Showing posts with label MAULID NABI. Show all posts
Showing posts with label MAULID NABI. Show all posts

Tuesday, December 30, 2014

HIKMAH DI SEBALIK SAMBUTAN MAULIDUR RASUL




Maulidur Rasul berasal dari perkataan Arab (kelahiran Rasul) di mana ia merupakan hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada Isnin (Dari hadith riwayat Muslim) bertarikh 12 RABIUL AWAL TAHUN GAJAH bersamaan dengan 23 APRIL 571 MASIHI. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala (S.W.T). Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulidur Rasul atau Maulid Harta.

Kini sambutan Maulidur Rasul telah memasuki tahun 1436 HIJRAH pada 3 JANUARI 2015 MASIHI. Lazimnya pada setiap tahun umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad S.A.W dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam (S.A.W), kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal soleh.

Tokoh dan Teladan Agung Sepanjang Zaman



Apabila ditanya siapakah yang disifatkan sebagai tokoh agung yang berpengaruh dalam sejarah peradaban manusia, rata-rata akan memberi jawapan yang bersifat pelbagai berdasarkan kriteria-kriteria yang telah mereka susun dan merasakan sesuai untuk dipenuhi oleh calon yang dinobatkan dengan gelaran sedemikian. Sesetengah bagi kita memilih golongan pemimpin politik atau ketua negara, atau mungkin seorang saintis dan mungkin juga sasterawan malah artis sebagai tokoh yang layak diberikan gelaran sedemikian.

Rasul dan kekasih pilihan Allah S.W.T
Bagi seorang Muslim, tidak dapat kita tolak kenyataan bahawa tiada tokoh yang paling berpengaruh dalam sejarah perkembangan manusia dulu, kini dan masa hadapan melainkan seorang yang bernama Muhammad bin Abdullah, seorang Rasul dan kekasih pilihan Allah S.W.T. Atas dasar cinta yang mendalam oleh kaum Muslimin, hikmah dan rahsia kelahiran baginda di bumi Mekah terus digali dan diselidiki bukan kerana rasa sangsi atas keperibadian agung ini tetapi atas rasa ingin mendekatkan diri kepada kebenaran.



 



Makam Nabi Muhammad S.A.W di dalam Masjid an-Nabawi, Madinah
Hakikatnya, jawapan sebenar terpilihnya Rasullullah sebagai pembimbing umat manusia adalah rahsia milik Allah (Surah Hud : Ayat 123). Para ulama dan pengkaji fiqh sirah telah mengkaji hikmah di sebalik kelahiran Rasulullah yang menjadi kejutan kepada golongan Yahudi yang selama ini menganggap kehadiran para Nabi hanya di kalangan kaum mereka sahaja. Mekah mempunyai keunikannya tersendiri. Meskipun didiami oleh kelompok-kelompok bangsa Arab yang hidup secara kabilah dan mengamalkan konsep assabiyah, namun di sebalik kehidupan gelap Jahiliyah, masih ada nilai-nilai murni yang terus dipegang erat sebagai tradisi kehidupan.

 
Hikmah Maulidur Rasul
Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada mereka yang mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul

Terdapat segelintir umat Islam yang keliru apabila kita bertanyakan apakah kaitannya Maulidur Rasul dengan ajaran Islam. Ada yang memberikan pandangan sinis yang menggambarkan seolah-olah ialah satu perayaan keagamaan dan perarakan di kawasan sekitar masjid atau di stadium. Malah yang lebih menyedihkan, ada yang berpendapat ianya sekadar hari untuk mendengar syarahan agama atau majlis perjumpaan sesama umat Islam. Namun begitu, ada juga di kalangan cerdik pandai Islam berfahaman WAHABI bertegas untuk melarang umat Islam mengadakan perayaan pada hari Maulidur Rasul dan hari Israk Mikraj. Semua ini dianggap oleh puak Wahabi sebagai BIDAAH dan perlu dihapus kerana tidak pernah diamalkan oleh nabi sendiri.  Inikah JIWA dan IMAN seorang umat Islam?

Jesteru itu, marilah kita sama-sama berlapang DADA dan membuka MINDA untuk menghayati apakah hikmah yang tersirat dan tersurat dalam kita merayakan sambutan Maulidur Rasul. Di antara hikmahnya ialah :

1.   Nilai-Nilai Murni

    Keunikan bangsa Arab dapat dilihat daripada sikap mereka yang amat menyanjungi karya-karya sastera khususnya syair-syair. Daya ingatan mereka yang kuat dalam menghafal syair-syair Arab serta mengingati susur galur keturunan dalam kabilah adalah kelebihan yang dimiliki. Tambahan lagi keberanian mereka telah terbukti melalui persengketaan antara kabilah sehingga membawa kepada peperangan dan pertumpahan darah.

    Sehinggalah kehadiran Rasulullah S.A.W dengan risalah Islam, nilai-nilai keberanian serta kekuatan mengingat ini diangkat menjadi salah satu sifat yang mulia dan dibersihkan daripada kekotoran kepada kemurnian dan kesucian jiwa. Jiwa-jiwa mereka telah disatukan malah gambaran kehidupan jahiliyah turut dikhabarkan oleh Allah S.W.T dengan firmanNya.
    “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga).”
(Surah Ali-Imran : Ayat 103)

    Demikianlah Allah S.W.T menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya. Maka lahirlah golongan huffaz yakni penghafaz-penghafaz al-Quran di kalangan mereka dan mereka adalah golongan yang diamanahkan untuk memelihara kesucian dan keharmonian kitab Allah S.W.T seperti mana para sahabatnya. Rasulullah S.A.W bersabda:
    “Orang-orang yang mulia di kalangan umatku ialah penghafaz al-Quran. “
 (Riwayat al-Tirmizi)

    Keberanian mereka disalurkan kepada jalan yang lebih baik iaitu dengan tertegaknya konsep jihad, iaitu mencurahkan daya dan tenaga kekuatan dalam usaha mencapai suatu matlamat atau cita-cita mulia dan ideal, iaitu matlamat dan cita-cita Islam serta mendapat keampunan Allah S.W.T, keredaan dan rahmat-Nya dengan mencakupi suatu usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai satu-satu tujuan yang diingini atau mempertahankan sesuatu yang tidak diingini dengan pelbagai cara sama ada alat, ilmu pengetahuan dan sebagainya.

    Jika dahulu mereka berperang kerana ingin mempertahankan kabilah, sebaliknya konsep peperangan yang dididik oleh baginda telah diikuti oleh mereka untuk mempertahankan ajaran Islam daripada dicerobohi serta memastikan keamanan dan keadilan ditegakkan. Sejarah Islam mencatatkan ketika peperangan Yamamah. Tentera-tentera Islam yang ikut serta dalam peperangan ini, kebanyakan terdiri daripada para sahabat dan para panghafal al-Quran. Dalam peperangan ini telah gugur 70 orang penghafal al-Quran.

    Bahkan sebelum itu gugur hampir sebanyak itu juga penghafal al-Quran di mana Nabi pada suatu pertempuran di Bir Maunah berhampiran kota Madinah. Ini membuktikan kejayaan Rasulullah mengalihkan pandangan dan jiwa mereka kepada mempertahankan sesuatu yang hak dan menolak kebatilan. Malah, bangsa yang dahulunya tidak mendapat tempat dalam usaha peluasan empayar Persia dan Rom memberi kejutan yang besar dan menggugat golongan raja-raja dan pemerintah yang zalim terhadap rakyatnya ketika itu. Ini diakui oleh Maharaja Heracilus apabila menerima sepucuk surat dari Rasulullah agar beliau adil terhadap rakyat dan menerima Islam sebagai cara hidupnya

2.   Kesucian Bumi Mekah

    Kelahiran Rasulullah di bumi Mekah adalah satu nikmat dan rahmat Allah s.w.t. dalam menyucikan Kaabah daripada amalan penyembahan berhala. Kaabah yang terletak di tengah-tengah garis bumi seolah-olah seperti sebatang lilin yang diletakkan di tengah-tengah bilik dan cahayanya menerangi segenap penjuru bilik tersebut. Perpaduan begitulah diibaratkan kepada Rasulullah S.A.W, baginda adalah cahaya kebenaran yang menerangi segenap penjuru alam ini dengan kebenaran Islam melalui bimbingan al-Quran dan sunah dan meletakkan Kaabah kembali sebagai titik perpaduan umat untuk menyembah Allah yang satu.

3.   Nabi Akhir Zaman

    Allah S.W.T telah mengkhabarkan kepada para Nabi sebelumnya tentang kehadiran Nabi terakhir yang akan membawa mesej Islam kembali untuk umat akhir zaman. Nabi Musa dan Nabi Isa A.S adalah di antara nabi-nabi ulul azmi yang telah diberikan pengkhabaran tersebut. Perkara ini telah dijelaskan di dalam al-Quran:
    “Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Mariam berkata: “Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu kitab Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama: Ahmad.” Maka ketika dia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata!”
(Surah as-Saff : Ayat 6)

4.   Doa Nabi Ibrahim A.S

    Hikmah dan rahsia di sebalik kelahiran Rasulullah di bumi Mekah juga adalah kerana makbulnya doa Nabi Ibrahim A.S yang memohon agar keturunannya turut diberikan kepada mereka golongan nabi dan rasul. Permintaan ini telah dipenuhi-Nya dengan kelahiran nabi dari keturunan Ismail A.S.
    “Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: (Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan). Allah berfirman: (Permohonanmu diterima, tetapi) janji-Ku ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”
(Surah al-Baqarah : Ayat 124)

Kesimpulan

Nabi Muhammad S.A.W telah disenaraikan sebagai tokoh paling berpengaruh dalam dunia di dalam buku "The Hundred"

Kelahiran dan kewafatan Rasulullah telah memberi kesan yang sangat besar ke atas perkembangan Islam. Baik Muslim dan bukan Islam turut mengakui ketokohan baginda dalam membimbing kehidupan manusia sebagaimana disebutkan oleh tokoh Barat Micheal H. Hart di dalam bukunya, “The Hundred” di mana Nabi Muhammad S.A.W disenaraikan di tempat PERTAMA tokoh yang paling berpengaruh di dunia seperti catatan berikut: 

    “Pemilihan Muhammad sebagai tokoh yang paling berpengaruh di dunia mungkin akan mengejutkan para pembaca dan turut akan dipersoalkan, tetapi hanya beliau individu paling berpengaruh di dalam sejarah di kedua-dua bidang keagamaan dan duniawi. Kini selepas empat belas kurun, pengaruhnya masih dapat dirasai. “

    (The Hundred, New York: Hart Publishing Company, Inc., 1978, halaman 33.)

Malah pengkritik Islam, George Bernand Shaw mengatakan: “Saya telah mengkaji beliau, seorang tokoh yang hebat. Jauh sekali untuk mengatakan beliau seorang anti-Christ tetapi layak dipanggil penyelamat kemanusiaan (The Genuine of Islam). Sudah masa untuk kita berfikir sejenak, siapakah individu unggul sebagai ikutan dan contoh kehidupan. Beliau dikagumi oleh lawan dan dicintai oleh para sahabat. Kelahiran Rasulullah di bulan Rabiul Awal adalah MESEJ yang perlu diingati tidak sekadar sebagai bahan sejarah tetapi menjadi ikutan buat setiap insan.
    “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”
Senarai nama tokoh-tokoh berpengaruh di dunia
(Surah al-Qalam : Ayat 4)

Berpandukan kepada pengiktirafan di atas terhadap Nabi Muhammad S.A.W berkaitan personaliti dan cara hidupnya maka apa salahnya kita sebagai umat Islam turut sama berbangga dan menjadikan beliau sebagai IDOLA kita di sepanjang waktu dan ketika. SEBARKANLAH maklumat ini untuk dikongsikan bersama demi menyemarakkan lagi kasih KASIH dan SAYANG terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Read More

PENGERTIAN MAULIDUR RASUL



Maulidur Rasul ialah majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang kebiasaannya disambut pada setiap 12 Rabiulawal dengan mengadakan berbagai acara sambutan seperti perarakan, ceramah dan berselawat bagi memuliakan junjungan besar umat Islam dan sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.





Allah SWT berfirman: 
“Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk mendatangkan kerahmatan kepada seluruh alam.”   
(Surah al-Anbia, ayat 107).

Imam Syafie Rahimahullah berkata: 
“Sesiapa mengumpulkan orang Islam untuk menyambut Maulid Nabi Muhammad SAW dengan membaca maulid dan mengadakan syarahan berkenaannya serta menyediakan makanan bagi mereka dan membuat lain-lain kebajikan, nescaya Allah akan membangkitkan mereka pada hari akhirat bersama dengan wali, orang mati syahid dan orang soleh, dan ia akan berada di dalam syurga yang penuh dengan nikmat.”


TUJUAN SAMBUTAN

1.    Memantapkan keyakinan terhadap Rasulullah SAW.

2.    Meningkatkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

3.    Baginda adalah contoh ikutan dalam semua aspek kehidupan.

4.    Menghayati sunnah Nabi Muhammad SAW dalam:
  •         Beribadah dan mentaati Allah SWT.
  •         Ketinggian akhlak dan budi pekertinya.
  •         Kesungguhan dan tetap pendirian ketika berdakwah.
  •         Teguh dan tetap dalam memperjuangkan Islam dan syariatnya.
  •         Cinta dan kasih sayangnya terhadap sahabat dan umatnya.


Allah SWT berfirman: 
“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan Allah) dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia juga menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya (dalam masa susah dan senang)”   
(Surah al-Ahzab, ayat 21).

AMALAN SUNAT MAULID NABI

Daripada membiarkan hari berlalu begitu sahaja, adalah lebh baik kita melakukan;

1.    Puasa sunat

2.    Mandi sunat

3.    Berziarah ke makam Rasulullah SAW.

4.    Mengerjakan amalan-amalan mulia.

5.    Memperdengar dan menghayati sirah Rasulullah SAW.

6.    Memperbanyakkan tasbih, tahmid dan selawat.

7.   Mengadakan sambutan Maulidur Rasul dengan acara-acara seperti:
  •         Perarakan sambil berselawat dan menghayati perjuangan Rasulullah SAW
  •         Syarahan sirah Nabi
  •         Forum agama dan perpaduan
  •         Marhaban
  •         Jamuan di peringkat kampung sehinggalah ke peringkat kebangsaan.

FADILAT MAULIDUR RASUL

Banyak kelebihan dan keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka yang mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

1.  Berniat hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal salih.

2. Keberkatan mengadakan Majlis Maulud akan diperolehi oleh orang yang mengadakan majlis dan seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu.

3.  Orang Islam yang dibacakan di dalam rumahnya Maulid Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, nescaya Allah Subhanahu Wataala akan:
  •         Menghindarkan kekeringan dan kemarau.
  •         Menghilangkan kecelakaan, bala dan penderitaan,
  •         Menjauhkan kebencian, hasad, kejahatan dan kecurian.
  •         Memudahkan menjawab soalan-soalan Mungkar dan Nakir apabila mati kelak.
  •         Ditempatkan bersama orang-orang yang benar di sisi Allah Subhanahu Wataala.

4.  Rumah atau masjid atau tempat-tempat yang dibaca di dalamnya Maulid Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam akan:
  •         Allah SWT akan melimpahkan rahmat-Nya kepada mereka.
  •         Malaikat-malaikat melindungi ahli-ahli tempat itu.
  •         Malaikat-malaikat yang berpangkat besar seperti Jibril, Mikail, Israfil mendoakan kebaikan bagi orang-orang yang berusaha mengadakan majlis Maulid Nabi SAW itu.

5.  Kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

6.  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: 
“Sesiapa yang membesarkan hari keputeraanku nescaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan sesiapa membelanjakan untuk majlisku seumpama ia membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah.”

7.  Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq Radiallahuanhu berkata: 
“Sesiapa membesarkan Maulud Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, maka sesungguhnya ia akan menjadi temanku di dalam syurga.”

8.  Begitu juga As-Sirri As Saqati berkata: 
“Sesiapa pergi ke tempat yang ada dibaca di situ Maulud Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sesungguhnya dia diberi satu kebun daripada kebun-kebun syurga kerana dia pergi ke tempat itu tidak lain kerana cinta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.”

 .
Read More

Sunday, December 28, 2014

MENGAPA TARIKH KELAHIRAN RASULULLAH BEGITU AGUNG?



Kelahiran Rasulullah SAW merupakan satu peristiwa sejarah yang paling besar dan paling agung yang pernah berlaku di dunia ini. Tiada sejarah yang lebih besar, penting dan agung selainnya, sama ada sebelum atau sesudahnya. Ia adalah sejarah yang telah merubah watak dan peradaban manusia. 

Justeru itu, sejarah Rasulullah SAW adalah satu peristiwa yang luar biasa, mengandungi rahsia-rahsia dan perkara yang tersirat pada setiap yang ada hubungkait dengannya walau satu titik, lebih-lebih lagi satu huruf dan satu perkataan. Padanya terkandung rahsia Tuhan yang patut kita kaji dan serlahkan. Mari kita cungkil rahsia dan hikmah di sebalik tarikh kelahiran baginda iaitu: Sebelum Fajar, Isnin, l2 Rabi’ul Awwal, Tahun Gajah.” 

Kedatangan Rasulullah SAW membawa rahmat. Sebelum fajar bererti kegelapan sudah akan berakhir dan cahaya adalah umpama rahmat Allah yang akan menjelma. 

Isnin dari bahasa Arab bererti dua. Di saat kelahiran baginda, akidah manusia sudah rosak kerana sudah lama ketiadaan Nabi dan Rasul. Hanya dua yang mengenal Tuhan; Zat Tuhan itu sendiri dan baginda Rasulullah SAW. Itulah isyarat dari Tuhan di sebalik kelahirannya pada hari Isnin. 

Justeru, keIslaman seseorang hanya sah apabila dia mengakui dan menyebut kedua-duanya. 

Jika dirujuk pada malam, ia adalah kemuncak kegelapan. Ertinya waktu kelahiran baginda, segala perkara negatif berada di tahap puncaknya. 

Jika dirujuk pada siang, ia adalah seterang-terang cahaya matahari. Ertinya kedatangan baginda membawa rahmatdari Tuhan untuk segala alam, bukan hanya untuk manusia, bahkan binatang, kayu kayan, batu batan dan seluruh ciptaanNya. Berkat cahaya rahmat itu, seluruh makhluk mendapat pembelaan dan tidak boleh diperlakukan sesuka hati. 

Jika dirujuk pada bulan, ia adalah kemuncak bulan dalam setahun. Ertinya baginda adalah penutup dan kemuncak para Rasul. Rasul terdahulu didatangkan untuk sesuatu kelompok dan zaman sedangkan Rasulullah SAW didatangkan untuksemua etnik, berlanjutan hingga berzaman. 

Jika dirujuk pada bintang, ada bintang 12 yang mana ia adalah bintang yang paling terang di antara beribu bintang yang ada. Ertinya kelahiran Rasulullah SAW membawa syariat yang lengkap, petunjuk dan rahmat yang lengkap dari dunia hingga akhirat. Ajaran yang dibawanya paling sempurna berbanding ajaran Rasul-Rasul sebelumnya. 

Rabi’ dari bahasa Arab bererti musim bunga. Kedatangan baginda menjadi contoh akhlak yang mulia dan akhlak yang agung adalah umpama bunga yang cantik dan indah di awal musim bunga. 

Ia dikaitkan dengan Abrahah dan tentera bergajahnya dari Yaman. Sewaktu dia menyerang Ka’bah, dia telah merampas harta benda termasuk kambing-kambing bapa saudara baginda, Abu Thalib dan datuknya Abdul Muthalib. Akhirnya Abdul Muthalib keluar lalu bersemuka dengan Abrahah. Beliau meminta supaya dipulangkan semula kambingnya kerana ia adalah miliknya. Manakala tentang Kaabah, beliau berkata terpulanglah kepada Abrahah kerana Ka’bah itu bukan miliknya tetapi milik Allah. Jadi, di sini, terbuka rahsia bahawa keluarga Rasulullah saw masih beragama dengan agama Nabi Ibrahim. Ertinya keturunan baginda terpelihara, bersih dan dijaga oleh Allah.

 MENCINTAI NABI MUHAMMAD S.A.W



Kita hidup di dunia ini tidaklah lama. Kalau dipanjangkan umur oleh Allah SWT… tak ada sakit, tidak kemalangan… insyaallah kita akan hidup 70 atau 80 tahun. Itulah lebih kurang purata umur manusia hari ini. Biasanya jangka hayat lelaki lebih kurang 70 tahun, dan wanita 80 tahun. Dan… kita akan hidup di akhirat dalam jangkamasa yang sangat lama, kekal, selama-lamanya, bertrillion-trillion tahun. 

Oleh itu, kita mestilah bijak membuat pelaburan dalam menyediakan perbekalan untuk hidup di dunia dan di akhirat. Oleh kerana kita tahu yang kita akan hidup 70 atau 80 tahun di dunia ini, maka kita cari dan sediakanlah bekalan untuk kita makan, pakai dan tinggal di dunia ini untuk jangkamasa 70-80 tahun. Dan… kita cari dan sediakanlah bekalan untuk kita makan, pakai dan tinggal di akhirat sepadan dengan kekalnya kita di sana- iaitu bertrillion trillion tahun. 

Sebagai tamsilannya bolehlah kita andaikan yang kita dan keluarga hendak pergi melancong ke Pulau Langkawi dan ke Timur Tengah- negara-negara Arab. Untuk melancong ke Langkawi dalam jangkamasa 3 hari 2 malam, untuk menjadikan sesi melancong kita selesa maka kita memerlukan bekalan sekitar RM 1500 untuk sebuah keluarga kecil. Untuk melancong ke Timur Tengah selama 8 hari 7 malam pula, kita memerlukan bekalan berupa wang ringgit lebih kurang RM 20,000. 

Jadi,…antara persiapan dan perbekalan untuk ke Langkawi dengan ke Timur Tengah, yang manakah kita kena usahakan lebih banyak? Sudah tentulah persiapan dan perbekalan ke Timur Tengah. Begitu jugalah bandingan persiapan kita untuk hidup di dunia dengan persiapan kita untuk hidup di akhirat. 

“Sediakanlah bekalan untuk hidup di dunia sepadan dengan usia kita iaitu antara 70-80 tahun. Dan… sediakanlah bekalan kita untuk hidup di akhirat sepadan dengan kekalnya kita di sana- iaitu selama-lamanya.” 

Namun lihatlah realiti manusia hari ini. Ada orang yang bekerja mencari keselesaan untuk hidup di dunia ini 8 jam sehari, 10 jam sehari malah ada yang 12 jam sehari. Ini tidak salah, malah memang digalakkan. *****a kita berasa sedih kerana melihat perbekalan manusia untuk hidup selesa di akhirat cukup dengan solat 5 waktu sahaja- kalau dicampur-campur maka masanya tak sampai sejam pun sehari. Manusia rasa cukuplah itu sebagai perbekalan untuk makan sedap, pakai pakaian yang selesa dan tinggal di rumah yang mewah.. di akhirat kelak. Betulkah begitu? 

Yang kita usahakan 8 jam, 10 jam malah 12 jam sehari untuk mendapatkan bekalan makan, pakai dan tinggal di dunia ini pun tak pernah mencukupi kehendak kita. Maka bagaimana pula bekalan yang kita usahakan hanya sejam sehari kita yakin boleh mencukupi keperluan kita untuk makan, pakai dan duduk di akhirat kelak? fikir-fikirkanlah. 

Oleh kerana kita sudah faham yang hidup kita di dunia ini tidak lama, boleh berakhir pada bila-bila masa… maka gunakanlah masa yang ada sebaik-baiknya untuk menyediakan perbekalan-perbekalan untuk hidup di dunia dan hidup di akhirat mengikut pertimbangan yang sesuai dengan tempoh masanya. 

Tidak lama lagi kita akan menyambut Maulidurrasul. Imam asy-Syahid Hassan al-Banna sendiri dulu turut menyertai sambutan Maulidur Rasul yang diadakan pada zamannya dan beliau turut sama melagukan nasyid-nasyid berkaitan. Pelbagai aktiviti dan pengisian menarik diadakan, yang boleh kita contohi. 

Salah satu sebab kita turut memeriahkan sambutan ini ialah kerana kita melihat adanya ruang-ruang untuk dakwah di dalamnya. Namun kita faham, sambutan Maulidurrasul ini bukanlah perkara wajib atau tuntutan. 

Kita ini umat akhir zaman yang tidak pernah melihat Nabi, para sahabat Nabi dan para solehin terdahulu. Iman dan kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW hanya senipis kulit bawang, tidak sepadan dengan kecintaan para sahabat kepada Nabi. Para sahabat melihat sendiri Nabi membuatkan kecintaan mereka kepada baginda sangatlah tinggi. Mereka tidak perlu program-program seperti Maulidurrasul untuk meningkatkan kecintaaan mereka kepada baginda. Tetapi program-program seperti ini memang sangat baik untuk kita yang tidak sempat melihat baginda, dengan kecintaan kita kepadanya yang senipis kulit bawang ini. Tapi syaratnya, program-program itu mestilah yang selaras dengan kehendak agama. 

Sesungguhnya mencintai Nabi Muhammad itu wajib, Ini dapat kita fahami daripada hadith-hadith baginda sebagaimana di bawah: 

“Tidak beriman seorang daripada kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada yang lain-lain.” 
(Bukhari & Muslim) 

“Tidak beriman seorang hamba sebelum aku (Rasulullah) lebih dicintainya daripada isterinya, hartanya dan seluruh umat manusia.” 
(Bukhari & Muslim) 

“Cintailah aku (Rasulullah), kerana Allah mencintai aku.” 
(Turmizi) 

Abu Razin al-Uqaili bertanya: 
“Ya Rasulullah, apakah iman itu?” Jawab baginda: “(Iman itu ialah) Allah dan Rasul-Nya lebih kamu cintai daripada yang lain-lain.” 
(Ahmad) 

Apakah “cinta”? Secara mudahnya cinta ialah “selalu teringat-ingat, selalu dicakap-cakap”. Apa benda yang banyak kita ingat dan banyak kita cakapkan, maka itulah benda yang kita cinta. Contohnya seorang yang minat memancing, malah sampai ke tahap gila memancing. Pasti dalam fikirannya selalu teringat-ingat tentang hal ehwal memancing. Dia juga berasa suka untuk berbicara tentang pancing-memancing dengan orang-orang yang ditemuinya. Jadi, jika benar kita ini mengaku mencintai Allah dan Nabi, sudah tentulah kita selalu teringat-ingat dan suka berbicara tentang Allah dan Nabi- ringkasnya hal ehwal berkaitan agama. 

Benarkah kita mencintai Nabi? Bagaimana cara untuk melahirkan kecintaan kepada baginda? Apa buktinya kita cinta akan dia? 

Antaranya kita mestilah mencintai: 

1. Al Quran 
2. Hukum-hukum yang dibawa olehnya 
3. Sunnah-sunnahnya 
4. Para ulama iaitu pewaris-pewarisnya 
5. Bahasa Arab- bahasa pertuturannya 
6. Jihad- jalan yang dirintisnya 

Banyak lagi, *****a pada hari ini cukuplah sekadar ini yang kita tampilkan sesuai dengan masa yang kita ada. 

*Tazkirah ini disampaikan secara lisan, kemudiannya baru dipindahkan dalam bentuk tulisan. Gaya penyampaiannya diubahsuai sedikit untuk memudahkan pemahaman pembaca.
Read More

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML