Sunday, February 16, 2014

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 106

Soal Jawab Agama Siri 106 (Hadis Palsu, Hadis Nabawi, Hadis Qudsi, Hadis Sahih, Hadis Dhaif, Mandi Hari Jumaat Dan Wanita Haid)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Soal Jawab Agama Siri 106 adalah membicarakan persoalan tiga hadis palsu, perbezaan hadis Nabawi dengan Hadis Qudsi, perbezaan Hadis Sahih dengan Hadis Dhaif, hukum mandi di hari Jumaat dan adakah wanita yang haid boleh membaca al-Quran?

811. Soalan : Apakah dia hadis palsu (maudhuk) yang datangnya bukan daripada Rasulullah SAW? Saya terbaca bahawa 3 hadis di bawah dikatakan hadis palsu, bolehkan ustaz huraikan kenapa dikatakan palsu dan huraian daripada ulama-ulama hadis terdahulu?

1. "Tuntutlah ilmu walaupun hingga  ke negeri China."

2.  "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad"

3. "Kisah sahabat Nabi bernama Sa’labah  bin Hathib yang tidak membayar zakat."

Jawapan : 

Hadis yang mawḍu', (مَوْضُوْع), atau 'Mauduk'   ialah sebuah hadis yang dipastikan palsu dan tidak boleh disandarkan kepada asal-usulnya. Al-Dhahabi memberi definisi mawḍu' sebagai hadis di mana teksnya bercanggah dengan kelaziman kata-kata Nabi Muhammad SAW, atau pelapornya termasuk seorang pembohong.

Hadis palsu (mauduk) adalah bukan hadis yang datang daripada Nabi SAW ianya direka oleh golongan Syiah, Munafik dan orang fasik.Periwayatan Mauḍuk juga dikenal pasti melalui bukti luaran berhubung perbezaan dalam tarikh atau waktu sesuatu kejadian. 

1. "Tuntutlah ilmu walaupun hingga  ke negeri China."

Kedudukan Hadis:

Ini adalah hadis palsu. Hadis ini telah disebutkan sebagai palsu oleh Ibn al Jauzi di dalam buku al Maudhu’at (Al Maudhu’at – Ibn al Jauzi – jilid 1 – muka surat 215.)

Hadis ini dikritik juga oleh pengkaji hadis :

1. Ibnu Tahir al Maqdisi (507H) (Makrifat al Tazkirah – Ibn Tahir al Maqdisi – hadis no. 118.)

2. Al-Iraqi  (Al Mughni An Hamli al Asfar – hadis no. 36 – susunan oleh Abu Muhammad Asyraf Bin Abd. Maqsud – cetakan pertama 1995 – Maktabah Dar al Thabariyyah, Riyadh.) 

3. Ibn Hibban (Kata-kata beliau diambil daripada buku Ahadith La Tasihhu – Sulaiman Bin Salih al Kharashiy – hadis no. 21 ). dan

 4. Muhammad Nasiruddin al Albani (Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadis no. 416 dan Dhaif al Jami’ al Shaghir – hadis no. 906 dan 907.)

Ulasan:

Hadis ini kerap dijadikan hujah bagi membuktikan bahawa Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu sejauh yang mungkin walaupun ke negara China. Sedangkan pada hakikatnya hadis ini adalah palsu. Telah ada dalil-dalil serta hujah-hujah yang jelas dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih tentang kewajipan menuntut ilmu serta kelebihan mereka yang mempunyai ilmu. Terdapat ayat-ayat Al Quran yang mengiktiraf golongan yang berilmu contohnya:

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Allah mengangkat kedudukan orang-orang yang beriman dan yang mempunyai ilmu dengan beberapa darjat." (Surah al Mujadilah ayat 11)

Begitu juga di dalam hadis-hadis sahih terdapat saranan ke arah menuntut ilmu antaranya seperti hadis:

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang melalui jalan ke arah menuntut ilmu maka Allah mudahkan untuknya jalan ke syurga." (Hadis riwayat Muslim – hadis nombor 2699) 

Dalam hadis yang lain baginda bersabda maksudnya, "Menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap muslim." (Hadis riwayat Ibnu Majah  – hadis nombor 224 dan ia disahihkan oleh al Albani dalam semakannya terhadap Sunan Ibn Majah.  Hadis ini juga dinilai sebagai hadis hasan oleh Basyar Awwad Ma’ruf dalam kajiannya terhadap Sunan Ibn Majah.)

Telah diketahui umum bahawa menuntut ilmu adalah kewajipan dalam kehidupan umat Islam. Pastikan bahawa hadis yang kita gunakan adalah sahih sebelum menggunakannya sebagainya dalil atau hujah. 

2.  "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad"

Kedudukan Hadis:

Hadis ini adalah hadis palsu. Menurut Yusuf al Qaradhawi, walaupun maksud hadis ini benar, bukanlah bermakna itu adalah hadis yang benar-benar datang dari Nabi SAW (Taisir al Fiqh Li al Muslim al Mu’ashir – Prof.Yusuf al Qaradawi  – m.s. 215.)

Hadis ini juga ditolak kesahihannya sebagai sabda Nabi SAW oleh seorang pengkaji hadis zaman ini,  Abd. Fattah Abu Ghuddah. (Qiimatu al Zaman ‘Inda al Ulama’ – Abd. Fattah Abu Ghuddah – muka surat 30 – cetakan kelapan,1998 – Maktab al Mathbu’at al Islamiyyah, Halab). 

Ulasan:

Terdapat banyak dalil dalam al Quran dan hadis-hadis yang sahih yang menyuruh dan menggalakkan umat Islam menuntut ilmu. Dalil-dalil itu sudah mencukupi dan kita tidak perlu lagi menggunakan hadis-hadis palsu yang direka. Penggunaan hadis-hadis palsu adalah salah walaupun dengan niat yang baik.

3. "Kisah sahabat Nabi bernama Sa’labah  bin Hathib yang tidak membayar zakat."

Kedudukan Hadis:

Hadis ini adalah hadis palsu. Maklumat lanjut ada di dalam buku al Sohih al Musnad Min Asbab al Nuzul karya Syeikh Muqbil bin Hadi al Wadii 
(As Sahih al Musnad Min Asbab an Nuzul – Muqbil Bin Hadi al Wadii – muka surat 11-12 – cetakan kedua 1994 – Dar Ibn Hazm). 

Buku ini merupakan antara hasil karya yang terbaik daripada Syeikh Muqbil yang merupakan seorang pengkaji hadis dari negara Yaman. Beliau berusaha mengumpulkan asbab nuzul (sebab-sebab ayat Al Quran diturunkan) yang sahih sahaja. Ini kerana sememangnya telah diketahui bahawa tidak semua asbab nuzul yang tercatat dalam buku-buku terdahulu adalah sahih. Menurut Syeikh Muqbil, kisah Sa’labah yang tidak membayar zakat ditolak kesahihannya oleh imam-imam hadis terkenal seperti Ibnu Hazm (al Muhalla) , al Suyuthi (Lubab al Nuqul) , Ibnu Hajar al Asqalani (Takhrij al Kasyaf dan Fath al Bari), al Haithami (Majma’ al Zawaaid), al Zahabi (Tajrid Asma’ al Sahabah) dan al Munawi (Faidh al Qadir). Di dalam sanad hadis tersebut terdapat periwayat yang dikritik sebagai dhaif iaitu Ali bin Yazid al Alhani.

Syeikh Muqbil al Wadii juga menyatakan bahawa terdapat riwayat yang disebutkan daripada Ibnu Abbas yang menceritakan bahawa kisah ini adalah berkaitan dengan seorang sahabat bernama Sa’labah bin Abi Hathib dan bukan Sa’labah bin Hathib. Namun riwayat itu juga tidak sahih kerana bersumberkan daripada periwayat-periwayat yang tidak diterima.

Salah seorang ulama dan pendakwah terkemuka Mesir, Muhammad Hassan telah menyenaraikan beberapa hujah yang membuktikan bahawa kisah Sa’labah ini adalah kisah yang tidak benar. 

Kisah ini juga dikritik kesahihannya oleh :

1. Yusof al Qaradhawi dalam bukunya Kaifa Nata’amalu Ma’a al Sunnah al Nabawiyyah (Kaifa Nata’amalu Ma’a al Sunnah al Nabawiyyah – Prof.Dr.Yusof al Qaradhawi – muka surat 67 – al Ma’had al ‘Alami Li al Fikr al Islamiyy, Amerika Syarikat.)

2. Al Iraqi (Al Mughni An Hamli al Asfar – al Iraqi – hadis no. 3340.) dan
3. Muhammad Nasiruddin al Albani. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah wa al Maudhu’ah – hadis no. 1607.)

Ulasan:

Boleh dikatakan semua ulama tafsir dan hadis yang terkenal telah mendhaifkan hadis ini. Tidak ada seorang ulama pun yang mengatakan kisah ini benar. Sayangnya hadis ini amat popular terutama dalam kalangan yang ingin mengajak masyarakat supaya membayar zakat serta tidak melengahkan pembayarannya. Kisahnya berkisar tentang seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Sa’labah bin Hathib yang pada asalnya miskin. Namun setelah didoakan oleh Nabi SAW, dia telah menjadi kaya raya. Kekayaannya menjadikannya sombong dan enggan menunaikan zakat. Akhirnya beliau tidak diterima taubatnya oleh Rasulullah SAW kerana turunnya ayat daripada surah at Taubah. Selepas baginda wafat, para khalifah tidak ingin menerima zakat yang ingin diberikan oleh Sa’labah. Kisah ini adalah kisah yang tidak benar.

Azab siksa yang dijanjikan kepada mereka yang tidak membayar zakat telah ada disebutkan di dalam nas-nas yang sahih iaitu Al Quran dan hadis sahih. Oleh sebab itu kita melihat dalam sejarah Islam berlakunya peperangan yang dipimpin oleh khalifah pertama Islam , Abu Bakr al Siddiq menentang golongan yang tidak mahu membayar zakat. Wallahu a'lam.

812. Soalan : Apakah perbezaan di antara Hadis Nabawi dengan Hadis Qudsi?

Jawapan :

Hadis Nabawi  menurut istilah, pengertian hadis ialah apa saja yang disandarkan kepada Nabi SAW baik berupa perkataan, perbuatan, persetujuan, mahupun sifat. 
Contoh yang berupa perkataan seperti perkataan Nabi SAW.:

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya sahnya amal itu disertai dengan niat. Dan, setiap orang bergantung pada niatnya ….” (Hadis Riwayat Bukhari). 

Contoh yang berupa perbuatan Nabi SAW adalah seperti ajarannya kepada para sahabat mengenai bagaimana cara mengerjakan solat.

Nabi SAW bersabda yang maksudnya : "Solatlah seperti kamu melihat aku solat.”
(Hadis Riwayat Bukhari). 

Juga, mengenai bagaimana ia melaksanakan ibadah haji, dalam hal ini Nabi SAW bersabda yang bermaksud :  “Ambillah dariku manasik hajimu.” (Hadis Riwayat Muslim).

Hadis Qudsi adalah hadis yang di sampaikan oleh Rasulullah SAW disandarkan kepada Allah SWT. Maksudnya, Rasulullah SAW meriwayatkannya bahawa itu adalah kalam Allah. Maka, Rasulullah SAW. menjadi perawi kalam Allah ini dengan lafaz dari Rasulullah SAW. sendiri. 

Pertama Tauqifi : Yang bersifat tauqifi iaitu yang kandungannya diterima oleh Rasulullah SAW dari wahyu. Lalu, ia menjelaskan kepada manusia dengan kata-katanya sendiri. Bahagian ini meskipun kandungannya dinisbahkan kepada Allah, tetapi dari segi pembicaraan lebih layak dinisbahkan kepada Rasulullah SAW, sebab kata-kata itu dinisbahkan kepada yang mengatakannya meskipun di dalamnya terdapat makna yang diterima dari pihak lain.

Kedua Taufiqi : Yang bersifat taufiqi iaitu yang disimpulkan oleh Rasulullah SAW menurut pemahamannya terhadap al-Quran, kerana ia mempunyai tugas menjelaskan al-Quran atau menyimpulkannya dengan pertimbangan dan ijtihad. Bahagian kesimpulan yang bersifat ijitihad ini diperkuat oleh wahyu jika ia benar. Dan, bila terdapat kesalahan di dalamnya, turunlah wahyu yang membetulkannya. Bahagian ini bukanlah kalam Allah secara pasti.
Dari sini, jelaslah bahawa Hadis Nabawi dengan kedua bahagiannya yang tauqifi atau yang taufiqi dengan ijtihad yang diakui dari wahyu itu bersumber dari wahyu. Inilah makna dari firman Allah tentang Rasul-Nya yang bermaksud : “Dia (Muhammad) tidak berbicara menurut hawa nafsunya. Apa yang diucapkannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diturunkan kepadanya.” (Surah an-Najm ayat  3–4).

Bila seseorang meriwayatkan Hadis Qudsi, dia meriwayatkannya dari Allah SWT dengan disandarkan kepada Allah SWT dengan mengatakan, “Rasulullah SAW. mengatakan mengenai apa yang diriwayatkannya dari Tuhannya,” atau ia mengatakan, “Rasulullah SAW. mengatakan, ‘Allah SWT telah berfirman atau berfirman Allah SWT’.” 

Contoh Pertama : Dari Abu Hurairah, dari Rasulullah SAW mengenai apa yang diriwayatkannya dari Tuhannya, “Tangan Allah itu penuh, tidak dikurangi oleh nafkah, baik di waktu malam mahupun siang hari ….” (Hadis Riwayat Bukhari).

Contoh Kedua : Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW berkata, “Allah Taala berfirman, ‘Aku menurut sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya bila dia menyebut-Ku di dalam dirinya, maka Aku pun menyebutnya di dalam diri-Ku. Dan, bila dia menyebut-Ku di kalangan orang banyak, Aku pun menyebutnya di kalangan orang banyak yang lebih baik dari itu …’.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).


813. Soalan : Apakah perbezaan di antara Hadis Sahih dengan Hadis Dhaif?

Jawapan :
  
Hadis Sahih ialah hadis yang mempunyai sanad yang bersambung, diriwayatkan oleh perawi yang adil dan dhabit (tepat dalam meriwayatkan hadis sama ada melalui kekuatan ingatan atau ketepatan catatannya), dan terselamat daripada syaz dan kecacatan. 

Syarat Hadis Sahih : 

1. Sanadnya bersambung dari awal sehingga akhir, dan wujudnya ikatan ilmu iaitu adanya pertemuan di antara al Lāhiq dengan al Sābiq dan tidak wujud penghalang di antara keduanya daripada bertemu sama ada dari segi masa atau tempat. 

2. Perawinya bersifat adil iaitu orang yang dapat menguasai dirinya untuk membiasakan diri dengan taqwa dan menjauhi perkara-perkara fasiq dan bidaah. Dia menepati ciri – ciri berikut :

- Muslim.
- Baligh.
- Berakal.
- Tidak fasiq iaitu tidak melakukan dosa besar atau berterusan dalam melakukan dosa kecil.
- Menjaga maruah seperti tidak bergaul dengan orang-orang yang rendah maruahnya, tidak keterlaluan dalam bergurau senda dan tidak membuang air kecil di tepi jalan. 

3. Perawinya bersifat dhabit iaitu orang yang tepat hafazannya, selamat dari kesalahan atau ragu-ragu dan berkemampuan untuk menghadirkan apa yang dihafalnya apabila diminta pada bila – bila masa. Dhabit terbahagi kepada dua iaitu Dhābit Sodri dan Dhābit. 

Dhābit Sodri – Perawi yang menghafaz apa yang didengarnya dan mampu untuk memberitahu apa yang didengar dan dihafalnya sebagaimana dia mendengarnya pada bila-bila masa. 

Dhābit Kitabi – Perawi yang benar-benar menjaga catatannya daripada hilang, dicuri, diubah atau diseleweng bermula dari saat dia mencatatnya sehinggalah dia diminta untuk mengemukakan catatannya. 

4. Terselamat daripada syaz iaitu tidak bertentangan dengan riwayat lain yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih thiqah. Hadith syaz ialah hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang thiqah tetapi bertentangan dengan hadith lain yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih thiqah atau lebih ramai, dan tidak dikumpulkan. 

5. Terselamat daripada kecacatan iaitu sebarang kecacatan yang boleh menghalang sesebuah hadith itu daripada mencapai darjat sahih seperti hadith yang terkandung dalam sanadnya seorang yang fasiq.

Pengertian Hadis Dhaif secara bahasa bererti hadis yang lemah. Para ulama memiliki dugaan kecil bahawa hadis tersebut berasal dari Rasulullah SAW. Dugaan kuat mereka hadis tersebut tidak berasal dari Rasulullah SAW. 

Adapun para ulama memberikan batasan bagi Hadis Dhaif sebagai berikut : “ Hadis Dhaif ialah hadis yang tidak memuat / menghimpun sifat-sifat Hadis Sahih, dan tidak pula menghimpun sifat-sifat Hadis Hasan”.

Hadis Dhaif dapat dibagi menjadi dua kelompok besar, iaitu : Hadis Dhaif kerana gugurnya rawi dalam sanadnya, dan Hadis Dhaif kerana adanya cacat pada rawi atau matan.

814. Soalan : Mandi di hari Jumaat dan berhias pada hari itu, adakah hukumnya sunat  umum untuk lelaki dan wanita?

Jawapan :

Hukum mandi di hari Jumaat adalah sunat. Hukum ini hanya khusus bagi lelaki kerana orang yang menghadiri solat Jumaatlah yang dituntut untuk berhias ketika keluar. Sedangkan wanita tidak dituntut melakukan hal tersebut. Akan tetapi,  sesiapa sahaja jika pada tubuhnya terdapat kotoran, dia hendaklah membersihkannya. Ini kerana ia termasuk dalam perkara terpuji yang tidak layak untuk ditinggalkan.
  
Adapun melakukan mandi Jumaat  bermula daripada terbit fajar sehingga menjelang solat Jumaat. Inilah waktu mandi Jumaat :


Dari Abdullah bin Umar, ia berkata: "Aku mendengar Rasulullah bersabda: "Bila salah seorang di antara kalian hendak melakukan solat Jumaat, maka hendaknya ia mandi." (Hadis Riwayat Muslim No.1393)

Dari Umar bin Khathab: ia berkata: "Bahawa Rasulullah memerintahkan mandi (Jumaat)". (Hadis Riwayat Muslim No.1395) 

815. Soalan : Adakah wanita yang sedang haid, nifas atau berjunub boleh membaca al-Quran?


Jawapan :

Terdapat perbezaan pendapat ulama mazhab di dalam perkara ini, ada yang mengatakan tidak boleh membaca al-Quran di dalam keadaan haids, nifas dan junub dan ada yang mengatakan boleh. 

Ulama yang tidak membolehkan membaca al-Quran adalah berdasarkan dalil  berikut 

1. Dari Ibnu Umar, dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam baginda bersabda, “Janganlah perempuan yang haid dan orang yang junub membaca sedikit pun juga dari (ayat) Al-Qur’an.”

Dalam riwayat yang lain, “Janganlah orang yang junub dan perempuan yang haid membaca sedikit pun juga dari (ayat) Al-Qur’an”

Dikeluarkan oleh Tirmidzi (no. 121). Ibnu Majah (no. 595 dan 596). Ad-Daruquthni (1/117) dan Baihaqiy (1/89), dari jalan Ismail bin Ayyaasy dari Musa bin Uqbah dari Naafi, dari Ibnu Umar (dia berkata seperti di atas) (Hadis ini dhaif)

Berkata Imam Bukhari, “Ismail (bin Ayyaasy) munkarul hadits (apabila dia meriwayatkan hadis) daripada penduduk Hijaz dan penduduk Iraq” Hadis di atas telah diriwayatkan oleh Ismail bin Ayyaasy dari Musa bin Uqbah seorang penduduk Iraq. Dengan demikian riwayat Ismail bin Ayyaasy dhaif.

2. Hadis yang lain daripada jalan Ibnu Umar :

Daripada jalan Abdul Malik bin Maslamah (dia berkata) Telah menceritakan kepadaku Mughirah bin Abdurrahman, daripada Musa bin Uqbah dan Naafi, daripada Ibnu Umar, dia berkata : Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Tidak boleh bagi orang junub membaca sedikitpun juga daripada (ayat) Al-Qur’an” (Hadis Dhaif diriwayatkan oleh Ad-Daruquthni (1/117)

Al-Hafidz Ibnu Hajar telah melemahkan riwayat di atas disebabkan Abdul Malik bin Maslamah seorang rawi yang dhaif (Talkhisul Habir 1/138)

Ulama yang membolehkan membaca al-Quran adalah berdasarkan dalil  berikut:

1. Hadis Aisyah ketika dia haid sewaktu menunaikan ibadah haji.
  
Dari Aisyah, dia berkata : "Kami keluar (menunaikan haji) bersama Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam (dan) kami tidak menyebut kecuali haji. Maka ketika kami sampai di (satu tempat bernama) Sarif aku haid. Lalu Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam masuk menemuiku dan aku sedang menangis, lalu baginda bertanya, “Apa yang menyebabkanmu menangis?” Jawabku, “Aku ingin demi Allah kalau sekiranya aku tidak haji pada tahun ini?” Jawabku, “Ya” Baginda bersabda, “Sesungguhnya (haid) ini adalah sesuatu yang telah Allah tentukan untuk anak-anak perempuan Adam, oleh kerana itu kerjakanlah apa-apa yang dikerjakan oleh orang yang sedang haji selain engkau tidak boleh tawaf di Kaabah sampai engkau suci (dari haid)” (Hadis Shahih Riwayat Bukhari (no. 305) dan Muslim (4/30)

Hadis ini dijadikan dalil oleh para ulama di antaranya Amirul Mukminin fil hadis Al-Imam Al-Bukhari di kitab Shahih-nya bahagian Kitabul Haid bab 7 dan Imam Ibnu Baththaal, Imam Ath-Thabari, Imam Ibnul Mundzir dan lain-lain bahawa perempuan haid, nifas dan orang yang junub boleh membaca Al-Qur’an dan tidak terlarang. 

Berdasarkan perintah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kepada Aisyah untuk mengerjakan apa-apa yang dikerjakan oleh orang yang sedang menunaikan ibadah haji selain tawaf dan tentunya juga terlarang solat. Sedangkan yang selainnya boleh termasuk membaca al-Quran. Kerana kalau membaca al-Quran terlarang bagi perempuan haid tentu Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menjelaskannya kepada Aisyah. Sedangkan Aisyah saat itu sangat memerlukan penjelasan daripada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam apa yang boleh dan terlarang baginya. Menurut ushul “mengakhirkan keterangan dari waktu yang diperlukan tidak boleh.

2.  Dari Aisyah, dia berkata, “Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam biasa berzikir atas segala keadaannya” (Hadis Sahih Riwayat Muslim (1/194 dan lain-lain)
  
Hadis  ini juga dijadikan hujjah oleh Imam Al-Bukhari dan lain-lain imam tentang bolehnya orang yang junub dan perempuan haid atau nifas membaca al-Quran. Kerana Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berzikir kepada Allah atas segala keadaannya dan yang termasuk berzikir ialah membaca al-Quran. 

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala maksudnya,“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Adz-Dzikra (al-Quran) ini, dan sesungguhnya Kami jugalah yang akan (tetap) menjaganya” (Surah al-Hijr ayat 9)

815. Soalan : Apakah yang maksudkan sebagai ihsan dalam agama Islam?

Jawapan :
  
Ihsan adalah ketepatan atau kesempurnaan (beribadah dengan penuh keikhlasan). Pada makna syarak ia bermaksud melakukan sesuatu IBADAT dengan BAIK dan TEPAT sebagaimana yang diperintahkan Allah SWT.

Sebagaimana didalam sebuah hadis yang panjang dari Abu Hurairah ra., dimana Malaikat Jibril bersoal jawab dengan Nabi dan disana ada menyebut mengenai maksud ihsan :-


مَا الْإِحْسَانُ ؟ قَالَ : أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

“Apakah itu Ihsan? Baginda menjawab : Sesungguhnya kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya, walaupun kamu tidak melihatnya, akan tetapi Allah melihat kamu” (Hadis Riwayat Bukhari 50, Muslim 9)

Mereka yang dikatakan telah memperolehi Ihsan dikatakan telah mencapai kenikmatan ibadat seolah-olah dia melihat Allah ketika melakukan.

Ibn Rajab rh menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan bahawa seseorang itu hendaklah beribadat seperti cara ini, menggambarkan dia hampir dengan Tuhannya, Ia memerlukan sifat TAKUT, GERUN dan TUNDUK kepada Allah SWT. Sifat ini juga akan menimbulkan rasa ikhlas didalam beribadat, dan seseorang itu akan cuba memperbaiki lagi ibadatnya agar ia menjadi lengkap dan sempurna (Jami’ al-Ulum, 1/35).

Contohnya didalam surah al-Asr; Allah menjelaskan bahawa yang dikatakan orang yang beriman atau ciri-ciri orang yang beriman adalah hamba Allah yang SOLEH, membantu didalam kerja-kerja kebenaran dan bersifat SABAR.

Begitulah juga ciri-ciri orang yang berihsan (MUHSIN) iaitu mereka ini sentiasa memperbaiki ibadatnya, tidak kira ibadat wajib mahu pun sunat, dengan melakukannya dengan penuh rasa gerun dan takut seolah-olah dia melihat Allah SWT memerhatikannya.

Tahap Ihsan seseorang itu bukanlah tahap yang mutlak, akan tetapi ia boleh berubah-ubah. Ia hanyalah menunjukkan keadaan sahaja. Seperti juga dengan keadaan Iman seseorang. Ahli Sunnah wa al-Jamaah berpegang kepada konsep :-


الإيمان يزيد وينقص. الإيمان يزيد بطاعة الله ، وينقص بمعصيته.

“Iman itu boleh bertambah dan berkurang,.Iman akan bertambah dengan melakukan ketaatan kepada Allah, dan akan berkurang kerana melakukan maksiat kepadanya” (al-Lajnah al-Daemah, (3/187).

Kesimpulannya :

Ihsan menunjukkan keadaan atau ciri-ciri orang yang sentiasa melakukan ibadat secara khusyuk kerana merasakan Allah SWT itu sentiasa melihat perbuatannya. Ia bukanlah menunjukkan sesuatu maqam atau kedudukan yang ampuh, akan tetapi ia menunjukkan ciri-ciri kebaikkan seseorang yang sentiasa memperbaiki ibadatnya agar menjadi lengkap dan sempurna, dan bukan sekadar ‘melepaskan batuk ditangga sahaja.Wallahu a'lam.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML