Soal Jawab Agama Siri 115 (Solat Dua Imam, Cara Tenangkan Hati, Solat Berjemaah, Makmum Masbuk Dan Ayat Mutasyabihat)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 115 adalah membicarakan persoalan solat dua imam, cara-cara tenangkan hati yang berdukacita, solat berjemaah, makmum masbuk dan perbezaan pendapat mengenai ayat-ayat mutasyabihat.
856. Soalan : Apakah hukumnya jika di dalam satu kariah terdapat dua imam surau untuk solat subuh . Satu kumpulan solat subuh lebih awal dan satu kumpulan lagi datang lewat dan semasa kumpulan pertama masih lagi solat berjemaah dalam rakaat kedua kumpulan ke 2 tak ikut serta berjemaah tapi mereka ni solat sunat dan sebelum kumpulan pertama selesai kumpulan ke 2 memulakan solat berjamaah bersama kumpulan mereka di belakang kumpulan mereka?
Jawapan :
Ada beberapa kesalahan dilakukan oleh kumpulan ke dua tersebut;
1. Menyebabkan berlakunya dua jamaah dalam satu surau secara disengajakan. Ia bertentangan dengan sunnah Nabi SAW (iaitu hanya satu jamaah sahaja yang pernah dilakukan oleh Nabi SAW dalam masjidnya, begitu juga yang menjadi amalan para sahabat selepas baginda) di samping ia memecah belahkan kaum muslimin dalam rumah Allah.
2. Melakukan solat sunat sedang solat fardu telah didirikan; ia bercanggah dengan arahan Nabi SAW; “Apabila telah diiqamahkan, tidak ada solat melainkan solat fardu” (Hadis Sahih Riwayat Muslim; 710/63, dari Abu Hurairah r.a).
Berkata ulama berdalilkan hadis ini jika kita sedang melakukan solat sunat dalam masjid, tiba-tiba terdengar laungan iqamah, hendaklah kita segera menyudahkan solat sunat kita jika kita telah berada dalam rakaat kedua. Adapun jika baru berada dalam rakaat pertama, hendaklah kita menamatkan solat sunat itu dan segera mengikuti imam mengerjakan solat fardu, kerana jika kita meneruskan solat sunat tersebut akan menyebabkan kita akan terlepas solat berjamaah dengan imam dari awal (kerana lagi awal kita dapat mengikut imam, lagi afdhal).
3. Jika kita tiba di masjid ketika imam telah berada di hujung solat; mana yang terbaik; antara terus bertakbir dan masuk dalam jamaah sedia ada, atau kita menunggu imam memberi salam dan mengadakan jamaah yang baru bersama orang-orang lain yang baru tiba bersama kita (jika ada). Menurut ulama yang terbaik ialah terus bertakbir untuk masuk ke dalam jamaah sedia ada, berdalilkan sabda Nabi SAW; “Apabila kamu datang kepada solat berjamaah, janganlah datang dengan tergesa-gesa, akan tetapi berjalanlah dengan tenang. Apa yang kamu sempat, sembahyanglah (bersama imam). Apa yang kamu ketinggalan, sempurnakanlah (sendirian)”.
Arahan Nabi SAW; “Apa yang kamu sempat, sembahyanglah (bersama imam)” adalah umum, yakni merangkumi juga keadaan di atas. Maka jika kita menunggu imam sedia memberi salam untuk kita melakukan jamaah yang baru, kita telah menyalahi arahan Nabi SAW supaya mengikuti imam yang sedia ada pada rakaat yang sempat dan menyempurnakan secara sendirian bagi rakaat yang ketinggalan. (Fatwa Syeikh Soleh al-Munajjid, 31029).
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Fatwa Syeikh Soleh al-Munajjid (islamqa.com); 127293, 87847, 33582, 31029.
857. Soalan : Ustaz, jiwa saya sentiasa gundah gulana dan merasai tidak tenang sejak akhir-akhir ini di sebabkan masaalah keluarga yang saya hadapi. Apakah ada amalan-amalan khusus yang boleh saya lakukan untuk melahirkan perasaan kasih dan cinta kepada Allah SWT dan menghilangkan perasaan dukacita ?
Jawapan.
Bersabarlah saudara kerana setiap masaalah yang berlaku di dalam kehidupan berkeluarga adalah ujian Allah SWT. Mereka yang bersabar akan di berikan pahala yang besar di sisi Allah SWT.
Firman Allah SWT maksudnya, "Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira". (Surah az-Zumar ayat 10)
Terdapat tiga amalan yang agung di sisi Allah, amalan yang dicintai-NYA, amalan yang akan mendekatkan diri kalian kepada-NYA, amalan yang akan mententeramkan hati di manapun kalian berada, amalan yang akan menjadi tabungan untuk menyambut hari esok setelah ditiupnya sangkakala dan hancurnya dunia beserta segenap isinya.
Tiga amalan tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Perbanyakkan berzikir kepada-Nya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Ingatlah kalian kepada-Ku nescaya Aku pun akan mengingat kalian.” (Surah al-Baqarah ayat 152).
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, ingatlah kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya…” (Surah al-Ahzab ayat 41).
Rasulullah SAW bersabda,“Tidaklah suatu kaum berkumpul seraya mengingat Allah, melainkan pasti malaikat akan menaungi mereka, rahmat meliputi mereka, ketentraman turun kepada mereka, dan Allah akan menyebut-nyebut nama mereka di hadapan malaikat yang di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Kedua : Tetaplah berdoa kepada-Nya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Rabb kalian berfirman; Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku kabulkan. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri sehingga tidak mau beribadah (berdoa) kepada-Ku pasti akan masuk neraka dalam keadaan hina.” (Surah Ghafir ayat 60).
Rasulullah SAW bersabda, “Tiada suatu urusan yang lebih mulia bagi Allah daripada doa.” (Hadis Riwayat al-Hakim).
Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang tidak berdoa kepada Allah subhanah, maka Allah murka kepada dirinya.” (Hadis RiwayatTirmidzi dan Ibnu Majah).
Rasulullah SAW bersabda, “Rabb kita tabaraka wa ta’ala setiap malam yaitu pada sepertiga malam terakhir turun ke langit terendah dan berfirman, ‘Siapakah yang mahu berdoa kepada-Ku nescaya Aku kabulkan, siapakah yang mahu meminta kepada-Ku nescaya Aku beri, siapa yang mahu meminta ampunan kepada-Ku nescaya Aku ampuni.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ketiga : Mohonlah ampunan-Nya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Tidaklah Allah akan menyiksa mereka sementara kamu berada di tengah-tengah mereka, dan tidaklah Allah akan menyiksa mereka sedangkan mereka selalu beristighfar/meminta ampunan.” (Surah al-Anfal ayat 33).
Rasulullah SAW bersabda maksudnya,“Demi Allah, sesungguhnya aku setiap hari meminta ampunan dan bertaubat kepada Allah lebih dari tujuh puluh kali.” (Hadis Riwayat Bukhari).
Jika saudara sentiasa melaksanakan zikir, doa, dan taubat kepada-Nya, insyaa Allah saudara akan tergolong dikalangan mereka yang dicintai-Nya, diampuni oleh-Nya, dan mendapatkan rahmat dari-Nya.
Sumber: Kitab adz-Dzikr wa ad-Du’a karya Syaikh Abdurrazzaq bin Abdul Muhsin al-Badr.
858. Soalan : Saya ada beberapa soalan bab solat :
1. Adakah makmum masbuk dapat rukuk bersama imam telah mendapat rakaat tersebut tanpa baca al-Fatihah.?
2. Jika kita tiba ketika imam hampir rukuk, terus bertakbir masuk ke dalam solat, baca al-Fatihah setakat yang sempat, apabila imam rukuk kita turut rukuk bersama imam dan bacaan al-Fatihah belum habis adakah kita perlu terus rukuk atau habiskan baca al-Fatihah?
3. Jika kita ikut imam dari awal dan imam telah rukuk sedangkan kita belum habiskan bacaan al-Fatihah , adakah kita wajib teruskan baca al-Fatihah atau terus ikut imam rukuk?
Jawapan :
1. Jika kita tiba ketika imam telah rukuk, terus sahaja bertakbir masuk ke dalam solat (takbiratul ihram), kemudian takbir sekali lagi dan rukuk bersama imam. Ketika ini, gugur al-Fatihah dari kita dan ia ditanggung oleh imam.
2. Jika kita tiba ketika imam hampir rukuk, terus bertakbir masuk ke dalam solat, baca al-Fatihah setakat yang sempat, apabila imam rukuk kita turut rukuk bersama imam, tidak perlu kita menghabiskan fatihah kita kerana baki fatihah kita itu ditanggung oleh imam.
3. Jika kita mengikuti imam dari awal solat, wajib dalam apa keadaan sekalipun kita menghabiskan bacaan al-Fatihah kita. Sekalipun imam telah rukuk, kita wajib menyudahkan bacaan al-Fatihah, kemudian baru rukuk bersama imam. Jika ada keuzuran (iaitu lambat dalam bacaan) diberi kelonggaran kepada kita hingga tiga rukun panjang (iaitu sehingga sebelum imam bangkit dari sujud kedua).
859. Soalan :Pernah saya menjadi makmum masbuk di masjid, ketika akan melengkapi rakaat yang tertinggal tiba-tiba ada yang mencolek tangan saya untuk menjadikan saya imam kerana dia hendak solat cara berjemaah? Tolong penjelasan serta dalilnya, terima kasih
Jawapan :
Hal ini adalah perkara ijtihadiyah kerana memang tidak ada dalil khusus yang menyebutkan kejadian semisal ini pada solat fardu, yang ada adalah pada solat sunat sebagaimana diriwayatkan Imam Bukhari no.1198 dan selainnya tentang Ibnu Abbas yang menginap dirumah ibu saudara beliau, Maimunah bint al-Harist yang sekaligus menjadi isteri Rasulullah Sallahu 'Alaihi Wa sallam.
Keika itu Rasulullah sedang solat malam kemudian Ibnu Abbas datang berniat untuk menjadi makmum dan beliau berdiri disebelah kiri Rasulullah, kemudian Rasulullah memindahnya ke sebelah kanan...(sampai akhir kisah).
Adapun pendapat yg dipilih oleh kebanyakan ulama, dan yang juga difatwakan oleh lembaga penelitian dan riset Arab Saudi yang diketuai oleh Syaikh Abdul Aziz bin Abdillah bin Baz bahwa hal ini DIBOLEHKAN dan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah menyebutkan: dengan syarat orang yang diikuti merubah niatnya menjadi imam dan yang mengikutinya berniat sebagai makmum.
Namun jika orang yang mengikuti berniat untuk makmum, sedangkan yang diikuti tersebut tidak berniat menjadi imam, maka di sini ada dua pendapat mengenai ke-sahan solatnya:
Pendapat pertama: Solatnya sah sebagaimana pendapat Imam Asy Syafi’i, Imam Malik dan selainnya.
Pendapat kedua: Solatnya tidak sah. Inilah pendapat yang masyhur dari Imam Ahmad.
Wallahu a'lam
860.Soalan : Sejak akhir-akhir ini, banyak isu tentang ayat mutasyabihat yang didebatkan / dibentangkan di Internet. Orang awam seperti saya banyak melihat isu-isu perselisihan ini di You-Tube. Saya sebagai orang awam kadang-kala terkeliru kerana ada ustaz yang menghuraikan begini dan ada ustaz lain pula yang menghuraikan sebaliknya. Salah satu kekeliruan saya ialah tentang Ayat 5 Surah Thaha. Ada ustaz yang mengatakan ayat itu dihuraikan mengikut makna asal sahaja. Sedangkan apa yang diajar oleh ustaz disekolah dan guru-guru kita ialah Allah itu wujud tanpa bertempat. Adakah ini satu khilaf dikalangan ulama yang dibenarkan? Ataupun inilah satu cara orientalis untuk memecahbelahkan kita umat Islam? Mohon pencerahan daripada Ustaz. Terima kasih.
Jawapan;
Ayat yang ditanya itu menyentuh tentang ‘Arasy Allah dan beristiwanya Allah di atas ‘Arasy.
الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى
Maksudnya : “(Allah) Ar-Rahman beristiwa di atas Arasy” (Surah Thaha, ayat 5).
Di dalam al-Quran, ayat yang serupa terdapat dalam tujuh surah ;
1. Surah al-A’raf ayat 54.
2. Surah Yunus ayat 3.
3. Surah ar-Ra’du ayat 2.
4. Surah Thaha ayat 5.
5. Surah Furqan ayat 59.
6. Surah as-Sajdah ayat 4 dan
7. Surah al-Hadid ayat 4.
Ayat tersebut termasuk dalam ayat-ayat mutasyabihat iaitu ayat-ayat yang lafaz zahirnya seolah-olah menggambarkan penyamaan Allah dengan makhluknya iaitu ayat-ayat yang menyebutkan wajah Allah, tangan Allah, mata Allah, Allah berada di langit dan sebagainya.
Kerana itu, para ulama Khalaf (al-Asya’irah dan Maturidiyyah) mentakwilkannya (yakni mentafsirkan ayat-ayat tersebut dengan makna majaznya iaitu makna yang tersirat baginya untuk mengelak dari menyerupakan Allah dengan makhluk), ulama-ulama Salaf pula enggan mentakwilkannya, namun mereka berkata; makna zahir ayat tidak dimaksudkan (kerana ia menggambarkan penyerupaan Allah dengan makhluk), namun apa makna sebenarnya terserahlah kepada Allah (tidak perlu kita menyebukkan diri untuk mengorek rahsianya, yakni memadai dengan kita beriman sahaja dengan ayat-ayat tersebut).
Imam Ibnu Taimiyah, Ibnul-Qayyim dan beberapa ulama lagi (yang menjadi ikutan golongan Salafiyah hari ini); ayat tersebut dipakai dengan makna zahirnya, tidak perlu ditakwilkan dan tidak perlu dianggap maknanya terserah kepada Allah kerana dengan makna zahir ayat kita sudah dapat memahami ayat itu mengikut kehendak Allah. Kita menerima zahir ayat, namun jangan kita menyamakan sifat yang disebut dalam ayat mutasyabihat itu dengan sifat manusia atau makhluk lain. Nama atau sebutan kebetulannnya sama, namun kaifiatnya berbeza antara Allah dan makhluk.
Maka apabila al-Quran menyebutkan “Tangan Allah”, menurut pandangan ketiga ini; Allah sememangnya bertangan (kerana Allah menyebutnya), namun jangan kita gambarkan tangan Allah itu seperti tangan makhluk. Tangan Allah itu adalah sifatNya, bukan anggotaNya sebagimana tangan makhluk.
Mazhab Khalaf dinamakan sebagai mazhab Isbat wa Takwil (yakni menerima ayat-ayat mutasyabihat itu dengan mentakwil (mentafsirkan) maknanya), mazhab Salaf dinamakan mazhab Isbat wa Tafwidh (yakni menerima ayat-ayat mutasyabihat itu tetapi menyerahkan maknanya kepada Allah) dan mazhab Ibnu Taimiyah (Salafiyah) dinamakan; Isbat wa Tanzih (menerima ayat-ayat mutasyabihat tadi dengan makna zahirnya tetapi dengan mentanzihkan Allah (yakni menyucikanNya) dari penyerupaan dengan makhluk).
Secara dasarnya, ketiga-tiga mazhab ini ada titik pertemuanya, iaitu semua mereka mengisbatkan (yakni menerima) ayat-ayat mutasyabihat. Begitu juga, semua mereka sepakat menafikan penyerupaan Allah dengan makhluk. Perbezaan mereka ialah dalam memahami kehendak ayat-ayat mutasyabihat tersebut dan menentukan mana yang paling tepat dengan kehendak Allah dari ayat-Nya antara mentakwilkanya, menyerahkannya kepada Allah atau memakai makna zahirnya tetapi berserta penyucian dari persamaan.
Merujuk secara khusus kepada makna Istiwa Allah di atas ‘Arasyh, pandangan ketiga-tiga mazhab ini adalah seperti berikut;
1. Mazhab Khalaf; makna zahir istiwa ialah istaqarra dan ‘ala (iaitu menetap di atas sesuatu atau meninggi di atas sesuatu). Makna ini menurut Khalaf menyamakan Allah dengan makhluk, iaitu seolah-olah Allah itu bertempat dan berarah seperti makhluk. Kerana itu, hendaklah dipakai makna majaznya (yakni makna yang tersirat darinya) iaitu istaula atau malika yang bermaksud; menguasai atau memiliki, yakni “(Allah) ar-Rahman memiliki (atau menguasai) ‘Arasy-Nya”.
2. Mazhab Salaf; istiwa Allah diyakini sebagaimana yang disebut oleh Allah tanpa perlu ditafsirkan apa maknanya. Sebarang makna bagi ayat tersebut yang menunjukkan seolah-olah Allah sama seperti makhluknya makna itu tidak dikehendaki (yakni perlu dinafikan), namun apa makna sebenarnya bagi istiwa itu hanya Allahlah yang mengetahuinya. Tidak perlu kita menyebukkan diri mencari-carinya atau membahasnya kerana ia tidak pernah dilakukan oleh Nabi dan para sahabat.
Imam Malik apabila ditanya tentang makna ayat tersebut, ia menjawab; “Tentang istiwanya Allah itu sedia diketahui (kerana Allah sendiri menceritakanya. Namun kaifiyat istiwa itu (yakni bagaimana pengertiannya Allah beristiwa itu) adalah majhul (yakni tidak diketahui (kerana Allah tidak menceritakannya). Sesiapa bertanya tentangnya (yakni menyebukkan diri untuk menyelidikinya) dia melakukan bid’ah (kerana Nabi dan para sahabat tidak melakukanya)”.
Jawapan Imam Malik ini memberi gambaran kepada kita bagaimana pandangan Salaf tentang masalah ini. Berkata Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya; “Mazhab Salaf ialah menerima ayat sebagaimana datangnya (yakni membacanya sahaja) tanpa takyif (menggambarkan bagaimana caranya Allah beristiwa itu), tanpa tamsil (menyerupakan Allah dengan makhluk) dan tanpa ta’til (menolak ayat atau menolak sifat Allah yang dinyatakan dalam ayat-Nya).
Namun makna zahir ayat sebagaimana yang ada dalam kepala golongan musyabbihin (iaitu golongan yang menyamakan Allah dengan makhluk) hendaklah dinafikan makna itu dari Allah kerana tidak ada mana-mana makhluk yang menyerupai Allah” (Tafsir Ibnu Kathir, surah al-A’raf, ayat 54).
3. Mazhab Salafiyah; mereka memakai makna zahir dari istawa iaitu istaqarra (menetap) dan ‘ala (meninggi), jadi makna Allah beristiwa di atas ‘Arashnya ialah Allah menetap dan meninggi di atas ‘ArasyNya. Ia selari dengan firman Allah yang menegaskan bahawa Allah di langit, kerana ‘Aryas-Nya berada di langit. Namun jangan digambarkan menetap dan meninggi-Nya Allah itu sama seperti menetap dan meningginya kita di atas sesuatu (katil, kerusi, bangunan tingkat atas dan sebagainya) kerana sifat Allah tidak sama dengan sifat makhluk walaupun menggunakan lafaz dan bahasa yang sama (contohnya; Allah mendengar dan makhluk mendengar. “Mendengar” adalah perkataan yang sama digunakan untuk Allah dan untuk makhluk, namun apabila kita mengakui Allah bersifat dengan as-Sama’ (mendengar) wajib kita mengiktiqadkan bahawa mendengarnya Allah tidak sama seperti mendengarnya makhluk walaupun bahasa yang digunakan adalah sama. Maka keadaan yang sama bagi istilah istaqarra (menetap) dan ‘ala (meninggi). Sama juga halnya ketika kita membaca hadis Nabi; “Allah turun ke langit dunia ketika tiba saat 1/3 malam yang akhir”, maka menurut mazhab ini; Allah sememangnya turun ke langit dunia (kerana itu yang diceritakan Nabi), namun cara bagaimana turunnya Allah jangan kita gambarkan seperti turunnya makhluk dari tingat atas ke tingkat bawah).
Perbahasan tentang ayat-ayat mutasyabihat seperti ini memang merumitkan dan banyak membawa pertikaian sesama kaum muslimin yang tidak pernah berkesudahan, malah lebih mengecewakan apabila sebahagian puak mengkafirkan sebahagian puak atau mazhab yang lain kerana perbezaan tersebut. Kerana itu, langkah dan sikap terbaik ialah dengan kita mengikuti saranan al-Quran iaitu; “Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, mereka berkata (tentang ayat-ayat mutasyabihat): ‘Kami beriman dengannya kerana semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” (Surah Ali Imran, ayat 7).
Kita beriman dengan ayat-ayat tersebut tanpa berpanjang-anjang membahaskannya. Masa kita lebih baik kita gunakan untuk memahami, mengkaji dan mengamalkan ayat-ayat Muhkamat yang jauh lebih banyak dari ayat-ayat mutasyabihat tersebut. Secara keseluruhannya, perhatikan firman penuh Allah dalam ayat 7 (surah Ali Imran tersebu);
“Dia lah (Allah) yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab suci (Al-Quran) sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat ‘Muhkamaat’ (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. dan yang lain lagi ialah ayat-ayat ‘Mutasyaabihaat’ (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama mereka berkata: ‘Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami’ dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran” (Surah Ali Imran, ayat 7).
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Al-I’tiqad wa al-Hidayah Ila Sabil ar-Rasyad, Imam al-Baihaqi, hlm. 120.
2. Syarh al-‘Aqidah al-Wasitiyyah, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Utsaimin, 335.
(Soalan dan jawapan untuk soalan 860 di ambil daripada Laman Soal Jawab Agama Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil)
No comments:
Post a Comment