Sunday, February 16, 2014

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 92

Soal Jawab Agama Siri 92 (Doa Mendapatkan Jodoh, Hukum Perhubungan Melalui Telefon, Jodoh Di Tangan Tuhan Dan Lain-lain Lagi)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Soal Jawab Agama Siri 92 adalah menjawab persoalan doa untuk mendapatkan jodoh, hukum hubungan wanita dan lelaki bukan mahram melalui telefon, jodoh ditangan Tuhan, tujuh amalan yang diucapkan setiap hari dan kisah Hindun membelah dada Saidina Hamzah r.a.

746. Soalan :Apakah hukumnya seorang gadis berdoa agar dirinya segera dipertemukan jodoh dan mengharap dikurniakan seorang suami yang soleh? Boleh Ustaz berikan panduannya serta doa-doa yang perlu diamalkan?

Jawapan : 

Hukumnya harus, memohon agar Allah SWT memberikan jodoh orang yang baik (soleh). Di samping berdoa, mintalah bantuan ibu bapa atau sahabat yang baik agar dapat mencari pasangan yang soleh. Tindakan ini adalah lebih baik dari mencari sendiri demi mengelakkan daripada berlakunya fitnah dan maksiat.

Untuk mencari pasangan yang soleh seorang wanita hendaklah memilih calon suaminya yang faham dan menjalankan perintah agama. Jangan terlalu mementingkan perkara yang bersifat kebendaan atau meterialistik, sebab harta, kecantikan, kedudukan dan pangkat tidak akan bertahan lama. Seandainya calon suami seorang yang soleh, Insya Allah rumahtangga akan bahagia dan diberkati Allah SWT.

Walaupun begitu mulailah dari diri sendiri, hiasi peribadi dengan akhlak yang mulia agar nanti kita akan dianugerahkan Allah pasangan yang mulia pula. Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah An Nuur ayat 26 maksudnya: "Wanita-wanita yang buruk itu untuk lelaki yang buruk, dan lelaki yang buruk untuk wanita yang buruk; sedangkan wanita-wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik". 

Dalam usaha untuk mempercepat mencari pasangan hidup hendaklah kita banyak berdoa dan bermohon kepada Allah agar kita sentiasa memperoleh berkah dan rahmat-Nya. Kerjakan segala yang diperintahkan agama dan tinggalkan segala yang dilarang oleh Islam, jika amalan-amalan yang mulia ini kita laksanakan, maka Insya Allah akan ditentukan Allah dengan suatu yang lebih baik nantinya.

1. Diantara wirid yang perlu diamalkan agar disayangi orang iaitu mengucapkan "Yaa Rahim" sebanyak 100 kali setiap hari, insya Allah hajat dan kasih sayang ditumbuhkan dalam hati.

2. Doa lain iaitu mohon petunjuk yang lurus dari segala urusan (Surah al-Kahfi ayat 10).

Firman Allah SWT :

إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا آتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا (10) 

Maksudnya : "(Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdoa: `Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)".(Surah al-Kahfi (18) ayat 10)

3. Doa memperoleh hikmah dan tergolong orang yang soleh dengan menbaca surah Asy Syuara ayat 83 - 85.

Firman Allah SWT maksudnya : (Ibrahim berdoa): "Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang soleh, dan jadikanlah aku buah tutur yang baik bagi orang-orang (yang datang) kemudian, dan jadikanlah aku termasuk orang-orang yang mempusakai syurga yang penuh kenikmatan",(Surah Asy-Syuara ayat 83-85 )

4. Selalu mengerjakan solat Istikharah mohon petunjuk daripada Allah SWT siapakah lelaki soleh yang akan menjadi suami kita suatu hari nanti?.

747. Soalan : Seorang lelaki dan seorang wanita bukan mahram menjalin hubungan dengan sering berhubung melalui telefon. Mereka berbual mesra tentang kehidupan seharian, perasaan hati masing-masing, ataupun hanya berbual kosong kerana seronok dapat berbual mesra antara satu sama lain. Apakah pendapat ustaz tentang perkara ini? Apakah hukumnya?

Jawapan : 

Seorang lelaki tidak boleh berdua-duaan dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya di tempat yang sunyi kerana perbuatan ini dilarang keras oleh Islam. Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad menjelaskan larangan berdua-duaan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan kerana pihak yang ketiganya adalah syaitan. Setiap orang Islam wajib mematuhi larangan ini dan jangan cuba sekali-kali melanggarnya, kerana ia melibatkan hukum-hukum Allah.

Al-Quran menjelaskan dalam surah Al-Maidah orang yang melanggar hukum Allah tidak sunyi dari 3 kumpuilan manusia iaitu samada termasuk ke dalam golongan orang yang fasik, atau zalim ataupun kafir.Termasuk ke dalam ertikata berkhalwat yang dilarang oleh Islam ialah berbual di dalam telefon dengan perempuan yang bukan mahram, sambil menyatakan perasaan hati masing-masing tanpa tujuan yang syar'i, kerana ia menjadi jalan ke arah khalwat dan khalwat menjadi jalan ke arah perzinaan. Setiap yang menjadi jalan ke arah itu hendaklah ditutup berdasarkan kaedah feqah : 

"Menutup pintu fitnah atau Saddul Az-Zara'i itu wajib".

Satu kaedah lain menjelaskan "Sesuatu yang boleh membawa kepada haram maka hukumnya adalah haram". 

Sehubungan dengan itu seseorang lelaki Islam hendaklah menjauhkan perkara ini untuk mendapatkan keselamatan diri. Jika ia bertanya perempuan berkenaan tentang tarikh penetapan perkahwinan, beberapa ramai yang hendak datang meminang, hari apa-apa majlis itu hendak diadakan dan lain-lain yang ada hubungan dengan urusan perkahwinan, dan masanya pula tidak lama, tanpa pula ada kata-kata yang mengghairahkan, maka hukumnya adalah harus. Bagaimanapun sebaiknya pihak lelaki hendaklah bertemu terus dengan pihak keluarga perempuan untuk menguruskan perkara itu, kerana ia lebih selamat dari fitnah. Wallau a'lam.

748. Soalan : Saya ingin tahu apakah maksud sebenar jodoh dan pertemuan di tangan tuhan? Dan bolehkah kita mengubahnya? Adakah pilihan ibu bapa itu tepat dan adakah doa yang ibu pohonkan supaya anaknya menerima jodoh tersebut dimakbulkan oleh Allah? Dimanakah syurga seorang wanita, pada ibunya atau pada suaminya? Sebagai wanita siapakah yang lebih utama, ibunya atau suaminya?

Jawapan :

Memang diakui jodoh dan pertemuan itu adalah di tangan Tuhan. Bagamanapun kata-kata ini tidak boleh difahami secara umum begini, sebaliknya ia memerlukan huraian yang jelas, kerana ia mempunyai hubungan erat dengan qada' dan qadar Allah. Seseorang perempuan yang tidak di sangka-sangka dipinang orang kemudian berkahwin dan perkahwinannya kekal sehingga ke anak cucu. Itulah yang dikatakan jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Begitu juga seorang yang sudah lama bercinta dan berjanji untuk untuk berkahwin namun mereka gagal berkahwin, juga dikatakan sebagai jodoh pertemuan itu di tangan tuhan.

Bagaimanapun seseorang itu tidak boleh menyerah bulat-bulat kepada kaedah ini. Jangan hendaknya kerana jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan maka mereka tidak berusaha untuk mencari jodoh, sebaliknya mengambil sikap menunggu sahaja. Ini jelas satu prinsip hidup yang bercanggah dengan ajaran Islam. Kita dikehendaki berusaha selaras dengan ajaran-ajaran Islam yang Maha Suci, tetapi kita juga hendaklah menyerahkan kejayaan usaha kita itu kepada Allah SWT. Setelah berusaha tetapi jodoh tidak ditemui juga barulah boleh kita mengatakan jodoh dan pertemuan itu di tangan Tuhan.


Firman Allah SWT maksudnya :  “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum hingga mereka mengubah diri mereka sendiri”(Surah Ar-Ra’d ayat 11)

Dengan lain perkataan jodoh dan pertemuan yang berbentuk umum itu boleh diubah dengan usaha yang kita lakukan, kerana tidak tidak seorangpun yang dilahirkan sudah mengetahui jodoh dan pertemuannya. Sehubungan dengan usaha yang berterusan selaras dengan syariat mesti dilakukan. Selain daripada berusaha kita perlu juga banyak berdoa kepada Allah SWT.

Salman radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Tidak tertolak Qada' itu melainkan oleh doa dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Pilihan orang tua atau ibu bapa untuk anak mereka tidak semestinya tepat, tetapi kebiasaannya ibu bapa tidak akan memilih pasangan yang tidak baik untuk anak kesayangan mereka. Sebolehnya diusahakan mendapatkan pasangan yang baik kecuali mereka yang hidupnya bergelumang dengan kepentingan duniawi. Di kala itu ia akan mengutamakan kepentingan perut dari kebahagiaan rumahtangga anaknya.

Soal permohonan ibu bapa untuk menemukan jodoh anaknya adalah satu kerja yang baik. Biasanya doa kedua ibu bapa adalah doa yang mudah diperkenankan oleh Allah SWT. dan jika Allah SWT kehendaki Ia akan memakbulkan permohonan itu. Tidak mustahil, kerana itu anak-anak disuruh menaruh sangka baik kepada doa ibu bapa mereka. Bagamanapun ibu bapa tidak boleh mengharapkan doa semata-mata, sebaliknya mereka juga perlu bergerak untuk mencari jodoh untuk anaknya. Jika anaknya sudah mempunyai kenalan yang berkenan di hati di mana perwatakan pasangannnya baik menurut kacamata syarak dan tidak apa yang kurang, di masa itu elok diterima sahaja pasangan yang sudah sekufu ini.

Dari sudut ketaatan pula seorang anak perempuan dikehendaki taat kepada kedua ibu bapanya selagi ia belum berkahwin dan selagi perkara yang diperintahkan itu tidak berbentuk maksiat. Tetapi setelah ia berkahwin ketaatan berubah kepada suaminya sepenuhnya. Dengan lain perkataan syurga seseorang perempuan itu sebelum berkahwin bergantung kepada ketaatan kepada kedua ibu bapa selain dari amalan-amalan wajib yang lain, dan setelah berkahwin bergantung kepada keredhaan suaminya dan tidak dalam perkara yang berbentuk maksiat.

Seorang wanita datang kepada Nabi Sallallahu ’Alayhi Wasallam, dan Baginda Sallallahu ’Alayhi Wa sallam berkata kepadanya : ”Adakah engkau mempunyai suami?” Kata wanita itu : "Ya, ada". Baginda Sallallahu ’Alayhi Wasallam berkata kepadanya : ”Bagaimanakah engkau terhadapnya (iaitu redhanya, murkanya terhadapmu dan bagaimana pula khidmatmu kepadanya?)”. Kata wanita itu : "Sesungguhnya aku tidak mengurangi apa-apa pun dari haknya kecuali apa yang benar-benar aku tidak mampu". Nabi Sallallahu ’Alayhi Wasallam berkata lagi : ”Lihatlah di mana engkau di sisinya, sesungguhnya dia adalah syurgamu dan nerakamu.” (Hadis Riwayat Imam Malik dalam al-Muwaththa’). 

Nabi Sallallahu ’Alayhi Wasallam menyuruh para isteri supaya sentiasa menimbang, memuhasabah dan menilai, apakah suami redha atau murka kepadanya. Apakah suami berpuas hati dengan khidmatnya? Kerana redha atau murkanya suami boleh menjadi faktor samada si isteri tadi ke syurga atau ke neraka.

749. Soalan : Apakan amalan-amalan harian yang perlu diucapkan oleh setiap orang mukmin untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT?

Jawapan :

Terdapat 7 amalan yang dituntut untuk diucapkan oleh setiap orang mukmin yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.

Amalan-amalan tersebut adalah seperti berikut :

1. Mengucap 'Bismillah' pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud : "Apabila seseorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut Allah (membaca Bismillaah) di kala masuk dan di kala makan, maka berkata syaitan : "Tiadalah peluang aku bermalam dengan kamu dan tiadalah pada makanan malam kamu." Dan apabila seorang masuk ke rumahnya , maka dia tidak menyebut Allah di kala memasukinya, maka berkata syaitan : "Aku akan bermalam dengan kamu." Seterusnya apabila dia tidak menyebut Allah di kala makan, maka syaitan akan berkata : "Aku akan dapat bermalam dan makan malam (bersama kamu; kongsi makan)"
 (Hadis Riwayat Muslim)

2. Mengucap 'Alhamdulillah' pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.

Tanda kita bersyukur kepada segala nikmat yang telah Allah kurniakan hendaklah sentiasa memuji Allah SWT dengan mengucapkan "Alhamdulillah"

Firman Allah SWT  maksudnya : "Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku) supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)" (Surah Al-Baqarah: Ayat 152)

3. Mengucap 'Astaghfirullah' jika lidah tersilap perkataan yang tidak elok.

Istighfar bermaksud memohon kemaafan. Dan kita digalakkan untuk beristighfar sekurang-kurangnya dengan menyebut 'Astagfirullahaladzim' bersama rasa menyesal di hati. Amalan harian Rasulullah SAW adalah beristighfar 100kali untuk mengelakkan lidahnya daripada menuturkan kata-kata buruk.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali" (Hadis Riwayat Muslim).

4. Mengucap 'Insya Allah' jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.

Perkataan 'Insyaa Allah ' membawa erti jika Allah mengkehendaki. Ini menunjukkan bahawa kita sebagai manusia terbatas daripada mengetahui apa yang bakal  berlaku pada masa ke depan. Jika kita sebagai makhluk punya rencana atau perancangan, Allah SWT  pula sebagai Khalik punya segala kuasa. Dengan demikian ucapan ' Insyaa Allah ' menunjukkan kepada kerendahan hati kita sebagai seorang hamba dan sedar dengan segala kekuasaan Allah SWT terhadap makhlukNya. Atas dasar itulah Nabi SAW. sendiri pun ditegur oleh Allah SWT. bila alpa daripada mengucapkan yang demikian.

Firman Allah SWT maksudnya : " Dan janganlah kamu mengatakan terhadap sesuatu, ' Sesungguhnya aku akan mengerjakan yang demikian itu pada esok ' , kecuali (dengan menyebut) ' Insya Allah ' . Dan ingatlah kepadaTuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah ' Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini '. " (Surah Al-Kahfi ayat 23-24)

5. Mengucap 'La hawla wala quwwata illa billah' jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini.

Kami bersama Nabi SAW. Bila kami menaiki dataran tinggi, maka kami mengucapkan takbir. Maka baginda mengatakan: 'Wahai manusia kasihilah diri kalian, kerana kalian tidaklah menyeru Zat yang tuli atau jauh, akan tetapi Ia Maha Mendengar dan Maha Melihat. 'Lalu baginda mendatangiku, sementara aku sedang mengucapkan dalam diriku: 'La hawla wala quwwata illa billah.'Lalu baginda mengatakan: 'Wahai Abdullah bin Qais (nama Abu Musa), ucapkan La hawlawala quwwata illa billah. Sesungguhnya itu adalah salah satu kekayaanyang tersimpan di syurga.' Atau baginda mengatakan:'Tidakkah kamu mahu aku tunjuki salah satu harta kekayaan di syurga? Lahawla wala quwwatailla billah'." (Hadis Riwayat Bukhari )

6. Mengucap 'Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun' jika menghadapi dan menerima musibah.

Allah SWT. berfirman maksudnya : "Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 
 'Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun' (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.) Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).

7. Mengucap 'La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah' sepanjang siang dan malam sehingga tak terpisah dari lidahnya "

`Ubaidullah bin Musa telah meriwayatkan kepada kami, katanya, Hanzalah bin Abi Sufyan telah meriwayatkan kepada kami (diambilnya) dari ‘Ikrimah bin Khalid dari Ibni `Umar r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Islam dibina (ditegakkan) atas lima perkara, iaitu bersaksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah, mendirikan sembahyang, memberi zakat, mengerjakan Haji, dan berpuasa di bulan Ramadan".(Hadis Riwayat Bukhari)

Dua kalimah syahada adalah satu kalimah yang sungguh besar fadilat dan kelebihannya, ianya merupakan pintu seseorang yang hendak masuk agama Islam, tanpa kalimah ini seseorang tidak boleh menjadi seorang muslim.

750. Soalan : Di dalam sirah terdapat kisah di dalam Perang Uhud bahawa Saidina Hamzah telah syahid apabila dibunuh oleh Wahsyi, kemudian Hindun telah membelah dada Saidina Hamzah dan mengunyah hatinya, adalah kisah ini benar atau palsu?

Jawapan :

Menurut riwayat daripada Imam Bukhari bahawa tidak terdapat riwayat menyatakan bahawa Hindun telah membelah dada Saidina Hamzah dan mengunyah hati beliau. Cerita ini adalah palsu. Kisah palsu ini adalah dibuat oleh Ibnu Ishaq yang berfahaman Syiah kerana membenci Saidina Muawiyyah.

Wahsyi adalah hamba kepada Jubair bin Muth’im. Jubair bin Muth’imlah yang mendorongnya membunuh Hamzah dengan janji akan memerdekakannya jika dia berjaya membunuh Hamzah. Di dalam riwayat ini tidak ada isyarat pun tentang campurtangan Hindun dalam pembunuhan Hamzah. Bukan Hindun yang mendorong Wahsyi supaya membunuh Hamzah, bukan juga Hindun yang dapat memerdekakan Wahsyi kerana Wahsyi bukan hambanya, malah dalam riwayat Ibnu Ishaq sendiri pun Wahsyi adalah hamba Jubair bin Muth’im.

Ibnu Ishaq mendakwa mendapat cerita yang dikemukakannya dari Saleh bin Kaisan yang lahir 70 tahun selepas peristiwa peperangan Uhud itu berlaku. Imam Bukhari pula menerima riwayat yang dikemukakannya dengan sanad yang bersambung-sambung dan tidak terputus. Perawi-perawinya terdiri dari orang-orang yang kuat dengan isnad yang kuat dan tidak terputus-putus. Imam Bukhari mengambil riwayat tentang pembunuhan Hamzah dari pembunuhnya sendiri iaitu Wahsyi. Siapakah yang lebih boleh dipercayai? Seorang yang mengambil riwayat dari orang yang lahir 70 tahun selepas kejadian atau orang yang meriwayatkan sesuatu peristiwa dari orang yang menyaksikan sendiri peristiwa itu malah terlibat secara langsung dalam peristiwa itu?

Ibnu Ishaq dan kuncu-kuncunya sebenarnya mahu menanam rasa benci di dalam hati ummah terhadap Saidina Muawiyyah yang telah memusnahkan pergerakan musuh Islam selama pemerintahannya 20 tahun sebagai Gabenor dan 20 tahun sebagai Khalifah. Hindun adalah ibu kepada Saidina Muawiyyah. Berhati-hatilah jika kita hendak menerima sesuatu riwayat yang negatif terhadap sahabat-sahabat Rasulullah SAW kerana riwayat yang negatif biasanya di reka oleh golongan Syiah dahulu hingga sekarang. Wallahu a'lam.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML