Soal Jawab Agama Siri 52 (Berpoligami, Minta Cerai, Penjagaan Anak, Tanggungjwaba Suami dan Isteri dan Hubungan Kelamin)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 52 adalah menjelaskan persoalan iaitu berpoligami, isteri minta cerai, penjagaan anak, tanggungjawab suami dan isteri dan kekerapan melakukan hubungan kelamin.
546. Soalan : Sekiranya seorang suami sudah mempunyai seorang isteri dan beliau berhajat untuk berkahwin seorang lagi (berpoligami). Apakah syarat-syarat yang perlu dimiliki oleh suami untuk melayakkannya berpoligami?
Jawapan :
Seorang suami yang berhajat berpoligami perlulah berlaku adil kepada isteri-isterinya :
Mampu berlaku adil di dalam memberi nafkah zahir dan batin dalam urusan makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan di dalam hal giliran tidur bersama. Dia tidak boleh berbuat sewenang-wenangnya atau berbuat zalim kerana sesungguhnya Allah SWT melarang yang demikian.
Dari Abu Hurairah r.a.. Rasulullah Sallallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : "Barangsiapa memiliki dua isteri, kemudian dia lebih condong kepada salah satu daripada keduanya, maka dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan pundaknya senget sebelah.” (Hadis Sahih Riwayat Abu Dawud (no. 2133), at-Tirmidzi (no. 1141), Ahmad (II/295, 347, 471), an-Nasa’i (VII/63), Ibnu Majah (no. 1969).
Pada dasarnya poligami (ta’addud) dibolehkan di dalam Islam apabila seseorang dapat berlaku adil.
Dalam hadis Rasulullah S.A.W. (yang shahih) menunjukkan bahawa yang dimaksud dengan adil dalam poligami adalah menyamakan semua isteri dalam keperluan mereka dengan pemberian yang layak bagi masing-masing dari mereka. Jika seorang suami telah menunaikan bagi masing-masing dari para isterinya keperluan mereka yang berupa pakaian, nafkah dan bermalam dengannya secara layak dan bergilir-gilir, maka dia tidak berdosa dengan apa yang melebihi semua itu, berupa kecenderungan dalam hati, atau memberi hadiah kepada salah satu dari mereka.
Oleh kerana itulah, Rasulullah S.A.W. berkata (dalam doa baginda), “Ya Allah, inilah pembagianku (terhadap isteri-isteriku) yang aku mampu (lakukan), maka janganlah Engkau mencelakanku dalam perkara yang Engkau miliki dan tidak aku miliki” Kemudian Allah melarang “kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai)”,
547. Soalan : Apakah hukum isteri meminta cerai kerana suaminya berhajat untuk berpoligami?
Jawapan :
Isteri dilarang untuk meminta cerai pada suaminya dengan alasan suaminya ingin berpoligami. Alasan ini tidak dibenarkan oleh agama.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Mana-mana wanita yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan yang munasabah, maka haram baginya bau syurga. (Hadis Shahih Riwayat Sunan Abu Daud, no: 2226)
Oleh kerana hukum kebenaran berpoligami terdapat di dalam al-Quran maka tidak ada sesiapa boleh mempertikaikan hukum-hukum Allah SWT.
Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Jabir r.a yang menyebutkan bahawa Rasulullah Salallahu Alaihi Wasalam pernah bersabda, “Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas lautan. Kemudian dia mengirimkan bala tenteranya. Orang bawahan yang paling hampir kedudukannya dengan iblis adalah yang menimbulkan fitnah paling besar kepada manusia. Seorang daripada mereka datang dan berkata, ‘Aku telah lakukan ini dan itu.’ Lalu Iblis menjawab, ‘Engkau belum melakukan apa-apa lagi yang besar.”
Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melanjutkan, “Lalu datanglah seorang daripada mereka dan berkata, “Aku mengikuti manusia sehingga aku tidak meninggalkan mereka melainkan aku telah berhasil memisahkan seorang suami dan isterinya.’’ Lalu iblis memanggilnya agar dia dijadikan dekat dengan Iblis dan berkata, “Sebaik-baik fitnah adalah usaha yang telah engkau lakukan.” (Hadis Sahih riwayat Muslim no. 2813)
Seorang ulama’ ahlul sunnah pernah menyebutkan bahawa tidaklah ada perkahwinan melainkan seorang wanita itu pasti pernah meminta cerai daripada suaminya lantaran didesak oleh syaitan.
548. Soalan : Dalam Islam apabila suami isteri bercerai dan mereka tidak mahu berdamai dan rujuk kembali dan mereka mempunyai anak siapakan di antara mereka yang layak menjaga anak-anak mereka?
Jawapan :
Dalam Islam, tanggungjawab memelihara anak terletak dibahu ibu bapa. Apabila berlaku perceraian, timbul persoalan siapakah yang akan memikul tanggungjawab tersebut?
Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar: “Bahawasanya seseorang perempuan telah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya: ´Ya Rasulullah, bahawa anakku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku´.
Selepas mendengar aduan itu Rasulullah SAW bersabda: “Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadis ini jelas menetapkan bahawa anak pasangan yang bercerai lebih berhak berada di bawah jagaan ibunya berbanding ayahnya. Pertimbangannya adalah kerana tugas mendidik anak sesuai dengan sifat lahiriah ibu yang lebih penyayang, lebih tahu dan sabar mendidik dan mengasuh anaknya.
Ibu adalah yang paling berhak berbanding segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.
Namun begitu hak hadhanah yang diberikan kepada ibu boleh terlucut sekiranya si ibu tidak memenuhi salah satu syarat sepertimana berikut : “Dan syarat-syarat hadhanah itu tujuh perkara iaitu berakal, merdeka, beragama, lemah lembut, amanah, tidak bersuami dan bermukim. Sekiranya kurang salah satu syarat itu maka gugurlah hak hadhanah itu.”
549. Soalan :Apakah perbezaan di antara tanggungjawab suami dan isteri di dalam rumah tangga?
Jawapan :
Lelaki mahupun wanita di sisi Allah itu sama sahaja, yang membezakannya ialah amal ibadah dan ketakwaan kepada Allah SWT
Dalam alam rumah tangga sudah pastinya si suami perlu bertindak selaku ketua rumah tangga atau pemimpin yang berhak memberi arahan selagi mana arahan itu tidak bertentangan dengan hukum syarak. Selaku isteri maka wajib keatasnya mematuhi segala perintah suami selagi mana perintah suami itu tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Isteri wajib taat kepada suami walau isteri itu berkerja dan mempunyai pendapatan sendiri.
Hal-hal kerja rumah perlu dilakukan secara bersama dan perlu hidup secara bertoleransi. Suami perlu merengankan beban isteri dengan membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah. Dan isteri perlu membantu merengankan beban suami dengan menyediakan makanan dan menjaga keperluan suami dan keluarga.
Bantu membantu adalah perkara yang paling penting. Tidak ada istilah ini "ini kerja isteri dan ini kerja suami" yang perlu ada ialah sikap toleranci dan saling memahami.
Ibu bapa yang sudah mempuanyai anak-anak yang sudah besar boleh mengajar anak-anak mengurus dan membantu ibu bapa dalam urusan rumah tangga seperti mengemas rumah, menjaga kebersihan dan sebagainya yang dikira tidak membebankan anak-anak sehingga menjejaskan pelajaran dan tenaga yang mereka ada.
Di dalam satu riwayat menyatakan bahawa apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga.
Islam telah menggariskan peranan suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah bersedia untuk mentadbir rumah tangga dan isteri pula mestilah bersedia untuk mentaati perintah suami.
Ketaatan isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami bukan terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi terletak pada iman, ilmu dan kesabarannya. Dengan demikian barulah kepimpinannya menjadi lebih mantap dan dihormati isteri..
Kunci kerukunan rumah tangga adalah persefahaman antara suami isteri. Oleh itu Islam telah menyarankan bahawa dalam mencari isteri idaman hendaklah dari kalangan wanita yang mempunyai empat ciri seperti berketurunan baik, elok paras rupanya, berharta, dan kuat pegangan agamanya. Namun yang perlu diutamakan adalah yang solehah (beriman) agar mudah untuk dididik dan beberapa masalah rumah tangga dapat dielakkan seperti isteri nusyuz dan sebagainya..
Setiap wanita Islam hendaklah menyedari tentang hak-haknya yang telah digariskan oleh syarak agar tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami Oleh itu seorang isteri yang solehah adalah yang mencakupi erti kata wanita yang berilmu dan beriman. Dengan demikian rumah tangga akan sentiasa aman dan bahagia.
Antara hadis yang menyarankan agar taat keapada suami ialah:
Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila ia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya.
550. Soalan : Saya mempunyai perasaan seks yang agak kuat. Saya selalu terasa ingin mengadakan hubungan tersebut. Malangnya suami saya kurang memahami, dingin dan hambar. Dia selalu menjarak tempoh hubungan seks kami. Apakah hanya isteri yang wajib melayan kehendak suami, bagaimana dengan suami pula?
Jawapan :
Berapa kalikah suami mampu mengadakan hubungan kelamin (seks) dalam seminggu atau sebulan? Tidak ada jawapan yang tepat mengenai soal ini. Semua orang yang tergolong ahli dalam bidang seksual tidak ada yang menyimpulkan secara tepat. Sesungguhnya bilangan yang normal tidak ada, semuanya berbeza-beza antara satu dengan yang lain.
Para ulama memberikan berbagai pendapat tentang jarak waktu paling kurang bagi hubungan kelamin yang wajib dilakukan oleh seorang suami. Berbagai pendapat telah diberikan.
Namun pendapat yang terbaik ialah apa yang nyatakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h ( wafat 728H) iaitu suami wajib menyutubuhi isteri dengan kadar keperluan seseorang isteri. Ini adalah pendapat yang tepat. Persetubuhan antara lain bertujuan memelihara kehendak nafsu agar tidak melakukan sesuatu yang menyanggahi syarak. Suami hendaklah sedar kewajipan ini. (sesiapa yang inginkan pendetilan masalah ini lihat al-Mufassal fi Ahkam al-Marah oleh ‘Abd al-Karim Zaidan).
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment