Saturday, March 8, 2014

KESAN MENOLAK HIDAYAH ALLAH

Kesan Penolakan Hidayah Allah



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Zaman Rasulullah SAW. di utuskan adalah zaman jahiliah. Rasulullah SAW membawa nur dari Allah SWT. Sebenarnya jahiliah itu bukanlah terbatas di zaman Nabi SAW. diutuskan sahaja, tetapi jahiliah berlaku di setiap zaman apabila manusia menolak petunjuk wahyu daripada Allah SWT.

Al-Quran menjelaskan cahaya kebenaran itu adalah satu dan sumber mutlaknya adalah satu iaitu Hidayah Allah SWT. Sementara jalan kesesatan dan kegelapan itu adalah banyak, kesesatan itu boleh menjelma di dalam berbagai bentuk dan rupa. Oleh itu orang-orang Islam perlulah berhati-hati menjaga keimanannya kepada Allah SWT, kerana Allah SWT. sahajalah yang dapat menyelamatkan dirinya daripada kesesatan.

Firman Allah SWT. yang bermaksud :
"Barangsiapa yang tidak diberi Allah petunjuk, tidaklah dia mempunyai cahaya sedikit pun."
(Surah An-Nur ayat 40)

Tanpa petunjuk daripada Allah SWT. tiada lagi jalan kehidupan di atas dunia ini yang dapat menyelamatkan manusia daripada kesesatan. Apabila manusia tidak mendapat petunjuk daripada Allah SWT maka manusia akan tertipu dengan sangkaan-sangkaan dirinya sahaja.

Firman Allah SWT. yang bermaksud :
"Dan mereka berkata : 'Jikalau Allah yang Maha Pemurah menghendaki tentulah kami tidak menyembah mereka (Malaikat).' Mereka tidak mempunyai pengetahuan sedikitpun tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga (menyangka-nyangka) belaka."
(Surah Az-Zukhruf ayat 20 )

Di dalam masyarakat barat, di zaman pertengahan , ajaran Nabi Isa a.s. telah diubah, dikurangkan dan ditokok tambah, maka lahirlah syirik dan perhambaan sesama manusia. Walaupun pada mulanya mereka masih mempercayai wujudnya Allah SWT. dan percaya tentang adanya hari berbangkit (akhirat), tetapi apabila datangnya pergerakan 'Rasionalism' (pergerakan yang mendewakan akal semata-mata) maka pada abad ke 15 dan 16 masehi, akhirnya masyarakat barat terus menjadi hamba kepada materialisma dan kemahuan naluri mereka sendiri. Mereka tunduk sepenuhnya kepada dunia dan benda. Di dalam struktur kehidupan dan pemikiran mereka tidak ada tempat untuk diletakkan kepatuhan dan keimanan kepada Allah dan hari Akhirat dalam ertikata yang sebenarnya.

Kini kefahaman kebendaan mengambil tempat agama Kristian yang mereka anuti. Sebelum ini mereka telah sesat dengan dengan konsep trinity (tuhan bapa, emak dan anak), malah ditambah pula dengan kesesatan yang lain iaitu menyembah berbagai-bagai ilah (tuhan)berbentuk hawa nafsu, syahwat, sains dan teknologi, kebendaan dan ideologi. Ilah-ilah yang disembah oleh mereka sepenuhnya. Inilah kesan yang pertama dan terawal apabila manusia lupakan Allah SWT. dan menolak petunjuk Allah SWT. Kesan-kesan yang lain yang lahir akibat daripada manusia menolak petunjuk Allah dan lupakan Allah SWT. ialah :

Pertama : Manusia akan lupa tehadap diri sendiri. 

Firman Allah SWT. yang bermaksud, "Dan jangan kamu seperti orang yang lupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang fasik." (Surah Al-Hasyr ayat 19)

Hassan Nadwi menyatakan, " Manusia moden (yang menjadi hamba kepada sains dan teknologi) adalah gambaran jelas memperlihatkan manusia yang lupa terhadap diri sendiri" Mereka lupa terhadap tujuan keujudan mereka dan lupa terhadap tugas mereka di bumi ini. Hidup mereka dan makan mereka seperti binatang bahkan lebih hina daripada itu.

Kedua : Apabila manusia tidak beriman akan hari akhirat maka pandangan mereka dijadikan Allah indah terhadap kerja-kerja duniawi dan segala amalan-amalan maksiat mereka. Pemikiran mereka menjadi cetek dan terbatas kepada kebendaan semata-mata.

Ketiga : Manusia moden hilang kemampuan untuk memahami sebab-sebab yang sebenar berlakunya setiap kejadian dan peristiwa di sekelilingnya. Pandangan mereka menjadi cetek, dan tidak dapat memahami bahawa disebalik kejadian-kejadian itu terdapat kuasa Mutlak Allah SWT yang mengizinkannya.

Sahabat yang dimuliakan,
Oleh itu berdasarkan kepada realiti di atas maka untuk menyelamatkan diri kita tidak ada pilihan yang lain melainkan kita bersegera kembali beriman kepada Allah swt. dan Rasul-Nya Muhammad SAW. sebagai khatamul Anbiya'. Beriman dan bertakwa dalam ertikata menghayati Islam sebagai Ad-Deen di dalam semua hal kehidupan kita.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML