Sunday, February 16, 2014

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 116

Soal Jawab Agama Siri 116 (Daging Landak, Sedekah dan Pinjaman, Wasiat Bapa, Membakar Dokumen Ayat al-Quran dan Bertaubat)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Soal Jawab Agama Siri 116 adalah membicarakan persoalan hukum makan daging landak,  sedekah dan memberi pinjaman , wasiat bapa, membakar dokumen yang ada ayat al-Quran dan bertaubat daripada berzina.

861. Soalan : Apakah hukum makan daging landak..? 

Jawapan :

Yang dilarang oleh hadis ialah binatang buas bertaring yang menggunakan gigi taringnya untuk menerkam dan membunuh mangsanya. Saya tidak pasti apakah landak mempunyai gigi taring yang berfungsi sebegitu. Adapun pandangan para ulama tentang landak adalah seperti berikut;

1. Mazhab Hanafi dan Hanbali; haram memakannya kerana ia tergolong dalam binatang-binatang merayap/merangkak yang dipandang keji (khabaith), iaitu satu kelompok dengan tikus. Dalam al-Quran Allah berfirman (dengan maksud); “Dan dia (yakni Nabi Muhammad SAW) mengharamkan ke atas kamu yang keji-keji” (Surah al-A’raf, ayat 157).

2. Mazhab Maliki dan Syafiie; harus memakannya kerana walaupun ia dari jenis merangkak, namun tidak dipandang keji oleh manusia, kerana itu ia tidak termasuk dalam ayat tadi. Dalam kitab Hayah al-Hayawan al-Kubra –kitab turas yang membincangkan tentang haiwan-haiwan-, pengarangnya (ad-Dumairi, wafat 808 hijrah) menjelaskan; Imam Syafiie berkata; “Landak halal dimakan kerana orang-orang Arab memandangnya sebagai makanan yang elok/baik” (2/361). Di antara kaedah dalam mazhab Syafiie -dalam menentukan jenis haiwan yang halal dan yang haram-; “Setiap haiwan yang dipandang elok/baik oleh orang Arab maka ia adalah halal, kecuali terdapat dalil Syarak yang mengharamkannya”. (Kifayatul Akhyar, hlm. 522-523.)

Ada diriwayatkan Nabi SAW bersabda; “Landak adalah dari binatang-binatang yang keji” (Musnad Imam Ahmad; 5954. Sunan Abu Daud; 3799. Dari Abu Hurairah r.a). 

Namun ulama-ulama hadis menegasnya; sanad hadis ini adalah dhaif kerana terdapat beberapa rawi yang majhul   (Lihat; Bulughul-Maram, Imam Ibnu hajar (kitab al-At’imah; 1365) dan Tahqiq Musnad Ahmad, Syeikh Syu’aib al-Arnaut dan beberapa ulama yang lain (hadis no. 8954)

Tidak boleh dijadikan hujjah dalam hukum-hakam daripada hadis yang dhaif. Kerana itu para ulama masih berikhtilaf tentangnya (landak). Ulama yang berpandangan dia binatang yang baik/elok, mereka menghalalkannya. Yang berpandangan dia binatang yang keji, mereka mengharamkannya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/144 (perkataan “at’imah”).
2. Kifayatul Akhyar, hlm. 522-523.
3. Hayah al-Hayawan al-Kubra, Muhammad bin Musa ad-Dumairi, 2/361.
4. al-Fiqh al-Manhaji, 3/69.

862. Soalan :  Mana yang lebih didahulukan, infaq/sedekah atau memberikan pinjaman kepada teman yg memerlukan?

Jawapan :

Para ulama berbeda pendapat dalam memandang mana yang lebih utama, bersedekah atau memberi pinjaman atau hutang?Sebagian ulama mengatakan bahawa memberi pinjaman lebih utama  daripada bersedekah. Di antara dalil yang mereka pakai adalah hadis riwayat al-Baihaqi maksudnya, "Meminjamkan sesuatu lebih baik daripada menyedekahkannya." Atau riwayat yang berbunyi, "Sedekah mendapat balasan sepuluh kalinya, sementara meminjamkan mendapat balasan delapan belas kali." 

Sementara sebagian ulama yang lain berpendapat bahawa bersedekah lebih baik daripada memberi pinjaman. Di antara dalilnya dengan hadis yang berbunyi, "Siapa yang memberi pinjaman satu dirham dua kali maka ia mendapatkan pahala seperti bersedekah satu kali." 

Selain itu, siapa yang menanggalkan hartanya kerana Allah lebih baik daripada yang memberi lalu mengambilnya kembali.

Demikian perbedaan pendapat antara dua golongan ulama dalam menjelaskan pemberian pinjaman dan sedekah. Lalu mana pendapat yang lebih kuat? 

Sejumlah ulama melihat kepada keadaan yang ada secara khusus. Jika yang menerima pinjaman lebih memerlukan daripada yang menerima sedekah, maka memberi pinjaman dalam keadaan ini lebih baik. Demikian pula sebaliknya. Wallahu a'lam.

863. Soalan : Bapa saya telah meninggal dunia tahun 2012, dia berpesan bahawa rumah dan tanah miliknya dibahagikan kepada adik beradik jangan dijual. 

Soalan saya :

1. Adakah kami berdosa jika tidak melaksanakan wasiat bapa bahawa harta tersebut jangan dijual sedangkan sebahagian kami ada yang berhajat kepada wang untuk menjualkan hak mereka setelah dibahagikan secara hukum faraid?

2. Bagaimanakah cara pembahagian harta secara hukum faraid. Ibu kami masih hidup (isteri kepada arwah bapa) dan anak lelaki 5 orang dan anak perempuan 1 orang?

Jawapan :
  
1. Seluruh peninggalan si mati menjadi milik sah ahli warisnya. Dengan kata lain, hak simati telah berpindah  kepada para ahli warisnya. Ketika harta peninggalan tersebut sudah dimiliki oleh ahli waris, maka mereka berhak untuk menggunakannya. Tentu sesudah hutang, nazar, atau berbagai kewajiban si mati lainnya ditunaikan. Kerana itu, jika si mati berwasiat melarang menjualkan harta peninggalannya, hal itu tidak wajib dipatuhi. Sebab, harta tersebut bukan lagi harta si mati, tapi sudah menjadi harta ahli warisnya. Ahli warisnya yang lebih mengetahui maslahat mereka. apalagi apabila waris memerlukan wang untuk mereka menjual harta yang telah menjadi milik mereka.

2. Berdasarkan hukum Islam, waris untuk anak lelaki adalah dua kali dari yang diterima anak perempuan setelah di tolak 1/8 bahagian untuk isteri si mati.  Adapun jika sesudah masing-masing mengetahui haknya, lalu mereka sepakat untuk membagi sama rata, hal itu diperbolehkan. Wallahu a'lam.

864. Soalan :  Jika kita memiliki dokumen (buku, kertas, stiker, dll) yang di dalamnya ada tulisan ayat al-Quran, bagaimana cara memusnahkannya jika dokumen tersebut tidak terpakai lagi? Apakah boleh dibuang seperti  dokumen lain, apakah harus diperlakukan "khusus" sebelum dibuang, ataukah tidak boleh dibuang sama sekali? 

Pertanyaan selanjutnya, ketika kita sedang membawa dokumen-dokumen yang ada ayat al-Quran, apakah perlakuannya sama dengan perlakuan terhadap mushaf al-Quran (tidak boleh dibawa ke tandas misalnya)? 
  
Jawaban:

Al-Quran adalah kitab suci yang mulia, oleh sebab itu kaum muslimin diperintahkan untuk menjaga kemuliaan dan kehormatannya. Salah satu upaya untuk menjaga hal tersebut adalah menyimpan mushaf al-Quran pada tempat yang layak dan tidak boleh ditempatkan di sembarang tempat, apalagi jika tempat tersebut adalah kotor dan penuh najis. Demikian juga dengan dokumen yang di dalamnya berisikan ayat-ayat suci al-Quran tidak boleh dibawa ke tempat najis seperti tandas atau bilik mandi. 

Kita pun tidak diperbolehkan menggunakan kertas-kertas yang berisikan ayat-ayat al-Quran sebagai alat untuk membungkus sesuatu sebagai bentuk penghormatan terhadap kesucian al-Quran.

Dan jika menemukan kertas yang berisikan ayat-ayat al-Quran seperti dokumen seperti yang saudara tanyakan atau isi mushaf al-Quran berserakan, maka kita diperbolehkan untuk membakarnya atau di tanam di dalam tanah jika memang sudah tidak mungkin untuk dipergunakan lagi. Dalam Fatwa Lajnah Daimah disebutkan bahawa diperbolehkan membakar kertas-kertas mushaf (yang tercecer dan berserakan) untuk menjaga dari tindakan yang merendahkannya serta untuk menjaga kemuliaannya dan juga diperbolehkan menanamnya ke dalam tanah yang sepatutnya di lakukan. (Fatwa Lajnah Daimah IV/77)

865. Soalan :  Kawan saya menceritakan perbuatannya yang telah terlanjur dengan lelaki lain tanpa pengetahuan suaminya. Dia rasa sangat menyesal dan ingin bertanya adakah dia perlu menceritakan detik hitam itu kepada suaminya atau memadai dia bertaubat kepada Allah SWT sahaja? Jika dia ceritakan perkara sebenar dia yakin suaminya akan menceraikannya sedangkan dia sangat sayang kepada suaminya dan seorang anaknya yang baru berumur 1 tahun. Adakah Allah SWT akan ampunkan dosanya yang telah dilakukannya? Minta sekirannya ustaz dapat memberikan pencerahan terhadap masaalah ini.

Jawapan :

Jika kawan saudari menceritakan perbuatan zina tersebut kepada suaminya dia telah membukakan aib dirinya sendiri. Suami yang normal akan menjadi marah dan tidak mustahil suaminya akan menceraikan beliau. Allah SWT telah menutup aib tersebut maka dia janganlah membukanya.

Tindakkan yang paling baik beritahu kepada kawan saudari jangan ceritakan perbuatan zina yang telah beliau lakukan dan wajib bertaubat nasuha dengan bersungguh-sungguh kepada Allah SWT , menyesal di atas perbuatan yag telah dilakukannya dan bertekat  tidak sekali-kali mengulangi perbuatan tersebut.

Allah selalu membukakan pintu taubat-Nya bagi hamba-hamba-Nya yang mahu bertaubat selama rohnya belum berada di kerongkongan atau matahari terbit dari barat.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dianiaya (dirugikan) sedikitpun.”
(Surah Maryam ayat 60)

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :“Barangsiapa bertaubat kepada Allah sebelum matahari terbit dari barat, nescaya Allah akan menerima taubat orang tersebut.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Taubat yang dimaksudkan adalah taubat nasuha. Sebuah taubat yang dilakukan dengan ikhlas dan benar. Bahkan ianya adalah termasuk jalan yang paling besar dan luas untuk memperolehi pengampunan dari Allah SWT. Selain daripada itu banyakkan bersedekah dan berbuat amal-amal soleh untuk menghapuskan dosa-dosa yang lalu.

Firman Allah SWT  yang bermaksud :
“Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk.” (Surah Hud ayat 114)

Di samping itu saudari perlu nasihatkan kawan saudari seharusnya menunjukkan kesetiaan, ketaatan, dan kebaikan kepada suami. Berikan sesuatu yang menyenangkannya selama dibenarkan oleh syariat.  Semoga Allah memberikan kepada beliau keluarga yang sakinah, penuh dengan mawaddah, dan rahmat. Wallahu a'lam.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML