Soal Jawab Agama Siri 128 (Kisah Tha'labah, Memakai Krim Anti Penuaan, Harta Anak Yatim, Menanggung Dosa Dan Nabi SAW Pernah Di sihir)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal jawab Agama Siri 128 adalah membicangkan persoalan kisah Tha'labah bin Hatib, memakai krim anti-penuaan, pemegang wasiat harta anak yatim , menanggung dosa orang lain dan Nabi SAW pernah disihir.
916. Soalan : Benarkah kisah sahabat Nabi SAW Tha’labah bin Hatib yang kononnya miskin, lalu dia meminta Nabi SAW doakan agar dia kaya, apabila dia kaya dia tak mahu membayar zakat, lalu al-Quran mengutuk perbuatannya itu. Kisah ini selalu dijadikan bahan ceramah.
Jawapan:
Kisah ini yang sering disebut oleh ramai pendakwah sebagai satu contoh buruk. Tha’labah dikatakan meminta agar Nabi SAW. mendoakan kekayaannya. Apabila beliau kaya dan berharta beliau enggan memberi zakat.
Kononnya, Al-Quran turun mengutuk perbuatan tersebut dalam Surah al-Taubah: 75-77:
وَمِنْهُمْ مَنْ عَاهَدَ اللَّهَ لَئِنْ آتَانَا مِنْ فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنْ الصَّالِحِينَ(75)فَلَمَّا آتَاهُمْ مِنْ فَضْلِهِ بَخِلُوا بِهِ وَتَوَلَّوا وَهُمْ مُعْرِضُونَ(76)فَأَعْقَبَهُمْ نِفَاقًا فِي قُلُوبِهِمْ إِلَى يَوْمِ يَلْقَوْنَهُ بِمَا أَخْلَفُوا اللَّهَ مَا وَعَدُوهُ وَبِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ
Maksudnya: "Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: 'Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh”. Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya; dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan)."
Rasulullah S.A.W dikatakan wafat dalam keadaan tidak menerima zakatnya. Begitu juga Abu Bakr dan `Umar r.ahuma selepas itu enggan menerima zakatnya. Beliau dikatakan meninggal pada zaman pemerintah `Uthman bin `Affan r.a.
Memang tidak dinafikan ramai para penafsir telah mengaitkan ayat ini dengan Tha’labah dan dia dianggap dari golongan munafik berdasarkan ayat di atas. Sedang Ibn Hajar al-`Asqalani menyebut di dalam al-Isabah bahawa dia adalah ahli perang Badr. Kita hendaklah sedar, jika dia ahli Perang Badr, maka Ahli peperangan Badar tidak mungkin menjadi seorang munafik. Kesemua ahli Badr adalah ahli syurga. Di sana ada fadilat khas yang diberikan untuk ahli peperangan Badar.
Nabi SAW bersabda :
لَعَلَّ الله اطَّلعَ عَلى أهْلِ بَدْرٍ فقـال “اعـمَلوا مَا شِـئْتُم فَقَد وَجَبَتْ لَكُمُ الجَنَّةُ أو فقد غَفَرْتُ لكم”
Maksudnya : ”Allah melihat kepada ahli Perang Badar dan berfirman ” buatlah apa yang kamu suka sesungguhnya telah pasti untuk kamu syurga atau Aku telah ampuni kamu semua” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dia dikatakan terbunuh di dalam peperangan Uhud. Dengan itu al-Hafizd Ibn Hajar menafikan kesahihan cerita tersebut (Al-Isabah, 1/206).
Demikian juga al-Imam Ibn Hazm (meninggal 456H) dalam al-Muhalla menganggap kisah ini sebagai batil tanpa syak (Ibn Hazm, Al-Muhalla, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).
Antara ulama dahulu yang mengkritik riwayat ini Ibn `Abd al-Barr (meninggal 463H), al-Haithami الهيثمي (meninggal 807H) dan lain-lain.
Ulama zaman ini yang mengkritik riwayat ini antaranya al-Syeikh Ahmad Muhammad Syakir, al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani, al-Syeikh Muqbil bin Hadi al-Wadi`I dan lain-lain.
atu buku khas mengkritik riwayat ini telah ditulis oleh `Adab عداب bin Mahmud al-Himsy الحمش bertajuk ثعلبة بن حاطب الصحابي المفترى عليه yang bermaksud Tha’labah bin Hatib, seorang sahabah yang didustai ke atasnya, adalah satu tulisan yang baik untuk dibaca.
Oleh itu wajar berhati-hati agar kita tidak mentohmahkan sahabah tanpa asas yang kukuh. Walaupun tidak dinafikan cerita ini begitu tersebar dan buku-buku tafsir, namun sikap mengkaji dan meneliti sangat penting.
917. Soalan : Saya hendak tanya adakah di bolehkan syarak jika seorang muslim memakai krem anti penuaan ( anti ageing cream) adakah ia di bolehkan? Saya hendak tahu dalil-dalil atau qaul ulama mengenai hal ini. Terma kasih.
Jawapan:
Penggunaan kream ant-penuaan ini bukanlah mengubah kejadian Allah SWT sebagaimana mereka yang melakukan pembedahan kosmetik. Umat ini hanyalah stimulasi keatas sel-sel manusia, dimana sel-sel ini akan memperbaiki dirinya sendiri.
Konsepnya sama seperti makanan tambahan (food supplement) sahaja; seperti vitamin. Banyak sekali kream-kream anti-penuaan ini diperbuat dari herba. Malah menurut Ibn Qayyim r.h, Imam Zahabi r.h ada menyatakan bahawa minyak zaiton (Olive Oil) dapat melambatkan proses ’penuaan’. Dari riwayat Abu Aseed, kata beliau : Nabi SAW bersabda :
كُلُوا الزَّيْتَ وَادَّهِنُوا بِهِ فَإِنَّهُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبَارَكَةٍ
Maksudnya : “Makanlah minyak zaitun dan gunakannya pada rambut dan kulit, kerana ia datang dari pokok yang barakah” (Hadis Riwayat Tirmudzi no. 1775).
Apa yang perlu dilihat pada kream-krean ini adalah; apakah isi kandungannya mengandungi bahan-bahan yang dilarang atau tidak? Selama-mana ia mengandungi bahan-bahan halal, maka penggunaan kream tersebut adalah harus. Wallau a'lam.
918. Soalan : Saya terdengar pendapat mengatakan pemegang wasiat harta anak yatim mempunyai sebahagian hak keatas harta tersebut. Dan ia dibolehkan untuk membelanjakan asalkan tidak dengan secara pembaziran. Betulkah pandangan sebegini?
Jawapan:
Panduan mengurus harta anak yatim dijelaskan dalam ayat berikut:
Firman Allah SWT maksudnya : “Dan janganlah kamu makan harta anak yatim lebih dari batas berpatutan dan janganlah kamu tergesa-gesa membelanjakannya sebelum mereka dewasa. Barangsiapa (di antara penjaga) itu mampu, maka hendaklah dia menahan diri (dari makan memakan harta anak yatim itu dan barangsiapa (penjaga) yang miskin, bolehlah dia memakan harta itu menurut kadar yg patut…) (Surah an-Nisaa’ ayat 6)
Tafsir Ibn Jauzi (w. 597H, Baghdad) menjelaskan dalam tafsirnya, maksud makan harta anak yatim dengan berpatutan itu:
1. menggunakannya dengan cara pinjaman (loan)
2. membelanjakan menurut kadar keperluan dan tidak berlebihan
3. menggunakan harta itu setimpal dengan nilai kerja yang dilakukan demi kepentingan anak yatim itu.
4. pengurus mengambil dalam keadaan terdesak, apabila ia kelapangan ia memulangkan semula, tapi kalau tidak mampu, maka ia halal.
Begitulah maksud ayat itu dan maksud memakan harta anak yatim oleh pengurusnya.
Wallahu a'lam.
919. Soalan : Saya ada 2 soalan yang hendak minta ustaz memberikan pencerahannya.
1: Betulkah perempuan yang sudah baligh tetapi belum kawin lagi dosa yang dbuat olehnya ditanggung oleh bapanya…saya mendengar ramai ustaz cakap seperti ini?
2. Selemah-lemah iman ialah mencegah kemungkaran dengan hati. adakah kita berdosa kalau kita hanya mampu cegah dengan hati ? Tambahan pula pada zaman yang banyak maksiat ni?
Jawapan:
1. Cakap-cakap ustaz itu hendaklah terus dirujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya. Apabila kita rujuk al-Quran kenyataan ini bercanggah dengan surah al-An’am ayat 164
maksudnya, "Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudharatannya kembali kpd dirinya sendiri; dan orang yg berdosa TIDAK AKAN memikul dosa orang lain."
Orang yang bercakap begitu ialah mereka keliru dengan konsep wali kepada anak gadis. Seorang wali (ayah) masih bertanggungjawab kepada keselamatan, nafkah dan penjagaan sebelum anak daranya itu dipinang dan bernikah. Mana-mana anak Adam yang sudah baligh, maka buku amalan atas nama masing-masing pun dibuka dan dialah kena bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri dan tak ada konsep ada orang tulung pikul dosa orang lain. sendiri kena tanggung. Ayah dan ibu akan memikul dosa jika dia cuai dalam pendidikan anak-anak atau nafkah tapi bukan kena pikul dosa anak yang dah akil baligh! Kalau macam itu teruklah Nabi Nuh a.s.dia kena pikul dosa anaknya dan isterinya dan Nabi Luth a.s. kena pikul dosa isterinya yang derhaka.
2). Fiqh amar makruf nahi mungkar, terdapat hadis : Dari Abi Sa’eed al-Khudri yg dikeluarkan oleh Imam Muslim (no. 49) dalam sahihnya:
” Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah merubahnya dengan tangannya, jika ia tidak sanggup, maka dengan lidahnya, dan jika tidak sanggup juga, maka dengan hatinya, demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (hadis no.34, matan Arba’iin an-Nawawiyah)
Berbalik pada apakah berdosa seorang muslim hanya sanggup mencegah dgn hati sahaja?
Mengikut pensyarah-pensyarah hadis ini, tidak berdosa baga si fulan yang hanya mampu mencegah dengan hatinya atau membenci kemungkaran itu kerana dia tidak ada kesanggupan atau kemampuan mencegah dengan lisan (nasihat) atau tangan (kekuasaan).
Kata Imam al-Munawi ketika mensyarah hadis ni dalam Faidhul Qadir (Jld 4/131), perasaan benci akan mungkar ini wajib ada bila ia melihatnya dan tercetus niat bahawa jika aku ada kuasa atau kemampuan lisan, maka aku akan mengubahnya dengan tangan dan lidahku. Tidak cukup dengan ada rasa benci, tapi dia hendaklah meninggalkan majlis itu jika mungkar itu berlaku dalam majlis yang dihadhirinya sebagai menandakan kebencian hatinya.
Maksudnya kalau tidak ada perasaan benci akan mungkar itu bila melihat orang melakukannya, barulah berdosa. atau mungkar berlaku depan matanya tapi dia tidak menunjukkan hatinya benci yaitu dengan meninggalkan kemungkaran atau majlis kemungkaran itu sebagai tanda protes. Wallahu a'lam.
920. Soalan : Saya ada 3 soalan minta pencerahan daripada ustaz.
1. Saya mendengar dakwaan sesetengah pihak, mengatakan Nabi Muhammad SAW sendiri pernah dishir betulkah ini berlaku? Tidakkah Nabi Muhammad maksum yang terpelihara daripada kejahatan manusia, adakah wujud keterangan dalam al-Quran atau as-Sunnah tentang perkara ini?
2. Apakah hikmah Islam melarang keras pekerjaan atau amalan sihir?
3. Bolehkah saya mengunakan memakai tangkal untuk menghalang kejahatan atau hasad dengki manusia?
Jawapan :
1. Nabi Muhammad SAW memang maksum, seperti Firman Allah SWT yang maksudnya, "Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diperturunkan kepadamu dari Tuhan kamu dan jika tidak kamu kerjakan apa yang diperintahkan itu, bererti kamu tidak menyampaikan amanat-Nya. Allah akan memelihara kamu daripada (kejahatan) manusia, sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir." (Surah al-Maaidah, 67).
Perkataan maksum jelas disebut daripada makna perkataan 'ya'tsimuka' (Memelihara kamu). Dalam tafsir yang muktabar, tidak ada orang yang boleh membunuhnya. Ia juga bermakna Nabi Muhammad maksum, dipelihara sehingga tidak berlaku sesuatu kemaksiatan ke atasnya. Nabi SAW tidak melakukan kesalahan yang mendatangkan dosa.
Adapun makna keselamatan umum, sepeti Nabi SAW disakiti sehingga pernah luka kaki baginda dibaling batu oleh kanak-kanak upahan di Taif atau terluka (mengalami berbagai kesakitan) dalam Perang Uhud, sakit kepala, demam dan sebagainya pernah berlaku ke atas baginda.
Semua ini bukan bermaksud maksum, yang dipelihara Allah S.W.T kerana baginda sebagai manusia biasa yang menerima wahyu, baginda juga berlapar, rasa dahaga, sakit dan sebagainya.
Merujuk kepada dakwaan Nabi SAW disihir, jika diteliti huraian di atas, bermakna sihir memang boleh berlaku. Di sebut dalam hadis sahih, Daripada A'ishah r.anha: "Kata A'ishah, telah disihir Rasulullah SAW oleh seorang lelaki daripada Bani Zuraiq dikatakan lelaki itu ialah Labid bin al-A'sam al-Yahudi. Rasulullah SAW berasa tidak keruan, perkara yang telah dilakukan, baginda merasa ragu sudah dilakukan atau tidak. Nabi bertanya A'ishah, "Wahai A'ishah, apakah kamu tahu bahawa Allah S.W.T telah melakukan sesuatu ke atas diriku? Nabi menyambung dengan katanya, "ada dua orang laki-laki datang kepada ku ketika aku sedang tidur, maka salah seorang berada disisi kepalaku, seorang lagi berada disisi kakiku, maka seorang daripadanya bertanya kepada kawannya, 'apakah sebenarnya yang dideritai oleh Muhammad ini? Maka seorang lagi menjawab, dia telah disihirkan orang. Ditanya lagi, siapakah yang telah mensihirnya? Dijawab lagi, sihirkan oleh Labid bin al-A'sam. Ditanya lagi dengan apakah dilakukan sihir itu? Jawabnya, digunakan sikat rambutnya, dengan satu ikhtiar lain (sihir). Ditanya, di manakah diletakkan barang-barang tersebut? Dijawabnya, ditanam dalam sebuah perigi namanya Perigi Darwan. Maka ditanya lagi, dengan apakah kita akan merawatkan Muhammad ini? Maka dibacakan beberapa ayat dari al-Quran. Nabi Muhammad SAW sedar dari tidurnya maka diberitahu kepada A'ishah, "Bahawasanya, Allah S.W.T telah menyembuhkan aku dan aku tidak mahu hal ini menjadi fitnah di kalangan manusia dan aku telah sembuh." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Hadis sahih ini sekurang-kurangnya memberikan kefahaman kepada kita bahawa musuh-musuh Islam, terutamanya Yahudi, akan melakukan apa sahaja untuk memenuhi kehendak mereka. Ulama bersepakat bahawa berpandukan kepada hadis sahih ini, memang ada percubaan oleh insan yang kenali melakukan sesuatu yang dipanggil sihir.
Nabi SAW memerintahkan sahabat, turun ke dalam perigi mencari barang-barang sihir tersebut, dikeluarkan dan Nabi telah sembuh seperti biasa.
Peristiwa ini tidak boleh disamakan dengan manusia di zaman kita yang terkena sihir sehingga hilang pertimbangan kewarasan, menderita kesakitan memanjang dengan menggangu ibadat, malah menganggu daripada melakukan kerja harian, ini semua tidak menganggu Nabi.SAW.
Nabi Muhammad SAW cuma terasa ada sesuatu yang tidak kena berlaku dalam dirinya. Tiada siapa yang mengetahui, A'ishah pun tidak mengetahui sehingga Nabi SAW memberitahu tentang dua orang lelaki (malaikat) datang untuk mengubat baginda dengan ayat-ayat al-muawwiyat, ayat pelindung penyakit sihir.
Sekaligus, ia merupakan panduan kepada umatnya untuk melindungi diri daripada penyakit.
Seterusnya, jelas bahawa Nabi sendiripun bila disihirkan orang, baginda sendiri tidak mengetahui, melainkan selepas Jibril a.s memberitahu bahawa baginda telah matbub (disihirkan).
Jika Nabi SAW sendiri tidak mengetahui baginda disihirkan, bagaimana orang yang datang untuk berubat, mengadu kesakitan, tiba-tiba orang yang hendak mengubat tersebut mengatakan 'kamu telah kena sihir?' Datang pesakit lain, kita mengatakan pula, 'kamu telah kena buatan orang.'
Ada yang lebih ke hadapan mengatakan, 'kamu telah disihir fulan bin si fulan.'
Bagaimana insan biasa boleh mengetahui sihir yang kena kepada orang lain? Bukan kena kepada kepada dirinya, dengan membuat keputusan orang itu kena sihir, inilah masalah yang kita hadapi.
Tidak sepatutnya berlaku sedemikian kerana hanya Allah S.W.T sahaja mengetahuinya dan tidak ada orang yang boleh tahu hal sebenarnya.
Pengubatan disyariatkan, tetapi jangan sampai kita mendakwa orang itu kena sihir atau menuduh serta menuding jari kepada orang yang didakwa melakukan sihir.
2. Pekerjaan dan amalan sihir adalah sesuatu yang pada kebiasaannya mengagungkan makhluk halus sama ada yang bernama iblis, jin, syaitan dan sebagainya. Makhluk ini sememangnya bertugas sepenuh masa menyesatkan anak Adam dan menjauhkan mereka dari rahmat Allah S.W.T.
Mereka telah dilaknati Allah S.W.T, maka mereka berusaha untuk menyesatkan manusia supaya dijauhkan rahmat Allah SWT. Salah satu caranya adalah menggunakan sihir sebagai satu profesion mereka mengajar manusia melakukan kerja jahat tersebut.
Manusia akan mudah terpengaruh apabila seorang manusia mampu melakukan perkara yang ganjil pada pandangan manusia lain. Atau seolah-olahnya ada kelebihan khusus kepada orang tertentu, yang mengetahui penyakit orang lain tanpa diberitahu. Atau mungkin boleh membaca fikiran orang lain.
Hal sedemikian ini ada kemungkinan boleh berlaku dengan bantuan makhluk halus, dapat mengagak atau makhluk halus mengetahui daripada percakapan mereka kepada diri atau kawan-kawan.
Perkara ini merangsang manusia mendampingi dan mendapatkan khidmat ahli sihir untuk menyampaikan sesuatu maksud mereka.
Bila sihir dilakukan, maka berlaku perkara negatif, yang paling besar sekali adalah kerosakan aKidah. Dalam beberapa hadis Rasulullah SAW maksudnya,"Sesiapa yang mendatangi ahli sihir maka sesungguhnya dia telah mensyirikkan Allah S.W.T." (Hadis Riwayat Imam Muslim).
Hadis lain menyebut maksudnya, "Sesiapa yang mendatangi seorang yang mendakwa mengetahui perkara ghaib, lalu mempercayai dakwaan tersebut, sesungguhnya dia telah kufur dengan al-Quranul Karim yang diturunan kepada Nabi Muhammad."
Dengan amalan sihir juga membuka jalan kepada seseorang mempercayai apa sahaja yang dikatakan ahli sihir kepadanya. Kata-kata seperti, 'penyakit itu berpunca daripada orang yang terdekat kepadanya', kadang-kadang menamakan orang tertentu (sama ada ahli keluarga atau kawan karibnya), terus dipercayai tanpa menyiasat dengan terperinci.
Hal ini boleh menimbulkan permusuhan yang berpanjangan sehingga perkara yang tidak sepatutnya berlaku, dilakukan. Lebih buruk apabila, dibalas balik dengan sihir juga.
Dalam al-Quran, Allah S.W.T menyebut maksudnya, "Sesungguhnya syaitan-syaitan itu mengkehendaki supaya berlakulah di kalangan kamu, permusuhan dan benci-membenci."
(Surah ali-Imran, 91).
Jelas bahawa peluang yang terbuka kepada orang yang mendatangi ahli sihir ini, syaitan mengambil kesempatan menimbulkan permusuhan antara dua orang yang berkasih, menimbukkan kebencian yang amat sangat antara anak beranak.
Ilmu sihir merupakan perantaraan yang boleh menimbulkan caca merba dalam masyarakat. Peluang ini digunakan oleh orang yang bukan ahli sihir, tetapi mendakwa boleh melakukan hal-hal sedemikian untuk mendapat keuntungan duniawi sehingga mengenakan bayaran yang tidak tertanggung oleh pesakit.
Oleh kerana itu maka Islam sebagai agama salam sejahtera, menyelamatkan manusia dari hal-hal yang tidak baik, khasnya menjaga akidah supaya tidak rosak, memelihara harta benda dari pemerasnya dan untuk manusia kembali kepada pertolongan Allah S.W.T.
Islam melarang dengan sekeras-kerasnya menggunakan sihir sebagai medium menyampaikan sesuatu maksud.
3. Di zaman permulaan Islam amalan memakai tangkal digunakan ramai masyarakat jahiliyyah. Raslullah SAW telah mengharamkan pengunaan tangkal dan menggantikan dengan pengunaan ayat al-Quran dan doa, khususnya memohon daripada Allah S.W.T menghindari dari sesuatu yang tidak diingini.
Dakam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya, juzuk ke 4 halaman 156 disebut hadis yang maksudnya, "Sesiapa yang menggantung tangkal, maka sesungguhnya dia telah melakukan perkara syirik."
Hadis ini merupakan hadis umum. Berlaku suatu ketika apabila sahabat-sahabat menerima ayat al-Quran daripada Rasulullah SAW, diamalkan untuk menghindari ganguan, menulis ayat tersebut dikertas dan menggantungkan kepada anak-anak mereka yang belum boleh membaca al-Quran.Bila dirujuk kepada Rasulullah SAW, baginda tidak melarangnya.
Ada sebahagian pendapat jika tangkal tersebut diperbuat daripada ayat-ayat al-Quran, maka ia diharuskan.
Pandangan ulama-ulama muktabar yang dipetik daripada Kitab al-Fatawa az-Zahabiyyah (Fatwa-fatwa yang amat berharga) pada halaman 253 bagi soalan seperti dikemukakan ini, dijawab bahawa, "Adapun penulisan ayat-ayat al-Quran dan nama-nama Allah S.W.T untuk dijadikan tangkal, maka ulama-ulama berselisih pendapat di kalangan ulama-ulama salaf ada yang mengharamkannya secara mutlak dan ada sedikit yang mengharuskannya, dengan syarat-syarat khusus. Yang paling sahih, bahawasanya penggunaan tangkal-tangkal sama ada al-Quran atau tidak, dilarang dalam hadis-hadis terdahulu.
Tentang keharusan yang Rasulullah SAW berikan kepada beberapa orang sahabat, itu adalah pada permulaan Islam. Apabila iman sudah tertanam dalam diri dan untuk mengelak daripada keburukan-keburukan yang boleh menjejaskan iman, maka, dilarang sama sekali penggunaan tangkal, walaupun menggunakan ayat al-Quran kerana,
1; mencegah daripada keburukan yang lebih besar,
2; menjaga kesucian al-Quran dari terbawa dalam tandas dan
3; membulatkan keyakinan bahawa Allah Taala sahaja yang melindungi manusia daripada segala-galanya."
Wallahu a'lam
No comments:
Post a Comment