak di pasaran.  Cara Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam bercakap, berjalan, makan, minum, bergurau, gelak, berpakaian, berniaga, berjiran, bermasyarakat, berumahtangga, bernegara dan sebagainya wajar  diambil untuk diamalkan di dalam kehidupan kita.

Nescaya, hidup kita akan sejahtera, berkat dan lebih bermakna sekiranya sunnah-sunnah Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam diamalkan dalam kehidupan seharian.

Mudah-mudahan Maulidur-Rasul yang ramai di kalangan kita raikan ini dapat membuka minda dan mencetus keazaman untuk mencintai dan mengikuti sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.  Semoga kita semua tergolong dalam kalangan ummat Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam yang beruntung dan diberi syafaat pada Hari Akhirat kelak, amin.

ALLAHU A`LAM
Read More

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML