Wednesday, January 15, 2014

SIFAT RIAK

Sifat Riak

RIAK ialah penyakit hati yang paling ditakuti Rasulullah SAW menimpa umatnya kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, hatta ketika menunaikan solat yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas.

Kerisauan itu dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad) 
Riak ialah memperlihat atau menyempurnakan ibadat dengan tujuan mendapat pujian serta perhatian orang lain seperti solat dan puasa.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajal? Kami katakan: Tentu. Baginda bersabda: Syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya kerana melihat seseorang memandangnya." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqolani dalam kitabnya Fathul Baari berkata: "Riak ialah menampakkan ibadah dengan tujuan dilihat manusia, lalu mereka memuji pelaku amalan itu."
Ada insan yang ketika beribadah secara bersendirian kualiti amalannya tidak sehebat ketika orang lain memandangnya. Contoh seseorang yang solat bersendirian maka solatnya tidak sepanjang atau bacaan dalam solat tidak dilagukan atau dinyaringkan.

Apabila di depan orang ramai, solat menjadi panjang dan suaranya dikuatkan supaya orang lain mendengar bacaan yang berlagu. Tasbihnya pula dibiarkan di tangan sambil mulut terkumat-kamit agar dilihat orang.

Begitu juga boleh dianggap riak jika seseorang memakai pakaian seperti ulama iaitu berjubah dan serban besar bertujuan menampakkan dirinya sebagai alim dan kuat beribadah. Ada juga individu sengaja menghitamkan dahi dengan menggosoknya menggunakan objek keras supaya kelihatan seperti yang kuat mengerjakan solat dan lama bersujud..

Kerisauan Baginda SAW terhadap sifat riak disebabkan penyakit hati ini mudah menyerang setiap insan kerana jiwa manusia memiliki kecenderungan suka menerima puji dan kedudukan tinggi di hadapan orang lain. Al-Muhasibi menjelaskan penyebab riak: "Senang dipuji dan takut dicela, tunduk kepada dunia dan tamak kepada perkara dimiliki orang lain."
Riak juga berbahaya kerana meresap dalam amalan umat Islam dalam keadaan samar. Mereka yang dihinggapi penyakit riak tidak menyedari ibadah sudah tercemar kerana hilang keikhlasan.

Riak dianggap Rasulullah SAW sebagai amalan syirik kecil kerana bagi seseorang yang sudah dihinggapi sifat ini ibadahnya tidak lagi ikhlas untuk mendapat keredaan Allah, sebaliknya menempatkan insan lain sebagai tandingan bagi Allah kerana amalnya bertujuan menarik perhatian insan itu.

Justeru, riak bukan sekadar boleh menyebabkan seorang terjebak dalam dosa, ia sebenarnya boleh menyebabkan amalan tidak diterima Allah. Imam Ibnu Taymiyyah berkata: "Sesungguhnya bagi seseorang yang bersikap riak dalam ibadah, bukan saja ibadahnya batal, malah dia turut mendapatkan dosa daripada perbuatannya itu yang dianggap syirik kecil."

Apabila suatu amalan dilaksanakan dengan ikhlas kerana Allah, ia akan diterima oleh-Nya. Sebaliknya, apabila amalan diniatkan untuk mendapat perhatian, pujian atau meraih keuntungan duniawi, maka ia tidak diterima Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya amalan itu tergantung pada niatnya, dan sesungguhnya amalan seseorang dibalas sesuai dengan apa yang dia niatkan." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Allah berfirman bermaksud: "Padahal mereka tidak disuruh kecuali menyembah Allah dengan memurnikan (ikhlas) ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus." (Surah Al-Bayyinah, ayat 5)

Imam Ibnu al-Qayyim ketika menafsirkan ayat itu menyatakan: "Seperti Allah adalah satu dan tiada Tuhan selain-Nya begitu pula hendaklah amal ibadah itu layak dipersembahkan hanya untuk-Nya dan tiada sekutu. Demikian juga halnya jika hanya Dia sebagai sembahan, maka wajiblah mengesakannya dalam perhambaan kerana amal yang salih adalah amal yang bersih daripada riak dan terikat dengan sunah."

Amal seseorang diterima Allah harus memenuhi dua syarat iaitu niat ikhlas semata-mata demi Allah dan dilakukan sesuai dengan tuntutan syariat (mengikuti sunnah Nabi).

Allah berfirman bermaksud: "Barang siapa berharap akan menemui Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal salih dan jangan mempersekutukan dalam menyembah Tuhannya dengan suatu apa pun." (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Menyedari besarnya musibah dibawa sifat riak, Rasulullah SAW mengajar umatnya memohon perlindungan dengan membaca doa: "Ya, Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada perbuatan syirik yang kami ketahui. Kami memohon ampunan kepada-Mu daripada dosa (syirik) yang kami tidak mengetahuinya." (Hadis riwayat Ahmad)

Dosa syirik yang tidak diketahui merujuk riak kerana ia dianggap syirik tersembunyi. Pelakunya menampakkan ibadah itu dikerjakan kerana Allah, sedangkan niat tersembunyinya untuk mendapat perhatian dan pujian manusia.

Perasaan riak dapat disingkirkan dalam jiwa setiap insan jika dia benar-benar memahami keagungan sifat Allah yang Maha Mendengar dan Maha Melihat serta Maha Mengetahui apa yang nampak ataupun tersembunyi.

Firman Allah bermaksud: "Katakanlah, jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu menampakkannya, pasti Allah mengetahuinya" (Surah Ali-Imran, ayat 29)

Apabila seseorang mengetahui tiada apa yang terdetik di hatinya tersembunyi daripada Allah, dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengikhlaskan ibadahnya hanya kepada Allah.

Pada akhirat nanti, bagi mereka yang riak akan menerima pembalasan dengan dibongkarkan niatnya yang buruk itu di depan seluruh makhluk seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Siapa beramal kerana sumah (ingin didengari manusia) Allah akan membalasnya dengan diperdengarkan kejelekannya. Siapa berbuat riak, maka Allah akan menampakkan sifat riaknya itu (di depan makhluk)." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Al-Khathabi berkata: "Makna hadis ini, orang yang melakukan amalan tanpa niat ikhlas, namun hanya mahu dilihat dan didengar manusia, maka pada hari kiamat dia akan dibalas atas hal itu iaitu dengan cara memperkenalkannya, membongkarkan kejelekannya dan menampakkan apa yang dia sembunyikan (di sebalik amalannya)."

Oleh itu, mari kita berlumba untuk mengerjakan amal salih secara tulus ikhlas kerana Allah dan jika perasaan riak timbul perlu kita segera menepisnya dan jangan dibiarkan terus bermain di jiwa kerana itu bisikan syaitan yang ingin menyesatkan manusia.

Jika seseorang pada asalnya berniat mengerjakan ibadah ikhlas kepada Allah, namun kemudian perasaan riak itu datang secara tiba-tiba dan dia berusaha menghilangkannya, keadaan itu tidak menyebabkan amalannya ditolak Allah.
Dicatat oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus 

Sifat Riak

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Maka celakalah bagi orang yang solat. (Iaitu) orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang riak." 
(Surah al-Ma'un ayat 4-6)

Pengertian riak :

Riak itu ialah melakukan kebaikan dan amal ibadat semata-mata untuk mencari tempat di dalam hati manusia. 

Perkara yang diriakkan oleh manusia :

1. Riak dari segi badan :
Riak jenis ini menunjukkan seseorang itu menampakkan keletihannya kerana berpuasa dan banyak berjaga malam untuk beribadat. 

2. Riak pada pakaian :
Seseorang itu memakai pakaian yang menunjukkan kewarakan dirinya sedangkan hakikatnya tidak. Memakai pakaian sebegini di hadapan golongan tertentu kerana kepentingan diri sedangkan di waktu lain dia bukanlah sebegitu malah hatinya juga bukanlah berniat untuk mendapat keredhaan Allah tetapi mengharap penghormatan daripada orang lain. 

3. Riak dengan perkataan :
Riak ini adalah seseorang itu menunjukkan dirinya seorang yang benar dan ikhlas melalui perkataan yang keluar dari bibirnya. Tuturnya seperti seorang penasihat dan pensyarah. Dia memilih lafaz-lafaz yang halus dan dalam maknanya juga kata-kata hikmat beserta hadis. Dia juga berkata seperti kata para Nabi dan aulia sedangkan pada hakikatnya dia sebenarnya sunyi dan kosong.

4. Riak pada amalan :
Orang sebegini adalah sering menzahirkan khusyuk dalam solat dan sengaja memanjang-manjangkan rukuk dan sujud apabila ada orang melihatnya. Orang seperti ini sering bersedekah secara terang-terangan, pergi menunaikan fardhu haji, berjalan menundukkan kepala dan kurang berpaling ke kanan dan ke kiri padahal Allah mengetahui batinnya. Sedangkan jika dia bersendirian amalannya bukan sempurna sebegitu, seperti solat dengan cepat, berjalan laju dengan matanya sering meliar ke sana ke mari dan sebagainya. 

5. Riak dengan ramainya murid dan pengikut :
Seseorang itu berasa bangga dengan murid dan pengikut yang ramai. Demikian juga seperti seseorang yang sering menyebut nama ulama’ itu dan ulama’ ini bagi menunjukkan dirinya seorang yang banyak bertemu dengan syeikh dan ulama. 

Peringkat Riak 

1. Riak Akbar 
Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah s.w.t. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia. 

2. Riak Asghar
Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia pada satu segi yang lain. 

3. Riak Jali (yang terang) 
Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal. 

4. Riak Khafi (yang tersembunyi) 
Riak ini pula tersembunyi di dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat. 

Punca Riak :
Sebab-sebab yang boleh membawa kepada penyakit riak ini antaranya ialah :

1. Sifat suka dipuji oleh orang lain. 
Sifat ini akan membawa kepada bangga diri dan suka menunjuk-nunjuk kelebihan kepada orang lain. 

2. Takut dikritik atau dicerca oleh orang lain. 
Ketakutan ini boleh membawa kepada penampilan yang kurang jujur dan suka berpura-pura. 

3. Cintakan kehidupan dan kemewahan dunia dan lupa pada kematian.
Seseorang itu melakukan segala pekerjaan adalah semata-mata kerana untuk menarik perhatian orang lain, dan menganggap dirinya hebat. Manusia sebegini mengharapkan ganjaran atas segala pekerjaan yang dilakukan. 

Bagaimana mengelakkan sifat riak?
Rawatan terbaik bagi segala penyakit di muka bumi ini adalah dengan menjauhi sebab-sebab dan punca terjadinya penyakit.

Terdapat beberapa cara untuk menghindari sifat riak daripada menguasai hati;

1. Sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara yang diperintahkan Allah dan juga sering menyucikan hati dengan melakukan ibadat-ibadat khusus seperti zikir dan membesarkan kekuasaan Allah. 

2. Mengawasi diri agar sentiasa takut akan kemurkaan Allah. Dengan ini akan membawa diri agar sentiasa berwaspada dalam melakukan perkara yang boleh mengheret kepada dosa dan seksaan Allah pada hari akhirat kelak. 

3. Berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala amalan yang dilakukan akibat riak. 

4. Menanamkan di dalam diri bahawa melakukan sesuatu perkara kerana manusia sehingga membawa kemurkaan Allah itu patut dijauhkan. 

5. Sentiasa mengawasi diri daripada lalai terhadap ujian dan nikmat yang dikurniakan Allah untuk menghampirkan diri kepada Allah. 

6. Ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan. Apabila berasa suka dipuji dan diberi penghargaan setiap kali membuat sesuatu perkara yang baik dan berasa terhina apabila ditegur, maka inilah tanda wujudnya sifat riak.

Adakalanya terdapat juga orang yang melakukan amal kebajikan dengan niat ikhlas kerana Allah, namun dia mendapat mendapat perhatian daripada orang lain atas amalannya. Keadaan ini tidak diambil kira sebagai riak kerana dia sememangnya niat dengan ikhlas pada awalnya. Namun, untuk melakukan satu-satu ibadat pada permulaannya akan menyebabkan timbulnya perasaan riak dan rasa bangga diri, namun apabila amal itu sering dilakukan dan berterusan dengan niat ikhlas pastinya perasaan riak itu akan terhapus sedikit demi sedikit. 

Janganlah takut untuk pergi ke masjid, mendengar tazkirah, menunaikan solat jemaah dan sebagainya kerana takut akan dikatakan riak sedangkan dengan riak itulah akan mendorong dan menggalakkan kita untuk beramal dan meningkatkan ibadat. Tetapi, jangan biarkan perasaan riak itu terus menerus menguasai diri kerana apabila ada riak dalam setiap amalan maka amalan yang dilakukan adalah sia-sia belaka. 

Read More

SAHABAT

Lima Cara Pilih Sahabat.

NASIHAT yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:

Pertama, pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

Kedua, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).

Ketiga, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.

Keempat, pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

Kelima, sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.

Read More

SIFAT MUKMIN

Empat Sifat Orang Mukmin Sidiq, Amanah , Tabilq dan Fatanah.

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap orang mukmin yang ingin menjadi para daie yang istiqamah perlulah mewarisi sifat para Nabi dan Rasul iaitu siddiq, amanah, tablig dan fatanah. Walaupun mungkin sebagai manusia biasa kita tidak mampu mewarisi sepenuhnya sifat-sifat yang mulia ini kerana para Nabi dan Rasul bersifat maksum, tetapi sebagai asas akhlak yang mulia perlulah empat sifat ini menjadi pakaian dan perhiasan untuk para daie yang mukmin, yang berhasrat menjadi pewaris para nabi untuk menegakkan risalah Allah S.W.T.

Perwatakan seorang mukmin mestilah dihiasi dengan sifat ikhlas, murah hati, merendah diri dan benar, berhemah tinggi dan sederhana juga diharumi dengan sifat mengasihi dan menyayangi serta sentiasa mengalirkan kegembiraan dalam perhubungan, menjadikan  akhlaknya sentiasa menjadi ikutan masyarakat.

Dalam dirinya tercantum segala sifat-sifat mahmudah yang sejati. Pada waktu siangnya bekerja keras untuk mencari nafkah untuk keluarga dan pada masa yang sama menyampaikan mesej dakwah dan tarbiah kepada masyarakat. Di waktu malamnya solat tahajud, berdoa dan bermunajat sehingga menitiskan air mata penyesalan mengadap Tuhan Rabbul Jalil. 

Sahabat yang dikasihi,
Di sini akan difokuskan kepada empat sifat dasar yang merupakan sifat yang perlu ada pada setiap orang mukmin yang menjadi pemimpin umat. Sifat-sifat tersebut adalah siddiq, amanah, fatanah dan tabligh. Apabila sifat sifat ini lahir dalam kehidupan maka ianya akan menjadi contoh kepada umat Islam lain yang mengharapkan keredaan Allah S.W.T.

Sifat-sifat tersebuat adalah seperti berikut :

Pertama : Siddiq (Benar)

Seorang mukmin harus memiliki sifat benar tidak ada sepatah pun perkataannya yang mengandungi kebatilan, dalam apa sahaja keadaan dan suasana. Sifat siddiq adalah asas kemuliaan, lambang ketinggian, tanda kesempurnaan dan gambaran dari tingkah perlakuan yang bersih dan suci.

Sifat inilah juga yang menjamin dapat mengembalikan hak-hak kepada yang berhak, memperkukuh ikatan antara anggota masyarakat, tidak terkecuali samada dia itu seorang alim, atau seorang yang berkuasa atau seorang saudagar, samada laki-laki atau perempuan, dewasa ataupun kanak –kanak, selama mereka hidup dalam satu masyarakat yang saling perlu memerlukan antara seorang dengan yang lain. 

Sifat siddiq (benar) adalah inti sari daripada kebaikan. Sifat inilah yang dimiliki sahabat yang paling disayangi Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar as -Siddiq.
DariAbdullah bin Masud, Nabi S.A.W.  bersabda bermaksud :
"Sesungguhnya siddiq (benar) itu membawa pada kebaikan, dan kebaikan akan menunjukkan pada syurga. Seseorang berperi laku siddiq, hingga ia dikatakan sebagai seorang yang siddiq. Pendustaan pula akan membawa kepada keburukan,dan keburukan akan menghantarkan pada neraka. Seseorang berperi laku dusta, hingga ia dikatakan sebagai pendusta."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
 "Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang Muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama)Allah, Allah menyediakan untuk mereka ampunan dan ganjaran yang besar."(Surahal-Ahzab ayat 35).

Selain mendapatkan keampunan dan ganjaran yang besar dari Allah, golongan siddiqin juga akan mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah  di akhirat. Mereka akan disatukan bersama nabi, orang syahid, serta salihin.
Seorang mukmin akan sentiasa berkata benar tidak berbohong, mungkir janji dan lidahnya tidak suka mengumpat dan memfitah orang lain walaupun terhadap orang fasik yang menghina dan menyerang peribadinya. Setiap nasihat dan tunjuk ajarnya membuatkan seseorang tertarik untuk mendekatkan diri dengan Islam kerana tuturkata yang lemah lembut dan penuh hikmah.
  
Kedua : Amanah

Amanah ialah sifat mulia yang pasti dipunyai oleh setiap orang dalam menghadapi perjuangan hidup demi untuk mencapai cita cita yang diazamkan. Suatu masyarakat itu tidak akan dapat dibina dengan harmoni melainkan hanya di atas asas yang kukuh dan tetap, antaranya asas amanah. Dengan jelas kita dapat menyaksikan perbezaan antara dua jenis manusia pertama yang amanah atau al amin dan kedua yang khianat atau al-Khain. Orang yang amanah akan menjadi tempat kepercayaan dan penghormatan orang ramai, sebaliknya orang khianat itu pula menjadi tumpuan kemarahan dan kehinaan.

Sifat seorang mukmin yang amanah akan melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dan penuh bertanggungjawab. Dia tidak akan 'curi tulang', tidak akan mengambil rasuah dan tidak akan melaksanakan tugas sambil lewa sahaja. Dia merasai tanggungjawab dihadapan Allah S.W.T. jika di dunia diabaikan amanah yang diberikan kepadanya.

Jika sifat amanah ini dimiliki oleh para pemimpin kita, para ulama , guru-guru, pegawai atasan dan ahli perniagaan maka kita akan dapati negara akan berkembang maju dan  kekayaan negara akan dapat di manfaatkan sepenuhnya untuk rakyat dan keseluruhan rakyat umumnya akan mempunyai akhlak yang baik. Oleh kerana sifat amanah suduh hilang atau berkurangan maka kesan daripadanya menyebabkan hutang negara bertambah kerana membazirkan wang negara untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni yang bangkrap akibatnya negara terpaksa menanggung hutang yang besar. Selain daripada itu kesan sifat tidak amanah ini juga maka kadar jenayah semakin meningkat kerana tidak ada amanah diperingkat penguasaan undang-undang.

Daripada Ibnu Umar r.a., katanya, saya mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :
"Setiap orang daripada kamu adalah penggembala dan setiap seorang dari kamu akan ditanya perihal penggembalaannya. Pemimpin adalah penggembala dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang lelaki adalah penggembala dalam keluarganya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang wanita adalah penggembala dalam rumah suaminya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Buruh adalah penggembala dalam harta majikannya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Jadi setiap seorang dari engkau semua itu adalah penggembala dan tentu akan ditanya perihal penggembalaannya. "
(Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih) 

Ketiga : Tabligh

Tabligh atau sifat menyampaikan dakwah dan Islam kepada masyarakat adalah satu sifat atau tugas yang diamanahkan oleh Allah S.W.T.

Firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 67 yang bermaksud : ”Wahai Rasulullah, Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya(dengan menyampaikan kesemuanya) maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya. ”

Walaupun ayat ini arahan Allah S.W.T kepada Rasulullah S.A.W. sebagai Rasul pilihan-Nya untuk menyampaikan apa yang diturunkan oleh Allah S.W.T., tetapi sebagai hamba Allah S.W.T. dan umat Nabi S.A.W. kita juga berkawajipan untuk menyambung perjuangan Nabi S.A.W. iaitu berdakwah dan menyampaikan risalah Allah S.W.T. yang dilaksanakan oleh baginda kepada umat manusia seluruhnya.


Firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali-Imran ayat Ayat 104)

Kewajipan berdakwah adalah tanggungjawab besar yang menjadi tonggak utama agama dan tiang seri atau paksi menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturan serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka dia hendaklah mengubah dengan tangannya; jika dia tidak mampu berbuat demikian, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya; dan sekiranya dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya, itulah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)  
Berdakwah kepada Allah adalah amalan kebaikan diperintahkan supaya hamba-Nya sentiasa berdoa untuk mendapat keredaan Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa seperti mana dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya.” (Hadis riwayat Muslim)


Keempat : Fathanah (Kebijaksana dan cergas)

Sifat keempat  ialah fathanah(bijaksana dan cerdas). Sifat ini adalah sifat penting yang perlu ada pada seorang mukmin yang bertugas menyampaikan dakwah kepada masyarakat, kerana sifat fatanah akan menyempurnakan sifat tabligh. Seseorang pendakwah yang terlibat secara lansung akan selalu terlibat dalam perbincanagan dengan musuh, menghadapi pertanyaan daripada ahli jemaah, serangan serta kritikan orang yang masih meragukan. Seorang yang memiliki sifat fatanah ini cukup faham keadaan mereka yang ingin didakwahkan dan mengambil pendekatan lemah lembut dan penuh hikmah. Dia juga berkemampuan untuk memahami isu-isu semasa, memahami kekuatan dan kelemahan orang yang ingin di dakwahkan dan mengambil pendekatan yang bijak supaya dapat mengelakkan fitnah dan penghinaan kepada Islam. 

Kita dapati ada dikalangan para pendakwah yang cuba menyampaikan Islam dengan cara yang keras dan kurang hikmah hingga menyebabkan orang yang bukan Islam menganggap Islam itu ekstrim dan agama yang tidak ada toleransi. Ada setengahnya pula menyerang peribadi-peribadi tertentu untuk menjadi bahan ketawa. Perlulah diingatkan cara berdakwah yang berkesan adalah tidak mendedakkan keaiban seseorang dan berdakwah dengan cara lemah lembut dan penuh hikmah kerana inilah cara dakwah Rasulullah S.A.W. , betapa ramai orang kafir yang memusuhi Nabi S.A.W. tetapi akhirnya memeluk Islam keranamelihat ketinggian akhlak dan peribadai baginda.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita sama-sama mendidik diri kita menjadi seorang mukmin yang memiliki sifat siddiq, amanah, tabliq dan fatanah. Sifat yang mulia ini adalah sifat yang wajib dimiliki oleh para Nabi dan Rasul. Jika kita mempunyai sifat-sifat yang mulia ini barulah kita layak mendapat syafaat Rasulullah S.A.W dan termasuk dikalangan hamba yang dirahmati Allah S.W.T. dan akan layak memasuki syurga-Nya.

Read More

SIFAT SOMBONG ( 7 FAKTOR )

Tujuh Faktor Seseorang Menjadi Sombong.

Imam Al-Ghazali menyebutkan tujuh perkara yang boleh menjadi faktor seseorang menjadi sombong dan takabbur :

1. Ilmu
Sombongnya orang yang berilmu disebabkan hatinya tidak bersih. Apabila hatinya tidak bersih maka dia merasakan diri besar, dirinya berilmu, dirinya lebih baik dari orang lain, merasakan dirinya perlu dihormati dan dipuji, dirinya sudah sempurna tidak perlukan teguran dan nasihat, melihat dirinya bertaraf tinggi sebaliknya orang yang tidak berilmu lebih rendah, merasa dirinya sahaja yang akan selamat dan hampir dengan Allah. Justeru ilmu ini menjadi punca terbesar sifat sombong dan takabbur jika hatinya tidak bersih.

عن جابر قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "لا تعلموا العلم لتباهوا به العلماء ولا تماروا به السفهاء ولا تخيروابه المجالس فمن فعل ذلك فالنار النار"
Maksudnya; Janganlah kamu mempelajari ilmu dengan tujuan untuk digelar sebagai ulama, dan janganlah kamu mempelajari ilmu dengan tujuan untuk memperlekehkan orang yang bodoh, dan janganlah mempelajari ilmu dengan tujuan memilih tempat dan kedudukan, sesiapa yang melakukanya dengan tujuan yang sedimikian maka neraka adalah tempatnya.


عن أبي هريرة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "من تعلم علما مما يبتغى به وجه الله لا يتعلمه إلا ليصيب به عرضا من الدنيا لم يجد عرف الجنة يوم القيامة
Abu Hurairah berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang memepelajari ilmu yang dituntut oleh Allah dengan tujuan mendapatkan habuan keduniaan, maka ia tidak mencium bau syurga di hari qiamat.


Allah S.W.T. telah mengingatkan para nabi-Nya dengan firman-Nya :
وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya : “Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang beriman.” 
(Surah al-Syu‘ara: 215).

Selain itu, orang yang berilmu itu wajib beramal dengan ilmunya. Justeru, adalah menghairankan sekiranya mereka yang berilmu itu berperangai dengan sikap takabbur. Tidakkah mereka pernah mendengar sabda Nabi s.a.w. yang mulia:

عن أبي هريرة رضي الله عنه : أن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال : إن أشد الناس عذابا يوم القيامة عالم لم ينفعه الله بعلمه
Maksudnya; Sesungguhnya manusia yang menerima siksaan yang sangat berat dihari qiamat ialah orang berilmu yang tidak menggunakan ilmu.

Maka sewajarnya mereka yang berilmu merupakan orang yang paling bersungguh-sungguh menjauhi sikap takabbur dengan mengamalkan ilmu yang dipelajari khususnya ilmu agama..

2. Amal Ibadat
Terkadang orang yang banyak melakukan amal ibadat bersifat sombong dan takabbur kerana merasakan merekalah sebaik-baik manusia yang paling layak mendapat rahmat Allah. Ilmu yang dimiliki tidak dapat membentuk sifat-sifat mulia dan menjauhi sifat takabbur. 

Ada juga antara mereka yang apabila sudah terlalu takjub dengan amal ibadat mereka yang banyak berasa bahawa manusia lain yang kurang amal ibadatnya akan binasa. 

Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “
إذا سمعتم الرجل يقول هلك الناس فهو أهلكهم
Maksudnya ;Jika kamu mendengar seorang mengatakan semua orang binasa, maka dialah yang lebih binasa.

Cukuplah sekiranya kita dapat mengambil iktibar daripada sabda Nabi Muhammad s.a.w.:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ مِنْ كِبْرٍ
“Tiada masuk syurga orang yang ada pada hatinya setimbang semut kecil daripada biji sawi daripada takabbur.” .

3. Nasab Keturunan
Ramai manusia menjadi sombong kerana ketuurnannya dan memandang rendah orang lain yang tidak mempunyai nasab keturunan sepertinya. Mereka berasa keturunannya yang terdiri daripada salihin, ‘amilin, hartawan, bangsawan dan sebagainya menyebabkan mereka menjadi manusia yang mulia. 
Dari Abu Dhar r.a. katanya:
روي أن أبا ذر رضي الله عنه قال قاولت رجلا عن النبي صلى الله عليه وسلم فقلت له يا ابن السوداء فغضب صلى الله عليه وسلم وقال يا أبا ذر ليس لابن البيضاء على ابن السوداء فضل
Maksudnya;“Pada suatu hari aku bercakap-cakap dengan seorang, Aku berkata: “Wahai anak si hitam.” Rasulullah s.a.w. segera menegur, sabdanya: “Wahai Abu Dhar! Tidak ada kelebihannya bagi anak si putih ke atas anak si hitam

4. Paras Rupa Dan Kehebatan Fizikal
Manusia sering besifat sombong apabila merasakan dirinya cantik dan hebat, lalu timbullah rasa takjub dengan keindahan dan kehebatan rupa parasnya. Wajarlah mereka ini merenung sabda Rasulullah s.a.w.:
إن الله لا ينظرُ إلى أجسامكم، ولا إلى صوركم، ولكن ينظرُ إلى قلوبكم وأعمالكم
“Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada bentuk dan rupa kamu, tetapi Allah memandang kepada hati dan amalan kamu.” .

5. Harta Kekayaan
Orang kaya merasa sombong bila melihat orang miskin. Mereka merasakan usaha mereka menjadikan mereka kaya sedangkan orang miskin adalah orang yang bodoh dan malas berusaha.

Ada juga di antara mereka menganggap golongan kaya mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah S.W.T. Mereka berkata bahawa mereka boleh bersedekah dengan sebanyak-banyak sedekah, sedangkan si fakir miskin itu untuk menyuap sesuap nasi ke mulut sendiri pun masih belum tentu. Mereka lupa sebenarnya Allah telah menempatkan kedudukan yang istimewa kepada golongan fakir miskin yang beriman kepada Allah S.W.T.

Sesetengah golongan kaya sibuk dengan slogan ‘jihad ekonomi’ sehingga lupa jihad yang lebih besar iaitu jihad melawan hawa nafsu. Nabi s.a.w. telah bersabda:
قدمتم من الجهاد الأصغر إلى الجهاد الأكبر مجاهدة العبد هواه
“Kita kembali daripada perang kecil menuju perang besar iaitu seorang hamba berjuang melawan hawa nafsu.”

Maka tidak sewajarnya si kaya memandang rendah si miskin, kerana seperti yang diterangkan bahawa si miskin yang beriman itu besar nilainya di sisi Allah S.W.T.
Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda:
اللهمَّ أحييني مِسكيناً وأمتني مِسكيناً واحشرني في زمرةِ المساكين
“Ya Allah, hidupkan aku dalam keadaan miskin, dan mati aku miskin, dan himpunkan aku di kalangan orang-orang miskin.” 

Maka kata A‘isyah Radhiyallahu ‘anha: “Kerana apa, ya Rasulullah?” Maka sabdanya: “Bahawasanya mereka itu masuk Syurga 40 tahun lebih dahulu daripada orang kaya . Hai A‘isyah, sayangilah orang-orang miskin dan hampirilah mereka itu, nescaya hampir kepada Allah Ta‘ala pada hari kiamat.” 

6. Kekuasaan
Memiliki kuasa,sama ada dia memiliki kuasa besar atau kecil. Kuasa besar itu seperti jadi raja, presiden, perdana menteri, gabenor dan lain-lain lagi. Kuasa kecil seperti jadi pegawai, penghulu, guru besar, guru-guru dan lain-lain lagi. Kuasa yang ada itu sekiranya tidak mempunyai hati yang baik akan mendorongnya menjadi sombong. 

7. Pengikut dan penyokong.
Manusia yang hatinya tidak sihat akan berasa hebat apabila di belakangnya ramai pengikut atau peminat. Keangkuhannya dan kesombongannya bertambah kuat apabila apa-apa yang diperkatakan dan dilakukan sentiasa mendapat sokongan daripada pengikut tanpa melihat sama ada ia satu kebenaran atau kebatilan.
Justeru, marilah sama-sama kita menjaga hati kita agar sentiasa insaf dan merendah diri biarpun semua perkara di atas menjadi milik kita. Jangan jadikan ia sebab kepada kesombongan dan ketakabburan tetapi jadikanlah ia sebagai sebab untuk kita hampir kepada Allah swt dan menginsafi semua perkara tersebut merupakan ujian daripada Allah swt. Semoga kita berjaya dengan ujian ini dan mendapat keredhaan Allah swt.


Sifat Sombong di Benci Oleh Allah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Dari Abdullah bin Mas'ud dari Nabi SAW., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud, "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan."

Salah seorang berkata, "Sesungguhnya ada orang yang menyukai baju dan sandal yang bagus."

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan mencintai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sombong adalah penyakit berbahaya, dimana jika penyakit ini bersarang di hati, nescaya akan mendorong pelakunya untuk berbuat dosa yang akan menjauhkannya dari Syurga dan mendekatkan ke Neraka.

Sombong adalah sebuah penyakit yang akan menjadi penghalang bagi pelakunya dari syurga dan keselamatan. Sombong ibarat racun yang berada di dalam hati, jiwa dan perasaan. Di mana racun itu akan menyerap dalam jiwa, harta, kedudukan, kekuatan, kemampuan dan ilmu seseorang. Racun dalam jiwa manusia yang tidak akan boleh lepas dari was-was syaitan dan beranggapan bahawa ia adalah orang yang paling penting atau mempunyai kedudukan tinggi.

Orang yang sombong, mula-mula sombong dengan manusia, lama kelamaan dia akan menjadi sombong dengan Allah SWT.

Penyakit sombong ini boleh di ibaratkan seperti setitik noda dalam jiwanya. Jika hati telah ternoda dengan noda-noda kesombongan ini, si pemilik hati seperti itu selamanya akan berada di dalam keracunan, ia tidak akan boleh berlaku adil atau mengikuti kebenaran. Sombong adalah kegelapan. Kegelapan yang menyelimuti bashirah manusia sebelum penyelimuti akal fikirannya. Tatkala kesombongan menyelimuti mata hatinya, saat itu pula kesombongan menyelimuti akal fikirannya.

Sombong adalah sifat mazmumah (buruk), manusia yang sombong adalah mereka yang menolak kebenaran dan tidak menghargai kebolehan atau kelebihan orang lain. Lazimnya orang yang sombong suka berdusta dan bercakap bohong.

Sombong adalah pakaian Allah SWT, sesiapa yang cuba hendak mengambil pakaian Allah, maka Allah akan murka dan akan memasukkan ke dalam neraka. Kesombongan sebenarnya menghalang seseorang untuk membuat kebajikan dan tidak segan silu akan melecehkan orang lain. Allah SWT sama sekali tidak suka jika ada hamba-Nya yang dilecehkan. Dia Maha Benar dan mencintai kebenaran, sebagaimana Dia Maha Indah Yang mencintai keindahan.

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah sama-sama kita jauhkan diri kita dari sifat sombong. Lawan dari sifat sombong adalah sifat tawaduk iaitu sifat merendahkan diri. Hiasilah diri kalian semua dengan sifat-sifat tawaduk, lemah lembut, sopan santun, berbudi bahasa dan menghormati orang lain walaupun terhadap anak-anak kecil.
Read More

SIFAT SOMBONG ( 7 CIRI )

Jauhi Tujuh Jenis Sombong Yang Di Laknat Oleh Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sombong adalah salah satu ...sifat mazmumah yang paling dibenci oleh Allah SWT. Manusia yang diciptakan oleh Allah SWT adalah serba kekurangan , lemah dan perlu bergantung kepada Allah SWT yang bersifat Maha Perkasa dan Maha Bijaksana.

Manusia yang bersifat sombong cuba hendak meniru sifat Allah SWT dan sifat ini amat ditegah untuk di amalkan oleh sesiapa sahaja dikalangan makhlukNya. Iblis mendapat laknat dan kutukan daripada Allah SWT kerana cuba bersikap sombong dan enggan menurut perintah Allah SWT untuk bersujud kepada Nabi Adam a.s.

Terdapat tujuh jenis sombong yang akan mendapat laknat Allah SWT.

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama: Sombong kerana kelebihan seseorang dengan pengetahuan ilmunya, baik ilmu dunia atau ilmu akhirat.

Apabila ilmu sudah penuh di dada, dia menganggap orang lain jahil belaka, semua orang buta dan jika ada pandangan yang bernas tetapi tidak diterimanya. Orang yang sombong seumpama ini hendak dirinya selalu dihormati oleh orang lain terutama ketika di khalayak ramai, oleh anak muridnya dan orang bawahannya serta sentiasa meminta diberi layanan mulia.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat kesombongan walau hanya sebesar zarah.” (Hadis riwayat Muslim)

Kedua: Sombong kerana kelebihan beribadat seseorang.

Penyakit orang ahli abid yang merasa diri mereka terlalu banyak beribadat berbanding dengan orang lain sehingga menganggap orang lain tidak mampu beribadat seperti mereka.

Sedangkan mereka sebenarnya terpedaya dengan tipu daya syaitan. Rasulullah SAW telah mengingatkan melalui sabda Baginda yang bermaksud: “Bahawa siapa yang memuji dirinya sendiri atas suatu amal soleh, bererti sudah tersesat daripada mensyukurinya, dan gugurlah segala amal perbuatannya.“

Ketiga: Sombong kerana ego memperkasakan keturunannya dan memandang rendah keturunan orang lain.

Sesiapa yang memperjuangkan asyabiah dan berbangga dengan bangsanya, suku kaumnya atau keturunan bangsawa dan menganggap bahawa berketurunannya lebih mulia berbanding orang lain, atau berbangga dengan kehebatan datuk nenek moyangnya bahawa mereka adalah pahlawan terbilang atau ada karramah maka ini termasuk sombong yang dilarang.

Contoh kisah Abu Zar r.a pernah menghina Bilal r.a dengan sebutan menghina keturunannya. Nabi SAW menjelaskan bahawa jika seseorang menghina seseorang kerana keturunannya maka dalam dirinya masih ada sifat jahiliah. Dalam kisah ini Abu Zar r.a telah menyesal dan bertaubat dan meminta maaf kepada Bilal r.a.

Sifat sombong seperti ini tidak ubah seperti kaum Bani Israel yang dilaknat Tuhan, seperti termaktub dalam al-Quran. Mereka bangga dengan keturunan mereka yang banyak menjadi nabi ikutan, konon keturunan mulia dikasihi Tuhan.

Keempat: Sombong kerana berasa diri cantik dan sempurna.

Sesiapa yang suka memandang orang lain dengan hina, seperti merendah-rendah ciptaan Allah hingga sanggup menyindir atau memberi gelaran tidak baik seperti pendek, berkulit hitam atau gemuk adalah jenis sombong yang dilaknat.

Kelima: Sombong yang berpunca daripada kelebihan harta.

Apabila diberi Allah SWT harta maka membuat dia lupa daratan, berbangga dengan kekayaan yang ada, rumah besar, kereta mewah hingga memandang rendah orang yang kurang berada. Sifat ini ditunjukkan oleh Qarun (umat dizaman Nabi Musa a.s.) berbangga dengan kekayaannya hingga dia dan hartanya telah ditelah bumi dengan izin Allah SWT.

Keenam: Sombong kerana kekuatan dan kegagahan diri.

Semua orang akan dibuli kerana kuatnya badan kita tidak terperi, hingga boleh memakan kaca, kunyah besi, boleh menarik bas dan lori hanya dengan gigi, boleh dihempap badan dengan batu dan besi, atau sebagainya. Menunjukkan badan berketul-ketul , menang bertanding bina badan dan berbangga dengan badan yang cantik.

Contoh dizaman Nabi SAW ada seseorang yang berjuang kerana bangsa arab dan berjuang supaya digelar seorang pahlawan arab yang terbilang (namanya Qazman) maka matinya bukan kerana Allah SWT dan dia tidak termasuk mati syahid dan akan dicampakkan ke dalam neraka.

Ketujuh: Sombong dan berbangga kerana ramainya pengikut setia di belakang.

Biasanya sombong seperti ini berlaku kepada pemimpin negara, pemimpin masyarakat, ketua organasasi, ketua NGO, pemimpin parti atau ulama tersohor ( orang alim). Jika berlaku dikalangan ulama dia berbangga dengan ramainya murid yang memuji. Guru silat pula berbangga dengan ramainya murid yang hebat menunjukkan ketangkasan bermain senjata dan sebagainya.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah adakah kita terlibat dengan salah satu tujuh sifat sombong yang dilaknat oleh Allah SWT seperti yang dinyatakan di atas? Jika ada cubalah kita buangkan jauh-jauh daripada diri kita supaya di akhirat nanti sifat sombong ini akan menjauhkan daripada rahmat Allah SWT dan akan mencampakkan diri ke dalam neraka.

Neraka adalah tempat golongan yang sombong, ego, riak, bongkak, takbur, ujub dan sum'ah. Penawarnya ada di tangan kita sendiri kerana penyakit sombong ini hanya akan memakan diri. Jika bukan sekarang, mungkin di masa akan datang. Ubatilah sifat sombong itu dan jangan sesekali menghina orang lain kerana ianya sifat yang dilaknat oleh Allah.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh manusia, kerana hinanya mereka pada Allah.” (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari Abu Hurairah)

Read More

SIFAT SOMBONG DAN TAKBUR

Jauhi Diri Daripada Sifat Sombong Dan Takabbur

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Perjalanan hidup sebagai seorang Muslim sebenarnya adalah suatu perjalanan seorang hamba kepada Penciptanya yang mengharapkan keredaan dan keberkatan-Nya. Mengorak langkah perjalanan ini akan menemukan kita dengan pelbagai persoalan dan permasalahan hidup. Persoalan mengenai pengabdian kita terhadap Pencipta dan permasalahan hidup sesama manusia. 
  
Antara sikap yang amat tidak digemari oleh manusia untuk dihadapi ialah sikap sombong atau takabbur. Walaupun sikap ini tidak menyebabkan kekurangan kepada diri orang lain secara fizikalnya, tetapi mengucapkan perkataan-perkataan yang berbaur ketakburan atau kesombongan menyebabkan orang yang mendengar merasa meluat, tersinggung dan panas hati. 
  
Apakah tanggapan agama terhadap sikap sombong atau takabbur? Adakah Islam amat memberi perhatian kepada sikap ini yang pada lahirnya tidak memberi kesan yang nyata kepada diri pelaku atau orang di sekeliling?

Ini seiring dengan sebuah hadis Qudsi yang bermaksud:
"Allah s.w.t. berfirman bermaksud (di dalam Hadis Qudsi) : "Kesombongan adalah selendangKu dan kebesaran adalah sarungKu. Maka barang siapa menyamai-Ku salah satu dari keduanya, maka pasti Kulemparkan ia ke dalam Jahannam dan tidak akan Kupedulikan lagi." 
  
Apabila kita meneliti maksud hadis ini, ia dengan jelas menyatakan bahawa kesombongan dan kebesaran itu hanya milik Allah s.w.t. semata-mata, tetapi bagaimanakah perasaan ini masih boleh timbul di dalam hati manusia? Sebenarnya, perasaan sombong atau takabbur boleh berlaku apabila timbulnya suatu pandangan terhadap orang lain dengan pandangan yang kecil dan hina. 

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Sombong itu ialah menolak kebenaran dan menghinakan makhluk." 
  
Perkara-perkara yang biasanya menjadi bahan kesombongan atau ketakabburan sebagaimana yang dinyatakan di dalam Kitab Ihya Ulumuddin (tulisan Imam Al-Ghazali) ada tujuh perkara, iaitu ilmu pengetahuan, amalan dan peribadatan, keturunan, keindahan dan kelebihan pada bentuk fizikal, harta kekayaan, kekuatan fizikal dan kuasa atau pengaruh. 


1) Dalam aspek ilmu pengetahuan.
 Lazimnya kesombongan itu berlaku apabila seseorang itu telah mendapat pengiktirafan daripada masyarakat tentang ilmu yang ada padanya lantas dia menganggap bahawa orang lain itu bodoh dan jahil .



Sebaliknya, haruslah disedari bahawa menuntut ilmu pengetahuan bagi seorang muslim sebenarnya adalah untuk membawa diri dan jiwanya kepada suatu keinsafan tentang kedudukannya sebagai seorang hamba dan kedudukan Tuhannya sebagai Pencipta. Ilmu pengetahuan yang dimilikinya seharusnya akan menambahkan lagi nilai ketakwaan kepada Allah s.w.t.


Firman Allah yang bermaksud :
"Bahawasanya yang dapat merasakan takut kepada Allah dari golongan hamba-hamba-Nya itu ialah alim ulama" 


2) Amalan dan peribadatan.
 Memang tidak dinafikan, apabila masyarakat mengiktiraf seseorang itu sebagai orang warak dan bertakwa, bagi mereka yang sombong dan takabbur, dia akan mengira-ngira dia telah banyak melakukan amal ibadat. Dia akan mengharapkan agar dia diberi keutamaan dalam majlis-majlis tertentu, diraikan dan diberi puji-pujian oleh masyarakat.


3) Keturunan atau salasilah. 
Tanpa sedar, manusia lazimnya akan berbangga dengan keturunan mereka seperti daripada kerabat diraja, bangsawan , keturunan syed/syarifah dan sebagainya. 


Perasaan ini secara tanpa sedar juga pernah dialami oleh seorang sahabat Rasulullah s.a.w., yakni Abu Dzar. Beliau berkata;



"Pada suatu hari, ketika aku berada di hadapan Rasulullah s.a.w., datanglah seorang yang berkulit hitam. Lantas saya menyapanya, "Hai anak orang hitam" Apabila Rasulullah s.a.w. terdengar sahaja aku menyebut anak orang hitam, baginda menempelakku dengan mengatakan; 'Hai Abu Dzar, tidak ada kelebihan bagi seseorang yang berketurunan kulit putih di atas orang yang berketurunan kulit hitam. 'Alangkah menyesalnya aku apabila telah terlanjur mengucapkannya. Lalu akupun membaringkan tubuhku dan berkata kepada orang tersebut; Nah saudara, pijaklah pipiku ini." 



4) Kecantikan atau ketampanan. 
Kesombongan atas sebab ini amat mudah untuk diterima oleh sesiapa sahaja. Suatu anugerah yang Allah berikan sejak dari manusia dilahirkan. Orang yang cantik atau tampan mudah sahaja menjadi tumpuan orang-orang yang berada di sekelilingnya terutama seleberiti dan artis. Seseorang yang tidak mempunyai iman yang kuat, sudah pasti amat mudah merasa bangga dan sombong dengan apa yang ada padanya.


5) Kekayaan harta .
Kesombongan amat mudah berlaku di kalangan mereka yang berada dan kaya seperti golongan koperat, jutawan dan ahli perniagaan. Contoh yang paling nyata adalah kekayaan Qarun dizaman Nabi Musa a.s. berlagak sombong dan takabbur, enggan membayar zakat dan memfitnah Nabi Musa a.s.


Nama Qarun diulang sebanyak empat kali dalam Al-Quran, dua kali dalam surah al-Qashash, satu kali dalam surah al-Ankabut, dan satu kali dalam surah al-Mu'min. Penyebutan dalam surah al-Ankabut pada pembahasan singkat tentang pendustaan oleh tiga orang sombong iaitu Qarun, Fir'aun, dan Haman, lalu Allah menghancurkan mereka.



"Dan (juga) Qarun, Fir'aun dan Haman. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Musa dengan (membawa bukti-bukti) keterangan-keterangan yang nyata. Akan tetapi, mereka berlaku sombong di (muka) bumi, dan tiadalah mereka orang-orang yang luput (dari kehancuran itu)."



Firman Allah s.w.t yang bermaksud :"Janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan sombong, sesungguhnya engkau itu tiada dapat menembusi bumi dan tidak akan engkau sampai setinggi gunung." 
(Surah Al-Isra' :37) 


6) Kekuatan dan keperkasaan tubuh. 
Manusia amat mudah merasa amat bangga dan sombong apabila memiliki tubuh yang kuat dan perkasa. Kelebihan yang dimilikinya kadang-kadang menjadi bahan untuk mengancam orang lain yang lebih lemah. Atau untuk memaksa orang-orang yang lebih lemah menuruti kemahuannya. 


Di dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud; 
"Orang yang paling gagah perkasa di antara kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan nafsunya pada waktu marah dan orang yang tersabar di antara kamu semua itu ialah orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain padahal ia mampu untuk membalasnya." 



7) Pengaruh dan kuasa .
Manakala perkara yang terakhir sekali yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali sebagai perkara yang boleh menimbulkan kesombongan ialah pengaruh ataupun kuasa. 

Pemimpin yang tertipu dengan perasaannya, walau di peringkat mana sekalipun kepimpinannya akan merasa bahawa dirinya sudah cukup hebat berbanding orang lain. 

Sahabat yang dikasihi,
Kesombongan atau takabbur merupakan suatu perasaan yang apabila ia timbul dan tidak dikendalikan dengan baik dan penuh keinsafan, akan menjadikan pemiliknya amat kerugian. 


Ini kerana sikap ini mampu menjadi penghalang bagi seseorang untuk ditempatkan di dalam Syurga, disebabkan sifat ini menjadi pemisah antara seseorang dengan akhlak dan budi pekerti kaum Mukmin keseluruhannya. Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, takabbur atau sombong adalah rasa tinggi diri berbanding dengan orang lain. Seseorang yang memiliki sifat ini sudah pasti tidak mempunyai perasaan menyayangi saudara mukminnya yang lain sebagaimana dia menyayangi dirinya sendiri.



Orang yang sombong juga tidak akan dapat meninggalkan perasaan dendam, memberi nasihat kepada saudara Muslim yang lain secara jujur atau ikhlas dan tidak dapat melaksanakan budi pekerti yang baik.


Maka kita sewajarnya sama-sama menginsafi bahawa keagungan, kehebatan dan sifat sombong itu hanya dimiliki oleh Allah. Dan bagi manusia, sifat sombong atau takabbur sebaik-baiknya dengan dengan sifat tawaddhu'. Sifat tawaddhu' adalah sifat rendah diri dan menginsafi diri bahawa manusia itu perlu sentiasa berada di bawah ketundukan dan ketaat kepada Allah s.w.t. Sifat inilah sebenarnya yang mengangkat darjat manusia di sisi Allah s.w.t.




Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Barang siapa bertawaddhu' kerana Allah, maka akan diangkat darjatnya oleh Allah, barang siapa yang sombong, maka akan dijatuhkan darjatnya oleh Allah, barang siapa bersikap bersederhana (tidak boros dan tidak pula kikir), maka akan dijadikan kaya oleh Allah, barang siapa membazir, maka akan dijadikan miskin oleh Allah dan barang siapa memperbanyak ingatan kepada Allah, maka dicintai oleh Allah."



Read More

SIFAT TAQWA EMPAT CIRI

Hayatilah Empat Ciri-ciri Orang Bertakwa

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.(Iaitu) orang-orang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan."(Surah Ali-Imran ayat 133-134)

Huraiannya :

Dalam ayat 133 surah Ali-Imran di atas Allah SWT  menyuruh supaya kaum muslimin bersegera meminta ampun kepada-Nya apabila telah terjatuh ke jurang dosa dan maksiat, kerana manusia tidak luput dari kesalahan dan kesilapan. Seorang muslim tidak akan mahu mengerjakan perbuatan yang dilarang Allah SWT, tetapi kadang-kadang kerana kuatnya godaan dan tipu daya syaitan dia terjerumus juga ke dalam jurang maksiat, kemudian dia sedar akan kesalahannya dan menyesal atas perbuatan itu lalu bertaubat dan mohon ampun kepada Allah SWT, maka Allah SWT akan mengampuni dosanya itu. Dia adalah Maha Penerima Taubat dan Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Bila seorang muslim selalu mentaati perintah Allah SWT dan Rasul-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya dan bertaubat bila jatuh ke jurang dosa dan maksiat, maka Allah SWT akan mengampuni dosa-dosanya dan akan memasukkan nanti di akhirat ke dalam syurga yang amat luas sebagai balasan atas amal yang telah dikerjakannya di dunia iaitu syurga yang disediakan-Nya untuk orang-orang yang bertakwa kepada-Nya.

Dalam ayat berikutnya 134, ayat ini langsung menjelaskan sifat-sifat orang-orang yang bertakwa iaitu:

Pertama: Orang yang selalu menafkahkan hartanya baik dalam keadaan berkecukupan maupun dalam keadaan kesempitan (miskin).

Dalam keadaan berkecukupan dan dalam keadaan sempit ia tetap menginfakkan hartanya sesuai dengan kemampuannya.

Menafkahkan harta itu tidak semestinya dalam jumlah yang tertentu sehingga membei ruang dan mengizinkan orang miskin untuk memberi sumbangan. Bersedekah itu boleh saja dengan barang atau wang ringgit yang sedikit jumlahnya kerana itulah kesanggupan untuk memberi sumbangan, walaubagaimana pun dia tetap akan memperoleh pahala dari Allah SWT.

Diriwayatkan oleh Aisyah Ummul mukminin bahawa dia pernah bersedekah dengan sebiji anggur, dan di antara sahabat-sahabat Nabi SAW ada yang bersedekah dengan sebiji bawang.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Peliharalah dirimu dari api neraka meskipun dengan menyedekahkan sepotong kurma, dan perkenankanlah permintaan seorang peminta walaupun dengan memberikan sepotong kuku hewan yang dibakar"
(Hadis Riwayat Ahmad dalam musnadnya)

Bagi orang kaya dan berharta tentulah sedekah dan dermanya harus disesuaikan dengan kemampuannya bukanlah memberi ala kadar sahaja. Sungguh amat mendukacitakan bila seorang yang berlimpah-ruah kekayaannya hanya memberikan derma atau sedekah sama banyaknya dengan pemberian orang miskin. Ini menunjukkan bahawa kesedaran bersedekah belum tertanam di dalam hatinya.

Allah SWT berfirman maksudnya : "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya; Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan (sekadar) apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan"
(Surah at-Talaq ayat 7)

Sifat kikir (kedekut) yang tertanam dalam hati manusia hendaklah dibuangkan dengan segala macam cara dan usaha, kerana sifat ini adalah sifat orang fasik dan munafik. Tak ada satu umatpun yang dapat maju dan hidup berbahagia kalau sifat kikir ini menguasai dalam jiwa manusia terutama umat Islam. Sifat kikir (kedekut) adalah sifat ahli neraka dan bertentangan dengan sifat kemanusiaan.

Oleh sebab itu Allah SWT memerintahkan orang beriman supaya menginfakkan hartanya dan menjelaskan bahawa harta yang ditunaikan zakatnya dan disedekahkan sebagiannya tidak akan berkurang bahkan akan bertambah.

Firman Allah SWT maksudnya : "Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah"
(Surah al-Baqarah ayat 276)

Imam al-Gazali menjelaskan seperti  berikut : "Memerangi suatu sifat yang buruk haruslah dengan membiasakan diri melakukan lawan sifat itu. Jadi kalau seseorang hendak menghapuskan sifat kikir dalam dirinya hendaklah dia membiasakan bersedekah dan memberi pertolongan kepada orang lain. Dengan membiasakan diri itu akan hilanglah sifat kikirnya itu dengan berangsur-angsur".

Kedua: Orang-orang yang menahan amarahnya.

Biasanya orang yang mengikuti rasa amarahnya tidak dapat mengawal akal fikirannya dan ia akan melakukan tindakan-tindakan kejam dan jahat sehingga apabila sedar dia pasti menyesali tindakan yang dilakukannya itu melampau batas.

Oleh kerana itu bila seorang dalam keadaan marah hendaklah ia berusaha sekuat tenaganya menahan rasa amarahnya itu lebih dahulu. Apabila ia telah menguasai dirinya kembali dan amarahnya sudah mulai reda, barulah ia melakukan tindakan yang adil sebagai balasan atas perlakuan orang terhadap dirinya.

Apabila seorang telah melatih dirinya seperti itu maka dia tidak akan melakukan tindakan-tindakan yang melampaui batas, bahkan dia akan menganggap bahawa perlakuan yang tidak adil terhadap dirinya itu mungkin kerana kesilapan dan tidak disengaja dan ia akan memaafkannya. Allah SWT menjelaskan bahawa menahan marah itu suatu jalan ke arah takwa. Orang-orang yang benar bertakwa pasti akan dapat menguasai dirinya di waktu  marah.

Pernah Siti Aisyah menjadi marah kerana tindakan pembantunya. Tetapi beliau dapat menguasai dirinya, kerana sifat takwa yang bersemi dalam dirinya. Beliau berkata: "Alangkah baiknya sifat takwa itu, dia menjadi ubat bagi segala kemarahan".

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi)

Hal itu dinyatakan Rasulullah SAW kepada seorang lelaki bertanya baginda: “Wahai Rasulullah! Apakah sesuatu yang lebih berat? Dijawab Rasulullah SAW : "Kemurkaan Allah!" Lelaki itu bertanya lagi: "Apakah sesuatu yang dapat menjauhkan aku daripada kemurkaan Allah? Rasulullah SAW  menjawab: "Jangan marah."
(Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Amr)

Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Dan apabila mereka marah segera memberi maaf."
(Surah as- Syura ayat 37)

Ketiga: Orang yang memaafkan kesalahan orang lain.

Memaafkan kesalahan orang lain sedang kita sanggup membalasnya dengan yang setimpal adalah suatu sifat yang baik yang harus dimiliki oleh setiap muslim yang bertakwa. Mungkin hal ini sukar dipraktikkan kerana sudah menjadi kebiasaan bagi manusia membalas kejahatan dengan kejahatan tetapi bagi manusia yang sudah tinggi akhlak dan kuat imannya serta telah dipenuhi jiwa  dengan takwa, maka memaafkan kesalahan itu mudah saja baginya.

Mungkin membalas kejahatan dengan kejahatan masih dalam rangka keadilan tetapi harus disedari bahwa membalas kejahatan dengan kejahatan pula tidak dapat membasmi atau melenyapkan kejahatan itu. Mungkin dengan adanya balas membalas itu kejahatan akan meluas dan berkembang.

Tetapi bila kejahatan itu dibalas dengan maaf dan sesudah itu diiringi dengan perbuatan yang baik, maka orang yang melakukan kejahatan itu akan insaf, bahawa dia telah melakukan perbuatan yang buruk dan tidak adil terhadap orang bersih hatinya dan suka berbuat baik.Dengan demikian dia tidak akan melakukannya lagi dan tertutuplah pintu kejahatan itu.

Keempat: Orang-orang yang berbuat kebaikan.

Berbuat baik dan suka membuat kebajikan termasuk sifat orang yang bertakwa maka di samping memaafkan kesalahan orang lain hendaklah memaafkan itu diiringi dengan berbuat baik kepada orang yang melakukan kesalahan.

Diriwayatkan oleh Al Baihaqi, ada seorang jariah (hamba wanita) kepunyaan Ali bin Husein (cicit Rasulullah SAW) menolong tuannya menuangkan air dari bekas untuk mengambil wuduk. Kemudian bekas itu jatuh dari tanganya dan pecah,  lalu Ali bin Husen menentang mukanya seakan-akan dia marah.

Hamba itu berkata: "Allah SWT telah berfirman yang maksud : "Dan orang-orang yang menahan amarahnya".(Surah Ali- Imran ayat 134)

Ali bin Husen menjawab : "Aku telah menahan amarah itu".

Kemudian hamba itu berkata pula: Allah SWT berfirman maksudnya : "dan orang-orang yang memaafkan (kesalahan) manusia" (Surah Ali- Imran ayat 134)

Dijawab oleh Ali bin Husen: "Aku telah memaafkanmu"

Akhirnya hamba itu berkata lagi: Allah juga berfirman maksudnya : "dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan" (Surah Ali Imran ayat 134)

Ali bin Husen menjawab: "Pergilah kamu aku telah memerdekakanmu" demi untuk mencapai keredaan Allah.

Demikianlah tindakan salah seorang cicit Nabi Muhammad SAW. terhadap kesalahan seorang hambanya kerana dia adalah seorang  mukmin yang bertakwa, tidak saja dia memaafkan kesalahan hambanya bahkan diiringinya kemaafan itu dengan berbuat baik kepadanya dengan memerdekakannya.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menghiasi diri kita dengan sifat takwa iaitu meragkumi empat ciri-ciri akhlak Islam seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam ayat-ayat di atas iaitu sifat suka bersedekah, menahan perasaan marah, memaafkan kesalahan orang lain dan sentiasa membuat kebaikan dan kebajikan. Jika kita sentiasa istiqamah dengan sifat-sifat ini maka tidak ada balasan yang lebih baik melainkan balasan syurga.
Read More

SIFAT TAWADHUK

Sifat Tawadhu'

Tawadhu' biasanya di terjemahkan dengan erti merendah diri. Beberapa pandangan ulama' berkaitan sifat tawadhu' ialah;

Bersikap tenang, sederhana dan sungguh-sungguh serta menjauhi perbuatan takabbur (sombong). Tawadhu' adalah satu sifat orang Mukmin yang termasuk siddiq.
Orang yang patuh dan taat menerima yang benar serta menerima kebenaran itu walau dari sesiapa pun. 
Tidak pernah menganggap dirinya lebih tinggi dari orang lain.
Orang yang yang tidak pernah membusungkan dada, orang yang bersifat lemah lembut dan hormat pada sesiapa pun, meskipun orang yang miskin dan tidak berpangkat.
Sifat yang tegas, hanya 'menerima yang hak dan menolak yang batil'
Satu tekad kesungguhan dalam mencapai yang benar."
Allah berfirman dalam sebuah hadis Qudsi:
يقول الله : من تواضع لي هكذا - وجعل باطن كفه إلى الأرض وأدناها إلى الأرض - رفعته هكذا - وجعل باطن كفه إلى السماء ورفعها نحو السماء
Maksudnya;"Barangsiapa tawadhu'(merendah diri) kerana Aku (Allah) seperti begini: Ia itu Rasulullah menunjukkan dengan menelangkupkan tangannya ke bumi, nescaya Aku angkat seperti ini (ia itu Rasulullah membalikkan tangannya ke arah langit)."
(Abu Bazar, Abu Ya'la dan Thabrani)

Allah berfirman dalam Surah Al- Furqan ayat 63

وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا"
"Dan Hamba-hamba Allah yang Maha Penyayang, ia lah orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati, dan apabila orang-orang jahil mengajak bertengkar dengan mereka, mereka balas dengan ucapan-ucapan bijaksana." 

Antara perilaku orang yang tawadhu' ialah :


Mudah menerima pandangan orang lain biarpun dia juga ada pandangannya sendiri. Dia tidak ada apa-apa masalah menerima pandangan orang yang lebih muda daripadanya ataupun orang yang lebih rendah pangkat daripadanya.
Sabar dalam perbincangan, tidak mudah marah atau emosional, lebih menjaga suasana harmoni dalam perbincangan tersebut daripada bertegang leher dengan rakan-rakannya.
Tidak memilih-milih kawan, boleh bergaul dengan semua orang, tidak kira samada orang bawahan atau orang atasan, kaya atau miskin, sihat atau sakit. Malah, boleh duduk bermesra dalam satu majlis dengan orang yang pernah mengkritiknya.
Saling hormat menghormati, sekiranya berjawatan, ia menghormati orang bawahannya. sekiranya kaya, ia sangat memuliakan orang yang fakir dan miskin. Tidak timbul baginya yang ia ada kelas tersendiri.
Dalam pergaulan, lebih suka menjadi pendengar dan hanya akan bercakap bila perlu sahaja, tidak sewenang-wenangnya akan memotong percakapan orang sebaliknya memberi peluang orang itu menghabiskan percakapannya.
Dalam majlis, jika ada sesuatu kebenaran yang hendak diperkatakan, suka kebenaran itu keluar daripada mulut orang lain. Lebih-lebih lagi, jika ada orang yang lebih berpengalaman atau berilmu daripadanya dalam majlis itu.
Kalau diminta memberi pendapat dan pendapatnya diterima orang, tidak mendabik dada sebaliknya bersyukur kepada Tuhan. Jika pendapatnya ditolak, lapang dada dan tidak berkecil hati.
Mudah memberi maaf kepada orang yang tersilap dengannya. Dia tidak mudah memarahi atau menghina orang tersebut.
Segera minta maaf jika berlaku kesilapan daripadanya sekalipun kepada orang itu lebih rendah daripadanya dari segi jawatan atau umur.
Tidak minta dihormati atau dimuliakan atas kedudukannya. Jauh sekali berkecil hati jika tidak dihormati atau dimuliakan. Namun dia menerima dengan baik orang-orang yang mahu menghormati dan memuliakannya.
Tidak meninggi diri dengan menceritakan kelebihan yang ada pada dirinya. Sebaliknya dia lebih suka menceritakan kebaikan orang lain sebagai teladan.
Read More

SIFAT TAWADU' PART 1

Sifat Tawaduk Dapat Membuangkan Sifat Sombong dan Takbur

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud : "Tidak ada seorang pun yang bertawaduk kerana Allah kecuali Allah akan meninggikan darjatnya." (Hadis Riwayat Muslim)

Sifat tawaduk adalah satu sifat yang mulia, seseorang muslim yang mempunyai sifat ini akan mendapat darjat yang tinggi disisi Allah SWT. Berlawanan dari sifat tawaduk adalah sifat sombong dan takbur.

Seorang muslim yang berakhlak mulia tidak sanggup bersifat takbur serta membesarkan diri supaya di pandang tinggi oleh orang lain.Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat masa kini masih meletakkan nilai pangkat, kecantikan, harta kekayaan, keturunan sebagai asas untuk meletakkan seseorang itu dipandang mulia atau sebaliknya.

Firman Allah SWT bermaksud :"Negeri akhirat itu kami jadikan untuk orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di muka bumi dan (kesudahan yang baik) itu adalah bagi orang bertakwa." (Surah al-Qasas ayat 83)

Peringatan Allah ini mengingatkan kita bahawa seolah-olah tiada kehidupan yang baik bagi orang yang sombong dan takbur di akhirat kelak melainkan hamba-Nya yang bertakwa sahaja.Orang sombong tidak di sukai Allah.

Dengan menghayati sunnah Rasulullah SAW  kita dapati baginda sangat menitikberatkan hubungan baik sesama insan, hormat menghormati serta tidak sombong, walaupun apabila berdepan dengan musuh. Bahkan sifat pemaaf baginda s.a.w sepatutnya menjadi perangsang untuk membina ukuwah Islamiyah dan silaturahim sesama saudara muslim.

Persengkitaan dan perpecahan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini adalah berpunca dari sikap umat Islam tidak mahu kembali kepada ajaran Islam sebenarnya dan meninggalkan sunnah Rasulullah SAW.Di dalam jiwa masih menebal sifat takbur dan sombong, meremehkan orang lain untuk meninggikan diri.

Sahabat yang dimuliakan,
Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Tidak masuk syurga orang yang dalam hatinya seberat biji sawi dari kesombongan. 

Maka seorang lelaki bertanya : 'Sesungguhnya seseorang menyukai pakaiannya yang bagus dan seliparnya yang elok.'

Nabi SAW  menjawab yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah Maha Indah dan menyukai keindahan, sombong itu menolak kebenaran dan meremehkan manusia."

(Hadis Riwayat Muslim)

Orang yang sombong suka menghina orang lain ketika di dunia ini, di akhirat nanti mereka pula akan di hina oleh Allah , Allah tidak akan memandang dan berbicara dengan mereka atau menyucikan mereka dan inilah kehidupan yang sebenar-benar hina.

Orang yang takbur dengan habuan dunia lupa bahawa sombong adalah pakaian Allah, iaitu hak uluhiyah-Nya yang tidak boleh di rampas oleh sesiapa pun seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Perkasa adalah kain sarung-Ku (Allah) dan sombong ialah pakaian-Ku, barangsiapa menandingi Aku daripada salah satu dari keduanya, nescaya Aku akan menyiksanya." (Hadis Riwayat Muslim)

Bukan mudah mencabut akar umbi kesombongan yang sudah bertapak dalam diri. Kerana itulah orang yang bersifat tawaduk cuba untuk menghambakan diri serendahnya kepada Ilahi untuk menjauhi sifat takbur dan riak.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran Islam sebenar dan mengikut sunnah Rasulullah SAW  jalinilah dan perkukuhkanlah hubungan persaudaraan Islam sesama kita, buanglah sifat kebencian dan permusuhan kerana permusuhan itu adalah amalan syaitan yang di benci oleh Allah SWT.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku supaya kalian merendah hati, hingga tidak ada orang yang merasa tinggi daripada yang lain dan tidak ada orang yang berbuat zalim kepada yang lain."
Read More

SIFAT BERTIMBANG RASA

Sifat Bertimbang Rasa dan Faham Memahami adalah Sifat Orang Mukmin

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sifat bertimbang rasa dan saling faham memahami memang tidak dinafikan sebagai sifat yang baik, dalam Islam memang dituntut sifat-sifat terpuji ini. Sebagai seorang mukmin, sifat-sifat ini sememangnya dituntut untuk ditunaikan.

Benih rasa simpati atau timbang rasa ini dapat dikesan ada dalam hati bila berhadapan dengan orang yang mendapat kesusahan. Walaupun kita tidak dapat menolong dan membantunya tetapi secara automatik timbul rasa belas kasihan atau simpati itu. Setelah dikesan didapati ada sifat baik ini maka mestilah disuburkan dan dikekalkan. Ini supaya mendorong kita menolong orang yang susah atau sanggup bersusah payah untuk berkhidmat dan berbakti pada orang lain.

Syariat juga menyuruh kita bersimpati atau bertimbang rasa atau bertolak ansur pada orang lain. Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Sebaik-baik manusia ialah manusia yang dapat memberi manfaat kepada manusia lain." (Hadis Riwayat Qudha'i dari Jabir)

Kita perlu bertimbang rasa dengan orang bawahan kita iaitu pekerja atau pembantu rumah, sifat bertimbang rasa ini boleh menjalinkan perhubungan yang baik di antara majikan dengan pekerja.

Diriwayatkan daripada Abu Dzar r.a: “Aku mencerca seseorang dengan memanggil ibunya dengan panggilan yang buruk. Nabi Muhammad S.A.W bersabda kepada ku: “Ya Abu Dzar! Apakah kau mencaci maki seseorang dengan menyeru ibunya dengan panggilan yang buruk? Dalam diri mu masih tertinggal sifat-sifat Jahiliah. Pembantu-pembantu mu adalah juga saudara-saudara mu dan Allah menempatkan mereka di bawah perintah mu. Maka sesiapapun yang saudaranya di bawah perintahnya harus diberi makanan yang sama dengan yang ia makan dan diberi pakaian yang sama dengan yang ia pakai. Jangan suruh mereka mengerjakan pekerjaan di luar kemampuannya dan apabila kamu terpaksa melakukannya, bantulah mereka.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis diatas jelaslah kepada kita bahawa jika kita seorang ketua atau majikan maka sifat timbang rasa dan komunikasi dua hala seharusnya berlaku antara majikan dan orang bawahan. Seseorang majikan atau pun ketua tidak seharusnya mempunyai sikap angkuh pada kedudukan atau jawatan yang disandangnya.

Sikap megah diri akan menyebabkan seseorang majikan itu tidak dapat bekerjasama dengan orang bawahan sehingga menerbitkan perasaan dendam dan benci mereka terhadap ketua. Seharusnya seorang ketua mestilah menghargai setiap usaha yang dilakukan oleh pekerjanya, biarpun betapa kecil kerja tersebut atau ianya belum mencapai piawaian yang dikehendakinya kerana tanpa usaha yang dilakukan oleh orang bawahan mustahil seorang ketua dapat mencapai tahap kecemerlangan.

Justeru jangan menganggap orang bawahan sebagai hamba dan hendaklah menghormati maruahnya sebagai seorang manusia seterusnya memberikan penghargaan seadil-adilnya tanpa adanya sifat pilih kasih.

Sahabat yang dimuliakan,
Bertimbang rasa terhadap ibu bapa, umpamanya jangan meminta sesuatu yang tidak termampu diadakan oleh orang tua kita, sebagai seorang anak perlu menghormati dan menjaga hati mereka supaya tidak terluka disebabkan perbuatan kita kepada mereka.

Sifat bertimbang rasa perlulah menguasai hidup kita dengan sesiapa saja yang kita berurusan, misalnya  jika kita terjumpa warga mas membawa beban berat tolonglah mereka membawanya. Jika kita di dalam bas dan di dapati warga mas berdiri tidak mendapat tempat duduk, kita bolehlah memberinya tempat duduk. Utamakanlah orang yang lebih tua daripada kita jika ia memerlukan . Kerana dengan menghormatinya adalah tanda  adab dan prihatin kita kepada golongan warga mas kerana kita juga akan sampai kepada umur sepertinya.

Isteri  perlulah bertimbang rasa dan memahami akan kemampuan suami, jika suami tidak mampu mengadakan segala kemudahan yang diperlukan, memadailah dengan keperluan asas iaitu pendidikan, makanan, tempat tinggal dan pakaian. Selebihnya berpada-pada dan bersifat qanaah kerana menuntut sesuatu diluar kemampuan adalah suatu yang akan menyempitkan kehidupan.

Suami pula perlu bertimbang rasa kerana keletihan isteri bekerja dan menguruskan rumahtangga, jangan mengharapkan layanan kelas pertama tanpa memberi bantuan untuk melaksanakan secara bersama kerja-kerja rumah seperti memasak, mengemas rumah, membasuh pakaian dan sebagainya.

Selain itu, bertimbang rasa terhadap hajat sahabat  kepada kita perlu diberi perhatian, bantulah seberapa yang boleh, jika dia berhutang daripada kita dan dia belum mampu untuk membayarnya, maka berilah dia tempoh untuk menjelaskannya.

Ingatlah!  Meringankan beban saudara kita bererti kita juga  meringankan beban untuk diri kita sendiri kerana saudara seagama itu adalah saudara kita  dunia dan juga akhirat.

Oleh itu, janganlah kita bersikap tidak peduli atau bakhil terhadap mereka. Perangai dan sikap ini akan merosakkan hubungan persahabatan kita dengan saudara  seagama. Ingatlah sifat bertimbang rasa itu meringankan beban orang lain adalah sifat yang mulia disisi Allah S.W.T.dengan cara ini Allah SWT akan meringankan  beban kita di dunia dan akhirat.

Selain sifat bertimbang rasa, sifat saling faham memahami juga amat penting dalam persahabatan kerana ia adalah sifat terpuji yang harus ada pada setiap muslim.

Sabda Nabi S.A.W kepada Saydina Ali k.w : "Wahai Ali ! Tanda sahabat sejati itu ada tiga iaitu :
1.Ia lebih memperhatikan hartamu daripada hartanya sendiri.
2.Lebih mementingkan dirimu daripada kepentingan dirinya.
3.Lebih menghormatimu daripada kehormatannya sendiri."

Jika sahabat kita berada dalam kesusahan atau mempunyai masalah, bantulah mereka dengan ikhlas dan berilah mereka keyakinan yang kita  sedia membantunya selagi termampu.

Dengan demikian, lakukan dan amalkanlah adab-adab yang dianjurkan oleh Islam ini dalam persahabatan kita agar setiap persahabatan yang dibina menjadi utuh dan kukuh serta mendapat rahmat daripada Allah S.W.T.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W. bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita membina sifat bertimbang rasa dan faham memahami kepada setiap manusia terutama ahli keluarga, saudara-mara, jiran tetangga, orang bawahan kita, sahabat -handai dan masyarakat semuanya.

Tetapi apa yang menyedihkan kita, ada segelintir manusia hari ini sudah hilang sifat timbang rasa dan saling faham memahami antara satu sama lain. Mereka hanya mementingkan diri sendiri. Sehingga ada anak yang sanggup menyusahkan ibu bapa mereka dengan meminta sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh ibu bapa untuk mengikuti kehendak mereka.

Perselisihan dalam keluarga di antara suami dan isteri hingga membawa kepada penceraian adalah ditahap yang cukup membimbangkan, ianya berlaku setiap hari. Masing-masing pihak  bertegas dengan pendapat masing-masing hingga ruang perdamaian dan berbaik-baik semula menghadapi jalan buntu, hinggakan hilang perasaan belas kasihan melihat anak-anak terseksa kerana perpisahan ibu bapa mereka.

Justeru itu, kalam ini mengajak kita semua, marilah sama-sama kita membina kasih sayang dan bertimbang rasa dengan berpandukan kepada adab-adab dan akhlak yang telah digariskan dalam ajaran  Islam. Semoga kehidupan kita diredai  dan dirahmati oleh Allah S.W.T. di dunia dan akhirat.
Read More

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML