Saturday, March 8, 2014

KISAH IMAM AL-GHAZALI

Kisah dan Perjuangan Hidup Imam al-Ghazali

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Imam al-Ghazali, nama lengkapnya adalah Abu Hamid Muhammad Ibnu Muhammad al-Ghazali, digelar Hujjatul Islam kerana jasanya yang besar didalam menjaga kesucian Islam dari pengaruh ajaran bidaah dan aliran rasionaliame Yunani. Beliau lahir pada tahun 450 H/1058 M di Ghazzalah yang terletak di pinggir Bandar Tus dalam wilayah Khurasan
di Parsi/Iran.

Ilmu pengetahuan Imam al-Ghazali dalam bidang fiqh, usuluddin dan falsafah begitu dikagumi oleh Sultan Nizam al-Mulk sehingga beliau dilantik sebagai professor usuluddin di Universiti Nizamiyah (diasaskan pada tahun 458 -460 H/1065 - 1067 M) di Baghdad pada tahun 484 H/1091 M, sewaktu berusia 34 tahun.

Namun ketinggian kedudukan dan tahap penguasaan ilmunya tidak mampu melepaskan jiwanya dari cengkaman  rasa kekosongan  sehingga niat untuk mencari kebenaran dan kebahagiaan hakiki tidak pernah lekang darinya.

Saat beliau membaca khutbah Saiyyidina Ali Karamullah wajhah, "Hidup ini seperti bayang-bayang, janganlah kamu selalu terperangkap dengan kehidupan yang sifatnya seperti bayang-bayang ini dan ingatlah tentang kebahagiaan yang sebenarnya, itulah yang penting dalam hidup ini." Tulisan itu membuatkan gejolak jiwanya untuk mencari makna hakikat hidup tidak lagi dapat ditahan-tahan. Beliau melepaskan jawatannya sebagai professor lalu meninggalkan kota Baghdad pada bulan Zulkaedah 488 H/November 1095 M.

Beliau bermusafir dan beruzlah, beriadah dan bermujahadah menurut amalan tradisi para ulama sufi demi mencapai kesejahteraan fikiran dan keselamatan jiwanya. harta miliknya disedekahkan dan sebahagiannya diamanahkan untuk perbelanjaan keluarganya. Beliau menuju Syria dan beruzalah di salah sebuah daripada menara-menara Masjid Umayyah di Damsyik selama dua tahun, kemudian beliau ke Jerusalem beruzlah di Masjid Umar dan Qubbat al-Sakhr (The Dome of the Rock).

Selepas daripada melawat makam Nabi Ibrahim di Hebron, Imam Ghazali menunaikan haji di Makkah dan berziarah ke makam Rasulullah S.A.W. di Madinah. Itu diikuti dengan amalan beruzlah di tempat-tempat yang mulia dan masjid-masjid serta mengembara di padang-padang pasir. Setelah bermusafir selama sebelas tahun, beliau kembali ke kota kelahirannya Tus pada tahun 499 H/1105 M.

Perjalanan hidup Imam al-Ghazali sering dihinggap tohmahan, fitnah dan disalah tafsir oleh segeintir umat Islam sendiri. Kononnya, beliaulah punca umat Islam terperosok dan kejumudan tasawwuf, bersikap anti falsafah dan anti pemikiran saintifik. Hal ini berlaku kerana Imam al-Ghazali berjaya mendedahkan kesilapan-kesilapan beberapa tokoh besar falsafah Islam yang begitu dipengaruhi oleh filsafat Yunani. Beliau juga difitnah meninggalkan urusan masyarakat Islam semasa beruzlah, malah tidak menulis apa pun tentang peperangan Salib yang berlaku pada zamannya itu. Disebalik semua itu, Imam al-Ghazali kembali kepada masyarakat, mengajar ilmu dan akhlak dengan penekanan terhadap mencari kebenaran dan kebahagiaan abadi.

Namun sejarah menjadi hakim yang adil, Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang berjaya menakluk Jerusalem pada tahun 1148 M dididik secara langsung oleh Syeikh Abdul Kadir Jailani yang merupakan anak murid kepada Imam al-Ghazali dan penasihat Sultan yang juga merupakan anak murid Imam al-Ghazali. Persiapan akliah dan rohaniah ini telah ditanam selama empat puluh tahun lebih awal melalui kurikulum pendidikan Imam al-Ghazali.

Maka apabila Salahuddin al-Ayyubi menyerukan kesatuan dan perpaduan, umat Islam tanpa bertangguh bersedia menyahut seruannya sekali pun berbeda aliran dan mazhab. Jelas terlihat betapa kejayaan fizikal, material dan ekonomi bersifat sementara tetapi kejayaan yang dicetuskan oleh para anbiya dan ulama pewaris nabi, bersifat selamat dan kekal abadi.

Walaupun umat barangkali berada dalam keadaan miskin, kalah, berpecah belah dan minoriti tetapi masih mampu mempertahankan iman dan syariat Islam sehingga membawa kepada kejayaan dan kebahagiaan yang sebenar. Demikianlah seorang pemimpin yang berguru dengan ulama tulen, mampu untuk membangunkan tamadun agung tetapi jika pemimpin itu berguru dengan orang berjiwa kerdil maka dia mungkin memusnahkan tamadun yang agung.

Sekembalinya dari uzlah selama sebelas tahun itu, beliau ditawarkan Sultan untuk kembali berkhidmat di Baghdad namun beliau menolak dengan hormat kerana beliau menanggung amanah yang lebih besar. Dibebaskan dirinya daripada sebarang belengu yang menghalangnya dari memberi nasihat kepada sultan, teguran terhadap ulama-ulama duniawi dan mengkritik penyelewengan ahli falsafah. Keikhlasan beliau terlihat melalui kitabnya yang menukilkan pengalamannya sendiri dalam mencari kebenaran. Beliau menceritakan bagaimana beliau sendiri pernah terkeliru dalam mencari makna kebahagiaan hakiki dalam kitabnya Penyelamat Daripada Kesesatan.

Ibn al-Jawzi meriwayatkan dalam kitab al-Thabat 'Inda al-Mamat kisah yang didapatinya daripada Ahmad saudara Imam al-Ghazali bahawa "Pada hari Isnin (14 Jamadil Akhir) menjelang subuh, saudaraku Abu Hamid mengambil wuduknya dan mendirikan solat Subuh. Selepas  solat, dia kemudian berkata, "Bawa kepadaku kain kafanku." beliau mengambil kain itu lantas menciumnya dan meletakkannya pada matanya, sambil berkata, "Kami mendengar  dan taat dengan penuh persediaan untuk hadir ke hadrat Allah. Raja Yang Maha Berkuasa." kemudian beliau melunjurkan kakinya mengadap kiblat dan meninggal dunia sebelum matahari naik pada 14 Jamadil Akhir tahun 505 H/ 19 Disember 1111 M dan dimakamkan  di Zhahir al Tabiran, ibu kota Thus.

Imam al-Ghazali terus dikenang sebagai mujaddid dan ilmuan yang besar pengaruhnya, tinggi akhlak dan budinya dan berani dalam perjuangannya.  Tanpa kehadiran tokoh-tokoh besar seperti Imam al-Ghazali, keagungan al-Quran dan hadis Nabi itu bagaikan mutiara yang terpendam di dalam lumpur zaman. Melalui para ulama pewaris Nabi sahajalah ajaran agung itu digilap dan diangkat  semula sebagai mutiara untuk menjadi panduan kepada umat Islam di sepanjang zaman.

(Dari Buku 'Jalan Pintas Meraih Hidayah, 40 Prinsip Agama')


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML