Thursday, May 1, 2014

AKHLAK YANG MULIA

Bismillahirrahmanirrahim.



Dari Jabir r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari Kiamat ialah orang yang baik akhlaknya. (HR Tirmizi)

Dari Aishah r.ha berkata: Aku mendengar bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya seorang mukmin yang berakhlak mulia memperolehi darjat seorang yang berpuasa dan beribadat sepanjang malam. 
(HR Abu Daud)

Takkala bercermin, elok lah amalkan membaca doa yang indah sebagaimana yang diajarkan Rasulullah SAW iaitu:
"Ya Allah, sebagaimana kau indahkan ciptaan-Mu kepada ku maka indahkanlah jua akhlakku....."
Kita mohon pada Allah yang telah indahkan jasad kita agar mengindahkan juga akhlak kita.

Maknanya kita bukan sekadar bercermin semata2, biar masa tengok cermin pun dapat pahala InsyaAllah.

Antara didikan Rasululullah SAW:

  1. bersedekah kepada rakan2
  2. jangan menipu
  3. hormat kepada guru


Tonjolkan akhlak yang sempurna, Jangan kita:

  1. mudah rasa marah
  2. asyik nak cari gaduh dengan orang
  3. suka mencaci maki
  4. seronok mengumpat
  5. rajin mengadu-domba pasal orang


Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Seorang yang kuat itu bukanlah orang yang dapat membalas(pukulan lawannya) tetapi seorang yang kuat itu ialah dia yang dapat mengawal diri dan perasaannya dengan baik ketika marah. 

(HR Bukhari)

Dari Muaz r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa menelan kemarahannya sedangkan dia berkuasa untuk membalas kemarahannya itu, maka pada hari kiamat kelak Allah akan memanggilnya dihadapan seluruh makhluk dan dia diberi peluang untuk memilih bidadari mana sahaja yang dia sukai. (HR Abu Daud)

Harus sentiasa cuba memaafkan orang yang menyakiti hati kita. Kita boleh menasihati, tapi jangan menyakiti.

Kalau ditimpa musibah, ucapkanlah 'Innalillahiwainna ilai hirajiunn...' Contoh kalau terlanggar batu, ucapkanlah demikian. Bukan teringat nak lafazkan Innalillah hanya bila mendengar berita kematian sahaja.

Wallahu a'lam.
Read More

LIMA KUNCI



Dari Ibnu Umar r.a, dari Nabi SAW baginda bersabda "Lima kunci perkara ghaib, tidak mengetahuinya melainkan Allah iaitu:


  1. Tiada mengetahui apa yang tersimpan di dalam rahim (kandungan perempuan) melainkan Allah.
  2. Tiada yang mengetahui apa yang akan terjadi esok hari melainkan Allah.
  3. Tiada seorangpun yang mengetahui bila waktunya hujan akan turun melainkan Allah.
  4. Tiada seorangpun mengetahui di negeri mana dia akan mati melainkan Allah
  5. Tiada yang mengetahui bila kiamat akan terjadi melainkan Allah.(Bukhari)



Huraian : Pemilik ilmu itu adalah Allah SWT. Tiada sesuatupun yang luput dari pengetahuan-Nya, yang nampak mahu pun yang tersembunyi di mana manusia dan makhluk lainnya tidak diberi ilmu oleh Allah SWT melainkan hanya sedikit sahaja. Ilmu manusia jika dibandingkan dengan ilmu Allah ibarat setitik air dalam lautan.

Firman Allah yang bermaksud

"Katakanlah : kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku meskipun Kami datangkan lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan." (al-Kahfi :109)
Read More

JANGAN TIDUR LAGI

Bismillahirrahmanirrahim.



Bagi orang yang beriman, ujian panas yang melanda baginya hanyalah ujian kecil. Mereka yakin semua datang dari Allah. Susah atau senang, duka atau gembira, kaya atau miskin.. semua dari Allah. Nikmat juga merupakan ujian. Harta hanyalah pinjaman, hanya transit sahaja buat kita.  Hakikatnya ia datang dari Allah.  Kata ustaz, tanda kita syukur pada Allah, solat mesti buat secara ontime dan full time. Solat bukan buat secara part time, bukan no time. Solat mesti kalau boleh dibuat overtime. Itu yang sepatutnya dilakukan oleh kita sebagai hamba Allah. Tak berkira masa untuk buat ibadah. Tak rasa, "dah buat banyak dah..." Kalau dicongak2 masa, ternyata amat sedikit masa yang kita peruntukkan untuk duduk atas tikar sembahyang. Waktu selebihnya banyak terluang untuk perkara yang selain dari itu walhal kita setiap orang ada masa 24 jam setiap hari.

Hidup kita tiada jaminan boleh bertahan sampai bila. Jadi, jangan tak ingat mati. Ada orang yang hari ini sihat, esok dah tiba-tiba sakit. Ada yang pagi semalam ada, petang sudah tak ada. Innalillah. Bagi orang yang banyak mempersiapkan diri dengan amal soleh, alhamdulillah...InsyaAllah akan beroleh bahagia.. ameen.. Kata ustaz, kenkadang saudara atau sahabat kita yang tersasar perlu untuk diingatkan pasal mati. Contoh tanya soalan pada dia: "Ngapa, hang tak mau mati ke, yang masih duk sebok nak ambik tanah orang, duk nak ambik hak orang, nak ambik harta orang? " Cuba kita tanya orang2 yang terbabit dengan soalan2 yang semacam tu. Ingat2kan dia tentang mati.


Dari Khaulah binti Tsamir al-Anshariyah dan ia adalah isterinya Hamzah radhiallahu 'anhuma, katanya: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya ada beberapa orang yang membelanjakan harta Allah - yakni harta milik kaum Muslimin - tanpa dasar kebenaran, maka bagi mereka itu adalah neraka pada hari kiamat." (Riwayat Bukhari)

Sesungguhnya kena buat persiapan nak bertemu dengan Allah. Kematian boleh berlaku bila-bila masa. Ustaz minta kita renungkan senikata lagu nasyid; 

Selimut Putih

Bila Izrail datang memanggil
Jasa terbujur di pembaringan
Seluruh tubuh akan menggigil
Sekujur badan kan kedinginan
Tiada lagi gunanya harta
Kawan karib sanak saudara
Jikalau ada amal di dunia
Itulah hanya pembela kita
Bila Izrail datang memanggil
Jasad terbujur di pembaringan
Seluruh tubuh akan menggigil
Sekujur badan kan kedinginan
Janganlah mau di sanjung sanjung
Engkau di gelar manusia agung
Sedarlah diri tahu di untung
Sebelum masa keranda di usung
Datang masanya insaflah diri
Selimut putih pembalut badan
Tinggal semua yang di kasihi
Berjuanglah hidup sepanjang zaman

Alunan nasyid yang sebegini boleh mendatangkan keinsafan untuk membantu menyedarkan kita. Dah kena sedar sekarang. Jangan tunggu lagi. Kata ustaz, solat kalau boleh buat lah secara overtime, sebab kita sekarang duduk dalam keadaan yang selesa. Maka sementara belum tiba saat yang sempit bagi kita, perbanyakkan buat ibadah-ibadah sunat terutamanya solat-solat sunat yang InsyaAllah dapat mendekatkan lagi diri kita kepada Allah Taala. Hidup kita sekejap namun akan dipertanggungjawabkan setiap detik masa yang diberi kepada kita.

Semua orang kalau ditanya pasti jawapannya inginkan Syurga.  Nilai syurga amat mahal. Harga yang perlu kita bayar untuk nikmat syurga itu ialah amal soleh. Orang beriman dan amal-amal solehnya yang mengisi syurga.
Syurga perlu dibayar dengan zuhud, bersifat warak dan tak nak pada dosa. Ramai yang nak syurga tapi dia masih tidur , tak buat apa-apa.  Ramai yang tak nak masuk neraka tapi dia masih tidur, masih tak buat apa-apa. Setiap orang beriman dijamin oleh Allah Taala pasti masuk syurga. Kenapa kita disuruh berlumba-lumba buat amal kebaikan? Kerana nak mencapai darjat-darjat syurga kerana syurga itu bertingkat-tingkat atau berperingkat-peringkat. Tingkatan syurga yang paling tinggi ialah al-Firdaus. Syurga berperingkat atau berbeza mengikut amalan soleh seseorang itu. Oleh itu bangkitlah, janganlah tidur lagi.

Orang beriman yang beramal dengan keikhlasan, maka InsyaAllah akan dikekalkan dalam Syurga. Amal soleh boleh terhalang dek hawa nafsu. Kata ustaz, contoh perkara yang tak disukai oleh hawa nafsu ialah solat berjemaah, bangun solat malam dan, membaca al-quran. Maka musuh yang sebenarnya ada dalam diri kita.  Itu lah hawa nafsu. Dikatakan solat berjemaah, solat malam, bacaan al-quran dan semua perkara yang tak disukai oleh hawa nafsu akan duduk mengelilingi syurga.

Manakala yang mengelilingi neraka pula ialah perkara yang disukai oleh hawa nafsu. Maka berhati-hatilah kita dengan hawa nafsu kita sendiri. Disebut ada 6 perkara yang kena elak yang mana jika kita sanggup elak, InsyaAllah ada jaminan masuk syurga iaitu:

  1. Bila bercakap jangan sekali kita bohong hatta bohong dengan tujuan kebaikan dan untuk tidak memudaratkan orang lain sekalipun. Ini kita, kalau orang tanya; "dah sampai mana?" Kita pun jawab,"Ouh dah nak sampai dah ni", padahal sebenarnya baru nak bertolak dari rumah.  Awas, walaupun kita rasa perkara ini kecil, namun pada hakikatnya kita telah berdusta.
  2. Bila berjanji, hendaklah ditepati janji itu. Jangan mengingkarinya. Bila ada orang jemput untuk kenduri, kita jangan kata "InsyaAllah" kalau yang sebenarnya kita dah tahu kita tak dapat pergi sebab ada urusan lain. Jawab terus, "minta maaf tak dapat hadir sebab ada hal."
  3. Kalau diberi amanah, jangan khianati amanah itu.
  4. Tahan penglihatan kita dari tunduk pada hawa nafsu, jangan pandang perkara yang diharamkan Allah.  Allah Taala boleh melihat semua mata hatta niat kita dalam hati sekalipun.
  5. Pelihara lah kehormatan atau maruah kita dari perkara yang dilarang oleh Allah yang menjurus perbuatan zina.
  6. Kalau ada kuasa, jangan gunakan kuasa atau tangan kita dengan menzalimi orang lain.
  7. Kata ustaz, "Berat-berat semua tu..tuan-tuan... Sebab apa berat? Sebab SYURGA itu sangat mahal harganya...



Wallahu a'lam.
Read More

BUKTIKAN KASIH

Bismillahirrahmanirrahim.



Sebagai mukaddimah, di-peringatkan..
....terkadang hati rasa terhimpit.  Maka mohonlah kita pada Allah. Sebagai hamba kita hanya mampu usaha dan doa, selebihnya berserahlah pada Allah. Pada hakikatnya Allah tahu apa masalah kita. Tak cerita pun Allah tahu apa yang menghimpit perasaan kita. Jadi berterusan mohon..."Ya Allah, setiap susah kami, mudahkanlah... segala masalah kami selesaikanlah... segala hajat kami kabulkanlah.. segala permintaan kami terimalah ya Allah..." Bagi hamba yang membenarkan hakikat, sedar bahawa setiap apa yang terjadi bagi Allah ada kebaikannya. 

Maka minta akan kasih Allah, juga kasih Rasulullah SAW. Muliakan Muhammad SAW, InsyaAllah Allah bagi kemuliaan orang yang muliakan kekasihnya. Pasti kasih Allah padanya bila ia kasih pada Nabi Muhammad SAW. Kena kasih pada ulamak akhirat. Kenapa? Kerana ulamak adalah pewaris Nabi SAW. Ulamak kasihkan Nabi SAW. Kenapa pakai serban? Sebab kasih pada Muhammad SAW, maka ikut sunnah baginda SAW dengan memakai serban. Ulamak akhirat itu bukan ulamak dunia. Ulamak dunia tidak perlu dibela.  

Kasihkan Allah, maka sebutlah namanya.  Basahkan lidah dengan zikrullah. Buktikan kasih pada Allah dengan menunaikan perintahnya.  Letakkan agama di hadapan manakala nafsu di belakang. Nafsu biar duduk nombor dua. Bila berhadapan dengan keperluan dunia dan akhirat, dahulukan kasih pada akhirat. Mesti ambil berat tentang agama.  
Jangan ambil ringan.  Jadilah kita orang yang memelihara agama. 
Jangan main-main, jangan ambil Islam sambil lewa.. mana yang suka, buat... yang tak suka, tak buat.
Jangan tak ikut syariat tapi cenderung ikut nafsu. 
Balik dari masjid, dah siap plan..."balik nak tido nih... dah penat.. " Sepatutnya lebih bersemangat untuk beramal-soleh sebab bila kasihkan Allah, akan lapangkan lagi masa sambung buat ibadah lepas balik masjid.  Sambung mengaji quran, sambung buat solat taubat dll. Di zaman mutaakhir ini, boleh pulak kita masih relek-relek. Bangunlah... solatlah dua rakaat sekurang-kurangnya. Zikirlah sebelum mati, zikirlah sebelum sakit. "Hari ini dah selawat 1000 kali?..", tanya ustaz.

Buktikan kasih kita pada Nabi SAW dengan banyakkan mengucapkan selawat ke atas baginda SAW. Buktikan kasih kita pada Allah dengan banyak melakukan amal-taat padaNya. Jika kasih pada makanan, ingat bahawa makanan itu tidak lain dapat menguatkan tubuh-badan kita untuk bangun mengerjakan perintah Allah. Dan jika kasih pada bunga, tanam pelbagai jenis bunga kerana terpesona dengan kecantikannya, maka ingat pada pencipta bunga itu..tuan empunya bunga. Begitu juga bila tengok sungai, tengok cahaya yang indah, yang elok,yang cantik.. maka ingat bahawa yang empunya keindahan itu adalah Allah. 


Al Khaliq الخالق - Maha Pencipta; The Creator

Akal manusia itu anugerah Allah. Bila timbul rasa diri hebat, ingat Allah Yang Hebat. Allah yang bagi akal kita. Maka jangan jadi orang yang sombong, jadilah orang yang tawadhuk, yang sentiasa merendah diri.  Ilmu Allah luas. Tengok bunga orkid sempurna, tengok langit sempurna, tengok laut sempurna, tengok sungai sempurna.. begitu juga dengan kejadian diri kita sebagai manusia yang mana susunan mulut, hidung dan dua biji mata di wajah kita begitu sempurna.. Subhanallah..  Ciptaan Allah begitu luarbiasa. Sentiasalah ingat kita ini lemah, maka jangan sombong sangat. Semua barang pinjam. Kita datang dulu kosong, balik nanti pun kosong kecuali ada taqwa, ada amal soleh.

Suluh diri, kita suluh diri masing-masing.

Wallahu a'lam.


**bersambung di SINI
Read More

IBADAH IBARAT PERMATA

Bismillahirrahmanirrahim.



..bersambung dari SINI

Bila harap pada Allah, InsyaAllah langsung akan diterima taubat. Harap hanya pada Allah. Teruskan belajar, jadi insan yang berilmu. Ilmu dapat memelihara perkataan, perbuatan serta iktikad daripada berbuat derhaka kepada Allah. Ilmu menjadi jalan. Ilmu dapat menyuluh.

Selepas harap, dalam kita menyatakan kasih pada Allah, hendaklah sentiasa menyebutNya. Banyakkan menyebut Allah. Jalan mendekatkan diri pada Allah, ada jalan umum ada jalan khusus. Pilihlah, banyak jalan termasuk jalan solat, jalan zikir, jalan taubat, jalan sedekah dll. Pilih jalan untuk dekat dengan Allah, jangan sampai tak ada jalan. Banyakkan jalan untuk cari kasih Allah.

Apa2 yang disampaikan oleh Allah SWT, maka itulah yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Apa2 yang disampaikan oleh Rasulullah SAW maka itulah yang disampaikan oleh ulamak akhirat. Allah Taala memberi taufiq bagi mereka itu pada mengajar, menyampaikan ilmu dan berbuat kebaikan. Dan semulia-mulia makhluk yang berbuat kebaikan atas kita, ialah Rasulullah SAW. Segala puji bagi Allah yang menjadikan dan membangkitkan baginda SAW sebagai pesuruh Allah sepertimana firmannya:


"Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak)..... " 
(Surah al-Jumu'ah ayat 2)

"....dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan penjelasan yang terang nyata”. 
(Surah an-Nur ayat 54)

"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya);..... "(Surah al-Qasas ayat 56)

Carilah jalan yang  beroleh redha Allah. Neraka tak pilih siapa. Jauhi dosa syirik. Syirik tetap syirik. Ambillah Islam seluruhnya, bukan separuh-separuh. Jangan ikut langkah syaitan, kerana syaitan itu musuh yang nyata. Segala bab, zahirnya, muamalatnya, ibadahnya, semua wajib mengikut perintah Allah. Jika yang suka; ambil, yang tak suka; tinggal... itu ikut hawa nafsu namanya.

Nabi SAW pesan, "ikut aku maka selamatlah kamu." Sudah jelas apa yang dibawa oleh Nabi SAW. Itu yang kita kena terima, membenarkan ia oleh hati. Islam itulah yang benar. Jangan nak tambah-tambah. Siapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, maka Allah akan tunjukkan jalan padanya. Allah akan bagi faham akan agama. Pastikan Allah tak tutup lorong kebaikan buat kita. Jangan sampai Allah tutup lorong ibadah, lorong amal soleh buat kita...Nauzubillah..

Dari Mu’awiyah ra katanya: “Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah untuk memperoleh kebaikan, maka Allah membuat ia menjadi pandai dalam hal keagamaan.”  
(Muttafaq ‘alaih)

Dari Abdullah Ibn Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang diberi kebaikan oleh Allah SWT ke atas seorang hambaNya maka akan diberi faham dalam agama dan mengilhamkan didalam hatinya perkara-perkara yang benar. 
(HR Bazzar, Tabrani)

Sejauh mana jahat, sejauh mana kita melencong, maka kembalilah kepada Allah.  Baliklah pada Allah. Berhentilah buat dosa. Bila nak bertaubat? Diri pun dah lemah. Cukuplah tu lalainya, cukuplah jahatnya. Betapa kasihnya Allah bagi hambaNya yang lalai, tetap dibukakan pintu taubat. Maka jangan kiranya, dah makin hampir pada mati, makin tak sedar diri. Sungguhpun tak ada daya, mohon lah daya dari Allah untuk berubah. Perlu pada pertolongan Allah. Nak buat baik dan nak tinggalkan maksiat, kedua-duanya perlu pada pertolongan Allah Taala.

Banyakkan buat solat sunat. Kobliyah dan baadiyah, itu sudah pasti. Pastikan buat. Itu jalan. Ulamak kata, ibadah itu permata, nilainya mahal. Nilai permata, tinggi. Tidak semua manusia mampu miliki nya sebab ia mahal. Solat malam itu permata. Tak semua orang mampu ibadah kecuali ahli. Ramai yang bangun malam tapi tak semua orang dapat permata solat Tahajjud. Ramai yang tahu tentang solat Dhuha tapi tak ramai yang rmendapat permata solat Dhuha. Solat Awwabin, solat sunat 6 rakaat yang amat besar ganjaran melakukannya di antara waktu Maghrib dan Isyak.. ramai yang tidak mendapat permata kerana waktu antara Maghrib dan Isyak ada yang menghabiskan waktunya dengan 6 batang rokok bukan dengan 6 rakaat Solat Sunat Awwabin. Majlis ilmu, setengah orang dapat permata manakala sebahagian yang lain tak dapat. Mahal harganya sebab antara 10 orang yang hadir, hanya 5 orang yang dapat majlis ilmu, yang lima lagi tidor. Ada tempat yang hadir hanya 3 orang tapi hanya seorang yang dapat permata bilamana yang 2 lagi fikiran melayang entah ke mana. Begitu mahalnya majlis ilmu. Masjid, banyak tiang dari orang.

Namun bagi ahli ibadat... bila tertinggal buat solat sunat, maka terus di-qadha atau ganti. Bagi ahli, lepas solat Zohor, terus ganti buat solat Dhuha yang tertinggal buat di waktu Dhuha... Subhanallah...

Walau apapun, sentiasa ada ruang untuk kita berubah jadi lebih baik. Sentiasa ada ruang untuk minta ampun pada Allah. Walau banyak mana dosa, Allah Maha Pengampun. Kata ustaz, syarat untuk dapat berubah jadi orang yang baik ialah: Jangan bercakap bohong dan jangan tinggal sembahyang. Puji Allah, berterimakasih pada Allah.  Jangan bila buat ibadah, masih nampak...hebat aku, pandai aku, alim aku.. semua sebab aku.. aku.. Ingat bahawa semua milik Allah. Semua datang dari Allah. Walau diberi alim(berilmu), tak semua yang alim dapat amal. Kerana amal itu anugerah Allah buat hamba yang terpilih. Oleh itu sentiasa kita pohon agar Allah kekalkan nikmat ibadah dalam diri kita.  Doalah agar Allah tak tarik nikmat ibadah yang Allah kurnia buat kita. Ustaz ulang mengingatkan agar jangan sombong. Kalau sombong, akan hina di dunia, hina di akhirat. Kembalilah pada Allah. Buang jahil kerana disebabkan jahil itulah, manusia tak kenal Allah. Jadi insan berilmu. Jangan tinggalkan doa, kerana doa merupakan senjata yang ada pada kita yang tak ada pada musuh.

Antara tanda-tanda orang kasih pada Allah ialah redha dengan qada dan qadar. Terima baik buruk dari Allah. Seseorang yang boleh membenarkan dua ketentuan ini dari Allah, maka hatinya akan tenang. Jangan kita nak sihat saja, sakit tak nak, jangan nak senang saja, susah tak nak. Jangan kaya hendak, miskin tolak. 


Dari Abdullah ibn Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Bahawa setiap sesuatu telah ditulis dengan Qadar (takdir) sehingga kebodohan dan kelemahan atau kecerdikan dan kepandaian seseorang. (HR Muslim)

Mari suluh diri, masing2 kita suluh diri.

Wallahu a'lam.

Read More

JALAN MENGHAPUS DOSA

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah pagi tadi seorang sahabat telah forward-kan tazkirah dari ustaz, yang membariskan jalan-jalan untuk menghapuskan dosa.

Alhamdulillah, jom kita rebut peluang yang banyak Allah sediakan untuk kita bagi menghapus dosa: 

  1. sentiasa kita bertaubat pada Allah Taala; 
  2. sering2 buat solat sunat taubat, 
  3. doa mohon ampun atas dosa yang dilakukan..
  4. perbaguskan wadhuk - mengambil wudhuk dgn sempurna... 
  5. perbanyakkan istighfar..
  6. rajin bersedekah, 
  7. selalu berbuat baik...
  8. sentiasa zikrullah  
  9. bersabar dengan musibah yg menimpa seperti sakit, susah hati dan sebagainya. 


Ini antara jalan Allah nak hapuskan dosa kita. Jadi jangan tunggu lagi. Ayuh kita gunakan umur yang masih ada ini untuk berusaha beramal soleh dengan semampunya InsyaAllah. Moga-moga Allah ampunkan kita...ameenn.

Menyebut perihal sedekah, ustaz dalam Kuliah Maghrib telah berpesan agar hendaklah kita berlaku baik pada haiwan terutamanya kucing-kucing yang berkeliaran datang ke rumah kita. Yang kita bela sendiri tu, lainlah, tentunya mendapat perhatian kita, makan minumnya pasti terjaga. Yang ustaz tekankan ialah kucing yang datang-datang ke rumah kita.. maksudnya yang bukan kita bela.  Kata ustaz, memberi makan dan minum pada haiwan juga merupakan sedekah. Jadi jangan ambil ringan perkara ini dengan kita hanya memberi tulang-tulang ikan yang lebih kita makan saja pada kucing. Perhebatkanlah sedekah kita pada kucing dengan membeli ikan yang khusus buatnya. Beli ikan,  rebus, gaulkan dengan nasi dan air rebusannya kemudian bagilah makan pada kucing-kucing tersebut. Rebutlah pahala sedekah yang Allah persiapkan untuk kita..ameenn. Beri sedekah yang terbaik..InsyaAllah.

Begitu juga dengan burung-burung yang sering hinggap di ampaian dan bermain-main di sekitar laman kita. Taburlah makanan untuk mereka makan sebagai sedekah kita. Hendaklah berlapang dada sekiranya burung-burung, tupai mahupun monyet sering dilihat datang memakan buah-buah rambutan di laman kita. Semua itu, kata ustaz termasuk sebagai sedekah.

“Setiap orang muslim yang menanam sebuah pohon, setiap buah yang dimakan orang dari pohon tersebut baginya pahala sedekah dan setiap buah yang dicuri orang dari pohon tersebut baginya pahala sedekah, dan tidak seorangpun yang mengurangi buah dari pohon tersebut melainkan baginya pahala sedekah” (HR. Muslim)

Dalam riwayat lain:

“Setiap orang muslim yang menanam pohon sekalipun ia tidak merawatnya, setiap manusia yang makan buah dari pohon tersebut, dan binatang melata dan burung, niscaya ia akan mendapatkan pahala sedekah hingga hari kiamat.“

Dalam riwayat lain:

“Setiap muslim yang menanam pohon sekalipun ia tidak merawatnya, setiap manusia yang makan buah dari pohon tersebut dan binatang melata dan makhluk apapun jua melainkan ia mendapat pahala sedekah.”
(HR Bukhari dan Muslim)

Diselitkan hadis-hadis tentang menanam pohon ini khusus buat tatapan en suami yang rajin menanam pokok2 buah di kawasan surau. Alhamdulillah pokok mangga epal di kawasan surau lama dulu telah membuah kan hasil dan kini pokok2 rambutan di kawasan surau baru pula sudah semakin tinggi dan nampak begitu subur sekali alhamdulillah.  En suami sesekali pergi tabur baja organik untuk menambah subur dua pokok rambutan tersebut. InsyaAllah tak lama lagi tentunya akan mengeluarkan hasil serta dapat dinikmati oleh ahli kariah surau seluruhnya serta penduduk sekitar... Alhamdulillah.
...................................................................................................................................................................



teringat semasa nak masuk kereta selepas singgah membeli topup telefon , tiba-tiba terpandang suatu pemandangan yang sungguh menarik hati. Tak jauh dari tempat saya, kelihatan sekawan burung tengah berkerumun ramai-ramai menikmati makanan. Subhanallah..Allahu Akbar..rupa2nya ada insan baik hati yang telah melonggokkan beras sebagai makanan burung-burung tersebut.. Subhanallah...rasa terharu...
Read More

MARI HAFAL 10 AYAT SURAH AL KAHFI

Bismillahirrahmanirrahim.

Dalam Kuliah Maghrib tadi, ustaz memperingatkan agar rajin2 kita membaca Surah al-Kahfi. 
Kata ustaz..."Hafal lah 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir Surah al-Kahfi..."

Jom kita teruskan usaha menghafal. Bagi yang sudah berjaya menghafalnya, alhamdulillah. Dengan membaca ayat-ayat, ini InsyaAllah seseorang itu boleh terselamat dari fitnah Dajjal sebagaimana disebut dalam beberapa hadis Nabi SAW:

Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa nabi s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang menghafal sepuluh ayat daripada awal surah al-Kahfi, akan terhindar daripada fitnah dajjal. Dalam riwayat yang lain dinyatakan daripada akhir surah al-Kahfi." (HR Muslim)

Dari Sauban r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir daripada surah al-Kahfi, maka sesungguhnya pembacaannya itu menghindarkannya daripada fitnah dajjal. (HR Nasai)

Dari Abu Said al-Khudri r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang membaca surah al-Kahfi (dengan huruf dan pembacaan yang betul) sebagaimana ia diturunkan, maka surah itu akan menjadi cahaya pada hari kiamat daripada tempat tinggalnya sehingga ke Mekah dan barangsiapa membaca sepuluh ayat yang akhir daripadanya, kemudian dajjal keluar, dajjal tidak dapat menguasainya." (HR Mustadrak Hakim)

Surah al-Kahfi disunnatkan untuk kita membacanya pada malam Jumaat dan pada hari Jumaat  sebagaimana disebut dalam hadis Rasulullah SAW, jika kita membaca Surah Al-Kahfi pada malam dan hari Jumaat, InsyaAllah akan terpancar cahaya buat kita dari Jumaat ini sehingga tiba Jumaat yang akan datang. Jadi, jangan lupa untuk sama-sama  kita membacanya bermula malam ini. 


Dan mari kita tekun menghafal 10 ayat awal dan 10 ayat akhir Surah al-Kahfi. Moga kita semua terselamat dari tipudaya dan fitnah Dajjal... ameenn

10 ayat awal Surah al-Kahfi:





















10 ayat akhir Surah al-Kahfi:



















.................................................
**Terjemahan Bahasa Melayu Surah al-Kahfi ada di SINI

Dari Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya orang yang dalam hatinya tidak ada sesuatu apapun dari al-Quran - yakni tidak ada sedikitpun dari ayat-ayat al-Quran yang dihafalnya, maka ia adalah sebagai rumah yang musnah -sunyi dari perkakas." 

Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

Selamat Beramal.
Wallahu a'lam.

Read More

TERJEMAHAN SURAH AL KAHFI

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.

Alhamdulillah hari Jumaat datang lagi...
Banyak2 kita berselawat ke atas Nabi SAW hari ini.



Dari Abu Hurairah ra bahwa Rasulullah SAW bersabda ;

“Barang siapa berselawat terhadapku sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali.” (HR. Muslim)

Dari Abu Umamah ra berkata,

”Rasulullah SAW telah bersabda ;

“Perbanyaklah selawat kepadaku pada Hari Jum’at, karena selawat dari umatku diperlihatkan pada tiap-tiap Hari Jum’at. Barang siapa yang lebih banyak selawatnya kepadaku maka ia lebih dekat kedudukannya denganku.”
(HR. al-Baihaqi dihasankan oleh al-Albani).


Jom luangkan masa membaca ataupun mendengar bacaan Surah Al-Kahfi di samping meneliti terjemahannya..

Penuhi diri kita dengan perkara-perkara yang InsyaAllah dapat membantu kita di akhirat nanti.. kurangkan perkara sia-sia..

Dari Abu Said Al Khudri ra., bahwa Rasulullah SAW. bersabda,
"Barangsiapa membaca surah Al Kahfi pada hari Jumat, 
maka dia akan diterangi cahaya antara dua Jumaat." 
(HR Baihaqi)

Daripada Ali, yang meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda,
“BARANGSIAPA MEMBACA SURAH AL-KAHF PADA HARI JUMAAT, NESCAYA DIRINYA TERPELIHARA HINGGA LAPAN HARI, DARIPADA SEGALA FITNAH YANG MELANDA, DAN JIKA KELUAR DAJJAL SEKALI PUN, DIA AKAN TERPELIHARA DARIPADANYA”[Al-Dhurr al-Manthur oleh al-Suyuti 5: 355]



[1]
Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong):

[2]
(Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.

[3]
Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya.

[4]
Dan juga Al-Quran itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata:” Allah mempunyai anak”.

[5]
(Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.

[6]
Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.

[7]
Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.

[8]
Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang tandus.

[9]
Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?

[10]
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”.

[11]
Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.

[12]
Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu).

[13]
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.

[14]
Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

[15]
(Mereka berkata pula sesama sendiri): “Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah.

[16]
Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna”.

[17]
Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.

[18]
Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.

[19]
Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: “Berapa lama kamu tidur?” (sebahagian dari) mereka menjawab: “Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”. (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: “Tuhan kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.

[20]
“Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada ugama mereka (secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya”.

[21]
Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka”. orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: “Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”.

[22]
(Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka “; dan setengahnya pula berkata:”Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka” – secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya).

[23]
Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti”.

[24]
Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Insya Allah”. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: “Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini”.

[25]
Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: Tiga ratus tahun dengan kiraan Ahli Kitab), dan sembilan lagi (dengan kiraan kamu).

[26]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagiNya lah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatanNya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripadaNya dan Ia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya.

[27]
Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya.

[28]
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

[29]
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.

[30]
Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.

[31]
Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya.

[32]
Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.

[33]
Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai.

[34]
Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: “Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai”.

[35]
Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: “Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya.

[36]
Dan aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.

[37]
berkatalah rakannya kepadanya, semasa ia berbincang dengannya: “Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki?

[38]
Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku.

[39]
Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu,

[40]
Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus.

[41]
Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi”.

[42]
Dan segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!”

[43]
Dan ia tidak mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya, selain dari Allah; dan ia pula tidak dapat membela dirinya sendiri.

[44]
Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).

[45]
Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

[46]
Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

[47]
Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata; dan Kami himpunkan mereka (di padang Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka.

[48]
Dan mereka tetap akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur, (sambil dikatakan kepada mereka): “Kamu sekarang telah datang kepada Kami – (berseorangan) sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu dahulu menyangka, bahawa kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang tertentu (untuk melaksanakan apa yang Kami telah janjikan)”.

[49]
Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.

[50]
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.

[51]
Aku tidak memanggil mereka menyaksi atau membantuKu menciptakan langit dan bumi, dan tidak juga meminta bantuan setengahnya untuk menciptakan setengahnya yang lain; dan tidak sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk yang menyesatkan itu sebagai pembantu.

[52]
Dan (ingatkanlah) masa Allah berfirman: “Panggilah sekutu-sekutuKu yang kamu katakan itu (untuk menolong kamu); lalu mereka memanggilnya, tetapi sia-sia sahaja, kerana makhluk-makhluk itu tidak menyahut seruan mereka: dan kami jadikan untuk mereka bersama sebuah tempat azab yang membinasakan.

[53]
Dan orang-orang yang berdosa itu tetap akan melihat neraka, maka yakinlah mereka, bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya dan mereka tidak akan mendapati sebarang jalan untuk mengelakkan diri daripadanya.

[54]
Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.

[55]
Dan tiada yang menghalang manusia daripada beriman, ketika datang petunjuk Al-Quran kepada mereka, dan daripada memohon ampun kepada Tuhan mereka, melainkan (kerana kedegilan mereka dan kerana mereka) menunggu didatangi azab yang memusnahkan yang telah menimpa orang-orang dahulu, atau di datangi azab yang dilihat dan dihadapi.

[56]
Dan tidak Kami mengutus Rasul-rasul, melainkan sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran; dan orang-orang yang kafir membantah dengan alasan yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu; dan mereka jadikan ayat-ayatku, dan amaran yang diberikan kepada mereka sebagai ejek-ejekan.

[57]
Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.

[58]
Dan Tuhanmu Maha Pengampun, lagi melimpah-limpah rahmatnya. Jika Ia mahu menyeksa mereka (di dunia) disebabkan apa yang mereka telah usahakan, tentulah Ia akan menyegerakan azab itu menimpa mereka; (tetapi Ia tidak berbuat demikian) bahkan ditentukan bagi mereka satu masa yang mereka tidak sekali-kali akan dapat sebarang tempat perlindungan, yang ialah daripadanya.

[59]
Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu Kami telah binasakan ketika mereka melakukan kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka.

[60]
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: “Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun”.

[61]
Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah.
[62]
Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: “Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini”.

[63]
Temannya berkata: “Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu; dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan; dan ikan itu telah menggelunsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan”.

[64]
Nabi Musa berkata: “Itulah yang kita kehendaki “; merekapun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka.
[65]
Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.

[66]
Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?”

[67]
Ia menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.

[68]
Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?

[69]
Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”.

[70]
Ia menjawab: “Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu”.

[71]
Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata: “Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar”.

[72]
Ia menjawab: “Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?”

[73]
Nabi Musa berkata: “Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa (akan syaratmu); dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu)”.

[74]
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata “Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!”

[75]
Ia menjawab: “Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?”

[76]
Nabi Musa berkata: “Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku”.

[77]
Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata: “Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!”

[78]
Ia menjawab: “Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.

[79]
Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.

[80]
Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.

[81]
Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.

[82]
Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya”.

[83]
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”:

[84]
Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.

[85]
Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).

[86]
Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): “Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”.

[87]
Ia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.

[88]
Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati”.

[89]
Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.

[90]
Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.

[91]
Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.

[92]
kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.

[93]
Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.

[94]
Mereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”

[95]
Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.

[96]
Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, ddia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”.

[97]
Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.

[98]
(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar”.

[99]
Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.

[100]
Dan Kami perlihatkan neraka Jahannam, pada hari itu kepada orang-orang kafir, dengan pendedahan yang jelas nyata;

[101]
(Iaitu) orang-orang yang matanya telah tertutup daripada melihat tanda-tanda yang membawa kepada mengingatiKu, dan mereka pula tidak dapat mendengar sama sekali.

[102]
Maka adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu sebagai makhluk-makhluk yang disembah, selain daripadaKu, dapat menolong mereka? Sesungguhnya Kami telah sediakan neraka Jahannam bagi orang-orang kafir itu sebagai tempat tetamu.

[103]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?

[104]
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.

[105]
Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.

[106]
(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.

[107]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).

[108]
Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.

[109]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”.

[110]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.
Anda mungkin juga meminati:
Read More

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML