Thursday, March 13, 2014

PEMAAF

Sifat Orang Mukmin Mudah Memaafkan Kesalahan Orang Lain

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Manusia biasa sering melakukan kesilapan dan kesalahan.  Sebaik-baik orang yang bersalah adalah perlu meminta maaf. Jika seseorang yang bukan Islam terkeluar perkataan yang menyinggung perasaan umat Islam, dan dia sedar perkataannya itu mendatangkan kemarahan umat Islam dan dia secara suka rela meminta maaf dan menyesal di atas keterlanjurannya maka kita sepatutnya memaafkannya. Sifat pemaaf adalah akhlak muslim yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita semua. 

Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah sebaik-baik contoh ikutan bagi seluruh umat manusia. Antara contoh keperibadian yang tinggi yang wujud dalam diri Rasulullah SAW adalah sikap pemaaf baginda. Ini dapat kita perhatikan dalam banyak peristiwa yang dialami baginda melalui banyak riwayat yang menceritakan kemuliaan akhlak baginda dengan memaafkan orang kafir yang menyakiti baginda hingga menyebabkan mereka masuk Islam.

Dalam sirah Rasulullah SAW, baginda sering disakiti oleh wanita Yahudi di Madinah, bukan sahaja dimaki hamun malahan di letakkan duri di jalan yang baginda lalui dan juga di lemparkan najis kepada baginda SAW tetapi baginda tetap bersabar dan tidak membalas kejahatan wanita tersebut dengan kejahatan. Apabila wanita tersebut tidak kelihatan baginda pergi menziarahinya dan di dapati wanita tersebut sedang sakit. Bila melihat kehadiran Nabi SAW melawat kerumahnya wanita tersebut terkejut dan kagum kerana betapa tingginya akhlak baginda memuliakannya walaupun beliau sering mengganggu baginda, akhirnya wanita tersebut masuk Islam.

Salah satu sifat mahmudah adalah sifat pemaaf dan lawan daripada sifat ini adalah sifat pemarah dan pendendam. Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat itu yang juga disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah SWT.

Jika umat Islam mengikuti akhlak Rasulullah SAW dan mudah memaafkan kesalahan orang lain ini adalah akhlak terpuji yang boleh menjadi daya tarikan dakwah kepada orang bukan Islam untuk mendekati Islam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran ayat 132).

Orang yang mulia adalah orang yang suka memafkan. Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Abu Hurairah ra, bahwasannya Rasulullah SAW bersabda: Musa bin Imran a.s, berkata: "Wahai Tuhanku diantara hamba-hamba-Mu, siapakah orang yang paling mulia dalam pandangan-Mu ? "Allah Azza Wajalla menjawab, “ Orang yang memaafkan walaupun ia mampu membalas. “ ( Hadis Riwayat Baihaqi )

 Jika umat Islam sukar memaafkan kesilapan orang yang bukan Islam dan mengatakan "tiada maaf bagimu" ini akan memberi kesan negatif kepada agama Islam sendiri dan mereka (orang bukan Islam) akan salah tafsir dengan beranggapan bahawa agama Islam adalah agama yang keras dan tidak ada tolak ansur dan timbang rasa. Mereka juga akan beranggapan bahawa umat Islam adalah satu umat yang  sombong, ego, dan tidak ada toleransi.

Memang benar kita akan bertegas kepada sesiapa sahaja dikalangan orang yang bukan Islam yang cuba menghina Islam atau Nabi Muhammad SAW tetapi kita akan memaafkan jika mereka sedar akan kesalahan diri mereka sendiri dan meminta maaf, sepatutnya kita memaafkan dan memberi amaran supaya jangan mengulangi kesalahan tersebut pada masa akan datang.

Kenapa kita sukar memaafkan kesalahan orang lain sedangkan kita juga sering melakukan kesalahan dan kesilapan. Adakah kita suka jika kita melakukan kesalahan orang tersebut tidak mahu memaafkan kesalahan kita sedangkan kita sudah memohon maaf? Pasti kita tidak suka kerana jiwa kita akan merasa bersalah jika orang tersebut masih tidak memaafkannya.

Sahabat yang dimuliakan,
Iman dan takwa menjadi pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan pula mengambil tempat mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa menggunakan kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul sifat haiwaniah dalam diri manusia.

Memang tepat sifat pemaaf itu bukanlah satu perbuatan mudah dilakukan. Firman Allah yang bermaksud: “Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya termasuk pekerjaan yang berat ditanggung.” (Surah asy-Syura ayat 43).

Sifat pemaaf memang sukar dilakukan memandangkan manusia sentiasa dikuasai fikiran logik untuk bertindak atas sesuatu perkara sehingga membunuh nilai moral sebenar.

Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesai masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar. Ketika itu jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan sehingga melakukan pergaduhan.

Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari).

Sahabat yang dihormati,,
Orang yang bertakwa adalah mereka yang mengerjakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya. Allah SWT mengkategorikan mereka yang pemaaf termasuk dalam golongan muttaqin (orang bertakwa). Allah SWT mengampunkan mereka yang pemaaf serta menempatkan mereka di syurga.

Sikap pemaaf adalah akhlak yang mulia dan dituntut syarak. Memaafkan orang adalah akhlak mulia dan tergolong dalam amalan yang amat digalakkan. Tentu sekali bagi mereka yang dikasihi Allah SWT akan mudah mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.

Bagi orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.

Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita tanamkan pada hati dan jiwa kita sifat pemaaf, kerana sifat pemaaf adalah sifat ahli-ahli syurga sedang sifat pemarah dan pendendam adalah sifat ahli-ahli neraka. Dari sifat pemarah dan pendendam akan melahirkan sifat hasad dengki, irihati , sombong, bongkak dan takbur. Bawalah akhlak Islam di mana sahaja kita berada, supaya tindakkan kita tidak mencemarkan kesucian dan kemuliaan akhlak Islam. Umat Islam bukannya umat yang bengis, kasar dan pendendam.

Jika sifat memaafkan diamalkan, insya Allah, kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah SWT terlebih awal memberi keampunan dengan rahmat-Nya samaada ketika kita hidup di dunia maupun kehidupan di hari akhirat. Allah SWT akan memaafkan kesalahan dan dosa kita di akhirat nanti jika di dunia kita sentiasa memaafkan kesalahan orang lain.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML