Sunday, February 16, 2014

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 112

Soal Jawab Agama Siri 112 (Ibadah Haji, Hukum Pakai Seluar, Ciri-ciri Lelaki Soleh dan Wanita Solehah, Dosa Kepada Allah dan Dosa Sesama Manusia)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Soal Jawab Agama Siri 112 adalah membicarakan persoalan ibadah haji, wanita memakai seluar panjang, ciri-ciri lelaki solah, ciri-ciri wanita soleh, dosa kepada Allah dan dosa sesama manusia.

841. Soalan :  Di sini, saya ada beberapa kemuskilan berhubung ibadat haji.

1. Di tempat-tempat berikut, apakah jenis solat yang patut dikerjakan mengikut sunnah samaada solat tamam (penuh) , jamak sahaja atau jamak & qasar?

i- Madinah

ii- Arafah

iii- Mina

iv- Mekah

v- Muzdalifah

2. Semasa saya di dalam ihram, adakah di bolehkan menggunakan sabun atau shampoo semasa mandi?

3. Adakah saya boleh mengutip batu di Arafah kerana bimbang tiadanya batu di Munzalifah atau Mina ?

4, Jika ditakdirkan ibu saya uzur untuk melontar , dan saya mewakilkannya bagi urusan melontar. Adakah ibu saya akan dikenakan dam kerana meninggalkan wajib haji itu ?

5. Katakan ibu saya melakukan saei dr Bkt Safa ke Marwah. Kemudian kami berehat kerana letih. Utk menyambung kembali saei tersebut, kami akan bermula dari Marwah ke Safa utk pusingan ke-2. Adakah betul tindakan kami ini ?

6. Insyallah, kami akan melakukan Haji Tamattuk. Bagi urusan pembayaran dam tamattuk, kami akan berurusan dengan TH dengan mengeluarkan wang dari akaun TH kami utk pembayaran dam. Adakah betul tindakan ini ?

Mohon pencerahan. Syukran

Jawapan:

1. Jenis-jenis solat yang boleh dilakukan adalah seperti berikut :

i. Di Madinah: solat seperti biasa (tamam)

ii. Di Mekah : solat seperti biasa (tamam)

iii. Di Arafah: jamak taqdim zohor dan asar (waktu zohor) dan qasar

iv. Di Muzdalifah: jamak ta’khir maghrib dan isyak (waktu isyak) dan qasar

v. Mina: selama di sana solat qasar (zohor, asar, isyak), tetapi tidak jamak (hingga 13 Zulhijjah)

2. Ada khilaf di kalangan fatwa moden. Puncanya, khilaf pada status sabun adakah ia: (i) wangian, atau (ii) bukan wangian cuma ada bauan wangi padanya.

Ada ulama yang mengharamkan sabun ketika ihram, sebab dikira wangian. malah, bau sesetengah sabun jauh lebih wangi dari bauan atar/ wangian. (pendapat lama Syeikh Uthaimin)

Ada yang kata bukan wangian, dalam fatwa-fatwanya. Cuma ditinggalkan adalah lebih warak dan afdhal.(pendapat: Syeikh Bin Baz, dan pendapat baru syeikh Uthaimin)

Kesimpulan: Lebih afdhal dan warak meninggalkan sabun dalam beberapa hari semasa haji. Bukannya lama sangat, ihram mula 8 Zulhijjah hingga 10 Zulhijjah (3 hari sahaja). Inilah lebih selamat dan tenang di hati.

Rujukan:

Manasik Haji dan Umrah m/s 35 dan Syarah Mumtik 7/211

3. Tidak di syaratkan batu itu berasal dari Muzdalifah. Boleh ambil mana-mana, hatta di Mekah atau Madinah. Yang penting: ia adalah batu.

Sebab, kemungkinan bas yang anda naiki tidak sempat berhenti dan menurunkan jemaah di Muzdalifah sebagaimana berlaku pada musim-musim haji yang lalu.

Oleh itu, jika mudah dijumpai batu di Arafah, boleh ambil di sana, tetapi jangan lakukan pada waktu wuquf iaitu selepas Zohor hingga Maghrib.

4. Tidak dikenakan dam.

5. Tidak disyaratkan berterusan tanpa henti dalam amalan saie. Boleh berhenti terutama jika keperluan, seperti solat jemaah, keletihan, dll. Inilah mazhab Syafie dan Ahmad bin Hanbal.

Dalilnya perbuatan sahabat :

- Ibn Umar pernah saie, kemudian berhenti untuk wudhuk dan sambung balik.

- Saudah binti Ibn Umar pernah menghabiskan saie dalam masa 3 hari. (Said bin Mansur)

6. Boleh mewakilkan kepada mana-mana pihak yang dipercayai untuk menguruskan dam tamattuk anda. Cuma, untuk makluman, dam yg diwakilkan kepada TH biasanya disembelih agak lewat, selepas selesai musim haji. Sedangkan dam tamattuk mengikut fatwa kebanyakan ulama haramain wajib dilaksanakan sebelum habis hari tasyrik (13 Zulhijjah). Wallahu a’lam.

842.Apakah hukumnya memakai seluar panjang yang banyak dipakai wanita di zaman sekarang?

Jawaban:

Nabi Muhammad Salallahu ’Alihi Wassalam bersabda :

قال رسول الله : (ماَ رَأَيْتُ مِنْ نَاقِصَاتِ عَقْلٍ وَدِيْنٍ أَذْهَبَ لِلُبِّ الرَّجُلِ الْحَازِمِ مِنْ إِحْدَاكُنَّ )

Rasulullah Salallahu ’Alihi Wassalam bersabda maksudnya : “Aku tidak melihat dari wanita-wanita yang kurang akal dan agama yang lebih mempengaruhi bagi hati laki-laki yang bijaksana selain dari salah seorang dari kalian.” (Hadis Riwayat. Al-Bukhari 304, 1462 dan Muslim 79)

Umat Islam jangan mudah terpengaruh dengan berbagai jenis pakaian yang muncul dan banyak dijumpai mengikut tren budaya barat, dan kebanyakan darinya tidak sesuai dengan pakaian Islami yang harus menutup semua tubuh wanita, seperti pakaian-pakaian pendek, ketat atau tipis. Termasuk di antaranya adalah seluar panjang, sesungguhnya ia menggambarkan bentuk kaki wanita, demikian pula perut, pinggang, kedua payudaranya dan bentuk dari anggota tubuh lainnya. Maka memakainya termasuk dalam hadis Nabi Muhammad Salallahu ’Alihi Wassalam:

قال رسول الله : (صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا: قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُوْنَ بِهَا النَّاسَ, وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ, مُمِيْلاَتٌ مَائِلاَتٌ, رُؤُوْسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ, لاَيَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلاَيَجِدْنَ رِيْحَهَا, وَإِنَّ رِيْحَهَا لَيُوْجَدُ مِنْ مَسِيْرَةِ كَذَا وَكَذَا)

Maksudnya, "Dua kelompok ahli neraka yang belum saya lihat: Satu kaum bersama mereka cemeti-cemeti seperti ekor unta, mereka memukul manusia dengannya. Dan wanita-wanita yang berpakaian tapi telanjang, berjalan melenggok, tidak taat kepada Allah, kepala mereka seperti pundak unta yang condong. Wanita-wanita ini tidak masuk syurga dan tidak pula mencium bau syurga, padahal baunya syurga dapat dihidu sejauh perjalanan sekian sekian". (Hadits Riwayat Imam Muslim no. 2128)

Wanita yang beriman dan bertakwa kepada Allah Subhanahuwata’alla, bersungguh-sungguh memakai pakaian Islam yang menutup aurat dan janganlah mereka menyia-nyiakan harta mereka untuk membeli dan menghimpun pakaian-pakaian mahal seperti ini semata-mata ingin mengikut peredaran zaman. Wallahu a'lam

843. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan bagaimana ciri-ciri lelaki soleh pilihan wanita solehah?

Jawapan :

Terdapat 10 ciri-ciri  lelaki soleh yang menjadi pilihan wanita solehah yang bakal menjadi teman hidupnya (sebagai suami) :

Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

Kedua : Mempunyai ilmu pengetahuan agama.

Ketiga : Suka berdakwah (Bekerja menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran).

Keempat : Mempunyai sifat berjuang mencapai kecemerlangan dalam hidup.

Kelima : Sentiasa membersihkan dirinya daripada sebarang kemungkaran dan bertaubat kepada Allah SWT.

Keenam : Sentiasa solat berjemaah di masjid dan selalu memperbanyakan amalan sunat.

Ketujuh : Tidak takut kepada cercaan orang yang suka mencela.

Kelapan : Mengetahui dan faham serta mengamalkan segala kewajipannya dengan baik.

Kesembilan : Bersifat lapang dada, penyantun dan pemaaf.

Kesepuluh : Jika ia berkahwin, dia dapat melayan isteri dengan baik kerana sebaik-baik suami adalah suami yang paling baik terhadap isterinya.


844. Soalan : Apakah ciri-ciri wanita solehah menjadi pilihan lelaki soleh yang bakal menjadi teman hidup (isterinya).?

Jawapan :
  
Terdapat 10 ciri-ciri  wanita solehah yang menjadi pilihan lelaki soleh yang bakal menjadi teman hidupnya (sebagai isteri) :

Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Menundukkan pandangan (ghadhdul bashar)  kepada yang bukan mahramnya, nescaya hati dan jiwa akan semakin bening dan jernih.

Allah S.W.T. berfirman maksudnya : “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya" (Surah an-Nur ayat 30-31)

Kedua : Sentiasa bersikap jujur, nescaya akan menjadi  semakin manis.

Daripada Abdullah bin Masud r.a. katanya sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Sesungguhnya kejujuran mengantarkan kepada kebaikan, dan kebaikan mengantarkan kepada syurga. Sesungguhnya seseorang biasa berlaku jujur hingga ia disebut siddiq (orang yang senantiasa jujur). Sedang dusta mengantarkan kepada perilaku menyimpang (zalim) dari perilaku menyimpang mengantarkan kepada neraka. Sesungguhnya seseorang biasa berlaku dusta hingga ia disebut pendusta besar." (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmizi).

Dalam ayat lain, Allah S.W.T. berfirman, yang maksudnya: “Jikalau mereka jujur kepada Allah, nescaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka” (Surah Muhammad ayat 21)

Ketiga : Rasa malu yang lahir daripada Iman.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu cabang dari cabang iman." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)   

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sifat malu itu akan menghasilkan kebaikan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keempat : Sentiasa beristighfar yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang di lakukan.

Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Araf ayat 23 maksudnya :" Keduanya berkata "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi". 
Sabda Nabi SAW  maksudnya : "Barangsiapa mengucapkan 'Astaghfirullahal Adzim aladzi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaihi' akan diampuni dosa-dosanya, meskipun pernah lari dari medan peperangan" (Hadis Riwayat Al Hakim)

Kelima : Sentiasa menjaga kehormatan diri dan menutup aurat.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud " Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita solehah. " (Hadis Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah S.A.W.  yang bermaksud : "Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya)." (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Firman Allah SWT maksudnya :"...Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya.." (Surah An.Nur ayat 31)

Keenam : Sentiasa bersifat tawaduk dan membina rasa ukhwah.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala maksudnya : "(Mereka) keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka..." (Surah al-Fath ayat 29)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Maukah kamu aku tunjukkan amal yang lebih besar pahalanya daripada solat dan puasa?” Sahabat menjawab, “Tentu saja!” Rasulullah  kemudian menjelaskan, “Engkau damaikan yang bertengkar, menyambungkan persaudaraan yang terputus, mempertemukan kembali saudara-saudara yang terpisah, menyambungkan berbagai kelompok dalam Islam, dan mengukuhkan ukhuwah di antara mereka, (semua itu) adalah amal soleh yang besar pahalanya. Barangsiapa yang ingin dipanjangkan usianya dan dibanyakkan rezekinya, hendaklah ia menyambungkan tali persaudaraan” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ketujuh : Mengelakkan fitnah untuk menjaga kesucian diri .

Dari Abu Malih Al- Hudzli : Kaum perempuan kota Himsh atau penduduk Syam menemui Aisyah. lalu Aisyah berkata " Kamu adalah kaum perempuan yang masuk ke kamar mandi. padahal, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Siapa saja perempuan yang meletakkan pakaiannya bukan di rumah suaminya, Allah akan membuka aibnya"
( Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Hakim )

Abu Hurairah r.a pun menyebutkan, ketika turun ayat al- Mula'anah ( tentang suami-isteri yang saling melaknat kerana tuduhan perbuatan serong ) Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : " Siapapun perempuan yang menemui suatu kaum yang bukan kerabatnya, ia akan tidak memperoleh apapun dari Allah SWT dan Dia tidak akan memasukkannya ke syurga "

Fitnah dizaman morden ini adalah berhati-hati di dalam perhubungan dengan lelaki yang bukan mahram di alam maya samaada melalui facebook atau blog atau hubungan telifon bimbit dan mengelakkan meletakkan gambar-gambar peribadi yang mungkin boleh disalah gunakan oleh mereka yang telah rosak akhlaknya.

Kelapan : Sentiasa berwuduk nescaya akan bercahaya wajahnya di hari akhirat.

Dari Umar bin Khattab r.a, dari Nabi SAW bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud : "Tidaklah salah seorang di antara kamu berwuduk, maka ia sempurnakan wuduknya kemudian berkata, 'Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya,' kecuali dibukakan baginya delapan pintu syurga, ia boleh masuk dari mana sahaja yang dikehendakinya." (Hadis Riwayat Muslim )

Kesembilan : Sentiasa menimba ilmu yang bermanfaat.

Nabi SAW  bersabda yang maksudnya, ”Barangsiapa menuntut ilmu bererti menuntut jalan ke syurga”. (Hadis Riwayat Muslim). 

Kesepuluh : Bersifat qanaah dan sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT dan bersabar dengan ujian Allah SWT.

Wanita solehah mengharapkan balasan syurga daripada Allah SWT sebagai  ganjaran paling tertinggi dan paling dikehendakinya. Maka wanita solehah akan sentiasa  belajar dan menuntut  ilmu yang bermanfaat samaada ilmu fardu ain atau fardu kifayah, kerana sesiapa yang menutut ilmu akan dinaungi dan didampingi oleh para malaikat dan mendapat rahmat daripada Allah SWT. Malah kelebihan belajar ini diperkukuh dengan hadis riwayat Ibn Abdul Barr dan Ibn Majah, Nabi SAW  bersabda maksudnya, “Belajar satu bab daripada ilmu lebih baik dari sembahyang (sunat) seratus rakaat”.


Jika seorang wanita memiliki 10 ciri-ciri mulia yang di nyatakan di atas maka jadilah mereka wanita solehah yang menjadi idaman lelaki soleh yang akan memberikan cahaya kebahagiaan di atas mahligai rumah tangga yang dibina di atas asas takwa kepaad Allah SWT.


845. Soalan : Saya ade beberapa persoalan minta ustaz tolong berikan jawapannya :

1) Adakah kita akan tetap diseksa atas dosa-dosa yang lalu walaupun kita telah bertaubat kepada Allah.?

2) Sekiranya kita pernah terambil barang orang lain disebabkan iman yang goyah kemudian berniat dan tersedar atas kesilapan dan ingin memulangkanya tetapi tidak tahu barang yang kita telah ambil kepunyaan siapa..Bagaimana cara untuk menyelesaikannya agar terlepas dari dosa lampau..

3) Adakah kita telah keluar dari islam sekiranya kita tidak puasa dan sempat memikirkan jika ditangkap akan menggunakan alasan sebgai bukan Islam..

Harap ustaz boleh memberi penerangan yang jelas tentang perkara ini.  Terima kasih

Jawapan :

1. Dosa ada dua jenis iaitu dosa iaitu :

i. Dosa dengan Allah SWT : 

Dosa dengan Allah SWT apabila kita bertaubat akan diampunkan oleh Allah SWT.


Dari Anas bin Malik ra., ia berkata : Saya mendengar Rasulullah SAW. bersabda : Allah berfirman maksudnya : “Wahai anak Adam ( manusia ), sesungguhnya selama kamu berdo’a dan mengaharap kepadaKu, Aku memberi keampunan kepadamu terhadap apa (dosa ) yang ada padamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adam seandainya dosamu sampai ke langit kemudian kamu minta ampun kepadaKu maka Aku memberi ampun kepadamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adaml, sesungguhnya apabila kamu datang kepadaKu dengan kesalahan sepenuh bumi kemudian kamu menjumpai Aku dengan tidak mensekutukan Aku dengan sesuatu niscaya Aku datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi”. (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Sabda Rasulullah SAW: “Orang yang bertaubat daripada dosa sepertilah orang yang tidak berdosa.” (Riwayat At Tabrani)

ii. Dosa sesama manusia.

Dosa dengan manusia kena selesaikan di dunia seperti maki hamun, mengumpat, memfitnah, memukul manusia, merampas hak orang, mencuri, hutang yang tak dibayar, tipu harta orang lain, ambil rasuah, mengsihir orang lain, membunuh orang dan lain-lain lagi.

Jika tidak selesai akan dibawa dimahkamah Allah di akhirat.nanti.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya  : “Seorang mukmin akan dibebaskan dari api neraka, lalu mereka diberhentikan di atas jambatan (qanthrah) antara syurga dan neraka, mereka akan saling diqisas antata satu sama lainnya atas kezaliman mereka di dunia. Setelah mereka bersih dan terbebas dari segalanya, barulah mereka diizinkan masuk syurga. Demi Zat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, seorang diantara kalian lebih mengenal tempat tinggalnya di syurga daripada tempat tinggalnya di dunia”.(Hadis Riwayat Bukhari).


Jambatan (qanthrah) disini, bukan sirat yang letaknya di atas Neraka Jahannam. Jambatan ini dibentangkan setelah orang mukmin berjaya  melewati sirat  yang berada di atas Neraka Jahannam.

 2. Jika terambil atau mencuri barang orang lain jika jumpa tuan punya yang lama kena pulangkan semula,tetapi jika tidak jumpa nilaikan harta tersebut dan gantikan dengan wang dan sedekahkan untuk amal jariah dan niatkan untuk orang yg kita ambil harta tadi. 

Rasulullah saw. bersabda, “Barang siapa telah melakukan kezaliman kepada saudaranya, baik menyangkut harga diri/kehormatan atau harta, maka pada hari ini hendaklah ia meminta dibebaskan (dihalalkan) sebelum datang hari di mana tidak berguna lagi dinar dan dirham. Apabila (orang yang berbuat zalim itu) mempunyai amal kebaikan/kesolehan, maka kesolehannya akan diambil untuk saudaranya sebesar kezalimannya kepadanya. Dan apabila ia tidak mempunyai amal kebaikan, maka dosa amal buruk saudaranya itu akan ditimpakan kepada.” (Hadis Riwayat Bukhari).

3. Jika mengaku bukan Islam ketika ditangkap oleh Pejabat Agama kerana tidak puasa maka jadi murtad .Terdapat 3 kesalahan yang telah dilakukannya :

i. Dosa tidak puasa 

ii. Dosa berbohong 

iii. Dosa murtad (ini yang paling berat- dosa paling berat dan tidak akan diampunkan oleh Allah SWT. Murtad boleh terjadi dengan hati, dengan lidah atau dengan perbuatan) Nauzubilahiminzalik.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML