Sunday, February 16, 2014

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 117

Soal Jawab Agama Siri 117 (Solat Taubat, Keuntungan Perniagaan, Berdoa Di Makbulkan, Mufaraqah dan Melamar)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Siri 117 adalah membicarakan persoalan solat taubat berjemaah, peratus keuntungan dalam perniagaan, doa dimakbulkan, makmum mufaraqah dan adab-adab melamar.

866. Soalan : Bolehkah solat taubat di lakukan secara berjemaah? 

Jawapan;

Terdapat khilaf di kalangan ulama dalam masalah melakukan solat tahajjud, duha, taubah, hajat, istikharah dan sebagainya secara berjemaah, iaitu solat-solat yang disyariatkan secara bersendirian. Menurut Imam an-Nawawi; asalkan suatu ibadat itu ada disyariatkan walaupun secara bersendirian, harus jika ingin dilakukan secara berjamaah. Antara dalilnya ialah; 

1. Hadis Ibnu 'Abbas r.a. yang menceritakan; Dia pernah mengikut Nabi SAW mengerjakan solat malam (qiyamullail) di rumah baginda, iaitu berjamaah dengannya (Hadis Sahih Riwayat Bukhari; 183. Muslim; 763/181).

2. Hadis Anas bin Malik r.a. yang menceritakan; Aku, seorang budak yatim dan ibuku (Ummu Sulaim) telah mengerjakan solat berjamaah di belakang Nabi SAW di rumah kami. Aku  dan budak yatim berdiri di belakang Nabi SAW dan ibuku berdiri di belakang kami) (Hadis Sahih Riwayat Bukhari; 727, 871. Muslim; 658/266).

3. Hadis 'Itban bin Malik r.a. yang menceritakan; Nabi SAW datang kerumahnya dan berkata; 'Di mana tempat di rumahmu yang kamu suka aku solat di situ?". Aku menunjukkan satu tempat. Lalu baginda bertakbir (melakukan solat) dan kami membuat saf di belakangnya (yakni turut berjamaah dengannya). Baginda solat sebanyak dua rakaat. (Hadis Sahih Riwayat Bukhari; 424. Muslim; 263/33).

Solat-solat yang dilakukan Nabi SAW dalam hadis di atas ialah solat-solat sunat kerana baginda tidak pernah melakukan solat fardu melainkan di masjid. Imam an-Nawawi menjelaskan; “Solat-solat selain solat hari raya, solat gerhana, solat istisqa’, solat terawih dan witir selepasnya –seperti solat-solat sunat rawatib, duha dan sunat-sunat mutlak- tidak disyariatkan berjemaah, yakni tidak disunatkan berjemaah, namun jika dilakukan secara berjemaah dibolehkan dan tidak dianggap makruh” (al-Majmu’, 4/55).

Sebahagian ulama hanya mengharuskannya jika dilakukan sekali-sekali (bukan berterusan), iaitu untuk tujuan belajar atau membiasakan diri sahaja, bukan dengan menjadikannya sebagai kebiasaan, kerana Nabi SAW dan para sahabat tidak pernah menjadikannya sebagai kebiasaan mereka (Tamam al-Minnah, Syeikh ‘Adil bin Yusuf al-‘Azzazi (1/356). Wallahu a'lam.

867. Soalan : Adakah Islam ada meletakkan peratus keuntungan yang perlu di gunakan oleh seorang peniaga?

Jika kita menjual barang dengan harga pasaran tetapi keuntungannya 100% adakah Islam mengizinkannya?

Jawapan :

 Dr. Muhammad Bakr Ismail (salah seorang ulamak dari al-Azhar, Mesir) menjelaskan dalam buku himpunan fatwanya (Baina as-Sa-il Wa al-Faqih, Syeikh Dr. Bakar Ismail, hlm. 108); 

“Tidak ada di dalam Islam batasan tertentu bagi keuntungan (yang harus diambil dalam perniagaan atau jual-beli) mengikut pandangan yang paling soheh dari para ulama Islam. 

Peniaga hendaklah menetapkan harga mengikut kadar yang diredhai olehnya dan juga diredhai oleh pembeli. Ini kerana akad jual-beli terbina di atas saling redha-meredhai antara penjual dan pembeli sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud ; “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara saling redha-meredhai di antara sesama kamu” (Surah an-Nisa’ ayat 29).

Dari fatwa di atas kita dapat simpulkan dua perkara berkenaan penetapan harga barang/produk;

1. Tidak ada batasan tertentu dari Syarak bagi keuntungan yang harus diambil dari produk yang dijual. Jadi, penentuan harga produk/barangan terserah sepenuhnya kepada penjual/pengeluar.

2. Namun begitu, para penjual/pengeluar hendaklah mengambil kira keredhaan pengguna terhadap harga yang ditetapkan. Tidak harus ia melakukan penipuan harga atau ghabn fahisyh (yakni beza harga yang keterlaluan dari harga sebenar di pasaran) yang menyebabkan pembeli hilang perasaan redhanya terhadap jual-beli apabila mereka mengetahui nilai sebenar di pasaran. Contohnya; menjual barang yang murah dengan harga yang terlalu tinggi dengan mengeksploit kejahilan pembeli terhadap nilai sebenar barang/produk di pasaran, seperti; menjual barang yang bernilai RM20 dengan harga RM100 tanpa diketahui oleh pembeli nilai sebenarnya.

Mengenai kadar beza harga yang dibenarkan –untuk mengelak dari berlakunya ghabnu fahiysh (beza harga keterlaluan) itu-, para ulama berbeza pandangan;

1. Mengikut mazhab Malik dan Syafi’ie; tidak lebih dari 1/3 atau 34% harga pasaran (yakni jika harga pasaran RM 10.00, hendaklah dijual tidak melebihi RM13.40)

2. Imam Nasir bin Yahya al-Balkhi membezakan antara tiga jenis;

a. Hartanah; jangan melebihi 20%, 

b. Ternakan; jangan melebihi 10%, 

c. Barangan; jangan melebihi 5%.

3. Mazhab Hanafi dan Hanbali berpandangan; kadar beza harga yang dibenarkan itu tidaklah tetap pada peratus tertentu. Ia berubah-rubah mengikut ‘uruf (kebiasaan) di kalangan para peniaga dan penilaian mereka. 

Pandangan inilah yang rajih kerana tidak ada nas syarak membataskan kadar harga maksima yang boleh diletakkan, oleh demikian penentuannya kembali kepada ‘uruf manusia.


Wallahu a’lam.

868. Soalan   :  Kenapa doa saya tidak langsung dikabulkan oleh Allah, sementara saya juga sudah semaksima mungkin bertakwa kepada-Nya? Doa saya iaitu minta agar mendapatkan harta kekayaan di dunia supaya tidak meminta-minta pada orang lain.”

Jawapan :

Saya yakin, setiap orang menginginkan kehidupan bahagia. Hanya saja, caranya berbeza-beza. Namun, umumnya, kekayaan biasanya menjadi keperluan utama menurut umumnya masyarakat. Kerana itu, banyak orang yang memohon kekayaan dalam doa-doa mereka.

Ada beberapa perkara yang boleh kita jadikan catatan penting dalam perkara ini : 

Pertama : Ramai orang yang mengatakan, “Bukankah Allah telah berjanji bahwa Dia akan mengabulkan setiap doa yang dipanjatkan hamba-Nya? Mengapa masih ramai orang yang berdoa kepada-Nya, dan tidak dikabulkan?”

Pertanyaan di atas merupakan bukti keimanan kita kepada firman Allah SWT,

أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ

Maksudnya : “Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa, ketika dia berdoa kepada-Ku ….” (Surah al-Baqarah ayat 186)

Atau firman-Nya,

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya : “Rabb kalian (Allah) berfirman, ‘Mintalah kepada-Ku, nescaya Aku memberi ijabah kepada kalian. Sesungguhnya, orang-orang yang bersikap sombong dalam beribadah (maksudnya: tidak mau berdoa) kepada-Ku, mereka akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.’” (Surah Ghafir ayat 60)

Satu prinsip penting yang harus kita pegang, bahwa semua firman Allah adalah benar, janji Allah benar, dan Dia tidak akan memungkiri janji-Nya. Kita harus yakin hal itu, apa pun keadaannya. Selanjutnya, berhubung dengan janji Allah SWT pada ayat di atas dan realita yang kita saksikan dalam kehidupan sehari-hari, para ulama telah memberikan jawaban:

Berhubung makna di atas, kadangkala, Allah telah memberikan ijabah (memakbulkan) untuk doa kita, namun kita tidak tahu hakikat dan bentuk ijabah tersebut. Kerana “respon baik” terhadap doa bentuknya bermacam-macam. Disebutkan dalam hadis, dari Abu Said radhiallahu ‘anhu Nabi Salallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda,

ما من مسلم يدعو الله بدعوة ليس فيها مأثم و لا قطيعة رحم إلا أعطاه إحدى ثلاث : إما أن يستجيب له دعوته أو يصرف عنه من السوء مثلها أو يدخر له من الأجر مثلها

Maksudnya : “Tidaklah seorang muslim yang berdoa, dan doanya tidak melakukan perbuatan dosa atau memutus silaturahim, kecuali Allah akan memberikan salah satu di antara tiga balasan: (1) Allah kabulkan doanya, (2) Allah hindarkan dirinya dari musibah yang senilai dengan isi doanya, dan (3) Allah simpan dalam bentuk pahala untuknya di akhirat.” (Hadis Riwayat Ahmad, Turmudzi, dan Hakim; dinilai sahih oleh Musthafa Al-Adawi)

Sebagian ulama mengatakan bahawa yang dimaksud “doa” di atas adalah ‘ibadah’. Allah berjanji untuk mengabulkan ibadah hamba-Nya dengan memberikan pahala dari setiap ibadah yang diterima.

Jika kita perhatikan, sesungguhnya janji yang Allah SWT berikan adalah janji bersyarat. Maksudnya, hanya doa-doa yang memenuhi syarat yang akan dikabulkan oleh Allah SWT. Selain itu, boleh jadi, AllahSWT tidak mengabulkannya.

Kedua, umumnya orang berkeyakinan bahawa sesuatu yang dia minta adalah perkara terbaik untuknya.

Padahal, belum tentu hal itu baik untuknya, dalam pengetahuan Allah SWT. Kerana itulah, terkadang, Allah SWT menahan doa kita, kerana hal itu lebih baik bagi kita, daripada Allah SWT memberikan sesuatu yang kita inginkan. Allah berfirman,

وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya : “Boleh jadi, kalian membenci sesuatu, padahal itu baik bagi kalian. Terkadang pula, kalian mencintai sesuatu, padahal itu buruk bagi kalian. Allah mengetahui dan kalian tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah ayat 216)

Bagian ini penting untuk difahami, agar kita tidak berburuk sangka kepada Allah SWT, ketika merasa doa kita tidak kunjung dikabulkan. Kita harus selalu yakin bahwa Allah SWT lebih tahu hal terbaik untuk kita, kerana Dialah yang menciptakan manusia dan Dia adalah Zat yang Maha Sempurna ilmu-Nya. 

Percayalah, Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya. Hanya saja, tidak semua bentuk kasih sayang Allah SWT telah kita ketahui. Tidak semua kasih sayang-Nya, Dia wujudkan dalam bentuk rezeki. Tidak pula dalam bentuk doa yang dikabulkan sesuai apa yang diminta. 

Ketiga, jangan putus asa dalam berdoa.

Umumnya, manusia tidak sabar dengan keinginannya. Semua berharap, agar doanya diperolehi secepat mungkin mungkin. Jika kita mempunyai sikap tak sabar mengharapkan doa di kabulkan segara dan mudah putus asa maka keadaan ini merupakan salah satu sebab doa kalian tidak dikabulkan. Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda,

يُسْتَجَابُ لأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ يَقُولُ دَعَوْتُ فَلَمْ يُسْتَجَبْ لِى

Maksudnya : “Doa kalian akan dikabulkan selama tidak tergesa-gesa. Dia mengatakan, ‘Saya telah lama berdoa, tetapi tidak kunjung dikabulkan.’” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat Muslim, baginda bersabda,

لا يَزَالُ يُسْتَجابُ لِلْعَبْدِ مَا لَمْ يَدْعُ بإثم أو قَطِيعَةِ رَحِمٍ ما لم يستعجلْ ، قيل : يا رَسول الله ، ما الاستعجال ؟ قال : يقول : قد دعوتُ ، وقد دَعَوتُ فلم أرَ يستجيب لي ، فَيَسْتَحْسِرُ عند ذلك ، ويَدَعُ الدعاءَ

Maksudnya : “Tidak hentinya doa seorang hamba akan dikabulkan, selama bukan doa yang mengandung maksiat atau memutus silaturahim, dan doa yang tidak tergesa-gesa.” Para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apa yang dimaksudkan tergesa-gesa dalam berdoa?’ Baginda menjawab, ‘Orang itu mengatakan, ‘Saya telah berdoa …, saya telah berdoa…, namun saya merasa belum pernah dikabulkan.’ Kemudian, dia putus asa dan meninggalkan doanya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Keempat, jangan terlalu berharap untuk mendapatkan dunia dengan ibadah yang kita lakukan.

Meskipun kita yakin bahwa di antara balasan yang Allah SWT berikan bagi orang yang beribadah terkadang diwujudkan di dunia. Akan tetapi, jangan jadikan ini sebagai tujuan utama kalian untuk melakukan ketaatan. Allah SWT berfirman,

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ عَلَى حَرْفٍ فَإِنْ أَصَابَهُ خَيْرٌ اطْمَأَنَّ بِهِ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ انْقَلَبَ عَلَى وَجْهِهِ خَسِرَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةَ ذَلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ

Maksudnya : “Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah di pinggiran. Ketika ia memperoleh kebaikan (harta), dia semakin yakin dengan ibadahnya, dan jika ia ditimpa bencana, berbaliklah ia ke belakang (murtad). Rugilah ia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang jelas. ” (Surah al-Hajj ayat 11)

Tentunya, kita tidak ingin termasuk orang yang Allah SWT sindir dalam ayat di atas. Orang yang melakukan ketaatan kerana untuk dunia sahaja bukan untuk akhirat. Sungguh, sangat disayangkan, ketika ibadah yang kita lakukan hanya dibayar dengan balasan yang sedikit di dunia. Oleh itu, ingatlah balasan yang lebih berharga adalah  di hari akhirat.

Semoga Allah memberikan keadaan terbaik bagi kehidupan kita. Amin.

869. Soalan : Apakah sebab musabab makmum boleh mufaraqah daripada imam ketika solat?

Jawapan :

Dalam mazhab syafie makmum boleh niat mufaraqah dengan Imam samaada bersebab atau tidak dengan makruh hukumnya. Dalam solat Jumaat tidak sah niat mufaraqah pada rakaat pertama.

Terdapat 8 keuzuran yang mengharuskan mufaraqah:

1. Imam membaca panjang sedangkan makmum ada keperluan
2. Imam meninggalkan perkara sunat seperti qunut / tahiyyat awal
3. Sakit
4. Bimbang dikuasai rasa mengantuk
5. Bimbang terbatal solat(rasa nak kencing)
6. Bimbang kehilangan harta
7. Bimbang ditinggalkan kawan
8. Menyelamatakan orang yang lemas atau seumpamanya.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Bukhari :

‏حَدَّثَنِي ‏ ‏مُحَمَّدُ بْنُ عَبَّادٍ ‏ ‏حَدَّثَنَا ‏ ‏سُفْيَانُ ‏ ‏عَنْ ‏ ‏عَمْرٍو ‏ ‏عَنْ ‏ ‏جَابِرٍ ‏ ‏قَالَ ‏

‏كَانَ ‏ ‏مُعَاذٌ ‏ ‏يُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏ثُمَّ يَأْتِي فَيَؤُمُّ قَوْمَهُ فَصَلَّى لَيْلَةً مَعَ النَّبِيِّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏الْعِشَاءَ ثُمَّ أَتَى قَوْمَهُ فَأَمَّهُمْ فَافْتَتَحَ بِسُورَةِ ‏ ‏الْبَقَرَةِ ‏ ‏فَانْحَرَفَ ‏ ‏رَجُلٌ ‏ ‏فَسَلَّمَ ثُمَّ صَلَّى وَحْدَهُ وَانْصَرَفَ فَقَالُوا لَهُ أَنَافَقْتَ يَا فُلَانُ قَالَ لَا وَاللَّهِ وَلَآتِيَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏فَلَأُخْبِرَنَّهُ فَأَتَى رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا أَصْحَابُ ‏ ‏نَوَاضِحَ ‏ ‏نَعْمَلُ بِالنَّهَارِ وَإِنَّ ‏ ‏مُعَاذًا ‏ ‏صَلَّى مَعَكَ الْعِشَاءَ ثُمَّ أَتَى فَافْتَتَحَ بِسُورَةِ ‏ ‏الْبَقَرَةِ ‏ ‏فَأَقْبَلَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏عَلَى ‏ ‏مُعَاذٍ ‏ ‏فَقَالَ ‏ ‏يَا ‏ ‏مُعَاذُ ‏ ‏أَفَتَّانٌ ‏ ‏أَنْتَ اقْرَأْ بِكَذَا وَاقْرَأْ بِكَذَا قَالَ ‏ ‏سُفْيَانُ ‏ ‏فَقُلْتُ ‏ ‏لِعَمْرٍو ‏ ‏إِنَّ ‏ ‏أَبَا الزُّبَيْرِ ‏ ‏حَدَّثَنَا عَنْ ‏ ‏جَابِرٍ ‏ ‏أَنَّهُ قَالَ اقْرَأْ ‏ ‏وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا ‏ ‏وَالضُّحَى ‏ ‏وَاللَّيْلِ إِذَا ‏ ‏يَغْشَى ‏ ‏وَسَبِّحْ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى ‏ ‏فَقَالَ ‏ ‏عَمْرٌو ‏ ‏نَحْوَ هَذَا

Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya:
Biasanya Muaz sembahyang bersama Nabi SAW kemudian beliau pulang mengimami kaumnya. Pada suatu malam, beliau sembahyang Isyak bersama Nabi SAW kemudian pulang mengimami kaumnya. Beliau mulai dengan membaca surah Al-Baqarah. Maka ada seorang lelaki yang membatalkan sembahyangnya dengan memberi salam terlebih dahulu, kemudian mendirikan sembahyang bersendirian lalu beredar. Orang ramai berkata kepadanya: Wahai Si Polan! Adakah kamu sudah menjadi munafik? Dia menjawab: Tidak! Demi Allah sesungguhnya aku akan menghadap Rasulullah SAW dan memberitahu akan hal ini. Orang tersebut menghadap Rasulullah SAW lalu berkata: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami adalah seorang pemilik unta, penyiram tanaman dan kami berkerja pada siang hari. Sesungguhnya Muaz telah mendirikan sembahyang Isyak bersama kamu lalu pulang dan mendirikan sembahyang dimulai dengan membaca surah Al-Baqarah. Rasulullah SAW menemui Muaz lalu bersabda: Wahai Muaz! Adakah kamu memesongkan sembahyang dengan membaca itu dan ini. Sufian berkata: Aku berkata kepada Amru sesungguhnya Abu Az-Zubair menceritakan kepadaku dari Jabir bahawa Rasulullah SAW bersabda: Bacalah surah Asy-Syams, Ad-Dhuha dan Al-A’laa. Maka Amru berkata: Memang seperti itu
(Hadis riwayat Imam Muslim, Kitab al-Solat Bab al-Qiraat fi al-Ishak(Bab Bacaan Dalam Solat Isyak, hadith no.175)

Imam Nawawi menyebut dalam Sharh Sohih Muslim hadis ini mempunyai beberapa hukum:

1)Harus orang yang solat fardu mengikuti orang yang solat sunat kerana Saidina Muaz r.anhu menunaikan solat fardu bersama Rasul SAW. Muaz telah menunaikan kewajipannya solat Isyak bersama Rasul SAW kemudian Muaz menjadi Imam kepada kaumnya, jadi Solat Muaz adalah sunat sedangkan kaumnya adalah fardu. Ini dijelaskan dalam riwayat lain selain Muslim. Hukum makmum solat fardu mengikut imam solat sunat adalah harus dalam  mazhab syafie dan lain-lain

2)Hadis ini dijadikan dalil oleh pendukung mazhab syafie harus bagi makmum memutuskan niat dari mengikut Imam dan meneruskan solatnya walaupun mengikut pergerakan Imam. Berhubung masalah ini, ulama mazhab syafie terbahagi kepada tiga

Tindakan Nabi SAW menegur Muaz r.a dan tidak meminta lelaki tersebut mengulangi solatnya menunjukkan mufaraqah Imam dengan keuzuran tersebut adalah harus.


Kesimpulannya: Hukum asal solat berjemaah adalah mesti mengikut pergerakan dan perbuatan Imam namun Harus bagi makmum niat mufaraqah dengan imam dengan keuzuran dan menyempurnakan solat secara berseorangan berasaskan kepada hadith Muaz.

870. Soalan : Saya berhajat untuk melamar seorang wanita yang menutup aurat dan berakhlak baik. Apakah adab-adab yang perlu saya lakukan?

Jawapan :

Berikut penyebutan beberapa adab dalam pelamaran yang harus diperhatikan oleh kedua belah pihak.

1. Disunnahkan nazhar (memandang) kepada calon pinangan.

Yakni melihat kepada apa-apa yang boleh membuat dia tertarik untuk menikahinya atau sebaliknya ketika dia melihat calonnya dan mendapati ada sesuatu yang tidak dia sukai darinya maka boleh untuk membatalkan pelamarannya.

Imam Ibnu Qudamah berkata: "Kami tidak mengetahui adanya perselisihan dikalangan para Ulama akan bolehnya seseorang yang mahu menikahi seorang wanita untuk memandang kepadanya."(Al-Mughny: 9/489)

Berikut beberapa hadis yang menunjukkan disunatkannya bagi kedua belah pihak untuk saling melihat sebelum meneruskan pelamaran.

i. Hadis Al-Mughirah bin Syu'bah radhiallahu 'anhu.

Beliau berkata: "Saya mendatangi Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassalam lalu saya menceritakan kepada baginda perihal seorang wanita yang saya lamar, maka baginda bersabda: "Pergilah kamu (kepadanya) dan lihatlah dirinya, kerana hal itu akan membuat kasih sayang diantara kalian akan langgeng."(HR An-Nasa'i no. 6/69, Ath-Tirmidzi no. 1087, dan Ibnu Majah no. 1866 potongan pertama dari hadits dikuatkan dalam riwayat Muslim no. 2/1040 dari hadis Abu Hurairah)

Hadis diatas menunjukkan bahwa pembolehan untuk nazhar bukan hanya  bagi kaum laki-laki tapi juga diperbolehkan bagi seorang wanita yang akan dilamar. Kerana biasanya kasih sayang itu muncul dari kedua belah pihak, sehingga pembolehan disini juga berlaku bagi kedua belah pihak.

ii. Hadis Abu Humaid radhiallahu 'anhu yang secara marfu'.

"Jika salah seorang diantara kalian melamar seorang wanita, maka tidak mengapa baginya untuk melihat kepadanya, jika memang dia melihatnya hanya untuk pelamarannya. Walaupun wanita tersebut tidak mengetahui (dirinya sedang dilihat)."(HR Al-Bukhari no. 5/424 dengan sanad yang shahih)

iii. Hadis Jabir bin 'Abdillah radhiallahu 'anhuma yang secara marfu'.

"Jika salah seorang diantara kalian melamar seorang wanita, maka jika kamu mampu untuk melihat apa yang boleh membuat dia tertarik untuk menikahinya maka hendaknya dia lakukan." Jabir berkata: "Maka saya pun melamar seorang wanita lalu saya melihatnya dengan sembunyi-sembunyi (tanpa sepengetahuannya) sampai akhirnya saya melihat darinya apa yang membuat saya tertarik untuk menikahinya, maka saya pun menikahinya."(HR Abu Daud no. 2082 dengan sanad yang hasan)

2. Berpenampilan sederhana dalam melamar.

Tidak diperbolehkan bagi pelamar untuk takalluf (membebani diri) dengan memakai pakaian yang sangat indah serta memakai minyak wangi yang sangat wangi.

Hal ini kerana kesediaan seorang wanita untuk dinazhar, sama sekali bukanlah tanda akan keredhaan dari kedua belah pihak, tujuannya adalah supaya tidak timbul fitnah jika lamarannya ditolak oleh pihak wanita.

Sebab yang merupakan tuntunan tabien dalam hal ini adalah sebagaimana yang diceritakan oleh 'Abdullah bin Thawus bahwa ayahnya berkata kepadanya mengenai wanita yang hendak dinikahi oleh anaknya, "Pergilah engkau melihatnya." 'Abdullah berkata, "Maka saya pun memakai pakaian (yang indah), lalu memakai minyak dan bergaya." Maka tatkala Thawus melihat anaknya berpenampilan seperti itu, dia berkata: "Duduklah kamu." Beliau benci melihat anaknya melakukan nazhar dengan penampilan seperti itu."(riwayat 'Abdurrazaq dalam Al-Mushannaf: 6/157 dengan sanad yang shahih)

3. Boleh bagi wanita yang akan di lamar untuk berhias sekadarnya.

Boleh berhias tetapi cara sederhana dan tidak boleh bertabaruj.

Dari Subai'ah Al-Aslamiyah radhiallahu 'anha bahawa dulunya beliau adalah isteri dari Sa'ad bin Khaulah lalu suaminya meninggal dunia (suami beliau meninggal dunia sedangkan beliau dalam keadaan hamil, sebagaimana yang nampak dari kisahnya) dalam haji wada'. 

Dan Beliau (suaminya ) adalah Badry (pasukan perang Badar). Dan beliau melahirkan sebelum 4 bulan 10 hari dari meninggal dunia suami beliau. Maka setelah itu, beliau ditemui oleh 'Abus Sanabil bin Ba'kak tatkala beliau sudah selesai nifas dalam keadaan beliau (Subai'ah) memakai celak mata -dalam sebagian riwayat, "Maka salah seorang dari kerabat suamiku menemuiku dalam keadaan saya sudah memakai Khidhab dan berhias"- maka dia (Abus Sanabil) berkata kepadanya, "Kuasailah dirimu mungkin kamu sudah mau menikah lagi, sesungguhnya waktunya adalah 4 bulan 10 hari dari hari wafatnya suamimu." Beliau (Subai'ah) berkata, "Maka saya mendatangi Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassalam dan saya ceritakan kepada Beliau apa yang dikatakan oleh Abus Sanabil bin Ba'kak, maka baginda bersabda: "Engkau telah halal (untuk menikah) ketika engkau melahirkan."(HR Ahmad no. 6/432 dengan sanad yang shahih)

Sebelum saudara melamarnya perlulah saudara mengkaji latarbelakang kehidupan wanita yang hendak dilamar. Pendidkan agamanya, pekerjaannya, perhubungan beliau dengan kerja-kerja dakwah dan perlu juga meneliti kehidupan keluarganya adakah terdiri daripada mereka yang kuat pada agama atau pun tidak mementingkan agama dalam kehidupan sehari-harian. 

Dari Abu Hurairah radliyallaahu 'anhu bahawa Nabi Sallallaahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Perempuan itu dinikahi kerana empat perkara iaitu: harta, keturunan, kecantikan, dan agamanya. Dapatkanlah wanita yang taat beragama, engkau akan berbahagia." (Muttafaq Alaihi dan Imam Lima.)

Jika saudara sudah berkenan di hati teruskan dengan solat istikarah untuk memastikan dia adalah jodoh yang sesuai untuk saudara, selamat maju jaya dan memiliki seorang isteri solehah dalam kehidupan saudara.

Wallahu a'lam


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML