Saturday, April 26, 2014

LARANGAN BAGI LELAKI DAN WANITA BERKAITAN TEMPAT MANDI UMUM




Diriwayatkan dari Jabir Radhiyallahu ‘anh, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah ia masuk ke tempat mandi tanpa mengenakan sarung penutup aurat. Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, janganlah ia membawa masuk isterinya ke tempat mandi umum. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, janganlah ia duduk di meja hidangan yang disuguhnya khamr di atasnya. [Hadits hasan, riwayat at-Tirmidzi (2801) dari jalur Laits bin Abi Sulaim, dari Thawus, dari Jabir r.a.]

Di dalam hadith di atas, Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam melarang lelaki mendedahkan aurat ketika mandi di tempat umum.  Walaupun ia satu pengetahuan yang umum diketahui oleh seorang muslim, namun masih ramai yang melanggarnya.  Sangat menyedihkan.

Turut juga disentuh di dalam hadith itu ialah larangan bagi wanita untuk tidak memasuki tempat mandi umum kerana walaupun mungkin wanita tidak mandi di sana, tetapi kelibat lelaki yang bermandi-manda di sana boleh dilihat.  Hal ini saya rasa ramai terlupa, termasuklah diri saya.  Ya mungkin kita yang lelaki muslim ini menutup aurat ketika memandi-manda di kolam renang, sungai atau pantai, tetapi rupa-rupanya ada larangan untuk wanita muslimah dari masuk ke tempat sebegitu.

Kehormatan isteri dan saudara-saudara perempuan kita bisa rosak akibat mata manusia yang melihatnya. Sifat cemburu si lelaki Muslim mesti berfungsi dalam memelihara kehormatan isterinya dan saudara-saudara perempuannya.  Jika sifat cemburu ini sudah tidak ada, maka apalagi istilah yang wajar dilontarkan ke muka lelaki itu, melainkan dayus.

Menyentuh soal larangan terhadap wanita dari memasuki tempat mandi umum, saya terbayangkan kolam renang, sungai, pantai dan ‘water world’ yang pernah saya lawati bersama keluarga.  Astaghfirullah, memang dahsyat suasana di sana.  Usah disebut tentang wanita yang tidak menutup aurat atau yang berpakaian seksi atau nipis.  Kaum lelakinya juga ada yang tidak memakai baju dan berseluar dalam sahaja.  Astaghfirullah…!  Insaf!  Insaf!

Saya teringat akan hadith yang mana Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam menyuruh Aishah radhiAllahu ‘anha duduk di sebalik tabir walaupun yang bercakap dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam ketika itu adalah seorang yang buta.  Apabila ditanya kenapa disuruh buat begitu, maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam menjawab, “Sungguhpun dia tidak nampak engkau kerana dia buta, tetapi engkau dapat melihatnya”.  Lihatlah, betapa ISLAM jaga sungguh hal ini.  Malangnya kita pada zaman mutakhir ini memandangnya sebagai hal yang remeh.

Beberapa dalil berikut membicarakan hal yang sama:

Diriwayatkan dari Abu Ayyub al-Anshari r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia memuliakan tamunya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, janganlah ia masuk ke tempat pemandian (umum) tanpa sarung penutup aurat. Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia mengucapkan perkataan yang baik atau diam. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat dari kalangan isteri-isteri kalian, maka janganlah ia masuk ke tempat mandi (umum).”

Ia berkata: “Aku mengangkat hadits ini kepada ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz pada masa kekhalifahannya. Maka beliau mengeluarkan perintah kepada Abu Bakar bin Muhammad bin ‘Amr bin Hazm agar menanyakannya kepada Muhammad bin Tsabit tentang hadits ini, kerana ia termasuk orang yang dipercayainya. Lalu ia pun bertanya kepada Muhammad bin Tsabit. Kemudiannya ia menulis surat kepada Umar tentang kebenaran hadits tersebut. Maka Umar pun melarang kaum wanita masuk ke tempat mandi (umum). [Hadits sahih, riwayat Ibnu Hibban (5597)]

Diriwayatkan dari ‘Abdullah bin ‘Abbas r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:

 “Jauhilah tempat yang disebut hammaam (tempat mandi umum)!”

Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, di tempat pemandian itu, kotoran bisa hilang dan penyakit bisa sembuh.” Rasulullah s.a.w. berkata: “Barangsiapa memasukinya, hendaklah menutup auratnya.” [Hadits hasan, riwayat at-Thabrani, al-Hakim, al-Bazzar]

Diriwayatkan dari Ummud Darda’ r.a., ia berkata: Suatu ketika aku keluar dari tempat pemandian, tanpa sengaja aku bertemu dengan Rasulullah s.a.w.. Baginda bertanya:

‘Dari mana engkau wahai Ummud Darda’?’ ‘Dari tempat mandi.’ Jawabku.

Lalu baginda berkata:

‘Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, siapa saja dari kalangan wanita yang membuka pakaiannya di (tempat) selain rumah ibunya melainkan ia telah merobek tirai antara dirinya dengan ar-Rahmaan.’” [Hadits shahih, riwayat Ahmad (VI/361 dan 362), ad-Dulabi dalam al-Kuna wal Asmaa']

Hadith tentang kisah Ummu Darda’ ini dapat dipelajari darinya tentang sifat berhati-hati yang mesti ada pada wanita tatkala ingin menyalin pakaian.  Dengan teknologi canggih hari ini, kerisauan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam ini semakin berganda menggunung sepatutnya dirasai oleh muslimin dan muslimat.  Bila-bila sahaja wanita boleh dieksploitasi dengan adanya telefon bimbit berkamera, cctv dan lain-lain peranti yang disalahgunakan oleh manusia-manusia yang jahat dan kotor hatinya.

Justeru, para wanita janganlah dengan sewenang-wenangnya menyalin pakaian mereka di tempat yang bukan mereka kenali seperti di tandas, di tempat menyalin pakaian, di hotel atau di mana-mana pun.  Kerana sifat itu bakal merobek tirai dirinya dengan Tuhan.


Kesimpulan yang saya dapat buat hasil dari mengambil manfaat dari beberapa hadith di atas berkenaan tajuk ini ialah:

  1. Lelaki mesti tutup aurat tatkala mandi di tempat umum.
  2. Wanita mesti tutup aurat tatkala mandi di tempat mandi yang dikhaskan untuk wanita.
  3. Melihat kepada suasana tempat mandi umum itu, wanita hendaklah mengelak dari memasukinya bagi menjaga kesucian Iman dan pandangan.
  4. Lelaki hendaklah peka dengan maruah dan kehormatan isteri, anak-anak perempuan dan saudara-saudara perempuan mereka dan melindungi mereka.
  5. Wanita hendaklah memelihara sungguh-sungguh sifat malu dan mesti sentiasa berhati-hati di dalam setiap perbuatan, khususnya yang melibatkan aurat dan maruah mereka, contohnya ketika menukar pakaian.

Mudah-mudahan catitan ini bisa memberi manfaat buat diri saya dan anda semua dalam kita menempuh kehidupan ini untuk menjadi muslim yang lebih baik da yang lebih tepat dengan ajaran agama, amin.


(Hadith-hadith di atas telah saya petik dari nota FB yang dikirimkan oleh Nurul Izzati Ishak.  Disalin dari “Ensiklopedi Larangan” jilid 1 Bab Ghusl (Mandi), di bawah tajuk “Haram Hukumnya Laki-laki Memasuki Tempat Pemandian Umum Tanpa Sarung Penutup Aurat dan Haram Hukumnya Wanita Memasuki Tempat Pemandian Umum Meskipun Memakai Sarung Penutup Aurat”, halaman 315.  Terima kasih buat beliau.)
Read More

MILIKILAH SIFAT MALU

Malu adalah sifat lelaki dan wanita yang beriman

Zaman mutaakhir telah menampakkan kita akan banyak kepincangan perilaku, merosotnya akhlaq dan tersebarnya kemaksiatan.  Sebahagian manusia telah hilang rasa malunya kepada orang lain.  Disebabkan hilangnya perasaan malu, pelbagai tingkah laku tidak senonoh telah ditonjolkan ke tengah-tengah masyarakat.

Malu adalah sebahagian daripada iman.  Sifat malu sangat penting untuk dimiliki oleh setiap muslim.  Malah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam sendiri merupakan insan yang sangat pemalu.  Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam lebih malu sifatnya dari seorang gadis yang di dalam pingitannya.

Memiliki sifat malu adalah sangat penting.  Kerana dengan perasaan malu yang terdapat pada diri, seseorang muslim akan mencegah dirinya dari membuat perkara yang dilarang.  Dia akan malu untuk melakukan perkara tidak senonoh dan bermaksiat.  Dia akan malu untuk pergi ke tempat yang tidak sepatutnya.  Dia akan malu untuk cuba-cuba sesuatu yang mungkar.  Dia akan malu menzahirkan perilaku buruknya.  Kerana malu telah menjadi perisai dirinya.

Dari Abu Mas`ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri radhiAllahu `anhu, dia berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam pernah bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: ‘Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.”

(HR al-Bukhari)

Ajaran para nabi sejak dulu hingga nabi terakhir, Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam ada sebahagiannya telah luput.  Namun, malu adalah antara ajaran yang tidak luput hingga sekarang.  Ini menunjukkan bahawa malu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama.

“Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu” bukanlah kata-kata galakan untuk manusia berbuat sesuka hati.  Tetapi ia bermaksud ancaman buat manusia yang tidak mempunyai perasaan malu untuk berbuat kerosakan dan kemaksiatan.  Maksud ayat tersebut juga adalah ingin memberitahu bahawa malu adalah perisai kepada diri seseorang.  Tanpa malu, seseorang akan terdedah untuk melakukan kemaksiatan.

Pernah diriwayatkan bahawa terdapat seorang Ansar yang memberikan nasihat kepada sahabatnya tentang malu.  Beliau menyalahkan sahabatnya yang selalu malu dalam banyak hal.  Kebetulan ketika itu Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam sedang lalu dan terdengar perbualan mereka berdua.  Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam telah memberi pesan kepada orang yang memberi pesan kepada sahabatnya, dengan berkata:  “Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian daripada iman.”

Malah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam pernah bersabda tentang malu yang mafhumnya:

“Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman.”

(HR Muslim – dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu)

Dan satu lagi hadith:

“Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.”

(HR Muslim – Imran bin Husaini radhiAllahu `anhu)

Muslimin-muslimat sekalian,

Antara faktor kepincangan nilai di dalam masyarakat adalah hilangnya rasa malu dari dalam diri.  Anak akan mula mengangkat suara dan kurang ajar terhadap ibubapa akibat lunturnya malu.  Pelajar mula tidak hormat kepada gurunya apabila sudah hilang malu.  Lelaki mula melangkah ke tempat maksiat akibat dia membuang perasaan malu.  Perempuan mula tidak sopan di khalayak ramai kerana pudarnya malu.  Si gadis mula mempamerkan diri di khalayak ramai apabila kendurnya malu.  Pasangan bercinta mula berjumpa dan bercanda kerana mereka sudah tidak malu.  Orang ramai mula meminta-minta jawatan apabila cairnya malu.  Pengguna jalan raya mula melanggar peraturan jalan raya dan bersikap tidak beradab apabila kurang rasa malu.  Masyarakat mula dihinggapi perasaan ingin popular seperti artis dan menyanyi melalak terlolong akibat tidak malu.  Pemimpin mula menganggap jawatan dan amanah sebagai batu loncatan mengaut keuntungan apabila pudarnya malu.  Pemerintah mula melakukan kezaliman, juga akibat dari hilangnya rasa malu.  Dan macam-macam lagi.

Pendek kata, apabila rasa malu mula sedikit demi sedikit hilang dari seseorang, maka terbukalah pintu kemaksiatan dan fitnah bakal bermaharajalela.  Sebab itu sifat malu penting untuk seseorang jaga dan pelihara.  Jangan terpengaruh dengan sistem pendidikan barat yang mengajar anak-anak mereka agar tidak malu.  “Just Do It” antara kata-kata popular di kalangan remaja dan masyarakat.  Walaupun ada kebaikannya kepada diri dan masyarakat akan kata-kata itu, namun ia perlu diperhalusi.  Agar kaum muslimin tidak lari dari nilai agama yang diajar Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.

Walaupun kita ummat ISLAM disuruh untuk memiliki sifat malu, namun dalam bab menuntut ilmu dan menyatakan yang haq kita seharusnya tidak terlalu dikongkong malu.  Malah, wanita-wanita ketika zaman Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam tidak menghalangi diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan.  Mereka tidak malu dalam menuntut ilmu.  Sifat ini wajar kita contohi.

Malah dalam pepatah Melayu juga ada mengatakan bahawa “Malu bertanya sesat jalan”.  Ini menunjukkan bahawa dalam mengeluarkan diri dari kejahilan dan kekaburan, jangan kita malu untuk bertanya dan menimba ilmu.  Selain itu, rasa malu untuk melakukan kebaikan juga tidak patut ada di dalam diri manusia.  Kerana ALLAH Subhanahu wa Ta`ala menyuruh hamba-hambaNYA agar berlumba-lumba membuat kebaikan.

Letaklah rasa malu di tempat yang sepatutnya.  Malulah dalam kebanyakan hal, namun dalam bab ilmu, menyatakan kebenaran dan mengejar ganjaran untuk berbuat kebaikan jangan pula malu menghalangi diri kita.  Namun, sifat malu tidak boleh juga dibuang apabila membuat ketiga-tiga perkara kebaikan tersebut.  Ini kerana malu akan menjadi sempadan diri agar tidak melampaui batas, walaupun dalam hal membuat kebaikan.

Mudah-mudahan ALLAH `Azza wa Jalla memberikan hidayah dan taufiqNYA kepada kita semua, amin.
Read More

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML