Soal Jawab Agama Siri 50 (Sifat Takwa, Bersyukur, Kelebihan Luar Biasa, Khauf, Raja' dan Mata Hati)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 50 adalah menjelaskan persoalan iaitu sifat takwa, bersyukur, kelebihan luar biasa, khauf dan raja' dan mata hati.
536. Soalan : Apakah yang dimaksudkan dengan takwa dan ciri-ciri orang bertakwa dan balasannya jika seseorang itu memiliki sifat takwa?
Jawapan :
Saidina Ali bin Abi Talib k.wj ditanya mengenai takwa lalu jawabnya: "Takut kepada Allah, beramal dengan apa jua yang diturunkan, redha dengan agihan rezeki yang sedikit, bersedia untuk hari keberangkatan (kematian). dan meletakkan diri dalam perkara yang diperintah dan mengelakkan diri dari perkara yang terlarang."
Saidina Usman bin Affan menyatakan bahawa terdapat lima ciri-ciri orang bertakwa. Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Tidak suka bergaul kecuali bergaul dengan orang-orang yang soleh atau solehah, yang menjaga lisannya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh dan orang yang jahat adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.” (Hadis Riwayat Bukhari dari Abu Musa r.a )
Kedua : Jika mendapat musibah duniawi, ia menganggapnya sebagai ujian dari Allah SWT. dan bersabar.
Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.'' (Surah al-Baqarah ayat 155)
Ketiga : Jika mendapat musibah dalam urusan agama ia akan sangat menyesalinya.
Teringat kisah Saidina Umar bin Khattab r.a yang ketinggalan satu rakaat solat Asar di masjid hanya kerana beliau sedang asyik berada dalam kebun kurmanya. Mengetahui dirinya telah tertinggal satu rakaat dalam berjamaah, Saidina Umar r.a. pun begitu menyesali perbuatannya sehingga kebun kurma yang dianggap sebagai penyebab musibah itu akhirnya dijual.
Keempat : Tidak suka memenuhi perutnya dengan makanan haram dan jika makan tidak sampai kenyang.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tidak ada bekas yang dipenuhi oleh manusia lebih teruk dari perutnya. Cukuplah manusia itu memakan beberapa suapan yang menegakkan tulang-tulang sulbinya. Jia dia tetap hendak makan banyak maka satu pertiga perutnya untuk makanan, satu pertiga minuman dan satu pertiga lagi dikosongkan." (Hadis Riwayat Tirmizi dan Abu Daud)
Kelima : Apabila memandang orang lain, orang itu lebih soleh dari dirinya. Tapi bila
memandang diri sendiri, dirinya adalah orang yang penuh dosa.
Balasan untuk orang yang bertakwa adalah syurga.
Firman Allah SWT :
وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ
عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
Maksudnya : ”Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Rabbmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.”
(Surah Ali- Imran ayat 133)
Ayat ini menegaskan bahwa syurga telah Allah sediakan untuk orang-orang muttaqin (orang-orang yang bertakwa)
537. Soalan : Kepada siapakah wajib kita bersyukur dan jenis-jenis syukur yang perlu dimiliki oleh seorang mukmin?
Jawapan :
Kita wajib bersyukur kepada Allah SWT yang telah banyak memberikan nikmt-Nya kepada kita semua. Apabila kita bersyukur bermakna kita sedang mengingati Allah SWT. Rasa bersyukur terhadap Maha Pencipta yang memberikan segala kehidupan ini dan rasakan diri sentiasa hampir kepada-Nya. Allah SWT akan membalasnya dengan rahmat dan nikmat-Nya yang banyak.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingatimu dan syukurilah atas nikmat-Ku dan janganlah sekali-kali kamu kufuri nikmat-Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 152).
Bersyukur kepada Allah SWT terdapat tiga tingkat iaitu :
Pertama : Syukur dengan lidah.
Orang mukmin sentiasa lidahnya mengucapkan syukur kepada Allah SWT dengan mengucapkan "alhamdulillah". Mengucapkan syukur dengan memuji dan memuja Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Berkuasa diseluruh alam semesta tanda kita berterima kasih kepada-Nya yang telah memberikan rezeki dan nikmatnya yang banyak dan kita tidak akan mampu membalasnya.
Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab." (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)
Kedua : Syukur dengan anggota .
Tanda bersyukur dengan anggota adalah melakukan ketaatan kepada semua perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya.
Tanda bersyukur dengan nikmat harta, maka hartanya akan dibersihkan dengan dibayar zakat dan tidak bakhil untuk bersedekah dan infak di jalan Allah SWT.
Ibnu Abbas r.a berkata : "Bersyukur adalah taat dengan segenap anggota badan kepada Allah SWT., baik secara sembunyi ataupun terang-terangan serta secara lisan maupun di dalam hati. Setelah itu sedaya upaya menjauhi maksiat serta kemungkaran."
Ketiga : Syukur dengan hati.
Syukur dengan hati adalah tahap syukur yang paling susah untuk dicapai kecuali dengan cara belajar dan mendalami ilmu (pengetahuan agama dan iman). Iaitu hati sentiasa ingat kepada Allah SWT dan merasakan bahawa segala taat yang dilakukan ini adalah semata-mata kerana Allah SWT untuk melakukan taat itu. Bersyukur dengan hati, yakni bahawa segala nikmat itu datangnya daripada Allah SWT.
Maka wajiblah seseorang mendidik hatinya dengan zikrullah yang banyak supaya ianya dapat disucikan. Apabila hatinya suci dan bercahaya dengan cahaya zikrullah maka akan terlihat didalam hatinya betapa banyak dan besarnya nikmat dan rahmat Allah SWT kepadanya.
Dari Abu Hurairah ra berkata, bahawa Rasulullah SAW. bersabda : “Barang siapa yang bertasbih seratus kali pada setiap selesai solat, dan bertahlil seratus kali, maka akan diampuni dosa-dosanya meskipun dosa-dosanya tersebut seumpama buih di lautan. (Hadis Riwayat Nasa’i)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah kekayaan itu dengan banyak harta, tetapi sesungguhnya kekayaan itu ialah kekayaan jiwa.” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
538. Soalan : Bolehkah ustaz jelaskan apakah perbezaan di antara Mukjizat, Irhas, Karamah, Ma'unah, Sihir dan Istidraj?
Jawapan :
Dalam Islam kejadian luarbiasa ini boleh dibahagikan kepada 6 perkara.:
1. Mukjizat
2. Irhas.
3. Karamah
4. Ma'unah
5. Sihir.
6. Istidraj.
Pertama : Mukjizat .
Mukjizat adalah suatu kejadian luar biasa yang kadangkala menyalahi aturan dunia fizikal dan sukar dihuraikan dengan logik akal dan biasanya dikatakan sebagai campur tangan Allah. Mukjizat hanya dimiliki oleh Rasul dan Nabi yang diberikan Allah SWT kepada utusanNya.
Mukjizat ialah perkara yang nampak yang bertentangan dengan kebiasaan (yaitu hal yang luar biasa yang terhadi melalui) tangan Nabi atau Rasul setelah diutusnya (yang dilakukan) pada saat berdakwah (menyebarkan) misi kenabian dan kerasulan, seperti menghidupkan orang mati, menghilangkan gunung dan memancarkan air dari sela-sela jari jemari,laut terbelah dua, tongkat menjadi ular , bulan terbelah dua dan sebagainya.
Contoh mukjizat yang dimiliki oleh Rasulullah SAW adalah bulan terbelah dua, dhab (biawak padang pasir) boleh berkata-kata, awan sentiasa memayungi Nabi bila berjalan, batu pengisar tepung boleh berkata-kata dan sebaginya.
Kedua : Irhas.
Irhas ialah perkara luar biasa yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada para Nabi dan Rasul semasa mereka masih kecil, sebagai persediaan sebelum dilantik menjadi Rasul.
Contoh :
1. Nabi Isa a.s boleh bercakap semasa baginda masih dalam buaian.
2. Ketika nabi Yusuf a.s. dibuang kesumur oleh saudara-saudara nya dengan harapan agar meninggal dan lenyap,malah oleh Allah diangkat derajatnya hingga menjadi penguasa negeri Mesir.
3. Nabi SAW dibedah di dadanya semasa kecil oleh malaikat Jibril.
Ketiga : Karamah
Karamah ertinya, kemuliaan. Kekuataan spritual yang diberikan kepada para wali Allah. Karamah menunjukkan sesuatu yang luar biasa dan menakjubkan. Kurniaan yang paling besar ialah berkaitan pengetahuan mengenai Allah SWT..
Keadaan luar biasa atau keajaiban adalah takdir Ilahi. Ia bersumber daripada penetapan Ilahi yang selaras dengan sunttullah kerana ia adalah manifestasi kudrat Ilahi. Karamah tidak termasuk mimpi, ilham, kasyaf dan khayalan.
Seperti keistimewaan yang terjadi pada Siti Maryam (Ibu Nabi Isa a.s) mendapat buah-buahan di mihrob. Siti Maryam menjawab pertanyaan Nabi Zakaria, bahwasanya rezeki tersebut dari Allah dan sesungguhnya Allah akan memberikan rezeki kepada orang yang dihendakiNya, dengan tanpa perhitungan, sebagai bentuk pemberian Fadhol (kemurahan), dengan tanpa mengurang-ngurangi (rujuk Surah Ali-Imran ayat 37)
Saidina Umar dapat melihat tenteranya di medan perang di Nahwad serta boleh berbicara dengan panglimanya dan tenteranya juga dapat mendengar ucapan Umar, sedangkan jarak antara mereka sangat jauh. Waktu itu Umar berada atas mimbar dalam masjid di Madinah.
Beliau menulis surat kepada sungai Nil supaya banjir dan dengan izin Allah ianya banjir seperti biasa.
Selain daripada itu insan lain yang mendapat kurniaan karamah termasuklah Syeikh Abdul-Kadir al-Jailani, Rabiatul Adawiah, Ibrahim Adham , Tok Kenali dan lain-lain lagi.
Keempat : Ma'unah
Ma'unah ialah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang mukmin yang awam dan soleh, yang apabila ditimpa sesuatu musibah atau suatu perkara ke atas dirinya mereka terus melipat gandakan pergantungan dan keimanan kepada Allah SWT serta memantapkannya melalaui pelbagai wirid, solat sunat, puasa serta amalan sunat yang lain.
Ma'unah merupakan suatu kemuliaan yang Allah kurniakan kepada diri dari segi zahir dan batin para hambanya yang soleh. Mereka tidak merasa sedih atau kecewa sekirannya permintaan mereka tidak ditunaikan oleh Allah.Perlindungan yang diberikan oleh Allah kerana disitu ada hambanya yang soleh dan dikasihi.
Contoh : Berlaku kemalangan yang kita dengar kapal terbang terhempas ada seorang sahaja orang masih terselamat cedera ringan sahaja. Ini adalah contoh ma'unah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang Dia kehendaki.
Kelima : Sihir.
Kejadian luar biasa yang diberikan atau dilakukan atas pertolongan jin dan syaitan.
Sihir adalah kesepakatan antara tukang sihir dan syaitan dengan ketentuan bahawa tukang sihir akan melakukan berbagai perkara haram atau syirik dengan imbalan pemberian pertolongan syaitan kepadanya dan ketaatan untuk melakukan apa saja yang dimintanya.
Ilmu sihir boleh dipelajari melalui tukang sihir atau bomoh-bomoh. Mempelajari sihir boleh menjadikan seseorang syirik kepada Allah SWT. Sihir biasanya digunakan untuk mendatangkan mudharat kepada seseorang dengan bantuan jin dan syaitan tetapi kesemuanya adalah dengan izin Allah.
Ibnu Qudamah Al-Maqdisi mengatakan," Sihir adalah ikatan-ikatan, jampi-jampi, perkataan yang dilontarkan secara lisan maupun tulisan, atau melakukan sesuatu yang mempengaruhi badan, hati atau akal orang yang terkena sihir tanpa berinteraksi langsung dengannya. Sihir ini mempunyai hakikat, diantaranya ada yang bisa mematikan, membuat sakit, membuat seorang suami tidak dapat mencampuri istrinya atau memisahkan pasangan suami istri, atau membuat salah satu pihak membenci lainnya atau membuat kedua belah pihak saling mencintainya"
Keenam : Istidraj .
Istidraj adalah perkara luar biasa yang dikurniakan Allah SWT kepada seseorang tetapi dengan tujuan Allah SWT ingin membinasakannya.
Keluarbiasaan yang menambah keburukan, kehinaan dan kebinasaan atas mereka yang mendapat keluarbiasaan itu, hingga sampai masa Allah binasakan mereka, ia berlaku dalam keadaan mereka lupa.Bukan sahaja mereka lupa dan tidak sedar, malah tatkala Allah menghukum mereka, tiada manusia yang membantahnya lantaran lengkapnya segala syarat untuk Allah membinasakan mereka. Tiada lagi ragu-ragu atas kejahatan mereka.Itulah keburukan istidraj.
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya." (Surah Al-A'raaf ayat 182)
Daripada Nabi Sallallahu ‘Alahi Wasallam bersabda maksudnya, “Jika kamu melihat Allah memberi kepada seorang hamba habuan dunia atas maksiat yang dilakukannya dari apa yang disukainya, maka sesungguhnya itulah ISTIDRAJ”. Lalu Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wasallam membaca (surah al-An’aam ayat 44):Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan). (Hadis riwayat Ahmad)
539. Soalan : Apakah yang dimaksudkan dengan Khauf dan Raja'?
Jawapan :
Menurut Imam Abu Bakr al-warraq (guru al-Ghazali) : "Apabila engkau dengar perihal kaum kafir akan berkekalan di dalam neraka, maka jangan engkau, kerana engkau orang Islam, berasa aman dan terselamat atau terlepas daripada pembalasan seperti orang-orang kafir itu. Sebabnya, urusanmu dan dirimu itu masih di dalam ancaman bahaya. Engkau belum tahu bagaiaman keadaanmu di hujung hayatmu nanti dan betapa nasib dirimu dalam suratan di Lauhul-Mahfudz. Sebab itu, janganlah berasa sedap hati dengan masa gemilangmu sekarang. Di sebalik kegemilangan itu berkemungkinan besar tersembunyi kecelakaan".
Imam al-Ghazali pula berkata, "Jangan terpesona, terpedaya dan berasa terlalu sedap hati dan aman dengan nikmat Islam dan nikmat terlepas daripada kemungkaran, kerana kelurusan di pangkal jalan tidak semestinya lurus juga di hujung jalan. Ambillah iktibar daipada kisah-kisah di kalangan golongan 'abidin dahulu yang dengan tak semena-mena menjadi sesat di hujung jalan, lalu ditimpa 'kecelakaan' pada saat terakhir hayatnya".
Kita tidak boleh berperasaan terlalu yakin yang nikmat Islam yang kita miliki sekarang dapat kekal sehingga akhir hayat kita.
Untuk mengatasi perasaan terlalu yakin ini, kita mesti mempunyai perasaan khauf dan raja'.
Seorang mukmin yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT perlulah ada dua sifat ini terhadap Allah Azzawajalla iaitu perasaan khauf ( takut) dan raja' (mengharap).
Khauf ialah perasaan bimbang, takut atau cemas kepada Allah.
Khauf (takut) di saat kematian tidak mendapat husnul khatimah dan takut kepada seksaan hari akhirat iaitu ketika diPadang Mahsyar, Mizan, Siratul Mustakim dan seksaan api neraka yang amat dahsyat dan menyeksakan.
Raja' ialah perasaan mengharap kepada Allah.
Rajak (mengharap rahmat) dan kasih sayang Allah SWT semoga terpilih disaat kematian mendapat husnul khatimah dan termasuk di dalam golongan orang-orang muttaqin dan solihin dihari akhirat nanti dan diizinkan memasuki syurga Allah SWT.
Allah SWT berfirman dalam surah Az-Zumar, ayat 9 :
يَحْذَرُ الْآَخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ
" Takutkan akhirat (azab di sana) dan mengharapkan rahmat Tuhannya "
Dari Anas r.a berkata, Suatu hari Rasulullah SAW menemui seorang lelaki yang sedang nazak, Rasulullah SAW berkata kepadanya : "Bagaimanakah keadaan kamu ?"
Lelaki itu menjawab : " Aku takut (khauf) dan aku berharap (raja') "
Maka Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Tidak berhimpun di hati seorang hamba seperti keadaan ini, melainkan Allah azza wajalla akan memberikan apa yang diharapkannya, dan memeliharanya dari apa yang ditakutkan."
(Hadis riwayat At-Tirmizi)
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa untuk menjadi hamba Allah SWT yang diredai-Nya maka perlu ada pada diri seorang mukmin itu dua sifat iaitu sifat Khauf dan sifat raja'.
540. Soalan : Apakah yang dimaksudkan dengan melihat dengan mata hati?
Jawapan :
Mata hati akan celik hanya apabila kita melihat kehidupan ini sejajar dengan kehendak atau ketetapan Allah SWT. Inilah pandangan hidup yang paling jelas dan tepat. Bermula dengan pandangan yang tepat inilah kita boleh menjalani hidup dengan sebaik-baiknya.
Saidina Ali k.w. pernah berkata yang bermaksud: “Manusia ketika hidup di dunia semuanya tidur (mimpi), bila mati baru mereka terjaga (tersedar).”
Kata-kata itu sungguh mendalam dan tersirat maknanya. Rupa-rupanya hanya apabila seseorang itu mati kelak barulah hakikat kehidupan ini tersingkap dengan sejelas-jelasnya.
Ketika itu barulah si mati dapat “melihat” hidup dengan jelas dan tepat. Ketika inilah tidak berguna lagi penyesalan kerana semuanya telah terlambat.
Setelah diri berada di alam barzakh (alam kubur), barulah manusia insaf apakah yang sebenarnya yang perlu dicari dan dimiliki dalam hidupnya ketika di dunia dahulu. Aneh, hanya apabila meninggal dunia, baru manusia menyedari tentang hakikat hidup di dunia. Seperti kata pepatah, “Setelah terantuk (mati), barulah dia tengadah (sedar).”
Apa yang dimaksudkan oleh Sayidina Ali dengan ‘terjaga’ (tersedar) tidaklah merujuk kepada mata di kepala, sebaliknya merujuk kepada mata di hati (di dalam dada). Ramai manusia yang hidup dengan mata hati yang tertutup. Bila mati baru mata hati itu terbuka. Mata hati inilah yang disebut dalam al-Quran sebagai yang ‘berada di dalam dada’.
Rupa-rupanya apa yang diburu semasa hidup di dunia hanyalah dosa, pangkat, kedudukan, kuasa, pengaruh dan kemegahan. Manusia sanggup melakukan perkara haram iaitu mengambil rasuah, riba, menipu dan menentang hukum-hukum Allah SWT. Manakala apa yang dihindarinya pula adalah amal soleh, amal ibadah, amal kebajikan dan pahala yang disediakan oleh Allah SWT.
No comments:
Post a Comment