Sunday, February 16, 2014

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 110

Soal Jawab Agama Siri 110 (Hukum Faraid, Wasiat, Penama Si Mati, Sumber Haram Dan Faraid Kematian Ibu)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم 
 
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Soal Jawab Agama Siri 110 adalah membicarakan persoalan hukum faraid kematian suami, wasiat simati, penama bukan menerima wasiat, sumber wang haram dan faraid kematian ibu.

831. Soalan :  Kawan saya kematian suami di tempat kerja. Beliau mendapat sejumlah wang pampasan dari syarikat suaminya bekerja.

Soalannya :

1. Adakah wang tersebut harus diagihkan secara hukum faraid?

2. Adakah wajib dikeluarkan zakat?

3. Apakah syarat seorang ibu/bapa yg membolehkan terima zakat
dari anaknya.?

4. Adakah wang tersebut boleh digunakan sepenuhnya oleh kawan saya bagi
perbelanjaan anak-anak dan dirinya.?

Sekian. Terima kasih.

Jawapan:

1. Wang pampasan kematian yang dibayar oleh sesebuah syarikat, atau syarikat insurans, tidak dkategorikan sebagai harta pusaka. Kerana wang tersebut bukan hak miliknya sebelum kematian. Maka ia tidak mengambil hukum faraid.

Berkenaan kepada siapakah diserahkan wang pampasan itu, ia terserah kepada budi bicara syarikat terbabit, atau mengikut perjanjian yang sudah dipersetujui.

2. Wang tersebut dikira sebagai ‘al-mal al-mustafaad’, maka tidak dikenakan zakat ketika ia diperolehi. Ia dikenakan zakat, jika mencukupi haul setahun, dan masih dalam lingkungan nisab zakat.

3. Seseorang anak tidak boleh memberikan zakat kepada ibu atau ayahnya, kerana sudah menjadi kewajipan kepada si anak untuk memberi nafkah kepada mereka jika mereka memerlukan pembiayaan.

4. Pampasan kematian sudah pasti diberikan untuk perbelanjaan orang-orang yang di bawah tanggungan simati, iaitu isteri dan anak-anaknya.
Wallahu a’lam.

832. Soalan : Sepanjang mengikuti kuliah secara agama di masjid, saya difahamkan bahawa wajib pembahagian harta pusaka itu diagihkan mengikuti sistem faraid seperti mana yang diterangkan di dalam al-Quran walaupun simati ada meninggalkan wasiat.

Kemudian, dalam masa terdekat ni saya telah terbaca tentang pendapat yang mengatakan bahawa harta pusaka boleh dibahagikan kepada semua waris yang berhak mengikut yang tertulis di dalam wasiat.

Saya sedikit keliru  dan berharap mendapat pencerahan dalam permasalahan ni.

Jawapan:

Harta pusaka dan wasiat adalah dua pembahagian yang berasingan. Jika si mati meninggalkan wasiat pada hartanya, syarak mewajibkan supaya disempurnakan dahulu hak penerima wasiat, barulah diagihkan harta secara Faraid.

Tetapi dengan syarat wasiat simati hendaklah menepati dua syarat:

1. Tidak melebihi kadar 1/3 harta peninggalan.

2. Wasiat itu kepada bukan waris (penerima pusaka).

Jika wasiat tersebut melebihi 1/3 harta, maka mestilah mendapat kerelaan semua waris-waris lain.

Dalil didahulukan penyempurnaan wasiat ialah firman Allah Taala: Maksudnya : "(Pembahagian tersebut hendaklah) selepas ditunaikan wasiat yang dibuat, atau (dan) sesudah dilunaskan hutang." (Surah an-Nisaa ayat 11). Wallahu a’lam

Rujukan: Tahqiqaat Mardhiyyah m/s 29-30

833. Soalan : Saya ada menyimpan di Tabung Haji dan telah menamakan anak sebagai pewaris pertama dan isteri sebgai pewaris kedua.

Soalannya, selepas kematian, wang Tabung Haji adakah perlu difaraidkan walaupun ada penama?

Sekian. Terimakasih.

Jawapan:

Di dalam “Borang Pemegang Amanah” yang diisikan padanya dua nama pewaris bukan sebuah wasiat. Oleh itu pewaris yang diletakkan sebagai penama dalam “Borang Pemegang Amanah” Tabung Haji, bukan penerima wasiat. Penama hanyalah ‘pemegang amanah’.

Oleh itu penama tidak mempunyai hak mutlak ke atas wang yang diterimanya. Ia mesti dibahagikan menurut hukum faraid.
 
Tujuan borang tersebut ialah bagi membolehkan Tabung Haji mengeluarkan wang pendeposit yang meninggal dunia kepada pemegang amanah yang dinamakan dengan cepat untuk dibahagikan kepada waris-waris yang berhak. Wallahu a’lam.

834. Soalan : Bolehkan wang haram daripada sumber riba di gunakan untuk projek kebajikan seperti membina jalan raya atau longkang?

Jawapan : 

Harta haram terbahagi kepada dua kategori:

1. Harta yang haram pada zatnya, seperti duit yang dirompak atau dicuri.

Harta jenis ini haram dimanfaatkan oleh mana-mana pihak, kerana ia wajib dikembalikan kepada tuannya. Kecuali jika tidak dapat dikembalikan kepada tuannya atau tidak diketahui tuannya, maka boleh disalurkan kepada perkara kebajikan seperti buat jalan raya , longkang dan sebagainya.

2. Harta yang haram disebabkan cara perolehannya, seperti wang yang diperolehi daripada riba, wang hasil jual beli yang haram, dan seumpamanya.
Wang haram itu bukanlah haram kerana zatnya tetapi kerana sebab penggunaannya. Wang haram tidak boleh dibelanjakan untuk diri sendiri.

Mengikut sesetengah pendapat ulama salaf, wang haram itu mesti dimusnahkan. Tetapi pendapat ini disanggah oleh Imam Al-Ghazali r. h dalam Ihyaa Ulumuddin kerana kita tidak sepatutnya memusnah harta kita.

Pendapat yang lainnya harta dari sumber haram boleh digunakan untuk tujuan kemasyarakatan seperti pembinaan jalan raya, tandas , longkang dan sebagainya.

Ini bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari seorang lelaki Ansar pada suatu ketika Rasulullah S.A.W keluar untuk mengiringi jenazah, lalu terserempak dengan pengembala kambing kaum Quraisy. Lalu ia berkata kepada Rasulullah S.A.W, "si folan telah menjemput kalian menghadiri jamuan." Dikatakan seketul daging kambing dalam jamuan itu diambil tanpa pengetahuan tuannya. Lalu baginda S.A.W bersabda: "berikanlah makanan itu kepada tahanan." (Al-hafiz Iraqi mengatakan hadis ini sanadnya jayyid (baik)).

Walaubagaimanapun, orang yang mendermakan sumber wang haram kepada mereka yang patut menerimanya tidak diberikan pahala sedekah seperti yang terkandung dalam hadis :

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda (maksudnya) : "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." 
(Hadis Sahih Riwayat Muslim dan lain-lainnya) 

Ini kerana wang yang haram itu bukan miliknya. Kita hanya akan beroleh pahala sedekah apabila harta tersebut kita memilikinya. Namun demikian, si pemberi menerima pahala di atas asbab:

1. Menyucikan hartanya dari sumber harta yang haram.

2. Menjadi orang tengah dalam menyampaikan wang haram itu kepada pemilik yang sebenarnya.

Wallahu a'lam.

Rujukan: Fatwa Muasirah, Yusuf Al-Qardhawi

835. Soalan : Suami meninggal dunia dahulu sebelum ibu kepada suami meninggal.

Baru-baru ini ibu suami pula meninggal. Adik-beradik suami bercadang untuk membahagikan harta tinggalan ibu.

Soalan saya, Isteri kepada suami yang meninggal dahulu sebelum ibu meninggal tadi dapat atau tidak bahagian harta pusaka tersebut?

Yang kedua Isteri tadi ada anak hasil dari suami yang meninggal tadi. Anak-anak tadi dapat atau tidak bahagia harta pusaka tersebut. Sekian terima kasih

Jawapan:

1) Harta pusaka ibu tersebut tidak berhak kepada menantu perempuannya itu. Kerana si suami itu meninggal sebelum ibu suaminya meninggal. Jadi, suaminya bukan ahli waris kepada harta si ibu. Jadi, si isteri tadi hanya berhak kepada pusaka suaminya sahaja.

2) Cucu kepada simati, samada anak lelaki kepada anak lelaki simati, atau anak perempuan kepada anak lelaki simati, atau anak perempuan kepada anak perempuan simati, mereka berhak mendapat pusaka simati, dengan syarat tidak terhalang oleh waris yang lebih hampir.

Dalam kes ini contohnya kalau simati ada anak lelaki lain yang hidup sewaktu dia meninggal, maka dengan sendiri anak lelaki ini akan menghalang waris yang lebih jauh seperti cucu simati.

Wallahu a’lam.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML