Soal Jawab Agama Siri 90 (Perbezaan Fasik, Zalim dan Kafir, Ciri-ciri Munafik, Mengubati Penyakit Hati, Prinsip MLM Dan Berkorban)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 90 adalah menjawab persoalan perbezaan orang fasik, zalim dan kafir, ciri-ciri orang munafik, cara-cara mengubati hati yang sakit, prinsip-prinsip utama MLM mengikut syariah dan kelebihan korban.
736. Soalan : Bolehkah ustaz jelaskan apakah perbezaan di antara orang fasik, orang zalim dan orang kafir ?
Jawapan :
Di dalam al-Quran terdapat banyak sifat-sifat orang fasik, zalim dan kafir yang digambarkan oleh Allah SWT.
Huraiannya adalah seperti berikut :
Orang Fasik :
Orang fasik adalah seorang muslim yang secara sedar melanggar ajaran Allah (Islam) atau dengan kata lain orang tersebut percaya akan adanya Allah, percaya akan kebenaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW tetapi dalam tindak perbuatannya mereka mengingkari terhadap Allah SWT dan hukum-Nya, selalu berbuat kerosakan dan kemaksiatan.
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Orang fasik adalah orang yang melanggar perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan dimuka bumi. Mereka itulah orang yang rugi” (Surah Al Baqarah ayat 27)
Terdapat celaan yang keras bagi mereka yang tidak menerapkan hukum selari dengan hukum Allah Subhanahu Wa Taala. Allah Subhanahu Wa Taala telah berfirman:
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya : “Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. (Surah al-Maidah ayat 47)
Orang Zalim :
Zalim (Arab: ظلم, ) dalam ajaran Islam adalah meletakkan sesuatu/ perkara bukan pada tempatnya. Orang yang berbuat zalim disebut zalimin dan lawan kata dari zalim adalah adil.
Orang zalim sama seperti orang fasik iaitu seorang muslim yang secara sedar melanggar ajaran Allah (Islam) atau dengan kata lain orang tersebut percaya akan adanya Allah, percaya akan kebenaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW tetapi dalam tindak perbuatannya mereka mengingkari terhadap Allah SWT dan hukumNya, dan melakukan aniaya kepada orang lain. Sering membuat kerosakan di muka bumi.
Kalimat zalim boleh juga digunakan untuk melambangkan sifat kejam, bengis, tidak berperikemanusiaan, suka melihat orang dalam penderitaan dan kesengsaraan, melakukan kemungkaran, penganiayaan, kemusnahan harta benda, ketidak adilan dan banyak lagi pengertian yang dapat diambil dari sifat zalim tersebut, yang mana pada dasarnya sifat ini merupakan sifat yang keji dan hina, dan sangat bertentangan dengan akhlak dan fitrah manusia, yang seharusnya menggunakan akal untuk melakukan kebaikan.
Dalam hadis shahih yang diriwayatkan oleh Ibnu Sirin, Nabi Muhammad pernah mengatakan bahawa, "Di antara bentuk kezaliman seseorang terhadap saudaranya adalah apabila ia menyebutkan keburukan yang ia ketahui dari saudaranya dan menyembunyikan kebaikan-kebaikannya." (Hadis Sahih Riwayat Ibnu Sirin).
Dari kisah Abu Dzar Al-Ghifari dari Rasulullah SAW sebagaimana ia mendapat wahyu dari Allah bahawa Allah SWT berfirman: "Wahai hambaku, sesungguhya aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku telah menetapkan haramnya (kezaliman itu) di antara kalian, maka janganlah kalian saling berlaku zalim." (Hadis Riwayat Imam Muslim No.24 dalam buku Arba'in an-Nawawi.)
Dalam hadis lain Nabi SAW bersabda maksudnya : "Takutlah kalian akan kezaliman kerana kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Imam Muslim dari Jabir bin Abdullah.)
Firman Allah Subhanahu Wa Taala :
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Maksudnya : "Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim."(Surah al-Maidah (5) ayat 45)
Orang zalim masih percaya hukum-hukum Allah SWT tetapi dia masih melaksanakan hukum-hukum selain daripada hukum Allah SWT.
Orang Kafir :
Kafir (bahasa Arab كافر kāfir;) secara harfiah bermaksud orang yang menyembunyikan atau mengingkari kebenaran. Dalam agama Islam untuk merujuk kepada orang-orang yang syirik kepada Allah SWT. Kafir berasal dari perkataan kufur yang bermaksud ingkar atau menolak. Akidah orang kafir telah rosak dan dia menyekutukan Allah SWT dengan benda-benda lain selain daripada Allah SWT.
Kufur at-Tauhid (Menolak tauhid): Di tujukan kepada mereka yang menolak bahawa Tuhan itu satu. Firman Allah SWT maksudnya : "Sungguh orang-orang kafir (yang tak akan beriman), sama sahaja bagi mereka. Samada kamu memberi amaran kepadanya atau tidak kamu beri amaran kepadanya, mereka tetap tidak pula akan beriman". (Surah al-Baqarah ayat 6)
Terdapat celaan yang keras bagi mereka yang tidak melaksanakan hukum selari dengan hukum Allah Subhanahu Wa Taala.
Allah Subhanahu Wa Taala telah berfirman:
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ
Maksudnya : "Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir. " (Surah al-Maidah (5) ayat 44)
Ulama telah membuat tafsiran bahawa sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum yang diturunkan oleh Allah SWT dan mereka mengatakan bahawa hukum Islam tidak sesuai dan ketinggalan zaman maka mereka akan jatuh kafir (murtad).
Firman Allah Taala;
إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan-Nya dengan sesuatu (apa jua) dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.” (Surah an-Nisa’ ayat 116)
737. Soalan : Apakah ciri-ciri orang munafik yang dijelaskan oleh di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW?
Jawapan :
Munafik dari segi bahasa maksudnya : "Orang yang menyembunyikan perkara atau maksud sebenar."
Dari segi syarak pula munafik bermaksud : " Seseorang yang tidak menzahirkan kekufuran dengan cara menyembunyikannya di dalam hati."
Sifat munafik ini terbahagi dua bahagian iaitu :
Pertama : Munafik darisegi akidah dan I'tiqad.
Kedua : Munafik darisegi perbuatan dan amalan.
Huraiannya :
Pertama : Munafik darisegi akidah dan I'tiqad.
Munafik darisegi akidah dan I'tiqad adalah orang kafir yang mengaku beriman dan berpura-pura masuk Islam. Golongan ini adalah orang yang tidak mendapat hidayah atau petunjuk dari Allah SWT, sehingga jalan hidupnya yang ditempuhi tidaklah mengandungi nilai-nilai ibadah dan segala amal yang dikerjakan tidak mencari keredaan Alah SWT.
Orang munafik seperti ini adalah orang yang bermuka dua, mengaku beriman padahal hatinya engkar (kufur dan syirik). Perbuatan orang munafik di sebut nifak. Mereka ini hanya pada mulutnya sahaja beriman dan nampak baik tetapi hakikat sebenarnya hanya tipu helah belaka untuk mencari habuan dunia dan merancang untuk menghancurkan Islam.
Ertinya segala amal perbuatan yang dikerjakan itu bukan ditegakkan di atas dasar keimanan dan ketakwaan terhadap Allah SWT, akan tetapi hanya didasarkan pada perasaan dan hawa nafsunya semata-mata untuk mencari muka, penampilan, harta dan pangkat, mengambil hati dalam masyarakat dan pandangan orang belaka. Segala perbuatan baiknya itu hanya dijadikan tempat berlindung untuk menutupi segala keburukan I’tikad dan niatnya yang menentang Islam.
Terdapat lima ciri-ciri munafik darisegi akidah dan I'tiqad :
1. Ingin menipu daya Allah SWT.
Firman Allah SWT. yang maksudnya : “Dan diantara manusia ada yang mengatakan,’aku beriman kepada Allah dan kepada hari kemudian,’padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang yang beriman.Mereka itu hendak menipu Allah berserta orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri,sedang mereka tidak sedar” (Surah Al Baqarah ayat 8-9)
2. Lebih suka memilih orang kafir sebagai pemimpin.
Firman Allah SWT maksudnya : “…..(iaitu) orang yang mengambil orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan disisi orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah” (Surah An Nisa’ ayat 139)
3. Tidak mahu diajak berhukum dengan hukum Allah dan RasulNya.
Firman Allah SWT. maksudnya : “Apabila dikatakan kepada mereka (org munafik) :'Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul,' nescaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia ) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu” (Surah An Nisa ayat 61)
4. Malas menegakkan solat, tapi kalau solat suka menunjuk-nunjuk (riyak)
Firman Allah SWT. maksudnya : “Dan bila mereka berdiri untuk melaksanakan solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riyak dihadapan manusia. Dan tidaklah mereka itu menyebut asma Allah, kecuali sedikit sekali." (Surah An Nisaa ayat 142)
5. Berusaha siang dan malam untuk memadamkan cahaya Allah SWT.
Orang munafik suka menghidupkan maksiat dan kemungkaran . (sifat bermusuhan dengan para alim ulama, pendakwah Islam, menyekat dakwah, tarbiah dan tazkirah daripada tersebar luas dalam masyarakat)
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Mereka (orang munafik) hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka. Dan Allah telah menyempurkan cahayaNya, meskipun orang kafir membenci.” (Surah Asy-Shaf ayat 8)
Dalam sejarah telah banyak membuktikan bahawa umat Islam zaman dulu sering diperdaya oleh orang munafik dan hal itu akan berterus sampai zaman sekarang bahkan zaman yang akan datang dari generasi ke generasi.
Di zama Nabi SAW , ketua orang munafik bernama Abdullah ibn Ubay ibn Salul dengan hatinya yang busuk mengejek-ejek dan mengancam untuk mengusir Nabi SAW dan kaum muslimin dari kota Madinah. Kemudian setelah ucapannya yang menjelaskan kekentalan kemunafikannya itu dilaporkan kepada Nabi SAW dan baginda pun menegurnya lalu Abdullah ibn Ubay pun mengelak dengan mengatakan bahawa ia tidak pernah mengatakan apa-apa pun seperti yang dilaporkan kepada baginda.
Oleh kerana itu kita umat Islam dimana saja berada hendaknya berhati-hati terhadap orang munafik yang berhasrat mematahkan semangat juang kita umat Islam, memporak-perandakan kekuatan Islam, memadamkan cahaya Allah ditengah-tengah orang Islam dan selalu kerosakan dan kekacauan dimana-mana.
Munafik golongan pertama ini di hari akhirat akan dimasukkan kedalam Neraka Jahanam yang paling bawah sekal kekal selama-lamanyai, lebih azab daripada orang-orang kafir.
Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka." (Surah. an-Nisaa ayat 145)
Kedua : Munafik darisegi perbuatan dan amalan.
Munafik darisegi perbuatan dan amalan adalah masih menjadi orang Islam, akidahnya masih mempercayai Allah dan Rasul dan rukun-rukun Iman yang enam tetapi perbuatan dan amalannya menjurus kepada melakukan dosa-dosa besar.
Sebagaimana sabda Nabi SAW. yang bermaksud : “Empat sifat, siapa yang bersifat dengannya bererti ia seorang munafik yang nyata, dan siapa yang mempunyai salah satu dari sifat-sifat itu bererti ia mempunyai satu sifat munafik sehingga ia meninggalkan sifat itu iaitu : Apabila bercakap ia dusta, apabila berjanji ia mungkiri, apabila ia mematerikan perjanjian ia cabuli perjanjian itu dan apabila berbalah (bertengkar) ia sentiasa ingin menang.” (Hadis Riwayat al’Syaikhan dari Ibn ‘Amr)
Berdasarkan hadis diatas jelaslah kepada kita bahawa terdapat empat ciri-ciri munafik darisegi perbuatan dan amalan (melakukan dosa besar) , sifat yang sangat dibenci oleh Allah SWT.
Di dalam masyarakat umat Islam memang terdapat kaum munafik yang berlindung dibalik agama Islam . Mereka ini memerangi saudara seagama, merancang dan menangkap para pejuang Islam yang menegakkan syariat Islam. Mereka lebih gembira bekerjasama dengan Yahudi dan Kristian atau kaum kafir daripada bekerjasama dengan ulama-ulama, para pendakwah, para mujahidin dan aktivis Islam.
Sifat munafik jenis kedua ini masih berpeluang kembali ke pangkal jalan dan bertaubat kepada Allah SWT. Keempat-empat sifat ini adalah dosa-dosa besar yang hanya boleh diampunkan Allah SWT apabila dia bertaubat nasuhah dan meminta ampun dan maaf sesama manusia jika ada dikalangan manusia yang menjadi mangsa tipu helah dan kezalimannya.
738. Soalan : Bolehkan ustaz terangkan bagaimanakah cara-cara hendak mengubati hati yang sakit dan suka kepada perkara-perkara maksiat supaya menjadi hati yang sihat dan sejahtera?
Jawapan :
Untuk mengubati hati yang sakit dan berpenyakit perlu diamalkan 5 perkara :
1. Membaca al-Quran dan memahami maksud dan arahan Allah SWT.
2. Sentiasa menghadiri majis-majlis ilmu untuk mendapat tarbiah dan kesedaran.
3. Sentiasa beristighfar, berzikir dan berdoa kepada Allah SWT.
4. Sentiasa qiyamulail dan solat tahajud di waktu malam.
5. Banyakkan bersedekah untuk membantu fakir miskin dan infakkan harta di jalan Allah SWT.
Firman Allah SWT maksudnya : “Pada hari tidak bergunanya harta dan anak pinak kecuali yang berjumpa dengan tuhan dengan hati yang sejahtera.”
Hati yang sihat adalah hati yang mempunyai perasaan semasa melakukan ibadat. Orang yang memiliki hati yang sihat akan merasai kemanisan dalam ibadahnya.
Ibnul Qayyim berkata :
“Periksalah hatimu pada tiga keadaan : ketika kamu membaca Al-Quran, ketika dalam majlis zikir dan ketika kamu bersendirian dengan Tuhan. Sekiranya kamu dapati hati kamu kosong maka hendaklah kamu meminta pada Allah menganugerahkan hati pada mu. Sesungguhnya kamu tidak ada hati.”
Hati yang sihat adalah hati yang gementar apabila disebut nama Tuhan . Hati yang terkesan dengan bacaan Al-Quran. Hati yang teruja bila mendengar azan. Hati yang takut apabila disebut api neraka Tuhan.
Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang beriman hanyalah orang-orang yang yang gementar hati mereka bila disebut nama Allah, bertambah iman mereka apabila dibacakan ayat-ayat Allah dan berserah hati mereka pada Tuhan.” (Surah al-Anfal ayat 2)
Hati yang sihat adalah hati yang sentiasa mengambil ibrah (pengajaran) pada setiap kejadian Tuhan. Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya kejadian langit dan bumi serta silih ganti siang dan malam adalah tanda-tanda kepada orang-orang yang berakal.” (Surah Ali Imran ayat 190)
Sesungguhnya otak yang berfikir tentang kejadian Tuhan dan sentiasa mengambil pengajaran adalah dari hati yang sihat.
Firman Allah SWT maksudnya : “Mengapakah mereka tidak berjalan di atas muka bumi supaya mereka memiliki hati yang berakal untuk memahami atau mempunyai telinga yang mendengar untuk menerima. Sesungguhnya bukan mata yang buta tetapi hati yang ada di dada itu yang buta.” (Surah Al-Hajj ayat 22)
739. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan apakah prinsip-prinsip utama MLM (Multy Level Marketing) mengikut Syariah?
Jawapan :
Sebelum sesuatu urusniaga MLM di jalankan syarikat perlulah membentuk satu Jawatan Kuasa Syariah yang terdiri daripada pakar ekonomi Islam, ilmu fiqh dan bidang syariah. Jawatan kuasa inilah yang akan memantau dan mencadangkan urusniaga syarikat tidak bercangah dengan prinsip Islam.
Hukum urusniaga asalnya adalah harus selagi tidak terdapat sebarang unsur yang menyalahi syarak. Ini merujuk kepada prinsip yang disepakati ulama : "Hukum asal bagi segala muamalah di dalam Islam adalah harus hinggalah ada dalil menunjukkan kepada pengharamannya".
Merujuk kepada prinsip fiqh tersebut, maka untuk mengekalkan suatu sistem perniagaan atau suatu bentuk urusniaga di atas hukum asalnya (iaitu harus) maka wajiblah dipastikan sistem atau bentuk urusniaga tersebut bebas sepenuhnya dari unsur-unsur yang dilarang oleh syarak terutamanya yang boleh membatalkan akad, terdapat unsur riba, perjudian dan penindasan.
Menurut fiqh Islam, suatu akad jual beli tidak sah melainkan dengan memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak merangkumi :
1. Penjual dan pembeli.
2. Barang/produk dan harga.
3. Ijab dan qabul.
Al-Quran menegaskan bahwa proses jual beli atau urus-niaga hendaklah terbina atas prinsip at-Taradhi (saling meredhai) antara pihak-pihak yang terbabit. Menurut ulama, maksud at-Taradhi ialah : "Pembelian meredhai barangan/produk yang diterimanya dan penjual pula meredhai harga jualannya. Mereka tidak melakukan akad kerana terpaksa atau ditipu. Namun keredhaan itu hendaklah berlandaskan syarak.
Secara umumnya, perniagaan yang sah menurut Syariat Islam ialah yang memenuhi prinsip-prinsip asas berikut :
1. Ia berasaskan akad saling meredhai antara penjual dan pembeli.
2. Ia memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak ke atas suatu urusan perniagaan atau jual beli.
3. Ia bebas sepenuhnya dari larangan-larangan syarak iaitu perkara-perkara yang diharamkannya.
740. Soalan : Apakah kelebihan mengerjakan ibadah korban pada Hari Raya Aidil Adha dan Hari Tasyrik? Apakah jenis binatang yang di benarkan dijadikan binatang korban?
Jawapan :
Sangat banyak hadis Rasulullah SAW yang menerangkan tentang keutamaan berkorban, dan di dalamnya terdapat pelbagai rahsia dan hikmah yang sangat besar. Hadis-hadis tersebut di antaranya: "Tiada suatu amalanpun yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, lebih dicintai oleh Allah SWT selain dari menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu nanti di hari kiamat akan datang berserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, pahalanya telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semuanya dengan pahala korban itu".
(Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah)
"Para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: "Ya Rasulullah, apakah Ud-hiyyah (korban) itu?". Rasulullah menjawab: "Itulah sunnah ayahmu Ibrahim". Para sahabat kembali bertanya: "Apakah yang kita akan peroleh dari Ud-hiyyah itu?". Rasulullah menjawab lagi: "Pada setiap helai bulu (dari binatang yang dikorbankan itu) kita akan mendapat satu kebajikan".
(Hadis Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)
"Barangsiapa yang diberi kemudahan, sehingga ia mampu berkorban akan tetapi tidak mahu berkorban, maka janganlah ia mendekati tempat solat kami ini". (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)
Menyembelih binatang ternakan yang terdiri daripada unta, lembu, kambing dan kibas yang sampai umur* pada hari raya korban (Aidil Adha) iaitu pada 10 Zulhijjah selepas sembahyang sehingga gelincir matahari hari terakhir tasyrik iaitu 13 Zulhijjah dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah.
*Umur binatang yang boleh dikorbankan:
Unta 5 thn ke atas – 7 bahagian.
Lembu, kerbau 2 thn ke atas – 7 bahagian.
Kambing 2 thn ke atas- 1 bahagian.
Biri-biri, kibas 1 ½ thn- 1 bahagian.
No comments:
Post a Comment