Wednesday, February 19, 2014

KOLEKSI SOAL JAWAB BERKAITAN SOLAT ~ ( BERSUCI )

Bersuci

Soalan-soalan:

    Maksud Bersuci
    Jenis Debu/Tanah Untuk Tayamum
    Berwudhu' dari Sumber Air yang Diguna Bersama Orang Bukan Islam 
    Mencuci Telekung Dengan Mesin Basuh 
    Mencuci Pakaian Solat dalam Mesin Pembasuh 
    Bulu Binatang 
    Wuduk dengan Tangan Berbalut 
    Niat Wudhuk dalam Bahasa Malaysia 
    Masih Ada Kesan Mani Setelah Mandi 
    Perbezaan Mani dan Mazi 
    Berlebihan Dalam Berwudhuk 
    Hukum Bulu Anjing dan Babi 
    Ketika Wudhuk Azan Berkumandang 
    Selepas Mandi Wajib Terus Mengerjakan Solat 
    Gusi Berdarah 
    Hakikat Niat Ketika Berwudhuk 
    Berwudhuk Keadaan Rambut Berminyak 
    Berwuduk Ketika Mandi Wajib 
    Bacaan dan Doa Setiap Membasuh Anggota Wuduk





1. Maksud Bersuci
Soalan:
Bagaimanakah hukumnya seseorang itu mendirikan solat tanpa bersuci sampai salam? Dan bagaimanakah caranya yang dikatakan bersuci sampai salam?

Hamba Allah, PJ

Jawapan:
Bersuci merupakan perkara yang mustahak diketahui oleh setiap individu muslim, kerana ianya merupakan kewajipan seseorang terhadap dirinya sendiri dan terhadap Allah SWT. Firman Allah SWT maksudnya: "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri". (Al Baqarah - 222) Bersuci dapat dibahagi kepada dua iaitu bersuci daripada hadas, ini hanya tertentu pada bahagian badan, seperti mandi wajib, berwuduk dan tayammum. Kemudian bersuci daripada najis, ini berhubungan dengan badan, pakaian dan tempat. Jadi jika seseorang itu tidak bersuci ketika mengerjakan solat bererti solatnya tidak sah dan sia-sia sahaja.



Kembali ke atas ↑



2. Jenis Debu/Tanah Untuk Tayamum
Soalan:
Dalam situasi krisis air yang melanda di tempat saya ketika ini, kemungkinan bertayamum terpaksa dilaksanakan demi untuk melakukan solat. Namun kemusykilan saya adalah dari segi debu yang bagaimanakah harus saya gunakan memandangkan persekitaran tempat kediaman saya yang tidak bersih?

Safiron

Jawapan:
Allah jadikan permukaan bumi ini bagi umat Nabi Muhammad suatu rahmat yang boleh digunakan untuk membersihkan diri dari hadas dan najis. Rasulullah SAW bersabda: Dari Jabir bin Abdullah bahawa Nabi SAW bersabda: "Aku diberi lima perkara yang tidak diberikan kepada seseorangpun sebelumku. Aku diberi kemenangan terhadap musuh sejauh perjalanan sebulan, dan dijadikan bumi ini sebagai dan alat bersuci bagiku, maka siapa saja bertemu waktu solat hendaklah ia solat di tempat itu..." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Menurut Sayid Sabiq; boleh tayamum dengan tanah yang suci begitupun dengan segala yang sejenis tanah seperti pasir, batu, batu bata, berdasarkan firman Allah SWT: "Hendaklah kamu bertayamum dengan sha'id yang baik". Sedang ahli-ahli bahasa telah sepakat bahawa yang dimaksudkan dengan sha'id itu ialah permukaan bumi, baik ia berupa tanah mahupun lainnya.

(Sila rujuk DN 426 Terjemahan Bulughul Malam oleh Al Hafidz Bin Hajar Al Asqalani dan Fikih Sunnah Sayid Sabiq, bab tayamum)

Kembali ke atas ↑



3. Berwudhu' dari Sumber Air yang Diguna Bersama Orang Bukan Islam
Soalan:
Adakah sah sembahyang sekiranya wudhu' yang kita ambil dari sebuah kolam yang digunakan sama oleh orang yang bukan Islam? 

Rosli, Kajang

Jawapan:
Sembahyang dan wudhu' anda adalah sah seandainya air tersebut mencukupi syarat-syarat air mutlak iaitu air yang hukumnya suci lagi menyucikan seperti air hujan, air sungai, air laut, air mata air dan sepertinya. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al Furqan ayat 48 yang bermaksud: "Dan Kami turunkan dari langit air yang suci lagi menyucikan". Air Mutlak adalah air yang tidak terkena najis. Ianya melebihi *dua kolah dan seandainya dua kolah tersebut walaupun terkena najis namun tidak merubah warna, rasa atau baunya. Menjawab persoalan saudara, tidak ada syarat yang mengatakan sumber air tersebut tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam. *Ukuran air dua kolah adalah 60 x 60 sentimeter padu.

(Sila Rujuk DN 034 Bimbingan Lengkap Fardhu Ain)

Kembali ke atas ↑



4. Mencuci Telekung Dengan Mesin Basuh
Soalan:
Apa pendapat tuan tentang mencuci telekung dengan menggunakan mesin basuh? Sesetengah mengatakan tidak suci.

Salmah, Segamat

Jawapan:
Salah satu syarat sah solat adalah suci badan, pakaian dan tempat daripada najis, jika pakaian yang kita gunakan itu suci daripada najis maka ianya telah memenuhi syarat tersebut. Tidak kiralah dengan cara bagaimana kita membasuhnya, apakah dengan tangan, dengan mesin basuh atau memerahnya di sungai dan sebagainya. Haruslah dengan air yang mengalir. Jika dengan mesin, sekali dibilas dengan air sabun dan dua kali dibilas dengan air biasa, sudah pun memadai.

Kembali ke atas ↑



 5. Mencuci Pakaian Solat dalam Mesin Pembasuh.
Soalan:
Apakah sah / boleh dibawa bersembahyang pakaian yang dibasuh dengan mesin basuh auto/semi auto?

Arman, KL

Jawapan:
1)  Boleh mencuci pakaian solat dalam mesin pembasuh jika pakaian itu tidak terkena najis atau tidak bercampur dengan pakaian lain yang terkena najis yang menyebabkan ia bercampur baur dalam mesin tersebut. Proses pencucian dalam mesin basuh juga mengalirkan air dan bahkan melalui proses pembilasan sehingga pakaian solat itu menjadi bersih.

Tidak kiralah dengan cara bagaimana kita membasuhnya, apakah dengan tangan, dengan mesin basuh atau memerahnya di sungai dan sebagainya. Haruslah dengan air yang mengalir. Jika dengan mesin , 1 X dibilas dengan air sabun dan 2 X dibilas dengan air biasa, sudah memadai.

Kembali ke atas ↑



6. Bulu Binatang
Soalan:
Apakah hukum bagi bulu binatang yang halal dan yang haram dimakan, bagaimana sekiranya ia terlekat pada tempat sembahyang?

Zulkifli

Jawapan:
Untuk menjawab pertanyaan ini kami kemukakan ayat Al Quran dan hadith Rasulullah SAW. Allah berfirman dalam surah Al An'am ayat 145, maksudnya: "Katakanlah: tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya semua itu kotor..."
Menurut Fiqih Sunnah Sayid Sabiq, mengenai bulu babi menurut pendapat ulamak yang terkuat dibolehkan untuk diambil sebagai benang jahit. Begitu juga halnya dengan anjing, Rasulullah SAW bersabda: "Mensucikan bejanamu yang dijilat oleh anjing ialah dengan mencucinya sebanyak tujuh kali, mula-mulanya dengan tanah." (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Baihaqi)

Mencuci dengan tanah maksudnya ialah mencampurkan ke dalam air hingga menjadi keruh. Jika ia menjilat ke dalam bejana yang berisi makanan kering, hendaklah dibuang mana yang terkena jilatan dan sekelilingnya. Sedang sisanya tetap digunakan kerana suci. Mengenai bulu anjing, maka pendapat yang terkuat ia adalah suci, dan tak ada alasan mengatakan ianya najis. Seandainya bulu binatang yang terlekat pada tempat solat itu melekat kotoran atau najisnya sehingga mengotorkan tempat solat maka tidak sah solat, kerana salah satu syarat-syarat sah solat hendaklah bersih badan, pakaian dan tempat daripada najis.

Kembali ke atas ↑



7. Wuduk dengan Tangan Berbalut
Soalan:
Apabila seorang itu berubat dan ibu jarinya dibalut, dan apabila kita hendak mengambil air sembahyang, tetapi ibu jari tadi tidak kena air, sahkah kita punya sembahyang?  

RAD, K Kinabalu

Jawapan:
Berhubung jari yang berbalut oleh sebab sesuatu luka dan lain-lainnya, ia tetap tidak menjejaskan proses mengambil wuduk seseorang. Ketika mengambil wuduk anda boleh menyapu di atas pembalut luka tadi, tanpa perlu menanggalkannya. Jika sapu dengan air di atas pembalut luka ini memudaratkan anda juga, anda boleh bertayamum. Jika balutan luka itu terlampau kecil dan tidak mudarat jika anda membukanya hendaklah anda membukanya dan mempastikan air sampai kepadanya ketika mengambil wuduk. Wallahu A'lam. 
Sila rujuk buku-buku berikut:

DN 224 Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih
DN 231 Fiqh Nabawi

Kembali ke atas ↑



8. Niat Wudhuk dalam Bahasa Malaysia
Soalan:
Bolehkah kita mengambil wuduk dengan membaca dalam Bahasa Malaysia?

Hamba Allah, Sabah

Jawapan:
Tidak menjadi kesalahan mengambil wudhuk dengan membaca niat umpamanya dalam Bahasa Malaysia tidak di dalam Bahasa Arab. Bagaimanapun membaca doa-doa yang berkaitan dengannya adalah elok di dalam bahasa Arab dan hendaklah difahami maknanya supaya kesannya dapat meresap ke dalam diri individu terlibat.

Kembali ke atas ↑



9. Masih Ada Kesan Mani Setelah Mandi
Soalan:
Adakah sah mandi wajib sekiranya apabila selesai mandi wajib masih terdapat kesan mani pada kemaluan atau bahagian-bahagian anggota yang lain?

Hamba Allah, Sg. Buloh

 Jawapan:
Jika kita telah melaksanakan segala ketentuan mandi wajib serta rukun mandi seperti niat dan meratakan air ke seluruh tubuh, hidung dan mulut, maka memadailah mandi wajib tersebut. Namun jika terdapat kesan-kesan mani baik pada bahagian kemaluan atau pada bahagian tubuh yang lain mahupun pada pakaian maka cukuplah dengan membasuh atau mengikisnya (jika tiada air), sebab mani bukanlah benda najis.

Kembali ke atas ↑



10. Perbezaan Mani dan Mazi
Soalan:
Ustaz saya ingin bertanya apakah perbezaan air mani dengan air mazi dan mungkinkah ia boleh bercampur menyebabkan kita perlu mandi wajib apabila kita lihat telah keluar air mazi. Boleh kita sembahyang tanpa mandi wajib jika kita pasti yang keluar itu air mazi?

Abdullah, Melaka

Jawapan:
Air mani keluar dari orang lelaki dan juga orang perempuan. Bezanya air mani lelaki berwarna putih manakala air mani perempuan berwarna kuning. Antara air mani dengan air mazi pula ada perbezaannya. Air mani lelaki keluar secara memancut dengan beberapa kali pancutan. Keluar pula disertai dengan kelazatan. Baunya seperti tepung yang diuli atau bau putih telur yang direbus.

Air mazi pula adalah air yang keluar dari kemaluan yang berwarna putih jernih dan biasanya keluar apabila seesorang itu naik syahwat ketika berkhayal, melihat orang perempuan, menonton filem-filem seks dan lain-lain. Ia tidak akan keluar secara memancut. Air mani dan air mazi boleh jadi bercampur antara satu sama lain khasnya selepas selesai melakukan persetubuhan, kerana itu yang terlibat hendaklah mandi wajib.

Dalam keadaan biasa mazi sahaja yang keluar tidak air mani. Jika seseorang syak adakah yang keluar itu mani atau mazi, maka ia hendaklah membuat pilihan berdasarkan yang diyakininya. Jika yang diyakini yang keluar itu adalah air mani hendaklah ia mandi wajib, tetapi jika diyakini yang keluar itu adalah mazi cukuplah dibasuh alat kelamin dan dibersihkan pakaian yang terkena air mazi itu.

DN 034 Bimbingan Lengkap Fardhu Ain

Kembali ke atas ↑



11. Berlebihan Dalam Berwudhuk
Soalan:
Apakah hukumnya sekiranya kita terkurang atau terlebih dari yang ditetapkan iaitu 3 kali semasa mengambil air sembahyang. Contohnya, mencuci muka terlebih atau terkurang daripada 3 kali.

Shahrizal, Sg Buloh

Jawapan:
Ketika mengambil wudhuk disunatkan membasuh tiga kali. Ini membuktikan perkara yang wajib bagi kita ketika berwudhuk membasuh dengan satu kali, dengan syarat sampai air ke seluruh anggota wudhuk. Jika kita mengambil wudhuk melebihi tiga kali bererti kita telah melakukan tiga kesalahan, pertama: menggunakan air secara berlebih-lebihan bererti melakukan pembaziran, kedua: was-was yang bersarang dalam hati yang merupakan keberhasilan syaitan dalam membisikkan gangguannya dan ketiga: menyeleweng dari ketetapan Rasulullah SAW.

Membazir atau membuang-buang air itu terjadi dengan menggunakan air tanpa faedah menurut agama, umpamanya menambah jumlah tiga-tiga kali dalam berwudhuk. Dalam sebuah hadis dari Amar bin Syuaib dari bapanya, dari datuknya disebutkan: "Seorang Badui datang menemui Rasulullah SAW menanyakan tentang wudhuk. Maka Nabi pun mempraktikkannya tiga-tiga kali seraya bersabda: 'Beginilah berwudhuk, maka siapa-siapa yang melebihi ini, bererti ia menyeleweng, melanggar batas dan berlaku aniaya'.". (Riwayat Ahmad, Nasa'i dan Ibnu Majah)     Juga dari Ibnu Mughaffal ra. katanya: "Saya dengar Rasulullah SAW bersabda: 'Nanti akan muncul dalam kalangan umat ini satu golongan yang berlebih-lebihan dalam bersuci dan berdoa'. ". (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)     Berkata Imam Bukhari: "Ahli-ahli ilmu tidak menyukai bila dalam memakai air wudhuk itu melebihi batas yang digunakan oleh Rasulullah SAW".



Kembali ke atas ↑



12. Hukum Bulu Anjing dan Babi
Soalan:
Tentang bulu binatang. Pihak Darul Nu'man mengatakan bulu babi dan bulu anjing HALAL digunakan. Saya telah merujuk kepada beberapa orang Ustaz mengatakan TIDAK HALAL digunakan. Sila berikan keterangan dan hukum dengan jelas? Sekian.

Amram Abdullah, KL

  Jawapan:
Menurut ulamak Zahiri, ayat 23 yang terdapat dalam surah al-Baqarah menjelaskan pengharaman daging babi, bukan lemaknya. Ini bermakna bagi golongan ini lemak babi tidak menjadi masalah menggunakannya. Bagi majoriti ulamak pula pengharaman daging babi merangkumi pengharaman daging dan lemak sekaligus, kerana lemak termasuk ke dalam daging. Inilah pendapat yang sahih. Ini kerana menurut jumhur ulamak, Allah SWT menyebut tentang daging babi bagi menjelaskan tentang batang tubuh babi itu sendiri samada ia disembelih dengan cara yang syar'i atau tidak.

Berhubung mengambil faedah dari bulu babi, ulamak berbeza pendapat. Menurut imam Abu Hanifah dan imam Malik harus menggunakan bulu babi sebagai bahan jahitan. Bagi imam Asy-Syafii tidak harus mengambil faedah dari bulu babi kerana ianya najis. Menurut imam Abu Yusuf boleh menggunakan bulu babi sebagai bahan jahitan, tetapi hukumnya adalah makruh. Menurut imam Al-Qurtubi, tidak ada perselisihan di kalangan ulamak yang seluruh badan dan anggota babi adalah haram kecuali bulunya. Bulunya adalah halal dan boleh dijadikan bahan jahitan kerana bahan jahitan yang menggunakan bulu babi wujud di zaman rasulullah SAW dan zaman selepas baginda dan tidak terdapat sebarang maklumat menunjukkan nabi ada melarang umat Islam menggunakannya. Inilah juga pendapat imam-imam selepas Baginda. (Rujuk Tafsir Ayat Ahkam oleh Muhamad Ali As-Sobuni).

Menurut ulamak Hanafi bulu anjing adalah suci kerana Rasulullah SAW melarang memakan daging bangkai termasuklah anjing bukan menggunakan bulunya. Bagi ulamak Maliki bulu anjing adalah suci tidak najis. Ulamak Syafii dan Hanbali pula menghukumkan bulu anjing adalah najis. Bagaimanapun jika bulu anjing itu kering tidak perlu kepada seseorang menyamak pakaiannya apabila terkena sentuhan bulu anjing yang kering. Ia hanya perlu menyamak apabila tesentuh bulu anjing yang basah.

(Rujuk Fikah Islami Waadillatuhu oleh Prof. Dr Wahbah Az-Zuhaili) Tentang air liur anjing menurut ulamak Hanafi, Syafii, imam Ahmad dan jumhur ulamak hukumnya adalah najis, kerana berpegang dengan hadis yang diriwayatkan oleh imam Ahmad yang memerintahkan seseorang menyamak bekas yang dijilat oleh anjing. Ini menunjukkan air liur anjing itu adalah najis. Bagi imam Malik anjing adalah suci, termasuklah air liurnya. Beliau berpendapat perintah membasuh bekas yang dijilat oleh anjing yang terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Ahmad itu disebabkan kotoran yang terdapat pada badan anjing bukan kerana kenajisannya. 

Menurut ulamak Syafii dan Hanbali apabila sesuatu yang kering terkena badan anjing dan babi yang basah atau terkena anak yang dilahirkan hasil kacukan anjing dan babi atau anak yang dilahirkan hasil kacukan anjing atau babi dengan binatang lain yang halal dalam Islam, maka benda yang terkena itu hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali basuhan yang pertamanya dengan tanah berdasarkan hadis riwayat Ahmad yang lalu. Basuhan benda yang terkena badan anjing ini dikiaskan kepada benda yang terkena badan babi juga perlu dibasuh sebanyak tujuh kali , di mana yang pertamanya adalah tanah, kerana babi adalah lebih buruk dan jelek menurut kacamata syarak berbanding anjing.

Menurut ulamak Hanbali bahan-bahan lain boleh juga digunakan ketika menyamak sebagai menggantikan tempat tanah yang disebutkan di dalam hadis yang lalu, kerana tanah mempunyai unsur-unsur kekuatan dalam menghilangkan najis. Ini bermakna sabun dan bahan-bahan pencuci yang lain boleh juga digunakan untuk menyamak benda yang terkena badan anjing dan babi yang basah tadi kerana ia juga mempunyai daya kekuatan yang tidak kurang berbanding tanah dalam menghilangkan kotoran yang terdapat pada benda yang terkena badan anjing dan babi tadi. (Rujuk Fikah Islami Waadillatuhu oleh Prof Dr. Wahbah Az-Zuhaili)

Kembali ke atas ↑



13. Ketika Wudhuk Azan Berkumandang
Soalan:
Ketika saya mengambil wuduk dan pada masa yang sama azan berkumandang. Soalannya adakah saya perlu berhenti mengambil wuduk untuk menghormati azan dan menjawabnya?

Aje, Alor Setar

Jawapan:
Teruslah melaksanakan wudhuk dan jawablah azan tersebut seberapa yang boleh setelah mengambil wudhuk.

Kembali ke atas ↑



14. Selepas Mandi Wajib Terus Mengerjakan Solat
Soalan:
Bolehkah seseorang itu terus bersembahyang setelah mandi wajib tanpa mengambil air sembahyang? (Ini adalah berikutan terdapat orang yang berkata mandi wajib melingkungi hadas besar dan hadas kecil. Maka seseorang itu boleh terus bersembahyang tanpa mengambil air sembahyang)?

Hamba Allah, Sg Buloh

Jawapan:
Mandi wajib membersihkan diri seseorang daripada hadas kecil dan hadas besar. Jika seseorang itu telah mandi wajib maka bolehlah ia terus mengerjakan solat tanpa mengambil wuduk lagi, kerana fungsi mandi wajib tadi telah membersihkan seseorang dari hadas besar demikian juga dengan hadas kecil. Yang paling penting untuk diingat setelah mandi wajib itu janganlah menyentuh bahagian dubur dan kubul yang boleh menyebabkan batalnya wuduk. Jika ini terjadi hendaklah ia mengambil wuduk jika ingin mengerjakan solat.

Kembali ke atas ↑



15. Gusi Berdarah
Soalan:
Saya mengalami masalah gusi mudah berdarah. Sehinggakan jika saya berkumur-kumur pun boleh menyebabkan pendarahan. Setelah mengambil wuduk dan saya dapati gigi saya berdarah, perlukah saya mengulanginya kembali atau cukup dengan saya berkumur-kumur sahaja?

Ibnuas, KL

Jawapan:
Memadailah dengan berkumur-kumur setelah itu kerjakanlah solat.

Kembali ke atas ↑



16. Hakikat Niat Ketika Berwudhuk
Soalan:
Saya ada soalan yang memusykilkan saya, iaitu: bagaimanakah niat dan cara yang betul untuk mengambil wudhuk, saya berasa was-was apabila seorang kawan mengatakan perkataan "mengambil" dan "mengangkat itu tidak sesuai digunakan semasa berniat, contoh nya selepas saya ber'nawaitu (dalam bahasa arab) kemudian saya berniat "Sahaja aku mengambil/mengangkat hadas kecil, tunai kerana ALLAH Taala?

Khairul, KL

Jawapan:
Niat maksudnya ialah kemahuan yang tertuju terhadap perbuatan demi mengharap keredhaan Allah dan mematuhi peraturannya. Niat merupakan perbuatan hati semata yang tidak ada sangkut pautnya dengan lisan dan mengucapkannya tidak disyariatkan. Niat merupakan perkara yang wajib dalam setiap melakukan amal ibadah, perkara ini sesuai dengan hadith daripada Umar ra. sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Semua perbuatan itu adalah dengan niat dan setiap manusia akan mendapat sekadar apa yang diniatkannya..." (Riwayat oleh Jamaah)

Jika niat pada asasnya merupakan perbuatan hati, maka tidak perlulah dipertikaikan tentang lafaz lisan yang setiap umat di dunia ini akan menggunakan bahasanya masing-masing sebagai pengukuhan terhadap niat yang tersirat dalam hati. Seandainya perbezaan lafaz lisan antara "mengambil" dengan "mengangkat" menimbulkan perasaan was-was ketika berwuduk, maka lebih baik tinggalkan saja lafaz lisan itu dan tumpukan niat yang sesungguhnya yang tersimpan didalam hati. Sebab niat yang di dalam hati itulah yang dikatakan fardhu atau wajib dalam berwudhuk, bersolat atau mengerjakan perkara yang lain. Hindarilah perasaan was-was dalam jiwa kita, kerana was-was itu merupakan rayuan syaitan yang bertahta dalam hati manusia. Kekhusyukan itu lebih besar nilainya dibandingkan dengan lafaz niat secara lisan itu, sebab hakikat niat itu sebenarnya tersimpan dalam hati atau sanubari.

Kembali ke atas ↑



17. Berwudhuk Keadaan Rambut Berminyak
Soalan:
Adakah air wudhu' dan mandi wajib dapat mengalir dengan sempurna jika kita menggunakan minyak rambut?

Jawapan:
Minyak rambut bukan sejenis pewarna yang boleh menutup dan membaluti rambut. Minyak rambut seperti yang lazimnya kita pakai, tidak menunjukkan bahawa ia menghalangi sampainya air mengenai rambut. Jadi jika air mengenai rambut maka sah lah wuduk ataupun mandi wajib kita.

Kembali ke atas ↑



18. Berwuduk Ketika Mandi Wajib
Soalan:
Kemusykilan saya ialah semasa seseorang itu sedang mandi wajib, kemudian berlaku sesuatu yang membatalkan air sembahyang, sah atau tidak, perlukah dia niat semula? Bolehkan suami dan isteri mandi wajib bersama (bersentuhan)?

Abu Bakar, ?

Jawapan:
Mengambil wuduk sebelum mandi wajib hukumnya sunat. Ketika mandi seseorang itu akan membersihkan bahagian-bahagian tertentu seperti kemaluannya, maka kedudukan wuduk tadi tidak kira lagi kerana terbatal oleh sentuhan yang dilakukan terhadap kemaluan tersebut. Jika ia ingin solat hendaklah ia mengambil wuduk yang lain. Namun jika ia mandi dalam air yang banyak dan mengalir seperti di sungai, dan ia memasukkan seluruh tubuhnya ke dalam sungai tersebut, maka mandi wajibnya itu membolehkan ia mengerjakan solat dengan tanpa mengambil wuduk kembali.

Tidak perlulah seseorang itu berniat semula ketika wuduknya terbatal kerana mandi wajib tersebut, kerana telah dikatakan bahawa kedudukan wuduk sebelum mandi wajib itu hukumnya sunat dalam mandi tersebut. Sedangkan mandi bersama-sama antara suami isteri sangat dituntut demi mengeratkan kemesraan dan bersentuhan serta saling membersihkan bahagian tubuh adalah lebih baik. Kerana Rasulullah SAW pun pernah mandi bersama- sama dengan isteri baginda Siti Aisyah.

DN 036 "Suami Teladan" Rumah Idaman Syurga Impian
DN 037 "Isteri Teladan" Rumah Idaman Syurga Impian

Kembali ke atas ↑



19. Bacaan dan Doa Setiap Membasuh Anggota Wuduk
Soalan:
Betulkah ada orang mengatakan apabila berwudhu hendak mendirikan sembahyang dimana setiap anggota badan seperti tangan, muka,telinga,kaki dan kepala ada bacaannya yang tersendiri? Contohnya, mencuci muka selain niat, ada lagi bacaannya, tujuannya untuk mencucikan luar dan dalam.

Arsyad, Tawau

Jawapan:
Memang ada bacaan-bacaan yang diamalkan oleh para ulama dan orang-orang yang alim ketika membasuh setiap anggota wudhuk. Isi doa-doa tersebut menyerahkan diri kepada Allah dan mengharapkan balasan kebaikan terlimpah ke atas seluruh anggota kita. Jika kita tidak hafal lafaz doa-doa tersebut boleh dengan mengharapkan dalam hati bahawa setiap anggota wuduk yang kita basuh itu akan memperoleh berkat daripada Allah dan hanya mengerjakan pekerjaan yang tepuji dan meninggalkan segala perbuatan yang keji.

DN 034 Bimbingan Lengkap Fardhu Ain

Kembali ke atas ↑

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML