Tuesday, January 14, 2014

SIFAT-SIFAT IBLIS,SYAITAN DAN JIN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Mungkin ramai dikalangan kita yang keliru dan tidak dapat membezakan di antara tiga makhluk Allah S.W.T iaitu Iblis, syaitan dan jin. Ada sebahagian daripada kita mungkin menganggap ketiga-tiganya adalah sama saja tidak ada perbezaan.

Untuk membahaskan dengan jelas marilah kita merujuk kepada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi S.A.W. supaya kita lebih mengenali mereka dan dapat menjauhkan diri daripada hasutan dan bisikan makhluk yang jahat ini.

Pertama : Iblis laknatullah.

Iblis menurut bahasa arab bermaksud putus asa, kecewa atau berdukacita. Iblis menurut al- Quran adalah salah satu dari golongan jin yang ingkar terhadap perintah Allah SWT untuk sujud kepada Nabi Adam as.

Allah SWT berfirman maksudnya : ”Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Nabi Adam a.s) diwaktu Aku menyuruhmu?” lblis menjawab : ”Aku lebih baik daripada dia. Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah.”
(Surah al-A’raf ayat 12)

Sedangkan Iblis adalah makhluk durhaka yang jenisnya adalah daripada kalangan jin, bukan jenis manusia. Sebelum iblis dilaknat kerana engan sujud kepada Adam a.s. iblis bukanlah ketua segala malaikat (kefahaman ini perlu diperbetulkan) kerana ketua segala malaikat adalah Jibril a.s. Al-Quran Al-Kariem secara tegas menyebutkan bahwa Iblis itu adalah dari jenis jin.

Firman Allah S.W.T. yang maksudnya : "Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam , maka sujudlah mereka kecuali Iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka ia mendurhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan turanan-turunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku, sedang mereka adalah musuhmu? Amat buruklah Iblis itu sebagai pengganti bagi orang-orang yang zalim."
(Surah al-Kahf ayat 50)

Jadi bolehlah disebutkan bahawa Iblis itu adalah makhluk yang sebangsa dengan jin. Dialah dahulu jin yang paling dekat dengan Allah S.W.T, lalu berubah menjadi ingkar lantaran tidak mau diperintahkan untuk bersujud kepada Nabi Adam a.s. iaitu manusia pertama.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan ketika Kami berfirman kepada para malaikat : 'Sujudlah kamu kepada Adam,' maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir". (Surah al-Baqarah ayat 34)

Motivasi yang menghalangi Iblis itu untuk sujud kepada Adam tidak lain adalah rasa kesombongan dan tinggi diri. Dia merasa dirinya jauh lebih baik dari Adam.

Allah berfirman maksudnya : "Apakah yang menghalangimu untuk bersujud di waktu Aku menyuruhmu?" Jawab Iblis "Saya lebih baik daripadanya : Engkau ciptakan aku dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah".
(Surah al-A'raf ayat 12 )

Ciri yang paling utama dari Iblis adalah dia tidak mati-mati sampai hari kiamat. Dan penangguhan usianya itu memang telah diberikan oleh Allah S.W.T

"Iblis menjawab: 'Beri tangguhlah saya sampai waktu mereka dibangkitkan'. Allah berfirman: "Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh." (Surah al-A'raf ayat 14-15 )

"Iblis berkata: "Ya Tuhanku, beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan". Allah berfirman: "Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh, sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya ". (Surah Shaad ayat 79-81 )

Jadi Iblis adalah nama seorang jin yang hidup di masa penciptaan Adam a.s (nama asalnya Azazil dan dipanggil Iblis apabila dia enggan sujud kepada Nabi Adam a.s.)

Dalam Tafsir Ibnu Katsir, dikisahkan bahwa Azazil adalah nama awal Iblis... makhluk yang awal mula menjadikan Adam dan Hawa tergelincir dari jalannya... (Kisah tergelincirnya Adam dan Hawa terdapat di dalam kitab al-Quran, Taurat dan Injil)

Iblis pernah diberi keistimewaan tinggal di syurga, kerana dia engkar maka dia di halau daripada menduduki syurga.

Firman Allah SWT maksudnya : “Turunlah engkau dari syurga itu (wahai Iblis), kerana engkau tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya. Maka keluarlah, sesungguhnya engkau termasuk orang-orang yang hina.”(Surah al-A'raaf ayat 13)

Iblis memohon kepada Allah S.W.T. supaya dipanjangkan umurnya sampai hari kiamat, ternyata Allah S.W.T. menerimanya permintaannya itu kerana ada hikmahnya. Iblis mula membuat strategi bagaimana caranya menjerumuskan Adam. Dia begitu benci dan dendam kepada Adam kerana dia merasa Adamlah yang menyebabkannya dibuang dari syurga. Adam juga yang menyebabkannya hina. Kononnya disebabkan Adam dia tidak mendapat nikmat lagi dan dijauhkan dari rahmat Allah S.W.T.

Kerana geramnya melihat Adam, dia berjanji kepada Allah akan menggoda dan menyesatkan Adam bersama anak cucunya, sesuai dengan Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Iblis menjawab 'Kerana Engkau tealh menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan menghalang-halangi mereka dari jalan Engkau yang lurus. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari depan dan belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakkan mereka bersyukur (taat).” (Surah Al-A’raaf ayat 16-17 )

Iblis telah berkahwin dengan jin perempuan yang menjadi pengikutnya, lalu mereka dianugrahkan keturunan. Keturunan yang berasal Iblis inilah yang disebut syaitan. Iblis mempunyai kerajaan yang besar dan mengandungi menteri-menteri, pemerentahan, dan pejabat-pejabat yang besar.

Iblis boleh wujud menyerupai manusia ketika beliau mendatangi kaum musyrikin dalam bentuk Suraqah bin Malik ketika mereka hendak pergi menuju Peperangan Badar. Mereka dapat berubah-ubah dalam bentuk yang banyak, seperti anjing hitam atau juga kucing hitam. Kerana warna hitam itu lebih memberi gelombang kekuatan kepada Iblis atau syaitan dan mempunyai kekuatan panas.

Menurut buku Asy-Syibli meriwayatkan sebuah riwayat dari Zaid bin Mujahid yang mengatakan bahawa, " Iblis mempunyai lima anak, yang masing-masing diserahkan urusan-urusan tertentu. Kemudian dia memberi nama masing-masing anaknya : Tsabar, Dasim, Al-A'war, Maswath dan Zalnabur. ". Kelima-lima anak iblis dan semua keturunan mereka adalah dipanggil syaitan.

Kedua : Syaitan laknatullah.

Syaitan adalah zuriat keturunan Iblis hasil perkahwinan beliau dengan jin perempuan yang menjadi pengikutnya.

Iblis mempunyai 5 anak utama yang memegang lima kementerian iaitu :
1. Tsabar (Kementerian Musibah).
2. Dasim (Kementerian Cerai Berai Rumah Tangga).
3. Al-A'war (Kementerian Perzinaan).
4. Maswath (Kementerian Pembohongan).
5. Zalnabur (Kementerian Pergaduhan dan Pembunuhan).

Semua zuriat keturunan Iblis melalui lima orang anak-anaknya adalah kafir yang dipanggil syaitan. Jumlah mereka adalah ramai dan membiak setiap hari hingga jumlahnya berbillion. Sesiapa diantara mereka dan menyesatkan manusia dan membuat maksiat akan diberikan mahkota tanda penghargaan Iblis kepada jasa-jasa cucu cicitnya menjalankan tugas dengan jayanya.

Menurut Muhammad Isa Dawud dalam bukunya bertajuk "Dialog dengan Jin Islam" kerajaan Iblis yang besar adalah terletak di Segitiga Bermuda. Kerajaan Amerika telah membuat kajian terhadap kawasan laut di Segitiga Bermuda melalui satelit canggih yang mereka temui adalah satu dataran yang sangat luas dan terdapat bunyi suara hiruk-pikuk dan tak dikenali, yang tidak ada kaitan langsung dengan suara-suara di dasar laut yang biasa diketahui.

Pernah berlaku seorang juruterbang muslim melalui di laut Segitiga Bermuda dan semua alat-alat letronik di pesawat yang dibawa rosak dan tidak berfungsi dan ditarik seperti magnet kebawah, juruterbang itu teringat Allah S.W.T. dan beliau azan sekuat-kuatnya dengan tiba-tiba alat-alat letroniknya berfungsi semula dan beliau terselamat dari terhempas di Segitiga Bermuda. Ini menandakan bahawa misteri Segitiga Bermuda sebenarnya adalah ibu pejabat kerajaan Iblis melakukan operasinya keseluruh dunia.

Huraiannya adalah seperti berikut :

1. Tsabar

Dia adalah jenis syaitan yang selalu mendatangi orang yang sedang kesusahan atau tertimpa musibah, baik kematian anak atau kerabat dan lain-lain. Kemudia dia melancarkan bisikan dan menyatakan permusuhan kepada Allah S.W.T. Di ucapkannya, melalui mulut orang yang tertimpa musibah itu. Keluk kesah, caci maki , tidak reda dengan qada dan qadar terhadap ketentuan Allah SWT atas dirinya. Untuk menghindarkan ini bacalah doa ini .

"Aku berlindung kepada Allah dari gangguan syaitan, Tsabar yang terkutuk, serta pengikut-pengikut dan anak-anaknya."

2. Dasim.

Dia adalah jenis syaitan yang yang selalu berusaha untuk memutuskan silaturahim, mencerai beraikan ikatan perkahwinan,  mengobarkan rasa benci satu sama lain dikalangan suami isteri, sehingga terjadi penceraian. Dia adalah anak kesayangan Iblis di wilayah kerajaannya yang sangat besar. Dia juga suka menggoda seseorang supaya suka membuat fitnah, mendedahkan aib orang lain hingga orang itu menjadi marah. Mungkin pengguna internet yang suka membuat fitnah, maki hamun dan sumpah seranah kerana digoda oleh syaitan dasim ini. Untuk menghadapinya hendaklah baca doa ini :

"Aku berlindung kepada Allah dari gangguan syaitan, Dasim yang terkutuk, serta pengikut-pengikut dan anak-anaknya."

3. Al-A'war.

Dia adalah jenis syaitan yang pakar dalam mengalakkan perzinaan. Anak-anaknya menghiaskan indah bahagian bawah tubuh kaum wanita ketika keluar rumah. Wanita yang keluar rumah dengan berhias diri dan tidak menutup aurat sangat disukai oleh Iblis, Al-A'war dan anak-anaknya kerana mereka bekerja untuk meruntuhkan akhlak, moral dan mengalakkan perzinaan. Untuk mengelakkan daripada godaan al-a'war ini baca doa ini:
"Aku berlindung kepada Allah dari gangguan syaitan, A'war yang terkutuk, serta pengikut-pengikut dan anak-anaknya."
4. Maswath.

Dia adalah syaitan jenis yang pakar dalam membuat pembohongan-pembohongan besar atau kecil. Bahkan kejahatan yang Maswath dan anak-anaknya lakukan sampai pada tingkat dia memperlihatkan diri dalam bentuk manusia dan duduk dalam satu pertemuan yang diselenggarakan oleh manusia, lalu menyebarkan kebohongan yang pada gilirannya disebarkan pula oleh manusia. Syaitan Maswath ini suka mendatangi bomoh-bomoh dan menceritakan kebohongan dan membuat tuduhan bahawa si folan yang sihir si folan. Ada dikalangan umat islam yang percaya pembohongan yang dilakukan oleh bomoh yang terpengaruh dengan Maswath. Mohonlah perlindungan Allah SWT daripada godaan Maswath dengan membaca doa ini :
"Aku berlindung kepada Allah dari gangguan syaitan, Maswath yang terkutuk, serta pengikut-pengikut dan anak-anaknya."
5. Zalnabur.

Dia adalah syaitan yang berkeliaran dipasar-pasar di seluruh dunia. Mereka menggoda manusia supaya melakukan penipuan semasa jual beli dan mereka juga yang membangkitkan pertengkaran, caci maki, perselisihan dan bunuh membunuh antara sesama manusia. Nabi SAW mengajar kita supaya membaca doa ketika masuk pasar.

Mohonlah perlindungan Allah SWT daripada godaan syaitan Zalnabur ini.
"Aku berlindung kepada Allah dari gangguan syaitan, Zalnabur yang terkutuk, serta pengikut-pengikut dan anak-anaknya."
  
Firman Allah S.W.T. maksudnya : “ Dan demikian Kami jadikan bagi tiap – tiap nabi itu musuh, yaitu syaitan-syaitan dari jenis manusia dan dari jenis jin. Sebagian lagi membisikkan kepada sebagian lagi perkataan – perkataan yang indah – indah untuk menipu manusia. Jikalau Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan,” (Surah al-An’am ayat 112)

Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa syaitan adalah anak keturunan Iblis dan juga jin kafir yang menjadi pengikut Iblis bersama-sama menggoda manusia dan menimbulkan kesesatan dan kebencian. 

Ketiga : Jin

Di dalam Al-Quran Al-Kariem, Allah S.W.T menyebut beberapa kali kata ‘jin’. Bahkan ada satu surah yang secara khusus membahas tentang jin dan dinamakan dengan surat al-Jin.

Bila disimpulkan secara sekilas, maka ada hal-hal yang boleh difahami dari Al-Quran Al-Kariem tentang siapakah gerangan jin itu.

1. Jin diciptakan oleh Allah S.W.T dari api.

Allah S.W.T menyebutkan bahwa jin itu diciptakan dari api yang sangat panas, juga disebutkan terbuat dari nyala api.

"Dan Kami telah menciptakan jin sebelum dari api yang sangat panas.
(Surah al-Hijr ayat 27)

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
"Dan Dia menciptakan jin dari nyala api."
(Surah ar-Rahman ayat 15 )

Dalam sebuah hadis dari Abu Tha'labah yang bermaksud : "Jin itu ada tiga jenis iaitu : Jenis yang mempunyai sayap dan terbang di udara, jenis ular dan jengking dan jenis yang menetap dan berpindah-pindah."

Jin adalah makhluk yang sangat ramai sekali penduduknya, boleh dikatakan lebih ramai daripada manusia kerana umur jin panjang-panjang hingga mencecah ratusan dan ribuan tahun . Jarang ada suatu tempat di bumi ini yang tidak diduduki oleh jin, baik di daratan, lautan mahupun udara.

Dunia mereka seperti dunia kita : Ada negara, kerajaan, berbagai bangsa dan kabilah, penguasa dan rakyat jelata. Agama mereka pun tidak berbeza dengan agama manusia. Diantara mereka, alhamdulillah, ada yang muslim dan memperoleh hidayah dari Allah S.W.T. Yang lain, beragama Kristian, Yahudi, Hindu, Buddha, penyembah berhala dan penganut ajaran komunis.

Makhluk jin lebih mengutamakan untuk tinggal di tempat-tempat yang sunyi dan sepi dari manusia seperti di padang pasir. Ada yang tinggal di tempat-tempat kotor (jin kafir) seperti di tempat pembuangan sampah kerana mereka memakan makanan lebihan manusia. Ada juga mereka yang tinggal bersama manusia iaitu bumbung , siling dan di dalam rumah.

Abu Bakar bin Ubaid meriwayatkan: " Pada setiap rumah kaum muslimin ada jin Islam yang tinggal di atapnya, setiap kali makanan diletakkan, maka mereka turun dan makan bersama penghuni rumah. "

Jin juga menjadikan tandas dan tempat pembuangan sampah sebagai tempat tinggalnya (iaitu jin kafir, kerana jin Islam suka tempat-tempat yang bersih).

Rasullullah S.A.W. telah bersabda maksudnya : " Sesungguhnya pada tiap-tiap tempat pembuangan kotoran ada didatangi jin (jin kafir), kerana itu bila salah seorang kamu datang ke tandas maka hendaklah ia mengucapkan doa: " Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadamu dari jin lelaki dan perempuan "
(Hadis Riwayat Abu Dawud)

Jin juga sangat suka tinggal di lubang-lubang. Oleh kerana itu dalam sebuah hadis dijelaskan yang maksudnya: "Janganlah kamu kencing dilubang."
(Hadis Riwayat An-Nas'i)

2. Jin ada yang muslim dan ada yang kafir.

Jin ada yang Islam dan ada yang kafir. Jin Islam pula ada yang taat dan soleh dan ada juga jin Islam yang suka buat maksiat sama juga seperti manusia, ada orang Islam yang soleh dan ada yang suka buat maksiat.

Jin kafir kebanyakkannya menjadi budak suruhan Iblis dan syaitan. Ahli sihir dan bomoh-bomoh kebanyakkannya menggunakan khidmat jin kafir atau syaitan untuk menjalankan kerja-kerja mereka untuk menyihir manusia atau membuat kerosakkan dimuka bumi dengan memecah-belahkan perpaduan umat Islam. Dengan melakukan pemujaan dan sajian-sajian tertentu.

Allah SWT menciptakan jin dan manusia adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.” (Surah Adz-Dzariyat ayat 56)

Diriwayatkan dari Abi Said Al-Khudri, telah bersabda Rasulullah S.A.W maksudnya :
“Sesungguhnya di Madinah ada golongan jin yang telah menganut agama Islam. Barangsiapa yang melihat sesuatu dari golongan Awamir maka hendaklah ia mengarahkan ia keluar (sebanyak 3x). Jika jin itu enggan keluar bolehlah dibunuh selepas itu kerana ia adalah syaitan.”

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza." (Surah al-Jin ayat 11 )

Contoh jin muslim adalah jin yang menjadi tentara Nabi Sulaiman a.s.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan Kami (tundukkan) angin bagi Sulaiman, yang perjalanannya di waktu pagi sama dengan perjalanan sebulan dan perjalanannya di waktu siang sama dengan perjalanan sebulan dan Kami alirkan cairan tembaga baginya. Dan sebahagian dari jin ada yang bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya. Dan siapa yang menyimpang di antara mereka dari perintah Kami, Kami rasakan kepadanya azab neraka yang apinya menyala-nyala." (Surah Saba’ : 12 )

"Mereka (para jin itu) membuat untuk Sulaiman apa yang dikehendakinya dari gedung-gedung yang tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang seperti kolam dan periuk yang tetap . Bekerjalah hai keluarga Daud untuk bersyukur. Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang bersyukur". (Surah Saba’ ayat 13)

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Dan ingatlah ketika Kami hadapkan sekumpulan jin kepadamu yang mendengarkan Al-Quran. Maka ketika mereka menghadiri pembacaannya lalu mereka berkata: `Diamlah kamu (untuk mendengarkannya)’. Ketika pembacaan telah selesai, mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan. Mereka berkata: `Wahai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengarkan kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan setelah Musa, yang membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya lagi memimpin kepada kebenaran dan jalan yang lurus. Wahai kaum kami, terimalah (seruan) orang yang menyeru kepada Allah dan berimanlah kepada-Nya, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan melepaskan kamu dari azab yang pedih. Dan orang yang tidak menerima (seruan) orang yang menyeru kepada Allah, maka dia tidak akan lepas dari azab Allah di muka bumi dan tidak ada baginya pelindung selain Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata’.” (Surah Al-Ahqaf ayat 29-32)

Jin memiliki roh dan jasad. Hanya saja mereka dapat berubah-ubah bentuk dan menyerupai sosok tertentu, serta mereka boleh masuk dari tempat manapun. Nabi Sallallahu 'Alaihi Wa sallam memerintahkan kepada kita agar menutup pintu-pintu rumah bila menjelang magrib dan baginda mengatakan: ‘Sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka yang tertutup’.

Baginda memerintahkan agar kita menutup bekas-bekas air minuman dan menyebut nama Allah Subhanahu wa Ta'ala atasnya. Demikian pula bila seseorang masuk ke rumahnya dengan memberi salam dan kemudian membaca bismillah, maka syaitan mengatakan: ‘Tidak ada kesempatan menginap’. Jika seseorang makan dan mengucapkan bismillah, maka syaitan berkata: ‘Tidak ada kesempatan menginap dan bersantap malam’.”

Jin boleh wujud menyerupai seperti manusia dan binatang. Dapat berupa ular dan kalajengking, juga dalam wujud unta, lembu, kambing, kuda, keledai dan juga burung.

Kaum jin memiliki tempat tinggal yang berbeda-beda. Jin yang soleh bertempat tinggal di masjid dan tempat-tempat yang baik. Sedangkan jin yang jahat dan merusak, mereka tinggal di bilik mandi dan tempat-tempat yang kotor. Tulang dan kotoran hewan adalah makanan jin.

Di dalam sebuah hadis, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wa sallam berkata kepada Abu Hurairah radhiallahu 'anhu:

“Carikan beberapa buah batu untuk kugunakan bersuci dan janganlah engkau carikan tulang dan kotoran hewan.” Abu Hurairah radhiallahu 'anhu berkata: “Aku pun membawakan untuknya beberapa buah batu dan kusimpan di sampingnya. Lalu aku menjauh hingga baginda menyelesaikan hajatnya.”

Aku bertanya: “Ada apa dengan tulang dan kotoran hewan?”
Baginda menjawab: “Keduanya termasuk makanan jin. Aku pernah didatangi rombongan utusan jin dari Nashibin, dan mereka adalah sebaik-baik jin. Mereka meminta bekal kepadaku. Maka aku berdoa kepada Allah untuk mereka agar tidaklah mereka melewati tulang dan kotoran melainkan mereka mendapatkan makanan.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya :
“Sesungguhnya jin Ifrit telah mengacau aku semalam supaya aku memutuskan solatku, dan sesungguhnya Allah membolehkan aku menguasainya. Maka aku berniat untuk mengikatnya di tiang mesjid sehingga orang ramai boleh melihatnya, kemudian aku teringat kata-kata saudaraku Sulaiman : 'Ya Tuhanku, ampunilah daku, berikanlah kepadaku kekuasaan yang tidak terdapat pada orang lain selain aku…maka Allah menolak jin itu dengan penuh kehinaan”

Dalam kitab Musnad Imam Ahmad meriwayatkan hadis Abu Musa, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya: “Rosaknya umatku sebab tusukan taun. Para sahabat bertanya: 'Wahai Rasulllah kalau tusukan kami telah mengerti, kemudian taun itu?' Rasulllah menjawab: 'Taun adalah tusukan saudara-saudaramu dari golongan jin”

(Ibnu As-Sir – jin mempunyai banyak gangguan : bisikan, tiupan, hembusan dan tusukan)

3. Rupa dan fizikal jin.

Pada asasnya rupa bentuk Jin tidaklah banyak berbeza daripada rupa bentuk manusia, iaitu mereka mempunyai jantina, mempunyai hidung mata, tangan, kaki, telinga dan sebagainya, sepertimana yang di miliki oleh manusia. Pada dasarnya 80 hingga ke 90 peratus jin menyerupai manusia. Cuma yang berbezanya fizikal jin adalah lebih kecil dan halus daripada manusia. Bentuk tubuh mereka itu ada yang pendek, ada yang terlalu tinggi dan ada bermacam-macam warna, iaitu putih, merah biru, hitam dan sebagainya. Jin yang kekal dalam keadaan kafir dan jin Islam yang fasik itu mempunyai rupa yang huduh dan menakutkan. Manakala jin Islam yang soleh pula mempunyai rupa paras yang elok.

Menurut sesetengah pendapat tinggi jin yang sebenarnya adalah kira-kira tiga hasta sahaja. Pengetahuan mereka lebih luas dan umurnya tersangat panjang dan ada yang beribu tahun umurnya. Kecepatan jin bergerak adalah melebihi gerak cahaya dalam satu saat. Memandangkan jin adalah terdiri daripada makluk yang seni dan tersembunyi, tidak zahir seperti manusia dan tidak sepenuhnya ghaib seperti malaikat, maka ruang yang kecil pun boleh di duduki oleh ramai jin dan ianya juga boleh memasuki dan menghuni tubuh badan manusia.

Alam kediaman jin ialah di lautan, daratan, di udara dan di Alam Mithal iaitu suatu alam di antara alam manusia dan alam malaikat. Jika di berikan oleh Allah kepada kita melihat jin, sudah tentulah kita akan melihat jarum yang dijatuhkan dari atas tidak akan jatuh ke bumi , tetapi hanya jatuh di atas belakang jin, disebabkan terlalu banyaknya jumlah mereka.

4. Qarin.

Qarin adalah sejenis jin yang berdamping dengan manusia. Qarin di sini adalah makhluk halus (dikalangan jin) yang mengiringi kelahiran seseorang bayi. Qarin suka menghasut manusia kearah kejahatan, melainkan qarin Nabi S.A.W. yang telah ditundukkan oleh baginda.

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Tidak ada sesiapa diantara kamu melainkan baginya ditugaskan Qarin dari kalangan Jin, Mereka berkata : 'Walaupun kamu Ya Rasulullah?', Baginda menjawab : 'Walaupun Aku, akan tetapi Allah menolongku dan aku selamat darinya (atau - mengIslamkannya), maka dia hanya akan memerintahku melakukan perkara yang baik" (Hadis Riwayat Muslim)

Jika seorang muslim itu bertakwa jin pendampingnya (qarin) akan terdorong untuk masuk Islam dan menjadi jin yang bertakwa.

Menurut Muhammad Isa Dawud dalam bukunya Dialog dengan Jin Islam, Qarin Rasulullah S.A.W. bernama Habib al-Huda berumur panjang dan masih hidup dan menjadi guru mengajar hadis dan tafsir kepada jin-jin Islam , beliau tinggal di Baqi' Arab Saudi.

Sahabat yang dikasihi,
Berdasarkan huraian di atas jelaslah kepada kita bahawa terdapat perbezaan di antara Iblis, syaitan dan jin. Walaubagaimana pun ketiga-tiga makhluk ini iaitu Iblis, syaitan dan jin kafir adalah musuh kita yang paling utama dan perlulah kita berhati-hati jangan sampai kita dipengaruhi oleh makhluk yang jahat ini.

Ingatlah! Semua bentuk maksiat dan dosa, sifat-sifat mazmumah, pengaruh sihir, hasad dengki, marah, buruk sangka, sifat kecewa dan putus asa semuanya berpunca daripada bisikan, gangguan dan hasutan samaada daripada Iblis, syaitan dan jin-jin kafir kesemua mereka ini mengajak manusia ke neraka bersama-sama dengan mereka. Hanya orang-orang yang beriman dan bertakwa sahaja akan mampu menghadapi segala tipu helah dan ajakan Iblis dan syaitan laknatullah dan jin-jin kafir. 
Wauallahulam.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML