Sunday, February 16, 2014

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 107

Soal Jawab Agama Siri 107 (Mengungkit, Mengumpat Dan Memfitnah, Qada Puasa Dan Fidyah, Bertunang dan Perasaan Marah)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Soal Jawab Agama Siri 107 adalah membicarakan persoalan dosa ungkit -mengungkit pemberian, hukum suka mengumpat dan memfitnah, qada puasa dan fidyah, melamar dan bertunang dan mengawal perasaan marah.

816. Soalan : Mohon pencerahan berkenaan dengan isu ungkit- mengungkit. Apakah salah apabila kita terpaksa mengingatkan semula hal-hal lama terutama segala pertolongan yang pernah kita berikan dengan tujuan menyedarkannya kerana hamba Allah itu sering menyakitkan hati dan seperti sengaja melupakan semua nya.

Jawapan : 

Salah satu perbuatan yang sangat dibenci oleh Allah SWT adalah mengungkit-ungkitkan pemberian yang kita telah berikan. Mengungkit-ungkit akan menghapuskan pahala di atas amal soleh yang kita berikan. Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Tidak akan masuk syurga orang yang memperdaya, orang yang kikir, dan orang yang suka mengungkit-ungkit pemberian.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Berdasarkan hadis di atas terdapat tiga golongan tidak akan masuk syurga iaitu :

Golongan Pertama : Suka memperdaya orang lain (menipu)
Golongan Kedua : Orang yang kikir (bakhil)
Golongan Ketiga : Orang yang suka mengungkit-ungkit pemberian.

Suka mengungkit-ungkit (pemberiannya)

Firman Allah yang bermaksud,"Hai orang yang beriman,jangan kamu batalkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebut dan mengungkit-ungkit (perasaan si penerima) seperti orang yang menafkahkan bertanya kerana riyak kepada manusia dan dia tidak beriman dengan Allah dan hari akhirat" (Surah al-Baqarah ayat 264). 

Mengungkit pemberian terhadap seseorang pasti akan menyinggung perasaan orang yang menerimanya. Perbuatan itu mendatangkan kesan buruk terhadap diri sendiri dan orang yang diungkitnya.

Dalam sebuah hadis disebutkan, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tiga golongan yang tidak akan diajak bicara oleh Allah pada hari kiamat kelak, serta tidak akan dipandang-Nya, dan tidak pula disucikan-Nya, iaitu orang yang mengulurkan kainnnya, orang yang suka mengungkit-ungkit kebaikannya dan orang yang menjual dagangannya dengan sumpah palsu.” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, dan Nasai dari Abu Dzar al- Ghifari).

Mengungkit pemberian bukan sekadar menghapus pahala sedekah tetapi berdosa kerana menyakiti hati orang lain.Sesungguhnya, ia bercanggah dengan seruan persaudaraan yang diwajibkan menjaga hati dan perasaan saudaranya. Lebih besar dosanya apabila seorang anak mengungkit-ungkit pemberiananya kepada kedua ibu bapanya. Anak tersebut menjadi anak derhaka selagi dia tidak bertaubat kepada Allah SWT dan meminta ampun kepada kedua ibu bapanya.

Jika seseorang menyakiti hati kita sekali pun janganlah kita bertindak menyakiti hati orang tersebut di atas amal atau bantuan yg pernah kita berikan. Bantuan yg pernah kita berikan itu sebenarnya adalah hak Allah dan rezeki orang tersebut melalui tangan kita. Jika kita ungkit mengungkit secara otomatik menghapuskan pahala tersebut dan mendapat dosa kerana menyakiti hati orang yg pernah menerima bantuan kita.

817. Soalan : Apakah hukumnya jika seseorang suka menugumpat, memfitnah, dedahkan aib orang lain dan suka mengadu domba. Apakah balasannya di dunia dan akhirat akan diterima jika mereka mati dalam keadaan tidak bertaubat dan meminta maaf kepada orang yg difitnahkannya.

Jawapan :

Mereka yg suka mengumpat, memfitnah, mengaibkan org lain dan mengadu domba adalah berdosa besar dah HARAM hukumnya. Mereka yang suka melakukan 4 sifat mazmumah di atas (mengumpat, memfitnah, mengaibkan orang lain dan mengadu domba) adalah golongan fasik yang akan mendapat balasan di dunia lagi (akan dihinakan oleh Allah SWT dan akan dibenci oleh mauisia) di akhirat nanti akan menjadi muflis dan akan dihumbankan ke dalam neraka Jahanam jika tidak bertaubat kepada Allah SWT dan memohon maaf kepada mereka yang di aniaya dan di zalimi.

Apakah perubahan sikap dan akhlak umat Islam sekarang ini sudah berubah? Daripada sikap berlemah lembut dan adab sopan , kasih mengasihi sesama saudara muslim sudah bertukar menjadi ganas, penuh dendam kesumat, hasad dengki dan kebencian yang memuncak? Di mana letak iman mereka sebenarnya? Nabi SAW ada menjelaskan bahawa tidak ada iman bagi mereka yang tidak mengasihi saudaranya sebagaimana mereka mengasihi diri mereka sendiri

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Yang paling dikasihi oleh Allah di antara kamu adalah : mereka yang baik akhlak, yang merendahkan sayapnya (diri), yang suka dengan orang dan yang disukai orang. Manakala yang dimurkai oleh Allah adalah : mereka yang pergi membawa fitnah, yang menceraiberaikan di antara saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah akan kesalahannya” (Hadis riwayat At-Tabharani dan Abu Hurairah r.a.)

Apakah umat Islam yang terlibat itu sudah tidak takut kepada Allah SWT, tidak takut kepada kematian dan seksaan dialam barzakh dan hari akhirat? dan tidak takut kepada seksaan api neraka yang disediakan oleh Allah SWT kepada mereka yang melakukan fitnah, maki hamun, mengadu domba dan hasad dengki?

Adakah mereka menganggap dengan mengeluarkan perkataan maki hamun, sumpah seranah, menyuburkan fitnah , menjadi penyokong fanatik kepada parti dan pemimpin mereka, mereka akan dikasihi oelh Allah SWT dan akan di masukkan kedalam syurga? Nauzubillahiminzalik,

Hakikat sebenarnya mereka sudah tertipu dengan kerja-kerja iblis laknatullah, mereka sudah dikuasai oleh nafsu amarah sehinggakan tidak ada pertimbangan yang waras dan soal dosa pahala di tolak tepi, yang penting bagi mereka rasa puas apabila kutukan dan sumpah seranah dapat dilepaskan kepada musuh mereka. Soal hendak menjadi muflis atau tidak dihari akhirat itu soal lain yang penting apa yang nafsu mereka hajatkan dapat dipenuhi.

Hidup masa kini sebenarnya untuk beristiqamah dengan kebaikan dan bersifat tawaduk amat sukar sekali, kita sering di ajak untuk bersama-sama menyuburkan fitnah dan menjadi pemegang saham dosa besar yang sama bagi mereka-mereka yang menyuburkan fitnah dan dosa-dosa besar. Jika kita share sahaja dalam wall gambar-gambar berupa fitnah atau berita-berita palsu hakikat sebenarnya dosa besar yang orang lain buat sama saja kita akan dapat dan tidak dikurangkan walaupun sedikit. Jika kita komen tanda sokong atau 'like' dalam ruang komen yang berunsur fitnah dan megaibkan orang lain maka kita bersubahat dan bertali arus dosa-dosa besar masuk dalam buku catatan kita. Jika ceramah-ceramah mengaibkan orang lain kita sokong dan bersorak dan tepuk tanggan kita juga dapat saham yang sama seperti penceramah tersebut perolehi.

Firman Allah SWT maksudnya :  “Hai orang-orang yang beriman! Kalau datang kepada kamu orang fasik membawa berita, periksalah dengan saksama supaya kamu tidak mencelakakan suatu kaum dengan tidak diketahui, kemudian kamu menyesal atas perbuatan itu”  (Surah Al-Hujurat ayat 6)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan masuk syurga pembawa fitnah” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita perlulah berhati-hati, jangan mudah percaya dan terpedaya dengan berita fitnah, berita palsu, berita mengaibkan orang lain (jika tidak disertai dengan bukti) dan berita-berita tuduhan zina atau liwat yang tidak membawa 4 orang saksi yang adil samaada terdapat dalam akhbar arus perdana, blog, multi media, radio, television, facebook, E-Mail, SMS, MMS, vedio, VCD, risalah-risalah dan  ceramah-ceramah umum. Kesemua medium penyampai maklumat itu jika kita mudah terpengaruh dan mempercayainya akan memudahkan kita menghimpun dosa-dosa besar yang banyak dan tidak mampu kita tanggung di akhirat nanti kerana amal soleh dan amal ibadah kita terlalu sedikit dan tidak mencukupi untuk bayar balik dosa -dosa fitnah kepada orang yang kena fitnah.

 Abu Zhar Al-Ghiffari berkata, Rasullullah SAW. bersabda maksudnya :”Barangsiapa menyiarkan terhadap orang muslim satu perkataan untuk memalukannya dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat” (Hadis Riwayat Ibnu Abid Dunya)

Bagaimana sikap kita supaya kita terselamat daripada menjadi muflis atau menanggong dosa besar orang lain? Sebagai seorang mukmin kita diminta menjauhkan diri daripada segala bentuk mengumpat , fitnah dan perkara negatif yang cuba dibawa atau ditonjolkan oleh orang lain. Lebih baik dan selamat kita bersanggka baik dengan saudara seagama daripada kita mengiyakan berita negatif tersebut dan kita banyakkan bersahabat dengan orang soleh yang mukmin dan banyakkan masa untuk menuntut ilmu dan sebarkan ilmu yang bermenfaat.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang muflis di kalangan umatku adalah orang yang pada hari kiamat nanti datang membawa pahala solat, zakat dan puasa, namun di samping itu ia membawa dosa mencela, memaki, menuduh zina, memakan harta dengan cara yang tidak benar, menumpahkan darah, dan memukul orang lain.” (Hadis Riwayat Muslim)

Bahaya lidah adalah kerana tersebarnya kebatilan agama yang diakibakan oleh lidah mengucapkan kata-kata yang batil ataupun banyak bicara pada hal-hal yang tidak bermanfaat. Kedua-duanya merosakkan masyarakat dan hubungan baik dengan orang lain.

Kita perlu bermuhasabah diri kita sendiri dan mengawal lidah, tangan , telinga dan mata kita supaya semuanya kita gunakan untuk membawa kebaikan dan rahmat kepada sekelian alam. Jika kita menulis , share, sokong atau komen pastikan semuanya membawa manfaat dan dijauhi daripada dosa fitnah, mengumpat atau mengaibkan orang lain. Inilah yang dikatakan amal soleh yang berterusan , bukan sahaja amal soleh itu berbentuk ibadah tetapi kita bermuamalat dengan saudara seagama dengan cara makruf juga amal soleh maka ganjaran besar menanti kita insya Allah.

818. Soalan : Ustaz, mohon penjelasan, saya ingin bertanya , Bagaimana cara untuk kita mengantikan puasa yang kita tinggal 5 tahun lepas (Ketika itu saya dalam keadaan pantang bersalin)?

Jawapan :

Puasa yg ditinggalkan wajib qada jumlah yg ditinggalkan. Di samping puasa qada saudari juga dikenakan fidyah 1 cupak makanan asasi setiap hari yang ditinggalkan. Mengikut mazhab Syafie fidyah di gandakan setiap tahun yg ditinggalkan tetapi mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali tidak payah digandakan hanya bayar sekali sahaja. Jawatankuasa Fatwa telah dikemukakan dengan persoalan tentang hukum gandaan fidyah dan kifarah. Pihak Jawatankuasa diminta untuk memberi pendapat dan keputusan tentang perkara tersebut.
Keputusan: 

1. Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) Negeri Selangor yang bersidang pada 16 Januari 2001 telah sebulat suara membuat keputusan bahawa pembayaran-pembayaran fidyah dan kifarah yang tertangguh adalah tidak digandakan (harus). Ini menurut sebahagian pandangan mazhab Syafie.

2. Walaubagaimanapun, sekiranya pihak pembayar ingin membuat pembayaran fidyah dan kifarah secara berganda maka ianya boleh diterima.

3. Oleh itu, pembayaran fidyah dan kifarah ini diberi dua pilihan:

a. Digandakan pembayaran fidyah dan kifarah mengikut tahun yang ditinggalkan.

b. Tidak digandakan pembayaran.

4. Pandangan ini diambil kira ia berbetulan dengan ajaran Islam yang tidak sama sekali menyusahkan manusia yang menganut ajarannya

Keterangan/Hujah: 

LATAR BELAKANG

1. Fidyah ialah satu istilah yang terdapat di dalam fiqh al-Islami. Ia lebih difahami sebagai "satu cara untuk menggantikan puasa Ramadhan yang tertinggal disebabkan keuzuran yang diterima oleh syarak atau tidak".

2. Jumlah fidyah yang dibayar adalah berdasarkan kepada bilangan puasa yang ditinggalkan. Sekiranya bilangan puasa yang ditinggalkan itu banyak, maka banyaklah fidyah yang perlu dibayar. Begitu juga sebaliknya.

3. Sekiranya jumlah yang perlu dibayar adalah sedikit, ia tidak menjadi masalah. Tetapi sekiranya jumlah tersebut terlalu tinggi, masalah akan timbul apabila berlaku penggandaan dalam pengiraan fidyah apabila pembayaran ditangguhkan untuk beberapa Ramadhan.

PENDAPAT ULAMA"

1. Terdapat dua pandangan terhadap masalah penggandaan kiraan fidyah tertangguh:

1) Tidak digandakan: ia adalah pandangan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.

Pandangan ini dikukuhkan dengan hujah bahawa penagguhan terhadap sesuatu ibadah tidak akan menambahkan bilangan ibadah tersebut sebagaimana yang berlaku kepada ibadah haji yang tertangguh.

2) Digandakan: Pandangan ini dikukuhkan dengan hujah bahawa setiap penagguhan tersebut membentuk fidyah yang lain. Fidyah yang bertambah tersebut tidak boleh disatukan menjadi satu.

819. Soalan :Saya hendak bertanya adakah jika seorang lelaki menyatakan hasrat kepada seorang perempuan untuk dijadikan isteri dan wanita itu bersetuju, adakah ia dikira bertunang walaupun ibu bapa perempuan itu belum tahu atau tidak kenal pihak lelaki?

Jawapan :

Apabila seorang lelaki menyatakan hasrat hatinya kepada seorang wanita dan dia bersetuju itu belum bertunang lagi. Itu baru muqadimah perkenalan saja. Kerana sebagai seorang mukmin yang ada adab sopan dan budi pekerti yang tinggi perlulah mendapat persetujuan walinya dahulu, dan berbincang dengan cara yg makruf dan bukannya dibuat di tepi jalan atau melalui telefon saja. Sekiranya anda ingin bertunang, anda perlulah memenuhi syarat-syaratnya yang termaktub di dalam perundangan Islam. Antara syarat-syarat tersebut adalah :

1. Berjumpa dengan wali / mahram wanita.

Wali wanita adalah yang terdiri dikalangan mahramnya terutama ayah, abang, bapa saudara sebelah ayahnya atau ibunya dan siapa sahaja mahramnya yang berkaitan dengan wanita tersebut. Anda dilarang bertunang tanpa pengetahuan wali wanita tersebut.

2. Pertunangan perlu dirahsiakan.

Islam melarang terhadap tindakan menghebahkan pertunangan. Yang perlu tahu adalah keluarga terdekat sahaja. Tidak dibenarkan sama sekali membuat hebahan berkenaan pertunangan seperti majlis perkahwinan. Kebaikannya jika andai tidak jadi berkahwin dan pertunangan dihebahkan besar-besaran kedua-dua pihak akan menanggung malu dan ini mengakibatkan maruah tercemar terutama maruah wanita. Islam itu agama yang membela wanita dan maruah.

3. Bertunang dengan wanita yang dibenarkan syara'.

Antara wanita yang tidak boleh dipinang mengikut syarak ialah wanita yang talak satu dan dua serta ada kemungkinan rujuk, wanita yang kematian suami dan masih tidak habis i'ddah iaitu selama 4 bulan 10 hari, wanita yang diceraikan dengan talak tiga dan masih tidak habis i'ddah tidak boleh di pinang..

4. Tidak meminang tunangan lelaki lain.

Islam tidak membenarkan mana-mana lelaki meminang tunangan saudara seIslamnya. Sabda Rasulullah SAW, maksudnya :

" Mukmin itu bersaudara, tidak halal baginya membeli diatas barangan belian saudaranya, dan jangan meminang diatas pinangan saudaranya sehinggalah diputuskan ( saudaranya memutuskan pertunangan)."

Empat syarat tersebut perlulah dipatuhi oleh setiap umat Islam yg berhajat mengadakan majlis pertunangan.

Menyatakan hasrat hati adalah muqadimah untuk bertunang. Wanita tak perlu terus kata setuju perlu solat istikharah dahulu. Setelah bersetuju barulah proses untuk bertunang. Bertunang adalah disyariatkan oleh Allah SWT ianya adalah muqaddimah kepada perkahwinan iaitu dengan melamar wanita untuk dijadikan bakal isteri atau meminta persetujuan pihak wanita untuk menjadi isteri kepada pihak lelaki. Bertunang juga membawa makna menzahir dan mengiklankan kehendak / kemahuan seseorang lelaki untuk berkahwin dengan seseorang wanita.

Bertunang itu telah disyariatkan di dalam Islam sebagaimana firman Alllah SWT, maksudnya :

" Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih Dalam idah), atau tentang kamu menyimpan Dalam hati (keinginan berkahwin Dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah Yang ditetapkan itu. dan ketahuilah Sesungguhnya Allah mengetahui apa Yang ada Dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah, Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar." ( Surah al-Baqarah (2) ayat 235 )

820. Soalan : Bagaimanakah kita hendak mengawal perasaan marah kita..memandangkan kita berkerja ditempat yang memerlukan mentaliti yang kuat.suasana kerja yg memerlukan kekuaatan mental bedepan dengan masalah pekerja yg bermasalah?

Jawapan :

Sifat orang mukmin sentiasa berlemah lembut, bertolak ansur (perkara yg kecil) dan bersabar. Akhlak yg mulia adalah akhlak Rasulullah SAW. Jika kita berhadapan dengan pekerja yang kurang berdisplin gunakan cara lembut dahulu kemudian bila tak jalan gunakan ketegasan (tapi bukan marah dan maki hamun). Perlu gunakan peraturan syarikat atau peraturan displin pekerja akta buruh beri amaran 1,2,3 dan hantar surat tunjuk sebab dan sebagainya. Jauhilah perasaan marah kerana marah adalah salah satu sifat mazmumah

Semua manusia pada dasarnya memiliki sifat marah, kerana marah adalah salah satu tabiat manusia. maka agama tidak melarang marah, tetapi kita diperintahkan untuk dapat mengendalikan marah dan senantiasa menjadi pema’af.

Fiirman Allah SWT  yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh” (Surah Al-A'raaf ayat 199)

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat  mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia  berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi SAW. lagi yang bermaksud : "Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Al Imam Al Hasan Al Bashri rahimahullah berkata: “Empat hal, barangsiapa yang mampu mengendalikannya maka Allah akan menjaga dari syaitan dan diharamkan dari neraka : iaitu seseorang mampu menguasai nafsunya ketika berkeinginan, cemas, syahwat dan marah.”

Setiap Muslim harus marah manakala kemuliaan Islam dihina, contohnya apabila penghinaan terhadap baginda Rasulullah SAW. yang  dilakukan oleh orang-orang yang anti Islam.

Sedangkan kita dituntut untuk dapat mengendalikan marah sekaligus mema’afkan orang lain ketika penyebab marahnya tertuju kepada diri secara peribadi, contohnya ketika jasa seorang suami kurang dihargai isterinya maka suami tersebut hendaklah bertenang jangan cepat merasa marah.

Dalam riwayat Abu Said al-Khudri Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sebaik-baik orang adalah yang tidak mudah marah dan cepat meredhai, sedangkan seburuk-buruk orang adalah yang cepat marah dan lambat meredhai " (Hadis Riwayat Ahmad).


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML