Keberkatan Dalam Hidup Membawa Kebahagiaan Dunia Dan Akhirat
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
.بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Perkataan berkat (barakah) bermaksud perkembangan dan kebaikan. Secara umumnya kita oleh menyatakan maksud berkat (barakah) disini adalah memohon restu dari Allah SWT agar dikurniakan kebaikkan yang berkembang.
Berkat ini tidak syak lagi adalah dengan keizinan Allah SWT. Jika seseorang itu memohon Allah agar memberkati resekinya, maka jika Allah kehendaki, dia akan memberi berkat kepada seseorang itu, sebagaimana berkata Nabi Isa a.s., firman Allah SWT
: - وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنْتُ
Maksudnya : "Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada" (Surah al-Maryam ayat 31)
Allah SWT adalah al-Mubaarik (pemberi restu / berkat) dan hamba-Nya adalah al-Mubaarak; seseorang yang diberkati sebagaimana yang dinyatakan didalam ayat diatas. Sifat memberi berkat ini hanyalah milik Allah SWT
Berkat Allah adalah dimana sahaja Dia letakkan, firmannya
:- وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُبَارَكًا
Maksudnya : "Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya (keberkatannya)" (Surah Qaaf ayat 9)
Allah SWT bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang. tanda Allah SWT kasih kepada hamba-hamba-Nya adalah Dia memberi pertolongan, rahmat dan keberkatan dalam kehidupan .
Terdapat lima keberkataan kurniaan Allah SWT diberikan-Nya kepada hamba -hamba yang dikasihi-Nya iaitu
Pertama : Keberkatan pada umur.
Kedua : Keberkatan pada kehidupan berkeluarga.
Ketiga : Keberkatan pada rezeki.
Keempat : Keberkatan pada hidup berjemaah. dan
Kelima : Keberkatan pada ilmu
Huraiannya :
Pertama : Keberkatan pada umur.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik manusia menurut pandangan Allah (Islam) ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula perbuatannya, sedang seburuk-buruk manusia ialah orang yang panjang umurnya tetapi buruk pula perbuatannya" (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim)
Berdasar kepada hadis tersebut apa yang dapat kita simpulkan bahawa amalan yang baik yang menjadi fokus kepada nilaian Allah SWT. Sekiranya kita diberi peluang untuk hidup lama di muka bumi ini, tetapi kita tidak memanfaatkan untuk kebaikan hidup di dunia dan bekalan akhirat ia adalah sia-sia. Tetapi sekiranya kita menggunakan peluang umur yang panjang itu untuk berbuat baik ia mendapat tempat terbaik disisi Allah. Inilah maksud umur yang diberkati Allah SWT.
Sebaiknya pula jika seseorang memiliki umur panjang sedangkan kejahatannya melebihi kebaikannya ini bermakna tidak ada keberkatan pada umurnya dan bersiap sedialah untuk memasuki neraka.
Rasulullah SAW telah meninggalkan satu pesanan yang amat berharga buat kita semua sebagai umatnya. Baginda telah bersabda: “Memberi sedekah, menyuruh pada kebaikan, berbakti kepada ibu bapa dan silaturahim dapat mengubah penderitaan menjadi kebahagiaan, menambah berkat umur dan menolak kejahatan.” (Hadis riwayat Abu Naim).
Kedua : Keberkatan dalam hidup berkeluarga.
Keluarga yang berbahagia adalah keluarga yang memiliki ketenangan dan kebahagiaan. Sentiasa rukun damai dan lahir kasih sayang di antara suami, isteri dan anak-anak. Saling nasihat menasihati, hormat menghormati dan percaya mempercayai. di antara satu sama lain.
Sikap rahmah (kasih sayang) kepada pasangan hidup dan anak-anak merupakan tulang belakang keharmonisan keluarga. Rasulullah SAW.memangil Aisyah dengan panggilan yang memanjakan, dengan gelar yang menyenangkan hati. Bahkan baginda membolehkan seseorang berdiplomasi kepada pasangan hidupnya dalam rangka membangun kasih sayang. Suami atau isteri harus mampu menampilkan peribadi yang dapat menimbulkan rasa tenteram, senang kerinduan. Ingat, di atas rasa kasih sayanglah pasang dalam keluarga dapat melayari bahtera kehidupan dengan aman dan damai.
Tarbiyah (pendidikan) merupakan keperluan asasi setiap manusia. Para suami yang telah aktif dalam medan dakwah biasanya akan mudah mendapatkan hal ini. Namun, isteri juga memiliki kemampuan untuk meneruskan tarbiyah ini untuk anak-anaknya. Nafkah yang halal merupakan tanggung jawab suami untuk ahli keluarganya Itulah sebabnya Rasulullah SAW meluluskan permintaan taklim (pengajaran) para wanita muslimah yang datang kepada baginda. Baginda memberikan kesempatan khusus bagi pembinaan wanita dan kaum ibu .
Jika tidak berjalan tarbiyah dalam keluarga maka akan berlaku pergeseran, pertengkaran dan pergaduhan yang tidak berkesudahan hingga membawa kepada penceraian. Keluarga yang diberkati Allah SWT. akan melahirkan ciri-ciri Baitul Muslim dalam keluarga tersebut dan keluarga yang tidak mendapat keberkataan melahirkan pergolakkan dan perselisihan samaada di antara suami isteri dan juga di antara ibu bapa kepada anak-anaknya.
Oleh itu jadikanlah Islam sebagai panduan hidup berkeluarga barulah mendapat rahmat ,ketenangan dan keberkatan daripada Allah SAW.
Ketiga : Keberkatan pada rezeki.
Rezeki yang berkat adalah rezeki yang diperolehi daripada sumber-sumber yang halal. Dan digunakan pula rezeki tersebut untuk kebaikan dan di jalan Allah SWT. Apabila kita mensyukuri rezeki Allah SAW maka Allah SWT akan memberkati hidup kita dan Dia akan memberi tambahan rezeki dijalan yang tidak disangka-sangka.
Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya, “Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Setiap Mukmin hendaklah mempunyai sifat qanaah iaitu reda dan menerima apa yang ada tanpa banyak menuntut perkara yang bukan keperluannya. Lawan bagi sifat qanaah ialah tamak yang menjadikan seseorang itu sentiasa cemburu dan dengki dengan rezeki yang diperolehi oleh orang lain.
Salah satu cara untuk menanamkan sifat qanaah kepada diri dan keluarga ialah dengan sentiasa mengucapkan ‘alhamdulillah’ dan bersyukur di atas setiap perbuatan atau perkara baik yang diterima.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya, “Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperolehi salah satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) yang serupa.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Rezeki adalah ketentuan Allah SWT. Untuk menambah keberkatannya hendaklah membiasakan diri dengan sifat pemurah dan tidak bakhil untuk bersedekah kepada orang lain kerana hal ini akan memberikan ketenangan kepada diri malah akan lebih disayangi oleh masyarakat kerana sesungguhnya, harta yang kita miliki terdapat hak-hak orang lain di dalamnya yang wajib kita tunaikan.
Kekayaan yang sejati adalah kekayaan iman yang tercermin dari kesederhanaan hidupnya dan kesederhanaan itu tercermin dari sifatnya yang qanaah. Kita sering mendengar berita orang kaya rezekinya melimpah ruah tetapi hidup keluarganya porak peranda, anak-anaknya menjadi penjenayah dan penceraian berlaku di antara suami istari. Ini menunjukkan tidak ada keberkatan rezeki yang mereka perolehi ada sesuatu yang tidak kena maka berlakulah keadaan seperti ini.
Kita juga mendengar suatu keluarga yang pendapatannya kecil menanggung anak-anak yang ramai tetapi anak-anaknya menjadi insan yan berakhlak mulia dan berjaya di dalam kerjaya dan kehidupan. Ini menunjukkan ada keberkatan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Allah telah berfirman, “telah berfirman Allah kepada malaikat pembahagi (pengedar) rezeki kepada bani Adam: mana satu hamba-Ku yang kamu temui menujukan harapannya kepada Aku semata, maka jaminkanlah rezekinya langit dan bumi. Dan mana satu hamba-Ku yang kamu temui sedang mencari rezekinya, sesungguhnya dia sedang menuntut keadilan, maka lorongkanlah jalan-jalannya tetapi jika dia menuntut selain dari itu, maka biarkanlah antara mereka dengan apa yang mereka tuntut itu, kelak mereka tidak akan memperolehi lebih daripada apa yang telah Aku tentukan untuk mereka itu." (Hadis riwayat Abu Naim)
Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah dalam apa jua keadaanpun, kerana kasih sayang Allah itu mendahului Kemurkaan-Nya. Dan pastikan sumber rezeki yang kita perolehi dari sumber yang halal dan tidak meninggalkan suruhan Allah SWT semasa mencari rezeki, rezeki yang diperolehi akan diberkati dan hidup kita akan sentiasa mendapat rahmat Allah SWT.
Keempat : Keberkatan hidup berjemaah.
Hidup kita di dunia ini tidak boleh berseorangan kita perlu kepada berjemaah. Hidup berjemaah akan membawa keberkatan sedangkan hidup tanpa jemaah akan membawa kepada kehancuran.
Daripada Huzaifah r.a berkata : “Orang-orang Islam yang lain bertanya Rasulullah SAW tentang kebaikan dan saya bertanya Rasulullah tentang kejahatan, kerana saya bimbang (takut) saya terjatuh kedalam kejahatan, lalu saya berkata kepada Rasulullah SAW :“Ya Rasulullah , kami sesungguhnya berada di dalam keadaan jahiliah dan kejahatan, tetapi Allah hantarkan kebaikan, apakah ada selepas kebaikan ini kejahatan?”
Rasulullah SAW menjawab : “Ya ada” Kemudian saya bertanya lagi, “
Apakah selepas kejahatan ini ada kebaikan?”
Rasulullah SAW menjawab “Ya ada, tetapi di dalamnya ada dakhan”
Kemudian saya bertanya kepada Rasulullah SAW “Apakah dakhan itu?”
Rasulullah SAW menjawab “Yang di maksudkan dakhan itu adalah suatu kaum yang mengambil suatu peraturan lain dari sunahku dan mengambil petunjuk lain dari petunjukku, kamu kenal mereka maka hendaklah kamu tolak mereka.”
Saya bertanya lagi : Adakah selepas itu (kebaikan), ada lagi kejahatan?”
Rasulullah SAW menjawab : “Ya ada, iaitu pendakwah (penyeru) yang berada di tepi jurang neraka, siapa yang menyahut seruan mereka akan di campakkan kedalam neraka”
Saya bertanya : “Wahai Rasulullah, apakah perintahmu jika saya sampai pada masa itu (iaitu masa penyeru-penyeru yang menyeru di tepi jurang neraka)?”
Rasulullah SAW menjawab : “ Hendaklah kamu duduk bersama-sama Jemaah Muslimin dan ikut imam mereka” (Hadis Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
Hidup kita akan mendapat keberkatan jika kita duduk di dalam jemaah. Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda hidup bersama jemaah Islam yang dibentuk oleh baginda. Di dalam jemaah inilah berlakunya proses tarbiyah imaniah berjalan hingga melahirkan satu generasi umat Islam yang paling baik dalam sejarah manusia. Hasil dari jemaah ini melahirkan Daulah Islamiyah yang mendaulatkan hukum-hukum Allah SWT.Berjemaah membawa berkat dan perpecahan membawa azab.
Kelima : Keberkatan pada ilmu.
Ilmu yang bermanfaat secara mutlak di dunia dan akhirat adalah ilmu syar’i (ilmu Islam). ilmu yang pengamalnya yang diikhtiraf oleh Allah SWT. dan Rasulullah SAW. , ilmu ini adalah seperti yang diungkapkan oleh Imam Asy-Syatiby di dalam kitab Al Muwafaqot, “Ilmu yang muktabar menurut syara’k adalah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal, yang tidak membiarkan pemiliknya mengikuti hawa nafsunya bagaimanapun ia, bahkan ia mengikat pengikutnya dengan ilmu tersebut, yang membawa pemiliknya mematuhi aturan-aturannya suka atau tidak suka”.
Mengenai ilmu pengetahuannya yang bermanfaat kepada orang lain. Dengan kata lain, segala ilmu yang dapat memberikan manfaat kepada orang lain dan dapat menambahkan ketakwaan mereka kepada Allah SWT.
Maka selama ilmu itu masih dipelajari, selama itulah orang yang mengajarkannya pada peringkat permulaan itu akan mendapat pahala yang berterusan yang akan dimasukkan ke dalam catitan amalan kebajikannya. Antara lain, seperti apabila seseorang yang mengarang kitab untuk rujukan orang lain, maka selagi kitabnya dapat memberikan manfaat kepada orang lain, maka Allah akan mengurniakan ganjaran dan pahala yang berterusan kepada pengarang kitab tersebut.
Ilmu yang berkat adalah ilmu yang difahami, dilaksanakan dan disampaikan pada orang lain. Ilmu yang berkat juga akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita muhasabah balik pada diri kita kenapakah sering kita mengalami kerisauan, jiwa sentiasa tidak tenang dan tekanan hidup yang semakin meningkat. Jika kita kaji pasti kita akan dapat jawapannya iaitu tidak wujud keberkatan dalam hidup kita. Iaitu tidak ada keberkatan pada umur, hidup berkeluarga, rezeki , berjemaah dan pada ilmu. Oleh itu perlulah kita kembali kepada Allah SWT dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya in syaa Allah rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT akan kita perolehi.
No comments:
Post a Comment