Saturday, May 9, 2015

BERBALASKAH CINTA RASULULLAH???

Berbalaskah Cintanya?

Sekiranya kita menelusuri perjalanan hidup baginda serta menghayati setiap degupan nadi kehidupannya, kita akan lihat gambaran wajah kasih sayang yang terlalu mendalam serta cinta Baginda SAW yang tidak berpenghujung pada umatnya. Hidup dan mati Baginda SAW sentiasa menghulurkan kasih sayang, menginginkan kebaikan, kesejahteraan dan sentiasa merasa berat melihat kesusahan yang ditanggung oleh umatnya.

Keluhuran yang menghiasi hati baginda ini dinukilkan di dalam  Al-Quran pada Surah At-Taubah, ayat 128 :


Bermaksud : 

Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin."

            Sirah memaparkan kepada kita sebuah kisah yang menyayat hati. Pernah pada suatu ketika, baginda menjadi imam solat. Para sahabat melihat pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar. Mereka mendengar bunyi seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda bergeser antara satu sama lain.

Saidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu terus bertanya kepada Baginda Rasulullah SAW sejurus selesai solat : 

Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah?

Jawab Rasulullah SAW : 

Tidak, wahai Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar."

Saidina Umar kembali bertanya dengan nada mendesak : 

Ya Rasulullah, mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin tuan sedang sakit”.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, untuk menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali baginda bergerak.

Saidina Umar bersuara lagi : 

Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak mempunyai makanan, kami tidak akan mendapatkannya untuk tuan?

Lalu baginda menjawab dengan lembut, 

Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan kalian korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan Allah nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umat ini? Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah Allah buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di akhirat kelak.”

Lihatlah dan cubalah menghayati betapa besarnya pengorbanan Baginda SAW, demi kasih kepada umat, sanggup berlapar dan dahaga, tidak rela membebankan sahabat-sahabatBaginda. Semua ini dihadapi kerana cinta Baginda SAW kepada sahabat-sahabat danumatnya. Namun, berbalaskah cinta Baginda SAW oleh kita sebagai umatnya?


Itu hanyalah setitis dari lautan pengorbanan yang telah baginda lakukan demi cintanya kepada umatnya. Jauh daripada itu, pengorbanan baginda telah sampai ke tahap sanggup mengorbankan harta, masa, tenaga, darah dan nyawa bahkan setiap inci kehidupan baginda adalah pengorbanan demi umatnya.

Rasulullah SAW sanggup bersabar apabila dicaci dan dihina ketika melaksanakan tugas dakwah dan kebajikan kepada umatnya. Bahkan baginda melalui tekanan diboikot selama tiga tahun tanpa dapat bermuamalah dengan masyarakat musyrikin Mekah. Baginda pernah difitnah dan disihir.

Baginda juga menghadapi cubaan bunuh oleh orang-orang kafir. Namun semua itu sedikitpun tidak melunturkan semangat baginda untuk terus menyelamatkan umatnya daripada kekufuran dan penindasan.

Yakinlah..apabila kita meletakkan diri kita dalam situasi yang dilalui oleh Rasulullah SAW, kita akan dapat rasakan betapa dalam cinta dan kasih sayang baginda terhadap kita. Persoalannya, sejauh mana kita sebagai umat baginda mencintai baginda? 

Saban hari kita leka untuk menzahirkan cinta dan kasih kepadanya. Ingatlah bahawa Rasulullah SAW adalah insan yang perlu kita utamakan lebih daripada ibu bapa kita sendiri sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari Rahimahullah melalui Anas RA:

Bermaksud : “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku (Rasulullah SAW) lebih dicintai daripada ibu bapa mereka, anak-anak mereka dan seluruh manusia yang lain”.

Antara perkara yang sepatutnya kita lakukan bagi membalas cinta Rasulullah SAW ialah:

Pertama : Selalulah  berselawat keatas Rasulullah SAW serta mengamalkan sunnah baginda dalam setiap keadaan.



Sesungguhnya Allah SWT menyediakan pahala yang besar apabila kita berselawat dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW. Percayalah, bila hati sudah cinta, tentulah kita selalu mengingatinya. Semakin banyak ingatan dan cinta, semakin banyaklah kita berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Kedua : Berusahalah untuk menziarahi maqam baginda yang terletak di dalam Masjid Nabawi, Madinah Al-Munawwarah kerana fadhilatnya sama seperti menziarahi baginda ketika hidup.

Ketiga : Mengasihi orang yang dikasihi oleh Nabi SAW terutamanya nasab keturunannya dari kalangan ahli-ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda yang terdiri daripada kaum Muhajirin dan Ansar.

Keempat : Menyambung perjuangan Rasulullah SAW iaitu berdakwah bersungguh-sungguh demi menegakkan syiar Islam sama ada di rumah, tempat kerja atau di mana sahaja kita berada.

Kelima :  Mengamalkan seluruh amalan sunnah baginda SAW bukan hanya pemakaian dan fizikal luaran tetapi juga akhlak, ibadah dan cara hidup. Tidak ada gunanya mengaku cinta kalau tidak dibuktikan melalui pengamalan sunnah ini.  Tidak ada gunanya mengaku kasihkan Rasul jika akhlak buruk menjadi ikutan.

Inilah sebahagian daripada bukti yang harus ada pada kita, para pencinta Nabi SAW. Oleh itu marilah kita bersama-sama memuhasabah diri, adakah kita ini pencinta sejati atau pendakwa semata-mata? Tepuk dada, tanyalah iman. Semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesempurnaan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, renungilah beberapa pesanan ini :

Pertama : Mencintai Rasulullah SAW merupakan tanda kesempurnaan iman dan akan mencapai kemanisan iman

Kedua : Mereka yang berpegang teguh dengan ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW akan mendapat syafaat baginda di akhirat kelak.

Ketiga : Sentiasalah berselawat ke atas baginda terutamanya pada hari Jumaat ini kerana ia akan menyuburkan cinta kita kepada baginda SAW.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML